Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, July 16, 2010

Kenari Sudah Terbang

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Dia telah mengaturkan segala-galanya dengan teratur. Hanya kita sebagai manusia yang sentiasa tertanya-tanya dan tercari-cari arah dalam hidup ini. Itulah kuasa percaya kepada Qada’ dan Qadar. Dalam saya buntu memikirkan perjalanan karier yang akan beralih arah tidak lama lagi, Allah memudahkan laluan saya untuk melepaskan Kenari yang telah saya beli pada tahun 2006. Asalnya kereta itu saya serahkan kepada adik lelaki bongsu saya dan hanya disambung bayar tetapi apabila adik saya sudah mempunyai perancangan sendiri, saya terpaksa melepaskannya kepada orang lain. Saya sangka proses penjualan akan memakan masa juga sebelum ada yang berminat tapi ternyata perancanganNya cukup sistematik.

Segala-galanya bermula apabila saya mengiklankan Kenari dalam laman mudah.my. Beberapa hari pertama, ada 2 orang lelaki yang menelefon dan menyatakan minat untuk membelinya tetapi oleh kerana kaedah pembelian yang ingin dibuat agak cerewet, saya KIV dulu permintaan mereka. Salah seorang dari mereka ingin menjelaskan bayaran secara separuh tunai dan separuh pinjaman. Kaedah yang tidak mustahil untuk dibuat tetapi agak sukar dan cerewet. Manakala salah seorang lagi pula ingin tawar menawar ke paras harga yang sangat rendah. Harga yang saya iklankan sebenarnya adalah baki jumlah pinjaman yang masih ada di bank. Hasrat saya cuma untuk mendapatkan pembeli yang sanggup menjelaskan jumlah tersebut. Sebelum ini saya pernah bertanya kepada beberapa kedai kereta terpakai tentang harga yang boleh diambil jika saya menolaknya kepada mereka. Ternyata harga yang ingin diambil terlalu rendah dan saya perlu menambah sejumlah wang pula kepada pihak bank sedangkan jika dilihat kepada harga pasaran masih tinggi.

Beberapa hari selepas itu, ada seorang pemanggil bernama Alan menghubungi saya menyatakan minat untuk membeli kereta saya. Menurut Alan, sudah hampir 6 bulan dia merisik-risik untuk membeli kereta bagi kegunaan isteri beliau. Beliau terus tergerak untuk menghubungi saya apabila terlihat iklan yang saya paparkan tersebut. Lalu kami berjanji untuk bertemu pada hari Ahad untuk membolehkan beliau melihat sendiri keadaan kereta saya. Antara faktor yang membuatkan beliau tergerak untuk menghubungi saya adalah apabila membaca kenyataan saya dalam iklan tersebut iaitu ‘lady driver owner, accident-free and follow scheduled service’.

Seperti dijanjikan, kami bertemu pada hari Ahad dan beliau datang bersama isteri untuk memandu uji dan melihat sendiri keadaan kereta. Saya tunjukkan kepada mereka bukti resit-resit yang saya simpan selama ini iaitu sejak saya membeli kereta tersebut sehingga sekarang. Saya memang seorang yang cukup cerewet dalam penyimpanan dokumen. Namun ternyata kecerewetan saya tersebut membawa kebaikan kerana antara faktor yang mendorong Alan dan isteri (Thida) untuk membeli kereta saya adalah apabila melihat setiap kata-kata saya disokong oleh dokumen dan bukannya hanya bercakap kosong. Alhamdulillah, Alan dan Thida bersetuju untuk membeli kereta saya pada hari yang sama malah sanggup membayar deposit pada masa itu juga. Saya katakan kepada mereka bahawa saya bukan ingin berurusniaga sebaliknya hanya berhasrat melunaskan jumlah baki pinjaman yang masih ada di bank. Justeru, saya minta agar bayaran dibuat terus kepada bank dan bukan kepada saya. Mulanya mereka agak risau jika saya akan menjual kereta saya kepada orang lain pula jika saya tidak mengambil deposit daripada mereka. Namun saya katakan kepada mereka bahawa saya mempercayai mereka dan jumlah yang perlu mereka jelaskan tidak melebihi baki pinjaman di bank. Saya berjanji untuk mendapatkan penyata penjelasan daripada pihak bank pada keesokkan harinya dan memaklumkan kepada mereka dengan kadar segera memandangkan saya akan bertukar tempat kerja pada minggu hadapan. Saya berhajat untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan penjualan kereta pada minggu ini juga.

Seperti dijanjikan, pada pagi Isnin saya mencuri masa ke bank untuk mendapatkan penyata yang secara kebetulan telah saya pohon pada minggu lepas. Saya telah diminta untuk menjelaskan caj perkhidmatan sebanyak RM50 oleh pihak bank. Mulanya saya agak terkejut juga apabila dikenakan bayaran tetapi untuk mempercepatkan proses, saya turutkan sahaja. Sebaik menerima penyata berkenaan, saya ingin menelitinya terlebih dahulu tetapi digesa oleh kakitangan bank tersebut agar segera menandatangan dokumen tersebut sebagai bukti penerimaan. Memang silap saya kerana tidak meneliti dokumen tersebut dengan sebaik mungkin sebelum beredar walaupun saya agak terkejut kerana jumlah yang diberikan jauh lebih rendah daripada jumlah yang saya jangkakan. Apapun, saya gembira kerana tidak perlu mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada Alan dan Thida. Dengan segera, saya maklumkan kepada mereka tentang jumlah yang perlu dilunaskan dan berharap mereka dapat menyediakan bayaran kerana mereka berhasrat menjelaskannya secara tunai.

Keesokkan harinya, saya menghubungi pihak bank untuk bertanyakan prosedur pembayaran termudah yang boleh dibuat agar urusan dapat diselesaikan pada minggu ini juga. Apabila diminta memberikan nombor akaun berkenaan, pegawai bank tersebut dengan nada yang agak tinggi telah berkata kepada saya,

“Eh, salah nombor akaun tu. Itu nombor pinjaman peribadi bukan kenderaan.”

Saya amat terperanjat mendengar kata-kata pegawai tersebut dan bertanya kembali untuk kepastian,

“Awak biar betul. Penyata ini bank yang berikan kepada saya semalam,” saya menyuarakan ketidak puasan hati dengan kata-kata pegawai tersebut.

“Betul. Yang itu nombor akaun pinjaman peribadi. Silap tu,” kata pegawai bank itu lagi dengan nada bersahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Awak jangan main-main. Kan saya mohon jumlah untuk pinjaman kenderaan. Cuba tengok balik surat permohonan saya sebelum ini malah saya masih simpan rujukan tarikh dan masa saya faks kepada bank,” tegas saya.

“Kalau salah, datang bank, kita bagi yang betul,” ujar pegawai tersebut dalam nada acuh tak acuh.

“Lagi satu, saya ada hantar permohonan untuk meminjam geran kereta kerana saya perlukannya untuk pemeriksaan PUSPAKOM,” tanya saya lagi.

“Untuk tujuan apa ye?” balas pegawai tersebut dengan nada yang agak menyakitkan hati juga.

“Saya nak jual kereta tu. Jadi saya perlu dapatkan sijil PUSPAKOM untuk urusan tukar hakmilik di JPJ nanti,” terang saya dengan nada yang geram tetapi masih dikawal.

“Oh, tak boleh. Awak kena jelaskan dulu bayaran pinjaman, lepas tu baru bank akan serahkan geran asal beserta surat pelepasan pinjaman,” jawab pegawai tersebut dengan acuh tak acuh.

“Tapi sebelum ini, kenapa untuk urusan pertukaran nombor pendaftaran kenderaan, saya dibenarkan untuk pinjam?” soal saya dengan perasaan tidak puas hati.

“Oh, tu kisah lain. Untuk tukar milik, memang kena jelaskan bayaran dulu,” jawab beliau.

Memang saya panas mendengar kata-kata beliau. Bengang pun ada dengan sikap acuh tak acuh yang telah menyusahkan saya kerana jumlah tersebut telah saya maklumkan kepada Alan semalam. Saya jadi serba salah memikirkan bagaimana ingin menerangkannya kepada Alan semula tentang perubahan jumlah tersebut. Saya nekad. Pihak bank harus bertanggungjawab dan menerangkan kepada Alan apa sebenarnya yang telah berlaku dan punca kesilapannya. Saya capai gagang dan minta disambungkan kepada pengurus bank. Saat itu saya memang cukup panas dan bengang lalu saya hamburkan kemarahan saya itu kepada pengurus bank kerana kecuaian pegawai beliau telah menyulitkan keadaan saya dan saya minta beliau untuk menerangkannya kepada Alan kerana kami berjanji untuk bertemu pada waktu tengah hari bagi membincangkan cara pembayaran dan saya perlu mendapatkan salinan asal geran kereta untuk tujuan pemeriksaan PUSPAKOM.

Tiba di bank, saya terus meminta untuk berjumpa dengan pengurus bank sebelum Alan tiba. Di situ saya tunjukkan segala bukti dokumen permohonan saya sebelum ini dan kesilapan yang telah dilakukan oleh pegawai beliau. Saya minta agar beliau sendiri menerangkan kepada Alan tentang kesilapan yang telah berlaku kerana tidak mahu dianggap menipu atau mempermain-mainkan mereka. Mujurlah Alan memahami keadaan yang berlaku dan bersetuju untuk meneruskan urusan pembelian. Lega rasanya. Pada masa yang sama, saya ajukan pertanyaan kepada pengurus bank sama ada saya boleh meminjam geran asal kereta untuk urusan di PUSPAKOM. Saya maklumkan juga tentang perbualan antara saya dan pegawai beliau sebelum ini. Ternyata urusan menjadi lebih mudah apabila dicampur tangan oleh pengurus. Kerenah birokrasi. Itu yang saya boleh rumuskan dan kesungguhan untuk membantu pelanggan tidak wujud dalam diri pegawai tersebut menyebabkan kerja yang mudah menjadi sukar sehingga mengusutkan keadaan. Memandangkan terlalu banyak masa yang terpaksa dihabiskan di bank, saya terus memohon diberi cuti pada hari tersebut dan esok bagi menyelesaikan urusan di PUSPAKOM.

Seawal jam 8 pagi hari Rabu, saya sudah beratur menunggu giliran di PUSPAKOM Wangsa Maju. Hanya saya seorang sahaja wanita yang wujud di tengah-tengah kaum lelaki di situ. Saya tidak berasa janggal lagi seperti kali pertama saya ke situ sebelum ini bagi urusan pertukaran nombor plet kereta. Saya ikuti setiap arahan yang diberikan dan Alhamdulillah urusan pemeriksaan selesai dalam masa 1 jam sahaja. Saya terus menuju ke pejabat untuk bertemu dengan anak-anak buah kerana kami telah berjanji untuk makan tengah hari di sebuah restoran di situ.

(Sijil Pemeriksaan PUSPAKOM)


Pada hari Khamis, saya hubungi bank memaklumkan yang kami akan hadir pada pagi Jumaat untuk menjelaskan bayaran dan mendapatkan surat pelepasan pinjaman dan merancang untuk terus ke JPJ terdekat untuk urusan tukar hakmilik. Pihak bank berjanji akan menyediakan surat tersebut lebih awal dan akan diserahkan sebaik selesai urusan pembayaran.

Seperti dijanjikan, saya dan Alan serta Thida bertemu di bank untuk menyelesaikan urusan pembayaran dan dari situ kami akan ke JPJ Cawangan Bangi. Kami merupakan pelanggan pertama yang tiba di bank. Namun sekali lagi bank telah melakukan kesilapan apabila mencetak no plet lama pada surat pelepasan menyebabkan sistem tidak mengesan kewujudan kereta saya dalam sistem e-hakmilik. Satu kesilapan yang hanya menambah luka sedia ada dan berpunca dari kecuaian juga. Saya telah pun menyerahkan dokumen memaklumkan pertukaran no plet kereta pada bulan Mac yang lalu dan sehingga kini masih belum dikemaskini sehingga menimbulkan kesukaran kepada saya untuk menyempurnakan urusan seterusnya. Mujurlah saya masih menyimpan makluman penerimaan oleh pihak bank terhadap penyerahan tersebut sebelum ini dan sekali lagi saya mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan kecuaian di pihak mereka. Memang saya cukup kecewa dengan keadaan yang berlaku kerana kami terpaksa berulang-alik mendapatkan dokumen yang sama sedangkan kesilapan berpunca daripada pihak bank. Rasa tidak berbaloi membayar RM50 untuk mendapatkan penyata sebelum ini. Wajar rasanya pelanggan menuntut kembali bayaran yang telah dikenakan oleh pihak bank kerana layanan yang diterima tidak seperti diharapkan. Kali terakhir saya ke bank mendapatkan dokumen yang telah diperbetulkan, mereka sudah sedia menunggu dengan dokumen yang betul membuatkan saya sudah tidak terdaya untuk merasa marah. Saya turutkan sahaja asalkan urusan dapat diselesaikan.

Akhirnya, selepas beberapa kali berulang-alik dan beberapa hari menguruskannya, Kenari kini menjadi milik Alan dan Thida. Saya akui mereka pasangan yang baik dan apa yang membuatkan saya terharu adalah apabila mereka mengatakan bahawa mereka mempercayai saya dan saya tidak kelihatan seperti seorang yang ingin mempermainkan mereka. Saya cukup menghargai kata-kata mereka dan gembira dapat menjual kereta saya kepada mereka. Melihat keikhlasan mereka mempercayai saya, saya usahakan agar kereta berada dalam keadaan baik sebelum saya serahkan kepada mereka berdua. Beberapa ratus ringgit wang saya melayang tetapi lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa ribu kerugian yang perlu ditanggung jika saya menjualnya kepada kedai kereta terpakai.

(pemilik baru - Thida)

Satu perkara yang saya pelajari bersama mereka adalah praktikal kepada apa yang selama ini saya percayai iaitu apa yang kita berikan kepada seseorang, itulah yang akan kita perolehi. Sebagaimana saya memberikan kepercayaan kepada Alan dan Thida, begitulah juga yang saya terima daripada mereka. Beberapa hari bersama mereka berdua, melalui pelbagai kerenah pihak bank dengan sabar malah banyak kali Alan membantu merungkaikan kekusutan yang kami hadapi, membuatkan saya insaf bahawa kehadiran mereka adalah dengan izinNya jua. Saya tidak pernah mengenali mereka tetapi Allah ketemukan kami dalam satu urusan dan mereka menjadi penyelamat kepada beban hutang yang saya tanggung sebelum ini. Benarlah kata-kata yang pernah saya dengar dan baca sebelum ini, ‘people comes into our life for a reason.’

4 comments:

MamaYatie said...

salute la ngan carie..diplomasi & independent betul..cayalah.btw, tukar keja ke mana nih?

Carrie-Ma said...

MamaYatie,

manusia kalau dlm keadaan terdesak mmg akan mampu buat apa yg disangka xmampu. u too can do it :)

insyaAllah lps ni ke agensi maritim plak.

HaNiE said...

CK, pasni kalo aku nak jual kereta ko jadi agent eh...

Carrie-Ma said...

mar,

hahaha...10%