Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, July 29, 2010

Gotong-Royong

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya tidak mendengar perkataan gotong-royong. Perkataan ini sangat kerap saya dengar sewaktu berada di alam persekolahan terutama peringkat rendah dan menengah. Di peringkat rendah, gotong-royong selalunya akan diadakan beberapa hari sebelum tamat sesi persekolahan dan juga beberapa hari sebelum sesi persekolahan dibuka. Guru akan berpesan kepada kami agar membawa sehelai tuala 'Good Morning' untuk digunakan semasa sesi gotong-royong. Kami begitu seronok melakukannnya dan seringkali akan berakhir dengan aktiviti bermain buih. Kami tidak menghiraukan keadaan kami pada waktu itu sama ada comot atau kotor asalkan kami dapat membersihkan kelas kami dan yang pasti, kami melakukannya dengan hati yang senang dan gembira. Segala-galanya cukup indah kerana yang penting kami dapat bersama kawan-kawan. Sekolah menjadi satu taman permainan yang cukup luas buat kami dan pada masa yang sama menjadi gedung ilmu yang menjadikan kami berjaya pada hari ini. Waktu itu, saya ada beberapa orang teman yang cukup akrab dan menjadi rakan kumpulan belajar terutama menjelang peperiksaan UPSR. Walaupun kami anak kampung, kami berjaya membuktikan bahawa dengan iltizam, usaha dan kesungguhan yang tak kenal putus asa, kami berjaya meraih keputusan 4A dalam UPSR. Saban hari dan saban waktu, kami bermain dan pada masa yang sama, gigih menuntut ilmu. Sahabat-sahabat saya pada waktu itu yang masih segar dalam ingatan adalah Fatima, Huda, Jamaliah dan Norimiyani. Saya amat bersyukur ditemukan dengan kawan-kawan yang cintakan ilmu kerana saya percaya pengaruh rakan sebaya amat besar dalam kehidupan seseorang pelajar.

Di peringkat menengah pula, sama ada sewaktu bersekolah di SMAASZA atau MRSM Muar, aktiviti gotong-royong sudah menjadi satu perkara sinonim memandangkan saya tinggal di asrama. Malah ini merupakan aktiviti wajib pada hujung minggu. Pada hari beginilah, kami akan melakukan aktiviti pembersihan dorm dan juga tandas berdekatan. Walaupun pada awalnya, kami sedikit memberontak kerana merasakan aktiviti tersebut mengganggu waktu belajar kami, kini saya sedar, pembentukan sahsiah bukan hanya dari segi akademik sahaja tetapi juga dari segi amalan kehidupan. Malah Islam juga telah mengingatkan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Saya kira didikan yang saya terima di asrama dengan segala macam peraturan yang kekadang cukup merimaskan itulah yang membentuk diri saya pada hari ini. Jiwa remaja secara lumrahnya inginkan kebebasan namun hakikatnya dalam usia yang begitu mentah, kebebasan tanpa had mungkin akan menyebabkan remaja terbabas dari landasan kehidupan. Lantas peranan peraturan dan segala macam peringatan oleh para guru serta warden merupakan pagar-pagar yang menjadi penghalang remaja tergelincir dari landasan kehidupan. Bagi saya yang tinggal di asrama seawal usia 13 tahun, saya begitu menghargai didikan yang saya terima sepanjang tempoh tersebut.

Hari terakhir di pejabat, 29 Julai 2010, saya isi dengan aktiviti gotong-royong kerana tempat kami akan dinilai untuk pensijilan 5S. Lantas kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan saya serta beberapa orang rakan lagi ditugaskan untuk meng'5S'kan bilik mesyuarat. Seronok juga sekali sekala datang ke pejabat dengan berpakaian sukan dan kemudian bekerjasama mengemaskan ruang kerja. Waktu tengah hari pula diadakan sedikit acara jamuan bagi meraikan saya sendiri yang bakal bertukar ke tempat kerja lain, pegawai yang mendapat cahayamata pertama dan pegawai yang baru melangsungkan perkahwinan. Saya tidak tahu apa yang patut saya rasa kerana sedikit sebanyak terkesan juga dengan situasi itu. Manakan tidak, di sini tempat saya mengenal jerih payah menjadi seorang pegawai dan di sini juga tempat saya mengenal mana kawan dan mana lawan. Namun saya tidak menyimpan dendam. Saya anggap itu semua pengalaman dalam mengharungi sebuah kehidupan. Perjalanan yang perlu dilalui masih jauh.

Saya berdoa semoga ukhuwwah yang sedia terjalin akan terus berpanjangan dan juga semoga perjalanan saya di tempat baru akan dipermudahkanNya.

No comments: