Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, July 19, 2010

Dunia Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya melapor diri ke pejabat baru walaupun hakikatnya saya diarahkan untuk menangguhkan pertukaran selama 2 minggu. InsyaAllah saya akan memulakan tugasan baru bermula 2 Ogos. Terus terang saya cukup teruja untuk mempelajari perkara baru setelah sekian lama mencurah bakti di tempat sekarang. Pejam celik pejam celik tidak sedar 5 tahun saya di situ. Begitu cepat masa berlalu. Pelbagai reaksi saya terima daripada rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertukaran saya. Sedih juga terpaksa meninggalkan anak-anak buah yang setia memberikan sokongan selama ini tetapi kehidupan mesti diteruskan. Saya doakan semoga mereka akan mendapat ketua yang jauh lebih baik daripada saya. Saya telah cuba melakukan yang terbaik selama bersama mereka agar kami merasa sebagai satu pasukan dan dapat melaksanakan tugasan dengan seikhlas mungkin. Meski sukar pada mulanya tetapi Alhamdulillah saya dapat merasakan perasaan kekeluargaan wujud antara kami.

Sedih juga untuk meninggalkan teman-teman seperjuangan yang selama ini menjadi penyokong dan penguat semangat apabila melalui saat-saat sukar. Kehadiran mereka membuatkan saya kuat untuk meneruskan perjuangan. Meski saya tidak akan bersama mereka lagi, saya berdoa semoga ukhuwwah yang telah terjalin bersama kami akan terus berpanjangan.

Kedengaran juga di telinga saya komen-komen tentang pertukaran saya. Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Saya lebih suka memandang kepada yang positif. Lucu pula apabila saya dimaklumkan oleh seorang rakan tentang luahan ketua saya bahawa pertukaran saya akan menjejaskan prestasi bahagian sekarang. Dari satu segi, saya merasa gembira kerana itu bermakna tungkus-lumus saya selama ini mula dihargai dan kehilangan saya akan menyebabkan ia lebih dirasai. Setidak-tidaknya ketua saya sedar sumbangan saya selama ini yang sering dianggap kurang penting. Apapun, saya anggap setiap anggapan beliau sebagai cabaran untuk saya melakukan yang lebih baik.

Saya sering percaya tidak ada tugasan yang tidak penting atau kurang penting dalam sesuatu organisasi. Saya tetap mempercayai setiap unit atau seksyen mempunyai peranan dan fungsi masing-masing dan menjadi penyokong kepada unit-unit yang lain. Tiada istilah tidak penting atau kurang penting kerana setiap satu menjadi penyokong kepada yang lain. Ketiadaan atau kegagalan fungsi sesuatu unit akan merencatkan perjalanan seluruh organisasi. Namun saya juga percaya bahawa yang menentukan sesuatu tugasan itu penting atau tidak adalah diri saya sendiri. Pihak luar boleh memberi pelbagai persepsi tetapi selagi kita mengambil serius dan bersungguh-sungguh melakukannya, atau dalam erti kata lain, istiqamah, insyaAllah kebenaran akan terserlah.

Saya kini di Tanjung Malim melunaskan tanggungjawab terakhir sebagai ketua seksyen. Tidak tergamak rasanya melepaskan kepada anak-anak buah terkontang kanting menghadirinya. Setidak-tidaknya saya hadir untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihak jabatan.

Meskipun saya berdebar dan sedih untuk meninggalkan dunia selesa yang telah saya lalui selama 5 tahun, saya juga positif dengan dunia baru yang bakal didepani kelak.

No comments: