Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, July 20, 2010

Detik Itu

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya baru sahaja selesai membentangkan program terakhir yang melibatkan seksyen sendiri. Alhamdulillah, semua berjalan lancar seperti dirancang dan masa yang diambil tidak melebihi setengah jam. Mulanya saya merancang untuk merahsiakan terlebih dahulu soal pertukaran saya kepada wakil-wakil jabatan memandangkan saya masih mempunyai tempoh sehingga akhir bulan. Dibimbangi sebaran awal akan menyebabkan saya hilang semangat untuk meneruskan saki-baki urusan yang masih tertunggak. Malah saya sudah merancang untuk berkampung di pejabat pada hujung minggu bersama anak-anak buah untuk menyelesaikan segala urusan utama sebelum saya melangkah pergi. Oleh kerana ketua saya telah mengumumkan pertukaran saya kepada pegawai-pegawai yang hadir, mahu tidak mahu, terpaksa saya sahkan juga pertukaran tersebut kepada mereka.

Perasaan saya bercampur aduk akhir-akhir ini. Ya, waktu untuk saya beralih ke persekitaran baru semakin hampir. Saya anggap pertukaran yang akan dilalui kelak merupakan salah satu anjakan dalam fasa kehidupan yang perlu saya lalui. Teringat saya kepada fasa-fasa kehidupan yang telah saya lalui sepanjang kehidupan ini. Saya mula memasuki sekolah berasrama penuh seawal usia 13 tahun, kemudian melanjutkan pelajaran di MRSM Muar pada usia 16 tahun dan seterusnya memasuki menara gading pada usia 18 tahun. Pada tahun 2003 pula, mula memasuki alam pekerjaan sehingga sekarang. Setiap satu fasa yang telah dilalui diiringi oleh debaran kerana bakal melalui alam yang berbeza. Segala-galanya yang selama ini mengelilingi diri saya akan berubah. Namun Alhamdulillah, fasa-fasa itu berjaya saya harungi dengan baik meskipun dipenuhi dengan pahit manis yang menambah rencah perjalanan kehidupan. Malah saya benar-benar menghargai dan bersyukur dengan setiap fasa yang telah saya lalui selama ini yang menjadikan diri saya seperti hari ini. Saya kini semakin bersedia untuk melalui fasa-fasa lain yang mendatang dengan hati terbuka. InsyaAllah.

No comments: