Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, July 29, 2010

Gotong-Royong

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya tidak mendengar perkataan gotong-royong. Perkataan ini sangat kerap saya dengar sewaktu berada di alam persekolahan terutama peringkat rendah dan menengah. Di peringkat rendah, gotong-royong selalunya akan diadakan beberapa hari sebelum tamat sesi persekolahan dan juga beberapa hari sebelum sesi persekolahan dibuka. Guru akan berpesan kepada kami agar membawa sehelai tuala 'Good Morning' untuk digunakan semasa sesi gotong-royong. Kami begitu seronok melakukannnya dan seringkali akan berakhir dengan aktiviti bermain buih. Kami tidak menghiraukan keadaan kami pada waktu itu sama ada comot atau kotor asalkan kami dapat membersihkan kelas kami dan yang pasti, kami melakukannya dengan hati yang senang dan gembira. Segala-galanya cukup indah kerana yang penting kami dapat bersama kawan-kawan. Sekolah menjadi satu taman permainan yang cukup luas buat kami dan pada masa yang sama menjadi gedung ilmu yang menjadikan kami berjaya pada hari ini. Waktu itu, saya ada beberapa orang teman yang cukup akrab dan menjadi rakan kumpulan belajar terutama menjelang peperiksaan UPSR. Walaupun kami anak kampung, kami berjaya membuktikan bahawa dengan iltizam, usaha dan kesungguhan yang tak kenal putus asa, kami berjaya meraih keputusan 4A dalam UPSR. Saban hari dan saban waktu, kami bermain dan pada masa yang sama, gigih menuntut ilmu. Sahabat-sahabat saya pada waktu itu yang masih segar dalam ingatan adalah Fatima, Huda, Jamaliah dan Norimiyani. Saya amat bersyukur ditemukan dengan kawan-kawan yang cintakan ilmu kerana saya percaya pengaruh rakan sebaya amat besar dalam kehidupan seseorang pelajar.

Di peringkat menengah pula, sama ada sewaktu bersekolah di SMAASZA atau MRSM Muar, aktiviti gotong-royong sudah menjadi satu perkara sinonim memandangkan saya tinggal di asrama. Malah ini merupakan aktiviti wajib pada hujung minggu. Pada hari beginilah, kami akan melakukan aktiviti pembersihan dorm dan juga tandas berdekatan. Walaupun pada awalnya, kami sedikit memberontak kerana merasakan aktiviti tersebut mengganggu waktu belajar kami, kini saya sedar, pembentukan sahsiah bukan hanya dari segi akademik sahaja tetapi juga dari segi amalan kehidupan. Malah Islam juga telah mengingatkan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Saya kira didikan yang saya terima di asrama dengan segala macam peraturan yang kekadang cukup merimaskan itulah yang membentuk diri saya pada hari ini. Jiwa remaja secara lumrahnya inginkan kebebasan namun hakikatnya dalam usia yang begitu mentah, kebebasan tanpa had mungkin akan menyebabkan remaja terbabas dari landasan kehidupan. Lantas peranan peraturan dan segala macam peringatan oleh para guru serta warden merupakan pagar-pagar yang menjadi penghalang remaja tergelincir dari landasan kehidupan. Bagi saya yang tinggal di asrama seawal usia 13 tahun, saya begitu menghargai didikan yang saya terima sepanjang tempoh tersebut.

Hari terakhir di pejabat, 29 Julai 2010, saya isi dengan aktiviti gotong-royong kerana tempat kami akan dinilai untuk pensijilan 5S. Lantas kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan saya serta beberapa orang rakan lagi ditugaskan untuk meng'5S'kan bilik mesyuarat. Seronok juga sekali sekala datang ke pejabat dengan berpakaian sukan dan kemudian bekerjasama mengemaskan ruang kerja. Waktu tengah hari pula diadakan sedikit acara jamuan bagi meraikan saya sendiri yang bakal bertukar ke tempat kerja lain, pegawai yang mendapat cahayamata pertama dan pegawai yang baru melangsungkan perkahwinan. Saya tidak tahu apa yang patut saya rasa kerana sedikit sebanyak terkesan juga dengan situasi itu. Manakan tidak, di sini tempat saya mengenal jerih payah menjadi seorang pegawai dan di sini juga tempat saya mengenal mana kawan dan mana lawan. Namun saya tidak menyimpan dendam. Saya anggap itu semua pengalaman dalam mengharungi sebuah kehidupan. Perjalanan yang perlu dilalui masih jauh.

Saya berdoa semoga ukhuwwah yang sedia terjalin akan terus berpanjangan dan juga semoga perjalanan saya di tempat baru akan dipermudahkanNya.

Saya Tidak Mahu Menjadi Kayu Mati

WHY EMPLOYEES LEAVE ORGANISATIONS ? - Azim Premji, CEO- Wipro

Every company faces the problem of people leaving the company for better pay or profile.

Early this year, Mark, a senior software designer, got an offer from a prestigious international firm to work in its India operations developing specialized software. He was thrilled by the offer.

He had heard a lot about the CEO. The salary was great. The company had all the right systems in place employee-friendly human resources (HR) policies, a spanking new office,and the very best technology,even a canteen that served superb food.

Twice Mark was sent abroad for training. 'My learning curve is the sharpest it's ever been,' he said soon after he joined.

Last week, less than eight months after he joined, Mark walked out of the job.

Why did this talented employee leave ?

Arun quit for the same reason that drives many good people away.

The answer lies in one of the largest studies undertaken by the Gallup Organization. The study surveyed over a million employees and 80,000 managers and was published in a book called 'First Break All The Rules'. It came up with this surprising finding:

If you're losing good people, look to their immediate boss .Immediate boss is the reason people stay and thrive in an organization. And he 's the reason why people leave. When people leave they take knowledge,experienc e and contacts with them, straight to the competition.

'People leave managers not companies,' write the authors Marcus Buckingham and Curt Coffman.

Mostly manager drives people away?

HR experts say that of all the abuses, employees find humiliation the most intolerable. The first time, an employee may not leave,but a thought has been planted. The second time, that thought gets strengthened. The third time, he looks for another job.

When people cannot retort openly in anger, they do so by passive aggression. By digging their heels in and slowing down. By doing only what they are told to do and no more.. By omitting to give the boss crucial information. Dev says: 'If you work for a jerk, you basically want to get him into trouble. You don 't have your heart and soul in the job.'

Different managers can stress out employees in different ways - by being too controlling, too suspicious,too pushy, too critical, but they forget that workers are not fixed assets, they are free agents. When this goes on too long, an employee will quit - often over a trivial issue.

Talented men leave. Dead wood doesn't.

Monday, July 26, 2010

Rayuan

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, saya baru selesai bersahur bersama adik-adik kerana kami merancang untuk berpuasa pada hari ini. Pertamanya, sudah tentu sebagai persediaan untuk menempuh Ramadhan Al-Mubarak kelak di samping meraih fadilat Syaaban. Keduanya, sebagai menggantikan puasa yang ditinggalkan pada Ramadhan tahun lepas walaupun saya cukup yakin telah menggantikannya seawal bulan Syawal. Demi untuk mengelakkan kekeliruan, saya teruskan juga niat puasa ganti dan jika keyakinan saya benar, saya niatkan menjadi puasa sunat Syaaban. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Kedatangan Ramadhan memberikan 1000 satu makna buat saya dan adik-adik. Pejam celik, ini merupakan tahun kedua kami berpuasa bersama di bawah satu bumbung. Tahun lepas, beberapa hari menjelang Ramadhan, kami bertungkus lumus mencari rumah dan kemudiannya mencurah keringat mengangkut barangan masing-masing ke rumah baru. Kami mulakan Ramadhan di rumah baru dan sempat menunaikan solat Tarawih bersama-sama di surau berhampiran.

Kini, Ramadhan 1431H kian mendekat. Doa saya semoga kami diberi kesempatan oleh-Nya pada tahun ini untuk bertemu dengan Ramadhan Al-Mubarak dan dapat menimba sebanyak mungkin fadilat di dalamnya terutamanya bertemu dengan malam Lailatul Qadar.

Benar, masa itu umpama mata pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita. Terasa baru semalam saya meninggalkan Ramadhan dan kini ia menjelma lagi. Bukan kedatangan Ramadhan itu yang saya pelikkan tetapi kepantasan masa berlalu yang saya kisahkan. Usia semakin menginjak pergi sedang amal masih di tangga yang sama. Malah apakah amalan yang selama ini diperlakukan telah diterimaNya? Apakah baki sisa usia akan mampu menampung kelompongan yang ditinggalkan selama ini? Astaghfirullahala’zim.

“Ya Allah, Kau berikanlah ruang waktu kepada kami untuk melakukan amalan yang diredhai dan diterima oleh-Mu. Kau perkukuhkanlah ikatan mawaddah wa rahmah di dalam hati kami dan Kau kembang suburkanlah ia dengan baja keimanan. Berikanlah kami kesempatan umur untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan mendatang Ya Allah, agar kami dapat memanfaatkannya dengan amalan-amalan yang dapat menyelamatkan kami kelak. Janganlah Kau jadikan kami di kalangan orang-orang yang rugi di dunia ini dan di akhirat kelak. Berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan juga di akhirat. Jadikanlah setiap detik dan saat kehidupan kami ini satu ibadah yang diterima oleh-Mu Ya Allah, Ya Rabbal A’lamin.”

Itu rayuan saya. Amin.

Tuesday, July 20, 2010

Detik Itu

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya baru sahaja selesai membentangkan program terakhir yang melibatkan seksyen sendiri. Alhamdulillah, semua berjalan lancar seperti dirancang dan masa yang diambil tidak melebihi setengah jam. Mulanya saya merancang untuk merahsiakan terlebih dahulu soal pertukaran saya kepada wakil-wakil jabatan memandangkan saya masih mempunyai tempoh sehingga akhir bulan. Dibimbangi sebaran awal akan menyebabkan saya hilang semangat untuk meneruskan saki-baki urusan yang masih tertunggak. Malah saya sudah merancang untuk berkampung di pejabat pada hujung minggu bersama anak-anak buah untuk menyelesaikan segala urusan utama sebelum saya melangkah pergi. Oleh kerana ketua saya telah mengumumkan pertukaran saya kepada pegawai-pegawai yang hadir, mahu tidak mahu, terpaksa saya sahkan juga pertukaran tersebut kepada mereka.

Perasaan saya bercampur aduk akhir-akhir ini. Ya, waktu untuk saya beralih ke persekitaran baru semakin hampir. Saya anggap pertukaran yang akan dilalui kelak merupakan salah satu anjakan dalam fasa kehidupan yang perlu saya lalui. Teringat saya kepada fasa-fasa kehidupan yang telah saya lalui sepanjang kehidupan ini. Saya mula memasuki sekolah berasrama penuh seawal usia 13 tahun, kemudian melanjutkan pelajaran di MRSM Muar pada usia 16 tahun dan seterusnya memasuki menara gading pada usia 18 tahun. Pada tahun 2003 pula, mula memasuki alam pekerjaan sehingga sekarang. Setiap satu fasa yang telah dilalui diiringi oleh debaran kerana bakal melalui alam yang berbeza. Segala-galanya yang selama ini mengelilingi diri saya akan berubah. Namun Alhamdulillah, fasa-fasa itu berjaya saya harungi dengan baik meskipun dipenuhi dengan pahit manis yang menambah rencah perjalanan kehidupan. Malah saya benar-benar menghargai dan bersyukur dengan setiap fasa yang telah saya lalui selama ini yang menjadikan diri saya seperti hari ini. Saya kini semakin bersedia untuk melalui fasa-fasa lain yang mendatang dengan hati terbuka. InsyaAllah.

Monday, July 19, 2010

Dunia Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya melapor diri ke pejabat baru walaupun hakikatnya saya diarahkan untuk menangguhkan pertukaran selama 2 minggu. InsyaAllah saya akan memulakan tugasan baru bermula 2 Ogos. Terus terang saya cukup teruja untuk mempelajari perkara baru setelah sekian lama mencurah bakti di tempat sekarang. Pejam celik pejam celik tidak sedar 5 tahun saya di situ. Begitu cepat masa berlalu. Pelbagai reaksi saya terima daripada rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertukaran saya. Sedih juga terpaksa meninggalkan anak-anak buah yang setia memberikan sokongan selama ini tetapi kehidupan mesti diteruskan. Saya doakan semoga mereka akan mendapat ketua yang jauh lebih baik daripada saya. Saya telah cuba melakukan yang terbaik selama bersama mereka agar kami merasa sebagai satu pasukan dan dapat melaksanakan tugasan dengan seikhlas mungkin. Meski sukar pada mulanya tetapi Alhamdulillah saya dapat merasakan perasaan kekeluargaan wujud antara kami.

Sedih juga untuk meninggalkan teman-teman seperjuangan yang selama ini menjadi penyokong dan penguat semangat apabila melalui saat-saat sukar. Kehadiran mereka membuatkan saya kuat untuk meneruskan perjuangan. Meski saya tidak akan bersama mereka lagi, saya berdoa semoga ukhuwwah yang telah terjalin bersama kami akan terus berpanjangan.

Kedengaran juga di telinga saya komen-komen tentang pertukaran saya. Ada yang baik dan ada yang kurang baik. Saya lebih suka memandang kepada yang positif. Lucu pula apabila saya dimaklumkan oleh seorang rakan tentang luahan ketua saya bahawa pertukaran saya akan menjejaskan prestasi bahagian sekarang. Dari satu segi, saya merasa gembira kerana itu bermakna tungkus-lumus saya selama ini mula dihargai dan kehilangan saya akan menyebabkan ia lebih dirasai. Setidak-tidaknya ketua saya sedar sumbangan saya selama ini yang sering dianggap kurang penting. Apapun, saya anggap setiap anggapan beliau sebagai cabaran untuk saya melakukan yang lebih baik.

Saya sering percaya tidak ada tugasan yang tidak penting atau kurang penting dalam sesuatu organisasi. Saya tetap mempercayai setiap unit atau seksyen mempunyai peranan dan fungsi masing-masing dan menjadi penyokong kepada unit-unit yang lain. Tiada istilah tidak penting atau kurang penting kerana setiap satu menjadi penyokong kepada yang lain. Ketiadaan atau kegagalan fungsi sesuatu unit akan merencatkan perjalanan seluruh organisasi. Namun saya juga percaya bahawa yang menentukan sesuatu tugasan itu penting atau tidak adalah diri saya sendiri. Pihak luar boleh memberi pelbagai persepsi tetapi selagi kita mengambil serius dan bersungguh-sungguh melakukannya, atau dalam erti kata lain, istiqamah, insyaAllah kebenaran akan terserlah.

Saya kini di Tanjung Malim melunaskan tanggungjawab terakhir sebagai ketua seksyen. Tidak tergamak rasanya melepaskan kepada anak-anak buah terkontang kanting menghadirinya. Setidak-tidaknya saya hadir untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihak jabatan.

Meskipun saya berdebar dan sedih untuk meninggalkan dunia selesa yang telah saya lalui selama 5 tahun, saya juga positif dengan dunia baru yang bakal didepani kelak.

Friday, July 16, 2010

Kenari Sudah Terbang

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Dia telah mengaturkan segala-galanya dengan teratur. Hanya kita sebagai manusia yang sentiasa tertanya-tanya dan tercari-cari arah dalam hidup ini. Itulah kuasa percaya kepada Qada’ dan Qadar. Dalam saya buntu memikirkan perjalanan karier yang akan beralih arah tidak lama lagi, Allah memudahkan laluan saya untuk melepaskan Kenari yang telah saya beli pada tahun 2006. Asalnya kereta itu saya serahkan kepada adik lelaki bongsu saya dan hanya disambung bayar tetapi apabila adik saya sudah mempunyai perancangan sendiri, saya terpaksa melepaskannya kepada orang lain. Saya sangka proses penjualan akan memakan masa juga sebelum ada yang berminat tapi ternyata perancanganNya cukup sistematik.

Segala-galanya bermula apabila saya mengiklankan Kenari dalam laman mudah.my. Beberapa hari pertama, ada 2 orang lelaki yang menelefon dan menyatakan minat untuk membelinya tetapi oleh kerana kaedah pembelian yang ingin dibuat agak cerewet, saya KIV dulu permintaan mereka. Salah seorang dari mereka ingin menjelaskan bayaran secara separuh tunai dan separuh pinjaman. Kaedah yang tidak mustahil untuk dibuat tetapi agak sukar dan cerewet. Manakala salah seorang lagi pula ingin tawar menawar ke paras harga yang sangat rendah. Harga yang saya iklankan sebenarnya adalah baki jumlah pinjaman yang masih ada di bank. Hasrat saya cuma untuk mendapatkan pembeli yang sanggup menjelaskan jumlah tersebut. Sebelum ini saya pernah bertanya kepada beberapa kedai kereta terpakai tentang harga yang boleh diambil jika saya menolaknya kepada mereka. Ternyata harga yang ingin diambil terlalu rendah dan saya perlu menambah sejumlah wang pula kepada pihak bank sedangkan jika dilihat kepada harga pasaran masih tinggi.

Beberapa hari selepas itu, ada seorang pemanggil bernama Alan menghubungi saya menyatakan minat untuk membeli kereta saya. Menurut Alan, sudah hampir 6 bulan dia merisik-risik untuk membeli kereta bagi kegunaan isteri beliau. Beliau terus tergerak untuk menghubungi saya apabila terlihat iklan yang saya paparkan tersebut. Lalu kami berjanji untuk bertemu pada hari Ahad untuk membolehkan beliau melihat sendiri keadaan kereta saya. Antara faktor yang membuatkan beliau tergerak untuk menghubungi saya adalah apabila membaca kenyataan saya dalam iklan tersebut iaitu ‘lady driver owner, accident-free and follow scheduled service’.

Seperti dijanjikan, kami bertemu pada hari Ahad dan beliau datang bersama isteri untuk memandu uji dan melihat sendiri keadaan kereta. Saya tunjukkan kepada mereka bukti resit-resit yang saya simpan selama ini iaitu sejak saya membeli kereta tersebut sehingga sekarang. Saya memang seorang yang cukup cerewet dalam penyimpanan dokumen. Namun ternyata kecerewetan saya tersebut membawa kebaikan kerana antara faktor yang mendorong Alan dan isteri (Thida) untuk membeli kereta saya adalah apabila melihat setiap kata-kata saya disokong oleh dokumen dan bukannya hanya bercakap kosong. Alhamdulillah, Alan dan Thida bersetuju untuk membeli kereta saya pada hari yang sama malah sanggup membayar deposit pada masa itu juga. Saya katakan kepada mereka bahawa saya bukan ingin berurusniaga sebaliknya hanya berhasrat melunaskan jumlah baki pinjaman yang masih ada di bank. Justeru, saya minta agar bayaran dibuat terus kepada bank dan bukan kepada saya. Mulanya mereka agak risau jika saya akan menjual kereta saya kepada orang lain pula jika saya tidak mengambil deposit daripada mereka. Namun saya katakan kepada mereka bahawa saya mempercayai mereka dan jumlah yang perlu mereka jelaskan tidak melebihi baki pinjaman di bank. Saya berjanji untuk mendapatkan penyata penjelasan daripada pihak bank pada keesokkan harinya dan memaklumkan kepada mereka dengan kadar segera memandangkan saya akan bertukar tempat kerja pada minggu hadapan. Saya berhajat untuk menyelesaikan segala urusan berkaitan penjualan kereta pada minggu ini juga.

Seperti dijanjikan, pada pagi Isnin saya mencuri masa ke bank untuk mendapatkan penyata yang secara kebetulan telah saya pohon pada minggu lepas. Saya telah diminta untuk menjelaskan caj perkhidmatan sebanyak RM50 oleh pihak bank. Mulanya saya agak terkejut juga apabila dikenakan bayaran tetapi untuk mempercepatkan proses, saya turutkan sahaja. Sebaik menerima penyata berkenaan, saya ingin menelitinya terlebih dahulu tetapi digesa oleh kakitangan bank tersebut agar segera menandatangan dokumen tersebut sebagai bukti penerimaan. Memang silap saya kerana tidak meneliti dokumen tersebut dengan sebaik mungkin sebelum beredar walaupun saya agak terkejut kerana jumlah yang diberikan jauh lebih rendah daripada jumlah yang saya jangkakan. Apapun, saya gembira kerana tidak perlu mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada Alan dan Thida. Dengan segera, saya maklumkan kepada mereka tentang jumlah yang perlu dilunaskan dan berharap mereka dapat menyediakan bayaran kerana mereka berhasrat menjelaskannya secara tunai.

Keesokkan harinya, saya menghubungi pihak bank untuk bertanyakan prosedur pembayaran termudah yang boleh dibuat agar urusan dapat diselesaikan pada minggu ini juga. Apabila diminta memberikan nombor akaun berkenaan, pegawai bank tersebut dengan nada yang agak tinggi telah berkata kepada saya,

“Eh, salah nombor akaun tu. Itu nombor pinjaman peribadi bukan kenderaan.”

Saya amat terperanjat mendengar kata-kata pegawai tersebut dan bertanya kembali untuk kepastian,

“Awak biar betul. Penyata ini bank yang berikan kepada saya semalam,” saya menyuarakan ketidak puasan hati dengan kata-kata pegawai tersebut.

“Betul. Yang itu nombor akaun pinjaman peribadi. Silap tu,” kata pegawai bank itu lagi dengan nada bersahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Awak jangan main-main. Kan saya mohon jumlah untuk pinjaman kenderaan. Cuba tengok balik surat permohonan saya sebelum ini malah saya masih simpan rujukan tarikh dan masa saya faks kepada bank,” tegas saya.

“Kalau salah, datang bank, kita bagi yang betul,” ujar pegawai tersebut dalam nada acuh tak acuh.

“Lagi satu, saya ada hantar permohonan untuk meminjam geran kereta kerana saya perlukannya untuk pemeriksaan PUSPAKOM,” tanya saya lagi.

“Untuk tujuan apa ye?” balas pegawai tersebut dengan nada yang agak menyakitkan hati juga.

“Saya nak jual kereta tu. Jadi saya perlu dapatkan sijil PUSPAKOM untuk urusan tukar hakmilik di JPJ nanti,” terang saya dengan nada yang geram tetapi masih dikawal.

“Oh, tak boleh. Awak kena jelaskan dulu bayaran pinjaman, lepas tu baru bank akan serahkan geran asal beserta surat pelepasan pinjaman,” jawab pegawai tersebut dengan acuh tak acuh.

“Tapi sebelum ini, kenapa untuk urusan pertukaran nombor pendaftaran kenderaan, saya dibenarkan untuk pinjam?” soal saya dengan perasaan tidak puas hati.

“Oh, tu kisah lain. Untuk tukar milik, memang kena jelaskan bayaran dulu,” jawab beliau.

Memang saya panas mendengar kata-kata beliau. Bengang pun ada dengan sikap acuh tak acuh yang telah menyusahkan saya kerana jumlah tersebut telah saya maklumkan kepada Alan semalam. Saya jadi serba salah memikirkan bagaimana ingin menerangkannya kepada Alan semula tentang perubahan jumlah tersebut. Saya nekad. Pihak bank harus bertanggungjawab dan menerangkan kepada Alan apa sebenarnya yang telah berlaku dan punca kesilapannya. Saya capai gagang dan minta disambungkan kepada pengurus bank. Saat itu saya memang cukup panas dan bengang lalu saya hamburkan kemarahan saya itu kepada pengurus bank kerana kecuaian pegawai beliau telah menyulitkan keadaan saya dan saya minta beliau untuk menerangkannya kepada Alan kerana kami berjanji untuk bertemu pada waktu tengah hari bagi membincangkan cara pembayaran dan saya perlu mendapatkan salinan asal geran kereta untuk tujuan pemeriksaan PUSPAKOM.

Tiba di bank, saya terus meminta untuk berjumpa dengan pengurus bank sebelum Alan tiba. Di situ saya tunjukkan segala bukti dokumen permohonan saya sebelum ini dan kesilapan yang telah dilakukan oleh pegawai beliau. Saya minta agar beliau sendiri menerangkan kepada Alan tentang kesilapan yang telah berlaku kerana tidak mahu dianggap menipu atau mempermain-mainkan mereka. Mujurlah Alan memahami keadaan yang berlaku dan bersetuju untuk meneruskan urusan pembelian. Lega rasanya. Pada masa yang sama, saya ajukan pertanyaan kepada pengurus bank sama ada saya boleh meminjam geran asal kereta untuk urusan di PUSPAKOM. Saya maklumkan juga tentang perbualan antara saya dan pegawai beliau sebelum ini. Ternyata urusan menjadi lebih mudah apabila dicampur tangan oleh pengurus. Kerenah birokrasi. Itu yang saya boleh rumuskan dan kesungguhan untuk membantu pelanggan tidak wujud dalam diri pegawai tersebut menyebabkan kerja yang mudah menjadi sukar sehingga mengusutkan keadaan. Memandangkan terlalu banyak masa yang terpaksa dihabiskan di bank, saya terus memohon diberi cuti pada hari tersebut dan esok bagi menyelesaikan urusan di PUSPAKOM.

Seawal jam 8 pagi hari Rabu, saya sudah beratur menunggu giliran di PUSPAKOM Wangsa Maju. Hanya saya seorang sahaja wanita yang wujud di tengah-tengah kaum lelaki di situ. Saya tidak berasa janggal lagi seperti kali pertama saya ke situ sebelum ini bagi urusan pertukaran nombor plet kereta. Saya ikuti setiap arahan yang diberikan dan Alhamdulillah urusan pemeriksaan selesai dalam masa 1 jam sahaja. Saya terus menuju ke pejabat untuk bertemu dengan anak-anak buah kerana kami telah berjanji untuk makan tengah hari di sebuah restoran di situ.

(Sijil Pemeriksaan PUSPAKOM)


Pada hari Khamis, saya hubungi bank memaklumkan yang kami akan hadir pada pagi Jumaat untuk menjelaskan bayaran dan mendapatkan surat pelepasan pinjaman dan merancang untuk terus ke JPJ terdekat untuk urusan tukar hakmilik. Pihak bank berjanji akan menyediakan surat tersebut lebih awal dan akan diserahkan sebaik selesai urusan pembayaran.

Seperti dijanjikan, saya dan Alan serta Thida bertemu di bank untuk menyelesaikan urusan pembayaran dan dari situ kami akan ke JPJ Cawangan Bangi. Kami merupakan pelanggan pertama yang tiba di bank. Namun sekali lagi bank telah melakukan kesilapan apabila mencetak no plet lama pada surat pelepasan menyebabkan sistem tidak mengesan kewujudan kereta saya dalam sistem e-hakmilik. Satu kesilapan yang hanya menambah luka sedia ada dan berpunca dari kecuaian juga. Saya telah pun menyerahkan dokumen memaklumkan pertukaran no plet kereta pada bulan Mac yang lalu dan sehingga kini masih belum dikemaskini sehingga menimbulkan kesukaran kepada saya untuk menyempurnakan urusan seterusnya. Mujurlah saya masih menyimpan makluman penerimaan oleh pihak bank terhadap penyerahan tersebut sebelum ini dan sekali lagi saya mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan kecuaian di pihak mereka. Memang saya cukup kecewa dengan keadaan yang berlaku kerana kami terpaksa berulang-alik mendapatkan dokumen yang sama sedangkan kesilapan berpunca daripada pihak bank. Rasa tidak berbaloi membayar RM50 untuk mendapatkan penyata sebelum ini. Wajar rasanya pelanggan menuntut kembali bayaran yang telah dikenakan oleh pihak bank kerana layanan yang diterima tidak seperti diharapkan. Kali terakhir saya ke bank mendapatkan dokumen yang telah diperbetulkan, mereka sudah sedia menunggu dengan dokumen yang betul membuatkan saya sudah tidak terdaya untuk merasa marah. Saya turutkan sahaja asalkan urusan dapat diselesaikan.

Akhirnya, selepas beberapa kali berulang-alik dan beberapa hari menguruskannya, Kenari kini menjadi milik Alan dan Thida. Saya akui mereka pasangan yang baik dan apa yang membuatkan saya terharu adalah apabila mereka mengatakan bahawa mereka mempercayai saya dan saya tidak kelihatan seperti seorang yang ingin mempermainkan mereka. Saya cukup menghargai kata-kata mereka dan gembira dapat menjual kereta saya kepada mereka. Melihat keikhlasan mereka mempercayai saya, saya usahakan agar kereta berada dalam keadaan baik sebelum saya serahkan kepada mereka berdua. Beberapa ratus ringgit wang saya melayang tetapi lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa ribu kerugian yang perlu ditanggung jika saya menjualnya kepada kedai kereta terpakai.

(pemilik baru - Thida)

Satu perkara yang saya pelajari bersama mereka adalah praktikal kepada apa yang selama ini saya percayai iaitu apa yang kita berikan kepada seseorang, itulah yang akan kita perolehi. Sebagaimana saya memberikan kepercayaan kepada Alan dan Thida, begitulah juga yang saya terima daripada mereka. Beberapa hari bersama mereka berdua, melalui pelbagai kerenah pihak bank dengan sabar malah banyak kali Alan membantu merungkaikan kekusutan yang kami hadapi, membuatkan saya insaf bahawa kehadiran mereka adalah dengan izinNya jua. Saya tidak pernah mengenali mereka tetapi Allah ketemukan kami dalam satu urusan dan mereka menjadi penyelamat kepada beban hutang yang saya tanggung sebelum ini. Benarlah kata-kata yang pernah saya dengar dan baca sebelum ini, ‘people comes into our life for a reason.’

Tuesday, July 6, 2010

Motivasi

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini tahap motivasi kerja saya agak merudum. Kecewa juga tetapi tanggungjawab tetap dilaksanakan kerana mengenangkan gaji tetap dibayar. Ada beberapa sebab utama yang saya menyebabkan saya merasa begini tetapi saya pasti punca utama adalah kerana saya amat-amat memerlukan perubahan. Perubahan dari segala sudut. Segala-galanya tentang kerja kini menjadi agak lesu dan lemau. Sasaran saya adalah untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan mempelajari perkara baru setiap tempoh 5 tahun. Kini, saya berada di tahun kelima di tempat kerja saya sekarang membuatkan saya meronta-ronta mendambakan sebuah perubahan. Saya bimbang akan menjadi beku dan kaku jika terus berada dalam situasi yang sama berterusan.

Baru-baru ini apabila pusingan kerja dibuat, saya tidak terlibat dalam proses tersebut. Pada awalnya saya tidak begitu kisah tetapi apabila ketua saya sering membangkitkan objektif proses tersebut dibuat adalah untuk memberi pendedahan kepada setiap ketua seksyen untuk mempelajari perkara baru, hati saya sedikit terkesan dan satu persoalan timbul mencari sebab saya tidak dilibatkan sekali. Meskipun berkali-kali saya cuba memaksa diri menerima hakikat keputusan yang telah dibuat, ada satu tanda tanya yang belum terjawab dalam diri saya yang membuatkan saya agak keliru. Namun saya tidak akan bertanya kepada ketua saya sebagai menghormati keputusan beliau.

Pun begitu, tanda tanya tersebut kian membesar dalam diri saya sehingga menyebabkan saya merasa hilang fokus terhadap kerja dan menggugat tahap motivasi diri. Pelbagai andaian dan persoalan yang tiada jawapannya bermain-main dalam benak saya. Percubaan mempositifkan diri dengan keputusan yang dibuat hanya berkesan pada peringkat awal sahaja. Kini, saya keliru dan paling membimbangkan apabila ia seolah-olah memberi kesan terhadap prestasi kerja saya. Jauh di sudut hati, saya menginginkan perubahan meskipun saya akui amat menghargai segala-galanya yang saya miliki sekarang. Sesungguhnya kehidupan ini dinamik. Sepertimana alam berputar dan berpusing tanpa henti sehingga ke saat yang ditentukanNya, begitulah juga dengan kehidupan ini. Walau sesayang mana pun saya terhadap sesuatu perkara, tiba saatnya saya harus berani melangkah untuk meninggalkannya. Bukan melupakan, jauh sekali membenci tetapi itulah erti sebuah kehidupan. Saya akui berasa selesa dengan tugasan sekarang malah banyak yang saya pelajari dalam tempoh ini tetapi apabila terlalu lama melakukannya, timbul perasaan bosan dan keinginan untuk mencari perkara baru.

Saya amat-amat menghargai tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya malah sanggup mengorbankan masa untuk menunaikannya. Saya masih ingat di awal-awal lantikan, saya sering pulang lewat malam (selalunya selepas solat Isyak) untuk memastikan setiap persiapan dan perancangan berjalan lancar. Saya banyak belajar bagaimana untuk berurusan dengan pihak luar dan juga jabatan-jabatan yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian. Segalanya adalah pengalaman yang cukup berharga dan mematangkan saya dalam mengenal sepak terajang berada dalam dunia pekerjaan. Malah di sini, saya diberi peluang mengasah bakat dan kemahiran dalam pengucapan dengan seringkali dijemput menjadi penceramah kepada pegawai lantikan baru. Alhamdulillah, kini jika diminta untuk menyampaikan taklimat atau penerangan kepada sekumpulan pegawai, InsyaAllah saya berani mengatakan bahawa saya mampu untuk melakukannya.

Meskipun ramai pihak (terutama pegawai senior) yang beranggapan masih terlalu awal untuk saya dan rakan-rakan seangkatan menjawat jawatan sebagai ketua seksyen, saya beranggapan semua ini adalah ketentuanNya jua. Saya percaya bahawa Allah meletakkan seseorang hambaNya sesuai dengan keupayaan dirinya kerana Dia yang telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Justeru, manusia berhak memberi pelbagai andaian dan pendapat berdasarkan ilmu dan pengetahuan terhad yang dikurniakanNya tetapi tidak semuanya benar dan boleh diterima bulat-bulat sahaja. Malah setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Kepada diri saya dan rakan-rakan pula, tanggungjawab yang telah diberi bukan secara percuma. Ada harga yang harus dibayar bersamanya. Great power comes with great responsibilities. Itu pesan bijak pandai dan pemimpin-pemimpin terdahulu.

Cumanya sebagai jagung yang baru berputik, saya amat insaf masih ada banyak ruang penambahbaikan yang perlu saya perbaiki dan pertingkatkan dari semasa ke semasa. Berwajah serius membuatkan ada yang menyangka saya seorang yang garang (walaupun ada juga benarnya pada masa-masa tertentu), tetapi hakikatnya saya sering ‘memanjakan’ pegawai bawahan dengan cara saya tersendiri. Saya berpendapat selagi kelonggaran yang saya berikan tidak mengganggu perjalanan urusan kerja, saya tidak akan melatah dan menghukum dengan sewenang-wenangnya, jauh sekali untuk memarahi. Akan tetapi, saat kelonggaran yang diberikan mula disalah tafsirkan oleh mereka, saya menjadi jauh hati dan sedikit sedih. Mula merasakan bahawa mereka tidak menghargai ‘kemanjaan’ yang telah saya curahkan selama ini. Selalunya, saya hanya akan berdiam diri sahaja sehingga kemarahan saya mereda kerana sebolehnya saya mengelak untuk menegur dalam emosi. Bimbang kata-kata yang terlafaz adalah yang bakal disesali. Apapun, mereka harus ditegur agar kesilapan yang sama tidak berulang malah saya berdosa jika tidak berbuat demikian kerana mereka berada di bawah tanggungjawab saya. Apa jua tingkah yang dipertontonkan oleh mereka, saya anggap mewakilkan saya sebagai ketua mereka.

Teringat pesan ketua saya, there is no bad soldier under a good general. Saya akui begitu terkesan dengan kata-kata itu dan menyebabkan saya begitu ‘melindungi’ pegawai bawahan saya. Prinsip saya, selagi mana sesuatu perkara itu mampu saya tangani sendiri tanpa melibatkan ketua saya dan tidak mengganggu urusan kerja, akan sedaya upaya saya uruskannya sendiri. Sehingga saat dan detik ini, saya berani mengatakan bahawa saya tidak pernah memburuk-burukkan pegawai bawahan saya di hadapan ketua saya sendiri. Anggapan saya, memburuk-burukkan mereka samalah seperti saya membuka pekung di dada. Sama seperti saya memburuk-burukkan diri sendiri juga. Justeru, saya sedaya mungkin akan cuba ‘melindungi’ mereka selagi mana mereka juga tidak melampaui batas yang sepatutnya. Saat mereka melepasi batas itu, saya tidak akan lagi mampu ‘melindungi’ mereka dan mereka seharusnya bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dibuat. Alhamdulillah, perkara itu masih belum pernah berlaku dan saya berharap ia tidak akan menimpa saya pada masa hadapan. Jika ada pun kekhilafan yang dilakukan, ia masih berada dalam ruang lingkup yang boleh dimaafkan dan saya anggap mereka sedang melalui proses pembelajaran sehingga ke satu saat kesilapan bukan lagi satu kemestian.

Tiba saatnya, saya harus melangkah pergi meninggalkan mereka. Keadaan akan turut sama bagi mereka. Tiba ketikanya, mereka harus meneruskan perjalanan ke tempat baru. Namun, saya sering menginginkan agar ukhuwwah yang telah sedia terjalin dikekalkan dan tidak disia-siakan, bukan setakat kekal sebagai hubungan antara majikan dan pekerja sahaja. Jika itu berlaku, saya mungkin boleh dianggap telah gagal memainkan peranan sebagai seorang ketua.

Apa pun yang saya lakukan, saya tetap insaf bahawa yang menentukannya adalah Dia jua. Saya hanya mampu melakukan apa yang terdaya sebagai seorang hambaNya. Apa jua natijah di sebalik usaha saya, sesungguhnya itulah yang selayaknya saya terima. Wallahua’lam.

Sunday, July 4, 2010

Kalumpang

Bismillahirrahmanirrahim...


Awalnya saya bercadang untuk menghabiskan masa di rumah sahaja kerana ingin menikmati saat-saat dapat berada di rumah pada hujung minggu tetapi apabila diajak oleh adik-adik untuk mandi-manda di Kalumpang Resort, saya akur. Namun saya tidak mandi kerana hanya menemani adik-adik dan saya membawa bekal 2 buah buku untuk dibaca sambil menikmati keindahan alam.

Perjalanan ke sana memakan masa 1 jam melalui lebuhraya PLUS. Walaupun agak ramai pengunjung yang turut menghabiskan hujung minggu bersama keluarga di situ, kami berjaya mendapatkan tempat letak kereta dan lokasi mandi yang sesuai.



Sungguh mendamaikan

Memang mendamaikan apabila dapat menghabiskan masa bersama keluarga walaupun pada awalnya saya agak malas untuk turut serta. Saya memahami bahawa tiada saat yang paling berharga dalam hidup ini selain dapat bersama insan-insan yang disayangi. Segala penat lelah hilang begitu sahaja. Meskipun buku yang dibawa tidak habis dikhatam, kesempatan meluangkan masa bersama keluarga tiada nilaiannya.

Sebelum pulang, kami sempat ronda-ronda Proton City kerana adik-adik saya tidak pernah memasukinya. Tiada apa yang menarik di situ selain kawasan perumahan dan kilang milik Proton. Yang pasti, kawasan tersebut dihuni oleh ramai pendatang asing yang bekerja sebagai operator di kilang Proton. Fenomena biasa melihat mereka bermain kriket untuk mengisi masa lapang sesama mereka.

Kami tiba di rumah pada jam 7.40 malam. Pasti kami ke sana lagi kerana saya masih belum berjaya membasahkan diri di sungai Kalumpang. Mungkin bersama ahli keluarga yang lain juga.

Saturday, July 3, 2010

Santai

Bismillahirrahmanirrahim...

2 orang budak menggodek kereta saya

taman herba

adam takut dinasour

adeef

gila taman

berkawan dengan alam

rusa dikata kambing huhu

jom naik lagi

kami sangat dahaga, bestnya dapat teh 'o' beng

Malam tadi saya dikejutkan dengan ketibaan ummi saya, abang ke3 dan keluarga. Saya memang tidak dimaklumkan dengan kedatangan mereka sehingga dihubungi oleh abah bertanya sama ada mereka telah tiba atau belum. Sudah tentulah saya tiada halangan dengan kedatangan mereka malah sangat gembira. Secara kebetulan, abang ke2 saya juga dalam perjalanan untuk singgah seketika di rumah kami. Tujuan kedatangan abang ke3 saya adalah untuk mendapatkan alat ganti kereta.

Pagi ini, selepas selesai urusan servis kereta di Ampang, saya membawa ummi dan 2 orang anak saudara ke Taman Tasik Perdana kerana saya telah berjanji dengan mereka pada malamnya untuk melihat kancil dan rusa. Sebelum itu, kami singgah di Klinik Homeopathy di Kg Baru untuk mendapatkan bekalan ubat abah dan ummi. Kami tiba di Tasik Perdana tepat jam 12 tengah hari. Mujurlah cuaca agak redup dan kami dapat menikmati suasana dengan tenang. Sungguh santai. Budak-budak tentulah yang paling gembira melihat taman permainan yang luas dan pelbagai sehingga saya terpaksa beberapa kali memujuk mereka untuk pulang.

Seperti dijanjikan, saya bawa mereka melawat Taman Rusa dan Kancil dan ternyata mereka sungguh teruja melihat rusa dan kancil dari dekat.

Kami pulang pada jam 2.30 petang selepas saya terpaksa beberapa kali ‘memperdaya’ kedua-dua anak saudara untuk berhenti bermain di taman permainan.

Thursday, July 1, 2010

Perasaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Bohong kalau saya katakan saya tidak gugup dan berdebar-debar semasa ditemuduga pagi tadi. Sejujurnya saya agak bimbang dengan prestasi sendiri semasa disoal dan diasak dengan pelbagai soalan oleh panel penemuduga. Mujurlah masuk bertiga dan 2 lagi rakan memberi kerjasama yang baik menyebabkan saya lebih tenang selepas beberapa ketika. Kami disoal lebih 1 jam dalam dwibahasa tetapi lebih cenderung kepada Bahasa Inggeris malah hampir 90% sebenarnya. Hanya sekali sekala panel menggunakan Bahasa Melayu apabila menyoal kami.

Entah kenapa diri terasa sungguh kosong apabila berhadapan dengan panel dan segala pembacaan sebelum memasuki bilik temuduga hilang entah ke mana. Beberapa kali saya tergagap-gagap menjawab soalan yang dikemukakan oleh panel sehingga tahap keyakinan itu semakin mendatar. Lebih mendebarkan apabila kami adalah kumpulan pertama yang ditemuduga menyebabkan kami tiada rujukan awal daripada calon-calon lain. Apa tidaknya, saya antara orang terawal yang tiba di tempat temuduga dan giliran ditentukan berdasarkan masa kehadiran. Sudahnya, saya redah jua dengan kegugupan yang menyelubungi. Amalan saya apabila berada dalam keadaan begitu, untuk mengelakkan gugup saya akan senyum dan mewujudkan hubungan mata dengan panel. Selalunya, taktik saya berjaya mengurangkan rasa gugup yang ada dalam diri dan saya menjadi lebih selesa dengan suasana tersebut. Saya merasakan apabila saya senyum (bukan sengih tapi hanya memaniskan muka sedikit), saya menjadi lebih tenang dan boleh fokus kepada soalan-soalan yang ditanya. Namun menjadi kumpulan pertama sudah pasti ada baik dan buruknya juga. Yang pasti, panel masih berada dalam mood yang segar dan sarat dengan pelbagai soalan untuk dilontarkan berbanding dengan kumpulan-kumpulan seterusnya.

Keluar dari bilik temuduga, saya hanya ketawa dan menegur sapa rakan-rakan yang belum selesai serta terus berlalu kerana tidak mahu menyemakkan lagi kepala dengan perkara yang telah berlalu. Di samping saya tidak mahu menambahkan kerisauan rakan-rakan yang masih menunggu giliran kerana setiap kumpulan sudah pasti akan melalui suasana yang berbeza. Biarlah mereka melaluinya dengan cara dan keupayaan mereka sendiri, itu fikir saya.

Saya terus menuju ke pejabat dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara panel untuk menentukan sama ada saya layak atau tidak menerima biasiswa tersebut. Apa pun keputusannya kelak, saya yakin itu yang terbaik yang telah Allah tentukan buat saya. Ada juga suara-suara kecil yang mengatakan bahawa laluan akan menjadi lebih mudah jika mempunyai kenalan di situ tetapi saya tetap dengan prinsip rezeki. Sejak dulu saya tidak pernah menggunakan sebarang saluran dalaman untuk mendapatkan sesuatu perkara dan saya amat yakin dengan ketentuan rezeki olehNya. Saya hanya mampu berusaha melakukan yang terbaik. Selebihnya saya bertawakal kepadaNya jua.