Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, June 30, 2010

Kelemahan saya

Bismillahirrahmanirrahim...

Allah telah berfirman bahawa insan/manusia adalah sebaik-baik kejadian di muka bumi ini. Allah bekalkan manusia dengan nafsu dan akal agar dapat dimanfaatkan sebaiknya. Namun begitu, hakikatnya setiap manusia adalah saling memerlukan kerana setiap dari kita ada kelebihan dan kekuatan tersendiri yang saling menyokong antara satu sama lain. Kelemahan yang dikurniakanNya itu pula bukanlah merupakan satu lambang kekurangan sebaliknya sebagai satu peringatan akan rasa kehambaaan sebagai makhluk ciptaanNya jua. Agar kita sentiasa menginsafi dan tidak mendabik dada bahawa kitalah sahaja yang serba tahu, serba sempurna dan segala-galanya kita. Alam tidak berfungsi secara sendiri. Setiap satu berkait dengan satu yang lain dan saling memerlukan. Sepertimana manusia memerlukan alam untuk meneruskan hidup, begitulah juga alam memerlukan manusia untuk membolehkannya menjalankan peranan mengikut sunnatullah.

Begitu juga dengan diri saya. Punya banyak kelemahan tersendiri yang senantiasa mendambakan teguran dan penambahbaikan pada setiap detik dan masa. Antara kelemahan saya yang sangat ketara adalah perubahan emosi yang akan secara mudah terpapar melalui wajah saya. Rasa amarah yang lahir dalam diri saya akan terpamer melalui riak wajah saya yang masam mencuka dan muka menjadi merah. Jika saya gembira, saya akan senyum (atau sengih) selebar-lebarnya dan mata saya akan bercahaya memancarkan sinar kegembiraan yang lahir dari dalam hati saya. Perkara ini bukan baru bagi saya malah sejak dari azali lagi. Sepintas lalu, saya sering dilabelkan oleh teman-teman sebagai seorang yang serius dan garang. Namun hanya insan-insan yang benar-benar mengenali diri saya akan mengetahui siapa diri saya yang sebenarnya.

Seringkali apabila saya hadir untuk menyampaikan ceramah kepada pegawai-pegawai baru, saya sering mengingatkan mereka agar meneruskan ukhuwwah yang telah sedia terjalin antara kami dengan menegur saya apabila bersua di mana-mana walaupun mungkin pada waktu itu kelihatan wajah saya dalam keadaan serius kerana saya memang dilahirkan begitu. Saya sering berlawak, kalau orang lain sebaik dilahirkan akan menangis, sebaliknya saya pula hanya diam dan menunjukkan wajah serius. Maka tegurlah saya jika bertembung dan insyaAllah saya akan menjawabnya.

Kelemahan saya ini kadang-kadang ada pro dan kontranya. Dari segi pro, ia baik untuk saya terutama apabila berurusan dengan pegawai bawahan dan berdiskusi sesuatu perkara yang penting. Keseriusan wajah saya menggambarkan kepentingan topik yang saya utarakan dan kesungguhan hasrat saya merealisasikannya. Malah ada segelintir yang berpendapat agar jangan main-main dengan saya kerana bimbang akan dimarahi oleh saya kerana kecuaian yang mungkin berlaku. Malah saya masih ingat apabila saya mula-mula melapor diri, ada suara-suara kecil yang sampai ke telinga saya bercakap mengenai keseriusan wajah saya. Kata mereka, jangan main-main jika berurusan dengan saya. Saya hanya tersenyum sendiri apabila mengenang kembali peristiwa tersebut.

Dari segi kontra pula, saya agak kurang senang apabila ada yang menganggap saya sukar untuk didekati kerana keseriusan wajah saya dan seolah-olahnya saya digambarkan seperti hanya tahu menghamburkan kemarahan sahaja. Namun begitu, segalanya saya terima dengan hati terbuka kerana saya amat insaf yang kita tidak akan mampu mengawal persepsi orang lain terhadap diri kita. Hanya manikam yang akan mengenal jauhari. Bagi saya, semua itu tidak menjadi kudis dan tidak menjejaskan kehidupan saya. Pun begitu, saya tetap menerima segala komen tersebut sebagai rujukan untuk saya bermuhasabah agar sentiasa dapat memperbaiki segala kekurangan diri yang ada. Adalah lebih baik saya fokus kepada perkara yang pasti berada di bawah kawalan saya iaitu diri sendiri daripada saya memeningkan kepala memikirkan pandangan orang lain terhadap diri saya.

Bagi yang benar-benar mengenali saya, pasti jelas pada mereka yang saya adalah seorang yang banyak cakap dan gemar melawak. Kadang-kadang ketawa sehingga keluar air mata jika saya merasakan perkara tersebut benar-benar melucukan. Ada yang menganggap saya seorang yang mudah mesra dan ada yang menganggap sebaliknya.

Teringat saya kepada kisah Lukmanulhakim dan anaknya serta seekor keldai. Ringkasnya, kita tidak akan selama-lamanya mampu untuk memuaskan hati semua orang dengan tindak-tanduk kita. Setiap perkara dalam dunia ini sangat subjektif kecuali perkara-perkara yang telah nyata lagi terang hukumnya. Contohnya, tahap kejayaan bagi setiap orang adalah berbeza-beza bergantung kepada sudut pandang dan persekitaran yang melingkungi kehidupan mereka. Seorang usahawan mendefinisikan kejayaan apabila berjaya mendapatkan projek bernilai jutaan ringgit tetapi kejayaan bagi seorang petani adalah apabila dia mampu meraih sedikit pendapatan untuk menyara keluarga. Justeru, selagi kita hidup dalam persepsi orang lain, selagi itulah hidup kita akan sentiasa berada dalam keadaan ketidakcukupan kerana cuba memenuhi ekspektasi orang lain. Selidiki dan kajilah ekspektasi dalaman dan kita akan menemui jawapannya dalam diri kita sendiri.

Saya akui sebagai manusia biasa, kadang-kadang saya tidak dapat mengelak dari dipengaruhi oleh emosi apabila diseliputi oleh pelbagai dugaan. Saya cuba sedaya-upaya untuk mengawal emosi agar tidak terkesan kepada insan-insan di sekeliling saya tetapi ada ketikanya saya tewas. Sesungguhnya saya adalah manusia ciptaanNya yang lemah. Hanya Dia jua yang Maha Sempurna. Akhir-akhir ini saya dapat merasakan Allah ingin menguji saya dengan meletakkan dalam pelbagai keadaan yang benar-benar mencabar emosi saya. Menyedari hakikat bahawa itulah harga yang harus dibayar untuk meraih sebuah kebahagiaan/kejayaan, saya tabahkan hati untuk melaluinya. Pun begitu, di kala saya gagal mengawal emosi, ada insan-insan yang turut terluka dengan tindakan di luar kawalan saya. Sememangnya saya rasa bersalah dengan keterlanjuran itu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata pasti ada hati-hati yang terluka. Untuk itu, hanya kemaafan yang mampu saya panjatkan dan dambakan agar luka yang ada tidak membarah.

Sebagai pegawai bawahan juga, saya sering berdepan dengan pertembungan pendapat dengan pihak atasan. Saya berselisih pendapat apabila agak sukar untuk menerima keputusan ketua saya menolak permohonan kelonggaran untuk tidak menempatkan pegawai bawahan saya ke pejabat lain kerana pada masa yang sama dua orang pegawai lagi akan menjalani kursus pengesahan jawatan secara serentak. Ini bermakna saya tidak akan mempunyai orang bawahan selama tempoh tersebut sedangkan ada beberapa program yang telah saya rangka untuk dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Ketiadaan mereka sudah pasti akan merencatkan perancangan saya tersebut.

Pada mulanya, saya merasakan seolah-olah ketua saya telah berlaku tidak adil terhadap saya dan tidak mengambil berat akan soal kebajikan beban kerja yang perlu ditanggung. Rasa amarah memang membuak-buak dan saya terasa seolah-olah ingin berdepan dan mendapatkan penjelasan daripada ketua saya tentang rasional di sebalik keputusan yang telah dibuat. Beberapa ketika saya hanya mendiamkan diri, mencari kepastian sama ada saya perlu berdepan dengan ketua saya atau tidak. Akhirnya saya akur. Saya pujuk diri saya agar positif dan redha dengan segala keputusan yang telah dibuat. Jika diikutkan amarah, sudah pasti saya akan melakukan tindakan yang tidak wajar dan melontarkan perkataan yang akhirnya akan saya sesali. Benar pesan orang-orang tua, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Saya memilih untuk mengikut iman dan menggunakan kewarasan akal yang dikurniakanNya. Saya memilih untuk menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan mengharapkan agar ada hikmah di sebaliknya yang akan terbit.

Mungkin Allah ingin mengajar saya erti sabar dengan menjadikan ketua saya sebagai medium. Untuk itu, saya redha dan menganggap bahawa ini merupakan cabaran buat diri saya sama ada dapat melaksanakan perancangan dengan ketiadaan pegawai bawahan. Meski perit, semuanya harus saya telan jua.

Thursday, June 24, 2010

Kembali ke KL

Bismillahirrahmanirrahim...

(Skybus, LCCT)

Alhamdulillah selamat menjejakkan kaki ke LCCT lebih kurang jam 4.45 petang. Insiden yang menimpa saya iaitu beg diambil oleh penumpang lain turut menimpa rakan saya yang menaiki penerbangan sama. Kelakar pun ada kerana sebelum itu dia mentertawakan saya kerana insiden beg dirembat di lapangan terbang Bayan Lepas. Hairan pun ada juga kenapa wanita berkenaan tidak mengenali beg sendiri.

Kini saya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki Skybus yang telah saya tempah secara online. Lebih murah berbanding harga asal iaitu RM9. Dengan tempahan online, saya mendapat harga RM6.50 sahaja. Tiba di KL Sentral, saya bercadang untuk menaiki LRT ke stesen Setiawanga. Dari situ saya akan pulang menaiki motor yang dibawa oleh adik lelaki saya. Agak risau juga sebenarnya kerana sekarang adalah waktu puncak, iaitu waktu pekerja pulang dari pejabat. Apapun, saya tawakal sahaja kerana tidak mahu menyusahkan adik saya datang menjemput di LCCT. Sekali sekala bersusah payah menaiki pengangkutan awam ada bagusnya juga. Selalu sangat berada dalam zon selesa dan mudah, saya bimbang akan lupa daratan. Nauzubillah.

Esok saya perlu ke Kuantan pula untuk urusan kerja. Malam ini segala baju-baju kotor perlu dibersihkan dan berkemas untuk ke Kuantan pula. Dalam kepala saya masih berkira-kira sama ada untuk menumpang kawan saya, Ila atau memandu sendiri ke sana. Mulanya saya bercadang untuk menumpang Ila kerana lebih jimat memandangkan kami akan menuju ke destinasi yang sama. Tetapi apabila menerima sms dari adik perempuan saya memaklumkan ada jemputan kenduri daripada jiran berdekatan rumah pada hari Ahad, saya jadi serba-salah. Bimbang akan menyusahkan Ila pula kerana saya perlu bertolak pulang awal ke KL. Tambahan pula, kalau memandu sendiri, saya boleh bergerak bebas ke mana sahaja jika memerlukan. Jika menumpang, pergerakan saya akan agak terhad walaupun saya tahu Ila juga ada tahi lalat di kaki @ kaki jalan. :)

Saya perlu memutuskannya dengan segera agar tidak menyusahkan Ila pula nanti. Menumpang @ memandu sendiri? Lagipun, sudah 4 hari saya tidak memandu selama berada di Pulau Pinang, gian pula ingin memegang stereng. Hehe.

Cadangnya pagi esok saya terus bertolak ke Kuantan dari rumah, bermakna saya tidak akan ke pejabat terlebih dahulu. Tak berbaloi rasanya ke pejabat terlebih dahulu memandangkan rumah saya sudah berada hampir dengan Gombak. Lagipun perjalanan ke Kuantan akan bakal memenatkan juga, tidak kira jika saya menumpang @ memandu sendiri. Penat melaksanakan bengkel di Pulau Pinang pun masih belum hilang kerana sudah beberapa malam tidur agak lewat. Saya perlukan rehat secukupnya kerana banyak tugasan yang menanti. 1 Julai saya perlu menghadiri temuduga melanjutkan pelajaran dan dalam masa terdekat, saya perlu menyelesaikan urusan dengan LHDN yang masih terbengkalai. Bimbang juga jika asyik bertangguh akan menimbulkan isu yang lebih besar pula.

Kuantan. Satu tempat yang cukup dekat juga di hati saya kerana di situ adalah tempat yang sering dikunjungi oleh keluarga sewaktu kecil. Ini kerana saya ada seorang bapa saudara yang menetap di situ bersama isteri dan anak-anak. Malah dikhabarkan juga, sanak-saudara di sebelah arwah nenek saya juga masih ramai di situ cuma kami tidak saling mengenali. Dari cerita yang saya dengar, sewaktu masih muda, abang kepada nenek saya itu merajuk atas alas an yang saya tidak pasti, lalu membawa diri ke Pekan, Pahang dan terus menetap serta beranak-pinak di situ. Saya lupa apa nama datuk saudara saya itu. Saya masih ingat sewaktu saya masih anak-anak, mereka ada berkunjung ke rumah arwah nenek setelah sekian lama. Namun saya sendiri tidak pernah mengenali mereka sehingga kini. Salah seorang abang saya pernah berkhidmat sebagai guru di Felda Chini, Pekan, Pahang. Ditakdirkan salah seorang ahli keluarga di sebelah datuk saudara saya itu ada melihat abang saya dan mengatakan rupa abang saya itu saling tidak tumpah seperti datuk mereka. Maka mereka mula merisik-risik daripada abang saya dan ternyata benar, air dicincang tidak akan putus. Sahih mereka adalah kaum kerabat daripada datuk saudara saya yang membawa diri berpuluh-puluh tahun yang lalu. Kuasa Allah menentukan segala-galanya. Penempatan abang saya di situ menemukan kembali darah keturunan sendiri di bumi yang disangka asing. Saya pernah dibawa oleh abang saya berkunjung ke salah sebuah rumah mereka sewaktu masih menuntut di UIA. Kini saya sendiri sudah lupa kedudukan rumah tersebut. Tambahan pula, abang saya sudah berpindah ke Johor.

Sewaktu kecil, saya memang agak rapat dengan abang kepada ummi saya malah boleh dikatakan kami sering ke sana apabila ada masa terluang. Saya masih ingat, abah sanggup menunggu kami pulang dari sekolah dengan salinan pakaian dan terus bertolak ke Kuantan menuju ke rumah pakcik saya yang kami panggil Ayah De. Kami akan bersalin pakaian sekolah kepada pakaian biasa di dalam kereta sahaja. Ini menyebabkan kami agak rapat dengan sepupu-sepupu di sebelah sana. Namun apabila masa berlalu dan kami semakin dewasa, segala-galanya berubah. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri dan tidak lagi punya masa untuk saling berkunjung. Saya sendiri sudah lupa bila kami mula berhenti mengunjungi Kuantan.

(Bas memasuki KL, jalan semakin sesak. Bicara berhenti seketika di sini...)

Wednesday, June 23, 2010

Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

(Kamar 810, Hotel Hydro, Penang)

Mengantuk. Penat. Baru kembali ke kamar peraduan usai menyediakan dokumen untuk mesyuarat pada pagi esok. Jika diikutkan, saya boleh meninggalkan sahaja tugasan tersebut kepada pegawai-pegawai saya tetapi naluri hati kecil saya tidak tergamak melakukannya. Dari dulu saya cuba melazimkan agar konsep hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah diamalkan bermula dari diri saya sendiri. Kadang-kadang simpati melihat pegawai bawahan bertungkus-lumus melaksanakan tugasan, namun jauh di sudut hati saya juga tidak menafikan rasa bangga kerana memiliki pegawai bawahan yang tidak terlalu banyak soal apabila diberi arahan. Dek kerana simpati dan tanda rasa terima kasih atas kesungguhan mereka, saya turut sama menyempurnakan persediaan untuk pagi ini.

Meskipun begitu, saya akui saya juga bukanlah seorang ketua yang sempurna. Terkadang terkesan jua dengan emosi dan permasalahan yang mendatang sehingga terlafaz perkataan dan terlaku tindakan yang mungkin mengguris hati mereka. Hal yang sama juga mungkin berlaku terhadap saya. Hati saya juga terkesan dengan tindakan mereka yang tidak berapa kena tetapi menyedari hakikat bahawa kami adalah saling melengkapi, saya cuba untuk tidak memperbesar-besarkan perkara tersebut kecuali jika saya merasakan tindakan tersebut bakal mengganggu gugat perjalanan urusan kerja. Saat itu, saya mempunyai kuasa mutlak untuk menegur dan memastikan tindakan diambil tidak menjejaskan mutu kerja kerana jika itu berlaku, saya adalah orang pertama yang akan dipertanggungjawabkan.

Risau juga jika pagi esok bangkit lewat untuk menghadiri mesyuarat namun mata ini kembali segar apabila memasuki kamar. Segala macam perkara bermain-main dalam kepala saya. Akhir-akhir ini saya sering menjadi sukar untuk membuat pilihan. Saya menjadi teragak-agak dengan keputusan yang telah dibuat malah meragukan. Begitu juga dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat Masters. Meskipun begitu, saya nekad melaluinya juga. Selebihnya saya serahkan kepadaNya untuk menentukan apa yang terbaik buat diri saya. 1 Julai ini saya perlu menghadiri temuduga untuk menentukan sama ada saya layak dianugerahkan biasiswa atau tidak. Meskipun berdebar-debar kerana bakal berdepan dengan sesuatu yang cukup asing, saya akan cuba mempersiapkan diri untuk menghadapinya dengan sebaik mungkin. Dapat atau tidak, saya serahkan kepadaNya jua.

Tuesday, June 22, 2010

Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim...

(Kamar Carnation, Hotel Hydro, Pulau Pinang)

Kesejukan bilik benar-benar mencengkam tulang-temulang saya. Beberapa kali juga saya meminta bantuan pegawai saya menurunkan suhu kerana tidak tahan dengan rasa sejuk yang keterlaluan. Semalam hujan lebat sewaktu sesi taklimat berjalan. Hari ini sesi berjalan seperti dirancang walaupun kesihatan saya agak sedikit terganggu. Malah emosi saya juga terkesan dengan ketidakuzuran itu. Bulan ini boleh dikatakan saya pulang ke kampung hampir setiap minggu iaitu 3 minggu pertama. Minggu pertama pulang untuk menjenguk kelahiran ahli baru keluarga Bakarianz (anak abang saya yang ke-3, dinamakan Muhammad Asyraaf Amin). Minggu kedua pula untuk kenduri cukur kepala Asyraaf manakala minggu ketiga untuk mengadakan perjumpaan bersama adik-beradik dan ahli keluarga yang lain sempena cuti sekolah yang akan berakhir. Pagi Isnin pula saya bertolak ke LCCT Sepang untuk menaiki penerbangan AA ke Pulau Pinang untuk mengendalikan program. Saya akan berada di sini sehingga hari Khamis dan akan pulang dengan penerbangan AA jam 3.45 petang. Seterusnya pada hari Jumaat saya akan bertolak ke Kuantan pula sehingga hari Ahad. Memang agak meletihkan untuk pack dan unpack beg tetapi demi tugas, saya perlu melakukannya juga. Keletihan saya ini mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan keletihan para pemimpin lain/para petani yang tidak kenal erti lelah menjalankan tugas.

Saya seronok dapat pulang ke kampung walaupun agak memenatkan. Berada di kampung membuatkan saya lupa kepada beban kerja yang perlu dilunaskan. Segala-galanya cukup indah dan mudah. Malah lebih seronok apabila dikelilingi dengan kerenah anak-anak saudara yang ligat dan kadang-kadang memeningkan kepala. Apapun, gelagat mereka tetap menghiburkan hati.


Kampung Sura Tengah, Dungun, Terengganu. Itu nama kampung saya malah di situ saya dilahirkan 30 tahun yang lalu. Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam suasana kampung berbanding dengan rakan-rakan yang dilahirkan di Bandar. Saya berbangga boleh pulang ke kampung apabila tiba musim cuti. Namun suasana kampung saya kini jauh berbeza dengan dulu. Tiada lagi semak samun yang menjadi tempat saya dan abang-abang bermain sorok-sorok dan tembak-tembak. Semuanya telah dilapangkan untuk dijadikan rumah kediaman malah rata-rata yang membeli dan membina rumah di situ adalah warga luar Terengganu. Mereka memilih untuk menetap di kampung saya setelah lama berkhidmat di bumi ini sedangkan saya jauh mencurah bakti di bumi luar. Kekadang terfikir juga untuk memohon kembali ke negeri/daerah kelahiran tetapi saya belum begitu pasti dengan keputusan tersebut. Saya pasti akan kembali tapi bukan dalam masa terdekat. Kekadang sedih juga mengenangkan Abah dan Ummi yang hanya tinggal berdua di rumah 2 tingkat yang kosong tanpa penghuni. Mujurlah abang ketiga (Abah Asyraaf) memilih untuk berkhidmat di Terengganu dan kakak ipar saya sanggup berhenti kerja berpindah ke sana. Dapatlah abang saya kerap pulang menjenguk Abah dan Ummi di kampung. Cucu-cucu pun semakin akrab dengan To’Ki dan To’Wan mereka.

Istimewanya kampung saya kerana terletak berhampiran pesisir pantai yang cukup indah. Berdiri di pinggir pantai, kita akan dapat melihat Pulau Tenggol yang kini menjadi kegilaan scuba divers sedangkan saya sendiri baru sekali dalam seumur hidup menjejakkan kaki ke situ. Itupun bersama Abah dan adik-beradik. Hajatnya ingin kembali lagi ke situ untuk melakukan aktiviti air yang lebih menarik. Bulan Mei, Jun dan Julai adalah bulan yang kami nanti-nantikan kerana tengkujuh sudah berlalu. Laut akan menjadi sangat tenang dan tohor. Remis, ketam dan sotong akan mula membanjiri lautan. Cahaya lampu akan menerangi kegelapan lautan dengan pencandat-pencandat sotong. Dulu Abah saya juga boleh dikategorikan sebagai nelayan tegar walaupun mempunyai jawatan tetap sebagai guru. Hujung minggu dan cuti sekolah adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh Abah dan rakan-rakan baik yang mempunyai minat yang sama. Saya masih ingat sewaktu kami masih tinggal di rumah tinggalan arwah datuk, Abah dan rakan-rakan sanggup berkongsi wang membeli bot dan enjin untuk memudahkan mereka melunaskan minat pada bila-bila masa sahaja. Bot diletakkan di pangkalan di tepi pantai manakala enjin pula ditempatkan di dalam takungan besi (kami memanggilnya lege @ kerek) kerana kedudukan rumah kami yang paling hampir dengan pantai. Malah bot tersebut pernah menjadi permainan kami setiap kali tiba musim tengkujuh pada bulan Disember. Segalanya cukup indah pada waktu itu walaupun kami sering dimarahi Ummi kerana membasahkan berhelai-helai pakaian dalam satu hari kerana amat sukar mengeringkan kain pada musim tengkujuh. Apalah yang kami tahu pada masa itu, semuanya hanya tahu mencari keseronokan tanpa memikirkan perkara lain. Kami tenggelam dalam dunia indah kanak-kanak.




Kini, kegilaan bermain air turut diwarisi oleh generasi baru keluarga iaitu anak-anak saudara saya. Pantang tengok air, mesti nak terjun. Berendam berjam-jam dan enggan keluar meskipun badan sudah menggigil-gigil. Kepulangan pada kali ini memang tepat pada masanya kerana musim tengkujuh telah berlalu. Air menjadi sangat tenang (beting kata orang kampung saya), tohor dan sesuai untuk acara mandi-manda. Apa lagi, kami mandi 2 kali sehari, pagi dan petang. Anak-anak saudara saya sanggup tidur awal agar dapat bangun awal keesokan paginya. Kalau tak, jangan haraplah mereka akan tidur awal kerana leka bermain. Bangun awal pagi pun tanpa aksi-aksi menitiskan air mata malah mereka cukup bersemangat berjalan kaki menuju ke pantai. Kami hanya berjalan kaki kerana jarak yang begitu dekat, sehinggakan tak berbaloi untuk menaiki kereta. Tambah pula kami akan pulang dalam keadaan kuyup dan sudah pasti tidak mahu mengotorkan kereta masing-masing.

Malamnya pula kami BBQ. Bakar ayam, sotong, udang dan ikan tilapia yang ditangkap daripada kolam. Memang seronok walaupun badan amat kepenatan melayan kerenah kanak-kanak yang tidak putus-putus menyepahkan barangan. Saya biarkan sahaja walaupun Ummi @ To’Wan riuh melihat rumah berada dalam keadaan tidak teratur. Biarlah mereka menikmati zaman seronok mereka bersama sepupu-sepupu masing-masing sebelum semua membesar dan membawa haluan sendiri. Sebelum kembali ke tempat kerja, kami akan bergotong-royong membersihkannya.

Entah bila saya akan kembali ke kampung lagi walaupun azam saya adalah untuk pulang sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

Saturday, June 12, 2010

Acuh tak acuh

Bismillahirrahmanirrahim...

Hampir sebulan saya tidak membasuh kereta (sebenarnya ke kedai membasuh kereta) kerana cuaca yang tidak menentu. Namun hari ini saya tidak sanggup lagi melihat keadaan kereta yang comot kerana dipenuhi dengan isi perut kelkatu yang membuat serangan berani mati semasa saya dalam perjalanan ke kampung. Sehinggakan ada rakan sepejabat yang berseloroh bertanya sama ada saya menyertai rally kereta apabila melihat keadaan kereta yang comot dan kotor. Apakan daya saya masih belum sempat membersihkannya. Justeru, pagi ini saya meluangkan waktu untuk berkunjung ke sebuah tempat membasuh kereta yang terletak berhampiran rumah. Saya pernah cuba beberapa kali berkunjung ke sini tetapi apabila melihat deretan kereta yang menunggu giliran, saya membatalkan hasrat ke situ dan mencari tempat lain.

Pagi ini saya dapati ada 2 buah kereta menunggu giliran dan sangka saya tempoh menunggu tidak lama. Namun sangkaan saya ternyata meleset. Saya menunggu hampir 45 minit untuk mendapat tempat. Mulanya saya ingin membatalkan hasrat untuk terus menunggu apabila melihat cara kerja yang perlahan tetapi berubah fikiran.

“Alang-alang menunggu, teruskan sahaja,” itu fikir saya.

Lagipun tiada apa yang ingin saya kejarkan kecuali berhasrat ke Perpustakaan Negara selepas waktu Zohor. Sementara menunggu giliran, saya menghabiskan bacaan tulisan Azizi Ali, salah seorang jutawan hartanah di Malaysia. Selepas mendapat tempat, saya duduk di ruang menunggu yang disediakan. Di belakang saya, ada 5 buah kereta menunggu giliran mereka. Ternyata masa yang mereka ambil jauh lebih lama daripada saya.

Tempoh menunggu kereta dibasuh dan dibersihkan ternyata lebih lama daripada kebiasaan yang hanya memakan masa setengah jam. Secara keseluruhannya, saya telah menunggu selama 1 jam setengah dan sudah tentulah berasa lega apabila dimaklumkan proses pembersihan telah selesai.

Kegembiraan ingin melihat kereta berada dalam bersih gagal apabila melihat tompokan-tompokan kotoran yang tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Sudah banyak tempat membasuh kereta yang saya kunjungi tetapi kotoran isi perut kelkatu boleh dibersihkan. Saya yang tidak berpuas hati dengan hasil yang pada saya acuh tidak acuh walaupun terpaksa menunggu lama, menyuarakan hasrat agar kotoran tersebut dibersihkan.

“Kotoran ni tak boleh tanggal ni kak sebab dah sebati dengan warna cat,” dakwa budak tersebut.

“Awak biar betul, saya dah banyak kali kena benda ni, boleh je tanggal cuci kat tempat lain,” bantah saya.

Saya memang tidak berpuas hati kerana yakin kotoran tersebut memang boleh dibersihkan. Lantas saya minta agar diberikan kain untuk membuktikan kata-kata saya. Apabila melihat saya nekad dengan pendirian, mereka mula bising-bising agar saya polish satu badan kereta. Seorang budak yang kelihatan baik mencapai sehelai kain dan menyental kotoran yang saya maksudkan. Ternyata kotoran tersebut dapat ditanggalkan. Kemarahan saya mula menaik tetapi masih cuba saya kawal. Saya memang pantang dilayan sebegitu rupa sebagai pelanggan. Jangan sekali-kali menipu pelanggan dan buat kerja acuh tak acuh.

“Kalau kotoran tak tanggal, baik saya tak payah basuh,” rungut saya meluahkan kekecewaan.

Sudahlah harga yang dikenakan agak mahal iaitu RM10 kerana mereka mendakwa menggunakan produk cucian berkualiti. Dengan bersungguh-sungguh budak itu menyental kotoran-kotoran sehingga tanggal sementara rakan-rakan mereka bersungut menyuarakan ketidakpuasan hati atas tindakan saya. Saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana saya bimbang jika saya bersuara, saya akan mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi dan disesali kembali oleh saya. Biarlah saya berdiam diri tetapi saya mendapat apa yang saya inginkan.

Simpati melihat kesungguhan budak itu membersihkan kotoran tersebut, saya menghulurkan RM10 sebagai tanda terima kasih dan azam tidak akan menjejakkan lagi kaki ke situ.

Sebelum berlalu, saya sempat meninggalkan kenyataan,”Saya tidak kisah membayar lebih tetapi biarlah kerja yang dibuat betul-betul, bukan sambil lewa.”

Saya lihat budak yang bersungut tadi hanya mendiamkan diri mendengar kenyataan saya. Saya mungkin rugi wang tapi saya ingin menyampaikan mesej kepada mereka agar setiap pekerjaan dibuat bersungguh-sungguh dan berpadanan dengan kadar yang dikenakan kepada pelanggan.

Wednesday, June 9, 2010

Pelanggan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah peniaga sama ada yang menjual produk atau pun servis dalam melayan pelanggan. Apakah nilai pelanggan di mata mereka? Bukankah pelanggan merupakan sumber mereka untuk mendapatkan keuntungan? Sudah sewajarnya pelanggan dilayan dengan baik kerana pelanggan adalah sumber keuntungan mereka. Hairan apabila melihat ada peniaga yang acuh tak acuh dengan pertanyaan pelanggan dan kurang memberi perhatian kepada kehendak pelanggan.

Hari ini saya ke bengkel kereta untuk menukar brek kereta kerana sudah menipis dan mengeluarkan bunyi apabila digunakan. Saya pula memang jenis cukup prihatin dengan sebarang perubahan pada kenderaan dan menjaga jadual servis yang ditetapkan. Hal brek ini sudah dibangkitkan oleh mekanik semasa servis kereta terakhir tetapi apabila dimaklumkan masih boleh digunakan, saya KIV dulu. Mungkin kerana 2 minggu berturut-turut saya pulang ke kampung, brek pad tersebut semakin menipis dan mula mengeluarkan bunyi apabila saya membrek terutama dalam keadaan sesak. Risau juga jika kerana sikap ambil mudah saya akan membahayakan pemandu jalan raya lain.

Bengkel pertama yang saya kunjungi adalah berdekatan Taman Melawati kerana sebelum ini saya pernah menukar tayar di situ dan mereka mendakwa boleh menukar brek kereta saya. Jadi saya ambil keputusan ke situ terlebih dahulu tetapi hampa apabila mereka perlu menempah barang tersebut terlebih dahulu daripada KL. Saya diminta menunggu sehingga barang tiba. Mulanya saya tidak kisah menunggu tetapi apabila menunggu selama hampir 20 minit tanpa sebarang berita, saya jadi rimas. Tidak lama selepas itu, saya diminta mengalihkan kereta untuk membolehkan sebuah kenderaan lain parkir di hadapan bengkel. Saya rasa kurang senang dan terus berlalu pergi dari bengkel tersebut.

Saya bergerak ke sebuah bengkel yang terletak tidak jauh dari rumah saya. Kebetulan di lorong tersebut ada deretan bengkel kereta yang saya fikir mungkin boleh membantu saya. Lagipun semalam saya telah minta adik lelaki saya meninjau di situ jika ada bengkel yang boleh menukar brek kereta SX4 saya. Kebiasaannya agak sukar untuk mereka mendapatkan alat ganti Suzuki. Saya fikir dengan pergi ke bengkel biasa, saya akan mendapat harga yang jauh lebih murah tetapi apabila saya mendapati mekanik tersebut teragak-agak dan kerap menukar harga daripada harga asal yang dimaklumkan kepada adik saya, saya jadi kurang senang dan membatalkan hasrat saya menukar brek di situ. Meskipun wajah mekanik tersebut mencuka dengan keputusan saya, adalah lebih baik saya beredar daripada saya mendapatkan khidmat daripada mekanik yang tidak pasti dengan pekerjaannya. Dia mendakwa telah menerangkan kadar-kadar harga kepada adik saya semalam tetapi lain pula ceritanya apabila saya hubungi adik untuk mendapatkan kepastian. Semalam mekanik tersebut menawarkan harga RM180 siap pasang tetapi hari ini apabila saya ke sana, harga tersebut tidak termasuk siap pasang. Dia mula berdolak-dalik tentang harga dan kualiti barang sehingga mencecah RM400. Saya mula terfikir mungkin kerana yang datang semalam lelaki, dia bagi harga sebenar tetapi bila yang datang pagi ini wanita, dia nak ketuk harga. Minta maaflah, saya mungkin kurang mahir tentang kenderaan, tetapi saya ada pengalaman mengesan sikap ingin mengetuk pelanggan. Tindakan terakhir saya adalah berlalu pergi dan menuju ke Pusat Servis Suzuki. Saya lebih rela membayar lebih asalkan mendapat khidmat dan barang yang jauh lebih baik. Hati pun tak sakit malah harga yang dikenakan pun tidak jauh beza dengan harga yang dikenakan oleh mekanik tadi.

Tabiat saya apabila terkena sekali dilayan begitu, memang saya tak akan jejak kaki lagi ke tempat itu. Saya cepat serik dengan cara dilayan sebagai pelanggan. Saya lebih rela tidak membeli barang yang saya inginkan jika layanan yang diterima tidak mencapai standard normal yang sepatutnya diterima sebagai pelanggan. Yang rugi adalah peniaga tersebut dan bukannya saya. Yang lebih pasti, hari itu rezeki dia daripada pelanggan lain dan bukan daripada saya.

Thursday, June 3, 2010

Jaga kerja @ jaga bos?

Bismillahirrahmanirrahim...

Rule no. 1: boss is always right
Rule no. 2: when the boss is wrong, refer rule no. 1

Itu pegangan yang cuba disemat kepada saya di awal memasuki perkhidmatan. Ada sesetengah pegawai yang benar-benar mempercayai kebenaran kata-kata ini dan sanggup melakukan apa sahaja untuk merealisasikannya. Golongan ini sering dianggap pengampu atau air-cond dalam sesebuah organisasi malah golongan ini wujud dalam apa jua organisasi sama ada kerajaan atau swasta. Di sinilah istilah jaga bos atau jaga kerja mula menjadi tanda-tanya.

Secara peribadi, saya lebih suka mengambil pendekatan sederhana. Bermakna kesesuaian pelaksanaan kata-kata ini perlu melihat kepada keperluan dan keadaan. Adalah benar bos perlu dianggap benar berdasarkan kedudukan yang beliau sandang tetapi harus ada batasan dalam mengiakan kebenaran itu. Saya kira prinsip wasatiah atau bersederhana jika dihayati dan diamalkan oleh setiap dari kita dalam apa jua pekerjaan, tidak akan timbul isu ampu sana wa ampu sini dan istilah jaga bos atau jaga kerja. Saya kurang gemar mengakui memegang status bos seolah-olah memberi lesen kepada beliau untuk dianggap maksum daripada sebarang kesilapan. Memegang status bos sebenarnya membuka peluang kepada lebih banyak kesilapan untuk dilakukan tetapi bukanlah bermakna kesilapan itu menjadi kemestian. Harus ada perasaan ihsan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bahawa setiap dari kita tidak kira pihak atasan atau bawahan ada peranan tersendiri yang saling menyokong dan memerlukan. Tidak timbul isu satu pihak lebih bagus dari pihak yang satu lagi. Perbezaan yang wujud adalah dari segi beban tanggungjawab yang perlu dipikul oleh salah satu pihak namun jika kedua-dua pihak saling memahami, segala urusan pasti akan menjadi lancar.

Antara pihak atasan dan bawahan harus ada tolak-ansur agar tidak terlalu emosional dalam melaksanakan tugas. Saya percaya setiap perkara dalam kehidupan ini sentiasa ada dua sisi. Yang tunggal dan esa hanya Allah Taala semata. Baik lawannya buruk, cantik lawannya hodoh, cerdik lawannya bodoh, rajin lawannya malas dan seterusnya. Tidak ada satu perkara pun dalam dunia ini yang tiada sisi keduanya. Hatta selipar pun ada pasangan kiri dan kanan. Jika sebelah tiada maka pincanglah fungsi dan peranan selipar tersebut.

Selama 2 bulan iaitu pada bulan April dan Mei, banyak program luar yang perlu saya hadiri dan selesaikan. Selama itu juga saya kurang mengambil kisah tentang hal ehwal dalaman pejabat dan hanya mendapat tahu perkembangan beberapa isu daripada rakan-rakan yang berada di pejabat. Sedari awal saya sudah mendengar cadangan ketua kami untuk melaksanakan pusingan kerja di antara ketua-ketua seksyen. Namun saya tidak memberi perhatian sangat dan lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tambahan pula saya perlu fokus kepada program-program yang sedang berjalan. Segalanya berada di atas bahu saya kerana salah seorang kakitangan saya baru sahaja dinaikkan pangkat ke tempat lain. Walaupun mendapat seorang pengganti, sudah tentulah saya tidak boleh melepaskan segala-galanya kepada beliau kerana masih banyak yang perlu diajar dan dipelajari. Justeru, masa saya banyak dihabiskan dengan kerja-kerja dalaman seksyen sahaja dan kurang melibatkan diri dengan aktiviti seksyen-seksyen lain. Sebaik tamat program-program pada akhir bulan Mei, saya sendiri pula mengikuti penilaian selama 8 hari. Pun begitu, saya dikhabarkan bahawa pusingan kerja akan berkuatkuasa pada awal Jun dan senarai nama baru telah dikeluarkan. Segalanya saya anggap khabar angin sehingga saya melihat sendiri hitam putih dokumen dimaksudkan. Sedari awal, saya sudah menetapkan dalam diri saya bahawa saya redha dengan segala ketentuanNya. Jika ditakdirkan saya mendapat tugasan baru, saya anggap ini satu peluang untuk saya mempelajari ilmu baru. Namun jika saya dikekalkan, bermakna saya masih diberi kepercayaan untuk menerajui seksyen sekarang. Konsepnya, saya pasrah dan redah sahaja.

Sebaik tamat proses penilaian, saya pulang ke kampung untuk berehat dan kembali ke pejabat pada hari Selasa. Sebelum itu, saya telah dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa nama saya tidak terlibat dalam pusingan kerja dan dikekalkan dalam seksyen semasa. Saya hanya tersenyum. Bermakna saya masih diberi kepercayaan untuk terus menerajui seksyen sekarang. Anehnya, semua ketua seksyen yang lain terlibat dalam proses tersebut menyebabkan ada sesetengah pihak yang berasa kurang senang dengan keadaan saya. Malah sudah terdapat tanda-tanda protes daripada sesetengah individu. Terkejut mungkin kerana tidak menyangka akan dilibatkan dalam pusingan kerja tersebut. Namun saya tidak menyangka impak kekecewaan tersebut terlalu dalam sehingga kedengaran suara-suara yang individu tersebut akan memohon keluar dari bahagian kami. Saya sangka kejadian ini hanya proses biasa yang perlu dilalui apabila berada dalam sesebuah organisasi. Ternyata ada pihak yang begitu terkesan dengan keputusan yang telah dibuat.

Saya hanya tersenyum melihat kepada situasi yang berlaku. Nampaknya prinsip saya yang percaya kepada menjaga kerja adalah lebih utama berbanding menjaga bos mula menampakkan kebenarannya. Saya fikir apabila kita menjaga kerja bermakna secara langsung kita telah menjaga bos kerana bos tidak akan dipersoal atau lebih teruk dimarahi oleh pihak atasan selepas menjalankan amanah yang diberikan. Sebaliknya, jika hanya menjaga bos tanpa memperdulikan kerja, kita sebenarnya tidak menjaga bos dengan sewajarnya kerana sebarang kesilapan yang timbul akan dipertanggungjawabkan kepada bos jua.

Selama ini saya agak kurang senang melihat keakraban individu tersebut dengan ketua kami dan merasakan seolah-o;ah ketua kami berada di bawah telunjuk beliau. Namun ternyata, yang benar tetap benar dan kebatilan akan tewas jua. Ternyata ketua kami tahu mengenal antara manikam dan jauhari yang telah dibuktikan dalam keputusan yang dibuat. Saya bukan bermaksud mendakwa yang saya ini hebat dalam melaksanakan tugasan tetapi saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik agar tidak ada pihak yang boleh merendah-rendahkan urusan seksyen kendalian saya. Kini, saya lebih yakin dengan pendekatan bersederhana dalam melakukan sesuatu perkara. Berpada-padalah dalam melakukan kerja dan dalam menjaga hubungan dengan bos. Buktinya telah nyata...