Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, May 29, 2010

sesekali

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesekali mengubah rutin hidup yang biasa kepada sesuatu yang lain memang menyeronokkan. Saya memang gemar dengan aktiviti luar terutama berkaitan alam sekitar tetapi tuntutan pekerjaan akhir-akhir ini membuatkan saya hilang waktu untuk melakukan aktiviti sedemikian. Sudah lama saya bercadang untuk ke Hutan Simpan Bukit Nanas (HSBN), hutan pokok di tengah-tengah hutan batu untuk melihat sendiri keindahannya. Kedudukan HSBN adalah di kaki Menara KL, jadi kami akan parking di sekitar kawasan tersebut.

Dengan ditemani adik perempuan saya, kami bertolak seawal jam 7 pagi ke sana. Perjalanan sememangnya lancar kerana kebanyakan warga kota ramai yang pulang ke kampung sempena cuti Wesak. Saya juga akan pulang ke kampung halaman sebenarnya tapi ditangguhkan kepada malam ini kerana perlu memenuhi undangan seorang rakan baik di Shah Alam terlebih dahulu.

Tiba di HSBN, saya dapati hanya kami berdua sahaja pengunjung yang ada di situ dan keadaan cukup suram. Risau juga sebenarnya tapi kerana kami berdua sudah nekad, maka kami redah juga. Benda pertama yang kami cari sudah tentulah papan tanda arah atau peta laluan untuk difahami dan diredah. Bimbang juga kalau tersesat kan. Destinasi kami yang pertama adalah taman herba dan seterusnya rumah orkid.

(waktu kunjungan)

(di kaki Menara KL)

(selamat datang ke HSBN)

(papan tanda arah/laluan)

Sepanjang pengamatan saya, kawasan tersebut seperti tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya. Entahlah tapi seperti tidak puas hati melihat cara pokok-pokok tersebut disusun atur. Seperti tidak sepenuh hati. Ini mungkin pandangan saya yang mungkin tertakluk kepada benar/salah tetapi sebagai pengunjung, itu yang saya dapat lihat.

(rumah orkid)

(sila ikut arah yang ditunjukkan)

(hutan di tengah-tengah hutan batu)

(tong sampah)

Kami menghabiskan masa hampir 45 minit di situ dan berpatah balik kerana penghujungnya adalah Sekolah Convent Bukit Nanas. Berpeluh juga sebenarnya dan saat itu rasanya saya sedar diri akan tahap stamina semasa dalam diri saya. Sudah agak lama tidak beriadah menyebabkan saya kepenatan dan langkah terasa longlai sewaktu menaiki bukit tetapi digagahkan juga.

Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Masih awal, lalu kami putuskan untuk melihat-lihat sekeliling Menara KL kerana ini merupakan kali pertama ke sini selepas beberapa tahun tinggal di KL. Waktu lawatan bermula jam 9.30 pagi dan harga tiket adalah RM38 bagi dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak. Boleh tahan mahal juga harganya. Ada beberapa pameran yang dibuat di situ termasuk oleh Telekomuzium. Pelbagai jenis telefon bermula dari awal diperkenalkan sehingga kepada yang terkini malah ada antaranya yang tidak pernah saya lihat pun. Yang saya ingat cuma jenis warna oren dan biru sahaja.
(dulu-dulu)

(dah lama tak bergayut di telefon awam)

Kami tinggalkan Menara KL pada jam 9.00 pagi dan meneruskan rondaan di sekitar Jalan TAR. Keadaan jalan memang lengang dan amat selesa untuk pemanduan. Habis pusing-pusing, kami ke Taman Tasik Perdana untuk 'isi minyak' dulu. Perut pun dah berkeroncong mengeluarkan macam-macam lagu. Dah lama tak ke sini, banyak benda dah berubah tapi gerai di kawasan parking masih sama juga. Ala kadar dan biasa-biasa saja sedangkan kawasan ini sering dikunjungi pelancong. Aduhai, nampaknya banyak komen saya ni tapi apakan daya, ini sekadar pemerhatian saya sebagai seorang pengguna.


Selesai 'isi minyak', kami teruskan dengan acara rondaan. Memang jenuh juga menghabiskan pusingan dan berpeluh-peluh dibuatnya. Itupun yang kami mahu sebenarnya.

(perjalanan bermula)

(pokok bambu - menumpang melepas lelah. manusia dan alam saling memerlukan)
Walaupun saya pernah beberapa kali datang ke sini sebelum ini, saya tidak pernah tahu kewujudan Taman Rusa dan Kancil. Sudah tentulah saya tidak akan lepaskan peluang untuk memasukinya. Paling seronok, bayaran masuk adalah PERCUMA. Hehe. Memang menyeronokkan melihat sang kancil dan sekawan rusa dalam dunia mereka sendiri. Banyak yang boleh dipelajari dengan merenung kehidupan mereka.

(taman rusa & kancil)

Saya puji suasana dalam taman ini yang sungguh mendamaikan dan bersih. Terasa diri sebahagian dari alam dan betapa keindahan ini adalah anugerah tidak ternilai dari Ilahi untuk manusia ciptaannya.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah lagi yang ingin kamu dustakan? Allahuakbar!

(big boss)
Saya ralit melihat sekawan rusa yang melepak di dalam kawasan kurungan mereka. Memang sesuai untuk dikunjungi lagi.

Sebelum balik sempat lagi kami meninjau-ninjau Dinasour Park. Banyak replika menarik yang dibina untuk kanak-kanak.

Kami tinggalkan TTP pada jam 11.00 pagi dan pastinya kami akan kembali lagi ke sini terutama pada hujung minggu.

Thursday, May 27, 2010

Iskandar

Bismillahirrahmanirrahim...

Usai peperiksaan, saya, Mar, Kak Pah dan Shah ke Pizza Hut di dalam The Mines untuk makan tengah hari dan meraikan 'kemerdekaan' berjaya menamatkan sesi penilaian walaupun masih ada 2 tugasan yang masih perlu kami langsaikan. Kemudian saya dan Mar meneruskan sesi 'penilaian' di sekitar The Mines kerana ada aksesori Netbook yang ingin saya beli. Alhamdulillah, misi berjaya disempurnakan dengan sedikit bantuan daripada Mar haha.

Saya telah berniat untuk bertemu wajah dengan baby Iskandar yang selama ini hanya saya tatap melalui blog mummynya sahaja iaitu Mar :) di http://www.hanie-izali.blogspot.com/. Saya tidak pernah bertemu dengan Iskandar sejak lahir dan hari ini saya cuba mengambil peluang yang ada untuk berkenalan dengan Iskandar. Lucunya jarak rumah kami amat berdekatan tetapi saya tidak pernah berpeluang untuk ke rumah Mar. Ada hikmah juga saya dan Mar menduduki penilaian pada sesi yang sama. Dari The Mines, kami terus menuju ke rumah Mar dan mujurlah Iskandar tidak tidur sewaktu ketibaan kami.

Pada mulanya agak malu-malu tapi lama-kelamaan saya merasakan Iskandar mudah didekati dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Mungkin mengikut perangai mummy nya juga :p

Selamat berkenalan dengan Iskandar...
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v
v

Memandangkan auntie CK memang tak beli apa-apa buah tangan untuk Iskandar, hanya telur itik masin yang dapat dikirimkan kepada mummy tadi :D

Tuesday, May 25, 2010

Keberangkatan seorang teman

Bismillahirrahmanirrahim...




24 Mei 2010 – Usai perbincangan bersama ahli kumpulan pada jam 6.00 petang, saya dan Mar terus menunaikan solat Asar di surau Mines International Exhibition & Convention Center (MIECC), lokasi program penilaian kami dijalankan. Saya telah berjanji untuk bertemu Azhar dan keluarga sebelum mereka berlepas pulang ke Rom. Mujurlah Mar sudi menemani saya ke KLIA dan berkorban menangguhkan waktu pulang ke rumahnya. Tiba di sana, perut kami sudah berkeroncong minta diisi dan saya gagal menghubungi Azhar untuk bertanya lokasi pertemuan. Fikir saya, Azhar mungkin sedang sibuk menguruskan untuk mendaftar masuk sebelum penerbangan. Kami singgah di medan selera terlebih dahulu untuk mengisi perut dan saya terima panggilan daripada Azhar memberitahu untuk berjumpa di kaunter C. Memandangkan waktu Maghrib sudah pun tiba, kami memutuskan untuk menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan hasrat bertemu Azhar dan keluarga.

Semasa di dalam surau, saya bertembung dengan para jemaah yang datang dari utara tanah air yang sedang dalam perjalanan untuk menunaikan umrah. Serta-merta rasa sayu menjelma di sudut hati, terkenang kemanisan kembara iman yang dilalui hampir setahun yang lalu malah 4 Jun ini genap setahun tempoh kami meninggalkan Tanah Suci. Kerinduan untuk kembali lagi ke sana memang cukup menebal. Saya menahan diri daripada memeluk para tetamu Allah tersebut dek rasa cemburu yang meluap-luap kerana mereka bakal menjejak kaki ke Tanah Suci. Ingin sekali mengirimkan salam kepada Rasulullah melalui mereka tetapi kata-kata hanya tersekat di halkum. Saya rindu untuk ke sana lagi!

Selesai solat Maghrib, kami terus menuju ke lokasi yang dijanjikan. Dari jauh saya dapat melihat Azhar mendukung Arash. Kami terus melajukan langkah untuk melihat dan seterusnya mendukung Arash. Sungguh suci, wajah yang belum terpalit sebarang dosa dan semoga kekal begitu. Pertemuan bersama Azhar dan keluarga terpaksa diringkaskan kerana kami mengejar waktu untuk pulang. Esok kami bakal berdepan aktiviti berkumpulan yang memerlukan persediaan sewajarnya.

Namun begitu, saya berpuas hati kerana dapat menunaikan janji untuk menjenguk Arash, satu kelahiran yang dinanti sekian lama oleh Azhar dan isteri. Azhar merupakan abang sekampung kepada saya dan Mar sewaktu kami sama-sama mengikuti program penempatan kampung selama 2 minggu di Pasir Salak, Perak. Sejak itu, kami menjadi rakan baik dan saya juga mengenali Shida, isteri Azhar. Seorang yang cukup mudah mesra dan senang diajak berbicara.

Penerbangan mereka dijadualkan pada jam 11.45 malam dan akan memakan masa selama 14 jam. Memang cukup lama bagi saya yang pernah menaiki penerbangan paling lama 10 jam iaitu sewaktu menunaikan umrah pada tahun lepas. Tapi bagi Azhar dan keluarga mungkin sudah memahami dan menjadi kebiasaan kepada mereka untuk melaluinya. Saya dan Mar beredar pada jam 9.00 malam dan tiba di rumah saya pada jam 10.00 malam. Sebaik tiba, Mar meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran Datuk Keramat.

Sekalung terima kasih kepada Mar kerana sudi menemani untuk merealisasikan janji saya kepada Azhar dan isteri. Semoga perjalanan mereka lancar dan tiba di destinasi dengan selamat dan berjumpa lagi di lain masa jika ada ketentuanNya jua.

Sunday, May 23, 2010

Pengalaman Baru: Go-Kart

Bismillahirrahmanirrahim...






16 Mei 2010. Saya memenuhi ajakan adik-adik untuk menyertai pertandingan Go-Kart di lapangan berhampiran Stadium Shah Alam. Kami bertolak ke sana pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di Shah Alam saat azan Zuhur berkumandang. Memandangkan masa berkumpul adalah pada jam 2.30 petang, kami singgah solat Zuhur terlebih dahulu di sebuah surau di Seksyen 13. Usai solat, kami terus menuju ke lokasi dijanjikan bersama rakan adik saya yang bertanggungjawab memperkenalkan permainan ini kepada kami.

Tiba di sana, kami dapati sebahagian besar peserta sudah tiba dan sedang sibuk melengkapkan beberapa borang termasuk borang perakuan pelepasan tanggungan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini semasa pertandingan.

Sejujurnya, saya gementar dan tidak tahu apa yang akan didepani sewaktu pertandingan bermula. Justeru saya hanya mengikut sahaja arahan yang diberikan sewaktu taklimat. Perasaan saya sungguh teruja kerana ini merupakan kali pertama dalam hidup saya terjebak dalam aktiviti ini. Sebelum ini saya merasakan permainan ini hanyalah permainan golongan atasan sahaja tapi ternyata sangkaan saya meleset. Yuran yang dikenakan juga agak berpatutan apabila melihat kepada kemudahan yang disediakan.

Permainan akan dibahagikan kepada 3 fasa iaitu 12 minit bagi setiap fasa. Fasa pertama adalah fasa latihan, fasa kedua adalah ujian kelayakan dan fasa ketiga adalah pertandingan. Fasa kedua akan menentukan sama ada setiap peserta dimasukkan dalam kumpulan Novice dan Expert. Seperti dijangkakan, saya dan dua orang adik termasuk dalam kumpulan Novice atau Beginner. Mulanya saya jangka permainan akan tamat awal tetapi akhirnya sehingga jam 5.00 petang juga. Ternyata masa 12 minit yang diperuntukkan bagi setiap pusingan adalah lebih dari mencukupi bersesuaian dengan trek yang dilalui.

Pengalaman baru ini memberi saya pandangan baru tentang kehidupan iaitu jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Kekadang minda kita sering merasakan diri kita tidak mampu melakukan sesuatu perkara walhal apabila dicuba dan diberi peluang, ternyata kita mampu melakukannya malah potensi yang terbit adalah lebih dari jangkaan.

Dalam permainan Go-kart, pemain akan bersaing dengan masa dan bukannya dengan pemain-pemain lain. Apa yang dikejar adalah masa terbaik dan jumlah pusingan yang dapat dicecah oleh setiap pemain. Saya membayangkan itulah juga cara kita melalui kehidupan ini iaitu kita sewajarnya cuba sedaya upaya mencungkil potensi diri sendiri dengan sedaya upaya dan tidak menjadikan kelebihan orang lain sebagai penghalang untuk kita melakukan yang terbaik. Setiap dari kita adalah istimewa dan punya kelebihan unik yang dikurniakanNya. Apa yang perlu kita lakukan adalah meneruskan usaha yang dibuat dan fokus kepada matlamat yang ingin dicapai. Orang di sekeliling akan sentiasa datang dan pergi tetapi kita harus tetap kekal pada matlamat yang telah dilakarkan.

Beberapa insiden pelanggaran turut berlaku semasa pertandingan melibatkan pemain-pemain lain tetapi piawai saya adalah untuk mengelakkan diri daripada kemalangan dan cuba menikmati pengalaman baru ini dengan sebaik mungkin. Dalam permainan ini, pemain perlu membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan kepada go-kart yang dipandu. Alhamdulillah saya dan adik-adik berjaya menghabiskan perlumbaan tanpa sebarang kecederaan dan pembayaran ganti rugi.

Jumlah peserta adalah seramai 36 orang dan selepas ujian kelayakan, kami dibahagikan kepada 2 kumpulan dengan jumlah 18 orang dalam setiap kumpulan. Saya berjaya mencapai piawai yang saya tetapkan untuk diri sendiri iaitu berada di kedudukan separuh daripada jumlah peserta dan lebih menarik adik lelaki saya menduduki tangga ketiga serta berjaya membawa pulang hadiah.

Apa yang lebih penting adalah kami dapat menghabiskan masa berkualiti bersama dan menikmati permainan sepenuhnya.

Kini, saya lebih positif untuk mendepani setiap kemungkinan dalam kehidupan ini. Dengan keyakinan tiada yang mustahil dalam hidup ini...

Friday, May 21, 2010

Dup Dap!

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, lega rasanya selepas berjaya melalui salah satu aktiviti dalam proses penilaian. Debaran memang berbeza walaupun saya sudah biasa menyampaikan taklimat/ceramah sepanjang 5 tahun dalam karier. Lumrah manusia akan merasa kurang selesa dan stress apabila dinilai tetapi saya percaya selagi kita yakin dengan keupayaan diri sendiri dan paling mustahak, telah membuat persediaan sewajarnya, kita akan berjaya melaluinya dengan baik. Ditambah pula dengan sokongan rakan-rakan yang cukup membantu lebih membuatkan saya tenang melaluinya.

Kejayaan adalah sesuatu yang diingini oleh semua orang tetapi apalah ertinya jika kejayaan yang diperolehi hanya dinikmati berseorangan. Kejayaan menjadi lebih manis jika diraikan bersama-sama insan-insan tersayang.

Perjuangan akan disambung pada hari Isnin dengan aktiviti public speaking. Semoga urusan kami dipermudahkanNya.

Wednesday, May 19, 2010

Penilaian

Bismillahirrahmanirrahim...



Saya rasa tidak ada sesiapa pun gemar dinilai oleh orang lain tidak kira sama ada berbentuk pemikiran atau tindakan. Pagi ini seawal jam 7 pagi saya dan Marhani bertolak ke lokasi penilaian berhampiran The Mines bermula pada hari ini sehingga 27 Mei kelak. Marhani adalah rakan sejawatan yang memang rapat dengan saya sejak kami berkursus selama 6 bulan dahulu malah kami pernah menjadi rakan sebilik. Kebetulan jarak rumah Mar dan saya berdekatan, lantas Mar ambil keputusan untuk menumpang kereta saya ke lokasi penilaian. Saya tiada masalah malah gembira kerana dapat berbual-bual bersama Mar kerana kami sudah agak lama tidak bersua dan berbual-bual seperti dahulu. Banyak kenangan manis antara saya dan Mar semasa berkursus dulu dan saya amat menghargainya.

Jika selama ini saya menguruskan pegawai-pegawai di jabatan menjalani sesi penilaian, sekarang saya sendiri menjadi calon/peserta dan akan melalui proses penilaian bertujuan untuk menilai tahap kompetensi untuk pertimbangan kenaikan pangkat. Memang jauh berbeza antara menjadi urus setia dan menjadi calon. Debarannya nyata berbeza dan kebimbangan turut menyelimuti hati saya. Namun saya cuba meletakkan diri dalam mood positif kerana itulah juga ingatan saya terhadap calon-calon di bawah kendalian saya. Kini tiba masa untuk saya membuktikan apa yang telah saya perkatakan (walk the talk). Paling menyeronokkan apabila dapat bertemu wajah dan berbual-bual dengan teman-teman seangkatan yang telah sama-sama mengharungi suka duka, pahit manis semasa menjalani kursus selama 6 bulan sebelum kami disahkan perkhidmatan. Masing-masing sudah berubah dengan kehidupan sendiri tetapi kerinduan kepada rakan-rakan tetap hadir. Setidak-tidaknya itu menjadi pendorong untuk saya mengharungi sesi penilaian ini. Saya sendiri tidak pasti sejauh mana saya akan mampu melakukan yang terbaik dalam sesi kali ini. Yang pasti saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan yang akan diberikan. Kerisauan memang tetap bersarang dalam hati tetapi keazaman dan ketabahan akan menjadi bekal untuk mengharungi semua aktiviti . Apapun penilaian yang bakal dibuat oleh panel kelak akan saya terima dengan hati terbuka setelah saya cuba melakukan yang terbaik. Kadang-kadang penilaian daripada pihak luar diperlukan untuk menambahbaik kekurangan dalam diri yang jarang disedari dan sukar diakui. Hanya yang berjiwa besar mampu menerima setiap teguran dan kritikan dengan hati waja.

Selama tempoh penilaian ini, saya terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin kerana pada masa yang sama program kendalian saya masih berjalan. Memang terasa bebannya tetapi saya percaya setiap jalan yang telah ditetapkanNya pasti akan mampu saya lalui dan yang pasti Dia lebih mengetahui keupayaan saya. InsyaAllah saya akan cuba untuk memastikan amanah yang telah diberi akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin meski suasana cukup getir sedang didepani. Pelbagai perkara bermain dalam kepala saya tentang soal masa depan kerjaya. Saya perlukan perubahan kerana hampir 5 tahun berada dalam situasi yang sama. Segalanya akan saya fikirkan sebaik tamat sesi penilaian dan program kendalian saya selesai.

Apapun, konsentrasi saya sekarang adalah terhadap sesi penilaian yang bakal dilalui bersama rakan-rakan seangkatan. Semoga kejayaan mengiringi langkah kami dan dipermudahkanNya...

Sunday, May 9, 2010

sekadar menjengah

Bismillahirrahmanirrahim...

Terlalu banyak yang ingin dicoretkan kerana terlalu banyak peristiwa yang telah dilalui kebelakangan ini. Segalanya penuh dengan pengajaran pada setiap langkah yang diatur. Ada yang manis, pahit, masam dan pahit. Begitulah rencah kehidupan kerana itulah yang mewarnai perjalanan hidup manusia di muka bumiNya.

Saat menulis coretan ini, saya masih lagi dalam keadaan seolah-olah tidak percaya dengan kejadian yang baru berlaku. Segala-galanya cukup pantas sehingga saya gagal memikirkan soal masa. Saya baru sahaja melalui saat tika wang bukan lagi menjadi isu tatkala kasih sayang jadi taruhan. Namun kejadian pada malam ini menyedarkan saya bahawa masih ada sifat kemanusiaan dalam hati manusia apabila mereka memberi laluan semasa saya membunyikan hon dan menghidupkan lampu kecemasan. Malah saya hampir-hampir terlibat dalam kemalangan apabila melanggar lampu merah di simpang empat. Saya hanya bertawakal. Segala-galanya dalam kawalan Allah Taala jua. Siapa sangka saya terlepas dari kemalangan walaupun saya redah lalulintas yang sedang rancak meneruskan perjalanan. Segala-galanya untuk mengejar masa agar dapat tiba di wad kecemasan HKL dengan segera. Demi nyawa anak saudara...

Jika selama ini saya hanya mendengar atau membaca rungutan tentang kelewatan ambulan tetapi malam ini saya sendiri mengalaminya. Kekecewaan menunggu buah yang tidak gugur membuatkan saya nekad meredah kesesakan jalan dan melanggar lampu merah demi menyelamatkan nyawa anak saudara...

Apabila kasih dan sayang jadi taruhan, wang sudah tidak memberi sebarang makna...