Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, April 3, 2010

Pra-Mini Pertemuan Semula

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya bersekolah asrama penuh di SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Sebuah tempat yang mengajar saya erti sebuah kehidupan dan benar-benar meninggalkan kesan di hati saya sehingga hari ini. Untuk itu, saya berterima kasih kepada abah saya kerana tidak membenarkan saya bertukar sekolah semasa tingkatan 1. Jika dilihat dari segi fizikal, saya seorang yang lasak atau istilah yang sering dilabelkan kepada saya adalah ‘brutal’, mungkin tidak menyangka akan menjadi home sicker sewaktu mula-mula memasuki asrama. Dalam usia mencecah 13 tahun, segala-galanya harus ditinggalkan demi sebuah kejayaan. Ternyata hati saya begitu lemah, saya menjadi home sicker di awal kemasukan ke asrama. Sebulan pertama air mata menjadi peneman walaupun saat itu ditemani oleh rakan baik saya, Fatimatuzzahra’. Bersama dia saya berkongsi perasaan sukar meninggalkan kampung halaman dan kami sering beratur menunggu giliran untuk menggunakan telefon awam. Pada waktu itu, satu-satunya telefon awam yang menjadi rebutan adalah betul-betul terletak di pintu masuk sekolah. Kadang-kadang tempoh beratur menunggu giliran lebih lama daripada bercakap. Malah perbualan pun tidak sempat dihabiskan kerana kehabisan syiling. Tumpuan saya terhadap pelajaran juga menjadi terganggu kerana wabak home sick tersebut. Tersenyum sendirian apabila mengenangkan kenaifan saya pada waktu itu. Kebetulan pula saya dan Fatimah ditempatkan di kelas yang berlainan menyebabkan saya hilang teman belajar. Fatimah sebenarnya teman saya sejak dari sekolah rendah malah dia dan beberapa orang rakan lain adalah rakan belajar yang konsisten sewaktu kami ingin menghadapi UPSR. Saya masih ingat lagi kami akan bergilir-gilir mengunjungi rumah rakan-rakan untuk belajar ataupun menyiapkan kerja sekolah. Dulu saya jarang menghadiri tuisyen malah tuisyen yang dihadiri pun tidak konsisten. Saya hanya hadir apabila disuruh oleh abah sahaja. Yang pasti kumpulan belajar yang saya tubuhkan bersama rakan-rakan sekelas amat aktif sehingga pernah dimarahi oleh ummi saya kerana saya sering menghilangkan diri sebaik pulang dari sekolah. Lama-kelamaan ummi dapat menerima ‘kehilangan’ saya tersebut dan hasilnya berjaya saya tunjukkan melalui keputusan UPSR kami. Alhamdulillah, sekolah kami yang dikategorikan sekolah kampung berjaya mencipta sejarah dengan jumlah pelajar mendapat 4A meningkat dan mula dipandang oleh sekolah-sekolah lain.

Usai UPSR, saya menyambung pelajaran ke SMA Sultan Ismail Dungun atau dikenali sebagai Sekolah Arab di kalangan khalayak. Waktu itu saya tidak pernah mengimpikan untuk belajar di sekolah berasrama penuh walaupun rata-rata kawan-kawan saya yang mendapat 4A telah mendapat tempat di SMA Sheikh Malek dan SMA Tok Jiring. Takdir Allah saya mendapat tempat di SMAP Labu. Walau bagaimanapun, saya tidak menerima tawaran tersebut atau sebenarnya pilihan dibuat oleh ayah saya menyebabkan saya menyambung pelajaran ke Sekolah Arab. Lebih menggembirakan apabila rakan baik saya, Fatimah juga turut menyambung pelajaran di situ. Sebulan di situ, kami dan beberapa orang lagi yang mendapat 4A dan 3A1B dalam UPSR telah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke SMAASZA. Saya buntu dan menyerahkan keputusan kepada abah dan ummi untuk memutuskannya. Mereka memutuskan untuk menerima tawaran tersebut dan saya akur memandangkan Fatimah juga turut menerimanya. Waktu itu, beberapa orang rakan sekolah rendah yang gagal mendapat tempat juga turut ditawarkan ke SMAASZA membuatkan saya lebih yakin untuk menyetujui keputusan abah dan ummi.

Saya masih ingat tarikh mendaftarkan diri ke SMAASZA iaitu pada 14 Februari 1993. Segala-galanya cukup asing buat saya dan kesedihan mula melanda diri saya apabila mengenangkan akan ditinggalkan oleh keluarga untuk menyambung pelajaran di situ. Untuk mengubat kesedihan tersebut, saya dan Fatimah memohon agar kami ditempatkan dalam dorm yang sama. Alhamdulillah permohonan kami diterima dan mulai saat itu saya dan Fatimah menjadi seperti belangkas. Kami akan berdua ke mana sahaja kami pergi malah pulang ke kampung bersama-sama apabila diberi pelepasan. Sering juga saya menumpang kereta Volkswagen kepunyaan arwah ayah Fatimah dan begitu juga sebaliknya apabila giliran abah saya datang menjemput kami. Namun itu semua memori sewaktu berada di awal persekolahan. Lama-kelamaan kami mula memberanikan diri pulang ke kampung menaiki bas henti-henti. Waktu itu bas yang paling popular adalah HIMDA. Dengan kadar tambang yang murah (saya lupa berapa tambang yang dikenakan tetapi kurang dari RM2), kami selamat tiba di kampung.

SMAASZA mengajar saya erti berdikari. Sewaktu kami mula-mula masuk ke situ, kemudahan asrama dan bilik air tidak seperti hari ini yang jauh lebih baik. Segala-galanya cukup sukar malah saya dan Fatimah pernah menceroboh tandas lelaki sewaktu pelajar lelaki menunaikan solat Jumaat kerana tandas wanita ketiadaan air. Malah itu adalah rutin kami pada setiap hari Jumaat demi untuk membasuh pakaian. Pada waktu itu, masalah ketiadaan air merupakan masalah utama di SMAASZA. Kami terpaksa bangun seawal 4.00 pagi demi untuk mandi dan bersiap ke kelas. Selalunya kami akan membaca buku sementara menunggu masuk waktu Subuh walaupun dalam banyak keadaan kami tersengguk-sengguk terutama Fatimah. Saya sering mentertawakan dia kerana mempunyai tabiat tidur yang luar biasa. Apa yang dimaksudkan dengan luar biasa biarlah saya sahaja yang tahu. Apapun, saya tetap menghormati semangatnya untuk menuntut ilmu malah dia adalah pelajar terbaik sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam soal ini, dia sentiasa menjadi juara dan akan kekal begitu dalam kehidupannya pada masa hadapan. Dia telah membuktikannya dan dia akan kekal sebagai salah seorang sahabat yang saya sayangi dalam perjalanan kehidupan di muka bumi ini. Ada ramai lagi sahabat-sahabat yang saya sayangi tetapi Fatimah antara sahabat yang sama-sama mula bertatih mengenal erti kehidupan dalam usia yang cukup mentah.

Bersambung...

Thursday, April 1, 2010

Rencam

Bismillahirrahmanirrahim...

Hujan turun mencurah-curah di luar tingkap pejabat. Sejuk. Saya masih di pejabat walau jarum menunjukkan jam 6.30 petang. Fikiran saya sarat dengan pelbagai urusan yang perlu diselesaikan menjelang bermulanya program-program pada minggu hadapan dan berakhir pada awal Jun. Sakit kepala? Sikit-sikit terasa juga tetapi saya anggap itu biasa. Tekanan kerja adalah satu perkara yang normal tetapi perlu dikawal dan ditangani dengan baik. Kekadang saya boleh hilang sabar apabila berdepan dengan pelbagai kerenah manusia tetapi apabila direnung kembali, bagaimana rasanya jika saya berada pada kedudukan manusia itu yang mungkin dalam serba kerisauan dan kesukaran? Saya cuba bersikap empati walau amat sukar merealisasikannya. Saya cuba menjadikan dunia pekerjaan ini, sekurang-kurangnya bersama anak-anak buah saya, sebagai satu dunia yang menyeronokkan dan mudah untuk diharungi. Saya cuba mengelak menjadi ketua yang ‘bossy’ kerana saya tidak gemar mendapat bos sebegitu. Saya sentiasa percaya,’what you give is what you will get’. Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak buah saya dalam menjalankan tugas terutama semasa ketiadaan saya di pejabat. Saya mahu anak-anak buah saya menjalankan tugas seikhlas mungkin, bukan kerana takutkan saya tetapi kerana sedar dan insaf bahawa jawatan yang dipegang adalah satu amanah daripadaNya yang perlu dilaksanakan sesempurna mungkin. Tiada guna jika anak-anak buah saya hanya akur apabila saya berada di sekeliling mereka tetapi kendur apabila saya tiada di sisi.

Hujung minggu lepas saya pulang ke kampung kerana sudah hampir sebulan tidak berbuat demikian. Tambahan pula saya akan kembali sibuk selepas ini. Jadi sementara berkesempatan, saya gagahkan juga untuk pulang menjenguk Abah dan Ummi. Dari kampung, saya pulang ke KL melalui Perak kerana ingin membantu adik saya yang baru mendapat pekerjaan di UPSI. Saya dan keluarga yang menemani sempat bermalam di Rumah Rehat Lenggong, Perak pada kadar yang berpatutan iaitu RM60 bagi 1 malam. Keesokkan harinya, kami bergerak ke UPSI untuk misi mencari rumah sewa untuk didiami oleh adik saya. Mengenang kisah adik saya yang seorang ini, cukup mencabar kesabaran kami sekeluarga. Namun itu semua kami anggap dugaan buat keluarga kami kerana saya percaya setiap keluarga ada cerita tersendiri. Alhamdulillah, kesabaran kami ternyata ada hikmahnya. Benar kata pepatah, sebusuk-busuk daging, dibasuh, dimakan jua. Air dicincang takkan putus. Misi selesai lebih kurang jam 8.30 malam dan kami terus bertolak pulang ke KL dan tiba pada jam 11.00 malam. Perjalanan yang cukup meletihkan tetapi memberi 1001 pengajaran kepada kami dalam mengenal erti sebuah ikatan kekeluargaan.

Di pejabat, longgokan tugasan sudah sedia menanti dan sememangnya saya jangkakan. Penat dan meletihkan tetapi itulah rencah dalam menjalani kehidupan ini. Tiada jalan pintas untuk mengecap nikmat kejayaan. Berdepan dengan kerenah manusia yang berada di puncak kuasa tetapi gagal berfikir secara positif. Terlalu selesa berada di puncak sehingga segala-galanya memerlukan dan mengharapkan pembantu hatta untuk membaca e-mel malah mengakui sendiri tidak arif dalam urusan IT. Entah kenapa saya tidak dapat menerima kenyataan-kenyataan sebegini daripada mulut manusia yang mendakwa diri mereka sebagai pemimpin. Saya sering merasakan bahawa pemimpin harus lebih tahu dan arif dengan sesuatu perkara sebelum boleh menyuruh atau mengarahkan orang-orang bawahan untuk melakukannya. Setidak-tidaknya pun berfikiran positif dan sentiasa ingin belajar ilmu-ilmu baru. Mendengar pernyataan-pernyataan seperti, ‘U tau tak kerja saya macamana? Saya ni pengarah tau. Jadi segala urusan bergantung kepada saya. bla2...’ membuatkan saya tambah meluat kerana saya percaya kepada semangat kerja berpasukan (teamwork). Pengarah dan orang bawahan saling memerlukan dan mustahil untuk bergerak secara solo tanpa bantuan pihak-pihak lain. Kadang-kadang saya terfikir, ’Mungkin dia pengarah maka kerja dia mengarah je. Sebab tu tak tahu urusan IT dan e-mel. Hmmm...’

Apapun, saya akan tetap berpegang kepada prinsip ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ atau dalam bahasa pasarnya, ‘cakap serupa bikin’ atau dalam bahasa orang kampung saya, ‘walk the talk’.

Segala-galanya bertitik-tolak dari situ sepertimana Rasulullah diutuskan dengan sebaik-baik akhlak. Baginda mempamerkan akhlak dan pekerti yang cukup murni sehingga digambarkan sebagai Al-Quran bergerak. Sukar rasanya mencapai taraf sebegitu tetapi usaha berterusan perlu dibuat dan bercita-cita untuk menjejak langkah tersebut.

Pagi ini, sewaktu dalam perjalanan ke pejabat, saya dihidangkan dengan tazkirah yang cukup indah memperkatakan tentang harapan kepada Allah dalam melafazkan perkataan Amin selepas pembacaan Al-Fatihah dalam solat. Bahawa perkataan tersebut meskipun ringkas dan mudah disebut, mengandungi satu tafsiran yang menzahirkan pengharapan manusia kepada Yang Maha Pencipta agar segala yang didambakan akan dimakbulkanNya. Harapan membuatkan manusia bernyawa dalam meneruskan kehidupan sedang manusia yang hidup tanpa harapan seolah-olah sudah mati sebelum ajal. Gantunglah seluruh pengharapan hanya kepadaNya bahawa setiap yang ditentukanNya adalah yang terbaik buat diri kita.

Wallahua’lam.