Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, March 25, 2010

Tak Seindah Wajah



KUSANGKA AUR DI PINGGIR TEBING

KIRANYA TEBU DI PINGGIR BIBIR

KUSANGKA JUJUR PANCARAN BATIN

RUPANYA PALSU PENGHIAS ZAHIR

KUKIRA HATI JIWA NURANI

SUCI SEINDAH WAJAH TERBAYANG

KUKIRA PUJI SEIKHLAS BUDI

KULUPA LIDAH TIDAK BERTULANG

DI MANIS GULA SEMUT BINASA

KAIL BERDURI BERSALUT UMPAN

DI MANIS KATA INSAN TERLENA

KERANA BUDI HAMBA TERKORBAN

INIKAH DIA LAKONAN HIDUP

DI PENTAS DUNIA INSAN BERPURA

TIPU DAN DAYA MENCAPAI MAKSUD

BUDI DAN HARTA MERANGKUM NODA

Sunday, March 21, 2010

Al-Hijamah (Bekam) lagi

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, semalam dengan izinNya saya telah berjaya menyempurnakan hasrat saya untuk berbekam. Dalam entri saya sebelum ini telah diceritakan permulaan saya mula tertarik dan ‘terjebak’ dalam kancah bekam ini. Ini merupakan bekam kali kedua buat saya dan insyaAllah akan menjadi rutin wajib pada setiap minggu atau bulan. Lebih menyeronokkan apabila kunjungan saya pada kali ini turut ditemani oleh sahabat saya, Ila. Saya kagum dengan kesungguhan rakan saya ini kerana sanggup datang dari Bangi semata-mata untuk berbekam. Baru-baru ini Ila sering mengadu mengalami pening kepala seperti migraine dan melalui perbualan di FB, ada yang menyarankan agar Ila berbekam. Mendengar perkataan bekam, saya yang sudah membuat temujanji bekam dengan seorang pengamal bekam wanita di Sri Rampai, menawarkan kepada Ila untuk turut serta. Saya sungguh gembira apabila Ila bersetuju untuk turut serta berbekam semalam dan kami telah berjumpa di Wangsa Maju sebelum sama-sama bertolak ke Sri Rampai. Saya sebenarnya mendapat tahu tentang pengamal bekam wanita ini melalui blog Ustaz Ahmad sewaktu sedang ligat mencari pengamal bekam yang berdekatan dan menawarkan harga yang berpatutan. Dari situ, adik lelaki saya telah membuat temujanji untuk berbekam dengan Ustaz Ahmad. Apabila mendapati khidmat yang ditawarkan oleh Ustaz Ahmad sangat berpatutan iaitu 10 cawan pada harga RM50, saya telah menghubungi pengamal bekam wanita yang disarankan oleh Ustaz Ahmad. Dari situ, saya mengenali Che Wan yang telah lebih setahun menjalankan perniagaan bekam.

Seperti dijanjikan, saya tiba di kedai Che Wan yang terletak di sebuah rumah kedai betul-betul bersebelahan dengan stesen minyak Esso Sri Rampai. Kedai Che Wan terletak di tingkat 2 dan berada di atas Easy RHB Bank dan kedai 7-11. Selepas berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Che Wan, kami terus bersetuju untuk berbekam. Mulanya saya teruja untuk berbekam di bahagian kepala tetapi dimaklumkan oleh Che Wan yang bekam di kepala hanya dibuat pada tarikh-tarikh tertentu bulan Islam sahaja. Satu maklumat baru yang saya pelajari iaitu bekam di kepala hanya perlu dilakukan sekali sahaja dalam tempoh setahun. Yang penting adalah bekam darah pada badan yang akan dibuat berdasarkan penyakit yang dialami. Memandangkan kami masih baru dengan rawatan bekam, Che Wan menyarankan agar kami menjalani bekam standard sahaja dengan menggunakan 10 cawan. Dari situ, sekiranya didapati darah dan kesan lebam pada titik-titik yang dibekam berwarna gelap dan darah merah pekat, ulangan proses bekam perlu dibuat sekurang-kurangnya sekali seminggu sehingga kesan lebam berkurangan. Kesan lebam pada badan bermakna masih banyak toksin dalam badan yang perlu disingkirkan. Che Wan juga memberitahu bahawa terdapat banyak asid dalam badan saya malah saya dapat merasa gelembung-gelembung yang dimaksudkan oleh Che Wan di belakang badan. Menurut Che Wan lagi, segalanya bermula dengan pemakanan dan saya tidak menafikannya.

Oleh kerana ini merupakan kali kedua saya berbekam, saya tidak lagi cuak seperti kali pertama melaluinya. Walaupun agak perit juga apabila cawan bekam divakum pada belakang badan, keperitan itu hanya seketika sahaja dan beransur hilang apabila darah kotor mula keluar daripada lubang-lubang kecil yang dicucuk dengan jarum halus. Bekam kali ini tidak seperti sebelum ini kerana Che Wan menggunakan jarum yang lebih halus. Sebelum ini jarum yang digunakan lebih besar menyebakan saya merasa pedih selepas proses bekam berakhir. Malah kepedihan tersebut berlarutan selama beberapa hari sehingga menyukarkan saya untuk mandi kerana bimbang pedih terkena percikan air. Antara tips bagi yang pertama kali berbekam, adalah dengan memperbanyakkan selawat untuk menghilangkan kepedihan semasa proses cawan divakum pada belakang badan.

Alhamdulillah, pengalaman bekam dengan Che Wan tidak seperti pengalaman sebelum ini. Kepedihan tersebut hilang selepas beberapa jam berbekam dan saya boleh mandi seperti biasa. Proses bekam pula selesai dalam masa 30 - 40 minit sahaja. Menurut Che Wan lagi, darah pekat dan kesan lebam yang agak gelap di bahagian bahu dan pinggang menandakan kandungan toksin dalam darah yang tinggi pada bahagian tersebut dan perlu diulang bekam sehingga berkurangan. InsyaAllah saya akan datang lagi pada minggu depan untuk menjalani rawatan sehingga berpuas hati dengan hasilnya.

Kesungguhan ini merupakan salah satu hasrat saya pada tahun ini untuk lebih prihatin dengan kesihatan diri. Mencegah lebih baik daripada merawat. Untuk itu, saya sanggup berhabis sedikit demi kesihatan malah sudah berfikir untuk mengajak Ummi saya untuk berbekam di bahagian lutut kerana Ummi saya sering mengalami sakit lutut selepas terlibat dalam kemalangan beberapa tahun yang lalu. Masih segar dalam ingatan saya apabila kejadian tersebut berlaku beberapa minggu sebelum majlis konvokesyen saya pada tahun 2003. Hampir-hampir Ummi saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut namun Alhamdulillah Ummi dapat hadir juga selepas puas berubat dengan pihak hospital dan secara tradisional. Kesan daripada itu, lutut Ummi sering sakit terutama apabila menuruni tangga. Kasihan dengan kesakitan yang dialami Ummi, kami cuba mendapatkan pelbagai ubatan yang ada di pasaran malah saya turut membelikan susu AlphaLipid untuk Ummi minum sebagai salah satu usaha untuk sembuh. Saya tidak tahu sejauh mana kesannya tetapi tidak salah mencubanya kan kerana saya sendiri telah menjadi salah seorang ahli New Image untuk mendapatkan harga ahli setiap kali membeli AlphaLipid.

Kunjungan bekam saya yang seterusnya insyaAllah pada hari Khamis atau Jumaat kerana saya bercadang untuk pulang ke kampung pada hujung minggu depan. Bagi yang belum pernah berbekam, tidak perlu takut untuk melakukannya kerana keyakinan utama yang membuatkan saya nekad untuk berbekam adalah kerana ia adalah sunnah Rasulullah. Saya kira kenyataan itu sahaja sudah cukup membuatkan saya berani untuk melakukannya dengan keyakinan tambahan bahawa apa jua rawatan yang saya lalui adalah sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan agar saya dapat menjalankan ibadah di muka bumi-Nya dengan lebih baik. Saya hanya mampu berusaha namun Dia jua yang menentukannya sama ada usaha saya ini berbaloi atau tidak tetapi secara fizikal saya dapat merasakan kesan selepas berbekam. Badan saya terasa lebih ‘lega’ dan ‘ringan’. Jika sebelum ini, saya sering merasa badan sakit-sakit dan cepat penat, ia berkurangan sebaik menjalani bekam. Justeru, saya tidak ragu-ragu untuk melakukannya lagi.

Bagi wanita yang tinggal berdekatan Wangsa Maju atau Sri Rampai dan berminat untuk berbekam, boleh menghubungi Che Wan (0172979575) kerana beliau hanya membuat rawatan berdasarkan temujanji sahaja. Blog Che Wan pula boleh dicapai di www.urutdanbekam.com. Saya dimaklumkan Che Wan turut membuat rawatan bekam kepada lelaki tetapi kebiasaannya mereka datang bersama pasangan masing-masing. Namun saya lebih menyarankan agar bagi lelaki, boleh berbekam dengan Ustaz Ahmad yang beroperasi di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya. Info terperinci tentang nombor telefon dan lokasi boleh rujuk blog beliau http://bekamsunnah.com/. Nampaknya ini promosi percuma untuk beliau tetapi saya rasa tidak salah jika perkara baik dikongsi-kongsikan.

Satu perkara yang saya puji tentang Che Wan adalah beliau tidak memaksa kami untuk berbekam melebihi 10 cawan memandangkan kami masih berada di peringkat awal bekam. Berbeza dengan pengamal bekam yang pernah saya temui sebelum ini, terus menyarankan kepada saya untuk melakukannya dengan 20 cawan sedangkan itu merupakan kali pertama saya berbekam. Sudahlah harga yang dikenakan jauh lebih mahal.

Kini, hijamah/bekam akan menjadi rutin wajib saya pada setiap minggu/bulan bergantung kepada keputusan bekam pada minggu hadapan.

Friday, March 19, 2010

Pujian Ke?

Bismillahirrahmanirrahim...

Seperti biasa, selepas 2 hari meninggalkan pejabat untuk urusan luar, pasti ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan segera. Tambahan pula beberapa program utama kendalian seksyen saya sudah semakin hampir iaitu pada awal bulan April dan akan berlarutan sehingga akhir bulan Mei.

Sedang saya leka menyiapkan beberapa kerja dan menaip beberapa dokumen, seorang pegawai di bahagian yang sama menegur saya melalui sistem communicator (macam YM tapi hanya untuk pengguna dalaman). Berikut antara perbualan kami yang membuat saya tersenyum dan jauh di sudut hati terbit rasa puas hati.


Meskipun bekas bos saya tidak menyatakannya di hadapan saya, kesanggupan dia menyatakannya di hadapan pegawai sendiri dan terpaksa mengarahkan pegawai tersebut merujuk kepada saya untuk mendapatkan bantuan, sudah cukup untuk membuat saya tersenyum. Secara tidak langsung, saya memahami bahawa segala kerja yang saya lakukan selama berada di bawah penyeliaannya diiktiraf dan diakui ada mutu tersendiri. Malah ada lagi perbualan antara saya dan pegawai tersebut yang menggambarkan bahawa bekas bos saya itu mengiktiraf hasil kerja saya sebelum ini. Itu sudah cukup untuk membuat saya tersenyum tapi Nauzubillah! Bimbang juga rasa riak terbit dan mekar di hati. Setidak-tidaknya saya mampu berpuas hati kerana walaupun hubungan saya dan beliau sebelum ini agak kurang baik, iaitu semasa saya menjadi pegawai bawahan beliau, beliau sebenarnya mengakui mutu hasil kerja saya. Satu perkara yang sentiasa pegang, meskipun saya mempunyai masalah dengan kakitangan atasan atau bawahan, tugas dan tanggungjawab yang diberikan wajib saya laksanakan sebaik mungkin. Ini kerana pendapatan tetap saya perolehi malah tidak pernah berkurang biarpun saya berdepan dengan konflik. Justeru, saya yakin kebenaran akan tetap terserlah walaupun mungkin terlewat namun hidup memang begitu, harga kemenangan jauh lebih mahal dari sebuah kekalahan.

Kekadang saya tersenyum sendiri apabila mengenang keperitan dan kepedihan sewaktu berada di bawah seliaan beliau. Saya akui saya mengenali beliau sebelum itu tetapi ternyata hubungan menjadi jauh berbeza apabila saya menjadi pegawai bawahan beliau. Dari situ, saya beranggapan,

1. Ada orang yang boleh jadi kawan sahaja;
2. Ada orang yang boleh jadi pekerja-majikan sahaja;
3. Ada orang yang boleh jadi kedua-duanya; dan
4. Ada orang yang tidak boleh jadi kedua-duanya.

Ternyata saya tidak boleh menjadi kedua-duanya dengan beliau. Sepertimana kita disuruh diam sahaja apabila suasana tidak terkawal, begitu juga pendirian saya terhadap beliau. Saya bukan kawan malah bukan musuh kepada beliau. Namun menjauhi adalah lebih baik. Suasana menjadi cukup tegang antara kami sehingga saya dinaikkan pangkat dan berada di jawatan yang sama dengan beliau. Malah saya juga dituduh sebagai ‘perampas kuasa’ kerana mengambilalih jawatan beliau di tempat sekarang dan beliau diarahkan menyelia seksyen lain. Namun saya yakin, setiap yang berlaku adalah yang terbaik buat kami berdua. Saya tidak menyimpan dendam kepada beliau tetapi saya akui menjadi lebih berhati-hati apabila berurusan dengan beliau.

Thursday, March 18, 2010

Pengurusan Kewangan 2

Bismillahirrahmanirrahim...



Seminggu sebelum bercuti ke Medan, saya nekad ke Menara Celcom pada hari Sabtu untuk menukar pelan talian daripada Minute Plan kepada Executive Plan. Purata bil saya pada setiap bulan dengan Minute Plan adalah sekitar RM120 – RM150 dan kadang-kadang mencecah angka RM200 terutama apabila saya sibuk dengan program luar. Sebenarnya pada kedudukan sekarang, saya layak memohon tuntutan daripada jabatan sebanyak RM100 sebulan sekiranya menggunakan talian untuk tujuan rasmi tetapi entah kenapa hati saya bimbang sekiranya tuntutan yang dibuat tidak setimpal dengan curahan tenaga yang diberi. Malah saya sering bimbang jika kadar tuntutan lain yang saya buat terlebih atau dalam erti kata lain, saya mengambil sesuatu yang bukan hak saya. Justeru, saya sering mengelak jika tuntutan tersebut masih mampu saya bayar dengan pendapatan bulanan yang diterima. Cukup risau sebenarnya jika hasil yang diterima tidak berkat. Saya cukup percaya dengan keberkatan, rezeki yang sedikit akan terasa banyak dan sebaliknya. Malah dengan keberkatan juga, pintu rezeki akan semakin terbuka luas, insyaAllah.

Selepas sebulan menukar pelan talian, hari ini saya menerima bil telefon melalui e-mel bagi penggunaan pertengahan bulan Februari sehingga pertengahan Mac. Alahai, jumlahnya jauh lebih murah (RM53.25) daripada biasa dan saya sunguh gembira dengan jumlah tersebut. Memang jauh berbeza dengan pelan sebelum ini. Rasa menyesal pun ada juga sebenarnya huhu. Sepatutnya saya menukar pelan ini lebih awal. Sudah tentu lebih banyak wang yang dapat saya jimatkan pada setiap bulan. Selepas saya nekad serius menyusun atur kembali keadaan kewangan peribadi, saya mula merekod setiap sen dan ringgit yang saya gunakan. Bukan saya tidak pernah melakukan perkara ini sebelum ini tetapi tidak istiqamah. Sering saja menjadi hangat-hangat tahi ayam. Lantas banyak perancangan yang terbengkalai. Tahun ini saya nekad. Tindakan agresif dan tegas harus diambil untuk merangka kewangan peribadi secara serius. Niat saya hanya satu, ingin memberi sebanyak mungkin terutama kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga. Allah anugerahkan saya dengan pelbagai nikmat sejak dari dulu untuk saya kembangkan dan kongsi dengan mereka yang berhak. Dulu saya sering tertanya-tanya apa guna mencari harta yang banyak di dunia ini. Saya silap. Dunia jambatan akhirat. Hanya jambatan yang kukuh binaannya akan mampu menjalankan peranannya dengan sebaik mungkin. Saya mungkin membina untuk diri saya sendiri tetapi pada masa yang sama, jambatan itu boleh turut digunakan oleh orang lain terutama ahli keluarga untuk menyeberang. Saya ingin membina jambatan yang indah agar penyeberang-penyeberang yang melaluinya akan dapat menikmati setiap inci perjalanan mereka dengan kenangan yang manis. Saya ingin mereka merasa selamat tika melangkah meniti laluannya. Saya ingin melaluinya dan menempuh saat-saat manis serta indah bersama insan-insan yang saya sayangi.

Apabila saya hitung kembali, pengurusan kewangan saya sememangnya agak bercelaru. Akaun-akaun yang dulu saya susun terbengkalai sejak setahun yang lalu. Jika pun dikemaskini, pasti ada lompong di sana sini. Akhir-akhir ini saya aktif dan banyak menghabiskan masa membaca artikel-artikel kewangan terutama berkaitan bidang hartanah. Satu bidang yang cukup menarik hati saya sejak dulu tapi hanya saya biarkan beku di situ sahaja. Saya cuba memahami perkara-perkara pokok dalam pengurusan hartanah, satu bidang yang mempunyai prospek yang menguntungkan jika disertai dengan ilmu yang mencukupi. Antara laman yang sering menjadi tempat saya bertenggek adalah Bicara Jutawan. Pelbagai topik dan perkara dikongsikan oleh mereka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Langkah pertama saya adalah untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu daripada pakar-pakar yang telah berjaya. Sasaran utama adalah dengan membaca buku tulisan mereka dan Pesta Buku yang akan bermula esok bakal menjadi tempat untuk saya kunjungi pada hujung minggu ini. Saya sudah terbayang untuk memborong buku-buku tulisan Azizi Ali, Irfan Khairi dan beberapa buah buku lagi yang boleh menambah kefahaman saya tentang pengurusan kewangan.

Langkah seterusnya adalah mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh kepada aset sedia ada yang saya miliki. Tunggu :)

Monday, March 15, 2010

Sempatkah?

Bismillahirrahmanirrahim…



Tadi saya tergerak hati untuk menyemak status pendaftaran sebagai jemaah haji yang saya buat kira-kira setahun yang lalu. Alhamdulillah permohonan saya diterima tetapi apabila melihat tahun saya layak menunaikan Haji saya tergamam. Tahun 1445H iaitu 14 tahun dari sekarang (1431H).

Sempatkah usia saya mencecah 45 tahun? Sempatkah saya menjejakkan kaki ke Tanah-Mu yang suci itu lagi Ya Allah? Benar kata orang, sekali kita menjejakkan kaki ke situ, pasti hati kita akan menggamit untuk kembali lagi. Saya akui perkara itu benar malah sungguh benar. Ada satu perasaan yang indah dan mendamaikan hadir dalam sanubari setiap kali saya teringat saat menunaikan umrah bersama keluarga pada tahun lepas. Malah masih ada rasa seolah-olah tidak percaya saya sudah pernah menjejakkan kaki ke sana. Terasa masa yang berlalu sungguh pantas sehingga tidak sedar bulan Jun bakal menjelma lagi pada tahun ini. 4 Jun 2010 kelak genap setahun tarikh keramat saya dan keluarga ke sana. Bilakah akan berpeluang merasai keindahan dan kedamaian itu lagi?

Sempatkah?

Kini saya berusaha memastikan sejumlah wang didepositkan secara konsisten ke dalam akaun Tabung Haji saya pada setiap bulan sehingga mencecah jumlah yang melayakkan saya ditawarkan menjadi jemaah haji. Semoga kesungguhan saya ini akan membuka ruang agar peluang ke sana lebih terbuka. Siapa tahu giliran itu akan sampai lebih cepat jika wang tabungan saya telah mencukupi. Manusia merancang namun perancangan Allah nyata lebih hebat.

Sunday, March 14, 2010

PENGURUSAN KEWANGAN

Bismillahirrahmanirrahim…

Blog saya agak lemau dan lesu akhir-akhir ini gara-gara saya sibuk membuat persiapan bagi program-program kendalian seksyen. Saya sendiri agak kecewa dengan prestasi tahap kemaskini blog ini tetapi azam saya untuk sentiasa menambahbaik dan memperbaiki kelemahan tersebut.

Semalam saya dan adik-adik ke PWTC untuk mengunjungi MATTA Fair. Jujurnya belum ada sebarang perancangan kembara tetapi sekadar ingin melihat-lihat dan meninjau tawaran pakej yang ada di samping mendapatkan maklumat tempat-tempat menarik untuk dikunjungi.

Hari ini pula saya bergegas ke Glory Beach Port Dickson untuk memenuhi jemputan menyampaikan taklimat kepada pegawai-pegawai baru. Taklimat dijadualkan bermula pada jam 11 pagi dan saya bertolak dari rumah pada jam 10 pagi. Mujur keadaan jalan raya lengang membuatkan perjalanan saya lancar tetapi saya akui merempit dengan kelajuan yang tidak sepatutnya dan Alhamdulillah saya tiba dengan selamat pada jam 11 pagi. Entah kenapa taklimat kali ini saya agak sedikit terganggu menyebabkan percakapan saya tersekat-sekat dan kekadang hilang kata-kata. Saya sungguh tidak berpuas hati dengan kekurangan yang berlaku. Mungkinkah kelewatan saya mempengaruhi persembahan saya?

Usai makan tengah hari, saya bertolak pulang ke KL dan memandu dengan santai menyebabkan saya tiba di rumah pada jam 4 petang. Masa yang terluang saya isi dengan pembacaan mengenai pengurusan kewangan. Akhir-akhir ini saya begitu bersemangat untuk membedah dan merangka kembali keadaan kewangan peribadi. Saya fikir sudah tiba masanya (sepatutnya lebih awal lagi) saya mengambil serius tentang soal ini. Untuk itu, saya ghairah membaca blog tokoh-tokoh yang telah berjaya seperti Dr. Irfan Khairi, Azizi Ali dan beberapa orang lagi yang menarik perhatian saya untuk mendalaminya. Saya ingin serius merencana pengurusan kewangan peribadi agar impian saya untuk bebas kewangan tercapai. Lebih utama, saya ingin lebih banyak memberi. Untuk mampu memberi, saya harus memiliki barang yang ingin diberikan. Justeru, saya ingin memiliki lebih banyak aset agar saya lebih mampu memberi. Salah satu bidang yang menarik perhatian saya adalah hartanah dan emas. Saya dapati kedua-dua bidang ini menjadi tumpuan dan memberi pulangan yang baik pada masa kini.

Bagi jangka masa pendek, berikut tindakan-tindakan yang perlu saya ambil:

  • Saya akan merangka semula pergerakan keluar-masuk wang gaji terutama aliran kepada akaun simpanan.
  • Saya kurang serius ‘membayar kepada diri sendiri’ setiap kali menerima wang gaji. Selepas ini saya akan pastikan saya ‘membayar diri saya sendiri’ terlebih dahulu sebelum saya menjelaskan bayaran-bayaran lain.
  • Saya akan elakkan pembelian barang-barang yang tidak perlu dan tidak dirancang.
  • Saya akan catat urusan wang keluar pada setiap hari agar saya dapat menilai kembali jumlah yang boleh dihadkan untuk dibelanja pada setiap hari.
  • Membeli buku-buku mengenai pengurusan kewangan dan mempraktikkannya. Minggu hadapan Pesta Buku Antarabangsa akan diadakan di PWTC dan saya merancang untuk ke sana bagi memborong beberapa buah buku mengenai pengurusan kewangan.

Akhir-akhir ini juga saya kerap melayari laman web bank-bank tempatan untuk melihat tawaran pinjaman perumahan yang disediakan oleh bank yang berubah-ubah mengikut ekonomi semasa. Saya juga seronok membaca pelbagai tips yang diberikan oleh pakar-pakar kewangan seperti Azizi Ali dan terbaru saya gemar melayari laman KC Lau. Tips-tips yang dikongsikan ternyata amat mudah untuk dipraktikkan tetapi tidak disedari selama ini oleh kita. Ramai yang mengambil mudah soal pengurusan kewangan sehingga berada dalam situasi mendesak seperti terjebak dalam hutang kad kredit. Malah saya akui saya sendiri pernah terjebak dalam keadaan tersebut tetapi saya bernasib baik kerana cepat tersedar. Kini saya hanya memiliki sekeping kad kredit bagi tujuan kecemasan dan keperluan pembelian secara atas talian sahaja. Sebelum ini saya memiliki 3 keping kad kredit yang mana hanya 1 sahaja digunakan dan 2 keping lagi hanya digunakan apabila perlu sahaja. Sebaik Bajet 2010 dibentangkan dengan peraturan baru iaitu kad kredit akan dicaj sebanyak RM50 setiap tahun, saya bertindak menutup kad tersebut. Jika tidak, sudah pasti saya terpaksa membayar RM100 bagi 2 keping kad yang tidak saya perlukan. Bukankah itu satu pembaziran yang nyata? Lebih baik dan berkat rasanya jika jumlah itu didermakan kepada yang layak.

Buat masa sekarang, yang pasti saya perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu secukupnya sebelum saya menjebakkan diri dalam bidang tersebut.

Sunday, March 7, 2010

Kembara Medan (Hari 2 - Finale)

Bismillahirrahmanirrahim…

Atas faktor kesuntukan masa, saya ‘link’kan saja kisah Kembara Medan baru-baru ini daripada blog keluarga.