Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, February 26, 2010

Kembara Medan – Hari 1 (13-02-2010)

Bismillahirrahmanirrahim…

Akhirnya, hari yang ditunggu tiba. Seolah-olah tidak percaya pun ada tapi pada masa yang sama, saya sungguh teruja. Masakan tidak, kembara kali ini disertai oleh hampir semua ahli keluarga saya kecuali keluarga abang sulung saya kerana bertugas di luar Negara.

Memang saya risau kerana segala-galanya diuruskan oleh saya. Bermakna jika berlaku sedikit kekecohan, saya adalah orang yang akan dipersalahkan. Namun saya berdoa sungguh-sungguh semoga kembara kami pada kali ini berjalan lancar dan dipermudahkanNya.

Bagi kembara kali ini, saya nekad untuk tidak membawa pakaian yang banyak dan menggunakan travel bagpack sahaja. Saya hanya membawa 2 helai seluar dan 3 helai t-shirt sahaja kerana berhasrat untuk membeli yang selebihnya. Malam itu saya tidur lena dan bangun seawal jam 6.00 pagi. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Nampaknya masing-masing sungguh teruja untuk menaiki kapal terbang terutama anak-anak saudara saya.

Usai sarapan, lebih jam 10.00 pagi, kami bertolak ke Carrefour Wangsa Maju untuk membuat pertukaran matawang kerana kadar pertukaran yang lebih tinggi jika ditukar di sana. Maknanya kami sudah bergelar jutawan sebelum bertolak ke sana :)



Selesai urusan, kami terus bertolak ke pejabat saya di Putrajaya kerana kami merancang untuk memarkir kenderaan di situ. Dari situ kami akan menaiki 2 buah teksi eksekutif (NazaRia) yang telah saya tempah lebih awal sebelum ini dengan syarikat teksi Putrajaya. Kami tiba di sana jam 12.00 t/hari dan teksi tiba pada jam 12.30 t/hari.



Alhamdulillah kami tiba di KLIA jam 1.15 petang dan kami terus bergegas ke kaunter untuk mendaftar masuk. Oleh kerana kami akan mendaftar masuk secara kumpulan, kami diarahkan ke kaunter L16. Saya kumpulkan semua paspot ahli keluarga dan memberinya kepada kakitangan bertugas beserta tiket penerbangan yang telah saya tempah pada tahun lepas. Di sini berlaku 2 insiden yang cukup mendebarkan dan hampir-hampir menyebabkan percutian kami terbatal. Malah kerana insiden tersebut, saya telah bernazar untuk berpuasa 1 hari sekiranya insiden tersebut dapat diselesaikan dan kami berjaya menjejakkan kaki ke Medan.

Insiden pertama timbul apabila nama abang kedua saya di dalam tiket tidak sama dengan yang tercatat dalam I/C dan paspot. Saya terpaksa bertegas mengatakan bahawa kedua-dua nama tersebut adalah orang yang sama dan akhirnya kakitangan tersebut menerima kenyataan saya. Memang geram dan terkejut juga kerana tidak menyangka nama abang saya berlainan dengan kami iaitu abang saya tidak memasukkan nama @Abu Bakar di hujungnya.

Selesai insiden pertama, insiden kedua pula timbul di mana saya telah tersilap memasukkan nama ayah bagi salah seorang anak saudara saya. Rupa-rupanya saya telah meletakkan nama ayah saya pada nama anak saudara saya. Allahuakbar! Terduduk rasanya kerana kesilapan itu memang berpunca daripada saya yang tersilap sewaktu membeli tiket dulu. Mungkin kerana kekeliruan menempah tiket untuk 19 orang.

Kakitangan tersebut memaklumkan yang pindaan tidak dapat dibuat kerana dianggap kesalahan besar. Jalan penyelesaiannya adalah dengan membeli tiket baru sahaja berjumlah RM748. Memang saya terkejut dengan jumlah yang dikenakan tetapi saya tiada pilihan. Saya merasa sungguh bersalah kerana kesilapan tersebut berpunca daripada saya sendiri. Hampir 1 jam saya berbincang dengan kakitangan tersebut agar memberi saya alternatif lain yang lebih baik selain membeli tiket baru. Mulanya saya dimaklumkan pindaan boleh dibuat jika hanya berlaku ejaan pada nama dengan bayaran RM150 tetapi oleh kerana kesalahan yang berlaku dianggap besar maka pindaan tidak dapat dibuat. Ahli keluarga saya juga sudah semakin resah kerana proses mendaftar masuk yang memakan masa lama.

Penerbangan dijadualkan pada jam 3.10 petang. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 petang sedangkan urusan kami masih belum selesai. Saya perlu cepat membuat keputusan atau bakal berdepan dengan kemungkinan yang pahit. Akhirnya, saya bersetuju untuk membeli tiket baru tersebut dan meminta ahli keluarga yang lain untuk beredar masuk ke balai pelepasan terlebih dahulu. Hanya saya dan adik lelaki sahaja diiringi kakitangan MAS bergegas ke kaunter jualan yang terletak di tingkat bawah. Alhamdulillah urusan selesai dengan segera dan kami bergegas menyertai anak saudara dan keluarga untuk bergegas ke balai pelepasan. Kakitangan tersebut berusaha sedaya upaya untuk membantu kami dengan mengiringi kami sehingga ke pintu masuk. Malah kami tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan dan dibawa terus memasuki kapal terbang. Sudah pasti banyak mata yang memandang kami yang menjadi orang terakhir memasuki kapal terbang.

Saya menghela nafas lega walaupun terpaksa mengorbankan sejumlah wang atas kesilapan saya sendiri. Pada waktu itu, wang bukan perkara utama kepada diri saya. Ada sesuatu yang jauh lebih penting yang perlu saya utamakan. Sesungguhnya Allah ingin menguji saya sejauh mana dapat menilai erti sebuah keluarga berbanding wang. Saya memilih keluarga berbanding wang. Wang boleh dicari tetapi sekali keluarga terluka, hidup tidak akan tenang.

Sebaik saya duduk, adik saya menghulurkan sejumlah wang kepada saya. Rupa-rupanya adik-beradik saya telah mengumpulkan wang di antara mereka sewaktu saya cemas menguruskan pembelian tiket baru. Kolam air mata saya bertakung tetapi cuba saya tahan. Sebenarnya saya sudah tidak kisah membayar tiket baru tersebut kerana kesilapan berpunca daripada diri saya sendiri dan untuk anak saudara saya sendiri.

Penerbangan memakan masa selama 30 minit sahaja dan kami tiba di Polonia Airport yang sungguh sederhana. Setiba di sana, kami diminta mengisi sekeping kad untuk tujuan pemeriksaan imigresen. Sedikit kekalutan timbul apabila kami diserang sekumpulan lelaki yang ingin membantu mengangkat beg-beg kami menggunakan troli. Sebelum ini, melalui bacaan di blog rakan-rakan yang pernah datang ke sini, saya difahamkan mereka akan mengenakan bayaran selepas membantu mengangkat beg-beg tersebut. Saya terpaksa bertegas apabila ada yang cuba mengangkat beg kami ke atas troli tanpa kebenaran.

Di luar airport, ejen Mutiara Holidays (Pak Dian) telah sedia menunggu bersama sebuah bas coaster, pemandu pelancong (Pak Untung), pemandu bas dan pembantu pemandu. Ejen tersebut memegang sehelai kertas yang mencatatkan ‘Karimah Family Group’. Mulanya saya risau juga kerana selama ini saya hanya berurusan melalui telefon dan e-mel sahaja dengan Pak Dian. Ternyata Pak Dian memenuhi semua perkara yang dijanjikan. Dari airport, kami dibawa untuk makan tengah hari di sebuah restoran minang dan saya berurusan dengan Pak Dian untuk menyelesaikan urusan bayaran. Sebelum ini saya hanya membayar deposit sahaja sebanyak RM500 kepada Pak Dian.









Dari situ, kami dibawa untuk check-in di Hotel Garuda Citra yang bertaraf 2 bintang. Saya tidak kisah soal bintang hotel kerana sememangnya saya sendiri yang meminta Pak Dian mengaturkan penginapan yang sederhana demi untuk mendapatkan kadar pakej yang rendah. Namun ternyata penginapan yang disediakan adalah baik dan memuaskan hati.

Selesai check-in, kami berehat di bilik masing-masing. Pada malamnya, kami berkunjung ke sebuah kompleks yang terletak tidak jauh daripada hotel. Sungguh kelakar apabila melihat ayah saya bermain permainan menembak yang ada di situ. Selesai membeli bekalan makanan, kami pulang ke hotel untuk berehat kerana esok akan menempuh perjalanan selama 4 jam menuju ke Danau Toba.

Wednesday, February 24, 2010

PERTEMUAN YANG TIDAK DISANGKA

Bismillahirrahmanirrahim...

Sejak saya mula mengetahui tempat asal seorang pegawai baru di pejabat saya sama dengan tempat kelahiran saya, hati ini meronta-ronta untuk mendapatkan kepastian daripada beliau. Saya memang yakin pernah melihat wajah beliau sebelum ini tetapi tidak dapat difikirkan di mana lokasi dan masanya. Namun saya yakin dan pasti mengenali beliau apabila melihat raut wajah dan nama beliau. Perasaan itu bukan kerana saya menaruh rasa terhadap dia tetapi lebih kepada tautan ukhuwwah yang pernah wujud sebelum ini.

Malam tadi hati saya teringat kepada orang-orang yang pernah saya kenali sewaktu zaman kanak-kanak termasuk rakan-rakan abah saya sendiri. Hati saya tegas mengatakan bahawa beliau adalah salah seorang daripada orang-orangnya. Lantas saya SMS abah pada jam 12.00 tengah malam untuk mendapatkan kepastian. Mendengarkan jawapan abah, hati saya lebih kuat mengatakan bahawa tekaan saya nyata benar dan tepat.

Usai Solat Subuh, saya bersiap dan bertolak ke pejabat. Di dalam kepala sudah merangka untuk bertemu wajah dengan beliau dan mendapatkan kepastian. Saya minta salah seorang pegawai memaklumkan kepada beliau agar datang berjumpa saya di bilik.

Dengan wajah cuak, beliau duduk di hadapan saya. Saya hanya tersenyum melihat reaksi beliau kerana pasti beliau tertanya-tanya sebab musabab saya memanggil dia.

Boleh saya tahu kenapa puan nak jumpa saya?” ujar beliau dengan nada cemas.

K, saya ada satu pertanyaan tentang awak. Entah kenapa hati saya kuat mengatakan yang saya pernah melihat awak sebelum ini tapi saya kurang pasti di mana. Saya memang yakin pernah melihat awak sebelum ini,” tutur saya meluahkan apa yang terbuku di fikiran.

Muka K bertambah cuak dan cemas. Pelbagai andaian diberikan kepada saya. Risau juga dianggap ingin mengayat atau menggatal pula. Saya tersenyum lagi.

Macam ni, awak tinggal di mana di bandar Dungun?” soal saya kepada K.

Saya tinggal di Taman Anjaria,” jawab K.

Hati saya semakin berdebar-debar menanti jawapan seterusnya daripada K.

Rumah saya berdekatan dengan jalan besar,” sambung K lagi.

Kenal tak Pok Ya yang naik kereta Toyota tu?” soal saya kepada K.

Eh, kenal. Arwah ayah dulu selalu minta tolong Pok Ya betulkan rumah kalau ada kerosakan,” cerita K dengan kehairanan.

Ayah awak dulu kerja cikgu ke?” soal saya lagi.

Ya. Dia bekas cikgu tapi dah lama meninggal,” terang K.

Muka emak awak macam Cina ke?” tambah saya.

Muka K semakin kehairanan mendengar soalan saya.

A’a memang emak dulu muka Cina,” jawab K dengan pandangan penuh tanda tanya.

Anak Cikgu Deraman kan? Kenal Ustaz Kor (nama panggilan ringkas abah saya, Ustaz Abu Bakar) tak?” soal saya dengan senyuman yang semakin lebar.

Kenal. Ustaz Kor tu dulu kawan baik arwah ayah. Puan kenal ke?” soal K kepada saya.

Itu ayah saya,” jawab saya dengan senyuman yang masih berbunga di bibir.

K tercengang seolah-olah tidak mempercayai kata-kata yang keluar dari mulut saya sebentar tadi.

Astaghfirullahala’zim, anak Ustaz Kor ke?” ujar K dengan nada terkejut.

Benar, itu ayah saya...”

Perbualan kami berterusan dan meleret-leret kembali kepada zaman kanak-kanak yang pernah ditempuh. Memang benar ayah K dan abah saya adalah kawan baik sejak dari zaman muda lagi. Mereka sama-sama bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah di sekitar Dungun malah terdapat beberapa gambar yang berada dalam simpanan saya mengandungi gambar ayah K dan abah saya.

Adik-beradik K 5 orang dan K adalah anak kedua. Beliau mempunyai seorang kakak, seorang adik perempuan dan 2 orang adik lelaki. Dulu saya rapat dengan adik-adik K dan sering bermain bersama kerana keluarga K kerap berkunjung ke rumah kami. Memang ayah K dan abah saya rakan baik malah menjadi teman ke laut setiap kali cuti sekolah. Segala memori indah yang pernah dilalui semasa zaman kanak-kanak mengisi butir perbualan kami dan kisah-kisah lalu diungkit semula. Sesungguhnya kenangan itu indah untuk diingati dan zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling manis.

Namun begitu, K rapat dengan abang-abang saya kerana jarak usia mereka yang hampir sedangkan kami rapat dengan adik-adik K. Rumah K merupakan antara tempat kunjungan rutin termasuk pada waktu malam malah abah saya akan berbual panjang dengan ayah K setiap kali berhubung melalui telefon. Segala-galanya berubah apabila kami semakin meningkat dewasa dan sibuk dengan urusan pembelajaran masing-masing. Emak K pula meninggal dunia akibat barah payu dara dan ayah K meninggal akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang. Sejak itu hubungan kami terputus dan membesar dalam dunia masing-masing. Pun begitu, adik perempuan saya masih berhubung dengan salah seorang adik lelaki K yang memang terkenal dengan ‘banyak mulut’ sewaktu zaman kanak-kanak. Dek kerana sikap ‘banyak mulut’ dia, kami lebih akrab dan gemar ‘bergaduh’ dengan dia.

Kini K dan adik-adik sudah menjadi anak yatim piatu dan abah saya kehilangan salah seorang teman baiknya. K dan 3 orang adik-beradiknya juga telah berkeluarga dan hanya tinggal yang bongsu sahaja masih meneruskan latihan untuk menjadi polis. K berhasrat untuk menyambung kembali tali ukhuwwah yang pernah terjalin antara kami dengan saling berkunjung dan saya turut mempelawa K singgah di rumah kami di Dungun jika berpeluang kembali ke sana sambil menjenguk kandang kambing abah saya.

Segala-galanya cukup manis dan indah untuk dikenang. Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan ini tetapi kenangan hidup itu tetap indah...

Subhanallah!

Saturday, February 20, 2010

HORAS ! HORAS!

Bismillahirrahmanirrahim…


Setinggi-tinggi kesyukuran dan puji-pujian saya panjatkan kepada Allah SWT kerana mempermudahkan percutian saya dan keluarga di Medan, Indonesia pada 13 hingga 17 Februari 2010. Saya bersyukur kerana percutian yang dirancang selama berbulan-bulan akhirnya telah berjalan dengan lancar dan baik meskipun berdepan dengan insiden yang benar-benar menguji kami sekeluarga. InsyaAllah, insiden tersebut akan saya kongsikan dalam entri-entri akan datang yang akan memuatkan catatan percutian kami untuk diabadikan dalam blog ini atau boleh dijadikan rujukan kepada rakan-rakan yang berhasrat berkunjung ke sana.

Lega rasanya apabila perkhidmatan yang diterima daripada ejen pelancongan di sana bersesuaian dengan kadar yang ditawarkan dan secara keseluruhannya kami amat berpuas hati dengan servis yang diberikan sepanjang percutian tersebut. Berbaloi-baloi melaburkan wang untuk menjayakan percutian ini. Saya berharap agar percutian begini akan menjadi acara tahunan kepada keluarga saya di samping ingin meraikan pengorbanan Abah dan Mi kerana membesarkan kami selama ini sehingga berjaya berdikari. Melalui percutian ini juga, kami dapat mengambil peluang mengeratkan tali silaturrahim antara ahli keluarga yang jarang-jarang dapat berkumpul bersama atas faktor kerjaya dan kewangan.

Saya kini sedang gigih menyiapkan kandungan catatan perjalanan sepanjang berada di sana untuk dijadikan rujukan kepada ahli keluarga dan panduan kepada sesiapa yang berhajat untuk berkunjung ke sana.

Meskipun pening memikirkan akan kembali sibuk dengan urusan kerja di pejabat, saya positif. Sesungguhnya percutian pada kali ini benar-benar memberi 1001 pengajaran kepada kami semua untuk dijadikan panduan dan peringatan dalam menempuh kehidupan ini.

Wassalam.

Thursday, February 11, 2010

IMPIAN JADI REALITI

Bismillahirrahmanirrahim...

Hanya tinggal 2 hari sahaja lagi impian saya dan ahli keluarga akan menjadi realiti. Kami (menggelarkan diri sebagai Bakarianz) seramai 19 orang akan berlepas ke Medan, Indonesia. Tidak sabar rasanya menunggu ketibaan hari yang telah dirancang sejak tahun lepas. Alhamdulillah, saya berjaya mengumpulkan hampir kesemua ahli keluarga kecuali abang sulung saya yang tidak dapat turut serta kerana bertugas di luar negara.

Pada awalnya, saya tidak menjangka cadangan yang disuarakan kepada ahli keluarga sebaik melihat harga promosi yang ditawarkan oleh MAS, diterima dengan baik. Tempahan tiket telah saya buat pada 7 September 2009 iaitu pada bulan Ramadhan. Mulai dari saat itu, saya secara beransur-ansur mula mendapatkan maklumat daripada teman-teman yang pernah berkunjung ke sana untuk membuat persiapan bagi penginapan dan makan minum. Berpuluh-puluh agensi pelancongan di Malaysia telah saya hubungi untuk mendapatkan kadar pakej yang berpatutan memandangkan kami akan pergi secara berkumpulan. Lebih mudah rasanya menggunakan khidmat ejen untuk mengelakkan banyak masa dihabiskan untuk merancang perjalanan dan pergerakan sesama kami sendiri. Hampir kesemua ejen yang saya hubungi menawarkan pakej dengan harga RM500++ /seorang dan ada yang mencecah RM700/seorang bergantung kepada hotel penginapan yang ditawarkan. Kadar tersebut saya rasa agak membebankan memandangkan kami akan pergi dalam jumlah yang agak ramai. Dalam kebuntuan, saya teringat saranan seorang teman yang pernah ke sana sebelum ini agar menggunakan khidmat ejen di sana untuk mendapatkan harga pakej yang lebih murah.

Dari situ, saya mula mendapatkan maklumat tentang agensi pelancongan yang ada di Medan melalui Internet. Pelbagai laman web saya temui dan cuba menghubungi mereka melalui e-mel dengan menyatakan hasrat kami yang telah menempah tiket penerbangan pada 13 Februari 2010. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya sebuah agensi dari sana Mutiara Holidays telah menghubungi saya sendiri melalui telefon dan menyatakan hasrat mereka untuk membantu dan menawarkan harga pakej yang berpatutan. Saya benar-benar merasa dihargai selaku pelanggan apabila mereka sanggup menghubungi saya sendiri dari Medan untuk menyatakan kesediaan dan kesungguhan mereka menawarkan perkhidmatan yang diinginkan. Mulai dari saat itu, saya dan mereka mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk berhubung jumlah ahli kumpulan dewasa dan kanak-kanak. Alhamdulillah, tawaran harga pakej yang ditawarkan amat berpatutan dan sesuai dengan bajet kami iaitu RM400/seorang bagi dewasa, RM200 bagi kanak-kanak berumur 2-12 tahun dan percuma bagi kanak-kanak berumur kurang daripada 2 tahun. Sepanjang tempoh siri perbincangan tersebut yang dibuat melalui e-mel, mereka memberi maklumbalas dengan segera di samping menerangkan secara terperinci pecahan harga pakej yang ditawarkan sehingga saya benar-benar berpuas hati. Mereka juga memaklumkan bahawa harga pakej sedikit mahal berikutan tempoh kunjungan kami adalah pada musim Hari Raya Cina. Ini bermakna mereka boleh menawarkan harga yang jauh lebih rendah sekiranya kami datang pada musim biasa.

Esok, ahli keluarga akan datang berkumpul di rumah saya terlebih dahulu dan bermalam di situ. Kami akan bergerak ke KLIA pada keesokkan hari (Sabtu) dengan menaiki teksi untuk penerbangan jam 3.10 petang.

Untuk kembara pada kali ini, saya memilih untuk membeli travel bagpack bagi memudahkan pergerakan sewaktu di sana.

Segala urusan berkaitan kerja telah saya selesaikan sebelum mula bercuti pada hari Sabtu untuk mengelakkan timbul masalah apabila kembali bertugas kelak. Saya ingin menikmati percutian ini sepenuhnya sebelum kembali sibuk dengan tugasan harian yang tak akan kunjung padam.

Semoga kembara ini akan lebih mengeratkan tali silaturrahim antara kami.

Semoga kembara kami ini akan dipermudahkan-Nya...Aamiin

Wednesday, February 10, 2010

LEGA

Bismillahirrahmanirrahim...

Lega rasanya apabila kemuncak dalam pelaksanaan program telah selesai dilalui pagi tadi. Memang menjadi kebiasaan apabila setiap kali akan berdepan dengan saat ini, tidur saya akan kurang lena dan kerisauan semakin meningkat. Risau pelbagai kemungkinan di luar jangkaan yang mungkin berlaku. Malah pagi ini dalam kerisauan saya untuk membuat pembentangan, saya masih lagi diuji dengan sedikit kekalutan tentang perkara yang mungkin nampak kecil tapi tidak mustahil bakal meninggalkan impak yang besar terutama kepada diri saya sendiri dan seksyen yang saya terajui.

Secara keseluruhan, saya merasakan masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki dan pelajari terutama dalam soal membuat pembentangan. Meskipun saya sering menyampaikan ceramah dan taklimat, itu tidak bermakna saya sudah serba arif dan pakar dalam membuat pembentangan. Entah kenapa pagi ini lidah saya tersekat-sekat dan fikiran sedikit melayang sehingga tidak dapat memberi tumpuan 100% kepada perkara yang akan dibentangkan. Ada ketikanya fikiran saya seolah-olah melayang memikirkan sesuatu yang saya sendiri kurang pasti. Sedikit sebanyak kekalutan yang berlaku sebelum itu turut memberi kesan kepada persediaan psikologi saya di samping ini kali pertama disaksikan oleh pegawai atasan saya yang baru. Saya akui beliau seorang yang tenang dalam menuturkan bicara apabila disoal oleh bos besar sedangkan saya masih dalam keadaan terkesima setiap kali soalan ditanya. Saya memerlukan sedikit masa untuk mencari hubung kait atau jawapan kepada soalan yang ditanya. Ternyata pengalaman membezakan kami dan beliau sememangnya layak berada pada kedudukan sekarang.

Apapun, saya memandang dari sudut positif atas setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk. Saya melihat ini sebagai ruang untuk saya melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan berusaha untuk memperbetulkannya agar tidak berulang pada masa hadapan. Sesungguhnya perjalanan saya masih jauh dan masih banyak yang perlu saya timba dan tambahbaik pada setiap masa agar saya mampu menjalankan amanah yang telah diberikan dengan sebaik mungkin.

Friday, February 5, 2010

Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim...


Merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kata akar ‘ubah’ membawa maksud seperti berikut:

i. Bertukar daripada keadaan asal; atau
ii. Berganti atau beralih menjadi lain; atau
iii. Berbeza daripada rupa atau warna asal.

Terdapat beberapa kata terbitan yang berkaitan iaitu berubah-ubah, mengubah, perubahan, pengubahan, ubah suai, pengubahsuaian, pemboleh ubah dan beberapa lagi kata terbitan yang berkait dengan ‘ubah’.

Kata terbitan ‘perubahan’ bermaksud hal berubah atau bertukar atau beralih.

“Dulu tak ubah pun, kenapa sekarang nak ubah?”

“Dari dulu saya buat kerja ni, tak pernah ubah pun. Kenapa sekarang nak ubah?”

“Kenapa suka ubah-ubah?”

Itu antara persoalan-persoalan yang perlu saya hadapi apabila menerima atau memberi sebarang arahan tentang perubahan baik sebagai orang bawahan atau pun ketua unit.

Teringat saya kepada sebuah artikel dalam majalah Solusi isu No. 14 (antara majalah ilmiah kegemaran saya) yang ditulis oleh Ir. Ahmad Jais, Pengarah di Radio IKIM.fm membicarakan tentang salah satu subjek penting di bawah topik perubahan iaitu ‘Memahami Perubahan’. Beliau telah mengupas perkara tersebut dengan baik dan mudah untuk difahami serta diterima oleh masyarakat luar termasuk diri saya sendiri.

Menurut beliau, manusia sering memusuhi perkara yang tidak difahaminya.

Soalnya, kenapakah manusia bersikap begitu? Jawapan yang mudah adalah kerana ia memang fitrah kejadian manusia. Lihat sahaja bayi yang baru lahir. Sebaik sahaja keluar dari rahim ibunya, bayi akan menangis dan merengek kerana berdepan dengan persekitaran yang baru. Begitu juga apabila anak-anak mahu memulakan persekolahan, ada yang tidak mahu ke sekolah, menangis dan mahu ibunya menemani mereka di sekolah serta pelbagai lagi kerenah. Kenapa semua ini berlaku? Ini kerana mereka tidak memahami perubahan yang baru berlaku ke atas mereka.

Kenapa saya perlu ke sekolah? Kenapa adik kena bangun awal pagi? Kenapa dah tak boleh tidur lama-lama lagi? Kenapa tak boleh bawa botol susu ke sekolah?

Mungkin itu antara beberapa persoalan yang sering diungkapkan oleh murid-murid baru ke tadika atau tahun satu persekolahan. Persoalan ini timbul kerana mereka tidak memahami apakah perubahan yang sedang berlaku ke atas diri mereka, persekitaran, rakan-rakan, jadual harian dan sebagainya. Semuanya berubah.

Semakin banyak perkara yang tidak difahami, semakin sukarlah mereka menerima perubahan tersebut. Begitu juga kita pernah mendengar betapa sukarnya beberapa projek pertanian baru hendak dilaksanakan, tanpa kefahaman para petani yang terlibat. Timbul pelbagai persoalan seperti kenapa nak tanam padi dua kali setahun? Bagaimana nak tanam dua kali setahun? Apa benih padi yang nak digunakan? Datuk nenek kita tak pernah buat begitu pun? Dan sebagainya.

Itu antara contoh-contoh yang dipaparkan oleh penulis iaitu berkait rapat dengan fasa-fasa kehidupan yang pernah dilalui sendiri oleh pembaca. Seterusnya beliau mengembangkan skop perbincangan kepada perkara-perkara yang lebih luas iaitu yang berkait dengan dunia pekerjaan malah turut berkongsi pengalaman beliau sendiri berdepan dengan pengurusan perubahan.

Bukan sekadar contoh-contoh di atas, bahkan dalam organisasi juga biasa terjadi penolakan terhadap perubahan apabila tiada proses memberikan kefahaman mengapa perlu berubah. Saya sendiri pernah terlibat dalam pasukan untuk memperkenalkan Sistem Pengurusan Kualiti di sebuah institusi pengajian tinggi. Betapa sukarnya hendak memperkenalkan sistem tersebut sehingga mengundang pelbagai penolakan dan penentangan daripada para profesor dan pensyarah. Ada yang merasakan bahawa sistem kualiti tidak perlu kerana apa yang mereka ajarkan semuanya sudah berkualiti. Ada yang skeptikal dan sinis dengan sistem kualiti tersebut kerana bagi mereka apa yang diamalkan selama ini sudah bagus dan mantap. Bahkan ada yang buruk sangka dan menuduh pasukan kualiti ini hanya bertujuan untuk mencari kelemahan dan kesalahan pekerja sahaja.

Pelbagai reaksi dan penentangan ini berkait rapat dengan tahap pemahaman mereka terhadap perubahan yang ingin dilaksanakan. Benarlah ungkapan ‘manusia memusuhi apa yang dia tidak fahami’.

Justeru, bukanlah sesuatu yang pelik apabila Islam juga dimusuhi oleh dunia Barat dan masyarakat antarabangsa yang tidak memahaminya. Apabila kefahaman Islam yang benar gagal disampaikan, maka masyarakat akan memusuhi dan menolak perubahan yang ingin dibawa oleh Islam. Renunglah betapa Rasulullah s.a.w sendiri pernah digelar sebagai orang gila, hilang akal, tidak siuman dan terkena sihir apabila Baginda membawa perubahan kepada Islam dalam dakwah Baginda.

Begitu juga kisah Nabi Nuh yang membina bahtera di atas bukit. Umatnya gagal memahami rasional perlunya bahtera tersebut lantas mengejek dan mempersendakan usaha Nabi Nuh untuk menyelamatkan umat. Akhirnya, kejahilan itulah yang membinasakan mereka.

Oleh itu, kita tidak boleh menjadi mangsa kejahilan. Jangan biarkan kejahilan menguasai kita dan menutup pintu hati kita daripada menerima kebenaran dan perubahan. Lebih malang lagi jika kita terjebak memusuhi sesuatu tanpa usul periksa, tanpa kefahaman dan maklumat yang sahih, kerana ini pastinya mengundang kezaliman kepada orang lain yang dimusuhi termasuk diri kita jua.
Adalah malang jika kita terus-terusan menolak seruan kepada perubahan yang positif tanpa berusaha memahami perubahan yang ingin diperkenalkan tersebut.Llebih malang lagi jika kita pula terbabit dalam usaha menghalang atau menggagalkan perubahan itu. Yang sebaiknya adalah kita cuba memahami perubahan tersebut, dan paling baik ialah bersama-sama menjadi pendukung perubahan.

Hakikatnya, Islam adalah agama yang membawa perubahan. Perubahan paling besar adalah mengubah akidah umat daripada akidah syirik dan sesat kepada akidah yang sahih dan sejahtera. Islam mengubah masyarakat daripada menyembah berhala, batu dan kayu kepada menjadi hamba Allah SWT yang taat dan ikhlas. Islam mengubah masyarakat yang rosak akhlak dan nilai hidupnya kepada umat yang mampu membangunkan tamadun dan peradaban. Islam mengubah sistem hidup yang sempit dan zalim kepada suatu sistem yang adil, luas dan indah. Perubahan Islam ini adalah perubahan yang menyeluruh, yang diungkap oleh ulama sebagai “taghyir al-islam kulli” atau perubahan Islam yang menyeluruh.

Kefahaman dan ilmu saling berkait. Ilmu yang difahami akan mudah diamalkan. Kefahaman tanpa ilmu pula mengundang penyelewengan. Semakin besar perubahan yang ingin dilakukan, semakin banyak ilmu dan kefahaman yang kita perlukan.

Itu antara sebahagian kandungan artikel tulisan beliau.

Secara peribadi, saya sendiri pernah berhadapan dengan perubahan yang tidak difahami sehingga penolakan menguasai diri. Lantas perubahan yang dibuat tidak mencapai tahap piawai yang ditetapkan. Namun sebagai seorang yang dikurniakan akal fikiran, saya turuti dulu perubahan yang diinginkan asalkan tidak melampau dan berharap kefahaman akan diperoleh selepas itu.

Sejujurnya saya merasa sedih apabila mendengar dialog-dialog di atas tetapi menganggap itu adalah luahan perasaan seseorang yang sudah terlalu selesa di dalam tersendiri sehingga proses perubahan memakan masa lebih panjang. Namun, agak mengecewakan jika dialog tersebut dilafazkan oleh seseorang yang dianggap profesional dalam kerjaya dan diharapkan untuk memimpin dan memandu orang-orang bawahan.

Apabila situasi begini berlaku, saya merenung dan berfikir di mana silapnya sehingga proses pemahaman yang dibuat secara rasmi selama hampir setahun sebelum ini ditambah pula dengan pertanyaan-pertanyaan yang datang saban waktu gagal mencapai tahap yang dikehendaki.

Astaghfirullahala’zim! Jika dulu para Nabi dan Rasul memakan masa berpuluh-puluh dan ada yang mencecah ratusan tahun menghabiskan usia untuk memberi pemahaman kepada manusia tanpa jemu tentang keEsaan Allah, apalah ertinya tempoh setahun yang saya habiskan untuk memberi kefahaman kepada pihak-pihak tertentu.

Jika dulu Rasulullah berundur atau menarik diri daripada meneruskan dakwah saat ditolak oleh kaum sendiri, saya tidak dapat membayangkan apakah agama yang saya anuti pada hari ini. Adakah Islam akan tersebar luas di seluruh ceruk rantau dan muka bumi seandainya Rasulullah akur dengan penolakan yang dibuat oleh para musuh? Rasulullah meneruskan usaha berdakwah dan menyebarkan ajaran Islam walaupun menghadapi pelbagai tentangan kerana Baginda benar-benar yakin dengan ajaran yang dibawa di samping meyakini janji-janji Allah.

Justeru, penolakan yang saya hadapi adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan tentangan yang dihadapi oleh Baginda sebelum ini. Selagi saya yakin dan istiqamah dengan ilmu yang ada, insyaAllah proses memberi kefahaman akan menjadi lebih mudah.

Ini hanya ujian kecil dariNya dalam menempuh perjalanan hidup ini.

Tuesday, February 2, 2010

Keputusan

Bismillahirrahmanirrahim...

Tidak mudah untuk membuat keputusan yang mampu memuaskan hati semua pihak. Ada hati yang akan terluka, marah dan tidak dapat menerima kenyataan atas keputusan yang telah dibuat. Saya terpaksa melakukannya demi amanah yang saya tanggung dan perlu dijawab kelak walaupun jauh di sudut hati rasa kasihan dan bersalah tetap bersarang di hati ini. Namun saya perlu menguatkan semangat. Saya bekerja bukan untuk dijulang, disukai dan dipuji semata-mata tetapi lebih kepada untuk memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan. Saya percaya pujian yang bermakna adalah yang datang tanpa dipinta, datang dari hati yang ikhlas. Saya tidak perlu kepada pujian saat berbuat sesuatu yang bertentangan dengan kehendak sebenar tugasan yang diberi.

Saya pasti ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang saya ambil pagi tadi. Tindakan saya bersebab malah telah saya timbang dan pohon petunjuk dariNya sebelum memuktamadkannya. Saya akui sebelum ini ada ketikanya saya mengenepikan peraturan dan mengutamakan perasaan kasihan dan simpati sehingga tanpa sedar tindakan saya memakan diri sendiri. Malah lebih teruk, ada yang mengambil kesempatan atas kebaikan saya. Namun saya tidak menyalahkan mereka kerana saya yang patut dipersalahkan mewujudkan ruang untuk diambil kesempatan.

Saya nekad untuk tidak akan memberi peluang untuk dimanipulasi lagi. Kebenaran memang pahit dan hakikat ini harus saya terima.

Saya istiqamah atas setiap keputusan yang diambil dengan tidak membenarkan seorang calon untuk menduduki ujian kerana kesalahan hadir lewat dari masa yang ditetapkan. Sebelum ini, saya pernah beberapa kali berdepan dengan kejadian ini tetapi kerana kasihan, saya benarkan juga calon berkenaan untuk menduduki ujian. Natijahnya, semakin ramai calon yang mengambil mudah dan enteng tentang ketepatan masa dan disiplin menghadiri sesuatu yang sangat penting bagi perkhidmatan mereka. Kali ini, saya nekad untuk bertindak tegas dan memberi pengajaran kepada calon berkenaan bahawa peraturan harus dan mesti dipatuhi. Alasan datang dari jauh dan tersesat jalan kerana kesesakan tidak dapat saya terima kerana selaku seorang dewasa yang dikurniakan akal fikiran, calon berkenaan seharusnya tahu membuat perancangan awal untuk menghadapi hari ujian. Sekiranya saya menerima alasan yang diberikan oleh calon tersebut, saya telah berlaku tidak adil kepada calon-calon lain yang juga datang dari jauh tetapi mampu serta berjaya tiba pada masa yang ditetapkan. Jika kerana ketegasan tersebut saya tidak disukai, itu adalah di luar bidang kuasa saya dan kejadian tersebut diharap akan memberi mesej kepada calon-calon lain bahawa disiplin amat penting dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Setiap perkara penting perlu dipandang penting oleh calon-calon sendiri sebelum mengharap orang lain mengerti dan memahami kepentingan urusan tersebut kepada mereka. Saya tidak berdaya untuk membantu calon yang tidak mahu membantu diri sendiri untuk berjaya. Keinginan dan kesedaran untuk berjaya harus datang dari dalam diri sendiri dan saya hanya medium yang ditetapkan oleh Allah Taala untuk membantu mereka melalui jalan tersebut. Pun begitu, jalan tersebut tidak semudah yang disangkakan untuk dilalui. Pasti ada onak dan duri di sepanjang perjalanannya. Saya harus memastikan hanya insan-insan yang benar-benar berkeinginan dan bersedia untuk melaluinya berjaya melepasinya. Jika tidak, saya adalah penyumbang kepada kewujudan pegawai-pegawai yang bersikap sambil lewa dalam tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Implikasinya bukan kepada diri mereka sahaja tetapi juga organisasi malah jauh lebih teruk adalah kepada perkhidmatan itu sendiri.

Saya akui keputusan yang ingin diambil adalah sangat sukar dan memeritkan tetapi saya harus tegas dan merujuk kepada peraturan yang saya percaya dibuat untuk kemaslahatan bersama. Saya rela dimarahi kerana berbuat mengikut peraturan berbanding berbuat mengikut hati dan naluri sahaja yang akhirnya menyusahkan banyak pihak termasuk diri saya sendiri.

Sukarnya membuat keputusan lebih-lebih lagi apabila melibatkan banyak pihak. Kekadang setiap keputusan yang dibuat menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya oleh pihak lain termasuk ketidakpuasan hati tetapi itulah risiko yang harus didepani. Apapun keputusan yang dibuat adalah yang dibuat dengan mengambilkira risiko paling minima kerana setiap keputusan yang dibuat dan tindakan yang dilakukan sedia ada risiko tersendiri. Sebagai manusia, saya hanya mampu memikirkan risiko-risiko di dalam lingkungan pemahaman dan pemikiran sendiri sahaja, selebihnya adalah di dalam kekuasaanNya jua.

Wallahua'lam...