Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, January 22, 2010

Telur dan Hon

Bismillahirrahmanirrahim

Pepatah telur di hujung tanduk digunakan untuk menggambarkan satu situasi genting, runcing atau kritikal yang boleh membawa kepada apa saja kemungkinan, sama ada baik atau buruk, bergantung kepada bagaimana situasi tersebut ditangani.

Minggu lepas saya tergerak hati untuk menukar hon kereta saya yang asal kepada hon baru yang lebih kuat. Hon asal kereta saya mengeluarkan bunyi tetapi amat perlahan sehingga kadang-kadang tidak didengari oleh pemandu lain terutama dalam saat-saat kecemasan.

Justeru, apa kaitan telur dan hon?

Sebentar tadi selepas menunaikan solat Mahgrib saya meningalkan pejabat untuk pulang ke rumah. Memandangkan lampu isyarat paras petrol sudah menunjukkan warna kuning, saya bercadang untuk singgah di stesen minyak Petronas Presint 16 yang terletak berdekatan Alamanda sebelum meneruskan perjalanan.

Sudah menjadi kebiasaan saya untuk membaca doa menaiki kenderaan dan surah Al-Mulk sebaik menaiki kenderaan. Ayat demi ayat saya lafazkan dan saya semakin menghampiri stesen minyak tersebut. Tiba di ayat kedua terakhir surah tersebut dan stesen minyak hanya berselang satu simpang sahaja, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari simpang tersebut dengan laju dan berhenti betul-betul di hadapan kereta saya. Dengan sekuat tenaga, kaki saya menekan brek sehingga tayar mengeluarkan bunyi akibat seretan pada jalan raya.

“Allahu Akbar!” itu yang terkeluar dari mulut saya dan tidak sempat menghabiskan bacaan surah Al-Mulk.

Di belakang kereta saya, sebuah kereta juga sedang meluncur laju. Mujurlah pemandu tersebut sempat mengelak dari menghentam belakang kereta saya.

Saya pula berhenti betul-betul di hadapan kereta yang muncul dari simpang secara tiba-tiba sambil menekan hon dengan sekuat hati. Berdengung bunyi hon baru.

Jelas kelihatan pemandu tersebut panik dan hanya mendiamkan diri tanpa bertindak mengalihkan keretanya. Saya mula geram.

Ironinya, sebuah kereta peronda polis juga sedang menunggu giliran untuk memasuki simpang tersebut. Saya rasa hampir seminit pemandu tersebut mendiamkan diri dan hanya meneruskan pemanduan apabila saya dan pemandu di belakang saya memberikan laluan kepada dia untuk meneruskan perjalanan. Saya meneruskan perjalanan ke stesen minyak yang berada sepelaung dari tempat kejadian. Dari pandangan cermin tengah, saya lihat kereta peronda polis yang sepatutnya memasuki simpang mengekori kereta tersebut. Dalam hati kecil saya terdetik juga rasa puas hati dan berdoa semoga pemandu tersebut dikenakan tindakan sewajarnya. Saya tidak dapat membayangkan kemungkinan yang akan berlaku seandainya saya ditakdirkan panik pada waktu itu dan pemandu di belakang saya pula gagal mengelak daripada melanggar belakang kereta saya. Semua kemungkinan itu akibat tindakan pemandu yang mementingkan diri sendiri dan gagal mematuhi peraturan jalanraya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Saya teruskan niat untuk mengisi petrol. Mujurlah saya bukan seorang yang cepat lemah semangat jika berhadapan dengan suasan mencemaskan. Pada masa yang sama, saya amat bersyukur kerana ditakdirkan berada dalam keadaan sedar dan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan keadaan. Selesai urusan, saya meneruskan perjalanan dan kelihatan di tepi jalan kereta peronda polis dan kereta yang telah menyebabkan saya berada dalam situasi seperti ‘telur di hujung tanduk’ sebentar tadi. Saya sempat menghampiri mereka dan melihat wajah pemandu tersebut dari dalam kereta. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan perkara tersebut kerana saya percaya pemandu tersebut berada di luar minda sedar semasa mengambil tindakan untuk keluar dari simpang tersebut walaupun sedar ada kereta sedang menghampiri. Saya berdoa semoga tindakan yang dikenakan kepadanya akan menjadi pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Dalam perjalanan, saya terfikir hikmah di sebalik keinginan kuat saya untuk menukar hon kereta pada minggu lepas. Sesungguhnya semua perkara berada dalam pengetahuan-Nya jua. Allahu Akbar!

1 comment:

mohd_hanapi said...

lari tajuk sat. pasai umah tu.... umah kuarters kat putrajaya ler. presint 11. umah yang ap duk. mai lah....