Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 25, 2010

Nikmat

Bismillahirrahmanirrahim…

Kira-kira 7 tahun yang lalu, saya pernah ditimpa penyakit alergik kulit. Kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku dalam hidup saya dan berdoa semoga itu juga yang terakhir. Sejak kecil saya tidak pernah mengalami sebarang penyakit alergik baik berpunca daripada makanan ataupun habuk/debu. Penderitaan diserang gatal-gatal yang begitu menggila menyebabkan saya menggaru setiap bahagian badan yang gatal hingga meninggalkan kesan akibat luka-luka. Pada waktu itu saya langsung tidak terfikir kepada akibat menggaru sehingga kulit melecet. Natijahnya, kulit saya menjadi berkudis dan berkuping. Malah kudis yang kering menjadi parut. Mulanya saya enggan mendengar kata ibu saya yang menyarankan saya ke klinik mendapatkan rawatan kerana risau melihat keadaan saya yang seperti kera terkena belacan malah tidak senang duduk. Saya menjangkakan keadaan itu tidak akan berpanjangan dan berharap akan berakhir dalam masa terdekat. Saya beralah apabila tidur malam saya juga turut terganggu kerana merasa tidak selesa, terasa seperti ada binatang kecil menjalar di setiap inci badan. Saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan diberitahu bahawa punca alergik adalah berpunca daripada pemakanan iaitu kandungan protin berlebihan dalam badan. Saya disuruh berpantang daripada memakan daging dan telur selama sebulan. Jika kesan alergik hilang bermakna kandungan protin dalam badan saya sudah kembali stabil dan normal. Selepas itu saya boleh mengambil kedua-dua makanan tersebut seperti biasa. Saat itu saya teringat kepada pesan Rasulullah yang mengingatkan ummat Baginda agar makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Pengajarannya, hendaklah kita berpada-pada atau tidak melampau dalam berbuat sesuatu perkara atau lebih tepat bersederhana (wasotiah). Seumur hidup saya tidak pernah menyangka akan ditimpa penyakit alergik malah sejak dari kejadian itu, saya cuba untuk tidak mengambil sesuatu makanan secara berlebihan. Menurut doktor tersebut, bukan sahaja daging dan telur, malah kesemua makanan jika diambil secara berlebihan boleh membawa mudarat. Sungguh setiap ajaran yang disampaikan oleh Baginda ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya, jauh sekali bersifat sia-sia. Hanya manusia yang berfikir dan merenung dengan mata hati akan mampu memahaminya.

Mujurlah kesan-kesan parut tersebut hilang selepas beberapa ketika dan tidak membekas pada badan saya sehingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Namun apabila hari ini saya melihat penderitaan yang dilalui oleh adik Mohd Ihsan yang menghidapi penyakit kulit kronik, hati saya tersayat pilu dan merasa sungguh tersentuh. Saya tidak membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh adik Ihsan apabila melihat paparan gambar yang disiarkan dalam akhbar Harian Metro. Saya tidak dapat membayangkan hari-hari yang ditempuh oleh adik Ihsan dalam kehidupan sehariannya. Saya akui dulu sewaktu diserang alergik, tempoh 2 bulan adalah tempoh yang sudah cukup merimaskan dan menyeksakan sedangkan adik Ihsan sudah melaluinya sejak lahir malah dalam keadaan yang jauh lebih dahsyat daripada yang telah saya alami. Sungguh setiap kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya walaupun sekecil zarah adalah nikmat yang tidak terhitung. Nikmat kulit yang sihat yang dimiliki ini adalah nikmat yang wajib kita syukuri tanpa henti setiap saat dan ketika. Manusia memang begitu, mudah alpa dengan nikmat-nikmatNya apabila tidak menyedari bahawa apa yang ada pada tubuh badan ini adalah nikmat daripadaNya yang tidak mampu dihitung.


Kadang-kadang apabila tercubit atau tergores sedikit pun pada kulit kita ini sudah cukup memeritkan. Bayangkan pula bagaimana deritanya adik Ihsan apabila kulit menjadi luka dan berdarah, bukan pada sebahagian tempat sahaja tetapi seluruh inci badan.

Kepada adik Ihsan, hanya doa yang mampu saya panjatkan semoga disembuhkan daripada penderitaan yang dialaminya dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Doa juga saya panjangkan kepada kedua ibu bapa adik Ihsan agar terus tabah melalui ujian Allah ini kerana mereka sebenarnya adalah insan-insan terpilih. Allah ingin mengangkat darjat mereka dengan dugaan yang ditimpakan ini. Aamiin.

No comments: