Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, January 14, 2010

KERJA SEBAGAI IBADAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Dunia pekerjaan saya kebelakangan ini menuntut saya untuk menghadiri pelbagai jenis mesyuarat saban hari. Sungguh meletihkan tetapi itulah tuntutan kerjaya yang harus saya penuhi. Pun begitu, kadang-kadang saya tidak dapat mengelak merasa sedikit kecewa apabila mesyuarat yang dihadiri terasa kosong kerana pada saya, hanya membincangkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat yang jelas. Mungkin juga saya yang gagal menemui kepentingannya tapi hati kecil ini sering berbicara mengatakan bahawa perkara yang dibincangkan adalah semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak sahaja tanpa matlamat dan jangkaan impak jangka masa panjang yang benar-benar tulen.

Lantas terlintas di fikiran saya pelbagai pertanyaan iaitu bagaimana menjadikan kerja satu ibadah? Apakah cukup dengan sekadar menghadirkan diri pada waktu yang ditentukan dan menghadiri program-program yang diaturkan dari semasa ke semasa? Apakah cukup dengan melaksanakan arahan yang diberikan secara membuta tuli tanpa membuat analisa dan penelitian di sebalik arahan tersebut? Apakah memuaskan hati pihak atasan bermaksud kerja yang dijalankan menjadi ibadah walaupun diketahui arahan tersebut tidak memberi manfaat? Fikiran saya menjadi keliru dan buntu sejenak dengan persoalan-persoalan yang timbul.

Saya menenangkan diri dan cuba merenung jauh akan makna di sebalik persoalan-persoalan tersebut. Wajarkah persoalan-persoalan itu saya bangkitkan? Saya makin keliru. Saya merenung lebih jauh.

Saya cuba mencari jawapan tersebut di dalam diri saya sendiri. Apakah saya sudah menjadikan kerja saya selama ini sebagai ibadah yang boleh saya persembahkan di hadapannya kelak sebagai pertimbangan untuk memasuki syurgaNya?

Setiap pekerjaan terletak pada niat...” itu antara pesan atau sabda baginda Rasulullah SAW untuk dijadikan pedoman dan panduan dalam menjalani kehidupan di alam yang fana ini.

Apakah niat saya sebaik mula memasuki alam pekerjaan ini? Berkerut-kerut dahi saya merenung kembali niat yang pernah saya lafazkan dulu. Pernah atau tidak melafazkannya? Astaghfirullahala’zim.

Saya terlalu leka menjalani alam pekerjaan sehingga tidak mampu lagi mengingati titik permulaan yang saya tintakan seawal usia tamat pengajian.

Mulanya, niat saya memasuki alam pekerjaan adalah untuk berdikari dan membantu keluarga dari segi kewangan terutama kedua ibu bapa setelah sekian lama mereka berkorban membesarkan saya yang tidak kurang juga nakalnya.

Masa berlalu, saya mula hanyut dalam arus kesibukan dunia pekerjaan sehingga tidak sedar sudah hampir 7 tahun bergelumang di dalamnya. Pekerjaan saya sekarang merupakan yang ketiga dan insyaAllah buat masa sekarang akan kekal di dalamnya sehingga ke satu saat yang saya sendiri kurang pasti. Saya tiada perancangan untuk menukar haluan cuma mungkin bertukar angin untuk mempelajari perkara-perkara baru. Saya berpendapat harus ada lompatan dalam setiap tempoh 5 tahun di satu-satu tempat atau takuk dan selepas itu saya perlu memulakan langkah naik ke takuk seterusnya. Itu perancangan saya yang saya sandarkan kepada keizinan daripadaNya jua.

Apakah niat saya seawal memasuki alam pekerjaan boleh dianggap sebagai pengiktirafan menganggap pekerjaan saya selama ini sebagai ibadah? Persoalan ini muncul lagi.

Jawapannya saya letakkan pada kesungguhan dan ketekunan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah dan sedang diberikan dari semasa ke semasa. Saya sandarkan juga pada keikhlasan dalam melaksanakannya dengan mematuhi peraturan berkuatkuasa dari semasa ke semasa. Juga pada menjaga hubungan sesama manusia agar ada hati-hati yang tidak terluka meski kekadang tidak dapat mengelak diri dari berbuat demikian dalam keadaan tertentu.

Jawatan saya sekarang tambah membuatkan persoalan-persoalan tersebut semakin mengasak-asak pemikiran saya kerana bimbang gagal melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bimbang apabila semakin banyak yang diucapkan, semakin terserlah kesilapan dan kelemahan diri serta yang paling membimbangkan semakin banyak hati yang terluka. Namun, antara tanggungjawab dan hati manusia, saya lebih cenderung memilih tanggungjawab kerana saya selamanya tidak akan mampu memuaskan hati manusia.

Apakah sudah terjawab persoalan saya? Berfikir dan merenung lagi...

No comments: