Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, January 7, 2010

BARAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Barah atau juga dipanggil kanser merupakan antara penyakit yang menjadi ‘musuh dalam selimut’ dan digeruni oleh setiap dari kita. Lebih menakutkan apabila penyakit ini hanya dapat dikesan apabila sudah mencapai tahap 2 atau 3 atau lebih teruk pada tahap 4 iaitu tahap yang boleh membawa maut. Bercakap mengenai penyakit ini mengingatkan saya kepada arwah rakan saya, Monaliza dan arwah SM Nasimuddin, pengerusi Naza yang juga meninggal kerana barah. Kedua-duanya hanya dapat mengesan penyakit yang dihidapi apabila sudah berada di tahap 3 dan 4. Malah setiap dari kita sebenarnya terdedah kepada penyakit ini akibat faktor pemakanan, gaya hidup dan persekitaran yang semakin tercemar.

Bagi wanita, barah yang paling ditakuti adalah barah payudara atau barah yang melibatkan organ dalaman seperti ovari dan serviks. Malah sel kanser dikatakan antara sel yang paling pantas merebak dan boleh merosakkan fungsi organ dalaman secara total. Apapun jua jenis barah atau kanser yang dihidapi, ia sering dianggap seperti berada di ambang maut. Begitu pandangan majoriti termasuk diri saya sendiri. Moga kita semua dijauhkan dan dipelihara daripada sebarang penyakit yang berbahaya seperti barah. Nauzubillah.

Namun apa yang ingin saya kaitkan hari ini adalah fenomena segelintir manusia yang membawa watak seperti sel barah dalam sesebuah organisasi. Di satu pihak, saya boleh menerima akan hakikat bahawa watak-watak ini akan sentiasa ada dalam mana-mana organisasi di dunia ini. Jika dilihat dari sudut positif, kewujudan watak-watak ini boleh menjadi pemangkin atau pencabar kepada kita dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Kita akan sentiasa menjadi seorang yang teliti dan mencuba untuk melakukan yang terbaik demi untuk mengelakkan dikritik oleh pemilik watak tersebut. Namun begitu, di satu pihak pula selaku manusia biasa yang diberi emosi dan perasaan, timbul rasa letih apabila sering berdepan dengan kelompok atau individu yang memiliki watak tersebut. Itulah yang saya hadapi kini.

Kekadang rasa letih dan lesu bertandang apabila tidak putus-putus berhadapan dengan watak-watak yang tidak senang melihat orang lain lebih daripada diri mereka malah sering merasa mereka sahaja yang betul dan lebih tahu daripada orang lain. Jika diikutkan nafsu, mahu sahaja saya berdepan dengan golongan ini tetapi apabila ditanya akal dan hati, melayan mereka adalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja. Segalanya saya serah dan sandarkan kepada Allah jua yang saya pasti serta amat pasti lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri saya.

“Mereka merancang dan Allah juga merancang...” itu kata Allah.

Namun yakinlah, perancangan Allah adalah yang haq. Rasa letih dan lesu terbang jauh apabila mengingatkan janji itu walau sekali sekala ia datang jua menyapa membuatkan fikiran jauh menerawang.

Allah jua telah berfirman bahawa apa jua perkara yang ditimpakan adalah yang mampu ditanggung dan dihadapi oleh hamba-hambaNya. Natijahnya adalah kekuatan dalaman dan iltizam untuk lebih tabah dan kuat menghadapi pelbagai ragam dan tingkah manusia.

Apa pun, saya bersyukur walau dalam kesempitan ini saya masih dikelilingi oleh orang-orang bawahan yang mudah menurut kata-kata dan teman-teman yang memahami. Sungguh, dalam saat begini, kita akan lebih mudah mengenal rupa kawan dan lawan. Tiada daya upaya saya meletakkan diri saya sebaris dengan mereka yang berwatak seperti sel kanser itu yang menyerang dalam diam dan merosakkan fungsi dan perjalanan sebuah organisasi. Mereka lupa, Allah Maha Mengetahui dan Allah jua Maha Adil. Malah Allah jua bersama orang-orang yang sabar. Berpegang kepada janji itu, saya tidak gusar untuk mengharungi ‘serangan’ sel-sel kanser itu dan amat yakin apa jua yang akan menimpa saya selepas ini adalah yang terbaik buat saya. Manusia hanya medium untuk Allah menyampaikan bentuk ujian kepada saya sama ada kuat atau tidak untuk menghadapinya. Wallahua’lam.

1 comment:

Ila Ramli said...

Dunia ini bulat...
Hidup umpama roda...
Yg berada kt atas tak selamanya di situ...