Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, January 3, 2010

AZAM BARU

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya mulakan tahun 2010 dengan memperbaharui azam yang sekian lama sudah dilakarkan tetapi gagal dimanifestasikan dengan sepenuhnya. Penjagaan kesihatan akan lebih dititikberatkan. Itu antara azam 2010 saya. Sudah tentu ada beberapa azam atau sasaran lagi yang ingin saya capai tapi antara yang menjadi keutamaan adalah kesihatan. Dulu (2 tahun yang lalu) saya gigih mengunjungi gimnasium bersebelahan pejabat saya bersama teman-teman karib yang setia meluangkan masa selepas tamat waktu kerja. Saat itu metabolisme atau stamina saya semakin baik dan berat badan juga semakin menurun. Masa berlalu, masing-masing sudah punya komitmen tersendiri dan sibuk dengan urusan harian membuatkan aktiviti tersebut semakin perlahan dan lama-kelamaan terus ditinggalkan. Apabila saya meninggalkan aktiviti tersebut secara mendadak, kesannya amat saya rasai terutama dari segi pertambahan berat badan. Pokoknya bukan kecantikan yang menjadi sasaran utama saya sebaliknya keadaan kesihatan yang baik yang amat saya perlukan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai manusia dengan semaksima mungkin.

Kedatangan 2010 membangkitkan keinginan saya untuk kembali aktif seiring dengan ‘pengurangan’ usia. Saya perlu berbuat sesuatu andai tidak ingin diselimuti masalah kesihatan yang akan menyukarkan saya untuk menjalani kehidupan harian di samping bimbang akan membebankan ahli keluarga sekiranya saya ditimpa masalah tersebut. Justeru, saya mula mengintai-ngintai kelas kecergasan dan kelas renang di sekitar kawasan tempat tinggal ataupun tempat kerja. Malah adik perempuan saya juga turut berminat untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Sebenarnya banyak aktiviti yang ingin saya lakukan umpamanya 2 perkara di atas termasuk menunggang kuda. Malah berenang dan menunggang kuda sudah lama berada dalam senarai perkara-perkara yang ingin saya lakukan dan kuasai dalam hidup saya.

Keinginan untuk mendalami kemahiran berenang timbul ketara sewaktu saya dan adik perempuan hampir menemui ajal di sebuah sungai di Hulu Terengganu. Waktu itu saya berusia 16 tahun dan masih menuntut di MRSM Muar. Kami ke sana untuk berkelah dan memenuhi hajat rakan-rakan abang saya yang menghabiskan percutian di kampung saya. Malang tidak berbau, keghairahan untuk mandi-manda di sungai bertukar menjadi tragedi apabila saya dan adik perempuan terjerlus ke dalam lubuk yang dalam. Tanpa kehadiran Abah saya yang menjadi hero penyelamat waktu itu, saya dan adik mungkin sudah tiada lagi di dalam dunia ini, pergi mengadap Ilahi. Malah saya sendiri saat itu masih mengingati saat-saat getir melalui situasi cemas itu. Sepantas kilat, saya teringat pesanan seorang guru agar bertenang sekiranya lemas membuatkan saya hanya mendiamkan diri sahaja apabila tenggelam ke dasar lubuk. Adik perempuan saya yang cuba menyelamatkan saya apabila melihat saya terkapai-kapai kelemasan juga turut sama tenggelam. Saya sempat memaut tangan adik saya dan saat itu saya sudah mengucapkan kalimah syahadah dan redha seandainya saya dipanggil kembali mengadapNya. Umi saya juga sudah tidak keruan malah menangis meronta-ronta di tebing sungai melihat kami tenggelam. Tanpa saya sedar, Abah menyelam dan menolak kedua-dua kami ke atas menghampiri Umi yang sedang meraung di tebing sungai. Mujurlah Abah cepat bertindak kerana Umi juga hampir hilang kewarasan dan ingin terjun ke dalam sungai juga apabila melihat ketiga-tiga kami tenggelam. Kejadian tersebut tidak disedari oleh abang saya dan rakan-rakannya yang sedang bergembira mandi-manda di kawasan atas air terjun. Atas tindakan luar sedar itu, segala dokumen penting termasuk dompet Abah yang masih berada di dalam seluar menjadi lencun dan rosak. Setiap kali mengingati insiden itu, hati saya sebak apabila mengenangkan kemungkinan sebaliknya jika Abah tidak menyedari keadaan kami yang terkapai-kapai kelemasan kerana pada mulanya Abah menyangka kami hanya bergurau sahaja.

Saya terfikir hikmah di sebalik kejadian tersebut iaitu sebab saya masih dipanjangkan usia oleh Allah untuk berada di atas muka buminya ini. Apakah tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan peranan yang masih perlu saya mainkan sehingga Allah belum memanggil saya mengadapNya? Kata orang, siapa yang dipanggil mengadap Allah dalam usia yang muda adalah orang yang dikasihiNya dan berpeluang untuk memasuki syurga kerana masih belum bergelumang dengan noda dan dosa. Apakah ini bermaksud saya bukan orang yang dikasihiNya? Tidak sama sekali. Saya pasti dan yakin setiap aturan yang telah ditentukanNya adalah yang terbaik buat diri saya. Sudah pasti Allah mengkehendaki saya untuk memenuhi satu tanggungjawab besar setidak-tidaknya untuk kebaikan ahli keluarga saya sendiri. Setiap kali hakikat ini saya renung, terasa betapa kerdil dan bertuahnya diri ini kerana masih diberi ruang dan peluang untuk beribadah kepadaNya. Saya bersyukur kerana masih diberi kelapangan untuk berbakti kepada kedua orang tua saya walaupun pada awalnya saya akui pernah tersilap anggap akan makna sebenar bergelar seorang anak. Saya pernah mengeluh dengan ujian-ujian yang Allah timpakan kepada saya sehingga saya terlupa itulah ruang yang Allah berikan kepada saya untuk menambahkan amal di muka bumi ini untuk dibawa mengadapNya kelak. Astaghfirullahala’azim...

Kini saya cuba memenuhi setiap impian dan kehendak kedua ibu bapa saya sebaik mungkin selagi terdaya. Bisikan syaitan yang cuba memesongkan niat saya cuba saya tepis dengan sebaik mungkin dengan mengingati kembali hakikat kehidupan ini. Untuk melakukan itu semua, saya perlukan rohani dan jasmani yang sihat.

Hari ini saya dan adik perempuan memenuhi perancangan kami yang sekian lama tertangguh iaitu mengunjungi spa. Alhamdulillah spa yang kami kunjungi hanya khusus untuk pelanggan wanita sahaja dan ini membuatkan kami selesa menjalani rawatan. Sesi yang berjalan 2 jam terasa amat pantas berlalu di samping layanan baik dan mesra yang kami terima. InsyaAllah jika diizinkanNya kami akan menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti bulanan dan saya berhajat untuk mengajak Umi saya untuk turut sama menikmatinya. Kini, setiap langkah saya sentiasa diiringi ingatan kepada Abah dan Umi. Saya ingin keduanya menikmati penghujung usia dengan penuh ketenangan setelah melalui segala susah payah membesarkan kami seramai 8 orang. Saya bersyukur kerana Allah memberi saya peluang untuk menyenangkan mereka dengan kadar yang saya mampu. Alhamdulillah...

Semoga saya akan mampu dan berjaya mencapai azam saya untuk memperbaiki tahap kesihatan pada tahun 2010 dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

No comments: