Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, January 30, 2010

Mujurlah

Bismillahirrahmanirrahim

Jumaat minggu lepas, sistem penghawa dingin di dalam kereta saya gagal berfungsi. Waktu itu saya dan teman dalam perjalanan ke Bangi untuk makan tengah hari. Hampa juga kerana kerosakan berlaku dalam cuaca panas dan kami berada dalam keadaan kurang selesa sepanjang perjalanan pergi dan balik. Mujurlah kawan baik saya memahami keadaan tersebut dan kami teruskan perjalanan dalam ketidakselesaan tersebut. Tekaan saya mungkin kerana gas hawa dingin sudah kehabisan walaupun fikiran saya tidak menyetujuinya memandangkan kereta tersebut berusia tidak sampai setahun.

Walau bagaimanapun, dalam kesibukan harian, saya tidak sempat berkunjung ke bengkel untuk memperbaiki kerosakan tersebut, tambahan pula ada ketika penghawa dingin berfungsi dengan baik. Maka saya beranggapan kerosakan tersebut adalah kategori ‘biasa’ sahaja dan tidak akan menyebabkan kesukaran kepada saya. Namun apabila keadaan sudah semakin tidak selesa, saya nekad untuk berkunjung ke bengkel sebelum bertolak pulang ke kampung pada hari ini.

Saya dan adik perempuan merancang untuk bertolak pada jam 2.00 petang. Selesai bersiap dan membersihkan rumah, saya bercadang untuk singgah di bengkel terlebih dahulu untuk mengisi gas hawa dingin kerana bimbang cuaca hujan dalam perjalanan kelak. Saya berhenti di sebuah bengkel yang terletak bersebelahan dengan stesen Petronas di tepi lebuhraya MRR2. Seorang mekanik mendekati kami dengan senyuman.

“Kat sini boleh isi gas air-cond tak?” dengan yakin saya bertanya.

“Takpe, saya check dulu,”kata mekanik tersebut.

“Betul juga, entah-entah ada kerosakan lain,”itu yang terlintas dalam fikiran saya.

Lalu saya biarkan mekanik tersebut memeriksa kerosakan yang berlaku dan saya membantu menghidup serta mematikan enjin kereta sepanjang tempoh itu.

“Akak, gas masih ok cuma skru yang pegang air cond belt tercabut. Sikit lagi mau jatuh. Kalau sikit lagi akak gerak, benda ini jatuh, mahal kena ganti. Dalam RM2,000,” terang mekanik tersebut kepada saya.

“Jadi, sekarang apa perlu buat?” tanya saya dalam kerisauan.

Tanpa banyak soal mekanik tersebut mendapatkan kelengkapan lain untuk memasang semula skru di tempat tersebut. Pada waktu itu saya sudah tidak kisah berapa bayaran yang akan dikenakan kelak kerana kerisauan mengetahui kerosakan sebentar tadi. Malah saya ditunjukkan kerosakan tersebut. Ketiadaan skru tersebut menyebabkan plet pada air-cond belt tidak berpusing dan air-cond tidak berfungsi. Hairan juga saya bagaimana skru tersebut boleh tercabut, sesuatu yang sukar untuk saya terima begitu sahaja.

Akhirnya, saya temui punca sebenar kerosakan. Saya pasti skru tersebut tertanggal sewaktu kejadian ‘telur dan hon’ pada hari Khamis minggu lepas kerana kedahsyatan saya menekan brek dengan sekuat hati sehingga kereta masih bergerak walaupun dalam keadaan pegun. Pendek kata, tayar kereta saya masih meluncur dengan laju walaupun pusingan tayar kereta telah berhenti. Mungkin kerana kejadian itu, skru tersebut telah tertanggal. Meski sukar untuk diterima tetapi itulah alasan yang paling logik yang boleh dikaitkan sebagai punca kepada kerosakan tersebut berlaku. Tambahan pula kerosakan berlaku sehari selepas kejadian tersebut. Semasa kereta bergerak dan melalui jalan yang menyebabkan plet tersebut bergerak dan melekat pada air-cond belt, pada waktu itu ada ketikanya penghawa dingin berfungsi dengan baik tetapi gagal berfungsi semula apabila plet tersebut terpisah daripada air-cond belt.
Proses membaiki memakan masa hampir setengah jam dan saya benar-benar berpuas hati dengan ketelitian mekanik tersebut membaiki kerosakan.

“Berapa ringgit kosnya?” tanya saya kepada mekanik tersebut.

“Dua puluh ringgit,” jawab beliau dengan senyuman yang masih terukir di bibir.

Lega rasanya kerana kos yang dikenakan berpatutan dan lebih baik dari kerugian sebanyak RM2,000 sekiranya plet tersebut terjatuh dan hilang.

“Ada anak tak?” tanya saya kepada mekanik tersebut.

“Ada. Kenapa?” jawab mekanik tersebut kehairanan.

“Ok, tolong bagi ini pada anak ye,” kata saya sambil menghulurkan semula sedikit baki tersebut kepada mekanik tersebut sebagai tanda terima kasih dan syukur atas keselamatan daripada ujian yang diberikan oleh Allah Taala sebelum ini.

Serta-merta saya panjatkan kesyukuran kepada-Nya atas keselamatan yang dikurniakan. Ternyata dalam duka yang melanda semalam, Allah sentiasa menyayangi dan tidak pernah meminggirkan hamba-hambaNya. Dia masih memelihara saya agar tidak terjerumus dalam kerugian yang lebih besar atau sebarang kemalangan dalam perjalanan kelak. Allahu Akbar!

Friday, January 29, 2010

La tahzan (Jangan Bersedih)

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya memandu pulang dengan hati yang kecewa kerana episod paling duka yang terpaksa saya lalui sepanjang dalam perjalanan karier saya. Jiwa saya luluh kerana merasakan diri gagal melaksanakan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin. Entah di mana silapnya saya sendiri keliru malah hampir-hampir kolam air mata saya tumpah di hadapan orang-orang bawahan kerana kekecewaan tersebut. Namun saya tahan ia kerana saya perlu kuat. Marah tidak akan memadamkan kesilapan yang telah berlaku. Saya kawal diri daripada melafazkan sesuatu yang kelak akan saya kesali. Saya cuma meluahkan kekecewaan dan kesedihan sahaja dan berharap agar kesilapan yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang. Saya sedar apa jua yang saya katakan adalah seolah-olah menudingkan jari kepada diri sendiri kerana saya bertanggungjawab ke atas setiap tindakan orang-orang bawahan saya.

Sepanjang perjalanan, pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya cuba mencari jalan untuk menerima hakikat kesilapan yang telah berlaku dan memastikannya tidak akan berulang. Hati saya mengatakan mungkin saya perlu mengubah gaya kepimpinan saya selepas ini agar lebih tegas. Saya tidak akan lagi berlembut dan bertolak ansur dalam soal pekerjaan apabila kelembutan saya disalah anggap dan dimanipulasi oleh sesetengah daripada mereka. Segalanya berkecamuk dan saya buntu memikirkannya.

Usai membersihkan diri dan memasak untuk makan malam, saya capai sebuah buku yang telah lama saya beli tapi tidak berkesempatan untuk dihabiskan pembacaannya. ‘La Tahzan (Jangan Bersedih)’ karya Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Saya belek-belek helaian buku tersebut untuk mencari kata-kata yang dapat saya jadikan penawar meredakan kegundahan di hati yang sedang melanda. Kejam sungguh saya kerana mengabaikan kehadiran buku tersebut sebelum ini. Kini apabila saya dalam kesedihan, barulah saya cuba untuk mengamatinya.

Saya temui perenggan 66 yang memberi pesan, jangan bersedih kerana berhadapan dengan pelbagai kesulitan. Saya kongsikan kandungan perenggan tersebut yang merungkaikan ikatan kekecewaan yang sedang melilit diri ini.

“Sesungguhnya setiap kesulitan yang anda hadapi akan menguatkan hati, menghapuskan dosa, menghancurkan rasa ujub dan menguburkan rasa takbur. Kesulitan-kesulitan itu akan mengelakkan kelalaian, menyalakan zikir, menghiasi diri untuk selalu berbuat baik kepada setiap makhluk, menjadi doa yang dipanjatkan oleh orang-orang yang soleh, merupakan bukti ketundukan kepada penzalim adalah sebuah penyerahan diri kepada Dzat Yang Esa, sebuah peringatan diri, sebuah usaha untuk menghidupkan zikir, sebuah usaha untuk menjaga hati dengan bersabar, sebuah persiapan untuk menghadap Tuhan dan melepaskan godaan untuk menggantungkan hidup pada dunia dan merasa aman dan tenang dengannya. Kerana kelembutan yang tersembunyi itu jauh lebih besar, dosa yang ditutupi itu jauh lebih besar dan kesalahan yang dimaafkan juga jauh lebih besar.

Jangan bersedih! Sesungguhnya kesedihan hanya akan membuatmu lemah dalam beribadah, malas untuk berjihad, putus harapan, mengheretmu untuk berburuk sangka dan hanya akan membuat anda menjadi pesimis.

Jangan bersedih! Sesungguhnya rasa sedih dan gundah adalah akar penyakit jiwa, sumber penyakit saraf, penghancur jiwa dan penyebar keraguan dan kebingungan.

Jangan bersedih! Sesungguhnya kita ada Al-Quran, ada doa, ada solat, ada sedekah, ada perbuatan baik dan ada amalan yang memberikan manfaat.

Jangan bersedih dan jangan menyerah kepada kesedihan dengan tidak melakukan sebarang aktiviti. Solatlah…bertasbihlah…bacalah…menulislah…bekerjalah…terimalah tetamu…bersilaturrahimlah…dan merenunglah…

Allah SWT berfirman:

…dan Rabbmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenan bagimu”…(Al Mu’min:60)

Berdoalah kamu kepada Rabbmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Al-A’raf:55)

Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ibadah kepadaNya…(Al-Mu’min:14)

Katakanlah:”Serulah Allah dengan seruan Ar-Rahman. Dengan nama mana saja yang kamu seru. Dia mempunyai Al-Asma’ Al-Husna (nama-nama yang terbaik)…(Al-Isra’:110)”

Saya temui juga perenggan 96 yang berpesan, jangan bersedih kerana boleh jadi cubaan adalah anugerah.

“Dr. Samuel Johnson mengatakan: ‘Kebiasaan melihat sisi baik dan semua peristiwa jauh lebih berharga daripada mendapatkan penghasilan seribu pound sterling dalam setahun.’

Firman Allah SWT:

‘Dan, tidakkah mereka (orang-orang munafiq) itu memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran.’ (At-Taubah:126)

Sebaliknya Al-Mutanabbi mengatakan:

Semoga segala kejadian
mampu membuat diriku semakin matang
dan memberikan pengalaman berharga untukku.

Mu’awiyah mengatakan: ‘Ketenangan diri tidak dimiliki, kecuali oleh orang-orang yang telah mengalaminya.’

Abu Tamam, di dalam Al-Afsyin berkata:

Betapa banyak nikmat Allah yang telah dimilikinya
Namun masih saja ia hidup dalam keterasingan dan kekangan.

Seorang salaf berkata kepada salah seorang yang kaya:’Aku melihat nikmat pada dirimu maka ikatah ia dengan rasa syukurmu.’

Allah SWT berfirman:

‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih. (Ibrahim:7)"

Fikiran saya jauh melayang, merenung, memahami, menghayati dan cuba menterjemahkannya dalam diri sendiri agar kekecewaan yang melanda mampu ditransformasi sebagai pemangkin untuk menjadi lebih baik dari semalam. InsyaAllah, semoga esok akan lebih baik.

Thursday, January 28, 2010

Harapan

Bismillahirrahmanirrahim…

“Puan, apa pendapat puan tentang bos atau ketua yang tidak mahu mendengar pendapat orang bawahan dan hanya menganggap dia sahaja yang betul?”

Begitu pertanyaan yang diutarakan oleh salah seorang peserta kursus yang pernah saya sertai kira-kira 4 tahun yang lalu. Pertanyaan itu masih bugar dalam ingatan saya sebugar jawapan yang diberikan oleh kaunselor tersebut kepada peserta yang bertanya tadi. Waktu itu saya masih mentah dalam alam pekerjaan dan sering menjadi pendengar sahaja demi untuk menambahkan ilmu di dada.

“Saya berdoa semoga tuan tidak akan mengulangi apa yang telah tuan lalui apabila tuan berada di kedudukan beliau kelak.”

Ringkas, padat tetapi penuh makna. Untuk direnung dan dihayati.

Jujurnya, saya sendiri tidak pernah mengimpikan untuk memperoleh jawatan dan kedudukan yang saya miliki pada hari ini kerana saya yakin semua ini adalah fana dan hanya sebagai alat untuk menguji sejauh mana keimanan saya terhadap kekuasaanNya. Jawatan, kedudukan atau kemewahan hanyalah salah satu medan ujian kepada manusia sepanjang kehidupan di muka bumi ini.

Insiden yang saya alami pada hari ini mengembalikan ingatan saya kepada dialog di atas. Saya berdoa semoga saya tidak akan melakukan perkara yang sama terhadap orang bawahan sama ada pada kedudukan saya sekarang atau seandainya saya ditakdirkan berada pada kedudukan yang lebih tinggi suatu hari nanti.

Monday, January 25, 2010

Nikmat

Bismillahirrahmanirrahim…

Kira-kira 7 tahun yang lalu, saya pernah ditimpa penyakit alergik kulit. Kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku dalam hidup saya dan berdoa semoga itu juga yang terakhir. Sejak kecil saya tidak pernah mengalami sebarang penyakit alergik baik berpunca daripada makanan ataupun habuk/debu. Penderitaan diserang gatal-gatal yang begitu menggila menyebabkan saya menggaru setiap bahagian badan yang gatal hingga meninggalkan kesan akibat luka-luka. Pada waktu itu saya langsung tidak terfikir kepada akibat menggaru sehingga kulit melecet. Natijahnya, kulit saya menjadi berkudis dan berkuping. Malah kudis yang kering menjadi parut. Mulanya saya enggan mendengar kata ibu saya yang menyarankan saya ke klinik mendapatkan rawatan kerana risau melihat keadaan saya yang seperti kera terkena belacan malah tidak senang duduk. Saya menjangkakan keadaan itu tidak akan berpanjangan dan berharap akan berakhir dalam masa terdekat. Saya beralah apabila tidur malam saya juga turut terganggu kerana merasa tidak selesa, terasa seperti ada binatang kecil menjalar di setiap inci badan. Saya ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan diberitahu bahawa punca alergik adalah berpunca daripada pemakanan iaitu kandungan protin berlebihan dalam badan. Saya disuruh berpantang daripada memakan daging dan telur selama sebulan. Jika kesan alergik hilang bermakna kandungan protin dalam badan saya sudah kembali stabil dan normal. Selepas itu saya boleh mengambil kedua-dua makanan tersebut seperti biasa. Saat itu saya teringat kepada pesan Rasulullah yang mengingatkan ummat Baginda agar makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Pengajarannya, hendaklah kita berpada-pada atau tidak melampau dalam berbuat sesuatu perkara atau lebih tepat bersederhana (wasotiah). Seumur hidup saya tidak pernah menyangka akan ditimpa penyakit alergik malah sejak dari kejadian itu, saya cuba untuk tidak mengambil sesuatu makanan secara berlebihan. Menurut doktor tersebut, bukan sahaja daging dan telur, malah kesemua makanan jika diambil secara berlebihan boleh membawa mudarat. Sungguh setiap ajaran yang disampaikan oleh Baginda ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya, jauh sekali bersifat sia-sia. Hanya manusia yang berfikir dan merenung dengan mata hati akan mampu memahaminya.

Mujurlah kesan-kesan parut tersebut hilang selepas beberapa ketika dan tidak membekas pada badan saya sehingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Namun apabila hari ini saya melihat penderitaan yang dilalui oleh adik Mohd Ihsan yang menghidapi penyakit kulit kronik, hati saya tersayat pilu dan merasa sungguh tersentuh. Saya tidak membayangkan penderitaan yang ditanggung oleh adik Ihsan apabila melihat paparan gambar yang disiarkan dalam akhbar Harian Metro. Saya tidak dapat membayangkan hari-hari yang ditempuh oleh adik Ihsan dalam kehidupan sehariannya. Saya akui dulu sewaktu diserang alergik, tempoh 2 bulan adalah tempoh yang sudah cukup merimaskan dan menyeksakan sedangkan adik Ihsan sudah melaluinya sejak lahir malah dalam keadaan yang jauh lebih dahsyat daripada yang telah saya alami. Sungguh setiap kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya walaupun sekecil zarah adalah nikmat yang tidak terhitung. Nikmat kulit yang sihat yang dimiliki ini adalah nikmat yang wajib kita syukuri tanpa henti setiap saat dan ketika. Manusia memang begitu, mudah alpa dengan nikmat-nikmatNya apabila tidak menyedari bahawa apa yang ada pada tubuh badan ini adalah nikmat daripadaNya yang tidak mampu dihitung.


Kadang-kadang apabila tercubit atau tergores sedikit pun pada kulit kita ini sudah cukup memeritkan. Bayangkan pula bagaimana deritanya adik Ihsan apabila kulit menjadi luka dan berdarah, bukan pada sebahagian tempat sahaja tetapi seluruh inci badan.

Kepada adik Ihsan, hanya doa yang mampu saya panjatkan semoga disembuhkan daripada penderitaan yang dialaminya dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain. Doa juga saya panjangkan kepada kedua ibu bapa adik Ihsan agar terus tabah melalui ujian Allah ini kerana mereka sebenarnya adalah insan-insan terpilih. Allah ingin mengangkat darjat mereka dengan dugaan yang ditimpakan ini. Aamiin.

Saturday, January 23, 2010

Ajal

Petang semalam, selepas tamat waktu kerja, saya dan rakan-rakan sepejabat berkonvoi ke South City Plaza untuk bermain bowling. Saya memang menggemari permainan bowling tetapi bukanlah pemain tegar. Saya main apabila ada kelapangan dan atas ajakan adik-beradik atau kawan-kawan.

Permainan selesai jam 11.45 malam. Walaupun saya tidak memenangi sebarang hadiah, saya berpuas hati kerana rakan sepasukan menjuarai bagi kategori wanita. Malah 2 orang pegawai di bawah seksyen saya juga turut mendapat tempat dalam kategori lelaki. Saya? Menang sorak. Saya memang bersungguh-sungguh apabila tiba bab bersorak memberi semangat kepada ahli pasukan. Natijahnya, hari ini suara saya sudah tidak dapat dibezakan dengan suara Ella, Rato Rock Malaysia. Saya harap keserakan ini tidak akan berpanjangan dan hilang sebelum hari Isnin.

Selesai urusan penyerahan hadiah, saya terus memecut pulang kerana palang keselamatan di lorong rumah saya akan ditutup pada jam 12.00 malam. Sebaik tiba di simpang lorong tersebut, saya mendengar pengumuman dari corong radio tentang kemangkatan Sultan Johor.

Innalillahiwainnailaihirojiun…

Firman Allah “Setiap yang hidup akan merasai mati…”

Serta-merta saya terbayang seandainya nyawa saya diambil Allah saat saya sedang bermain bowling sebentar tadi. Apakah saya sudah bersedia untuk bertemu-Nya? Soalan yang amat sukar untuk saya jawab. Saya andaikan jika kita sudah tahu bahawa kita akan menghadapi ujian atau peperiksaan dalam kehidupan kita ini, maka kita akan sedaya upaya berusaha untuk membuat persediaan untuk melaluinya. Apakah saya sudah berbuat tindakan yang sama untuk berhadapan dengan ujian lebih besar di Padang Mahsyar kelak? Juga soalan yang amat sukar untuk saya jawab.

Hari ini seluruh saluran media berkabung dari menyiarkan rancangan seperti biasa sebaliknya membuat liputan tentang upacara pengkebumian Almarhum Sultan Johor. Upacara selesai lebih kurang jam 4.15 petang.

Ajal pasti datang tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Semua makhluk akan kembali kepada-Nya pada saat dan waktu yang berada dalam pengetahuan-Nya jua. Sebagai manusia, kita hanya mampu berusaha untuk membuat persediaan sewaktu hidup di dunia ini untuk dijadikan bekalan untuk kehidupan di sana kelak.

Soalnya, sejauh manakah saya sudah bersedia untuk kehidupan itu?

Friday, January 22, 2010

Telur dan Hon

Bismillahirrahmanirrahim

Pepatah telur di hujung tanduk digunakan untuk menggambarkan satu situasi genting, runcing atau kritikal yang boleh membawa kepada apa saja kemungkinan, sama ada baik atau buruk, bergantung kepada bagaimana situasi tersebut ditangani.

Minggu lepas saya tergerak hati untuk menukar hon kereta saya yang asal kepada hon baru yang lebih kuat. Hon asal kereta saya mengeluarkan bunyi tetapi amat perlahan sehingga kadang-kadang tidak didengari oleh pemandu lain terutama dalam saat-saat kecemasan.

Justeru, apa kaitan telur dan hon?

Sebentar tadi selepas menunaikan solat Mahgrib saya meningalkan pejabat untuk pulang ke rumah. Memandangkan lampu isyarat paras petrol sudah menunjukkan warna kuning, saya bercadang untuk singgah di stesen minyak Petronas Presint 16 yang terletak berdekatan Alamanda sebelum meneruskan perjalanan.

Sudah menjadi kebiasaan saya untuk membaca doa menaiki kenderaan dan surah Al-Mulk sebaik menaiki kenderaan. Ayat demi ayat saya lafazkan dan saya semakin menghampiri stesen minyak tersebut. Tiba di ayat kedua terakhir surah tersebut dan stesen minyak hanya berselang satu simpang sahaja, sebuah kereta tiba-tiba muncul dari simpang tersebut dengan laju dan berhenti betul-betul di hadapan kereta saya. Dengan sekuat tenaga, kaki saya menekan brek sehingga tayar mengeluarkan bunyi akibat seretan pada jalan raya.

“Allahu Akbar!” itu yang terkeluar dari mulut saya dan tidak sempat menghabiskan bacaan surah Al-Mulk.

Di belakang kereta saya, sebuah kereta juga sedang meluncur laju. Mujurlah pemandu tersebut sempat mengelak dari menghentam belakang kereta saya.

Saya pula berhenti betul-betul di hadapan kereta yang muncul dari simpang secara tiba-tiba sambil menekan hon dengan sekuat hati. Berdengung bunyi hon baru.

Jelas kelihatan pemandu tersebut panik dan hanya mendiamkan diri tanpa bertindak mengalihkan keretanya. Saya mula geram.

Ironinya, sebuah kereta peronda polis juga sedang menunggu giliran untuk memasuki simpang tersebut. Saya rasa hampir seminit pemandu tersebut mendiamkan diri dan hanya meneruskan pemanduan apabila saya dan pemandu di belakang saya memberikan laluan kepada dia untuk meneruskan perjalanan. Saya meneruskan perjalanan ke stesen minyak yang berada sepelaung dari tempat kejadian. Dari pandangan cermin tengah, saya lihat kereta peronda polis yang sepatutnya memasuki simpang mengekori kereta tersebut. Dalam hati kecil saya terdetik juga rasa puas hati dan berdoa semoga pemandu tersebut dikenakan tindakan sewajarnya. Saya tidak dapat membayangkan kemungkinan yang akan berlaku seandainya saya ditakdirkan panik pada waktu itu dan pemandu di belakang saya pula gagal mengelak daripada melanggar belakang kereta saya. Semua kemungkinan itu akibat tindakan pemandu yang mementingkan diri sendiri dan gagal mematuhi peraturan jalanraya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Saya teruskan niat untuk mengisi petrol. Mujurlah saya bukan seorang yang cepat lemah semangat jika berhadapan dengan suasan mencemaskan. Pada masa yang sama, saya amat bersyukur kerana ditakdirkan berada dalam keadaan sedar dan dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan keadaan. Selesai urusan, saya meneruskan perjalanan dan kelihatan di tepi jalan kereta peronda polis dan kereta yang telah menyebabkan saya berada dalam situasi seperti ‘telur di hujung tanduk’ sebentar tadi. Saya sempat menghampiri mereka dan melihat wajah pemandu tersebut dari dalam kereta. Saya tidak berhajat untuk memanjangkan perkara tersebut kerana saya percaya pemandu tersebut berada di luar minda sedar semasa mengambil tindakan untuk keluar dari simpang tersebut walaupun sedar ada kereta sedang menghampiri. Saya berdoa semoga tindakan yang dikenakan kepadanya akan menjadi pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Dalam perjalanan, saya terfikir hikmah di sebalik keinginan kuat saya untuk menukar hon kereta pada minggu lepas. Sesungguhnya semua perkara berada dalam pengetahuan-Nya jua. Allahu Akbar!

Tuesday, January 19, 2010

Sikap Positif

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini selepas makan tengah hari dan solat Zuhur di pejabat, saya bergegas ke INTAN Kiara untuk mengikuti satu sesi perkongsian ilmu yang dianjurkan oleh sebuah konsultan. Kebiasaannya saya kurang gemar mengikuti program-program yang dianjurkan oleh konsultan kerana berpendapat mereka lebih melihat kepada aspek keuntungan semata. Faktor yang membuatkan saya akhirnya terbuka pintu hati untuk mengikuti program tersebut adalah kerana tajuk pengisian program yang memfokuskan kepada sikap positif.

Ternyata kepenatan berkejar dari pejabat ke sana amat berbaloi. Penceramah amat berpengalaman dan mempunyai daya interaktif yang sangat tinggi dengan para pendengar termasuk saya sehingga tidak sedar 2 jam sudah berlalu.

Seingat saya sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam program sebegini atas kesibukan kerja tetapi persepsi saya berubah sebaik mengikuti ceramah tersebut. Sebenarnya istilah lebih tepat adalah 'kembali mengingati'. Sebelum ini saya memang gemar mengikuti program-program berbentuk motivasi untuk memberi peringatan kepada diri dalam mengharungi kehidupan ini. Kali terakhir saya mengikuti kursus motivasi adalah pada tahun 2008. Sungguh pantas masa berlalu.

Antara perkara yang paling utama yang ditekankan oleh penceramah semasa menerangkan tentang kaedah menerapkan sikap positif dalam diri adalah 'fokus kepada perkara positif' dan 'percaya dan yakin kepada kebolehan diri sendiri'.

Di akhir program tersebut, beliau telah menunjukkan contoh-contoh nyata yang mampu memberi inspirasi kepada khalayak. Betapa kuasa 'percaya dan yakin' telah merubah persepsi dan dimensi kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan menuju kejayaan.

Salah satu kisah benar yang dipaparkan adalah mengenai video di bawah. Saya sungguh terkesan dengan kisah tersebut dan cuba mencari serba sedikit kisah di sebalik kejayaan beliau. Ternyata, kuasa percaya dan yakin telah membawa beliau ke mercu kejayaan.

Perhatikan bagaimana para juri termasuk khalayak sendiri yang memberi pandangan negatif pada pandangan pertama beliau muncul di atas pentas. Simon Cowell yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik juga turut mengakui kehebatan beliau.
Dengan kuasa percaya dan yakin itu beliau akhirnya telah menjadi juara pertandingan (Britain's Got Talent) tersebut.

Friday, January 15, 2010

Simple but Meaningful Answer

Bismillahirrahmanirrahim...

Subject: Simple but Meaningful Answer by Prof Al Attas

On December 13, 2009, during the Worldview of Islam Seminar organized by the Assembly of Muslim Intellectuals or Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM), there was a question being posted to Professor Al-Attas regarding the polemical usage of the word "Allah" by the non-Muslims.

Below is the transcript of his brief-but-yet-concise enlightening remarks. As a word of caution, though, one must not only rely on this brief transcript alone to understand the whole spectrum of Prof. Al-Attas' view about this theological matter. Further thorough elucidation of his thought can be found in numerous works of this great Muslim scholar of this age, such as Prolegomena to the Metaphysics of Islam, Islam and Secularism, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu and A Commentary on Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri.

Question: The using of kalimah “Allah” by other people in this country

Answers by Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas:

Well I have been talking about this long time ago. I remember about this in ISTAC, when we first established ourselves (late 80’s and early 90’s), I think the Arcbishop of Penang was asking this question. And I have answered that.

And then we had a meeting with the Archbishop of Kuala Lumpur and about all the representatives of Christianity, including the ministers, we had a meeting at ISTAC.

And I said, “Why you want to use the word ‘Allah’ for yourself?”

They said “we going to pray in Bahasa Malaysia”

That’s the way they put it. So my answers to them, “Why you have to change praying into Bahasa Malaysia. You have been praying in English all the time. Why suddenly change into Bahasa Malaysia?”

Ok, so they said they want to change so that it more patriotic. Then in that case I’m saying that “why don’t you use Tuhan while praying in Bahasa Malaysia? Because you are talking about God isn’t it?…God is not just a name…”Allah” is a name of this Being whom you called God… and in fact a Being whom even higher than what you called to be God”

And then I said, “ …and “Allah” is not from Bahasa Malaysia. It is not a national language. It belongs to the language of Muslim all over the world. Therefore your argument using this for the word “Allah” does not fit into your idea of God. Because “Allah” does not have a son, It is not one of three (Trinity), that is why out of respect to Allah we can’t allow you to use this.“

But when we Muslim, when we write in English we say God, or when we talk to people we say God but we mean “Allah”…but they cannot say when they speak about God it means “Allah” as they don’t mean it.

So in this particular respect, we have to be clear about this, not was-was (hesitate)...whomever responsible in our governing, they have to be clear about this and to explain to others.

We agree you want to use God, then use Tuhan as we also use that…but we understand in the Malay language that Tuhan is not a translation of Allah..that is why we say “tiada Tuhan melainkan Allah” not “tiada Tuhan melainkan Tuhan”. We don’t say “there is not God but God”..at least the ulama’ among the Muslim Malays, we understand what is the meaning of that (word “Allah”).

So “Allah” cannot be translated as no language has translated Allah. The Arabs themselves they only use that after Islam..although the word existed (before)..the Christians Arab they also did not use Allah (in theological, epistemological and ontological sense in the same manner as the Muslim)..if they say that it is just a language..they talking about language..because they say “Allah” like the Muslim when they (melatah)…

So it appears they want to do that in order to confuse the Muslim into thinking that all the same..that is why I say one of the problems about religion is the nature of God..about who Allah is..that is why in Arkanul Iman (The Pillars of Faith), the first thing is “amana billah”.

“Who is this Allah?” and that need to be explain at higher institution in a proper way…

So we have answer the question. It is not proper to allow them using this, since they asking us and there is no point bringing this to court since this is not a matter of court to decide it whether they have the freedom to use it or not. It is up to the Muslims.

But then if they used it and said “in Indonesia they have use it, why can’t we?”…but it is because of the Muslims..if Muslims don’t care they will go on and use it..and in Indonesia they are using not only that, other things they even call it “choir” as “selawat”. Choir is not a “selawat”, as “selawat” is for Prophet..it’s not singing hymn..

And they also talk about..in Indonesia they are also confuse..Muslims..that is why this thing happen. Sometimes the language when you come across English words like “Prophet of Doom” in Indonesia they said “Nabi celaka”.How can there be “Nabi celaka”? What is meant by the “Prophet of Doom”
is…even the word Prophet in English does not mean “Nabi” only…it means “yang meramalkan malapetaka”..that what it means…so the “Prophet of Doom” means “yang meramalkan malapetaka”, not “Nabi celaka”.

They (the Muslims in Indonesia) seem not to bother about this. What we can say is that ultimately well they say “God is not Allah”...well if you want to use the word God, we are saying we also use the word God, we refer to Allah as we know and we are not saying that your God ultimately will not refer to Allah. You can’t run away from Allah. You can only escape Him and so in the Qur’an (surah An-Naas) says: “Qul aAAoothu birabbi annas, Maliki annas, Ilahi annas”. He (Allah) is saying “ I am the real Ilah (God) of naas (mankind)”, although mankind (non-Muslim) does not interpret it that way.

Thursday, January 14, 2010

KERJA SEBAGAI IBADAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Dunia pekerjaan saya kebelakangan ini menuntut saya untuk menghadiri pelbagai jenis mesyuarat saban hari. Sungguh meletihkan tetapi itulah tuntutan kerjaya yang harus saya penuhi. Pun begitu, kadang-kadang saya tidak dapat mengelak merasa sedikit kecewa apabila mesyuarat yang dihadiri terasa kosong kerana pada saya, hanya membincangkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat yang jelas. Mungkin juga saya yang gagal menemui kepentingannya tapi hati kecil ini sering berbicara mengatakan bahawa perkara yang dibincangkan adalah semata-mata untuk memuaskan hati sesetengah pihak sahaja tanpa matlamat dan jangkaan impak jangka masa panjang yang benar-benar tulen.

Lantas terlintas di fikiran saya pelbagai pertanyaan iaitu bagaimana menjadikan kerja satu ibadah? Apakah cukup dengan sekadar menghadirkan diri pada waktu yang ditentukan dan menghadiri program-program yang diaturkan dari semasa ke semasa? Apakah cukup dengan melaksanakan arahan yang diberikan secara membuta tuli tanpa membuat analisa dan penelitian di sebalik arahan tersebut? Apakah memuaskan hati pihak atasan bermaksud kerja yang dijalankan menjadi ibadah walaupun diketahui arahan tersebut tidak memberi manfaat? Fikiran saya menjadi keliru dan buntu sejenak dengan persoalan-persoalan yang timbul.

Saya menenangkan diri dan cuba merenung jauh akan makna di sebalik persoalan-persoalan tersebut. Wajarkah persoalan-persoalan itu saya bangkitkan? Saya makin keliru. Saya merenung lebih jauh.

Saya cuba mencari jawapan tersebut di dalam diri saya sendiri. Apakah saya sudah menjadikan kerja saya selama ini sebagai ibadah yang boleh saya persembahkan di hadapannya kelak sebagai pertimbangan untuk memasuki syurgaNya?

Setiap pekerjaan terletak pada niat...” itu antara pesan atau sabda baginda Rasulullah SAW untuk dijadikan pedoman dan panduan dalam menjalani kehidupan di alam yang fana ini.

Apakah niat saya sebaik mula memasuki alam pekerjaan ini? Berkerut-kerut dahi saya merenung kembali niat yang pernah saya lafazkan dulu. Pernah atau tidak melafazkannya? Astaghfirullahala’zim.

Saya terlalu leka menjalani alam pekerjaan sehingga tidak mampu lagi mengingati titik permulaan yang saya tintakan seawal usia tamat pengajian.

Mulanya, niat saya memasuki alam pekerjaan adalah untuk berdikari dan membantu keluarga dari segi kewangan terutama kedua ibu bapa setelah sekian lama mereka berkorban membesarkan saya yang tidak kurang juga nakalnya.

Masa berlalu, saya mula hanyut dalam arus kesibukan dunia pekerjaan sehingga tidak sedar sudah hampir 7 tahun bergelumang di dalamnya. Pekerjaan saya sekarang merupakan yang ketiga dan insyaAllah buat masa sekarang akan kekal di dalamnya sehingga ke satu saat yang saya sendiri kurang pasti. Saya tiada perancangan untuk menukar haluan cuma mungkin bertukar angin untuk mempelajari perkara-perkara baru. Saya berpendapat harus ada lompatan dalam setiap tempoh 5 tahun di satu-satu tempat atau takuk dan selepas itu saya perlu memulakan langkah naik ke takuk seterusnya. Itu perancangan saya yang saya sandarkan kepada keizinan daripadaNya jua.

Apakah niat saya seawal memasuki alam pekerjaan boleh dianggap sebagai pengiktirafan menganggap pekerjaan saya selama ini sebagai ibadah? Persoalan ini muncul lagi.

Jawapannya saya letakkan pada kesungguhan dan ketekunan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah dan sedang diberikan dari semasa ke semasa. Saya sandarkan juga pada keikhlasan dalam melaksanakannya dengan mematuhi peraturan berkuatkuasa dari semasa ke semasa. Juga pada menjaga hubungan sesama manusia agar ada hati-hati yang tidak terluka meski kekadang tidak dapat mengelak diri dari berbuat demikian dalam keadaan tertentu.

Jawatan saya sekarang tambah membuatkan persoalan-persoalan tersebut semakin mengasak-asak pemikiran saya kerana bimbang gagal melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bimbang apabila semakin banyak yang diucapkan, semakin terserlah kesilapan dan kelemahan diri serta yang paling membimbangkan semakin banyak hati yang terluka. Namun, antara tanggungjawab dan hati manusia, saya lebih cenderung memilih tanggungjawab kerana saya selamanya tidak akan mampu memuaskan hati manusia.

Apakah sudah terjawab persoalan saya? Berfikir dan merenung lagi...

Thursday, January 7, 2010

BARAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Barah atau juga dipanggil kanser merupakan antara penyakit yang menjadi ‘musuh dalam selimut’ dan digeruni oleh setiap dari kita. Lebih menakutkan apabila penyakit ini hanya dapat dikesan apabila sudah mencapai tahap 2 atau 3 atau lebih teruk pada tahap 4 iaitu tahap yang boleh membawa maut. Bercakap mengenai penyakit ini mengingatkan saya kepada arwah rakan saya, Monaliza dan arwah SM Nasimuddin, pengerusi Naza yang juga meninggal kerana barah. Kedua-duanya hanya dapat mengesan penyakit yang dihidapi apabila sudah berada di tahap 3 dan 4. Malah setiap dari kita sebenarnya terdedah kepada penyakit ini akibat faktor pemakanan, gaya hidup dan persekitaran yang semakin tercemar.

Bagi wanita, barah yang paling ditakuti adalah barah payudara atau barah yang melibatkan organ dalaman seperti ovari dan serviks. Malah sel kanser dikatakan antara sel yang paling pantas merebak dan boleh merosakkan fungsi organ dalaman secara total. Apapun jua jenis barah atau kanser yang dihidapi, ia sering dianggap seperti berada di ambang maut. Begitu pandangan majoriti termasuk diri saya sendiri. Moga kita semua dijauhkan dan dipelihara daripada sebarang penyakit yang berbahaya seperti barah. Nauzubillah.

Namun apa yang ingin saya kaitkan hari ini adalah fenomena segelintir manusia yang membawa watak seperti sel barah dalam sesebuah organisasi. Di satu pihak, saya boleh menerima akan hakikat bahawa watak-watak ini akan sentiasa ada dalam mana-mana organisasi di dunia ini. Jika dilihat dari sudut positif, kewujudan watak-watak ini boleh menjadi pemangkin atau pencabar kepada kita dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Kita akan sentiasa menjadi seorang yang teliti dan mencuba untuk melakukan yang terbaik demi untuk mengelakkan dikritik oleh pemilik watak tersebut. Namun begitu, di satu pihak pula selaku manusia biasa yang diberi emosi dan perasaan, timbul rasa letih apabila sering berdepan dengan kelompok atau individu yang memiliki watak tersebut. Itulah yang saya hadapi kini.

Kekadang rasa letih dan lesu bertandang apabila tidak putus-putus berhadapan dengan watak-watak yang tidak senang melihat orang lain lebih daripada diri mereka malah sering merasa mereka sahaja yang betul dan lebih tahu daripada orang lain. Jika diikutkan nafsu, mahu sahaja saya berdepan dengan golongan ini tetapi apabila ditanya akal dan hati, melayan mereka adalah satu perbuatan yang sia-sia sahaja. Segalanya saya serah dan sandarkan kepada Allah jua yang saya pasti serta amat pasti lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri saya.

“Mereka merancang dan Allah juga merancang...” itu kata Allah.

Namun yakinlah, perancangan Allah adalah yang haq. Rasa letih dan lesu terbang jauh apabila mengingatkan janji itu walau sekali sekala ia datang jua menyapa membuatkan fikiran jauh menerawang.

Allah jua telah berfirman bahawa apa jua perkara yang ditimpakan adalah yang mampu ditanggung dan dihadapi oleh hamba-hambaNya. Natijahnya adalah kekuatan dalaman dan iltizam untuk lebih tabah dan kuat menghadapi pelbagai ragam dan tingkah manusia.

Apa pun, saya bersyukur walau dalam kesempitan ini saya masih dikelilingi oleh orang-orang bawahan yang mudah menurut kata-kata dan teman-teman yang memahami. Sungguh, dalam saat begini, kita akan lebih mudah mengenal rupa kawan dan lawan. Tiada daya upaya saya meletakkan diri saya sebaris dengan mereka yang berwatak seperti sel kanser itu yang menyerang dalam diam dan merosakkan fungsi dan perjalanan sebuah organisasi. Mereka lupa, Allah Maha Mengetahui dan Allah jua Maha Adil. Malah Allah jua bersama orang-orang yang sabar. Berpegang kepada janji itu, saya tidak gusar untuk mengharungi ‘serangan’ sel-sel kanser itu dan amat yakin apa jua yang akan menimpa saya selepas ini adalah yang terbaik buat saya. Manusia hanya medium untuk Allah menyampaikan bentuk ujian kepada saya sama ada kuat atau tidak untuk menghadapinya. Wallahua’lam.

Sunday, January 3, 2010

AZAM BARU

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya mulakan tahun 2010 dengan memperbaharui azam yang sekian lama sudah dilakarkan tetapi gagal dimanifestasikan dengan sepenuhnya. Penjagaan kesihatan akan lebih dititikberatkan. Itu antara azam 2010 saya. Sudah tentu ada beberapa azam atau sasaran lagi yang ingin saya capai tapi antara yang menjadi keutamaan adalah kesihatan. Dulu (2 tahun yang lalu) saya gigih mengunjungi gimnasium bersebelahan pejabat saya bersama teman-teman karib yang setia meluangkan masa selepas tamat waktu kerja. Saat itu metabolisme atau stamina saya semakin baik dan berat badan juga semakin menurun. Masa berlalu, masing-masing sudah punya komitmen tersendiri dan sibuk dengan urusan harian membuatkan aktiviti tersebut semakin perlahan dan lama-kelamaan terus ditinggalkan. Apabila saya meninggalkan aktiviti tersebut secara mendadak, kesannya amat saya rasai terutama dari segi pertambahan berat badan. Pokoknya bukan kecantikan yang menjadi sasaran utama saya sebaliknya keadaan kesihatan yang baik yang amat saya perlukan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai manusia dengan semaksima mungkin.

Kedatangan 2010 membangkitkan keinginan saya untuk kembali aktif seiring dengan ‘pengurangan’ usia. Saya perlu berbuat sesuatu andai tidak ingin diselimuti masalah kesihatan yang akan menyukarkan saya untuk menjalani kehidupan harian di samping bimbang akan membebankan ahli keluarga sekiranya saya ditimpa masalah tersebut. Justeru, saya mula mengintai-ngintai kelas kecergasan dan kelas renang di sekitar kawasan tempat tinggal ataupun tempat kerja. Malah adik perempuan saya juga turut berminat untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Sebenarnya banyak aktiviti yang ingin saya lakukan umpamanya 2 perkara di atas termasuk menunggang kuda. Malah berenang dan menunggang kuda sudah lama berada dalam senarai perkara-perkara yang ingin saya lakukan dan kuasai dalam hidup saya.

Keinginan untuk mendalami kemahiran berenang timbul ketara sewaktu saya dan adik perempuan hampir menemui ajal di sebuah sungai di Hulu Terengganu. Waktu itu saya berusia 16 tahun dan masih menuntut di MRSM Muar. Kami ke sana untuk berkelah dan memenuhi hajat rakan-rakan abang saya yang menghabiskan percutian di kampung saya. Malang tidak berbau, keghairahan untuk mandi-manda di sungai bertukar menjadi tragedi apabila saya dan adik perempuan terjerlus ke dalam lubuk yang dalam. Tanpa kehadiran Abah saya yang menjadi hero penyelamat waktu itu, saya dan adik mungkin sudah tiada lagi di dalam dunia ini, pergi mengadap Ilahi. Malah saya sendiri saat itu masih mengingati saat-saat getir melalui situasi cemas itu. Sepantas kilat, saya teringat pesanan seorang guru agar bertenang sekiranya lemas membuatkan saya hanya mendiamkan diri sahaja apabila tenggelam ke dasar lubuk. Adik perempuan saya yang cuba menyelamatkan saya apabila melihat saya terkapai-kapai kelemasan juga turut sama tenggelam. Saya sempat memaut tangan adik saya dan saat itu saya sudah mengucapkan kalimah syahadah dan redha seandainya saya dipanggil kembali mengadapNya. Umi saya juga sudah tidak keruan malah menangis meronta-ronta di tebing sungai melihat kami tenggelam. Tanpa saya sedar, Abah menyelam dan menolak kedua-dua kami ke atas menghampiri Umi yang sedang meraung di tebing sungai. Mujurlah Abah cepat bertindak kerana Umi juga hampir hilang kewarasan dan ingin terjun ke dalam sungai juga apabila melihat ketiga-tiga kami tenggelam. Kejadian tersebut tidak disedari oleh abang saya dan rakan-rakannya yang sedang bergembira mandi-manda di kawasan atas air terjun. Atas tindakan luar sedar itu, segala dokumen penting termasuk dompet Abah yang masih berada di dalam seluar menjadi lencun dan rosak. Setiap kali mengingati insiden itu, hati saya sebak apabila mengenangkan kemungkinan sebaliknya jika Abah tidak menyedari keadaan kami yang terkapai-kapai kelemasan kerana pada mulanya Abah menyangka kami hanya bergurau sahaja.

Saya terfikir hikmah di sebalik kejadian tersebut iaitu sebab saya masih dipanjangkan usia oleh Allah untuk berada di atas muka buminya ini. Apakah tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan peranan yang masih perlu saya mainkan sehingga Allah belum memanggil saya mengadapNya? Kata orang, siapa yang dipanggil mengadap Allah dalam usia yang muda adalah orang yang dikasihiNya dan berpeluang untuk memasuki syurga kerana masih belum bergelumang dengan noda dan dosa. Apakah ini bermaksud saya bukan orang yang dikasihiNya? Tidak sama sekali. Saya pasti dan yakin setiap aturan yang telah ditentukanNya adalah yang terbaik buat diri saya. Sudah pasti Allah mengkehendaki saya untuk memenuhi satu tanggungjawab besar setidak-tidaknya untuk kebaikan ahli keluarga saya sendiri. Setiap kali hakikat ini saya renung, terasa betapa kerdil dan bertuahnya diri ini kerana masih diberi ruang dan peluang untuk beribadah kepadaNya. Saya bersyukur kerana masih diberi kelapangan untuk berbakti kepada kedua orang tua saya walaupun pada awalnya saya akui pernah tersilap anggap akan makna sebenar bergelar seorang anak. Saya pernah mengeluh dengan ujian-ujian yang Allah timpakan kepada saya sehingga saya terlupa itulah ruang yang Allah berikan kepada saya untuk menambahkan amal di muka bumi ini untuk dibawa mengadapNya kelak. Astaghfirullahala’azim...

Kini saya cuba memenuhi setiap impian dan kehendak kedua ibu bapa saya sebaik mungkin selagi terdaya. Bisikan syaitan yang cuba memesongkan niat saya cuba saya tepis dengan sebaik mungkin dengan mengingati kembali hakikat kehidupan ini. Untuk melakukan itu semua, saya perlukan rohani dan jasmani yang sihat.

Hari ini saya dan adik perempuan memenuhi perancangan kami yang sekian lama tertangguh iaitu mengunjungi spa. Alhamdulillah spa yang kami kunjungi hanya khusus untuk pelanggan wanita sahaja dan ini membuatkan kami selesa menjalani rawatan. Sesi yang berjalan 2 jam terasa amat pantas berlalu di samping layanan baik dan mesra yang kami terima. InsyaAllah jika diizinkanNya kami akan menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti bulanan dan saya berhajat untuk mengajak Umi saya untuk turut sama menikmatinya. Kini, setiap langkah saya sentiasa diiringi ingatan kepada Abah dan Umi. Saya ingin keduanya menikmati penghujung usia dengan penuh ketenangan setelah melalui segala susah payah membesarkan kami seramai 8 orang. Saya bersyukur kerana Allah memberi saya peluang untuk menyenangkan mereka dengan kadar yang saya mampu. Alhamdulillah...

Semoga saya akan mampu dan berjaya mencapai azam saya untuk memperbaiki tahap kesihatan pada tahun 2010 dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

Friday, January 1, 2010