Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 31, 2010

Rak Kasut

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama saya membeli rak kasut pasang siap ini. Saya beli di Giant Seri Kembangan semasa mula-mula berpindah masuk ke teratak baru. Namun kerana tidak berkesempatan untuk memasangnya, rak kasut tersebut kemas berada di dalam kotak sahaja. Hari ini, saya luangkan masa sempena cuti umum untuk memasangnya. Saya sebenarnya gemar kepada sebarang bentuk aktiviti berasaskan pertukangan malah sebahagian besar barangan dalam teratak baru ini saya pasang sendiri sahaja. 

Sebelum

Alhamdulillah, tidak sampai 1 jam, rak kasut sudah sedia untuk digunakan. Puas rasa hati kerana berjaya memasangnya sendiri. Inilah hasilnya.

Selepas

PakSoo

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Disember 2010. Ulangtahun kelahiran ke-24 PakSoo, gelaran oleh anak-anak saudara kepada adik lelaki bongsu saya. Saya pula memanggil dia dengan gelaran 'adik'.

Walaupun PakSoo telah dewasa, dia tetap adik kecil yang pernah saya dukung dan membahasakan dirinya 'aya' (ringkasan saya) di mata saya. Kak Imah doakan semoga adik sentiasa dalam rahmatNya jua dan semoga kejayaan sentiasa mengiringi langkah adik. InsyaAllah, Kak Imah akan sentiasa di sisi adik sebagai seorang kakak.

Sebagai tanda kasih, saya belanja adik makan di Secret Recipe Alamanda.

V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V
V

Yang diraikan

Adik punya

Saya punya :)

Wednesday, December 29, 2010

Mujur

Bismillahirrahmanirrahim...

Mujur pertemuan malam ini di Cyberjaya ditunda kepada tarikh lain.
Mujur kelas renang malam ini telah ditunda juga.
Mujur saya telah gigih mencari tong gas baru baru-baru ini. RM50 deposit dan gas RM27.50. 


Hasilnya, dapatlah saya memasak mee goreng untuk makan malam sambil menonton perlawanan Piala AFF Suzuki yang cukup mendebarkan ini.


Tak pernah saya bersemangat seperti malam ini. Seronok juga apabila sekali sekala semangat patriotik membuak-buak dalam diri. Aduhai, nampak hensem pula Rajagobal malam ini. Hihi.

Chak De Malaysia!

Friday, December 24, 2010

Berguru

Bismillahirrahmanirrahim...

Berburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Maksudnya jika belajar sesuatu perkara, biarlah berguru dan bersungguh-sungguh mengamalkannya agar ilmu yang dituntut memberi manfaat. Jika ilmu dituntut secara sambil lewa, samalah seperti bunga yang kembang tak jadi kerana bunga yang kembang tak jadi, rupanya tidaklah cantik untuk dipandang.

Rasulullah pernah bersabda,

“Barangsiapa belajar dengan tidak berburu, ibarat belajar dengan syaitan.”

Maksudnya jika ingin mempelajari sesuatu perkara biarlah dengan merujuk kepada yang pakar atau guru dalam perkara tersebut.

Justeru, apabila saya ingin mempelajari cara untuk berenang, saya sedaya-upaya cuba untuk mencari seorang guru agar dapat membimbing dan membantu saya merealisasikan impian untuk pandai berenang. Alhamdulillah, pilihan saya tepat apabila bertemu guru yang mampu mengajar dan membimbing saya dan rakan (Ila) dengan baik.

Kini, pilihan di tangan saya sama ada ingin menjadi bunga yang mekar kembang atau kembang tak jadi.  Sesi latihan adalah sesi untuk mempelajari dan mengetahui teknik-teknik yang betul untuk berenang namun untuk memahirkannya saya harus meluangkan masa untuk mengulang-ulang teknik yang telah diajar oleh guru. InsyaAllah, saya berazam untuk menjadi bunga yang kembang.

Tuesday, December 21, 2010

Takut/Cuak

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini kelas renang berjalan seperti dijadualkan dan pelajaran kami melangkah setapak lagi apabila Kak Niza (KN) meminta kami berenang di kawasan yang lebih dalam. Kedalamannya lebih tinggi daripada saya sehingga saya tercungap-cungap apabila berdiri tegak. Sebenarnya rasa takut/cuak telah mula bermain-main dalam kepala saat kami terima sms daripada KN memaklumkan yang malam ini kami akan ke kawasan kolam yang lebih dalam. Sebelum ini kami hanya berlatih pada kedalaman kolam paras dada sahaja. Meskipun teruja untuk mempelajari teknik baru, rasa takut/cuak tetap bersarang dalam kepala kami.

Jumlah pengunjung yang ramai sedikit sebanyak mengganggu kelancaran sesi latihan yang kami ikuti. Mungkin kerana cuti sekolah, ramai yang datang mandi manda bersama keluarga. Apapun, kami teruskan juga sesi latihan dengan bimbingan KN. Seronok apabila dapat mengapungkan diri tetapi rasa takut/cuak masih tetap bersarang dalam diri saya.

Saya pernah lemas semasa berusia 16 tahun. Waktu itu saya dan keluarga membawa kawan-kawan abang saya yang datang bercuti ke kawasan air terjun di Hulu Terengganu. Dalam keriangan, saya tidak perasan kewujudan lubuk tidak jauh dari tebing tempat saya dan adik perempuan berdiri. Hanya beberapa langkah di dalam air sungai, saya terus tenggelam ke dalam lubuk tersebut. Adik perempuan saya yang melihat keadaan saya cuba untuk membantu dengan menghulurkan tangannya tetapi dengan tidak semena-mena dia turut tergelincir ke dalam lubuk bersama saya. Kami berdua terkapai-kapai dan saling berpaut untuk menyelamatkan diri. Saat itu, saya teringat kepada pesanan seorang guru iaitu apabila lemas, cara terbaik adalah dengan berdiam diri sahaja. Saya cuba untuk mendiamkan diri tetapi adik saya terus memaut saya menyebabkan kami berdua terus tenggelam ke bawah. Saya redha jika Allah ingin memanggil saya kembali saat itu malah saya sudah melafazkan kalimah syahadah.

Tiba-tiba saya merasakan ada tangan menolak saya dan adik ke atas dan kami kembali ke tebing ke sisi ummi yang sudah terjelepuk sambil menangis. Rupanya abah dan ummi yang berada di bahagian atas nampak keadaan kami yang tenggelam timbul. Mulanya ummi menyangka kami bergurau dengan menyelam di dalam air tetapi apabila kami tidak timbul-timbul, ummi terus menjerit dan abah terus bingkas berlari terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan kami. Habis basah lencun dompet abah kerana tidak sempat mengeluarkannya daripada poket seluar dalam kekalutan tersebut. Malah abah berlari seperti tidak jejak tanah untuk menyelamatkan kami kerana kedudukan abah dan ummi yang sedikit jauh daripada kami.

Sebaik menolak kami ke tebing, abah terus tenggelam dalam sungai dan ummi terus menjerit memanggil “Abang! Abang!” dan ingin meluru masuk ke dalam sungai. Mujurlah saya dan adik memaut kaki ummi dan abah mula timbul. Rupanya abah kepenatan menyelam menyelamatkan kami yang sudah jauh tenggelam menuju ke dasar. Menurut abah, kami sudah jauh tenggelam ke bawah dan abah terpaksa menolak kami berdua serentak kerana bimbang akan kehilangan salah seorang kerana keadaan di bawah yang agak gelap. Kedalaman lubuk jauh lebih dari yang kami jangkakan dan abah mengangggarkan kedalamannya lebih kurang 6 orang dewasa berdiri.

Sejak kejadian itu, abah berazam untuk mengajar kami berenang tetapi niat itu sering terhalang tambahan pula masa saya banyak dihabiskan di asrama. Ironinya, saya membesar di kawasan pantai tetapi tidak tahu berenang. Abah seorang yang begitu tegas dengan kami dan melarang kami untuk mandi manda di pantai sesuka hati. Abang-abang saya sering curi-curi mandi juga bersama kawan-kawan dan mereka akhirnya pandai berenang sedangkan saya begitu takut untuk melanggar arahan itu. Namun kejadian lemas yang hampir meragut nyawa tetap menghantui saya dan menyebabkan saya menjadi trauma apabila berada di dalam air yang saya tahu kedalamannya melepasi ketinggian saya.

Pun begitu, hasrat untuk belajar berenang tetap tertanam dalam diri saya demi untuk menghilangkan trauma yang telah begitu lama bersarang dalam diri. Di samping itu, berdasarkan beberapa siri latihan yang telah saya ikuti bersama KN, saya dapati aktiviti ini dapat membentuk keberanian mencuba dalam diri seseorang. Cemburu rasanya melihat anak-anak kecil yang sudah tahu berenang dalam usia yang masih mentah sedang saya masih bertatih untuk melakukannya.

Sesi latihan malam ini hampir membangkitkan kisah hitam yang pernah saya lalui dulu apabila saya tenggelam timbul buat seketika dan terpaksa ditolak oleh KN ke tepi kolam. Rakan sekolam saya, Ila Ramliey pula menunjukkan kemajuan yang lebih baik berbanding saya. Mungkin saya perlukan latihan lebih kerap untuk membiasakan diri dengan air dan menghilangkan rasa takut/cuak yang masih bersisa dalam diri. Saya berazam untuk melawan perasaan itu dan saya yakin (insyaAllah), saya akan berjaya melakukannya kelak. Aktiviti renang pasti akan menjadi antara hobi utama yang saya minati selepas ini. Untungnya saya sudah mempunyai rakan yang juga mempunyai minat yang sama. Siapa lagi orang yang saya maksudkan, kalau bukan Ila Ramliey.

Meskipun tidak banyak pencapaian yang saya capai pada malam ini, latihan yang dijalani telah sedikit sebanyak menghilangkan trauma yang pernah saya lalui dulu. Hakikatnya, ia bukan kerana saya tidak mampu untuk melakukannya tetapi kerana ketidakmampuan saya untuk mengawal rasa takut/cuak dalam diri sendiri. Malah begitulah keadaan yang sering dihadapi oleh kebanyakan dari kita iaitu perasaan takut/cuak telah menghalang kita dari melakukan sesuatu. Dalam erti kata lain, kita telah gagal sebelum mencuba.

Usai latihan, saya, Ila Ramliey dan KN sempat makan malam roti boom di salah sebuah kedai makan di situ. Kali ini, saya setara dengan Ila Ramliey apabila kami berjaya menghabiskan 2 biji roti boom seorang. :D

Sunday, December 19, 2010

Terapi Solat

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sering mengikuti artikel tulisan saudara Fuad Latip di blog beliau sebelum ini namun saya belum pernah mengikuti sebarang program yang melibatkan beliau. Walau bagaimanapun, kali terakhir saya melayari laman blog beliau, saya tertarik untuk mengikuti kursus yang dikendalikan oleh beliau dan tanpa berfikir 2 kali, saya terus mendaftar untuk mengikutinya. Program tersebut yang dinamakan ‘Jiwa Positif Jiwa Bahagia’ diadakan di Akademi Nur Insan yang terletak tidak jauh dari rumah saya.

Alhamdulillah, saya tiba tepat pada masanya dan program bermula pada jam 9.00 pagi. Agak memenatkan juga kerana terpaksa duduk di atas lantai sepanjang tempoh program namun nilai ilmu yang diterima sangat mahal. Bagi yang pernah mengikuti tulisan saudara Fuad Latip pasti akan mengetahui penekanan beliau tentang komunikasi dengan Allah. Beliau menyakinkan kami bahawa komunikasi dengan Allah adalah tanda kecintaan kepadaNya, bahawa kehidupan ini penuh dengan pilihan dan setiap pilihan perlu dibuat dengan mendapat keizinan daripadaNya terlebih dahulu. InsyaAllah, pilihan yang kita buat akan dipandu olehNya.

Saya tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh beliau dalam mendidik anak-anak kecil agar berterima kasih kepada Allah setiap kali menerima kebaikan. Contohnya, anak beliau diajar agar mengucapkan ‘terima kasih Allah’ apabila diberi susu. Jika anak kuat meragam pula, beliau hanya mendakap erat anak kecil itu sambil mengusap-usap kepala dan memohon daripada Allah agar menenangkan hati anak kecil itu. Seringkali kita melihat ibu bapa atau orang dewasa memarahi anak-anak kecil yang ‘buat perangai’ tanpa sedar itu adalah natijah daripada putusnya komunikasi dengan Allah. Malah untuk makan pun, cetuskan dalam hati agar Allah mengilhamkan apakah pilihan makanan yang baik untuk kita makan. Ringkasnya, setiap saat dan ketika kita terus berkomunikasi dengan Allah tanpa jemu sepertimana ralitnya pasangan bercinta berbual.

Beliau kemudian mendedahkan pendekatan solat sebagai terapi, bahawa kita yang sebenarnya memerlukan kepada solat dan bukannya Allah. Beliau menjelaskan bagaimana solat itu seronok dan membawa banyak kebaikan kepada kita jika melakukannya dengan khusyuk. Setiap pergerakan yang dibuat dalam solat iaitu rukuk, sujud, duduk antara 2 sujud dan semua pergerakan adalah demi kebaikan dan kesihatan kita jua. Solat adalah terapi terbaik buat kita. Paling meninggalkan kesan, penerangan beliau tentang maksud khusyuk itu sendiri telah memperbetulkan pemahaman saya yang tersasar selama ini. Khusyuk itu bukan semasa solat sahaja sebaliknya pada setiap helaan nafas kita dalam kehidupan ini. Khusyuk adalah sedar kepada kewujudan Allah dalam setiap langkah kita di muka bumiNya ini. Selama ini, pemahaman khusyuk saya hanya sekadar dalam solat sahaja.

Pemahaman yang diberikan oleh beliau (dengan izin Allah) membuatkan kami lebih memahami erti solat sebagai terapi terbaik dan satu aktiviti yang menyeronokkan jika dibuat dengan penuh tertib. Pengisian menjadi lengkap apabila kami sama-sama mempraktikkan pergerakan solat dengan penuh penghayatan.

Program tamat pada jam 5.00 petang dan saya pulang dengan satu pengalaman baru.

Friday, December 17, 2010

Minat

Bismillahirrahmanirrahim...

Pesan orang yang telah berjaya, “Lakukan sesuatu kerana minat, bukan kerana keuntungan.”

Kata mereka lagi, keuntungan akan mencurah selepas itu, tidak perlu dicari. Berapa ramai yang benar-benar melakukan apa yang mereka minat atau ramai terpaksa melakukannya kerana tiada pilihan?

Akhir-akhir ini saya banyak merenung pesanan di atas. Apakah selama ini saya telah melakukan apa yang saya minati atau hanya melakukan sesuatu dalam keadaan terpaksa? Pokoknya, apakah minat saya?

Lama saya merenung ke dalam diri. Akhirnya saya temui kembali sesuatu dalam diri yang telah agak lama saya abaikan. Saya cintakan bahasa dan penulisan. Sayalah pembongkar buku-buku yang tersusun rapi di rak sejak dari usia kecil. Saya gemar mengelek buku atau bahan bacaan walau ke mana jua saya pergi meskipun kekadang bahan bacaan itu tidak bersentuh. Siri buku cerita Tidurlah Intan, Hardy’s Boys dan beberapa nama yang saya hampir lupa menjadi santapan harian. Tidak ketinggalan majalah Bujal, watak seorang budak lelaki yang mempunyai beberapa biji jerawat di wajahnya.

Saya cintakan penulisan. Seawal usia 8 tahun, saya telah memenangi pertandingan cerpen. Menjadi pelajar terbaik Bahasa Melayu berturut-turut semasa tingkatan 4 dan 5 serta pernah menjadi juara pertandingan mengarang peringkat daerah Muar. Pencapaian tertinggi adalah sebagai naib johan pertandingan mengarang peringkat negeri Johor. Waktu itu, cikgu Sheikh merupakan cikgu yang menjadi pendorong mengasah bakat saya dalam bidang penulisan.

Apabila memasuki UIA, saya masih meneruskan minat dalam penulisan dengan menukilkan sajak serta cerpen namun kesibukan sebagai pelajar membantutkan minat saya. Kebanyakan nukilan saya hanya kekal dalam simpanan sahaja namun saya pernah cuba menghantarnya kepada sebuah majalah dan telah diterbitkan tanpa sebarang bayaran.

Sejak itu, minat itu berkubur dan saya semakin tenggelam dalam kesibukan mengejar segulung ijazah. Kini, saya menoleh ke belakang dan cuba mengutip kembali mutiara yang pernah saya bungkus kemas dalam lipatan kenangan. Saya cuba menggilapnya semula kerana di situ kasih saya tertumpah. Agak panjang masa yang saya ambil sebelum menyedari kecintaan yang mendalam masih ada dalam dunia penulisan. Semoga masih ada ruang untuk saya menyuburkan semula minat itu.

Hijrah

Bismillahirrahmanirrahim...

1 Muharram 1432H. Itu tarikh rasmi saya mula memasuki kediaman baru yang telah siap baru-baru ini. Kisah rumah baru ini pernah saya ceritakan dalam entri sebelum ini. Perpindahan memang satu proses yang meletihkan namun menyeronokkan apabila proses itu tamat. Saya telah menyewa sebuah lori beserta tenaga kerja untuk mengangkut barangan daripada Keramat ke rumah baru di Serdang dengan bayaran RM400. Melihat kepada kesungguhan pekerja-pekerja mengangkut barangan membuatkan saya merasa berbaloi untuk menggunakan khidmat mereka malah mereka kelihatan begitu cekap menjalankan tugasan. Dalam tempoh 2 jam, semua proses selesai. Barangan telah siap dipindah dan dipunggah daripada rumah lama ke rumah baru.

Sekarang barulah saya faham keseronokan menghias rumah sendiri. Sejujurnya, sebelum ini saya hairan kenapa ummi saya begitu beria-ia ingin melihat rumah dalam keadaan kemas dan cantik. Segala-galanya perlu sempurna. Jika memilih lampu pun, pasti ditelek dan dibelek sepuasnya sebelum membuat bayaran. Berbeza semasa menyewa, kebanyakannya dibeli dengan mengambilkira penggunaan jangka pendek sahaja. Kali ini, proses penilaian sebelum membeli mengambilkira faktor jangka panjang walaupun saya sendiri tidak pasti berapa lama saya akan menetap di situ. Yang pasti, ia dibeli untuk rumah sendiri.

Sehingga hari ini, proses mengemas dan menyusun masih belum selesai. Saya hanya meletakkan barangan tersebut di satu sudut dan menyusunnya sedikit demi sedikit apabila berkelapangan. Dalam masa yang sama, saya masih belum menyerahkan kunci rumah sewa yang ditinggalkan kepada tuan rumah. Mengikut perancangan, kunci akan diserahkan pada hari Ahad ini selepas kami selesai membersihkannya.

Hijrah kali ini memang banyak perbezaannya. Ini merupakan kali pertama saya tinggal dekat dengan tempat kerja. Kali pertama menyewa di Shah Alam, saya berulang-alik ke Gombak setiap hari dengan menaiki skuter. Seterusnya apabila mendapat pekerjaan tetap di Kuala Lumpur, saya masih lagi menyewa di Shah Alam. Kemudian, apabila pejabat berpindah ke Putrajaya, saya menyewa di Bandar Tasik Selatan, Cheras bersama-sama kawan-kawan. Paling akhir, saya menyewa di Keramat bersama adik-adik dan berulang-alik ke Putrajaya setiap hari. Ramai yang mengatakan jarak perjalanan yang saya tempuh amat jauh tapi saya tempuh jua saban hari. Mulanya memang terasa kepenatan meredah kesesakan jalanraya setiap hari tetapi bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Saya lali dengan perjalanan yang perlu ditempuh setiap hari. Yang pasti, saya perlu turun awal iaitu selewat-lewatnya sebelum pukul 7.15 pagi untuk membolehkan saya tiba sebelum jam 8.30 pagi. Hikmahnya, saya dapat mendengar radio lebih lama dan menggunakan masa untuk berfikir. Keburukannya, bila saya terlewat, saya akan memecut dan bengang dengan kereta yang terhegeh-hegeh di laluan paling kanan.

Kini, jarak dari rumah baru ke tempat kerja hanya memakan masa tidak sampai 20 minit. Janggal pula rasanya setelah bertahun-tahun menempuh perjalanan yang jauh dan membayar tol. Alhamdulillah, penggunaan petrol semakin menjimatkan dan tiada bayaran tol perlu disediakan. Malah saya tidak perlu tergesa-gesa setiap pagi untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.

Apapun, perjalanan kehidupan masih jauh. Saya tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan sama ada akan kekal tinggal di situ atau perlu berhijrah ke tempat lain pula. Sesungguhnya kehidupan ini hanya satu persinggahan jua.

Kesedaran

Bismillahirrahmanirrahim...

“Dengan Karimah, segalanya sukar dijangka. Kadang-kadang saya terpaksa korek dari dia untuk dapatkan maklumat.”

Itu komen bos saya dalam mesyuarat seksyen pada hari ini. Saya hanya tersenyum mendengar komen beliau. Agaknya beliau merujuk kepada tindakan saya tempohari yang apabila ditanya tentang tugasan yang diberi, saya hanya memberikan jawapan yang menunjukkan seolah-olah saya tidak tahu apa-apa, menyebabkan saya terpaksa menadah telinga selama lebih 2 jam mendengar ‘khutbah’ oleh beliau. Kekecewaan jelas tergambar pada wajah beliau sehingga saya sendiri merasa terperosok ke lembah kekecewaan beberapa ketika.

Semalam, semasa mesyuarat, saya bentangkan hasil tugasan yang diarahkan kepada ahli jawatankuasa dan beliau kelihatan terkejut dengan pembentangan yang saya buat. Mulanya saya risau juga dengan reaksi beliau tetapi apabila mengangkat ibu jari ke atas ke arah saya sambil tersenyum, serta-merta kerisauan itu hilang. Saya tidak pasti apa yang bermain dalam kepala beliau tetapi hari ini apabila saya ingin mendapatkan persetujuan beliau untuk satu dokumen, dengan pantas beliau menjawab,

“It’s ok, Karimah. You can proceed with it. I think you can handle it.”

Saya tergamam. Dalam tempoh hampir 4 bulan bertugas di bawah beliau, ini kali pertama beliau ‘membenarkan’ saya meneruskan tugasan tanpa perlu pengesahan kali kedua. Saya anggap itu satu pencapaian buat diri saya selepas beberapa bulan cuba mencari titik kesesuaian di tempat baru. Terbit sedikit kepuasan dalam diri dan keyakinan yang saya mampu melakukannya.

Mungkin sebelum ini beliau menyangkakan yang saya tidak mampu untuk melakukannya kerana tabiat saya yang kurang gemar mengadap beliau setiap saat dan ketika seperti rakan-rakan yang lain. Mereka tidak putus-putus keluar masuk bilik bos untuk menerangkan kedudukan tugasan yang telah diberikan. Mungkin itu salah satu kelemahan yang perlu saya perbetulkan kerana di sini kami bergelumang dengan pelaksanaan projek. Setiap kemajuan atau masalah yang timbul perlu dimaklumkan kepada pihak atasan dengan segera.

Saya sedar, suka atau tidak, saya harus mengakui bahawa beliau juga perlu menghadapi tekanan daripada pihak atasan dan beliau memerlukan sokongan daripada kami untuk melaluinya. Mungkin saya yang terlalu keras hati, melayan perasaan sendiri sehingga pandangan menjadi kabur seketika terhadap hakikat permainan dunia.

Kadang-kadang kita sering tersasar dalam perjalanan, namun itu tidak harus kita jadikan alasan untuk terus melemaskan diri dalam kepalsuan. Yang penting adalah kesediaan untuk kembali mengakui dan menerima hakikat kesilapan yang telah dibuat serta mencari jalan untuk memperbetulkannya semula.

Masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbetulkan dalam perjalanan kehidupan ini. Benarkan, kehidupan adalah universiti yang sangat luas.

Wednesday, December 15, 2010

Latihan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya tinggalkan pejabat pada jam 6.30 petang kerana saya sudah berjanji untuk bertemu rakan saya, Ila Ramliey untuk makan malam sebelum kami bertolak menghadiri kelas renang. Malam ini merupakan kelas ketiga bagi kelas renang yang telah kami ikuti sejak 2 minggu yang lalu. Ya, berenang dapat meredakan tekanan dalam diri. Berada dalam air membuatkan saya lupa seketika kepada masalah yang sedang saya hadapi. Minda fokus kepada teknik-teknik yang diajar oleh jurulatih yang saya panggil Kak Niza. Mungkin kerana jarak antara kelas yang agak jauh membuatkan saya sedikit terlupa teknik terdahulu yang telah diajar oleh Kak Niza. Namun kesabaran Kak Niza melayan kerenah saya dan yang lain amat saya kagumi. Yang nyata, mempelajari teknik berenang sama seperti mempelajari teknik-teknik yang lain. Ia memerlukan latihan berterusan dan kesungguhan. Mengharapkan untuk pandai berenang dengan hanya bergantung kepada sesi latihan berjadual sahaja bukanlah satu perkara yang mustahil tetapi untuk menjadi mahir memerlukan latihan sendiri.

Sama seperti jika kita ingin mahir dalam matapelajaran matematik yang memerlukan latih tubi berterusan, begitu juga dengan berenang. Well, practice do makes perfect. Guru akan menunjukkan jalan yang perlu dilalui tetapi kita sendiri perlu menentukan sejauh mana jalan itu ingin kita lalui dan sepantas mana kita ingin sampai kepada matlamat yang ingin digapai.

Tuesday, December 14, 2010

Terperosok

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidup sering diumpamakan seperti roda. Kekadang di atas, kekadang di bawah. Manusia sering diuji dengan perasaan suka dan duka. Hari ini saya menempuh fasa duka.

Baru selesai mengadap bos. Kali ini lebih lama daripada biasa, 2 jam setengah. Namun kali ini, saya hanya banyak mendiamkan diri sahaja. Hanya patah-patah ‘saya tahu’, ‘ya’ dan ‘tak tahu’ yang kerap meniti di bibir saya. Saya tahu dan sedar saat ini akan muncul jua dan ia berlaku pada pagi ini. Malah saya tidak tahu apa yang saya rasa saat berdepan dengan dia. Yang pasti, saya hanya membatukan diri dan berharap untuk segera keluar dari biliknya. Bimbang saya akan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar, saya hanya lebih banyak mendiamkan diri sahaja. Kadang-kadang berdiam diri lebih baik apabila kita sendiri tidak pasti apa yang ingin dikatakan.

Saya akui kali ini kesilapan adalah di pihak saya. Saya sendiri sudah merasakannya dan tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya kerana saya sendiri keliru dengan keadaan yang saya hadapi sekarang. Segala-galanya kabur dan menyesakkan dada untuk didepani. Terasa jalan yang ingin dilalui kelam dan saya bakal tenggelam di dalamnya. Saya kesal dengan apa yang berlaku tapi jauh di sudut hati saya tidak ingin ia berlaku begitu. Saya telah menghampakan dia malah jauh lebih teruk saya telah menghampakan diri sendiri. Saya cukup kecewa dengan diri sendiri sehingga merasa seperti terperosok jauh ke lembah kekecewaan. Tipu kalau saya katakan saya tidak kecewa dengan situasi yang sedang saya hadapi tetapi entah mengapa saya jadi lemah untuk mendepaninya, tidak seperti dulu. Selalunya saya seorang yang lantang dan agresif dalam menyuarakan pendapat yang saya rasakan benar tetapi kali ini saya jadi kaku meskipun saya tahu ada secalit kebenaran di pihak saya. Saya jadi pasrah, lesu dan tidak bersemangat lagi memperjuangkan apa yang pernah saya percaya.

Bertalu-talu beliau melontarkan soalan, bertanyakan masalah yang saya hadapi tapi lidah saya jadi kelu untuk berbicara. Mungkin kerana hubungan antara saya dan beliau masih belum kemas terjalin. Saya sukar membuka cerita kepada orang-orang yang tidak rapat dengan saya. Pernah dulu seorang rakan apabila diminta mengulas karakter saya dalam satu sesi suai kenal program Biro Tatanegara mengatakan,

“Saya rasa Karimah ini seorang yang agak perahsia dan sukar untuk mesra dengan orang yang tidak dikenali atau belum rapat. Dia perlukan masa yang agak panjang untuk selesa dengan orang/orang-orang yang baru dikenali dan memberikan kepercayaan kepadanya/mereka. Tapi apabila telah baik dengan seseorang, dia akan memberikan sepenuh kepercayaan dan keikhlasan kepadanya/mereka.”

Saya akui sebahagian daripada pendapat beliau itu ada benarnya dan sebahagian lagi tidak berapa tepat. Yang benarnya, saya memang agak lambat untuk mesra dengan orang yang saya baru kenali atau saya lebih kepada mencari titik keselesaan sebelum memulakan perbualan. Jika tidak, saya rela mendiamkan diri sahaja sambil melayan bekalan bahan bacaan yang dibawa atau memerhati gelagat manusia.

Saya keluar dari bilik beliau dengan perasaan kosong. Tidak pasti apa yang patut saya rasakan tapi terselit jua rasa untuk saya memperbetulkan kesilapan yang telah saya lakukan. Peraturan pertama dalam setiap kesilapan atau kegagalan yang dilalui adalah untuk mengakui bahawa kesilapan tersebut adalah berpunca daripada kelemahan diri sendiri jua. Faktor-faktor lain hanya bertindak sebagai penambah rasa sahaja. Jika dalaman saya kuat pasti kekecewaan ini mampu saya kawal dan kesilapan ini dapat saya elak dari awal lagi. Saya terima dan telan segala komen dan pendapat yang diberikan oleh beliau biarpun bersalut kepahitan kerana kebenaran sememangnya amat pahit. Mungkin ini bakal menjadi titik tolak untuk saya melakukan perubahan dan memperbetulkan kembali kerosakan yang telah saya lakukan. Saya tidak mampu untuk melarikan diri daripada kenyataan bahawa saya telah melakukan kesilapan. Perit, pedih tetapi perlu dihadapi jua.

Hidup perlu diteruskan.

Monday, December 6, 2010

Impian – Episod 01

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya mula memasuki asrama seawal usia 13 tahun. Di situ, kami makan mengikut jadual waktu ditetapkan dan antara menu yang dihidangkan adalah buah-buahan. Waktu itu, saya punya satu tabiat menyimpan buah-buahan tersebut pada setiap hari jika saya tahu hujung minggu tersebut adalah giliran kami dibenarkan pulang ke kampung atau jika saya tahu keluarga akan datang melawat saya di asrama. Selalunya buah-buahan itu akan menjadi habuan adik-adik saya. Antara sebab saya mempunyai tabiat menyimpan buah-buahan tersebut adalah kerana saya ingin keluarga turut merasai nikmat yang saya rasai semasa berada di asrama. Saya datang dari keluarga sederhana. Abah saya seorang guru dan ummi pula surirumah sepenuh masa. Saya sedar membesarkan 8 orang anak bukan satu perkara yang mudah dan kehidupan kami tidak mewah namun cukup makan dan pakai. Paling utama, abah tidak pernah berkompromi soal pelajaran. Jangan bermimpi untuk menonton televisyen jika pada tahun itu kami akan menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, SRP/PMR dan SPM. Abah tidak bergaji besar tetapi abah tidak pernah mengatakan tiada jika anak-anak meminta untuk membeli buku pelajaran. Abah tidak pernah menemani kami ke mana-mana pesta buku tetapi tidak kedekut apabila kami meminta wang untuk membeli buku. Justeru, segala yang saya peroleh sewaktu di asrama ingin saya kongsikan bersama keluarga kerana saya merupakan orang pertama dalam keluarga memasuki asrama seawal usia 13 tahun.

Tabiat ini berterusan sehingga saya memasuki menara gading. Apabila saya membeli pakaian untuk diri sendiri, pasti saya tidak akan merasa lengkap jika tidak membelikannya untuk abah dan ummi serta adik-beradik yang lain.

Sebaik memasuki alam pekerjaan, saya berpeluang melawat dan berkunjung ke tempat-tempat menarik termasuk Sabah dan Sarawak. Setiap kali saya ke situ, saya pasangkan niat untuk turut membawa ahli keluarga yang lain terutama abah dan ummi untuk turut sama merasai keseronokannya. Seringkali adik-adik saya yang selalu menjadi peneman perjalanan pasti akan turut menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang menarik apabila saya menjalankan tugas rasmi.

Hal yang sama apabila saya berpeluang menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, Sabah atas urusan rasmi. Saya pasangkan niat untuk turut membawa abah dan ummi ke situ. Kali pertama ke sana bersama keluarga, abah tidak dapat turut serta kerana komitmen kepada ternakan kambing. Saya tidak berpuas hati dan jauh di sudut hati telah memasang niat untuk turut membawa abah ke sana.


Kini, abah punya masa lapang sejak tidak lagi mengusahakan ternakan kambing. Lalu saya dan adik perempuan (MakTeh) ambil peluang untuk membawa abah dan ummi bercuti ke Kota Kinabalu (KK), Sabah. Alhamdulillah, impian saya telah menjadi kenyataan pada 20-22 November yang lalu. Keterujaan jelas terbayang di wajah abah sebelum bertolak. Berdasarkan pengalaman ke Medan sebelum ini, saya dapati lebih mudah jika melancong dengan ditemani oleh pemandu pelancong. Lantas saya buat tempahan awal dengan sebuah syarikat pelancongan di KK iaitu Bimaz Travel and Tours sebelum tarikh percutian. Saya minta pihak Bimaz mengatur percutian kami agar dapat bermalam di Kundasang dan KK. Saya ingin abah dan ummi menikmati kedinginan dan kenyamanan bumi Kundasang yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu di samping saya sendiri belum pernah berpeluang bermalam di situ.

Abah dan ummi tiba di KL bersama MakTeh pada hari Jumaat dan kami bertolak ke KK pada pagi Sabtu dengan penerbangan AirAsia jam 11.10 pagi. Perjalanan memakan masa 2 jam 30 minit namun lancar dan kami tiba dengan selamat di Lapangan Terbang KK. Ketibaan kami disambut oleh pemandu pelancong bernama Mahadi dan kami terus dibawa untuk makan tengah hari di sebuah kawasan yang mengandungi deretan kedai makan. Dari situ, kami akan terus dibawa ke Kundasang kerana akan bermalam di sana. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Menara Yayasan Sabah yang menurut Mahadi, telah dibina dengan sempena replika kayu balak. Kami juga sempat singgah dan menaiki Jambatan Tamparuli. Perjalanan ke Kundasang memakan masa hampir 2 jam dengan keadaan jalan yang agak mencabar kerana berbengkang bengkok. Mujur Mahadi begitu mahir mengendalikan van persiaran yang membawa kami ke destinasi dituju. Namun, rasa berdebar tidak dapat dielak apabila bertembung dengan satu kemalangan yang baru sahaja berlaku. Kami tidak menunggu lama dan meneruskan perjalanan kerana masih belum menunaikan solat jama’ Zohor dan Asar. Perbezaan masa selama 1 jam membuatkan waktu Maghrib di Sabah masuk lebih awal berbanding di Semenanjung. Kami perlu segera tiba di tempat penginapan sebelum habis waktu Asar. Tambahan pula, kabus tebal semakin menyelubungi jalan berikutan hujan yang turun mencurah-curah sepanjang perjalanan.

Alhamdulillah, kami tiba di Kinabalu Pines Resort pada jam 5.30 petang dan segera mendaftar masuk. Suasana di Kundasang sungguh nyaman dan mendamaikan. Kesejukan begitu mencengkam dengan dilitupi kehijauan pepohonan di kawasan sekeliling. Terasa hilang segala beban di kepala apabila menghirup udara segar bumi Kundasang. Keadaan bilik juga agak selesa walaupun tiada bekalan penghawa dingin kerana penghawa dingin semulajadi sudah cukup membuatkan mulut kami mengeluarkan asap apabila berbicara. Terasa seperti berada di luar Negara pula lagaknya. Haha. Perasan.

Usai solat, kami berempat bersantai di beranda dengan bancuhan air teh Sabah yang panas. Damai dan tenang. Lebih mendamaikan apabila memandang wajah tua abah dan ummi yang ceria dan gembira berada di sini. Mungkin mereka seakan tidak percaya dapat menjejakkan kaki ke sini. Saya puas walau terpaksa berhabis demi untuk menggembirakan mereka. Setelah apa yang mereka korbankan buat saya dan adik-beradik selama ini, mereka berhak meniti penghujung usia dengan ketenangan dan keceriaan. Saya pasti abah dan ummi tidak mungkin sampai ke sini jika tidak dibantu oleh anak-anak. Ada banyak perkara dalam kehidupan ini yang tidak dapat dihitung dan disukat dengan nilaian wang dan saya kira kegembiraan abah dan ummi merupakan salah satu daripadanya. Saya cuba menjadikan wang sebagai alat untuk mencapai kebahagiaan dan bukan punca kebahagiaan.

Jam 8.00 malam, kami turun ke kafe untuk makan malam dan diberitahu hidangan adalah secara ala carte. Apalagi, kami buat macam-macam pesanan termasuk steamboat. Lagaknya seperti lebih dari 4 orang yang makan atau istilah lebih tepatnya adalah melantak. Selepas makan malam, kami kembali ke kamar untuk berehat dan beradu sebelum meneruskan kembara pada pagi esok.

Sunday, December 5, 2010

Kemaskini

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini tahap kemaskini blog agak perlahan walaupun banyak perkara yang ingin saya coretkan. Sibuk? Mungkin ya, mungkin tidak. Kekadang idea datang mencurah-curah tetapi jemari terasa malas mengetuk butang kekunci di Netbook yang comel ini. Lantas idea hanya kekal sebagai idea dan hanyut dalam arus masa. Tambahan pula akhir-akhir ini masa saya banyak dihabiskan di rumah baru kerana perlu menyempurnakan beberapa perkara sebelum berpindah masuk insyaAllah pada minggu hadapan. Alhamdulillah perkara-perkara utama seperti pemasangan lampu, kipas, langsir dan kabinet dapur telah pun selesai. Meskipun ada beberapa halangan sehingga memaksa saya merubah sedikit perancangan asal, segalanya berakhir dengan baik. Kali pertama bermalam di rumah baru dengan ditemani ummi dan adik-adik terasa sedikit janggal tetapi Alhamdulillah tiada apa yang perlu dirisaukan.

Malam tadi saya dan MakTeh menempah lori sewa untuk mengangkut barang-barang kami ke lokasi baru. Untuk MakTeh, barang-barang telah diangkut pada petang tadi. Untuk saya pula, lusa iaitu cuti Awal Muharram, proses perpindahan ke rumah baru akan bermula. Namun saya akan masih berulang-alik antara Keramat dan rumah baru sehingga hujung bulan ini kerana perlu membersihkan rumah yang bakal dikosongkan. Kami telah memasuki rumah sewa tersebut dalam keadaan baik dan berhasrat untuk mengosongkannya dalam keadaan yang sama. Tidak sampai hati rasanya memusnahkan kepercayaan yang telah diberikan oleh tuan rumah kepada kami selama ini.
 
Perpindahan adalah satu proses yang meletihkan namun itulah sebuah kehidupan. Kita juga hanya singgah sebentar di alam dunia ini sebelum meneruskan perjalanan ke alam akhirat. Sepertimana kita datang dalam keadaan suci, seperti itu jugalah kita berharap dapat kembali kepadaNya dalam keadaan yang sama. Amin.

Thursday, November 25, 2010

Kelas Renang

Bismillahirrahmanirrahim...


Antara perkara yang menjadi sunnah untuk dipelajari adalah berenang selain memanah dan menunggang kuda. Sudah beberapa kali saya bercadang untuk belajar berenang tetapi cadangan hanya tinggal cadangan. Peluang pernah datang semasa saya berkursus 6 bulan di INTAN dulu apabila salah satu modul yang wajib diikuti adalah kelas renang. Sebelum kelas dimulakan, kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tahap kemahiran renang kami. Kumpulan paling bawah adalah berudu diikuti oleh bilis dan seterusnya dolphin. Saya? Hehe pastinya dimasukkan dalam kumpulan berudu malah kami sering melawak jika ada kumpulan tapak sulaiman, pasti kami juga akan tersenarai. Waktu itu saya kurang selesa kerana jurulatih adalah lelaki dan nak dijadikan cerita, tidak berapa lama selepas itu, kolam dikesan mengalami keretakan dan memerlukan pembaikan. Maka kelas kami tergantung tanpa penghujung dan saya masih gagal mempelajari kemahiran berenang. Namun saya sempat mempelajari beberapa teknik seperti teknik pernafasan dan water confidence. Saya memang sangat ingin untuk mempelajarinya lagi dan pernah beberapa kali berbincang dengan adik perempuan saya untuk mendaftarkan diri dalam mana-mana kelas renang khusus untuk wanita.

Hari ini, saya menemui selembar iklan dalam kereta rakan sepejabat mengandungi maklumat tentang kelas renang intensif untuk wanita. Saya terus menghubungi jurulatih berkenaan untuk mendapatkan sedikit maklumat dan bertanya sama ada masih ada kekosongan tempat atau tidak. Alhamdulillah, kekosongan masih ada dan kelas pertama akan bermula pada 30 November ini. Tanpa berlengah, saya terus mendaftarkan diri dan membuat bayaran deposit sebanyak RM50. Kelas akan diadakan sebanyak 2 kali seminggu pada hari Selasa dan Khamis, jam 8 hingga 9.30 malam. Saya memang mencari kelas renang yang diadakan pada hari bekerja kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen jika pada hujung minggu terutama apabila saya perlu pulang ke kampung.

Gementar tetapi pada masa yang sama seronok untuk memulakan kelas tetapi saya juga perlu mendapatkan pakaian renang bersesuian terlebih dahulu. Sebelum ini saya sering meninjau-ninjau harga pakaian renang di kompleks membeli-belah dan antara tempat yang menjual pada harga berpatutan adalah di Mydin Subang Jaya. Nampaknya misi saya yang seterusnya sebaik kembali dari Johor Bharu adalah membeli pakaian renang.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau turut mengikuti kelas tersebut, boleh layari laman web http://mykite2u.webs.com/.

Tuesday, November 9, 2010

Roda

Bismillahirrahmanirrahim...

Hidup sering digambarkan seperti roda. Bulat. Berputar mengikut arah si pemutar. Soalnya, siapakah si pemutar roda dan di manakah kedudukan kita?

Hari saya bermula dengan sedikit kemendungan pada pagi ini. Segalanya serba tidak kena. Mungkin hari ini saya berada di sudut bawah roda. Si pemutar roda telah menentukan yang hari ini saya akan berada di bawah. InsyaAllah mungkin esok atau lusa apabila roda berputar, saya akan berada di atas semula. Saya hanya insan kerdil yang berada di atas roda kehidupan. Segala ketentuan baik atau buruk, dalam kekuasaanNya jua. Dialah si pemutar roda yang Maha Mengetahui. Diberikan kesukaran namun bersama-samanya akan muncul kemudahan agar insan tidak lupa kedudukan sebenar di dunia milikNya ini. Tidak mungkin ada insan yang akan senantiasa berada di atas. Sesekali pasti tergelincir meluncur ke bawah. Itulah putaran alam. Yang jelas, kuatkan diri agar senantiasa berada di atas paksi kehidupan dan tidak terus hanyut, jauh dariNya.

Saya merenung jauh ke dalam diri, cuba mencari makna di sebalik kecelaruan yang ujud. Apakah hikmah yang perlu saya pelajari dari kejadian tersebut agar kelemahan diri dapat diperbaiki. Saya ingin menjadi lebih baik dari semalam kerana itu simbol Mukmin berjaya. Saya terima segala teguran yang diberi dengan lapang dada, semoga dengan itu hikmah yang saya cari akan saya temui. Saya tidak sempurna, penuh kekurangan yang masih perlu diperbetulkan setiap saat dan ketika. Masih mendambakan teguran insan-insan berjiwa mulus, menegur dengan keikhlasan.

Kehidupan perlu diteruskan walau langit tidak selalu cerah. Allah datangkan hujan kerana ingin memunculkan pelangi indah sebaik hujan reda. InsyaAllah.


Thursday, November 4, 2010

Rencam

Akhir-akhir ini tumpuan saya banyak kepada rumah baru. Pelbagai perkara perlu diuruskan sebelum berpindah masuk. Saya jangkakan segala urusan akan selesai pada bulan Disember. Minggu lepas saya dan adik telah berjumpa dengan tuan rumah menyampaikan hasrat kami untuk menamatkan tempoh penyewaan. Pejam celik pejam celik, sudah genap setahun kami tinggal di Keramat. Saya akui memang sudah selesa tinggal di kawasan perumahan tersebut yang aman dan tidak sibuk dengan lalu lalang kenderaan. Malah jarak untuk sama ada ke KL, Shah Alam atau ke tol Gombak juga amat dekat. Kini, kami akan membawa haluan masing-masing. Segala suka duka sepanjang tinggal bersama akan menjadi kenangan manis buat diri saya. Banyak juga yang saya pelajari dalam mengenal erti sebuah kesabaran. Kita hanya akan tahu sejauh mana tahap kesabaran kita sekiranya kita diuji. Sepertimana kita perlu menduduki ujian atau peperiksaan untuk menentukan tahap pengetahuan dan ilmu yang kita miliki. Ibarat seorang pendekar, tidak akan mengetahui tahap kemantapan ilmu pertahanan diri yang dituntut jika belum bertemu lawannya.

Beban kerja di pejabat juga semakin tidak menampakkan akan surut. Semakin hari semakin rancak dan pelbagai perkara perlu saya pelajari dengan pantas. Lelah juga mengejar rentak orang-orang lama tetapi perjuangan mesti diteruskan. Baru tidak semestinya mentah walau masih lagi bertatih dan kekadang cuba untuk berlari tetapi masih berusaha mengatur langkah. Kepincangan tetap masih ada tetapi usaha tetap diteruskan jua. Walau payah, kaki mesti terus melangkah. Moga-moga akan menemui rentak yang seimbang dan mampu berlari sepantas mungkin seperti orang-orang lama. Benar, business is not as usual. Bahangnya semakin dapat dirasakan tetapi rasanya saya tidak sanggup menggadaikan kesihatan diri demi bermati-matian melaksanakan tugas. Setiap perkara perlu ada hadnya. Hukum keanjalan mengatakan bahawa spring apabila terus diregangkan akan mencapai satu titik di mana keanjalan akan menjadi sifar. Saat itu, spring tersebut tidak akan berupaya untuk kembali ke bentuk asal dan kekal pada keadaan yang telah pincang.

Hal yang sama boleh berlaku kepada manusia. Jika sesuatu perkara dilakukan secara melampaui batas, tidak mustahil akan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri juga. Malah ingatan agar manusia tidak melampui batas telah banyak kali dinyatakan dalam Al-Quran. Teringat saya kepada insiden alergi yang pernah dialami semasa masih menuntut di UIA. Tanpa sebab yang saya kurang pasti, timbul bintik-bintik merah yang menyebabkan kegatalan yang amat sangat sehingga saya menjadi seperti kera terkena belacan. Tergaru-garu di sana dan di sini pada hampir setiap masa. Keadaan tersebut berlarutan sehingga saya sudah tidak tahan dan mengambil keputusan untuk ke klinik. Doktor memaklumkan bahawa saya mengalami alahan/alergi protin kerana kandungan protin yang berlebihan dalam badan saya. Menurut doktor tersebut lagi, setiap bayi yang dilahirkan sememangnya mempunyai potensi untuk mendapat penyakit asma, resdung dan kulit. Namun tahap keseriusannya adalah bergantung kepada cara hidup dan gaya pemakanan seseorang.

Atas nasihat doktor, saya diminta mengawal pemakanan yang mengandungi kandungan protin yang tinggi seperti telur. Saya disarankan untuk berhenti mengambil telur selama sebulan. Sekiranya selepas tamat tempoh tersebut, kegatalan/alahan tersebut masih ada, saya perlu kembali berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Alhamdulillah, nasihat doktor tersebut membuahkan hasil. Kegatalan tersebut hilang dan kandungan protin dalam badan saya kembali ke paras normal. Namun ia mungkin berulang bergantung kepada faktor pemakanan saya kelak. Saya berharap itu merupakan kali terakhir saya perlu berdepan dengan kegatalan kerana ia cukup merimaskan dan menyeksakan.

Kita tahu makan sayur adalah bagus untuk kesihatan tetapi saya pernah membaca satu artikel yang mengatakan bahawa terlalu banyak memakan sayur adalah tidak bagus untuk kesihatan kerana kandungan zat dalam badan menjadi tidak seimbang. Nah, Islam telah menganjurkan jalan yang cukup mudah. Makanlah apa sahaja yang halal di bumi Allah ini tetapi jangan melampui batas. Begitu juga ajaran Rasulullah dalam soal makan iaitu berhenti sebelum kenyang.

Semalam, saya nekad menyertai rakan-rakan mengadakan aktiviti brisk walk di sekitar Putrajaya. Berbaloi rasanya apabila badan berpeluh-peluh mengeluarkan segala lemak-lemak dan toksin yang bersarang dalam badan. Ini hanya permulaan dan memang saya berharap untuk meneruskannya. Dalam keasyikan mengikuti aktiviti tersebut, saya terima panggilan daripada rakan baik memaklumkan bahawa seorang kakitangan di pejabat beliau telah meninggal dunia secara mengejut dipercayai berpunca daripada stress. Berderau darah saya mendengar khabar tersebut dan menambahkan azam saya untuk gigih meneruskan aktiviti mengeluarkan peluh pada setiap hari. Benar kata rakan brisk walk saya, Fariz, apa yang penting kalau nak buat sesuatu perkara adalah keazaman. Kalau cita-cita tinggi melangit tetapi keazaman untuk menggapainya tiada, cita-cita hanya akan kekal menjadi impian semata. Itulah yang cuba saya pegang selama ini iaitu keazaman. Seringkali setiap usaha menjadi hangat-hangat tahi ayam kerana tiada keazaman bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.

Esok cuti Deepavali dan saya punya masa untuk melakukan apa yang patut di rumah baru. Harapnya sempatlah untuk melengkapkan apa yang patut sebelum berpindah masuk kelak. Hanya adik-adik saya pulang ke kampung dan saya pula akan pulang insyaAllah semasa cuti Aidiladha.

Wednesday, October 27, 2010

Tenat

Bismillahirrahmanirrahim...

Astaghfirullahala'zim. Termenung panjang saya membaca paparan dalam Harian Metro pada hari ini. Anak Derhaka. Itu label yang paling sesuai diberikan kepada pemuda yang telah menumbuk muka ibunya sendiri sehingga si ibu koma. Alasannya pula tidak masuk akal pada saya iaitu hanya kerana si ibu lambat menyempurnakan persiapan perkahwinannya. Saya membayangkan betapa malangnya wanita yang bakal menjadi suri dalam hidup lelaki tersebut. Jika ibu sendiri yang telah mengandungkannya selama 9 bulan pun sanggup dicederakan seperti manusia yang tiada akal, inikan pula seorang isteri. Lelaki seperti ini tidak layak dijadikan calon suami jika ibu sendiri pun tidak dihormati dan disayangi.

Akhir-akhir ini semakin banyak paparan berita tentang tindakan-tindakan tidak masuk akal yang sedang berlaku dalam masyarakat. Hakikatnya masyarakat hari ini benar-benar tenat. Remaja seawal usia 12 tahun sudah berani melakukan perbuatan terkutuk sehingga akhirnya mati dalam keadaan yang hina, terjatuh dari bangunan sewaktu melarikan diri apabila disergah oleh segolongan masyarakat yang prihatin. Ngeri apabila membayangkan apakah suasana 5-10 tahun akan datang pula jika keadaan masyarakat hari ini sudah tenat. 
"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau peliharalah kami daripada terkena tempias kemungkaran yang sedang melanda ummat pada hari ini. Tempatkanlah kami dalam dunia kecintaan kepada-Mu yang sentiasa takut dan ingat kepada kebesaran-Mu jua. Biarlah kami kecil di mata manusia tetapi mulia pada pandangan-Mu YaAllah."

Tuesday, October 26, 2010

Konflik

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap manusia mempunyai pandangan, pendapat dan harapan masing-masing. Apabila wujud jurang antara ketiga-tiga perkara tersebut, konflik akan muncul iaitu apabila apa yang diharapkan oleh satu pihak berbeza dengan harapan pihak lain. Apabila jurang semakin melebar, maka konflik akan semakin serius. Justeru, apa yang boleh dilakukan adalah memastikan jurang tersebut tidak terlalu lebar dan terus melebar tanpa kawalan. Tindakan harus diambil agar jurang perbezaan yang wujud menjadi satu perkara positif yang boleh memberi kebaikan kepada semua pihak. Sepertimana pesan Rasulullah bahawa perbezaan pendapat antara umat Baginda ini adalah merupakan satu rahmat sebenarnya.

Dek perbezaan pendapat, manusia menjadi lebih kreatif untuk mencari jalan keluar dari setiap permasalahan yang dihadapi. Manusia menjadi lebih prihatin agar setiap tindakan dan keputusan yang dibuat bukan hanya mampu memuaskan hati sendiri sebaliknya pihak lain juga. Pun begitu, tidak dinafikan terdapat juga segolongan manusia yang lebih cenderung untuk terus melebarkan jurang tersebut mengakibatkan konflik semakin kronik malah berpanjangan. Benar pesan orang tua, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Namun begitu, dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari berdepan dengan konflik. Semakin meningkat usia kita, semakin banyak tanggungjawab yang perlu digalas dan semakin banyak konflik yang perlu didepani. Sebagai Muslim, kita ada senjata yang cukup ampuh untuk dijadikan bekalan dan panduan iaitu Kitabullah, Al-Quran.




“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.” (Al-Baqarah, Ayat 286)
Tiada penawar yang lebih mujarab selain kembali kepada kata-kataNya yang cukup mendamaikan. Janji yang sangat benar dan pasti.




“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8) “ (Ash-Sharh, Ayat 1-8)
Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati kita akan menjadi tenang. Datanglah badai sehebat mana pun, selagi kita yakin Allah tidak pernah surut kasih sayangNya, kita akan terus utuh dan teguh menghadapinya. Di hujungnya, Allah pasti telah menyediakan sesuatu yang lebih baik sekiranya kita berjaya mengharunginya dengan sabar. Teringat saya satu kata-kata yang dibaca dalam sebuah majalah baru-baru ini iaitu ‘lawanlah dunia dengan akhirat...’. Satu pernyataan yang cukup ringkas namun mengandungi interpretasi yang cukup luas. Renung-renungkanlah...

Sunday, October 24, 2010

Teratak Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

2 tahun yang lalu, saya telah membeli sebuah rumah bandar (townhouse). Mulanya saya sendiri kurang arif tentang ciri-ciri dan bentuk townhouse tetapi apabila melihat sendiri rumah contoh, saya terus jatuh hati. Saya telah memilih unit atas kerana pencahayaan dan pengudaraan yang lebih baik berbanding unit bawah. Alhamdulillah, 18 Oktober yang lalu saya telah menerima kunci daripada pemaju. Kini tumpuan adalah untuk melengkapkan rumah tersebut. Perkara paling utama yang perlu dibuat adalah memasang grill. Boleh tahan juga harganya tetapi mujurlah saya mendapat bantuan abang ipar kepada bekas teman serumah dulu.


Lain benar perasaanya apabila menerima kunci rumah tempohari. Tidak percaya pun ada juga tetapi kepercayaan timbul apabila melihat jumlah bayaran yang perlu dibuat. :P

Monday, October 11, 2010

Langkah

Bismillahirrahmanirrahim...

Masa berlalu dengan begitu pantas. Pejam celik, pejam celik sudah masuk bulan ketiga saya berada di tempat baru. Alhamdulillah, saya sudah semakin dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja baru walaupun saya akui pada awalnya saya banyak mengeluh berhadapan dengan perubahan. Namun saya sedar yang tindakan mengeluh dan mengomel tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi malah lebih dari itu, hanya akan lebih memburukkan keadaan. Saya perlu bersedia untuk berhadapan dengannya.

Saya akui semua perkara menjadi sukar pada peringkat awal memasuki fasa perubahan ini. Saya bergelut dengan keselesaan melakukan tugasan di tempat lama dan perubahan tugasan yang jauh berbeza di tempat baru. Segala-galanya jauh berbeza dan saya perlu mencuba sedaya-upaya menyesuaikan diri dengan keadaan baru atau saya akan jauh ketinggalan. Di tempat lama, saya sudah terbiasa bekerja dengan dibantu oleh beberapa orang kakitangan bawahan dalam urusan seperti penyediaan salinan dokumen, penghantaran dokumen termasuk membuat panggilan dan persediaan untuk pelaksanaan sesebuah mesyuarat. Di tempat baru, saya perlu melakukan segala-galanya secara sendiri. Pada mulanya, agak sukar untuk saya menerima hakikat melakukan tugasan yang selama ini dilakukan oleh pegawai bawahan tetapi lama-kelamaan saya sedar, saya kini berada di ‘kandang’ yang lain. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Perkara pertama yang harus saya ubah adalah menukar persepsi pelaksanaan tugas mengikut hirarki yang telah sekian lama saya lalui.

Hakikatnya, saya menjadi umpama budak kecil yang baru belajar berjalan. Saya perlu hati-hati mengatur langkah satu persatu agar tidak terjatuh. Perlahan-lahan saya bertatih walaupun kekadang terjatuh jua. Kesakitan memang dirasai tetapi langkah mesti diteruskan kerana jika saya mengalah saya akan terus tersungkur di situ. Saya teruskan melangkah dengan harapan langkah yang diambil akan menemukan saya dengan jalan keluar yang lebih mudah dan saya akhirnya mampu berlari gagah. Teringat saya kepada kata-kata tokoh negarawan Tun Daim Zainuddin dalam buku autobiografi beliau bertajuk Daim: The Man Behind The Enigma, iaitu masalah adalah untuk didepani, bukan untuk dielakkan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Jika dielakkan, masalah akan hanya hilang buat sementara waktu tetapi akan muncul kembali pada satu masa dalam bentuk yang mungkin jauh lebih teruk dari sebelumnya.

Saya kira ini adalah ujian terhadap pendirian saya selama ini yang gemar melibatkan diri dengan setiap tugasan yang diberikan kepada kakitangan bawahan. Rupa-rupanya inilah hikmah di sebalik penglibatan saya melakukan kerja-kerja rencam menyusun dokumen-dokumen dan mengemas bersama mereka. Bezanya kini saya perlu melakukannya sendirian.

InsyaAllah, saya akan memulakan pengajian peringkat sarjana pada pertengahan tahun hadapan. Jika diamati, saya merasakan bahawa apa yang saya lalui kini merupakan persediaan awal untuk saya mendepani situasi tersebut apabila saya perlu melakukannya sendiri tanpa bantuan kakitangan bawahan seperti dalam alam pekerjaan. Dunia pembelajaran akan menuntut saya untuk lebih berdikari dalam melaluinya. Sesungguhnya setiap yang ditentukan olehNya adalah yang terbaik buat diri kita. Terpulang bagaimana kita ingin melihat dan menilainya. Jika kita melihatnya dari sudut negatif semata, maka rasa sakit hati dan kekecewaan akan menyelubungi diri kita. Namun jika kita melihatnya dari sudut positif, maka kita akan semakin bersyukur dan menyedari bahawa Allah amat menyayangi serta mengasihi hamba-hambaNya. Setiap perkara dan kejadian yang dianugerahkanNya mengandungi pelbagai hikmah yang tidak terjangkau dek akal dangkal kita yang lemah ini.

Saya nekad meneruskan langkah pada jalan yang saya sendiri telah pilih ini kerana saya pasti akan menemui jalan keluarnya suatu hari nanti. Janji Allah, “apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah” dan “sesungguhnya bersama-sama kesukaran itu ada kemudahan...”.

Tuesday, October 5, 2010

5 Sebelum 5

Bismillahirrahmanirrahim...


Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati dan sihat sebelum sakit. 5 perkara utama yang perlu direbut. Itu pesan Rasulullah SAW kepada ummat Baginda.

Sewaktu berada di kampung, saya menerima khabar bahawa bapa saudara saya (abang ummi saya) telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu. Bapa saudara saya ini (yang saya panggil AyahChik) memang telah sekian lama bergelut dengan penyakit kerosakan buah pinggang secara total. Seingat saya, AyahChik mula disahkan mengalami kerosakan buah pinggang kira-kira 10 tahun yang lalu iaitu sewaktu saya masih menuntut di UIA. Hospital sudah menjadi rumah kedua AyahChik bagi menjalani rawatan hemodialisis sebanyak 3 kali seminggu. Pada waktu itu AyahChik masih tinggal dan bertugas di Bandaraya Ipoh, Perak. Apabila keadaan kesihatan AyahChik semakin merosot, beliau dan keluarga telah mengambil keputusan untuk berpindah dan menetap di kampung halaman di Terengganu. Malah kedudukan rumah AyahChik sekarang terletak tidak jauh daripada rumah saya (Teratak Bakarians).

Pelbagai rawatan alternatif juga turut dijalani oleh AyahChik namun tahap kesihatan beliau tetap semakin merosot. Asal sahaja ada cadangan daripada orang tentang tempat untuk berubat, pasti AyahChik akan mengunjunginya. Namun begitu, rawatan yang dijalani hanya mampu membuatkan AyahChik bertahan daripada kesakitan yang dialami namun tidak mampu memulihkannya. Setiap kali bertemu dengan AyahChik apabila pulang ke kampung, saya dapat melihat perubahan yang semakin merisaukan pada diri AyahChik. Kini, wajah AyahChik menjadi sangat cengkung, kulit semakin menggelap dan perut semakin membuncit. Pelawaan ummi untuk menjenguk AyahChik di hospital saya terima dengan hati terbuka kerana bimbang insiden sama yang telah menimpa arwah bapa saudara saya pada bulan Ramadhan yang lepas berulang. Saya telah menangguhkan tanggungjawab menjenguk arwah di hospital walaupun telah dimaklumkan arwah telah koma. Akhirnya, saya tidak sempat menziarahi arwah buat kali terakhir sedangkan arwah merupakan antara bapa saudara yang rapat dengan kami.

Saya dan ummi serta MakSu mengunjungi AyahChik pada petang hari Sabtu yang lalu. Waktu melawat bermula pada jam 5 petang hingga 7 malam. Kami tiba pada jam 6 petang dan terus menuju ke wad berkenaan. Tiba di wad, kami dimaklumkan yang AyahChik telah dibawa untuk mengikuti proses hemodialisis di Unit Nefrologi. Kami beredar menuju ke unit tersebut yang terletak di tingkat bawah dan bersebelahan dengan blok utama.

Sayu hati melihat AyahChik yang terbaring kepenatan menunggu proses hemodialisis selesai. Terpancar kegembiraan di wajah beliau melihat kehadiran kami. MakChik (isteri AyahChik) pun turut gembira menyambut kunjungan kami. Begitulah rutin MakChik sejak beberapa hari yang lalu. Setia menemani AyahChik menjalani rawatan dan terpaksa bercuti meninggalkan tugas sebagai guru besar sepanjang tempoh rawatan. Dapat saya lihat kekusutan dan kerisauan yang jelas terpancar di wajah MakChik. Begitu berat dugaan yang diberikan Allah Taala kepada mereka berdua. Sesungguhnya pasti ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya. Saya banyak mendiamkan diri sahaja sepanjang berada di situ, mendengar dengan penuh tekun luahan dan rintihan MakChik melayani kerenah pelbagai pihak demi untuk mendapatkan rawatan buat suami tercinta. Saya membayangkan bagaimana keadaannya jika dugaan itu menimpa diri sendiri. Nauzubillahiminzalik. Ummi dan MakSu yang banyak bertanyakan pelbagai soalan kepada MakChik dan saya hanya menjadi pendengar setia pada kebanyakan masa.

Dalam kerancakan ipar duai berbicara, sesekali saya merenung wajah AyahChik. Jauh berubah daripada AyahChik yang saya kenali dulu. Warna kulit AyahChik yang dulu cerah kini menjadi kehitaman, wajah yang dulu berisi kini cengkung dan susuk tubuh yang dulu sasa kini menjadi sangat kurus. Hampir saya tidak dapat mengecam wajah AyahChik yang begitu jauh berubah. Memori saya yang terpapar tentang AyahChik hanya sewaktu saya masih di alam kanak-kanak kerana AyahChik banyak menghabiskan usia di Ipoh, Perak. Namun saya masih mengingati kemesraan AyahChik setiap kali pulang menziarahi nenek dan keluarga di kampung. Paling tidak dapat saya lupakan adalah ajaran origami AyahChik kepada saya iaitu membuat songkok daripada suratkhabar. Sehingga ke hari ini saya masih dapat membuatnya.

Hampir 2 jam kami menemani AyahChik dan MakChik di Unit Nefrologi, kami beredar untuk menunaikan solat Maghrib di masjid berdekatan. Tangan AyahChik saya kucup dan rasa sebak bertandang dalam hati apabila tangan yang dulu sasa kini hanya tinggal tulang bersalut kulit kehitaman.

Jauh di sudut hati, terdetik rasa kesyukuran kerana kedua abah dan ummi saya masih dianugerahkan kesihatan dalam meniti sisa-sisa usia. Doa saya, biarlah keduanya kekal sihat sehingga ke akhir hayat agar dapat saya menggembirakan mereka setelah segala pengorbanan yang dicurahkan. Saya tidak mungkin mampu membalas jasa mereka namun saya berdoa agar diberi kesempatan berbakti kepada keduanya selagi saya terdaya dan diberi kesempatan, insyaAllah.

Saturday, October 2, 2010

Bas dan Kereta Sapu

Bismillahirrahmanirrahim...


Sejak memasuki asrama pada usia 13 tahun sehingga mula memasuki alam pekerjaan, bas merupakan pengangkutan utama bagi saya untuk pulang ke kampung. Begitulah pentingnya kewujudan bas dalam hidup saya. Apa tidaknya, sewaktu mula-mula bekerja selepas tamat pengajian dan tinggal di Shah Alam, hampir setiap 2 minggu saya akan pulang ke kampung dengan menaiki bas. Tambahan pula kedudukan rumah pada waktu itu begitu hampir dengan lokasi terminal bas Seksyen 17. Namun begitu, rutin pulang ke kampung dengan menaiki bas mula berkurangan malah hampir tiada apabila saya mula memiliki kenderaan sendiri. Lebih-lebih lagi apabila Lebuhraya Pantai Timur telah siap dan perjalanan menjadi semakin singkat iaitu 4 jam sahaja berbanding sebelum ini antara 6-7 jam.

Malam tadi saya pulang sendirian ke kampung dengan menaiki bas kerana adik-adik saya ada urusan. Malas pula nak memandu bersendirian. Urusan pembelian tiket pula saya buat secara atas talian (online) di laman web Maraliner. Sungguh mudah. Saya berniat untuk tidur sepanjang dalam perjalanan nanti. Malah itu pun yang saya lakukan. Penat sungguh rasanya sehingga saya tertidur sepanjang perjalanan dan hanya terbangun apabila dikejutkan oleh penumpang yang duduk di sebelah saya. Memang saya tidur dengan lena. Natijahnya, saya terlajak daripada turun di tempat biasa iaitu simpang berhampiran rumah saya. Mujurlah saya ada memberitahu penumpang di sebelah yang saya akan turun di Dungun. Jika tidak, pasti saya akan terlajak sampai ke destinasi terakhir bas iaitu Kuala Terengganu. Jenuh juga nak patah balik kalau itu yang terjadi.

Seperti biasa, apabila tiba di stesen bas, beberapa pemilik kereta sapu akan meluru mengerumuni untuk menawarkan perkhidmatan mereka. Begitulah suasananya setiap kali bas berhenti menurunkan penumpang. Saya tidak terkecuali dikerumuni oleh mereka namun dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, saya hanya menggelengkan kepala sahaja, tanda saya tidak memerlukan perkhidmatan mereka. Abah saya sudah dimaklumkan dan sedang dalam perjalanan untuk menjemput saya. Sementara menanti ketibaan abah, saya memerhatikan gelagat mereka yang mengisi masa sementara mendapatkan penumpang. Ada yang berbual-bual, ada yang bermain mercun mengenakan rakan-rakan, ada yang terus-terusan masih cuba menawarkan perkhidmatan mereka kepada penumpang yang masih menunggu (termasuk saya) dan ada yang melelapkan mata di dalam kereta masing-masing. Pendek kata, pelbagai ragam dan hal dapat saya lihat.

Seketika di situ, saya mula merenung dan berfikir. Cekalnya mereka bersengkang mata menawarkan perkhidmatan kepada sesiapa yang memerlukan untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga mereka. Saat kita lena diulit mimpi, mereka mengorbankan masa tidur demi mencari pendapatan yang halal. Perkhidmatan yang ditawarkan mereka besar ertinya kepada penumpang yang tinggal agak jauh dari stesen bas dan tiada kenderaan yang datang menjemput pulang. Pun begitu, sebagai wanita, perasaan risau turut terdetik di hati ini, bimbang jika ada yang berniat buruk terhadap penumpang. Nauzubillahi minzalik.

Saya hanya memerhati gelagat sebahagian mereka dan hanya tersenyum apabila mendapati apa yang dibualkan mereka menggelikan hati. Mungkin itu cara untuk mereka menghilangkan rasa mengantuk. Saya beredar meninggalkan mereka apabila abah tiba untuk menjemput pulang. Syukur saya mendapat pendidikan yang baik dan tidak perlu melakukan pekerjaan yang memerlukan saya bersengkang mata setiap malam. Alhamdulillah.

Tuesday, September 28, 2010

Peluang Kedua

Bismillahirrahmanirrahim...

Masalah datang daripada Allah Taala dalam bentuk ujian terhadap hamba-hambaNya namun dengan rahmatNya jua, manusia senantiasa dikurniakan jalan keluar dari setiap permasalahan, halangan dan cabaran yang didepani. Justeru, masalah hanya dapat diselesaikan dengan memohon daripadaNya jua. Analoginya, apabila kita membeli kereta dan ia mengalami kerosakan atau memerlukan penyelenggaraan rutin, sudah tentulah kita akan merujuknya kepada mekanik kereta atau mereka yang terlibat dalam industri automotif. Bayangkan apa yang terjadi sekiranya kita membawa kereta untuk dibaiki kepada mekanik basikal atau motosikal. Kita mungkin dianggap tidak berpengetahuan malah mungkin ditertawakan oleh pihak-pihak tertentu. Lebih teruk, masalah yang dihadapi tidak akan berjaya diselesaikan. Begitu juga, jika kita ingin mendapatkan pandangan yang baik tentang penjagaan kereta, maka kita akan merujuk kepada golongan yang pakar tentangnya. Begitulah juga sebagai makhluk ciptaanNya, sebaik-baik tempat rujukan dan tempat mengadu adalah kepadaNya jua.

Allah datangkan ujian kepada kita sebagai petanda bahawa Allah senantiasa mengingati hamba-hambaNya sedang kita sering terlalai dan terleka daripada mengingatiNya. Seringkali kita hanya mencariNya apabila berdepan dengan kesukaran dan kepayahan, sebaliknya sering melupakanNya apabila terlalu leka dengan nikmat yang diperoleh sedangkan nikmat itu kurniaan daripadaNya jua.

Biar berapa kali kita terhantuk, tersadung, terleka malah terlupakanNya, Allah kembali memeluk malah menerima dengan hati terbuka setiap pengakuan yang disertai dengan keikhlasan kerana Allah tahu kita sememangnya lemah.

Dalam kehidupan ini, Allah sering memberi peluang kedua malah ketiga dan seterusnya agar kita dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan dan tidak mengulanginya lagi. Pun begitu, kita sendiri yang akan menentukan sama ada ingin menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin atau mensia-siakannya sahaja.

Jika direnung dan difikir-fikirkan, saya dapati Allah sering memberi saya peluang kedua dalam setiap kekhilafan yang telah saya lakukan. Di saat saya merasakan seolah-olah berdepan jalan buntu dalam mendepani sesuatu masalah, Allah senantiasa membuka jalan malah memberi alternatif yang jauh lebih baik kepada diri saya. Dugaan membuatkan saya terasa ingin semakin mendekatkan diri kepadaNya.

Sewaktu saya menolak tawaran memasuki sekolah berasrama penuh di Lembah Kelang selepas mendapat keputusan UPSR, Allah berikan peluang kedua kepada saya dengan mendapat tawaran memasuki Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Apabila saya gagal meneruskan pengajian di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Allah gantikan dengan peluang ke Maktab Rendah Sains Mara Muar dan seterusnya. Sesungguhnya senarai peluang kedua yang Allah berikan kepada saya amat panjang. Subhanallah.

Terkini, di saat saya merasa kepada perubahan dalam dunia pekerjaan, Allah bukakan jalan kepada saya untuk menemuinya di tempat baru. Meskipun jauh di sudut hati, saya merasa amat berat untuk meninggalkan ‘dunia selesa’ yang telah saya nikmati sejak 5 tahun yang lalu, saya sering berpendapat bahawa untuk meraih sesuatu yang berbeza dalam hidup ini, saya perlu melakukan sesuatu untuk melawan keselesaan tersebut. Justeru, saat peluang untuk bertukar tempat kerja tiba, saya terima dan melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Namun saya syukur kerana ukhuwwah yang terjalin di tempat lama tetap dekat di hati saya. Mereka tetap rakan-rakan terbaik di mata saya yang sama-sama bersusah dan bersenang sepanjang saya bertugas di situ.

Tidak cukup dengan itu, Allah bukakan pula jalan untuk saya melanjutkan pelajaran apabila mendapat tawaran biasiswa dan insyaAllah akan memulakannya pada pertengahan tahun hadapan. Sebelum itu, ada satu misi besar yang perlu saya sempurnakan dan doa saya semoga misi ini akan dipermudahkanNya jua dan diberi peluang kedua untuk menyempurnakannya. Saya pernah mencuba untuk menyempurnakannya sebelum ini tetapi senantiasa terbengkalai di pertengahan jalan. Kali ini, saya ingin mencubanya lagi. Namun, saya hanya mampu berusaha, Dia jua yang akan menentukanNya dan Maha Mengetahui yang terbaik buat diri saya, hambaNya.

Wednesday, September 22, 2010

HSQ

Bismillahirrahmanirrahim...



Tiga tahun yang lalu, saya pernah mengikuti sebuah kursus anjuran ESQ Leadership Center Malaysia. Bayaran yang dikenakan memang agak tinggi namun saya amat berpuas hati dengan pengisiannya yang nyata berbeza daripada kursus-kursus yang pernah saya ikuti sebelum ini. Meskipun kursus tersebut dipenuhi dengan ayat-ayat Al-Quran, masih ada orang bukan Islam yang menyertainya termasuk motivator dan penulis Dare To Fail, saudara Billi Lim. Pendekatan mereka yang begitu Islamik adalah kerana mereka berpegang kepada prinsip bahawa Al-Quran diturunkan kepada seluruh manusia dan bukannya khusus kepada umat Islam sahaja.

Baru-baru ini pula fatwa pengharaman kursus ESQ telah dikeluarkan oleh pihak berwajib. Sebagai alumni kursus tersebut, sedikit sebanyak saya terkesan juga dengan pengharaman tersebut namun saya tetap menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak yang lebih mendalami agama. Namun begitu, berdasarkan pengalaman sendiri, kursus tersebut merupakan kursus terbaik yang pernah saya ikuti dalam hidup saya. Para pelatih berjaya membangkitkan rasa kesedaran dan keinsafan dalam diri setiap peserta agar kembali sedar kepada kebesaran Allah Taala serta kemuliaan Rasulullah SAW yang selama ini hanya dipandang enteng sahaja. Berapa ramai yang benar-benar memahami kebesaran Allah dengan merenung ke dalam diri sendiri iaitu dengan melihat kekuasaan Allah menciptakan manusia daripada air mani? Berapa ramai yang mempelajari Sirah Rasulullah sewaktu di bangku persekolahan tetapi semakin melupakan apabila usia semakin menginjak dewasa? Malah berapa ramai pula yang benar-benar mengamalkan sunnah Baginda?

Saya fikir inilah ubat paling mujarab kepada masyarakat yang kian sakit ini. Agama adalah penawar yang tiada tolok bandingnya. Ia didambakan oleh setiap insan dan makhluk ciptaanNya. Masyarakat menjadi semakin sakit kerana ada ruang kosong dalam diri mereka yang gagal memahami hala tuju sebenar kehidupan seorang hamba Allah.

Malam tadi, saya menemui kembali program tersebut dalam sebuah rancangan yang dinamakan Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) siaran TV9, jam 10.00 malam. Rancangan yang diterajui oleh saudara Ahmad Noor Sulaiman dan dibantu oleh para pelatih ESQ telah berjaya menggamit hati saya kembali untuk mengikutinya. Saya tidak pernah mengetahui kewujudan rancangan tersebut sebelum ini kerana sudah lama tidak mendapat siaran selain TV3 sahaja. Memang isyarat agak teruk di kawasan perumahan yang kami duduki kecuali dengan melanggan Astro.

Kini, setelah membeli TV baru, capaian kepada saluran lain berjaya diperoleh walaupun gambarnya masih kurang jelas. Bagi yang pernah mengikuti kursus ESQ, akan memahami apa yang saya rasakan apabila menonton rancangan tersebut. Yang pasti, saya akan menjadi penonton setia rancangan HSQ selepas ini, malah telah pun menyertai ruangan Facebook HSQ untuk mendapatkan koleksi episod yang lalu.

Thursday, September 16, 2010

Layang-Layang

Bismillahirrahmanirrahim...


Petang tadi saya meluangkan masa bersama anak-anak saudara bermain layang-layang di Pantai Teluk Lipat, tidak jauh dari Teratak Bakarians. Saya sendiri sudah lupa bila kali terakhir saya bermain layang-layang. Mungkin sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah kerana selepas memasuki asrama sejak tingkatan 1, saya sudah tidak lagi berpeluang melakukannya. Jika dulu amat sukar untuk bermain layang-layang kerana saya perlu mencari lidi, kertas suratkhabar dan nasi. Lidi saya peroleh daripada pokok kelapa di sekitar kawasan rumah, kertas suratkhabar daripada dalam rumah dan nasi dijadikan gam. Walaupun harga layang-layang siap pada waktu itu hanya sekitar 30 sen, saya tidak mampu untuk membelinya. Segalanya begitu sukar pada zaman kanak-kanak namun itu tidak menghalang saya dan adik beradik untuk menikmati zaman kami dengan sebaiknya. Kesukaran membuatkan manusia menjadi kreatif dan berfikir di luar kotak. Berbekalkan peralatan yang ada di sekeliling, kami mampu menghasilkan layang-layang yang diinginkan.

Hari ini, saya tidak lagi membuatnya. Saya hanya membelinya daripada peniaga yang menjual pelbagai bentuk dan saiz layang-layang malah harganya juga boleh tahan mahal. Saya telah membelinya pada harga RM20 seunit dan saya beli 2 unit untuk kedua-dua anak saudara saya. Baru hari ini saya sedar, sudah sekian lama saya tidak bermain layang-layang dan pengalaman ulangtayang zaman kanak-kanak ini cukup menyeronokkan. Asyik bermain sehingga saya tidak sedar hari sudah semakin senja. Segala macam kegusaran dalam diri hilang dan tenggelam dalam keseronokan bermain layang-layang.

Kehidupan ini juga umpama permainan layang-layang. Kekadang tali perlu dilepaskan apabila angin bertiup kencang dan ditarik/diregangkan semula apabila angin bertiup perlahan. Bimbang jika tali diregangkan saat angin bertiup kencang, tali akan putus dan layang-layang akan terbang tanpa haluan. Mungkin juga akan koyak dan renyuk diterjah angin kencang. Namun tali tidak sekali-kali boleh dilepaskan. Itulah tali Allah. Walau apapun badai atau ujian yang melanda dalam kehidupan kita, selagi kita tetap berpegang pada taliNya, kita akan terselamat. Sebaliknya, jika kita melepaskan tali dan beranggapan layang-layang akan mampu terbang sendiri dan mencari haluannya, kita silap. Kita akan semakin jauh dariNya dan mungkin akan tenggelam punca.

Sesungguhnya, setiap perkara atau kejadian di muka bumi ini hatta sekecil-kecil perkara seperti bermain layang-layang pun mampu memberi seribu satu pengajaran jika diselami dan dihayati dengan hati yang terbuka. 

Subhanallah!

P/s: Selamat Hari Malaysia.

Tuesday, September 14, 2010

Erti Raya

Bismillahirrahmanirrahim...



Sedar tak sedar hari ini sudah masuk 5 Syawal. Cuti saya masih berbaki beberapa hari sebelum kembali meneruskan rutin harian seperti biasa. Jauh di sudut hati saya memang tidak dapat menafikan yang saya tenang berada di kampung, jauh dari hiruk pikuk kota dan beban tugas yang tidak putus-putus.

Alhamdulillah raya pada kali ini meriah dengan kepulangan adik beradik dan anak-anak saudara walaupun tidak semua dapat pulang serentak kerana giliran beraya di rumah mertua. Hari Raya merupakan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berjuang melawan hawa nafsu dan akhirnya kembali kepada fitrah. Jauh dari itu, saya turut merasakan bahawa erti raya adalah keluarga. Saya tidak dapat membayangkan meraikan hari raya tanpa ahli keluarga di sisi terutama kedua ibu bapa.

Akhir-akhir ini saya sering merasa sebak apabila melihat wajah abah dan ummi. Pemergian Ayah Ngah, bapa saudara saya baru-baru ini memberi kesan amat mendalam kepada diri saya. Ia seolah-olah satu loceng yang berbunyi dan mengingatkan diri saya agar kembali merenung dan menilai keutamaan dalam kehidupan ini. Seringkali saya tenggelam dan larut dalam kesibukan duniawi sehingga tanpa sedar, mengabaikan keutamaan yang sepatutnya diberi perhatian.

Alhamdulillah saya masih diberi peluang pada tahun ini untuk menyambut hari raya bersama abah dan ummi. Hari raya kali ini juga, saya renung wajah abah dan umi sedalamnya. Mereka semakin tua, kedutan makin jelas terpapar, kesihatan sering terganggu dan rambut semakin memutih. Ada satu rasa terdetik dalam diri, sama ada saya akan berpeluang untuk menyambut hari raya bersama mereka pada tahun hadapan? Apakah saya sudah cukup berbuat bakti kepada keduanya? Apakah saya sudah menggembirakan keduanya? Apakah saya ini seorang anak yang baik kepada mereka? Segala persoalan bermain-main dalam fikiran saya.

Allah berikan saya pelbagai nikmat dan kegembiraan dalam hidup ini termasuk dikelilingi oleh teman-teman yang baik. Baru-baru ini pula Allah telah permudahkan laluan untuk saya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan. Saya mula terfikir untuk meneruskannya di negeri kelahiran sendiri agar lebih dekat dengan abah dan ummi. Itu niat saya. Moga dipermudahkanNya. Jika niat saya ini dimakbulkanNya, memang banyak perubahan yang perlu saya lakukan kerana telah sekian lama meneruskan kehidupan di kota yang memberi saya pelbagai pengalaman. Namun jika ini harga yang perlu saya bayar untuk membolehkan saya berbakti kepada abah dan ummi, saya terima dengan hati yang redha. Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Itu pesan Rasulullah SAW.

Saki baki cuti yang masih bersisa ini ingin saya nikmati dengan sebaiknya sebelum kembali ke KL pada hari Sabtu ini.