Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, December 30, 2009

PENYUCIAN HARTA

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya bergegas ke pejabat sebentar untuk menyelesaikan beberapa perkara tertunggak termasuk berjumpa dengan ketua saya. Jangkanya jam 1 saya akan bertolak kembali ke hotel untuk menyambung tugasan yang masih bertimbun untuk dilunaskan. Ternyata saya hanya mampu merancang, akhirnya saya meninggalkan pejabat jam 2 petang.

Dalam perjalanan, saya singgah di Pusat Pungutan Zakat Putrajaya untuk menunaikan tanggungjawab menjelaskan zakat pendapatan bagi tahun 2009. Saya sendiri hampir terlupa (bertangguh sebenarnya) menunaikannya sehinggalah dikejutkan dengan panggilan seorang teman baik (Arab) yang bertanya tentang lokasi pusat tersebut. Lantas saya nekad untuk melunaskannya sebelum tahun 2009 berakhir. Mulanya terdetik di hati ini untuk menangguhkannya kepada esok sahaja iaitu selepas tamat program tetapi saya cuba melawan perasaan itu dengan mengatakan penangguhan hanya akan memungkinkan kepada kegagalan untuk melaksanakannya terus kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada keesokkan hari. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan-Nya. Dalam masa tidak sampai 20 minit, segala urusan selesai. Entah kenapa hati saya sebak setiap kali membaca lafaz niat menunaikan zakat tersebut meskipun telah beberapa kali dilafazkan sebelum ini. Saya kira rasa sebak itu adalah manifestasi rasa syukur dalam diri kerana berjaya menunaikan tuntutan-Nya. Mungkin ada sesetengah orang yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya tetapi saya dengan izin-Nya diberi kemampuan untuk melaksanakannya. Sesungguhnya benarlah, ‘tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah’.

Saya masih ingat sewaktu berada di tahun pertama perkhidmatan atau alam pekerjaan. Segalanya terasa tidak berkecukupan. Setiap bulan perbelanjaan menjadi negatif. Saya buntu. Saya kira pada waktu itu saya tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan zakat pendapatan. Awal-awal lagi saya sudah mengisytiharkan bahawa diri saya tidak berkemampuan untuk menunaikannya. Bermakna saya seolah-olah sudah menanamkan dalam diri saya satu pendirian bahawa diri saya selamanya tidak akan layak untuk menunaikannya. Sehinggalah tiba pada tahun ketiga perkhidmatan apabila Allah memudahkan laluan saya dan memberi nikmat kenaikan pangkat. Saya mula terfikir, sampai bilakah saya harus meletakkan diri saya dalam keadaan tidak mampu memberi? Mungkinkah segala ketidakcukupan yang saya alami selama ini adalah natijah kepada keengganan menunaikan tuntutan-Nya? Hati dan perasaan saya mula diselubungi kekesalan. Perbualan bersama beberapa orang teman juga menuju ke arah kesimpulan yang sama iaitu mungkin segala kekurangan yang dirasai selama ini adalah berpunca daripada terikatnya hati dan diri pada kebendaan.

Namun saya bersyukur kerana masih diberi ruang dan peluang oleh-Nya untuk menyedarinya terlebih awal. Alhamdulillah...Dari saat itu juga, saya nekad menjadikan tanggungjawab menunaikan zakat pendapatan sebagai rutin tahunan saya selain cukai pendapatan. Malah saya lunaskan juga kadar bagi tahun pertama dan kedua perkhidmatan saya. Entri saya sebelum ini pernah memaparkan perasaan saya saat berjaya melaksanakan ‘hutang’ tersebut. Sungguh benar, saya merasa lebih tenang dan aman selepas berjaya meleraikan diri dari ikatan kebendaan. Ada satu rasa yang sungguh indah yang tidak dapat digambarkan selain dengan perkataan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Subhanallah’.

Hal ini cuba saya kongsikan bersama adik-adik saya agar tidak mengulangi perkara yang sama seperti saya dahulu. Sedari awal lagi didiklah hati agar tidak terikat dengan tali kebendaan yang melampau. Memadailah dimulai dengan menunaikan zakat pendapatan saban tahun di samping zakat fitrah. Saya pernah ditanya oleh beberapa orang teman akan kewajipan menunaikan zakat pendapatan. Sejujurnya untuk menjawab secara ilmiah, saya tidak mempunyai keupayaan tersebut tetapi berdasarkan sedikit ilmu yang telah saya pelajari sebelum ini dan melalui pembacaan di laman-laman web yang membicarakan mengenai zakat pendapatan, saya mengambil pendirian untuk menunaikannya. Saya kira bukan soal menunaikannya atau tidak yang menjadi perkara pokok sebaliknya kepercayaan dan keyakinan kepada mematuhi suruhan Allah dan hikmah yang terkandung di sebaliknya. Hal yang sama juga jika kita beramal atau melakukan perintah Allah yang lain tanpa kepercayaan dan keyakinan yang teguh. Maka atas sebab itulah, antara perkara-perkara utama yang wajib diketahui dan dipegang oleh umat Islam adalah Rukun Iman. Begitu besar peranan dan kedudukan sebuah kepercayaan. Hanya dengan adanya kepercayaan maka setiap tindak tanduk kita akan dibuat dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Natijah tindakan yang dibuat dengan kerelaan atau keikhlasan adalah kesungguhan. Sudah pasti kita akan berbuat sesuatu yang kita cukup pasti akan hasilnya dengan penuh ketekunan. Tiada istilah kecewa jika gagal mendapatkan hasilnya seperti dijangka kerana kita meyakini segalanya di dalam pengetahuan Allah jua. Sebagai hamba, kita hanya berusaha sahaja. Saat tiba masa yang sesuai, Allah akan menganugerahinya kepada kita.

Tugas saya yang banyak memerlukan saya bersua wajah dengan pegawai-pegawai baru memberi saya ruang untuk berkongsi keyakinan ini bersama mereka. Zakat membawa maksud penyucian. Maka saya berpendapat dengan menunaikan zakat pendapatan akan dapat menyucikan pendapatan yang diterima daripada sebarang anasir yang tidak sepatutnya. Mungkin pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan khidmat yang telah dicurahkan, maka peranan zakat membersihkannya.

Memang ada yang memandang sinis dan enteng malah merungut-rungut apabila perkara ini saya utarakan kepada mereka. Pada saya, respon itu normal. Keadaan mereka sama seperti saya dahulu apabila keyakinan belum bersarang dalam hati. Sekurang-kurangnya saya sudah menyebutnya kepada mereka. Jika Allah mengkehendaki perkara itu sampai ke dalam hati mereka, maka insyaAllah akan membuka pintu hati mereka untuk menunaikannya. Peranan saya hanya menyampaikan sahaja, bukannya menjadi hakim kepada salah atau betul tindakan mereka. Saya kira jika dulu Rasulullah S.A.W sewaktu diutus oleh Allah berputus asa setiap kali ajaran Baginda ditolak malah dicerca dan dihina, mungkin hari ini saya tidak akan menganut agama Islam yang suci ini. Itu prinsip saya. Saya yakin setiap kebenaran yang disampaikan dengan hati yang ikhlas akan diterima baik oleh para pendengar. Mungkin penerimaan mereka secara langsung sebaik penyampaian dibuat atau pada suatu masa apabila mereka berdepan dengan situasi yang membuka pintu hati mereka.

Niat saya berkongsi tindakan saya ini bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali untuk mengatakan bahawa saya lebih baik daripada mereka sebaliknya untuk berkongsi menikmati satu perasaan indah apabila tindakan yang dilakukan bersandarkan kepada keyakinan kepada-Nya. Saya cukup yakin dengan perkara ini. Apabila segala tindak tanduk disandarkan kepada-Nya, maka kita tidak akan merasa kecewa jika ditimpa musibah atau ujian kerana kita yakin Allah tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-hambaNya sebaliknya kita sendiri yang sering melakukannya secara sedar atau tanpa kita sedari. Inilah prinsip yang sering diagung-agungkan oleh para ahli falsafah atau motivator Barat sedangkan sebagai umat Islam, prinsip ini telah ada dalam diri seawal mengucap kalimah syahadah. Itulah keimanan dan keyakinan kepada-Nya bahawa apa jua yang diberi atau ditimpakan kepada hamba-hambaNya adalah sentiasa yang terbaik. Yang mengandungi hikmah tersembunyi yang cukup besar maknanya.

Percayalah, dengan memberi hati akan menjadi lebih tenang, ikatan kepada kebendaan akan terlerai, pintu rezeki akan terbuka luas dan keyakinan kita kepada kekuasaanNya akan semakin kukuh. insyaAllah...

HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Tahun ini saya menyambut Maal Hijrah di Bandaraya Anggerik kerana perlu menghadiri bengkel selama 3 hari di Hotel De Palma. Maka hujung minggu saya dihabiskan untuk memenuhi tujuan dan objektif bengkel diadakan sehingga saya terpaksa ‘ponteng’ kelas di Universiti Malaya. Mulanya saya memang berhajat untuk menghadiri kelas tersebut malah sudah mendapatkan pelepasan daripada ketua saya tetapi terpaksa menukar rancangan di saat akhir apabila mendapati kehadiran saya di bengkel tersebut lebih diperlukan. Demi untuk memberi keadilan kepada anak-anak buah saya yang turut sama mengorbankan waktu hujung minggu saya menghadiri bengkel tersebut, saya mengambil keputusan untuk bersama-sama mereka sepanjang tempoh bengkel berjalan. Saya berpendapat saya perlu hadir untuk menjawab sebarang pertanyaan yang timbul tentang ruang lingkup tugas seksyen kami. Alhamdulillah keputusan saya untuk membatalkan hasrat menghadiri kelas ternyata memberi kelebihan apabila nyata ada persoalan yang memerlukan jawapan daripada seksyen kami. Bukan pula bermaksud saya tidak meletakkan kepercayaan kepada pegawai-pegawai bawahan saya, sebaliknya saya lebih gemar berdepan dengan sebarang perkara yang timbul secara bersama agar saya dapat melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dengan sebaik mungkin.

Mengenai tempat penginapan pula, sememangnya meninggalkan sebuah kenangan kepada saya dan adik-adik. Kejadian tersebut berlaku pada tahun 2004 atau lebih tepat 26 Disember 2004 bersamaan dengan tarikh negara digemparkan dengan bencana tsunami. Lucu pula apabila teringat insiden yang telah berlalu kira-kira 5 tahun yang lalu, saya dan 3 orang adik berasak-asak tidur di dalam sebuah bilik dan satu katil bersaiz queen. Ditambah pula dengan keluasan ruang bilik hotel tersebut yang sememangnya agak kecil daripada biasa. Dulu saya gemar membawa adik-adik bersiar-siar dengan menaiki kereta Kancil setiap kali mereka datang melawat saya di KL. Seharian kami meronda-ronda termasuk ke Putrajaya (waktu itu saya masih bertugas di UiTM Shah Alam) sehingga larut malam. Mulanya kami bercadang untuk bermalam di rumah sewa saya memandangkan teman-teman serumah pulang ke kampung masing-masing. Kami tiba di rumah sewa saya yang terletak di Seksyen 24 lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Hendak dijadikan cerita, salah seorang teman serumah saya membatalkan rancangan untuk pulang ke kampung. Saya mati akal kerana memikirkan 2 orang adik lelaki yang turut sama. Akhirnya kami sepakat untuk bermalam di mana-mana hotel di sekitar Shah Alam. Kami mula melilau-lilau mencari rumah tumpangan atau hotel yang ada di sekitar Bandaraya Shah Alam. Atas faktor kewangan, kami menghadkan kadar bayaran yang mampu dibayar bagi tujuan penginapan.

Sejujurnya pada waktu tersebut, bermalam di hotel merupakan antara perkara paling mustahil kerana merasakan kami seolah-olah tidak layak untuk menginap di situ. Hampir kesemua hotel yang kami kunjungi mengenakan kadar di luar kemampuan kami menyebabkan pencarian diteruskan sehingga jam 2.00 pagi. Pelbagai ikhtiar telah dibuat walaupun berada dalam keletihan dan kami sudah hampir putus asa. Jalan akhir mungkin tidur di dalam kereta sahaja atau di mana-mana masjid. Akhirnya kami tiba di Hotel De Palma yang hanya mempunyai 1 kekosongan bilik sahaja untuk kadar yang mampu kami bayar. Untuk mengelakkan ditahan oleh pihak hotel, kami berpecah untuk masuk ke bilik. Betapa jahilnya saya pada waktu itu kerana bimbang dihalang oleh pihak hotel sekiranya menginap melebihi 2 orang dalam satu bilik. Malu pun ada apabila saya fikirkan tindakan kami pada malam itu.

Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan berhimpit-himpit, kami mendapat tempat untuk melelapkan mata setelah seharian kepenatan. Dek keletihan melampau, kami begitu lena tidur sehingga tidak menyedari berlaku gegaran pada pagi tersebut kesan bencana tsunami yang menimpa Utara Semenanjung Malaysia. Kami hanya menyedari peristiwa tersebut sewaktu menonton berita di televisyen.

PERUBAHAN IKLIM

Saya dan adik lelaki pulang ke kampung semasa cuti perayaan Krismas. Mujur trafik lancar dan tiada kesesakan yang membeban jiwa dan tenaga.

Pantai Timur masih berada di penghujung musim tengkujuh dan laut yang tidak jauh daripada rumah kami masih menghempas pantai dengan ganas. Saya hairan apabila melihat masih ada ibu bapa yang berani menempah maut bersama anak-anak mandi manda di pantai dalam keadaan ombak yang bergelora kuat.

Saya perasan jarak antara jalan raya dengan pinggir pantai juga semakin mendekat berbanding semasa saya masih kecil. Lantas saya terfikir mungkinkah apa yang berlaku adalah kesan pemanasan global yang semakin memburuk sehingga merubah iklim dunia. Kutub Utara dan Kutub Selatan semakin cair menyebabkan isipadu air laut semakin bertambah. Untuk menampung jumlah air laut yang meningkat mendadak, lautan semakin memenuhi daratan.

Saya membayangkan bahawa apa yang berlaku kepada alam adalah merupakan manifestasi kepada ‘perubahan iklim’ yang menimpa manusia akhir zaman. Maksiat semakin berleluasa sehingga menenggelamkan manusia dalam lautan kelalaian dan kemurkaan.

URUT KAKI

Petang tadi saya dan seorang teman mengambil kesempatan luang masa yang ada dengan mengunjungi sebuah pusat refleksologi yang terletak bersebelahan dengan penginapan kami di Sepang. Hari ini merupakan hari kedua kami di sini dan akan tamat pada lusa. Ternyata servis yang disediakan baik dan saya berpuashati dengan kadar bayaran yang dikenakan untuk tempoh sejam.

Akhir-akhir ini saya begitu menggemari aktiviti bekam dan urut di samping memakan makanan kesihatan tambahan secara harian. Niat saya cuma satu, ingin menjaga kesihatan untuk memudahkan urusan ibadah kepada Allah Taala. Kelebihan sampingan yang datang seperti berat badan berkurangan adalah merupakan bonus kepada usaha yang saya lakukan. Alhamdulillah usaha berterusan saya kian menampakkan hasil dan saya berazam untuk terus beristiqamah dengan usaha yang telah dilakukan sekarang.

Al-a’qluss salim fil jismis salim...itu yang saya dambakan.

Saturday, December 19, 2009

BANDARAYA ANGGERIK

Bismillahirrahmanirrahim...

Itu gelaran yang diberikan kepada Bandaraya Shah Alam. Satu tempat yang cukup nostalgia kepada saya. Dari zaman berada di menara gading kira-kira 10 tahun yang lalu, saya telah sering berkunjung ke sini kerana menziarahi rumah abang sulung di Seksyen 25. Kemudian, apabila tamat pengajian, di sini saya mula memperoleh hasil titik peluh sendiri dengan menjadi tenaga pengajar di UiTM Shah Alam. Bandar ini juga menjadi saksi kegigihan saya dan seorang teman melilau-lilau dengan menaiki skuter demi untuk mencari pekerjaan. Hampir 2 tahun saya tinggal di sini sehingga saya mendapat pekerjaan tetap di Bukit Kemuning dan kemudian bertukar ke Kuala Lumpur. Pelbagai suka duka telah saya tempuh sepanjang tinggal di sini. Malah saya akui amat gemar dengan susun atur Bandaraya Shah Alam. Sepanjang tinggal di sini, Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam merupakan antara 2 tempat yang sering saya kunjungi selain UiTM Shah Alam. Kebetulan pula, adik lelaki saya juga mendapat peluang melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam. Maka saya sering menziarahi adik saya semasa masih menaiki skuter sehingga saya membeli kereta Kancil.

Semasa tinggal di sini juga, saya telah telibat dalam satu kemalangan sewaktu menunggang skuter dalam perjalanan menuju ke Gombak. Kejadian tersebut berlaku dengan sekelip mata sehingga saya tidak sempat mengelakkan kejadian tersebut dari berlaku. Sebenarnya semasa menjadi tenaga pengajar di UiTM, pada masa yang sama saya juga menjadi tutor di UIA Gombak dan situasi ini memerlukan saya untuk berulang-alik beberapa kali dalam seminggu ke sana. Walau bagaimanapun, saya memilih untuk tinggal di Shah Alam kerana saya perlu mengajar kelas di UiTM pada waktu malam. Jadi, adalah lebih selamat dan mudah untuk saya berulang-alik ke sana. Apabila dikenang, saya seolah-olah tidak percaya yang dulu saya sanggup berulang-alik antara Shah Alam dan Gombak hanya dengan menaiki skuter sahaja. Sekarang apabila menaiki kereta pun saya terasa akan jaraknya yang jauh, inikan pula menaiki skuter. Apapun, itu antara pahit manis saya sewaktu mula-mula memasuki alam pekerjaan. Saya menerima semua ketentuan-Nya dengan penuh keinsafan kerana yakin setiap aturan-Nya adalah yang terbaik buat diri saya. Benar pesan orang-orang tua, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Mujurlah kemalangan tersebut tidak berapa serius dan saya mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pipi akibat penghadang topi keledar yang pecah dan kecederaan pada lutut akibat terjatuh dari skuter. Namun saya masih ingat dengan jelas perasaan saya sewaktu ditimpa kemalangan tersebut. Yang bermain dalam kepala saya sewaktu itu adalah untuk menutup malu kerana bimbang diperhatikan oleh orang ramai. Saya terus bingkas bangun dan mendirikan skuter yang terbaring bersama saya sebentar tadi. Punca kemalangan adalah kerana keadaan jalan yang dipenuhi dengan pasir dan kebetulan jalan tersebut agak bengkang bengkok. Mujurlah juga ada 2 orang lelaki India yang baik hati membantu menjaga skuter sewaktu saya membersihkan luka di stesen minyak berdekatan. Mereka beria-ia ingin membantu saya dengan menghantar ke klinik berhampiran tetapi saya menolak dengan baik dan memandu sendiri ke klinik di Shah Alam. Saya terpaksa membatalkan hasrat saya ke UIA pada hari tersebut. Abah dan Ummi benar-benar terkejut dan marah dengan kejadian tersebut. Akibatnya saya didesak untuk membeli kereta. Oleh kerana saya sendiri sebenarnya agak trauma dengan kejadian tersebut, akhirnya saya bersetuju dengan kehendak Abah dan Ummi. Namun begitu, menyedari kemampuan kewangan pada masa itu, saya membuat keputusan untuk membeli kereta Kancil sahaja.

Apabila saya mendapat pekerjaan tetap dan ditempatkan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, saya masih berulang-alik dari Shah Alam. Oleh kerana jarak dan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan yang terkenal dengan kesesakannya, saya terpaksa bertolak awal iaitu jam 6.30 pagi dan tiba di pejabat jam 8.00 pagi. Memang sungguh meletihkan terutama sewaktu memandu pulang kerana kesesakan akan bertambah teruk. Namun demi untuk menikmati suasana di Taman Tasik Shah Alam pada setiap hujung minggu, saya gagahkan diri juga untuk meredah kesesakan tersebut. Saya hanya berpindah meninggalkan Shah Alam apabila diajak oleh kawan-kawan untuk tinggal serumah di Cheras. Pun begitu, Shah Alam tetap dekat di hati saya. Di sini kehidupan berkerjaya saya bermula...

Sunday, December 13, 2009

Rencam

Bismillahirrahmanirrahim…

Blog saya hampir bersawang. Banyak kali saya cuba meluangkan masa untuk mengemaskini tapi tuntutan waktu benar-benar menguji kesungguhan saya. Alhamdulillah hari ini saya diberi ruang oleh Allah Taala untuk memanfaatkan masa terluang ini dengan memenuhi janji mengemaskini blog.

Akhir-akhir ini jadual hidup saya sarat dengan aktiviti rasmi. Maklumlah hujung tahun, semua mengejar waktu akaun ditutup dan membuat persiapan untuk menghadapi tahun baru pula.

Sewaktu pulang dari kampung selepas menyambut Aidiladha, saya dan adik-adik menempuh perjalanan yang cukup mencabar apabila kesesakan yang dihadapi bertali arus di sepanjang lebuhraya Karak. Ditambah pula dengan sikap para pemandu yang ‘bodoh sombong’ dan menyusahkan pengguna yang lain. Kesesakan tersebut ternyata lebih dahsyat berbanding pulang menyambut Aidilfitri sebelum ini. Apa pun, itulah kenyataan yang harus dihadapi. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan tersebut. Alhamdulillah.

Tiba di KL, beberapa tugasan rasmi telah sedia menanti untuk saya lunaskan. Kebanyakannya urusan di luar daerah. Tugasan pertama bermula di Lanchang, Pahang selama 3 hari dan sekembalinya dari Pahang, saya dan anak-anak buah bergerak pula ke Johor Bharu selama 4 hari. Selesai urusan di JB, saya kembali ke pejabat dan semalam saya ke Lanchang, Pahang sekali lagi untuk memenuhi tugasan di sana iaitu menyampaikan taklimat kepada para pegawai lantikan baru. Pada hari yang sama, saya bertolak pulang untuk mengikuti kelas di Universiti Malaya pula. Meskipun saya akui amat keletihan dengan bebanan tugas tersebut, saya tidak menafikan juga yang saya puas kerana melakukan perkara yang saya gemari. Kekadang terdetik jua keinginan untuk bersantai dan bercuti tetapi saya pendamkan dulu kerana saya dan keluarga sudah ada perancangan untuk bercuti bersama-sama pada tahun hadapan. :) InsyaAllah.

Hari ini saya sengaja lapangkan untuk menghabiskan masa bersama adik-adik. Seawal pagi kami bangun dan usai solat Subuh, kami ke Taman Tasik Ampang Hilir untuk mengeluarkan peluh. Hampir sejam di situ, kami ke gerai untuk bersarapan pagi. Tiba di rumah, saya dan adik-adik memenuhkan masa dengan membersihkan kereta dan rumah. Saya puas apabila melihat kereta dan rumah dalam keadaan bersih dan tersusun. Hati pun senang.

Saya mematikan hasrat untuk memasak memandangkan kami akan ke Hulu Langat untuk memenuhi undangan kenduri salah seorang kakitangan di tempat kerja adik saya. Kami ke sana jam 2 petang dan tiba agak lewat kerana keadaan lalu lintas yang agak sesak. Selesai urusan di sana, kami pulang untuk istirehat. Sejujurnya saya sungguh lega kerana dapat meluangkan masa bersama adik-adik kerana sudah beberapa minggu sejak kembali dari kampung, hujung minggu saya dipenuhi dengan pelbagai urusan kerja. Benar kata orang, home sweet home. Duduklah di hotel semewah mana pun, tidak akan sama dengan duduk di rumah sendiri meskipun sederhana keadaannya.

Beberapa hari akan datang saya akan kembali sibuk kerana perlu menghadiri bengkel pada hujung minggu depan. Nampaknya harapan saya untuk pulang ke kampung pada minggu depan musnah. Pada mulanya saya memang berhasrat untuk pulang ke kampung memandangkan Jumaat adalah hari cuti umum. Inilah yang dinamakan pengorbanan. Saat saya berikrar untuk memegang jawatan ini, saya adalah tertakluk dan terikat dengan janji-janji yang telah saya ikrarkan. Tambah pula, setiap gerak geri saya kini menjadi teladan dan ikutan kepada orang-orang bawahan saya. Sepertimana saya mengharapkan mereka untuk bersedia untuk berkorban dalam menjalankan amanah yang telah diberikan, saya sendiri harus menunjukkan contoh ikutan kepada mereka. Pendek kata, saya perlu walk the talk. Sukar memang sukar tetapi itulah harga yang harus saya bayar atas jawatan yang sedang saya duduki sekarang.

Usai urusan bengkel tersebut juga, InsyaAllah jadual hidup saya akan sedikit reda buat tempoh 2 minggu. Pun begitu, saya sendiri tidak pasti jika secara tiba-tiba ada tugasan yang perlu saya penuhi dan sudah pasti saya mesti melakukan sekiranya diarahkan.

Tika dan saat ini, saya cuba menikmati sepenuhnya luang waktu yang ada. Alhamdulillah…