Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, November 5, 2009

Pelbagai Kisah

KONVOKESYEN

31 Oktober 2009. Saya mengambil cuti pada 30 Oktober 2009 (Jumaat) kerana keluarga saya akan datang berkumpul untuk menghadiri majlis konvokesyen terakhir dalam adik-beradik saya. Ini merupakan konvokesyen adik bongsu saya yang dipanggil PakSoo. Konvokesyen seterusnya dalam keluarga kami mungkin hanya akan berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi kerana anak saudara sulung baru berusia 13 tahun.

Dalam kegembiraan meraikan kejayaan adik saya merangkul segulung ijazah, saya terpandang satu situasi yang sungguh menyentuh hati. Mungkin pada kami konvokesyen adalah satu majlis yang biasa diraikan kerana 7 orang daripada 8 adik-beradik saya sudah melaluinya. Saya melihat sepasang ibu bapa yang sudah lanjut usia memeluk dan mencium anak lelaki mereka sesungguh hati menampakkan perasaan bangga dan terharu dengan kejayaan anak mereka. Dalam kepala, saya membayangkan mereka datang dari latar belakang kampung dan hidup dalam kepayahan seperti kami suatu waktu dahulu. Mungkin juga anak lelaki itu merupakan satu-satunya anak yang berjaya sampai ke menara gading. Segalanya berkemungkinan. Yang nyata, hati saya cukup tersentuh dengan peristiwa tersebut. Entah kenapa saya merasa sebak dan kolam air mata bertakung melihat kegembiraan yang terpapar di kedua-dua wajah tua itu. Malah rasanya jauh lebih berusia dari abah dan ummi saya.

KAMBING

Usai konvokesyen, kami berhajat memenuhi hasrat abah untuk mendapatkan baka kambing di salah sebuah tempat di Sungai Buloh. Perjalanan ternyata sungguh mencabar dan memenatkan. Ternyata tempat tersebut tidak seindah yang dikhabarkan malah harga yang ditawarkan juga agak tinggi. Abah membatalkan hasrat membeli baka di situ sebaliknya bercadang mengalihkan pencarian ke kawasan Pahang pula nanti.

MAKAN-MAKAN

Seharian mengikuti operasi mencari kambing cukup memenatkan. Kami tiba di rumah di Keramat lebih kurang jam 6.00 petang. Agenda seterusnya mendapatkan bahan-bahan untuk acara makan-makan merangkap housewarming serta kesyukuran atas kejayaan adik pada keesokan harinya. Kebetulan abang sulung yang bekerja di Tripoly, Libya juga turut serta kerana pulang bercuti.

Selesai solat Isyak, saya dan adik beserta ummi bertolak menuju ke sebuah hypermarket di Wangsa Maju. Walaupun kepenatan, kami gagahkan juga kerana rancangan makan-makan mesti dijayakan berikutan jemputan telah dibuat kepada jiran-jiran dan rakan-rakan sepejabat. Kami menjangkakan jumlah tetamu yang akan hadir sekitar 100 orang.

Aktiviti memborong bahan-bahan mentah tamat sekitar jam 11.00 malam dan badan kami sudah terlalu penat. Jika diikutkan hati, mahu sahaja masuk beradu untuk merehatkan badan. Cabaran cukup kuat kerana persiapan untuk menyediakan juadah masih belum dimulakan. Tiba di rumah jam 11.30 malam, kami terus bertungkus-lumus menyediakan apa yang patut. Saya dengan aktiviti membersihkan sotong untuk dibuat ketupat sotong, ummi dengan persiapan membuat nasi dagang dan adik perempuan sibuk dengan bahan-bahan menyediakan bihun sup. Kami gagahkan diri juga melakukannya kerana bimbang tidak sempat pada keesokan harinya. Akhirnya kami tidur pada jam 3.00 pagi.

1 November 2009. Azan subuh sayup berkumandang. Badan terasa sungguh letih tetapi kami perlu bangun meneruskan persiapan yang terhenti sebelum ini. Ummi adalah orang yang paling sibuk dan saya merasa amat terharu dengan kesungguhan ummi berusaha menjayakan acara makan-makan yang kami rencanakan. Acara dijangka bermula jam 12.00 tengah hari. Dalam saat-saat kritikal begini, jarum jam terasa amat laju berlalu sedangkan persiapan masih belum sempurna. Mujurlah abang-abang dan kakak-kakak ipar turut sama ringan tulang membantu. Rasanya jika hanya mengharapkan kami sahaja, sudah pasti tidak terdaya untuk melakukannya. Seperti dijangka, tetamu pertama iaitu sepasang suami isteri yang merupakan jiran kami tiba seawal jam 12.30 tengah hari. Alhamdulillah hidangan berjaya disediakan walaupun dalam keadaan kelam-kabut. Saya terkilan kerana tidak sempat merakam gambar-gambar hidangan yang disediakan kerana kalut melayan kehadiran tetamu. Ternyata jemputan yang datang melebihi jangkaan kami sehingga mencecah 200 orang. Mujurlah abah dan ummi bijak mencongak keperluan hidangan yang perlu disediakan. Menu utama adalah nasi dagang, bihun sup dan ketupat sotong. Beberapa hidangan lain juga disediakan termasuk 700 cucuk sate ayam, kek coklat dan kuih-muih.

Saya agak terkejut juga dengan kehadiran jemputan terutama jiran-jiran kerana jemputan dibuat pada saat akhir. Sekurang-kurangnya majlis yang diadakan dapat merungkai persoalan di kalangan jiran-jiran tentang kedudukan kami. Paling lucu, ada yang menyangka kami bersekedudukan kerana melihat kami berempat, 2 lelaki dan 2 perempuan. Rupa-rupanya mereka memerhati gerak-geri kami dari jauh. Setelah kami terangkan bahawa kami adalah adik-beradik, barulah mereka faham.

Acara makan-makan tamat jam 9.00 malam kerana ada yang tidak dapat hadir pada waktu siang. Saya menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka kerana tetamu datang membawa rahmat ke dalam rumah kami. Biar pun keletihan, keseronokan melihat tetamu menjamu selera mampu mengatasinya. Malam itu juga saya kemaskan rumah yang kelihatan seperti tongkang pecah dikerjakan oleh para tetamu terutama kanak-kanak termasuk anak-anak saudara sendiri.

Apapun, saya gembira kerana matlamat kami mengadakan rumah terbuka tercapai.

ANGIN PERUBAHAN

Minggu ini secara rasmi saya mendapat bos baru selepas bos lama dinaikkan pangkat dan bertukar ke bahagian lain. Saya tidak pasti sama ada saya seronok dengan keadaan baru ini atau tidak walaupun tidak dapat dinafikan, sudah sekian lama perubahan ini dinantikan. Saya positif kerana suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, perubahan tetap datang. Berubah atau bersedia untuk diubah. Saya cuba bersedia untuk berhadapan dengan keadaan baru ini dan berdoa agar perubahan adalah ke arah yang lebih baik. Masih terlalu awal juga sebenarnya untuk menentukan sama ada perubahan ini adalah yang terbaik atau sebaliknya. Tunggu dan lihat.

AJAL MAUT

4 November 2009. Saya menerima khabar dari seorang teman memaklumkan keadaan seorang teman seangkatan yang kini kritikal di Hospital Sungai Buloh. Saya sebenarnya sudah mengetahui keadaan yang menimpa beliau yang ditemui selepas pengsan selama 3 hari di rumah. Dia segera dihantar oleh rakan sepejabat yang prihatin dengan ketidakhadiran beliau dan digegaskan ke Hospital Putrajaya. Dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur berikutan penyakit yang dihidapi beliau tidak dapat dikenalpasti oleh doktor di Hospital Putrajaya. Saya dimaklumkan keadaan beliau telah beransur pulih sewaktu di HKL dan menampakkan tanda-tanda untuk pulih. Sangka saya, kisah itu tamat di situ dan kawan saya itu akan dibenarkan keluar dari hospital dan berehat sebelum kembali menjalankan tugas. Sangkaan saya ternyata meleset. Saya menerima berita beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan daripada pakar untuk mengesan penyakit sebenar beliau. Sehari kemudian keadaan beliau bertambah merosot dan koma. Saya nekad untuk menemui beliau dan bertolak ke situ bersama 2 orang rakan. Hanya Allah yang tahu perasaan saya saat itu. Imbauan ketika menziarah arwah Monaliza pada tahun lepas kembali menyelubungi diri saya dan seolah-olah tidak percaya sekujur tubuh yang terbaring lesu dan bernafas dengan bantuan mesin adalah milik seorang yang dipanggil kawan. Saat itu saya insaf. Sungguh hidup ini hanya persinggahan sementara yang jauh dari kekal abadi. Saya insaf bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati termasuk diri saya sendiri. Meskipun kawan saya ini bukan beragama Islam, kasih sayang seorang kawan dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri tidak menghalang saya dari berharap agar dia dikuatkan semangat. Saya tidak dapat menahan pilu melihat ibu beliau yang begitu tabah berada di sisi melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan dibesarkan sehingga menjadi harapan keluarga kini terbaring menunggu saat dijemput kembali kepada Penciptanya.

Saya tinggalkan beliau dengan perasaan berkecamuk. Semalam tepat jam 3.30 petang, beliau kembali kepada Yang Maha Pencipta selepas keluarga beliau bersetuju membenarkan doktor memberhentikan penggunaan mesin bantuan hayat kerana otak belia sudah diisytiharkan mati. Pergilah seorang kawan yang saya kenali sebagai seorang yang baik dan berhemah tinggi. Moga dia tenang di sana, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

No comments: