Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, November 22, 2009

AL-HIJAMAH

Bismillahirrahmanirrahim…

Sudah lama sebenarnya saya berhajat untuk melakukan Al-Hijamah atau lebih dikenali bekam di kalangan orang Melayu khususnya. Akhirnya hari ini saya melakukannya tanpa dirancang apabila berkunjung ke sebuah hypermarket di Batu Caves. Tujuan saya ke situ sebenarnya lain tetapi apabila mendapati khidmat bekam ada disediakan di situ, saya terus memutuskan untuk melakukannya. Sebelum ini saya telah mendapatkan maklumat di Internet tentang kelebihan dan manfaat bekam. Lantas saya berhasrat untuk mencubanya sebagai salah satu jalan tawakal untuk menjaga kesihatan. Tambahan pula akhir-akhir ini saya dapati badan saya cepat lenguh-lenguh walaupun hanya duduk di kerusi. Saya bukannya jenis yang tahu duduk diam, justeru kesihatan sememangnya menjadi keutamaan saya. Dalam masa yang sama, saya juga telah mula mengamalkan satu produk minuman kesihatan untuk membersihkan usus perut.

[Gambar di atas bukan gambar saya tapi ihsan dari sebuah blog tentang bekam. Memualkan melihat tompokan darah tersebut]

Cuak memang cuak apabila memasuki ruang rawatan, tambahan kedudukan ruang rawatan yang berada di ruang legar hypermarket sahaja tetapi ditutup rapi. Oleh kerana saya sudah nekad untuk melakukannya, saya teruskan juga rawatan di ruang itu walaupun sebenarnya risau juga jika diintip. Huhu. Proses bekam dimulakan dengan urutan untuk menentukan tempat-tempat yang bermasalah dan perlu dibekam. Memang sakit tetapi terpaksa ditahan kerana itu menandakan badan saya banyak angin.

Tengok saiz badanlah,” gurau saya kepada wanita tersebut apabila diberitahu badan saya banyak angin sehingga menghalang aliran darah dalam badan.

Selesai urutan, proses bekam dimulakan dengan menggunakan cawan kaca yang divakum ke atas tempat-tempat yang telah ditandakan. Pada awalnya saya mengeluh juga menahan kesakitan tetapi apabila fasa pertama selesai, saya sudah dapat membiasakan diri dengan rasa ngilu dan sakit tersebut lalu saya diamkan diri sahaja. Malah saya disuruh oleh wanita tersebut untuk berselawat sepanjang proses bekam tersebut. Hampir 20 minit berlalu, wanita tersebut mula membersihkan darah-darah yang keluar dari badan saya dan ditunjukkan kepada saya kekotoran tersebut satu persatu. Lama kelamaan saya pula naik mual melihat darah sendiri dan saya beritahu wanita tersebut agar tidak menunjukkannya kepada saya lagi.

Proses keseluruhan selesai dalam tempoh setengah jam dan saya akui memang saya dapat merasakan perbezaan sebelum dan selepas berbekam. Badan saya terasa lebih ringan dan selesa berbanding sebelum ini, saya merasakan badan lesu dan letih walaupun melakukan aktiviti ringan. Malah kepala pun terasa lebih ringan kerana sebelum ini saya sering pening-pening. Harganya? RM15 secawan dan saya menggunakan 10 cawan. Jumlah? Memang agak mahal tetapi berbaloi rasanya apabila difikir-fikirkan balik. Kalau untuk servis kereta saya sanggup membayar beratus-ratus ringgit, takkan untuk ‘servis’ badan sendiri saya tidak sanggup membayarnya. Cumanya selepas ini saya perlu mencari tempat lain yang menawarkan harga lebih murah kerana saya bercadang melakukannya setiap bulan sehingga saya berpuas hati.

Antara kebaikan dan manfaat berbekam yang saya temui daripada Internet adalah:

1. Membuang angin dalam badan;
2. Menghilang kesakitan dan lenguh-lenguh badan;
3. Melancarkan peredaran darah;
4. Membetulkan urat saraf yang tersumbat; dan
5. Membuang racun / toksik dalam badan.

Malam ini jam 11.30 malam adik lelaki saya akan tiba dari Kuching, Sarawak. Nampak gayanya saya yang akan mengambil dia kerana adik-adik yang lain tiada di rumah. Saya jangka untuk bertolak daripada rumah pada jam 11.00 malam. Kemudian perlu ke Shah Alam pula kerana kawan dia ingin menumpang. Aduhai adikku oh adikku! Mulanya saya pening juga apabila memikirkan perjalanan yang agak jauh dan memenatkan, penggunaan minyak petrol serta tambahan pula esok adalah hari bekerja tetapi apabila segalanya disandarkan pada Allah, saya redha, mungkin ada hikmah di sebalik semua aturan-Nya ini. Saya ambil pendekatan agar jangan terlalu memikirkan semua itu, sebaliknya fikirkan dari sudut tanggungjawab sebagai seorang kakak dan sesama manusia. Semoga apabila ada ahli keluarga saya yang memerlukan bantuan, akan ada pihak yang dengan ikhlas akan sudi membantu jua.

Friday, November 20, 2009

Hikmah Pagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini sungguh indah. Saya bersolat subuh di pejabat buat pertama kali sepanjang berada dalam perkhidmatan. :)

Puncanya, pagi ini saya menghantar adik lelaki yang perlu menaiki penerbangan jam 7.10 pagi ke Kuching, Sarawak. Seawal jam 5.15 pagi kami sudah bertolak dari rumah. Alhamdulillah mudah pula saya bangun awal iaitu jam 4.30 pagi hari ini. Bukan bermaksud saya sukar bangun pagi tapi hari ini terlebih awal daripada biasa. Hehe.

Seronok sebenarnya meredah kesejukan pagi kerana jumlah kenderaan yang masih berkurangan berbanding pada waktu-waktu puncak. Perjalanan kami Alhamdulillah lancar dan selamat tiba di LCCT jam 6.15 pagi. Tanpa berlengah, saya terus menuju ke pejabat kerana belum menunaikan solat.

Seperti dijangka, saya menjadi orang pertama yang tiba di pejabat dan ternyata menjadi pembuka pintu. Sewaktu saya mendapatkan kunci daripada kaunter pengawal, berlaku satu insiden yang kurang menyenangkan dan mood saya hampir rosak disebabkan insiden itu. Mujur saya cepat tersedar dari terpedaya dengan hasutan syaitan dan selubung emosi. Apa tidaknya, pengawal tersebut hanya mencampakkan sahaja kunci tersebut kepada saya dengan muka yang masam sedangkan saya sudah bertanya dengan cara yang baik dan senyum kepada beliau. Saya sungguh terperanjat dengan perbuatan pengawal tersebut dan serta-merta saya memberikan reaksi yang menunjukkan saya kurang senang dengan tingkah beliau.

Amboi main campak-campak je,” terpacul ayat tersebut dari mulut saya sambil memandang wajah beliau yang masih masam.

Dengan perasaan kurang senang saya beredar dari situ kerana memikirkan ada tanggungjawab yang masih belum dilunaskan kepada-Nya sedangkan waktu semakin beransur pergi. Sambil memandu ke ruang tempat letak kereta, saya berfikir untuk melaporkan insiden tersebut kepada bahagian bertanggungjawab agar mengambil tindakan kepada pengawal tersebut malah tadi saya sempat menjeling nama beliau.

AllahuAkbar! Saya diilhamkan dengan kisah Rasulullah yang menerima layanan buruk saat ingin mendapatkan bantuan daripada penduduk Taif. Baginda telah dibaling dengan batu dan diejek oleh mereka serta menghalau baginda dan sahabat. Sebegitu teruk Baginda dilayan tetapi Baginda tidak membalas sebaliknya berdoa agar Allah tidak menurunkan bala kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Saya kembali terbangun dari lamunan emosi dan hampir terpedaya dengan bisikan syaitan. Astaghfirullah! Sepantas itu saya terlena dengan hiasan dunia, kedudukan yang dikurniakan Allah kepada saya.

Saya kembali memperbetulkan fikiran saya saat itu dengan mendoakan agar pengawal tersebut tidak memperlakukan perkara yang sama kepada orang lain. Mungkin juga beliau sedang berada dalam kerungsingan lantas bertindak di luar sedar dan tidak menyangka tindakan tersebut agak melampaui batas. Mungkin juga apa yang berlaku adalah satu peringatan kepada saya bahawa sepertimana saya merasa kurang senang dengan tindakan sebegitu daripada manusia, bayangkanlah perasaan kurang senang Allah Taala pula kepada saya kerana berbuat perkara yang tidak disukai-Nya. Saya akui saya bukan maksum malah sering jua terbabas dalam landasan kehidupan ini. Moga saya diampunkan-Nya kerana berfikiran negatif kepada pengawal tersebut sebentar tadi.

Sebaik mematikan enjin kenderaan, saya terus bergegas menunaikan kewajipan dengan seberapa segera kerana bimbang kehabisan waktu. Sungguh tenang dan damai saya rasakan pagi ini dengan kedinginan yang mencengkam tulang temulang. Sempat juga saya isi waktu dengan sedikit bacaan Al-Quran kerana agak lama juga saya mengabaikannya kerana keletihan setiap kali tiba di rumah. Ya Allah, sesungguhnya Qada’ dan Qadar-Mu pada pagi ini ada hikmahnya. Meskipun agak berat juga terpaksa bangun awal pada mulanya, saya insaf bahawa ada pengajaran yang ingin disampaikan oleh-Mu kepada hamba-Mu yang kerdil ini. Alhamdulillah...
Sekadar berpesan kepada diri sendiri:

menunduklah,
kerna engkau tidak punya apa-apa,
melainkan Allah yang menjadikan engkau sesiapa.

menunduklah ,
kerana engkau bukan teman iblis,
yang begitu akur dan sombong, padahal yang menyuruh adalah Allah.

menunduklah,
jangan meninggi, kerana engkau dari air mani yang hina.

menunduklah,
kerana kemulian dan ketinggian itu dari Allah...

Monday, November 16, 2009

INILAH DUNIA

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya menerima khabar yang membuatkan saya keliru apa yang patut saya rasa. Pelik pun ada kerana tidak disangka saat saya sudah tidak lagi menyimpan dendam atau sakit hati pada insan yang pernah tidak sehaluan dengan saya dalam kerjaya, ‘dia’ masih lagi menyusun agenda di belakang saya untuk mengenakan saya. Mujurlah masih ada insan-insan yang berhati mulia yang tidak sampai hati melihat saya diperlakukan sedemikian rupa memberitahu agar saya berhati-hati dan bersedia dengan ‘serangan’ yang bakal dialami. Saya cuba melupakan kisah hitam yang pernah menyelubungi kami dengan azam untuk memulakan fasa baru tapi nampaknya hanya saya yang berfikiran begitu tetapi ‘dia’ ternyata masih menyimpan dendam pada saya. Serta-merta hasrat saya untuk berdamai dan berbaik-baik dengan ‘dia’ terpaksa saya lupakan. Nampaknya menjauhi ‘dia’ adalah lebih baik kerana ternyata berbaik-baik dengan ‘dia’ akan lebih memburukkan keadaan dan membawa kemudaratan kepada diri sendiri.

Kekuatan saya adalah kerana yakin pada janji Allah bahawa yang hak akan tetap menang. Saya menganggap kehadiran ‘dia’ adalah sebagai salah satu bentuk-bentuk ujian untuk menguji ketahanan saya dalam mengharungi dunia pekerjaan ini. Saya percaya watak-watak ini akan ada di mana-mana jua saya bertugas. Yang penting, saya kuat menghadapinya dan tidak mudah tewas dengan cabaran-cabaran yang datang. Saya juga yakin akan sentiasa ada insan-insan berhati mulia yang sanggup membantu dan menyelamatkan saya jika kita yakin berada di jalan yang benar. Kata orang, no pain no gain.

Kadang-kadang saya hairan dan pelik dengan orang-orang yang tidak boleh melihat orang lain jauh lebih berjaya, lebih baik, mendapat lebih penghargaan daripada mereka. Mengapakah rasa iri hati dan hasad itu tidak diterjemahkan kepada kesungguhan untuk bersaing dengan cara yang positif? Bukankah itu lebih baik? Bukankah itu akan membawa kebaikan kepada semua pihak?

Apapun, saya optimis dalam meneruskan kerjaya ini meski saya cukup yakin ranjaunya juga akan semakin mengganas. Yakin, Allah bersama orang-orang yang benar dan sabar.

Friday, November 13, 2009

PEMIMPIN

Bismillahirrahmanirrahim...

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya dengan kepemimpinannya”

Pemimpin mesti dekat dengan hati pengikutnya. Dipercayai lebih penting dan utama daripada ditakuti. Itu prinsip saya sejak dulu. Saya selalu percaya pengikut akan mudah menurut arahan dan kata pemimpin yang mereka percayai. Justeru, adalah sangat penting meletakkan kepercayaan dalam diri setiap pengikut apabila berurusan. Namun begitu, saya teringat akan jawapan Saiyidina Ali R.A yang apabila ditanya oleh pengikut beliau berkenaan suasana pemerintahan beliau yang penuh dengan peperangan dan persengketaan berbanding pemerintahan 3 khalifah terdahulu.

Beliau menjawab,”Pada zaman khalifah terdahulu, pengikut mereka baik dan beriman sedangkan pada zaman aku, pengikutku adalah sebaliknya.”

Saya berpendapat jawapan beliau adalah bukan bermaksud bahawa pengikut beliau tidak baik dan kurang beriman sebaliknya itulah cabaran dalam memegang status pemimpin. Tidak mudah menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi baik yang berskala kecil mahu pun besar. Apatah lagi cabaran bagi seorang pemimpin dalam mentadbir sebuah negara. Cabaran berdepan dengan pelbagai kerenah manusia kekadang boleh melemahkan semangat seorang pemimpin tetapi kesedaran dan keinsafan akan tanggungjawab itu adalah amanah Allah mampu mengembalikan semula semangat tersebut. Pada akhirnya, kebergantungan kepada Allah jua yang memberi jaminan abadi.

Apabila saya menyebut pemimpin, saya akan diaju pula dengan soalan, apakah bezanya dengan pengurus.

Kepimpinan melalui teladan. Saya tidak pernah mendengar istilah pengurusan melalui teladan. Justeru, saya lebih suka mengistilahkan diri saya sebagai pemimpin berbanding pengurus kerana pemimpin adalah lebih aula atau utama peranannya berbanding pengurus. Namun begitu, dalam masa yang sama, saya juga tidak menafikan pemimpin yang cemerlang mestilah juga berperanan sebagai pengurus yang baik.

Hari ini daya kepemimpinan saya teruji. Saya positif menghadapinya walaupun pada mulanya saya agak kurang senang dengan situasi tersebut. Satu sikap dalam diri yang sukar saya kawal adalah sensitif. Ya benar, saya seorang yang sensitif. Saya sensitif apabila ada orang yang mengambil kesempatan atas kelonggaran dan keistimewaan yang saya berikan. Saya sensitif apabila ada orang yang mengambil ringan kepada arahan yang saya berikan. Saya sensitif apabila ada orang yang menyerahkan tugasan yang diberikan kepadanya kepada orang lain. Saya sensitif apabila tugasan yang diberikan tidak dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan ketelitian. Saya sensitif apabila daya kepemimpinan saya seolah dicabar.

Pemimpin harus rasional dan tidak mengikut emosi. Saya segera mendiamkan diri dan berwuduk. Bertafakkur mencari ruang andai kesilapan berpunca daripada saya. Saya bukan pemimpin yang sempurna. Masih ada ruang-ruang yang perlu kepada pengisian yang menghidupkan jiwa pemimpin dalam diri saya. Saya berteka-teki sama ada untuk membiarkan sahaja rasa kurang senang tersebut dan berharap masa akan menyembuhkannya.

Usai solat Zohor, saya memutuskan untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai pemimpin. Kesilapan harus diperbetulkan agar tidak berulang pada masa hadapan. Saya gagal sebagai pemimpin jika saya terus membiarkan pengikut berada dalam keadaan selesa tanpa mereka sedar bahawa apa yang telah dilakukan adalah satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Soal sama ada mereka sengaja atau tidak sengaja sudah menjadi perkara nombor 2, yang pasti peranan saya harus digerakkan dan diletakkan pada tempatnya. Saya harus adil kepada mereka yang benar-benar komited dalam menjalankan tugas. Saya berdoa pada Allah semoga kata-kata yang terbit daripada mulut saya adalah kata-kata yang baik yang mampu memberi kesan kepada pengikut dalam cara yang positif. Saya berdoa agar kata-kata dan teguran saya tidak disalah anggap oleh pengikut.

Akhirnya, saya bertemu wajah dengan pengikut dan saya luahkan apa yang saya rasa kepada pengikut dengan penuh keikhlasan. Saya tegur kesilapan yang telah dilakukan agar tidak diulangi dan berharap agar setiap teguran saya diambil berat bukan sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja.

Saya terangkan juga kepada pengikut bahawa saya ini bukanlah pemimpin yang sempurna dan dia juga bukanlah pengikut yang sempurna. Apa yang menjadikan hubungan pemimpin dan pengikut sempurna adalah kerjasama yang wujud antara keduanya dalam menjalankan peranan masing-masing. Justeru, benarlah pesan Baginda Rasulullah S.A.W,

“Setiap mukmin kepada mukmin yang lain adalah seumpama sebuah bangunan. Mereka saling menyokong antara satu sama lain.”

Begitu sebuah organisasi diumpamakan iaitu dalam memastikan kelancaran perjalanannya adalah bukan terletak atas bahu seseorang individu sahaja bahkan lebih dari itu. Ia memerlukan komitmen dan sumbangan dari setiap rantaian jawatan yang wujud di dalamnya berjalan dan bergerak dengan penuh rasa kesedaran dan berintegriti.

Saya berdoa pada Allah agar kata-kata saya dapat diterima oleh pengikut saya kerana pada akhirnya yang menentukan sama ada kata-kata itu difahami dan diamalkan adalah Allah jua. Saya hanya mampu berusaha sedaya mampu sebagai pemegang amanah jawatan dalam sebuah seksyen.

Wallahua’lam.

Tuesday, November 10, 2009

TALAM

Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Hati manusia sukar ditelah. Lain di hati, lain di mulut. Lain di hadapan, lain di belakang. Mulut manis di hadapan kita tetapi memburuk-burukkan kita di belakang kita. Memang perit untuk menghadapi orang-orang begini terutama dalam kerjaya seharian. Apapun itu lah lumrah kehidupan, penuh dengan pelbagai kerenah manusia yang sukar diteka isi hati mereka. Mereka umpama talam dua muka. Sanggup mengkhianati rakan sendiri demi menyelamatkan diri sendiri seperti enau dalam belukar.

Hari ini saya diuji dengan wajah-wajah manusia sebegitu rupa. Meski bunga yang kita tabur, najis jua yang dipalitkan kembali. Sukar, memang sukar tapi saya tidak boleh beralah. Kerja saya adalah ibadah saya. Semangat tak luntur dek kritikan dan komen yang membunuh seluruh jiwa raga kerana apa yang membunuh itu mampu menguatkan diri sebenarnya. Umpama besi yang semakin dibakar, semakin kental jadinya apabila menjadi sejuk. Meskipun cair apabila dibakar dan membentuk mengikut acuan tidak bermakna besi menjadi lemah malah semakin utuh dan padat.

Saya umpamakan apa jua rintangan mendatang dalam melaksanakan tanggungjawab ini adalah ‘penguat semangat’ untuk saya lebih tabah dan kuat menempuh alam pekerjaan dan seterusnya kehidupan ini.

Apa jua yang berlaku merupakan satu pelajaran baru kepada saya untuk lebih mengenali watak-watak manusia yang wujud di sekeliling saya. Ia juga mengajar saya untuk lebih berwaspada dengan tingkah manusia yang hanya manis di bibir tetapi sanggup menikam dari belakang apabila berpeluang. Pedih, memang pedih.

Doa saya moga saya tidak melakukan perkara yang sama kepada insan-insan di sekeliling saya sepertimana yang diperlakukan kepada saya. Saya ada Allah sebagai penguat semangat dan janji Allah, Dia bersama-sama orang benar dan sabar. Hanya Dia Yang Maha Memberi.

Saturday, November 7, 2009

TOLABUL ‘ILMI

Bismillahirrahmanirrahim

“Tuntutlah ilmu walau sampai ke Negara China”

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga liang lahad”

Memegang prinsip tersebut, saya bersemangat pada hari ini untuk menghadiri kelas pengajian Syariah di Universiti Malaya. Seawal jam 1.45 petang saya sudah bertolak dari rumah melalui DUKE walaupun kelas akan bermula pada jam 3.00 petang. Sebenarnya ini merupakan kelas untuk minggu kedua tetapi saya gagal menghadirkan diri pada minggu lepas kerana menghadiri majlis konvokesyen adik di UNISEL. Walaupun memang jelas saya merasa ralat atas ketidakhadiran tersebut, itulah hidup. Kita hanya mampu merancang, Dia jua menentukan. Apapun, saya bersyukur kerana hari ini berjaya menghadirkan diri malah terasa sungguh bertuah dapat berada dalam majlis ilmu ini kerana ternyata begitu banyak ilmu yang belum saya pelajari. Terasa sungguh kerdil dan jahil sekali bergelar seorang Muslim kerana masih banyak ilmu yang belum digali dan dipelajari untuk dijadikan bekal menempuh hidup ini.

Saya memilih pengajian Syarih selepas mendapatkan pandangan seorang sahabat yang jauh lebih arif dalam soal agama. Walaupun saya berlatarbelakang sekolah agama, ternyata saya belum arif dalam soal hukum-hakam agama dan sungguh banyak yang perlu saya pelajari. Sebelum ini saya pernah mendaftarkan diri untuk kelas yang sama kira-kira 2 tahun yang lalu, tetapi atas faktor-faktor yang saya sendiri sudah lupa, saya gagal beristiqamah menghadirkan diri. Lantas keputusan saya pada kali ini saya buat setelah saya nekad untuk meluangkan masa melengkapkan diri dengan ilmu agama walaupun terbeban dengan kerja yang tidak pernah habis. Saya perlu mengagahkan diri memastikan masa diurus dengan baik untuk perkara-perkara lain selain kerja termasuk masa bersama keluarga. Tidak dapat dinafikan saya memang seorang yang jenis gila kerja tetapi saya fikir sampai bila saya harus mengabdikan diri kepada kerja sahaja. Kerja tidak akan pernah habis sehingga saat maut datang menjemput. Justeru, sebelum saat itu tiba, saya ingin memperlengkapkan diri dengan amalan-amalan yang seimbang dan dituntut syariat. Saya enggan terus tenggelam dalam lautan dunia pekerjaan sehingga mengabaikan perkara-perkara pokok yang sama penting kepada kehidupan saya.

Teringat saya kepada kata-kata yang diucapkan oleh seorang ustaz di dalam radio IKIM.FM baru-baru ini semasa dalam perjalanan ke tempat kerja iaitu beliau berpesan ‘jangan kita terlalu asyik mengejar kejayaan atau wang sehingga tanpa kita sedari berlaku kes langgar lari. Lebih menyayatkan hati apabila kita lihat mangsa-mangsa langgar lari tersebut adalah diri kita sendiri, ahli keluarga, kesihatan diri sendiri dan pelbagai perkara pokok yang sepatutnya kita utamakan.’

Saya merenung jauh kata-kata beliau dan merasakan masanya sudah tiba untuk saya berubah atau lebih tepat melakukan penghijrahan. Saya sudah terlalu hanyut dalam dunia ciptaan sendiri sehingga kadang-kadang saya hilang jati diri sendiri. Saya perlu kembali mendekatkan diri kepadaNya. Saya mungkin merasakan saya dekat padaNya selama ini tetapi hakikatnya saya semakin menjauh. Nauzubillah. Mengikuti kelas pengajian setiap hari Sabtu pada setiap minggu merupakan langkah awal untuk merealisasikan hasrat saya kembali mendekatiNya.

Masanya sudah tiba untuk saya memikirkan dengan mendalam tentang kehidupan abadi yang akan saya lalui kelak. Sudah bersediakan saya menghadapi saat itu? Cukupkah amalan yang saya perlakukan selama ini? Malu rasanya untuk mengatakan ya...

Semalam saya menerima berita angin perubahan akan melanda kami dalam masa terdekat. Saya pasrah dan yakin bahawa apa jua yang berlaku pasti ada hikmahnya dan demi kebaikan bersama. Berubah atau bersedia untuk diubah. Segalanya berkemungkinan.

Hajatnya pagi esok ingin keluar berjogging bersama adik-adik ke sebuah taman yang terletak tidak jauh dari rumah. Risau juga selepas mengikuti ujian kesihatan baru-baru ini. Walau pun bersyukur tekanan darah dan denyutan jantung saya normal tetapi kadar kolesterol saya perlu diawasi kerana sudah memasuki paras berjaga-jaga. Begitu juga dengan pemakanan kerana pemeriksaan air kencing menunjukkan sudah ada tanda-tanda ‘gangguan’ pada buah pinggang saya. Mencegah lebih baik dari merawat.

Thursday, November 5, 2009

Pelbagai Kisah

KONVOKESYEN

31 Oktober 2009. Saya mengambil cuti pada 30 Oktober 2009 (Jumaat) kerana keluarga saya akan datang berkumpul untuk menghadiri majlis konvokesyen terakhir dalam adik-beradik saya. Ini merupakan konvokesyen adik bongsu saya yang dipanggil PakSoo. Konvokesyen seterusnya dalam keluarga kami mungkin hanya akan berlaku dalam tempoh 10 tahun lagi kerana anak saudara sulung baru berusia 13 tahun.

Dalam kegembiraan meraikan kejayaan adik saya merangkul segulung ijazah, saya terpandang satu situasi yang sungguh menyentuh hati. Mungkin pada kami konvokesyen adalah satu majlis yang biasa diraikan kerana 7 orang daripada 8 adik-beradik saya sudah melaluinya. Saya melihat sepasang ibu bapa yang sudah lanjut usia memeluk dan mencium anak lelaki mereka sesungguh hati menampakkan perasaan bangga dan terharu dengan kejayaan anak mereka. Dalam kepala, saya membayangkan mereka datang dari latar belakang kampung dan hidup dalam kepayahan seperti kami suatu waktu dahulu. Mungkin juga anak lelaki itu merupakan satu-satunya anak yang berjaya sampai ke menara gading. Segalanya berkemungkinan. Yang nyata, hati saya cukup tersentuh dengan peristiwa tersebut. Entah kenapa saya merasa sebak dan kolam air mata bertakung melihat kegembiraan yang terpapar di kedua-dua wajah tua itu. Malah rasanya jauh lebih berusia dari abah dan ummi saya.

KAMBING

Usai konvokesyen, kami berhajat memenuhi hasrat abah untuk mendapatkan baka kambing di salah sebuah tempat di Sungai Buloh. Perjalanan ternyata sungguh mencabar dan memenatkan. Ternyata tempat tersebut tidak seindah yang dikhabarkan malah harga yang ditawarkan juga agak tinggi. Abah membatalkan hasrat membeli baka di situ sebaliknya bercadang mengalihkan pencarian ke kawasan Pahang pula nanti.

MAKAN-MAKAN

Seharian mengikuti operasi mencari kambing cukup memenatkan. Kami tiba di rumah di Keramat lebih kurang jam 6.00 petang. Agenda seterusnya mendapatkan bahan-bahan untuk acara makan-makan merangkap housewarming serta kesyukuran atas kejayaan adik pada keesokan harinya. Kebetulan abang sulung yang bekerja di Tripoly, Libya juga turut serta kerana pulang bercuti.

Selesai solat Isyak, saya dan adik beserta ummi bertolak menuju ke sebuah hypermarket di Wangsa Maju. Walaupun kepenatan, kami gagahkan juga kerana rancangan makan-makan mesti dijayakan berikutan jemputan telah dibuat kepada jiran-jiran dan rakan-rakan sepejabat. Kami menjangkakan jumlah tetamu yang akan hadir sekitar 100 orang.

Aktiviti memborong bahan-bahan mentah tamat sekitar jam 11.00 malam dan badan kami sudah terlalu penat. Jika diikutkan hati, mahu sahaja masuk beradu untuk merehatkan badan. Cabaran cukup kuat kerana persiapan untuk menyediakan juadah masih belum dimulakan. Tiba di rumah jam 11.30 malam, kami terus bertungkus-lumus menyediakan apa yang patut. Saya dengan aktiviti membersihkan sotong untuk dibuat ketupat sotong, ummi dengan persiapan membuat nasi dagang dan adik perempuan sibuk dengan bahan-bahan menyediakan bihun sup. Kami gagahkan diri juga melakukannya kerana bimbang tidak sempat pada keesokan harinya. Akhirnya kami tidur pada jam 3.00 pagi.

1 November 2009. Azan subuh sayup berkumandang. Badan terasa sungguh letih tetapi kami perlu bangun meneruskan persiapan yang terhenti sebelum ini. Ummi adalah orang yang paling sibuk dan saya merasa amat terharu dengan kesungguhan ummi berusaha menjayakan acara makan-makan yang kami rencanakan. Acara dijangka bermula jam 12.00 tengah hari. Dalam saat-saat kritikal begini, jarum jam terasa amat laju berlalu sedangkan persiapan masih belum sempurna. Mujurlah abang-abang dan kakak-kakak ipar turut sama ringan tulang membantu. Rasanya jika hanya mengharapkan kami sahaja, sudah pasti tidak terdaya untuk melakukannya. Seperti dijangka, tetamu pertama iaitu sepasang suami isteri yang merupakan jiran kami tiba seawal jam 12.30 tengah hari. Alhamdulillah hidangan berjaya disediakan walaupun dalam keadaan kelam-kabut. Saya terkilan kerana tidak sempat merakam gambar-gambar hidangan yang disediakan kerana kalut melayan kehadiran tetamu. Ternyata jemputan yang datang melebihi jangkaan kami sehingga mencecah 200 orang. Mujurlah abah dan ummi bijak mencongak keperluan hidangan yang perlu disediakan. Menu utama adalah nasi dagang, bihun sup dan ketupat sotong. Beberapa hidangan lain juga disediakan termasuk 700 cucuk sate ayam, kek coklat dan kuih-muih.

Saya agak terkejut juga dengan kehadiran jemputan terutama jiran-jiran kerana jemputan dibuat pada saat akhir. Sekurang-kurangnya majlis yang diadakan dapat merungkai persoalan di kalangan jiran-jiran tentang kedudukan kami. Paling lucu, ada yang menyangka kami bersekedudukan kerana melihat kami berempat, 2 lelaki dan 2 perempuan. Rupa-rupanya mereka memerhati gerak-geri kami dari jauh. Setelah kami terangkan bahawa kami adalah adik-beradik, barulah mereka faham.

Acara makan-makan tamat jam 9.00 malam kerana ada yang tidak dapat hadir pada waktu siang. Saya menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka kerana tetamu datang membawa rahmat ke dalam rumah kami. Biar pun keletihan, keseronokan melihat tetamu menjamu selera mampu mengatasinya. Malam itu juga saya kemaskan rumah yang kelihatan seperti tongkang pecah dikerjakan oleh para tetamu terutama kanak-kanak termasuk anak-anak saudara sendiri.

Apapun, saya gembira kerana matlamat kami mengadakan rumah terbuka tercapai.

ANGIN PERUBAHAN

Minggu ini secara rasmi saya mendapat bos baru selepas bos lama dinaikkan pangkat dan bertukar ke bahagian lain. Saya tidak pasti sama ada saya seronok dengan keadaan baru ini atau tidak walaupun tidak dapat dinafikan, sudah sekian lama perubahan ini dinantikan. Saya positif kerana suka atau tidak suka, mahu atau tidak mahu, perubahan tetap datang. Berubah atau bersedia untuk diubah. Saya cuba bersedia untuk berhadapan dengan keadaan baru ini dan berdoa agar perubahan adalah ke arah yang lebih baik. Masih terlalu awal juga sebenarnya untuk menentukan sama ada perubahan ini adalah yang terbaik atau sebaliknya. Tunggu dan lihat.

AJAL MAUT

4 November 2009. Saya menerima khabar dari seorang teman memaklumkan keadaan seorang teman seangkatan yang kini kritikal di Hospital Sungai Buloh. Saya sebenarnya sudah mengetahui keadaan yang menimpa beliau yang ditemui selepas pengsan selama 3 hari di rumah. Dia segera dihantar oleh rakan sepejabat yang prihatin dengan ketidakhadiran beliau dan digegaskan ke Hospital Putrajaya. Dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur berikutan penyakit yang dihidapi beliau tidak dapat dikenalpasti oleh doktor di Hospital Putrajaya. Saya dimaklumkan keadaan beliau telah beransur pulih sewaktu di HKL dan menampakkan tanda-tanda untuk pulih. Sangka saya, kisah itu tamat di situ dan kawan saya itu akan dibenarkan keluar dari hospital dan berehat sebelum kembali menjalankan tugas. Sangkaan saya ternyata meleset. Saya menerima berita beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan daripada pakar untuk mengesan penyakit sebenar beliau. Sehari kemudian keadaan beliau bertambah merosot dan koma. Saya nekad untuk menemui beliau dan bertolak ke situ bersama 2 orang rakan. Hanya Allah yang tahu perasaan saya saat itu. Imbauan ketika menziarah arwah Monaliza pada tahun lepas kembali menyelubungi diri saya dan seolah-olah tidak percaya sekujur tubuh yang terbaring lesu dan bernafas dengan bantuan mesin adalah milik seorang yang dipanggil kawan. Saat itu saya insaf. Sungguh hidup ini hanya persinggahan sementara yang jauh dari kekal abadi. Saya insaf bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati termasuk diri saya sendiri. Meskipun kawan saya ini bukan beragama Islam, kasih sayang seorang kawan dan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri tidak menghalang saya dari berharap agar dia dikuatkan semangat. Saya tidak dapat menahan pilu melihat ibu beliau yang begitu tabah berada di sisi melihat anak yang dikandung, dilahirkan dan dibesarkan sehingga menjadi harapan keluarga kini terbaring menunggu saat dijemput kembali kepada Penciptanya.

Saya tinggalkan beliau dengan perasaan berkecamuk. Semalam tepat jam 3.30 petang, beliau kembali kepada Yang Maha Pencipta selepas keluarga beliau bersetuju membenarkan doktor memberhentikan penggunaan mesin bantuan hayat kerana otak belia sudah diisytiharkan mati. Pergilah seorang kawan yang saya kenali sebagai seorang yang baik dan berhemah tinggi. Moga dia tenang di sana, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.