Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, October 27, 2009

Selesai Sudah

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya pulang awal selepas sebulan tak jumpa matahari. Lega dan puas rasanya kerana hasil penat lelah membuahkan hasil yang menggembirakan. Selepas seminggu berkampung menjayakan program yang telah dirancang berbulan-bulan yang lalu, hari ini program tersebut telah berakhir dengan baik. Semasa program tersebut masih dalam perancangan, saya hampir-hampir putus asa dan berhasrat membatalkannya sahaja tetapi keazaman dan sokongan yang diterima dari ahli kumpulan menguatkan semangat untuk meneruskannya juga. Benarlah pesan orang-orang tua, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kami sudah bersusah-payah selama beberapa bulan merencana dan merancangnya, kami teruskan jua walaupun perit dan pelbagai halangan merintang sepanjang perjalanan. Sekalung penghargaan saya tujukan kepada ahli kumpulan yang sanggup mengorbankan masa lapang dan hujung minggu untuk membuat persiapan program tersebut.
Dek kesibukan tersebut juga saya gagal mengemaskini blog selama hampir 3 minggu walaupun ternyata banyak cerita dan peristiwa yang ingin dikongsi. Malah masa tidur saya juga terganggu sepanjang tempoh tersebut. Saya hanya tidur 4-5 jam sahaja setiap hari demi untuk menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Apapun, saya puas hati kerana segala perancangan berjalan lancar walaupun masih ada ruang-ruang yang memerlukan penambahbaikan. Sesungguhnya kejayaan ini menambah keyakinan saya untuk terus mempertingkatkan mutu kerja saya dari semasa ke semasa. Dalam tempoh tersebut juga, banyak perkara yang saya pelajari untuk menjadi pemimpin yang lebih baik. Pemimpin perlu sedia berkorban baik dari segi masa, tenaga dan wang. Menjadi pemimpin bukan bermakna saya bebas mengarah dan menyuruh orang bawahan melakukan kerja. Sebaliknya semakin banyak perkara yang perlu saya beri perhatian dan fokus agar segala perancangan berjalan lancar. Pendek kata, menjadi pemimpin atau ketua bukan bermakna saya boleh lepas tangan sahaja dan berharap 100% kepada orang bawahan saya untuk melakukannya. Penglibatan saya perlu lebih menyeluruh dan meluas agar keyakinan dan semangat orang bawahan untuk melaksanakan tugasan sentiasa di tahap tertinggi. Ternyata masih banyak perkara yang perlu saya pelajari. Saya akui merasa beruntung kerana mendapat orang bawahan yang mudah menerima arahan malah melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Untuk itu, kepadaNya jua saya panjatkan kesyukuran kerana segala berlaku dengan izinNya semata.
Saya bercadang untuk bercuti pada hari Jumaat ini kerana ibu bapa dan abang-abang saya akan datang untuk meraikan majlis graduasi adik bongsu kami. InsyaAllah pada 1 November 2009 pula kami akan mengadakan acara jamuan secara kecil-kecilan dengan menjemput rakan-rakan kami dan jiran-jiran terdekat. Majlis ini kami adakan sebagai meraikan housewarming di rumah baru. Semoga majlis yang dirancang ini juga akan berjalan lancar.

Sunday, October 11, 2009

Tekad

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya baru tiba dari Lanchang selepas menjalankan tugas menyampaikan taklimat kepada pegawai baru. Penat? Penat juga tetapi keinginan untuk menulis mengatasi rasa letih itu. Kali ini saya diberikan slot pada waktu malam, 8.30 hingga 10.30 malam. Saya tiba di Lanchang jam 7.15 malam dan saya bertolak pulang sebaik tamat menjalankan tugas. Alhamdulillah perjalanan saya yang ditemani adik perempuan lancar tanpa kejadian yang tidak diingini.

Saya perasan akhir-akhir ini nada saya dalam menyampaikan taklimat tidak lagi tinggi seperti sebelum ini. Saya kini cuba mengajar diri agar JANGAN MARAH atau lebih tepat lagi JANGAN MUDAH MARAH. Saya lebih melihat kepada hikmah yang terkandung di sebalik setiap kejadian. Kerapkali emosi saya terusik apabila melihat tingkah yang kurang menyenangkan di mata ini. Sekarang saya lebih suka bertanya kepada diri sendiri mengapa Allah meletakkan saya dalam sesebuah situasi itu? Mungkin Allah sedang berbicara dengan saya tentang sabar dan ikhlas.

Dulu saya mudah marah apabila melihat peserta program melanggar peraturan atau bersikap acuh tak acuh dalam melaksanakan aktiviti yang diberikan. Kini saya cuba menanganinya dengan cara yang lebih positif. Saya tidak memarahi mereka atas tindakan atau kesilapan mereka sebaliknya saya cuba menasihati mereka dengan cara yang lebih halus. Saya dapati cara saya ini berjaya menarik perhatian mereka untuk mendengar dan akur dengan nasihat yang disampaikan. Mungkin dulu saya terikut-ikut dengan darah muda dan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sehingga saya tidak dapat menerima jika ada peserta program yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Kadang-kadang sukar membuatkan orang memahami dan menerima dengan mudah setiap arahan atau cadangan yang kita utarakan. Mereka perlukan masa untuk memproses dan memahami hasrat yang tersembunyi di sebaliknya. Kekerasan akan membuatkan orang bawahan akur dengan arahan tetapi ia tidak akan bersifat kekal. Saya percaya arahan atau nasihat yang diberi dengan ikhlas akan membekas dalam hati orang yang mendengarnya. Saya cuba menjadikannya sebagai aspek penting dalam gaya kepimpinan saya. Untuk meraih kepercayaan daripada orang bawahan, saya perlu terlebih dahulu meletakkan kepercayaan saya kepada mereka. Apa yang anda beri, itulah yang akan anda dapat (What you give is what you get). Saya amat percaya kepada kata-kata ini. Kita sering mengharapkan orang agar berlaku adil dan ikhlas kepada kita tetapi pernahkah kita melakukan perkara yang sama kepada mereka? Sebagai seorang Muslim, kita juga diingatkan bahawa apa yang kita tanam di dunia ini, itulah yang akan kita tuai di akhirat kelak. Baik dosa atau pun pahala sebesar zarah. Semua akan ditimbang dan dihisab olehNya jua.

Hari ini usia saya bertambah lagi. Jarak untuk bertemu-Nya juga semakin hampir. Jika dihitung berdasarkan usia Rasulullah, saya hanya punya baki 33 tahun untuk mengumpul amal untuk dibawa mengadap-Nya kelak. Akhir-akhir ini saya sering bermuhasabah, mencari kelemahan diri untuk diperbaiki. Banyak sungguh nikmat yang Allah kurniakan kepada saya selama ini. Tidak putus-putus seawal saya menjengah dunia sehingga saya berada di alam pekerjaan sekarang. Namun terkadang saya alpa jua dengan arus duniawi ini sehingga tergamak melakukan dosa. Terkadang terfikir juga, andai dipanggil mengadap-Nya sekarang, apakah amal yang dilakukan mencukupi untuk melayakkan memasuki jannatul firdaus? Atau sekurang-kurangnya untuk mencium baunya? Persoalan ini sungguh berat untuk saya jawab. Kesal? Sesungguhnya masa itu diibaratkan seperti pedang. Sekali ia berlalu, tidak mungkin dapat diundur lagi. Apakah saya sudah dipancung oleh masa? Kelu lidah untuk menjawab persoalan ini.

Tekad saya untuk mempositifkan diri. Bila? Sekarang juga. Saya akan cuba menerima setiap ketentuan-Nya sama ada baik atau buruk dengan kesabaran dan keikhlasan agar buahnya adalah ketenangan dalam beribadah. Saya pasti Allah tidak akan pernah menganiayai hamba-hambaNya. Allah mengajar manusia dengan cara yang sungguh halus. Hanya hati manusia yang ikhlas akan mampu memahami ajaran itu. Kekadang Allah gegarkan kita dengan batu-batu kecil berbentuk ujian agar kita kembali pada-Nya namun kekadang Allah gegarkan kita dengan bongkah-bongkah batu apabila kita masih degil dengan peringatan demi peringatan yang Allah sampaikan.

“Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dalam merealisasikan hasrat dan tekad ini agar aku bisa mencapai redha-Mu di dunia ini dan di akhirat kelak.”

Aamiin.

Sunday, October 4, 2009

Hairan Sungguh!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya bersemangat untuk bangun pagi. Selepas solat Subuh saya terus bersiap untuk bersenam. Sasarannya adalah Taman Tasik Ampang Hilir. Tempat ini sebenarnya baru sahaja beroperasi. Betul-betul terletak bersebelahan MRR2. Memang saya dah berniat untuk bersenam di sini pada hujung minggu. Saya perlu serius dengan niat saya kerana berat badan saya sudah melepasi paras obesiti. Saya risau sekiranya tidak dikawal, kadar obesiti akan terus meningkat dan akan mengganggu kesihatan saya kelak. Paling saya risau sekiranya dihinggap penyakit kerana rakan-rakan saya yang seusia sudah ada yang disahkan mengidap darah tinggi dan kencing manis. Kalau dulu orang cakap penyakit ini hanya penyakit orang kaya dan hanya orang-orang tua yang akan kena, tetapi sekarang tidak lagi. Terbaru saya terbaca dalam akhbar seorang wanita berusia 32 tahun mati mengejut tanpa sebarang penyakit dikesan pada dirinya. Pada saya, itulah namanya ajal. Penyakit hanyalah sebagai asbab sahaja kepada berlakunya ajal. Mungkin juga sakit yang Allah berikan bertujuan untuk menghapus dosa atau kaffarah kepada seseorang sebelum dipanggil mengadap-Nya. Hanya Dia yang tahu rahsia yang tersirat di sebalik setiap kejadian di dunia ini.

Hampir satu jam saya habiskan dengan berjalan-jalan mengelilingi tasik tersebut supaya badan saya berpeluh. Tambah pula saya memang agak tidak sedap badan. Saya harap rasa itu akan hilang sekiranya badan saya berpeluh. Memang sudah agak lama sebenarnya saya tidak bersenam. Rasanya kali terakhir saya bersenam adalah pada setahun yang lalu. Teruk kan? Entahlah, kadang-kadang niat dan semangat ada tapi kesibukan tugas di pejabat menghalang niat tersebut dilaksanakan. Tak dapat dinafikan, penyakit M pun antara sebab utama niat tersebut tidak terlaksana.

Dulu sewaktu saya menyewa di Shah Alam, hampir setiap hari saya akan berlari-lari anak mengelilingi Taman Tasik Shah Alam. Selalunya pada sebelah petang atau sekiranya kelas saya hanya pada waktu malam, saya akan pergi ke tasik pada waktu pagi. Saya sukakan suasana di situ yang tenang dan damai di sekeliling Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Saya akan habiskan masa di situ sekurang-kurangnya 2 jam menikmati kesegaran udara dan ikan-ikan yang ada di dalam tasik tersebut. Kebanyakan pengunjung terutamanya yang datang bersama anak-anak memang akan membawa sebungkus roti untuk ditabur kepada ikan-ikan. Kebersihan sekeliling tasik pula memang diambil berat dan dijaga oleh pihak bertanggungjawab.

Suasana tersebut ternyata tidak sama di taman ini. Saya dapati kebersihan tasik tidak terjaga dan kelihatan kesan-kesan minyak di sekeliling tebing tasik. Pokok-pokok asal memang tidak ada kecuali pokok-pokok segera yang ditanam oleh pemaju. Mungkin juga kerana taman tersebut masih baru maka banyak perkara yang masih perlu ditambah baik.

Apapun, bukan isu taman yang ingin saya utarakan di sini tetapi soal sikap sesetengah pengguna yang tidak tahu menghargai kemudahan yang disediakan. Satu insiden yang sungguh menyakitkan hati saya berlaku apabila saya berjalan keluar dari taman menuju ke tempat letak kereta. Seorang wanita dengan selamba mencampakkan botol air mineral keluar dari kenderaannya ke atas rumput. Marah? Sudah tentu saya marah tetapi apa yang boleh saya lakukan? Saya hanya melihat wanita tersebut sambil menggeleng-gelengkan kepala. Saya tidak sangka seorang wanita yang di sebelahnya duduk seorang anak perempuan dalam lingkungan usia belasan tahun tergamak berbuat demikian. Sukar sangatkah menyimpan terlebih dahulu botol tersebut dan membuangnya di rumah sendiri atau mana-mana tong sampah yang ditemui di sepanjang jalan? Tidak terfikirkah oleh wanita itu bahawa apakah bentuk pengajaran yang ditunjukkan kepada anak itu? Hairan.

Apabila wanita tersebut berlalu, saya berpatah balik ke situ dan mengutip botol tersebut. Saya ralat jika saya hanya membiarkan sahaja botol itu di situ. Lebih ralat kerana wanita tersebut juga bertudung. Sudah pasti seorang Islam yang diajar kebersihan itu sebahagian daripada iman. Apapun, kesilapan sudah dibuat oleh wanita itu tetapi saya tidak sanggup melihat kesilapan itu mencemarkan keindahan yang dibuat untuk kemudahan awam. Saya ceritakan kisah ini bukan untuk menunjuk-nunjuk yang saya ini baik orangnya tetapi sebagai teladan agar jangan berbuat perkara yang sama. Jika tidak mahu memikirkan kepentingan awam, fikirlah sekurang-kurangnya untuk kepentingan sendiri yang ingin bersenam dan menyihatkan badan di situ.

Hairan sungguh!

Friday, October 2, 2009

Sebuah Keinsafan

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam lepas solat Maghrib, badan saya rasa seram sejuk. Letak kepala atas bantal sahaja saya terus lelap sehinggakan tuan rumah datang pun adik-adik saya yang layan. Adik perempuan saya sempat memberikan air 100 Plus untuk menyejukkan badan (terima kasih MakTeh). Saya akui saya sedikit keletihan akhir-akhir ini kerana berpindah rumah atau mungkin juga faktor usia :).

Saya bangun jam 5.15 pagi untuk menunaikan solat Isyak yang tertangguh. Sementara masuk waktu Subuh, saya turun ke tingkat bawah, minum air sambil menonton televisyen. Sebuah sinetron dari negara seberang yang memaparkan sebuah cerita berkonsep ketuhanan. Saya leka menonton adegan demi adegan sehingga tiba kepada satu adegan yang membuatkan saya sebak, terkedu dan insaf dengan sikap saya sendiri akhir-akhir ini. Fikiran saya sering berkecamuk dengan pelbagai perkara dan entah kenapa saya gagal mengawal emosi lantas banyak kata-kata yang terlontar dari mulut ini kemudiannya saya kesali.

"Bahawa apa jua yang kita miliki pada hari ini semuanya milik Allah. Tiada satu pun milik kita. Semuanya akan binasa."

Itu salah satu ayat dalam skrip adegan tersebut. Saya tersentak. Segera menyedari dan menginsafi kealpaan diri sendiri. Saya lupa pada hakikat ini. Saya terleka sehingga merasakan apa jua yang saya miliki adalah hasil usaha saya sendiri tanpa sedar bahawa semuanya hanyalah pinjaman dari Allah jua sebagai ujian kepada saya sama ada untuk menggunakannya pada jalan-Nya atau tidak. Sungguh saya menyesal kerana terlupa kepada hakikat ini sehingga saya berfikir yang bukan-bukan. Sehingga ada hati-hati yang terluka dengan kata-kata saya.

Mata saya terasa hangat. Saya sebak. Sesungguhnya pagi ini saya diilhamkan dengan sebuah kesedaran yang sudah saya ketahui sebelum ini. Saya memutuskan untuk kembali menghayati peringatan tersebut dan melakukan perkara yang sepatutnya dengan lapang dada. Saya teringat pesan Rasulullah,

"Tidak sempurna iman kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri sendiri."

Sepertimana kamu mengasihi diri sendiri. Pesanan ini cukup menusuk kalbu. Ayuh tunaikannya!