Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, September 29, 2009

Episod Pindah Rumah

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini jika diikutkan hati saya rasa amat berat untuk ke pejabat kerana kepenatan menguruskan perpindahan rumah semalam. Mengenangkan banyak urusan yang masih belum selesai, saya gagahkan jua untuk bangun dan bergerak menuju ke pejabat pada jam 6.50 pagi. Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana kami sudah berpindah ke rumah sewa baru yang lebih selesa buat kami berempat. Pelbagai suka duka telah kami tempuhi sepanjang 3 bulan tinggal di rumah sewa lama tetapi itu semua saya anggap adalah asam garam dalam apa jua bentuk hubungan. Semua itu mendewasakan kami malah membuatkan kami lebih mengenali hati budi masing-masing.

Meskipun petang semalam berlaku juga satu insiden yang tidak menyeronokkan di mana lori sewa yang dijanjikan tidak muncul pada masa yang dijanjikan sehingga akhirnya kami mengambil keputusan membatalkan tempahan, kami bersyukur kerana urusan selepas itu lebih mudah. Ternyata setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya kerana selepas itu kami berjaya mendapatkan perkhidmatan yang jauh lebih baik dan cermat dalam mengendalikan barangan yang diangkut.

Urusan angkut mengangkut selesai lebih kurang jam 12.00 tengah malam dan kami masuk tidur pada jam 1.00 pagi. Walaupun keletihan, jauh di sudut hati saya tidak dapat menafikan yang saya puas hati dengan apa jua yang telah kami lalui bersama-sama. Doa saya, semoga kesukaran yang dilalui bersama akan mengeratkan tali silaturrahim antara kami dan akan membuahkan kegembiraan yang berpanjangan meskipun kami sudah mempunyai kehidupan sendiri kelak.

Sunday, September 27, 2009

Impian Jadi Kenyataan

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam selepas menghadiri kenduri perkahwinan seorang sahabat di Putrajaya, saya dan adik perempuan bersemangat untuk menghadiri majlis rumah terbuka mantan PM, Tun Dr. Mahathir yang diadakan di kediaman beliau di No. 58, Lorong Kuda Emas, Mines Resort City. Alhamdulillah niat kami dipermudahkan-Nya kerana ini merupakan kunjungan saya yang pertama. Tanpa saya sedar, kunjungan ini merupakan salah satu perkara yang termasuk dalam senarai impian saya yang ditulis pada tahun 2005 iaitu untuk bertemu Tun secara live.

Walaupun kemudahan shuttle train disediakan kepada pengunjung, saya dan adik memilih untuk berjalan kaki sahaja. Perjalanan memakan masa 20 minit tidak terasa kerana keinginan dan semangat yang tinggi untuk berjumpa Tun dan isteri. Dalam perjalanan tersebut, saya tidak mengelak daripada merasa kagum dengan jumlah pengunjung yang datang untuk berjumpa beliau tanpa mengira umur, agama dan bangsa. Semua sabar beratur menunggu giliran untuk berjumpa beliau. Kami bernasib baik kerana tiba agak awal kerana majlis bagi sesi petang bermula pada jam 2.30 petang. Ternyata Tun menepati masa yang telah ditetapkan. Kami hanya beratur lebih kurang 10 minit sahaja dan Alhamdulillah berjaya bersua muka dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tun dan isteri. Malah saya sempat mencium Tun Dr. Siti Hasmah. Entah kenapa saya tidak dapat mengelak rasa sebak sewaktu berhadapan dengan Tun dan isteri. Saya terasa seolah-olah berhadapan dengan ayah dan ibu sendiri. Masakan tidak, saya membesar semasa beliau menjadi PM sehinggalah saya mula bekerja.

Oleh kerana masa yang terhad dan jumlah pengunjung yang ramai menunggu giliran, saya tidak dapat bergambar dengan beliau tetapi saya puas. Malah saya dan adik hanya minum segelas air dan secucuk sate sahaja kerana kami sudah berniat untuk datang berjumpa Tun dan isteri, bukannya untuk makan.



Saya dan adik meninggalkan kediaman Tun yang ternyata jauh sederhana berbanding kediaman-kediaman mewah di sekeliling kawasan tersebut. Ternyata beliau tidak berbohong apabila mengatakan rumah beliau sekarang hanya bersaiz sederhana dan tidak terlalu mewah.

Kini saya mula mempercayai kuasa atau aura mencatatkan impian. Catatlah impian anda dan yakinlah ia pasti menjadi kenyataan.

Thursday, September 24, 2009

Maruah

Bismillahirrahmanirrahim...

Biar hilang wang asal maruah tidak tergadai. Itu prinsip saya. Hari ini saya nekad. Saya rela kehilangan wang asalkan maruah saya tidak tergadai. Insiden yang berlaku pada hari ini benar-benar mencabar kesabaran saya dalam mood yang masih hangat dengan suasana Aidilfitri.

Semalam saya dan adik ke sebuah kedai perabot yang terletak di Kuala Dungun. Niat di hati ingin menghadiahkan sebuah kabinet tv buat ummi tercinta. Kami tiba di kedai tersebut lebih kurang jam 6.30 petang dan terus dilayan oleh seorang pekerja wanita di situ. Selesai tawar-menawar dan kami dijangka akan menerima barangan tersebut sebelum tengah hari pada keesokkan hari. Memahami bahawa mereka kekurangan pekerja kerana sebahagian pekerja masih bercuti menyambut Hari Raya, saya bertolak ansur dengan masa penghantaran yang telah ditetapkan oleh tuan kedai tersebut.

Hari ini sehingga jam 1.30 petang, barangan yang dijanjikan masih belum tiba dan kami mempunyai beberapa jemputan kenduri untuk dipenuhi pada sebelah petangnya. Saya resah kerana tidak mendapat sebarang panggilan daripada tuan atau wakil kedai tersebut. Akhirnya saya memutuskan untuk menghubungi mereka di nombor yang tertera pada resit yang diberikan semalam.

"Hello. Seng Huat Perabot ke? Saya nak tanya status penghantaran kabinet TV yang saya pesan semalam. Sepatutnya dihantar sebelum tengah hari," saya menjelaskan kepada lelaki yang menyambut panggilan saya.

"Tunggula kejap. Kang aku hantar la. Aku nak makan nasi pun tak senang." Telefon dihempaskan.

Saya tergamam kerana tidak menyangka akan mendapat jawapan sedemikian rupa. Serta-merta darah saya mendidih dengan sikap kurang ajar lelaki tersebut sebentar tadi. Saya dail sekali lagi. Beberapa kali panggilan cuba dibuat tetapi gagal sehingga akhirnya untuk kali ke-berapa barulah panggilan diangkat.

"Hello. Saya nak tanya kenapa tadi telefon diletak. Saya nak tahu bila kabinet akan dihantar sebab saya nak ..." belum sempat saya menghabiskan ayat, percakapan saya telah dipotong.

"Bukan aku tadi yang letak telefon tapi abang aku. Aku tak tahu pukul berapa nak hantar ni, orang tak ada. Mu tunggu la kejap, kang aku hantar la," kata lelaki tersebut dengan nada yang tinggi.

"Masalahnya saya ni nak pergi kenduri petang ini," jelas saya juga dengan nada yang agak kurang senang.

'Tak apalah, kan ada orang kat rumah. Mu pergi la kenduri tu," kata lelaki itu lagi.

Saya berang dengan kata-kata lelaki tersebut.

"Masalahnya, semalam awak janji nak hantar sebelum tengah hari. Saya tunggu dari pagi tadi lagi. Lepas tu awak tak bagitau apa-apa pada saya jadi hantar atau tak. Petang ni pula, tak ada orang di rumah sebab semua nak pergi kenduri," tegas saya.

"Masalahnya aku tak ada orang nak hantar ni. Nanti aku nak hantar aku telefon mu," balas lelaki itu lagi, masih dengan nada yang tinggi.

"Kalau macam tu, saya batalkan pembelian kabinet tu. Pulangkan duit saya," saya nekad. Walau apa pun jadi, saya enggan menerima alasan yang diberikan kerana layanan 'kurang ajar' yang diterima.

"Mana boleh mu batal? Barang dah ada atas lori ni," marah lelaki tersebut dan terus memutuskan talian.

Saya tambah bengang. Segera saya ajak adik lelaki saya untuk menemani saya ke kedai tersebut untuk membatalkan pembelian dan mendapatkan kembali wang yang telah dibayar semalam. Saya akui saya cukup bengang dengan sikap mereka yang melanggan pelanggan dengan sambil lewan dan 'kurang ajar'.

Sebaik melangkah masuk ke kedai tersebut, seorang pekerja wanita terus menyerang kami dengan kata-kata yang kesat. Saya makin berang. Mulanya semasa dalam perjalanan tadi, saya sudah memujuk diri sekiranya mereka meminta maaf dengan layanan 'tidak mesra pelanggan' yang telah diberikan, saya akan bertolak ansur untuk menerima maaf mereka dan barangan yang telah dibeli. Namun apabila disambut dengan kata-kata kesat, saya terus bertukar fikiran. Saya nekad. Apa pun yang terjadi, saya enggan menerima barangan tersebut dan rela sekiranya mereka enggan memulangkan wang saya.

Sewaktu di sana, saya menerima panggilan daripada adik di rumah memaklumkan barangan telah pun tiba. Dengan tegas, saya mengarahkan adik saya agar tidak menerima barangan tersebut. Mungkin ada yang akan menganggap tindakan saya agak keterlaluan tetapi apabila saya diherdik di hadapan pelanggan lain dan isu bangsa ditimbulkan, saya hilang pertimbangan. Saya kira saya tidak mampu untuk bertolak ansur dalam soal itu kerana saya tidak pernah sekali pun mengaitkan apa yang telah berlaku dengan kedudukan kaum dan bangsa. Saya hanya menuntut hak saya sebagai seorang pelanggan atas bayaran yang telah dibuat. Tidak lebih dari itu. Apabila isu perkauman ditimbulkan oleh mereka, saya jadi berang dan dengan tegas tidak akan bertolak ansur lagi. Sabar saya ada hadnya.

Akhirnya, wanita tersebut bertindak memulangkan wang saya selepas adik saya menggertak akan melaporkan perkara tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna. Saya sendiri terkejut apabila adik saya berkata begitu tetapi pada waktu itu saya hanya memikirkan mengenai maruah yang dipermain-mainkan oleh mereka. Malah saya sudah tidak kisah sekiranya mereka enggan memulangkan wang tersebut asalkan barangan tersebut tidak ditinggalkan di rumah saya.

Saya puas kerana sudah beberapa kali saya mendengar cerita daripada adik beradik mengenai kebiadapan mereka semasa melayan pelanggan. Sebelum ini saya tidak berapa endah sehingga kena kepada batang hidung saya sendiri. Saya haramkan kaki saya untuk menjejakkan kaki ke kedai itu lagi selepas ini. Malah saya dimaklumkan oleh adik yang berada di rumah bahawa lelaki tersebut hairan dengan keberanian saya memulangkan barangan tersebut kerana tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya kira setiap perkara ada permulaannya. Saya harap kejadian ini menjadi iktibar kepada mereka agar tidak mengambil ringan akan hak-hak pelanggan dan etika melayan pelanggan. Saya letak ke tepi isu perkauman yang dibangkitkan oleh mereka walau dalam hati hanya Allah yang tahu betapa saya marah dengan tindakan tersebut. Mujurlah akal kewarasan saya masih normal apabila tidak berpatah balik memarahi seorang lagi lelaki yang berada di dalam kedai tersebut yang menjeritkan kepada kami 'bodoh punya orang!' sehingga bergema dalam seluruh kedai. Saya kira jika saya melayan hinaan tersebut, kami akan membenarkan kata-kata tersebut terhadap kami. Kami berlalu begitu sahaja kerana hasrat kami mendapatkan semula wang telah tercapai.

Selepas solat Zuhur, saya dan adik keluar sekali lagi mencari kedai perabot lain demi untuk memenuhi niat yang telah dibuat. Akhirnya kami menemukan sebuah kedai perabot milik seorang warga Pakistan. Ternyata harga yang ditawarkan jauh lebih berpatutan dan layanan yang diberikan sungguh baik. Lebih melucukan apabila salah seorang pelanggan yang kebetulan turut ada sewaktu saya mendapatkan hak di kedai sebelum ini turut ada di kedai tersebut. Menyedari kehadiran saya, dia terus senyum kepada saya menandakan beliau mengetahui apa yang berlaku sebelum ini. Kami sempat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan dia turut menyokong tindakan saya dan mengkritik tindakan pemilik kedai tersebut memarahi pelanggan. Malah dia turut membatalkan pembelian di kedai tersebut apabila melihat insiden yang saya alami.

Sesungguhnya setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Segalanya telah disusun atur dengan sebegitu rapi oleh-Nya. Ternyata tindakan saya membatalkan pembelian sebelum ini membuka mata saya bahawa wang bukan segala-galanya. Maruah adalah jauh lebih mahal malah tidak akan terbeli oleh wang yang ada di seluruh dunia ini. Maruah adalah pakaian yang menentukan harga diri seseorang. Tanpanya, manusia akan rela menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan negara. Saya memutuskan untuk mengutamakan maruah berbanding wang.
Ajal, maut dan rezeki adalah di tangan-Nya jua. Saya akhirnya membeli kabinet di kedai milik warga Pakistan tersebut walaupun terpaksa berbelanja dua kali ganda daripada bajet saya sebelum ini kerana berpuas hati dengan layanan dan kualiti barangan yang ditawarkan. Malah sandaran janji waktu penghantaran diletakkan kepada Allah semata tanpa membuatkan saya menaruh harapan yang belum tentu pasti. Alhamdulillah barangan telah tiba pada waktu yang dijanjikan.

Hari saya pada hari ini mungkin diselubungi emosi tetapi saya belajar perkara baru iaitu agar berpegang kepada prinsip. Bertolak ansur tetapi bukan ditekan dan diperkotak katik sehingga dianggap lemah. Saya serahkan pertimbangan terhadap tindakan saya pada hari ini kepada-Nya jua.

Wallahua'lam.

Sunday, September 20, 2009

Beli Belah

Bismillahirrahmanirrahim...

13 September 2009: Saya dan adik beradik mengambil peluang menaiki LRT ke Jalan Masjid India dan Sogo. Melihat lautan manusia yang mengerumuni pusat beli-belah membuatkan saya merasa hairan dengan kesungguhan orang Malaysia berasak-asak antara satu sama lain semata-mata untuk membeli barangan. Saya lemas dengan situasi itu. Akhirnya, tiada apa yang saya beli di situ.

Lautan manusia tersebut mengingatkan saya kepada Padang Mahsyar. Sungguh kerdil saya di kalangan mereka sehingga saya terfikir sama ada ibadah saya selama ini diterima-Nya dan mampu menyelamatkan saya dari azab neraka.

Sunday, September 13, 2009

Suzuki Kena Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Kena lagi. Suzuki SX4 terluka sekali lagi. Jika sebelum ini cermin retak terkena serpihan batu, kali ini kemek pula kerana digesel oleh pemandu yang tidak bertimbang rasa dan ego.


Saya terpaksa menghabiskan RM80 untuk memperbaiki kesan keretakan pada cermin tempohari tetapi saya tidak pasti berapa pula jumlah yang perlu dikeluarkan untuk membaiki kesan lekukan pada sebelah kiri badan kereta kelak.


Mujur juga saya tidak terus menggerakkan kereta sebaik digesel oleh kereta tersebut. Jika tidak, saya pasti kesan calaran dan lekukan akan lebih lagi kelihatan. Saya memang marah dengan pemandu tersebut yang tidak mahu mengaku kesilapan memotong barisan semasa ingin membayar parking. Mujurlah abang saya turut ada pada waktu tersebut menyebabkan saya tidak bertindak memarahi pemandu tersebut dengan beria-ia. Saya fikir pemandu tersebut bertindak begitu kerana mungkin merasakan saya (pemandu wanita) akan memberi laluan kepada beliau walaupun sangat jelas muncung kereta saya sudah menghampiri kaunter bayaran sementara anak saudara saya pula merengek sakit perut ingin membuang air besar. Tolak ansur saya ada hadnya. Dalam keadaan sedemikian, saya tidak dapat bertoleransi dengan sikap pemandu yang dengan sesuka hati memotong barisan sedangkan pemandu-pemandu lain dengan patuh menunggu giliran masing-masing. Saya yakin jika saya berada di tempat pemandu tersebut, saya akan memasuki barisan sedia ada dan menunggu giliran seperti pemandu-pemandu lain.

Apa pun yang dikatakan, perkara sudah pun berlaku. Oleh kerana tidak mahu memanjangkan perkara, saya menerima jumlah yang diberikan (walaupun saya tahu kos sebenar mungkin lebih dari itu) oleh isteri pemandu tersebut kepada saya.

Yang pasti, hati saya tercalar lagi melihat keadaan Suzuki...:(
Yang pasti juga, pasti ada perkara baik yang akan berlaku selepas ini.
Janji Allah, bersama-sama kepayahan akan ada kesenangan dan sebaliknya...

Iftar 2009

Bismillahirrahmanirrahim...

Entri ini mungkin sedikit terlewat tetapi saya ingin memuatkannya juga sebagai kenangan di masa hadapan. Walaupun majlis yang dianjurkan pada 7 September 2009 sedikit hambar pada pandangan saya berbanding pada tahun lepas, saya gembira kerana dapat bersama teman-teman sekantor berbuka puasa.


Ternyata meskipun majlis yang dianjurkan agak hambar, hidangan saya pada hari itu tetap meriah. :)

Thursday, September 10, 2009

Dugaan

Bismillahirahmanirrahim...

Dugaan 1

Saya bertolak ke pejabat seawal jam 6.50 pagi. Trafik lancar sehingga tiba di kawasan Bandar Tasik Selatan, kesesakan berlaku.

"Ini mesti ada kemalangan ni," getus hati saya kerana itulah kebiasaannya penyumbang kepada kesesakan.

Jam sudah 7.40 pagi sedangkan saya masih belum melepasi Bandar Tasik Selatan. Selalunya jam 7.15 pagi saya sudah memasuki Lebuh Raya Besraya.

"Lambat lah macam ni," fikir saya dalam hati.

Tiba-tiba sebuah motorsikal melepasi kereta saya dengan laju dan saya perasan satu benda mengenai kereta saya tetapi saya abaikan sahaja. Lebih memikirkan punca sebenar kesesakan tersebut.

"Allah!" saya menyebut namaNya.

Saya terperasan ada satu tompokan retak pada cermin hadapan kereta saya.

"Aduh, bila pula kena ni?" saya sakit hati.

Kejadian ini sama seperti yang saya alami dengan kereta Perodua Kenari sebelum ini. Sebelum ini, saya menganggap keretakan kecil tersebut tidak akan memberi kesan yang besar tapi ternyata saya silap. Titik kecil yang saya biarkan rupa-rupanya merebak akibat pertukaran cuaca. Natijahnya, titik kecil tersebut membesar dan rekahan semakin memanjang. Saya hanya bertindak membawa kereta berjumpa doktor cermin apabila sudah terlambat. Walaupun melalui proses pembaikian, kesan calar masih jelas boleh dilihat.

Menyedari kesilapan saya sebelum ini, saya membuat keputusan untuk mengambil tindakan segera pada kali ini. Saya nekad membawa kereta saya berjumpa doktor cermin dengan segera. SMS dihantar kepada ketua dan anak buah saya memaklumkan kejadian tersebut dan saya akan sedikit lewat memasuki pejabat.

Telahan saya tepat apabila mendapati 3 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di persimpangan Bandar Tasik Selatan. Seingat saya, persimpangan tersebut memang agak berbahaya dan sudah banyak kemalangan berlaku di situ. Saya meneruskan pemanduan dan tiba di hadapan kedai doktor cermin yang terletak di Serdang Raya pada jam 8.45 pagi. Kedai masih belum dibuka. Nombor yang tertera pada papan tanda kedai saya hubungi dan dimaklumkan kedai akan dibuka pada jam 9.30 pagi. Saya terpaksa menunggu dan membeli surat khabar di stesen minyak berhampiran untuk menghilangkan kebosanan.

Saya merupakan pelanggan pertama apabila kedai dibuka. Setelah berbincang mengenai harga dan saya berpuashati dengan tawaran diberikan, saya menunggu mereka memperbaiki kesan rekahan tersebut. Lama juga kerana saya terpaksa menunggu hampir 1 jam. Surat khabar sudah beberapa kali diulang isi kandungan, majalah pun sama. Bosannya.

Selesai membayar RM80, saya meneruskan pemanduan ke pejabat. Walau pun sakit hati melihat kesan rekahan yang tidak pulih sepenuhnya, saya harap kisah sama seperti yang berlaku pada Kenari sebelum ini tidak akan berulang.

Dugaan 2

Saya selamat tiba di pejabat jam 11.30 pagi. Telefon berbunyi. Nombor yang tiada dalam simpanan terpapar pada skrin.

"Hello, ini Miss Karimah ke?" kedengaran suara seorang perempuan cina di hujung talian.

"Ya bercakap. Siapa ni?" saya cuba mendapatkan kepastian tentang pemanggil tersebut.

"I Miss Lee. I nak tanya u kenapa u letak iklan dekat rumah sewa ye?" dengan nada yang memang saya tidak gemari.

Sungguh biadap orang ini, fikir saya. Sudahlah tidak memperkenalkan diri dengan jelas, terus menghamburkan soalan dengan nada yang ala-ala kurang sopan atau lebih tepat biadap.

"Hello, siapa u ni? Please introduce yourself," saya cuba mengendurkan suasana.
"Your name is Karimah right? Working as government servant and looking for a house to rent?" bertalu-talu pertanyaan dilemparkan kepada saya.

Saya masih cuba mengawal diri walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu. Mujurlah saya masih sedar yang saya sedang berpuasa.

"Excuse me, will you please explain to me what is actually happening? I didn't get what you are trying to say to me," ujar saya cuba mendapatkan pokok pangkal pertanyaan-pertanyaan tersebut.

"I am asking you why did you put your phone numbers at the house? I am the agent for that house. There is so many proper ways to get a house rather than putting a note at the house. The owner called me and told me about the note," terang wanita cina itu dengan nada yang masih membuatkan saya bengang.

Barulah saya faham isu yang cuba dibangkitkan oleh wanita tersebut. Rupa-rupanya berkait dengan tindakan saya dan adik saya meletakkan satu notis di sebuah rumah yang kami dapati tidak berpenghuni. 2 minggu lepas, saya dan seorang adik lelaki meronda-ronda mencari kalau-kalau ada rumah sewa kerana tarikh kami perlu meninggalkan rumah sewa sekarang semakin hampir. Oleh kerana terlalu sukar menemui rumah kosong yang mempunyai iklan atau nombor untuk dihubungi, saya telah mencadangkan supaya kami meninggalkan maklumat kami di rumah tersebut dengan harapan akan ditemui oleh tuan rumah atau pihak-pihak berkenaan yang mengetahui.

Dalam masa yang sama, kami juga berikhtiar dengan menghantar e-mel kepada agen-agen hartanah sekiranya dapat membantu kami. Nak dijadikan cerita, rumah tersebut merupakan salah sebuah rumah yang diiklankan dalam Internet dan tindakan kami meninggalkan iklan kami di rumah tersebut dianggap tidak beretika oleh mereka.

Jujur saya katakan, saya tidak mengetahui langsung rumah tersebut adalah merupakan salah sebuah yang telah diiklankan kerana tidak disertakan alamat rumah tersebut di dalam iklan di Internet. Justeru, tuduhan wanita tersebut bahawa tindakan saya meletakkan iklan di rumah sewa adalah tidak beretika menyebabkan saya bengang. Saya menarik nafas panjang.

"I think you don't have any right to stop me from putting any advertisement on any house. How do I know that the house is under any agent. I am just trying my luck and my best. Why should you worry?" luah saya masih mengawal kebengangan yang melanda.

Wanita tersebut memutuskan talian dan saya hanya mampu beristighfar. Dugaan Ramadhan...

"Berilah aku kekuatan dalam menempuh dugaan-dugaan ini Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang nyata mahupun yang ghaib."

Monday, September 7, 2009

Qiraatul Quran

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya baru tiba di pejabat. Perjalanan pada pagi ini sungguh mendamaikan kerana saya isi dengan pembacaan Al-Quran. Saya akui saya gagal melibatkan diri dalam tadarus yang dianjurkan oleh pejabat tempat saya bertugas atau memulakan tadarus secara peribadi. Sasaran saya pada setiap tahun adalah memastikan saya khatam 30 juzuk Al-Quran. Bermakna setiap kali Ramadhan, saya perlu khatam bacaan Al-Quran yang saya mulakan sejak Ramadhan pada tahun lepas. Trafik lancar berikutan ada sebahagian negeri yang masih bercuti sempena Nuzul Quran pada hari ini. Saya leka dengan bacaan sehingga tidak sedar sudah tiba di pejabat. Mujur ada pemandu yang setia. Hehe. Kepada adik, dengar bacaan pun dapat pahala kan? :D

Kadang-kadang saya teringat kisah-kisah lalu sewaktu saya mula mengenali huruf-huruf Al-Quran. Saya mula mengenali huruf-huruf jawi sewaktu berusia 5 tahun. Waktu itu saya belum memasuki tadika dan hakikatnya saya tidak pernah memasuki tadika sehingga berusia 7 tahun saya terus memasuki darjah 1. Saya pernah dimasukkan ke tadika sewaktu berusia 6 tahun tetapi hanya bertahan selama 2 minggu sahaja. Dalam tempoh tersebut, saya hanya menghabiskan masa di bawah meja guru sahaja. Entah kenapa saya tidak selesa dengan suasana pengajian di tadika dan enggan berkawan dengan kanak-kanak seusia saya pada masa tersebut. Bila dikenang-kenang semula, kelakar pun ada. Apabila melihat saya tidak berminat untuk berada di tadika, Abah memutuskan agar saya berhenti terus. Bukan main seronok lagi saya pada waktu itu. Saya rasa bebas untuk berbuat apa sahaja dan mempelajari apa yang saya suka. Saya beruntung kerana walaupun ummi saya seorang surirumah sepenuh masa, ummi mempunyai latar belakang pendidikan yang baik walaupun hanya bersekolah sehingga tingkatan 3 sahaja. Ummi saya sebenarnya seorang yang boleh dikatakan pandai kerana mendapat keputusan yang baik dalam SRP tetapi terpaksa berhenti sekolah kerana mengikut kehendak orang tua. Ummi waktu itu masih dibelenggu dengan persepsi orang tua yang 'orang perempuan kalau belajar tinggi-tinggi pun akhirnya ke dapur juga'.

Ummi adalah guru pertama saya. Ummi yang mengajar saya mengenal huruf alif, ba, ta...Ummi juga mengajar saya matematik. Seawal usia 7 tahun, ummi sudah mengenalkan saya kepada maksud '2 kuasa 2'. Saya kagum dengan ummi kerana tidak jemu-jemu melayan kerenah saya sebelum memasuki darjah 1. Saya gemar menyelongkar beg abang-abang saya yang mengandungi buku-buku bertulisan jawi yang amat saya gemari walaupun tidak sepadan dengan usia saya pada waktu itu. Saya akan mengeja huruf-huruf tersebut dan bertanya kepada ummi maksud perkataan tersebut sedang ummi sibuk memasak di dapur. Dahulu kami hanya tinggal di rumah kayu milik arwah datuk yang agak uzur. Kadang-kadang apabila hujan lebat, air hujan akan menitik melalui susunan atap yang kami panggil atap bata kerana diperbuat daripada tanah merah. Sering juga susunan bata itu perlu disusun semula untuk menutup lubang-lubang yang menyebabkan tiris dan air hujan mengalir masuk. Kebiasaannya kami akan menyusun baldi dan besen untuk menadah titisan air hujan tersebut. Pernah juga air menitik di atas tilam kami menyebabkan kami terpaksa mengalihkan tilam ke tempat lain dan meneruskan tidur.

Kami tinggal di situ sehingga saya berusia 12 tahun dan kami berpindah ke rumah sekarang yang lebih selesa. Waktu kami mula pindah, rumah baru masih dalam pembinaan dan boleh dikatakan hanya siap 60% sahaja. Proses pembinaan diteruskan sewaktu kami sudah tinggal di situ dan berterusan sehingga sekarang.

Berbalik kepada kisah saya belajar mengenali huruf jawi, ummi merupakan guru yang tidak jemu-jemu melayan persoalan dan pertanyaan saya walaupun soalan itu sudah saya tanya sebelum itu.

"Mim, alif, kaf, nun. Apa bunyinya mi?" tanya aku kepada ummi yang sedang sibuk menyiapkan hidangan tengah hari.

"Makan," jawab ummi ringkas.

Saya akan terus mengeja dan ummi akan memberikan maksudnya. Apabila saya sudah tahu untuk membunyikan maksud perkataan tersebut, saya akan membaca petikan tersebut berulang-ulang sehingga saya hafal. Ajaibnya, ummi tidak jemu mendengar saya membacanya. Kini apabila difikirkan semula, baru saya faham kenapa ummi tidak jemu. Ummi sebenarnya gembira kerana anaknya sudah pandai membaca. Mungkin saya belum memahami erti kegembiraan itu kerana saya sendiri belum bergelar seorang ibu. InsyaAllah mungkin saya akan memahaminya suatu hari nanti.

Apabila saya memasuki umur 7 tahun, saya dihantar untuk mengaji bersama seorang tok guru yang sangat garang. Saya sungguh gerun apabila melihat tok guru tersebut merotan anak-anak murid jika tersilap bacaan. Nama pun anak kecil, kanak-kanak. Sudah tentulah penuh dengan kenakalan. Saya tidak sempat berguru lama dengan tok guru tersebut kerana terlalu takut. Saya hanya sempat membaca Muqaddam sahaja bersama beliau dan saya menjadi bosan kerana saya sudah mengenali huruf-huruf tersebut. Saya merasakan saya ingin belajar lebih dari itu. Akhirnya saya berpindah tempat mengaji ke rumah nenek saya yang terletak tidak jauh dari rumah lama. Di situ saya tidak menyambung bacaan Muqaddam sebaliknya saya beritahu nenek yang saya sudah boleh membaca surah-surah lazim walaupun merangkak-rangkak. Akhirnya nenek menyuruh saya meneruskan pembacaan bermula pada ayat-ayat lazim dan Alhamdulillah saya khatam Al-Quran sebanyak 2 kali sewaktu berusia 8 tahun. Nenek hanya menggunakan kaedah biasa di mana saya akan membaca dan nenek akan mendengar. Sekiranya berlaku kesilapan, nenek akan menegur. Saat paling gembira adalah apabila disahkan 'lulus' oleh nenek untuk membaca surah baru. Setiap kali kami berjaya membaca surah baru, ummi akan menyediakan pulut kuning untuk diedarkan kepada saudara mara. Malah pada masa tersebut, saya dan adik-beradik serta saudara mara yang lain dilayan sama rata oleh nenek. Kami dimarah, diherdik, dirotan malah disuruh memenuhkan air dalam tempayan sama seperti anak-anak murid yang lain. Apabila diherdik, suara mula tidak berapa jelas untuk membaca dan air mata pun bercucuran kerana kesedihan. Peliknya, semua herdikan, teriakan, pukulan tersebut tidak mematahkan semangat kami untuk khatam Al-Quran malah berlumba-lumba dan bersaing untuk menamatkan bacaan. Begitu juga dengan giliran kehadiran. Kami akan berlumba-lumba siapa yang akan sampai dulu dan menjadi orang pertama dipanggil untuk memperdengarkan bacaan. Saya sering mengalirkan air mata apabila menjadi orang pertama hadir tetapi dikemudiankan apabila nenek keluar untuk mendengar bacaan. Entah kenapa rasa sebak itu hadir dengan tiba-tiba sahaja.

Tidak cukup waktu siang, kami memaksa nenek untuk memdengar bacaan kami pada waktu malam pula. Malah aktiviti itu kami lakukan secara senyap-senyap dan apabila ada orang lain yang mendengar rancangan kami, mereka akan datang juga pada malam tersebut. Kami berbuat begitu semata-mata untuk cepat khatam Al-Quran berbanding kawan-kawan yang lain. Ada juga hari-hari tertentu di mana nenek memberikan 'cuti mengaji' kepada kami apabila nenek mempunyai urusan di pejabat agama. Selalunya kami dera juga nenek dengan datang seawal jam 7.00 pagi agar kami sempat memperdengarkan bacaan walaupun seketika. Tidak pernah nenek menolak permintaan kami walaupun nenek memang seorang yang garang.

Kini, saya tidak melihat semangat dan kesungguhan seperti itu dalam diri generasi anak-anak sekarang. Zaman sudah berubah. Saya merenung jauh. Saya sendiri juga kadang-kadang alpa membaca Al-Quran, tenggelam dalam kesibukan dunia. Kadang-kadang azam hanya tinggal azam sahaja. Sedih pun ada. Namun azam saya untuk khatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali setahun akan tetap saya pertahankan. InsyaAllah...

Sunday, September 6, 2009

Jom Melancong

Bismillahirrahmanirrahim...

'Jom ke MATTA Fair...' itu kandungan sms yang saya terima semalam jam 9.47 pagi daripada seorang teman.

Saya tersenyum membaca sms teman saya itu. Saya memang sudah terbaca mengenai iklan tersebut sejak minggu lepas tetapi belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk berkunjung ke situ atau tidak. Sementelahan pula semalam adik-adik saya mempunyai urusan masing-masing. Maka sms tersebut saya anggap ibarat orang mengantuk disorokkan bantal. Saya tergoda dengan 'hasutan' teman saya tersebut dan membuat keputusan untuk mengunjungi MATTA Fair yang sedang berlangsung di PWTC.

Jam 10.30 pagi saya bertolak dari rumah dengan menaiki kereta dan tiba di tempat letak kereta Hentian Putra pada jam 11.00 pagi. Memang menjadi kebiasaan saya sebenarnya meletakkan kenderaan di situ sekiranya mengunjungi program di PWTC disebabkan kadar bayaran yang lebih rendah berbanding di PWTC sendiri. Kepada teman, sms dihantar memaklumkan ketibaan saya.

Selepas membayar yuran masuk sebanyak RM3 dan mendapat sebuah beg beserta penutup muka (bagus juga penganjur memikirkan keselamatan pengunjung), saya tidak terus berjumpa dengan teman saya tersebut sebaliknya meluangkan masa berlegar-legar di ruang dewan 1. Sebenarnya ada 3 dewan yang menempatkan booth agen-agen pelancongan bagi pesta tersebut. Saya dapati dewan 1 menempatkan agen-agen pelancongan domestik sahaja dan seperti biasa, saya hanya mengambil dan menyimpan risalah-risalah yang diedarkan sepanjang laluan. Sekali-sekala rimas pun ada juga kerana terpaksa melayan gesaan dan rayuan promoter kad kredit. Saya sering mengistilahkan mereka ini sebagai golongan 'tak reti bahasa' kerana terus-terusan menggesa dan mendesak pelanggan untuk berurusniaga dengan mereka walaupun puas kita menolak. Pun begitu, sedikit sebanyak saya kagum dengan kesungguhan mereka mendapatkan pelanggan walaupun dipandang sebelah mata sahaja. Yang nyata, saya hanya akan memekakkan telinga dan mengeraskan hati apabila berhadapan dengan kumpulan ini. Puas meronda-ronda di dewan 1, saya berjalan melintasi jambatan ke dewan 2. Di situ, pelbagai agen pelancongan antarabangsa ditempatkan dan saya semakin dapat merasakan kemeriahannya kerana pelbagai acara menarik termasuk persembahan kebudayaan diaturkan. Saya meronda lagi, menyimpan risalah lagi sehingga beg saya sudah penuh dengan risalah-risalah pakej yang diedarkan.

Akhirnya, saya bertemu dengan teman saya tersebut yang telah tiba lebih awal. Kami sama-sama meronda untuk mendapatkan maklumat tentang pakej-pakej menarik yang ditawarkan. Saya sebenarnya ingin mendapatkan maklumat tentang Singapura dan Indonesia kerana kedua-dua negara tersebut memang berada dalam senarai tempat yang ingin saya lawati dalam masa terdekat ini. Malah kami sempat menaiki salah sebuah contoh bas eksekutif yang menyediakan kemudahan perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Singapura. Memang ekslusif dan mewah serta harga yang ditawarkan pun agak berpatutan. Dengan ruang tempat duduk yang luas, kemudahan elektronik yang canggih dan penyediaan makanan semasa dalam perjalanan, saya merasakan amat berbaloi untuk memilih bas tersebut sebagai salah satu pilihan pengangkutan ke Singapura kelak.

Kami meneruskan lagi sesi rondaan. Memang seronok berjalan-jalan dengan teman saya ini kerana beliau penuh dengan pengetahuan. Kelakar pun ada juga, semua peta, risalah kami sapu dan masukkan ke dalam beg. Sudahnya beg kami berat semacam. Penat meronda, kami duduk sekejap di ruang persembahan yang disediakan. Kebetulan ada persembahan yang sedang berlangsung dan kami turut sama menikmatinya sambil membelek-belek risalah yang telah kami kumpulkan. Sedang kami elok membelek-belek, kami didekati oleh seorang remaja lelaki Melayu yang berpakaian tradisional negara Korea.

"Assalamualaikum, saya sedang membantu pensyarah saya menjalankan kajian...bla bla bla...," kami hanya mendengar penerangan remaja tersebut dengan tenang.

"Jadi, kalau boleh saya nak minta tolong pakcik dan makcik luangkan masa untuk mengisi borang kajian ini," sambung remaja tersebut lagi sambil menghulurkan borang yang dimaksudkan.

Kami tercengang dan terus tergelak. Menggelengkan kepala.

"Tua sangat rupa kita ni gamaknya," kami hanya ketawa sambil mengisi borang tersebut.

Kami diberikan 1 rantai kunci (keychain) berupa kasut yang dipakai orang Korea mungkin sebagai tanda terima kasih. Saya rasakan hadiah kecil tersebut sungguh comel. Selepas hampir setengah jam menyaksikan persembahan daripada negara Korea, kami beredar ke dewan 3 pula. Di situ kami dapati booth Airasia adalah booth yang paling besar, berada betul-betul di tengah dewan dan dikerumuni oleh orang ramai. Seperti biasa, kami meneruskan sesi rondaan dan aktiviti mengutip peta serta risalah pelbagai negara terutamanya negara-negara Timur Tengah. Saya ingin sekali menjejak tinggalan para anbia' seperti yang dipaparkan dalam rancangan Jejak Rasul. Malah kami turut menyapu bersih risalah-risalah negara Australia. Walaupun saya tidak tahu bila saya akan berpeluang menjejakkan kaki ke sana, sekurang-kurangnya dengan melihat tempat-tempat menarik yang ada di negara tersebut, saya akan membina impian yang siapa tahu akan menjadi kenyataan. Segalanya berkemungkinan...

Saya puji keprihatinan penganjur pesta tersebut kerana turut menyediakan hand sanitizer di sudut-sudut dewan pesta. Kami sempat menggunakan kemudahan yang disediakan kerana memang risau juga sebenarnya dengan pelbagai jenis manusia yang ditemui sepanjang rondaan kami tadi.

Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian saya, jumlah pengunjung yang datang terutama orang Melayu agak berkurangann. Mungkin kerana diadakan pada bulan puasa atau mungkin kerana kegawatan ekonomi. Yang pasti, industri ini masih dikuasai oleh bukan Melayu. Saya tidak nampak keseimbangannya. Sekurang-kurangnya booth AirAsia adalah mewakili kaum India dan merupakan antara booth terbesar di pesta pada kali ini. Pendek kata, saya tidak nampak konsep 1Malaysia di situ. Rata-rata agensi pelancongan sama ada domestik atau antarabangsa dikuasai oleh kaum Cina. Saya mungkin boleh dituduh racist dengan kenyataan tersebut tetapi saya bercakap tentang realiti dan hakikat sebenar yang sedang berlaku.

Jam sudah pukul 3.30 petang. Beg kami pun sudah penuh berisi pelbagai risalah dan peta. Solat Zohor pun belum ditunaikan. Kami ambil keputusan untuk menamatkan sesi rondaan dan meninggalkan dewan pesta. Oleh kerana teman saya datang dengan pengangkutan awam, saya menawarkan diri untuk menghantar dia ke destinasi seterusnya kerana kebetulan rumah saya juga satu perjalanan dengan destinasinya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menerima sms dari seorang rakan mengajak untuk berbuka puasa beramai-ramai di rumah salah seorang teman kami yang terletak di Jalan Semarak. Oleh kerana saya tiada perancangan lain, saya bersetuju dengan cadangan tersebut dan kami berjanji untuk bertemu di persimpangan Jalan Semarak pada jam 6.00 petang. Jam 5.00 petang, saya mengajak adik lelaki saya ke bazar yang terletak di Wangsa Maju dengan menaiki motosikal. Suasana agak lengang kerana mungkin masih terlalu awal sebelum berbuka puasa. Selesai memborong apa yang patut, kami ke kembali ke rumah dan saya terus mencapai kunci kereta untuk memenuhi janji bertemu di persimpangan Jalan Semarak. Mujurlah adik lelaki bongsu saya ada untuk menemani abangnya berbuka puasa bersama-sama. Jika tidak, saya ada 2 pilihan iaitu sama ada tidak ikut serta jamuan berbuka puasa atau turut membawa adik saya menyertainya. Apa pun, saya rasa pilihan kedua mungkin agak sukar kerana adik saya mungkin enggan menyertai saya dan rakan-rakan. :)

Alhamdulillah, perjumpaan kami agak meriah dan disertai oleh 13 orang termasuk ahli keluarga masing-masing. Kadang-kadang saya rasa perjumpaan begini adalah perlu walaupun ada yang telah berkeluarga kerana dapat mengekalkan hubungan ukhuwwah yang terjalin dan memastikan hubungan itu berterusan kerana Allah jua.

Saya tiba di rumah lebih kurang jam 9.30 malam dan terus membersihkan diri. Usai mandi, saya berehat-rehat di kamar dan terlelap mungkin kerana keletihan meronda 3 buah dewan siang tadi dengan perut kosong. :) Apa pun, saya gembira kerana dapat meluangkan masa bersama teman-teman pada hujung minggu.

[P:/s: Gambar-gambar berkaitan catatan ini akan saya muat naik kemudian. Alasan? Saya lupa di mana saya telah meletakkan kabel telefon saya. :( ]

Thursday, September 3, 2009

Runtuh Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sedih. Semalam dinding kesabaran saya runtuh jua. Mujur tidak ranap dan punah ranah. Berjaya diselamatkan oleh Ramadhan Al-Mubarak. Puas hati ini saya pujuk agar menerima dugaan yang berlaku dengan melihat apakah hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Semalam saya dan pegawai-pegawai saya ada tugasan yang perlu dilaksanakan di sebuah tempat di Kepong. Tugasan ini sangat penting kepada saya kerana melibatkan banyak pihak dari pelbagai jabatan dan pangkat. Dari setinggi-tinggi pangkat kepada serendah-rendah pangkat. Namun bukan soal pangkat yang menjadi isu tetapi soal ketepatan masa dan soal memuliakan tetamu selaku penganjur sesebuah program. Jantung saya hampir tercabut semalam malah saya berdoa agar mempunyai kuasa mengghaibkan diri. Sehingga ke tahap itu.

Saya tiba di tempat kejadian lebih kurang jam 7.50 pagi. Saya dapati kawasan dewan sudah dipenuhi oleh para peserta.

"Awalnya mereka datang. Pendaftaran kan jam 9.00 pagi." getus saya dalam hati apabila melihat beberapa kumpulan sudah membanjiri lobi dewan.

Saya memarkirkan kenderaan di salah satu ruang tempat letak kenderaan sambil menyelak helaian akhbar sementara menanti ketibaan pegawai-pegawai bawahan saya yang dijangka bertolak dari Putrajaya pada jam 7.45 pagi. Jangkaan saya mereka akan tiba sebelum jam 8.30 pagi supaya kami sempat menyediakan meja pendaftaran dan mengedarkan fail kepada para peserta.

Peserta semakin ramai membanjiri lobi dewan tetapi kelibat pegawai-pegawai saya masih belum kelihatan. Saya resah. Jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi. Lalu saya capai telefon bimbit dari dalam beg tangan dan menghubungi salah seorang pegawai saya untuk bertanyakan lokasi kedudukan mereka sekarang.

"Assalamualaikum. Kat mana sekarang? Jauh lagi ke? Peserta dah ramai ni," tanya saya.

"Maaf Cik K, kami masih di pejabat. Ada sedikit masalah dengan kenderaan," jawab pegawai tersebut.

"Hah! Apa masalahnya?" soal saya kembali dengan debaran jantung yang semakin melaju.

"Pentabiran cuma bagi 1 kereta sahaja. Kami terpaksa tunggu pemandu tukar kenderaan kepada van," jelas pegawai tersebut kepada saya.

"Astaghfirullahala'azim!" saya beristighfar panjang mendengar penjelasan pegawai tersebut.

Debaran jantung semakin laju dan saya semakin resah. Talian telefon saya putuskan. Peserta semakin ramai sedangkan urus setia masih belum muncul dan saya sendiri masih berada di dalam kereta. Malu rasanya untuk berdepan dengan mereka kerana tiada jawapan kepada persoalan yang akan ditanya.

Lantas enjin kereta saya hidupkan dan bergerak meninggalkan tempat letak kereta. Saya sendiri tidak pasti arah yang harus saya tuju. Saya hilang arah buat seketika. Tidak dapat membayangkan kecelaruan dan kekalutan yang akan timbul selepas ini. Tiba-tiba saya teringat yang ketua saya akan datang untuk merasmikan program pada pagi ini. Saya segera menghubungi beliau dan dimaklumkan sudah berada dalam perjalanan. Debaran saya makin pantas. Peluh-peluh kecil sudah mula muncul di dahi saya membuktikan tahap kecemasan saya yang semakin meningkat. Saya buntu. Malu besar saya jika ketua saya tiba lebih awal daripada urus setia. Ditambah pula apabila telefon saya tidak berhenti-henti berbunyi menerima panggilan daripada para peserta apabila tidak melihat seorang pun wakil urus setia berada di perkarangan dewan.

Akhirnya saya menuju ke pintu pagar utama tempat itu dan berhenti sebentar untuk memperbetulkan kembali emosi saya. Dari situ, saya dapat melihat deretan kenderaan rasmi yang membawa peserta juga semakin banyak memasuki pintu pagar utama. Saya cuak.

Apakah yang harus saya lakukan?
Apakah yang harus saya jawab kepada peserta?
Bagaimana jika ketua saya tiba lebih awal daripada urus setia?

Bermacam-macam soalan timbul dalam kepala saya membuatkan saya semakin cemas. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja saya meninggalkan tempat itu dengan segera tetapi mujurlah akal waras saya masih normal. Saya nekad untuk kembali ke perkarangan dewan dan berdepan dengan kesemua peserta dengan muka tebal.

"Ini program aku. Baik atau buruk aku harus bertanggungjawab. Melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah," itu kata-kata saya untuk memujuk hati sendiri.

Enjin kereta saya hidupkan dan memandu kembali ke arah dewan. Tiba di perkarangan dewan, saya menghubungi pegawai saya sekali lagi dan dimaklumkan baru sahaja memulakan perjalanan. Jam sudah menunjukkan pukul 8.45 pagi. Saya hubungi ketua saya. Dia sudah semakin hampir dan dijangka tiba kurang dari 10 minit. Saya pasrah. Saat ini tiada apa lagi yang dapat saya lakukan. Hanya kekecewaan yang bersarang di hati. Saya melangkah keluar dari kereta dan dengan senyuman kelat cuba berhadapan dengan para peserta. Soalan-soalan yang diutarakan cuba saya jawab dengan tenang walau dalam hati hanya Allah yang tahu betapa malunya saya saat itu. Demi untuk meredakan mereka, saya menjemput mereka untuk memenuhi dewan terlebih dahulu sementara menanti ketibaan ketua saya. Alhamdulilllah, para peserta memberi kerjasama yang baik dan akur dengan permintaan saya tersebut dan memenuhi dewan tanpa membuat pendaftaran terlebih dahulu.

Saya cuba menyelesakan diri dengan memasang laptop yang akan digunakan semasa bengkel tersebut dan mengendahkan omelan dan kritikan yang sesekali singgah di telinga ini. Saya harus menelannya kerana kesilapan berlaku di pihak saya. Mereka tidak bersalah cuma menyatakan isi hati masing-masing sahaja. Rata-rata peserta yang hadir sudah saya kenali melalui siri-siri program yang saya anjurkan sebelum ini . Hal ini lebih memalukan saya kerana sebelum ini saya sememangnya dikenali sebagai seorang yang tegas, menepati masa dan mementingkan disiplin. Justeru, apabila berlaku kesilapan seumpama ini, saya menjadi teramat malu untuk berdepan dengan mereka. Lantas apa jua komen yang mereka utarakan saya terima dan telan bulat-bulat sahaja.

Pukul 9.20 pagi, ketua saya tiba dan saya cuba memaniskan wajah menyambut kedatangan beliau walau dalam hati penuh debaran. Tidak tahu apakah alasan yang ingin diberi.

"Urus setia u lambat la, i gerak tadi diaorang masih angkut barang lagi," omel ketua saya.

Saya hanya tersenyum sahaja. Bimbang jika saya menjawab akan memburukkan lagi keadaan. Saya melayan pertanyaan-pertanyaan beliau dan mujurlah ada satu perkara yang menyelamatkan saya saat itu. Beliau ternyata gembira melihat jumlah kehadiran yang ramai. Ya benar, jumlah yang datang menjangkaui jangkaan kami. Sangka kami, kedatangan mungkin hanya mencecah 50% sahaja memandangkan program diadakan pada bulan puasa. Ternyata telahan kami silap. Malah jumlah yang datang melebihi senarai yang diterima sebelum ini. Dari aspek itu, saya bersyukur kerana program yang dibuat mendapat sambutan baik.

"Urus setia u kat mana sekarang?" soal ketua saya yang membuat saya tidak keruan.

Saya sms pegawai saya dan diberitahu berada di lebuhraya. Aduh, nampaknya saya perlu melengahkan ketua saya sementara menanti ketibaan mereka. Mujurlah dewan tersebut mempunyai kemudahan bilik menunggu VIP dan saya bawa ketua saya ke situ buat sementara waktu. Para peserta juga sudah semakin gelisah. Saya lebih lagi gelisahnya. Saat itu saya rasa jantung saya bakal gugur.

Saya tinggalkan ketua saya bersama salah seorang pegawai di sana yang sudi membantu saya dalam saat-saat genting itu. Syukur Allah masih mengasihani saya. Saya ke lobi, mundar-mandir di situ menanti ketibaan van yang membawa urus setia saya. Gelisah tak terkata.

Akhirnya jam 9.45 pagi, van meluru laju memasuki perkarangan dewan. Saat itu saya terasa ingin sujud syukur tetapi ada tugasan besar yang sedang menanti kami. Tanpa banyak soal, saya arahkan mereka membawa barang-barang ke meja pendaftaran dengan segera. Pegawai yang telah ditugaskan menjadi pengerusi majlis, saya arahkan agar segera memasuki dewan dan mengambil tempat di rostrum. Saya pula bergegas mendapatkan talking points untuk ketua saya yang telah saya sediakan sebelum ini tetapi ditinggalkan kepada urus setia untuk membawanya. Segera saya bawa dokumen tersebut kepada ketua saya untuk diteliti dan digunakan semasa ucapan perasmian sebentar nanti. Saya terpaksa mengarahkan agar majlis dimulakan terlebih dahulu dan sesi pendaftaran ditunda kepada waktu rehat sebaik selesai majlis perasmian.

Jam 9.55 pagi, majlis dimulakan dan ketua saya memulakan ucapan beliau. Waktu itu meskipun rasa malu masih menyelubungi diri saya, saya cuba gagahkan diri melupakannya dan meneruskan baki majlis dengan sebaik mungkin. Namun nampaknya Allah masih mahu menguji saya. Dari atas pentas, saya mendapati pegawai-pegawai saya mengedarkan fail kepada para peserta sedangkan ketua saya masih menyampaikan ucapan. Saya terkilan kerana arahan telah diberikan sebelum ini agar fail diberikan semasa pendaftaran sebaik tamat majlis perasmian. Sebaik menerima fail tersebut, peserta sudah tidak lagi memberi tumpuan kepada ucapan yang disampaikan tetapi sibuk membelek-belek isi kandungan fail tersebut. Saya kepanasan di atas pentas. Saya langsung tidak dapat memberi perhatian kepada ucapan yang disampaikan.

"Kenapa edarkan fail semasa sesi ucapan? Mengganggu tumpuan peserta. Tolonglah saya...," saya sms pegawai saya mempersoalkan tindakan beliau melanggar arahan saya sebelum ini.

"Maafkan saya. Perlu saya stop atau terus edar?" sms balas yang saya terima.
Saya tidak menjawab sms itu. Membiarkan dia sendiri memikirkan jawapannya. Mendapatkan pandangan selepas melakukan perkara tersebut sudah tidak memberi sebarang makna kepada saya. Kekecewaan yang cuba saya buang jauh-jauh sebentar tadi kembali bertandang di hati saya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi. Malah ada beberapa perkara lagi yang telah berlaku yang menambah parah kekecewaan di hati saya saat itu. Terus-terang, benteng kesabaran yang cuba saya pertahankan selama ini kian meruntuh.

Saat ketua saya hampir menamatkan ucapan, pengerusi majlis masih tidak kelihatan. Saya gelisah. Terpaksa saya sms beliau agar bersedia dan bukannya ke sana ke mari kerana bimbang ketua saya sudah menamatkan ucapan tetapi pengerusi majlis entah ke mana.

Ujian berterusan apabila kepincangan demi kepincangan berlaku lagi sewaktu sesi penyerahan watikah pelantikan. Nama-nama yang sepatutnya ada dalam senarai tidak mendapat sijil dan pelbagai kesalahan lagi yang terus menambah kekecewaan hati saya.

Apabila tiba waktu rehat, saya segera memanggil pegawai saya dan mempersoalkan tindakan beliau 'melanggar' arahan saya sebentar tadi. Saat itu saya rasakan air mata saya hampir tumpah. Sebak tetapi cuba saya tahan sebaik mungkin kerana sedar berada di sekeliling manusia yang dikenali. Pegawai tersebut hanya membatukan diri dan saya tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu sebaliknya bersiap untuk sesi seterusnya. Saya gagahkan diri meneruskan jua apa yang saya sendiri telah mulakan. Adalah menjadi kepantangan saya meninggalkan sesuatu pekerjaan separuh jalan. Seboleh mungkin saya akan berusaha menghabiskan apa yang telah saya mulakan.

Sesi seterusnya berjalan seperti dirancang meski dalam hati saya penuh kerisauan dengan apa lagi ujian yang bakal saya depani. Saya akui sesi seterusnya juga ada kekurangan tetapi saya telan jua kerana tiada apa lagi yang mampu saya lakukan. Kini saya hanya boleh melakukakan yang terbaik dengan apa yang ada di hadapan saya sahaja dan sesi seterusnya yang akan saya kendalikan.

Sesi kemudian berhenti rehat pada jam 1.00 petang. Saya segera mendapatkan senarai nama untuk disusun bagi sesi seterusnya. Sementara peserta bercempera menuju haluan masing-masing. Bagi yang Muslim, menuju ke masjid berdekatan manakala bagi yang Bukan Muslim, ke kedai makan barangkali.

Sementara itu saya dan urus setia yang lain sibuk menyusun atur dewan untuk sesi seterusnya. Sesi tersebut terpaksa kami pecahkan kepada 2 buah dewan berikutan jumlah peserta yang terlalu ramai. Alhamdulillah, mujurlah seorang lagi pegawai saya telah sudi datang membantu saya bagi sesi petang tersebut. Saya akan mengendalikan dewan 1 manakala dewan 2 saya serahkan kepada beliau untuk dikendalikan.

Jam 2.30 petang, sesi dimulakan. Alhamdulillah peserta memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh sesi tersebut dan saya amat berpuas hati kerana dapat berkongsi pandangan dan komen bersama mereka. Saat itu, perasaan saya sudah semakin lega. Kekecewaan yang masih bersarang cuba saya lupakan buat seketika.

Sesi akhirnya tamat pada jam 4.20 petang dan kami bekalkan peserta dengan sedikit buah tangan berupa kurma dan air mineral untuk dimakan semasa berbuka puasa. Akhirnya, sebelum meninggalkan dewan, seorang peserta telah datang berjumpa saya dan mengatakan sesuatu yang sedikit sebanyak mengubati kekecewaan saya sedari pagi tadi.

"Cik Karimah, good job!" itu kata beliau.

Saya sungguh terharu dengan kata-kata itu dan saya pulang petang itu dengan kekecewaan yang sedikit terubat dan cuba bermuhasabah apakah pengajaran yang ingin diberikan Allah kepada saya pada hari itu. Selama ini sepanjang 3 tahun mengendalikan bengkel atau kursus, saya dan urus setia tidak pernah tiba lewat daripada peserta dan kejadian hari ini merupakan yang pertama buat saya. Saya sering mementingkan kesempurnaan tetapi hari ini saya diuji dengan ketidaksempurnaan. Saya sering menegur urus setia lain yang tiba lewat sewaktu saya menjadi peserta program mereka tetapi hari ini saya diuji agar lebih memahami perasaan mereka.

Malam itu saya merenung jauh. Saya hubungi seorang teman untuk berkongsi rasa dengannya dan meneliti hikmah di sebalik kejadian itu. Saya akui mungkin saya juga ada melakukan kesilapan yang tidak saya sedari. Saya mungkin hanya nampak kesilapan pegawai-pegawai saya tetapi tidak sedar kesilapan itu berakar umbi daripada saya jua. Saya cuba merenung-renung sedalam-dalamnya. Saya nekad untuk bersua muka, berkongsi rasa dengan pegawai-pegawai saya selepas ini. Bukan untuk mencari kesilapan tetapi memperbetulkannya. Bukan untuk mencari titik perbezaan tetapi titik persamaan.

"Ya Allah, Kau satukanlah hati-hati kami ini agar senantiasa berada di atas jalan-Mu supaya kami dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin."