Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, August 12, 2009

Travelog Kembara Iman: KLIA - Bahrain

Bismillahirrahmanirrahim...

[Nota: Penulis mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan travelog ini atas faktor masa kerana penulis ingin benar-benar menghayati perjalanan yang cukup bermakna dalam hidup ini.]

4 Jun 2009:
Jam 8.00 pagi, aku dan ahli keluarga yang bakal menjadi Duyufurrahman (Tetamu Allah) telah siap untuk bertolak ke KLIA. Kami dikehendaki untuk berada di KLIA 3 jam lebih awal bagi menyelesaikan urusan daftar masuk barang-barang dan paspot. Di samping itu juga, kami akan diperkenalkan dengan wakil ejen yang akan bersama kami sepanjang perjalanan selama 2 minggu nanti.

Mungkin kerana teruja dengan perjalanan yang bakal ditempuh, seawal jam 6.00 pagi aku sudah selesai bersiap walaupun aku tidur agak lewat pada malamnya kerana menyiapkan tugasan terakhir sebelum meninggalkan urusan pejabat kepada pegawai bawahan.

Jauh di sudut hati aku mengakui semacam ada rasa tidak percaya bahawa hari ini merupakan hari yang kami tunggu-tunggu selama beberapa bulan. Hari ini kami akan memulakan perjalanan menuju ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan dalam doa selepas Solat Subuh kerana dengan izin-Nya jua, maka aku dan keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat serta dapat memenuhi impian kami untuk menunaikan umrah bersama-sama.

Van shuttle yang telah ditempah lebih awal dan akan membawa kami ke KLIA sudah sedia menunggu di lobi. Abang-abang dan keluarga masing-masing yang mengiringi kami hanya menghantar kami sehingga ke lobi hotel sahaja kerana tidak mahu membebankan mereka.




Perjalanan ke KLIA hanya memakan masa 30 minit sahaja melalui jalan dalam. Aku sangkakan kami antara jemaah yang terawal tiba di KLIA memandangkan penerbangan menaiki Gulf Air dijadualkan pada jam 11.30 pagi tetapi sebaliknya yang berlaku. Kami merupakan antara jemaah yang agak lewat tiba sedangkan jemaah-jemaah lain sudah sedia beratur mendapatkan tiket, pasport dan tanda pengenalan yang diberikan oleh ejen. Apapun, ketibaan kami sebenarnya tidaklah terlalu lewat daripada waktu yang telah ditetapkan oleh ejen untuk berkumpul di KLIA iaitu 3 jam lebih awal sebelum penerbangan.

Oleh kerana ejen telah memilih Gulf Air bagi perjalanan ke Jeddah, kami akan singgah untuk transit di Bahrain selama 1 malam sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan paginya. Penerbangan ke Bahrain dijangka akan memakan masa selama 7 jam. Aku tidak dapat membayangkan berada selama itu di dalam sebuah kapal terbang kerana pengalaman lepas paling lama aku berada di dalam kapal terbang adalah 3 jam sahaja iaitu semasa bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah pada tahun lepas.


Memandangkan ini merupakan perjalanan antarabangsa yang pertama bagi aku dan adik-adik (ibu bapa sudah pernah menunaikan ibadat Haji sebelum ini), kami cuba untuk mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, urusan daftar masuk barang-barang dan pengesahan pasport selesai dalam masa kurang dari 2 jam. Selesai urusan tersebut, kami terus bergerak menuju ke kaunter pengurup wang untuk membuat pertukaran matawang untuk kegunaan semasa di Bahrain kelak. Walau bagaimanapun, berlaku satu insiden yang tidak sepatutnya bagi aku apabila matawang yang diberikan oleh pengurup wang tersebut adalah bukan matawang yang digunakan di Bahrain.

Aku diberikan matawang Dirham apabila memaklumkan bahawa matawang tersebut adalah untuk kegunaan di Bahrain. Tanpa banyak soal, aku menerima sahaja jumlah dan jenis matawang tersebut dan meneruskan pergerakan menuju ke Balai Berlepas dengan menaiki aerotrain. Insiden ini sebenarnya memberi pengajaran kepada diri aku apabila mendapati matawang yang diterimapakai di Bahrain adalah Riyal dan Bahrain Dinar (BD) sahaja. Sedikit sebanyak aku turut menyalahkan pengurup wang tersebut kerana tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab tetapi pada masa yang sama, kesilapan turut ada di pihak aku apabila gagal mendapatkan maklumat terlebih awal daripada Internet tentang matawang Bahrain. Perkara ini menjadi pengajaran kepada aku agar lebih berhati-hati dan mempersiapkan diri dengan maklumat yang boleh diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak terlalu bergantung dengan orang lain atau pihak-pihak yang kurang bertanggungjawab.

Tambahan pula nilai pertukaran matawang yang agak tinggi antara RM dan BD membuatkan kami berfikir berpuluh-puluh kali sebelum membuat sebarang transaksi. Bayangkan, BD1 adalah bersamaan dengan RM10.

Perjalanan selama 7 jam Alhamdulillah dilalui dengan baik malah aku sempat menikmati pelbagai hiburan Bollywood yang disediakan di dalam kapal terbang tersebut. Kami tiba di Bahrain pada jam 1.30 petang. Bayangkan, bertolak pada jam 11.30 pagi. Perjalanan memakan masa selama 7 jam tetapi kami tiba di Bahrain jam 1.30 petang. Perbezaan masa selama 5 jam antara Malaysia dan Bahrain membuatkan kami agak pening-pening lalat. Jika di Malaysia, waktu sudah sepatutnya jam 6.30 petang. Waktu Asar di Bahrain masuk pada jam 3.30 petang, maka ketibaan kami pada jam 1.30 petang adalah dalam waktu Zohor. Subhanallah! Barulah aku memahami maksud bahawa walau di inci bumi mana pun kita berada, Allah dengan sebegitu teliti telah mengatur agar kita mempunyai ruang waktu untuk menunaikan solat kepadaNya.

Sewaktu di lapangan terbang Bahrain, berlaku satu insiden yang pada aku agak mengecewakan. Wakil ejen yang sepatutnya menjadi penunjuk arah kepada kami hanya membatukan diri dan tidak berbuat perkara yang sepatutnya dibuat oleh seorang penunjuk arah. Jangkaan kami, beliau akan memberi penerangan kepada kami akan proses yang perlu kami lalui dan perjalanan seterusnya yang akan ditempuh. Abah aku sudah mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan sikap wakil ejen tersebut. Demi untuk meredakan keadaan, aku dan adik-adik memberanikan diri membuntuti jemaah-jemaah lain yang sebenarnya turut kebingungan seperti kami. Alhamdulillah kami berjaya melepasi sekatan-sekatan yang ada di situ dan beredar menuju ke ruang transit dan menunggu arahan seterusnya daripada penunjuk arah tersebut. Sekali lagi beliau hanya menyerahkan tanggungjawab memberi penerangan kepada salah seorang jemaah yang berada dalam kumpulan kami.

Selesai urusan pemeriksaan keselamatan dan paspot, kami diberikan tiket transit dan akan dibawa untuk menaiki bas ke rumah penginapan yang telah disediakan oleh pihak penerbangan. Memandangkan hanya sebuah bas mini diperuntukkan untuk membawa kami ke rumah penginapan, kami terpaksa menunggu giliran hampir 2 jam di lapangan terbang sebelum dibawa ke rumah penginapan.

Tiba di rumah penginapan, berlaku 1 insiden lagi yang hampir-hampir mencabar kesabaran aku. Sudahlah penunjuk arah tidak faham Bahasa Inggeris, dia membiarkan pula kami terkial-kial mengatur kedudukan bilik. Aku membantah kami dicampur adukkan dengan jemaah lain kerana rumah penginapan yang disediakan adalah apartmen 3 bilik. Seeloknya kami diletakkan dalam 1 apartmen sahaja kerana jumlah kami adalah 6 orang. Begitu juga jemaah lain yang tidak berpuas hati dengan pembahagian bilik tersebut kerana dipecah-pecahkan tanpa mengira muhrim masing-masing. Lebih mengejutkan apabila paspot abah dan adik bongsuku diambil tanpa makluman dan keduanya terus dibawa ke bilik apartmen dan meninggalkan kami yang lain di ruang lobi. Aku yang pada awalnya hanya mendiamkan diri membiarkan penunjuk arah menyelesaikan urusan dengan pihak hotel terpaksa membuka mulut apabila melihat keadaan sudah berada di luar kawalan. Ummiku sudah mula resah apabila abah dan adikku dibawa pergi tanpa diketahui ke mana. Aku memberanikan diri bersemuka dengan wanita India yang bertugas di kaunter.

"Excuse me, can i know what is going on? You have taken my father and my brother without telling us anything," aku bertanya kepada gadis India tersebut.

"You understand English?" balas gadis India tersebut.

"Of course, I am. What's the problem? Can you please explain to me?" Aku cuba mengambil peluang sebaik gadis India tersebut memberi perhatian kepada aku.

Astaghfirullahala'azim! Aku beristighfar panjang. Rupa-rupanya penunjuk arah tersebut tidak tahu dan tidak faham berbahasa Inggeris langsung. Patutlah susun atur penginapan jemaah yang dibuat tunggang langgang dan bercampur aduk. Aku segera menyuarakan agar kami berenam ditempatkan dalam 1 apartmen memandangkan kami memang sekeluarga. Mendengarkan penerangan aku, gadis India tersebut segera mengarahkan Bellboy agar membawa kami ke bilik yang sama di mana abah dan adikku telah ditempatkan sebelum ini. Melihatkan keadaan tersebut, jemaah-jemaah lain juga turut menghampiri gadis India tersebut dan mendapatkan bilik penginapan masing-masing. Aku tidak tahu bagaimana pembahagian bilik bagi jemaah-jemaah lain. Yang ada dalam kepala aku pada waktu itu adalah mengumpulkan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu.

Tiba di bilik, kami terus menunaikan solat Jama' Ta'akhir memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Aku merasa terlalu letih dan mengantuk kerana perbezaan waktu dan berdepan dengan insiden-insiden tadi tetapi cuba menggagahkan diri kerana kami merancang untuk keluar bersiar-siar usai solat Jama' Taqdim nanti.

Ternyata tiada tempat yang menarik di sekitar apartmen yang boleh dikunjungi. Lebih mengecewakan apabila matawang yang dibawa tidak boleh digunapakai. Terpaksalah kami menjamu mata sahaja di samping berjalan-jalan melihat suasana Bahrain. Ada sesetengah jemaah yang mengambil peluang untuk menyewa kereta dengan kadar 220 Riyal bagi 2 jam. Aku tidak sanggup menghabiskan wang yang sebegitu banyak tambahan pula cuaca di Bahrain yang agak panas membuatkan kami tidak berapa selesa menghabiskan masa di luar apartmen. Kami dimaklumkan akan berdepan keadaan cuaca yang sama sewaktu di Madinah dan Makkah kelak.

5 Jun 2009:

Waktu Subuh masuk pada jam 3.30 pagi. Aku terasa begitu berat dan liat untuk bangun kerana seolah-olah tidak percaya untuk menunaikan solat Subuh pada waktu tersebut. Usai solat Subuh, kami menyambung tidur kerana sarapan hanya akan disediakan pada jam 7.00 pagi. Penerbangan kami ke Jeddah pula adalah pada jam 1.00 petang. Dalam waktu senggang tersebut, ramai juga jemaah yang masih mencuri peluang melawat bandar Bahrain dengan menaiki kereta sewa dan tidak kurang juga yang hanya berehat di bilik masing-masing sahaja.

Selesai sarapan, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki di sekitar kawasan apartmen. Dari kejauhan, kami ternampak kubah sebuah masjid dan mengambil keputusan untuk mendekati masjid tersebut. Sangka kami jarak masjid tersebut dekat tetapi sebenarnya agak jauh juga. Paling kasihan ummiku yang sudah mula sakit lutut kesan pergerakan yang banyak dan jauh. Perkara ini sebenarnya merisaukan aku juga kerana bimbang ummiku mempunyai masalah menyempurnakan aktiviti-aktiviti yang perlu ditunaikan semasa di Tanah Suci kelak. Apapun, segalanya aku serahkan kepada-Nya jua, semoga niat suci kami dipermudahkan-Nya.






Kami dimaklumkan untuk berkumpul di lobi tepat jam 9.00 pagi dan sebuah bas mini disediakan untuk membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Oleh kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan jemaah lain untuk mendapatkan paspot semasa daftar keluar (check-out), lebih kurang jam 8.45 pagi kami sudah turun awal ke lobi. Jangkaan kami sudah tentu wakil ejen akan menunggu di lobi untuk memastikan kesemua jemaah adalah mencukupi dan selamat bertolak ke lapangan terbang. Jangkaan kami ternyata meleset. Ternyata kami adalah kumpulan pertama yang turun ke lobi dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan paspot dan menunggu giliran dibawa ke lapangan terbang. Malah kali ini kami terpisah apabila sebahagian terpaksa menaiki bas mini manakala sebahagian menaiki van mini. Aku, ummi dan 2 orang adik terpaksa menaiki van mini dan bersesak-sesak dengan jemaah lain. Bayangkan sebuah van mini memuatkan 14 orang tidak termasuk beg dan peralatan lain. Kebetulan seorang jemaah yang diserang strok turut menyertai rombongan kami, maka sebuah kerusi roda turut dimuatkan dalam van tersebut. Aku rasa kalau di Malaysia mesti sudah lama kena tahan dengan JPJ. Dalam keadaan bersesak-sesak, kami selamat tiba di lapangan terbang pada jam 10.30 pagi. Penerbangan kami ke Jeddah dijadualkan pada jam 1.00 petang.

Sementara menunggu waktu berlepas, kami berlegar-legar di ruang berlepas. Oleh kerana kadar tukaran wang yang tinggi, kami tidak membeli apa-apa barang atau cenderahati untuk dibawa pulang. Walau bagaimanapun, adik lelakiku sempat membeli ban dan air tin daripada sebuah kiosk yang berada dalam ruang tersebut. Bayangkan, harga bagi kedua-dua makanan tersebut adalah bersamaan dengan RM50.

Pada saat inilah aku merasakan betapa benarnya pesan orang-orang tua,'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.' Ternyata kemudahan yang disediakan di KLIA jauh lebih baik berbanding di Bahrain. Di sini, hanya partition menjadi dinding pemisah antara satu ruang berlepas ke ruang berlepas yang lain malah kemudahan tempat duduk yang disediakan juga sangat terhad. Lebih meletihkan apabila kami terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran menaiki bas yang akan membawa kami menaiki kapal terbang. Malah sepanjang pengamatan aku, mereka tidak pernah menepati jangka waktu yang telah ditetapkan bagi sesuatu proses.

Jauh di sudut hati, aku merasakan bahawa bukan mudah untuk menjadi Tetamu Allah. Pelbagai ranjau dan onak perlu ditempuh demi sebuah keredhaan-Nya jua.

"Andai ini harga yang harus dibayar untuk bertemu-Mu Ya Allah, aku redha," itu doaku tidak putus-putus sepanjang menempuh perjalanan yang cukup memenatkan ini.



Alhamdulillah, segala urusan berjaya diselesaikan dan kami selamat menaiki kapal terbang Gulf Air untuk meneruskan perjalanan selama hampir 3 jam pada jam 2.00 petang.

Debaran semakin menggunung dalam dada ini apabila memikirkan perjalanan yang semakin menghampiri rumah-Nya...layakkah aku Ya Allah menjejakkan kaki ke bumi-Mu yang suci?

Bersambung...

No comments: