Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan datang lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Setinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam Semesta kerana izin-Nya jua maka saya dapat bertemu dengan Ramadhan 1430H. Betapa tanpa izin-Nya maka saya tidak mungkin akan dapat bertemu dengan bulan maghfirah, bulan penuh keberkatan dan kerahmatan. Saya masih terbayang-bayang pemergian vokalis kumpulan nasyid Rabbani yang kembali kepada-Nya saat Ramadhan hampir memunculkan diri. Sudah pasti arwah tidak tahu bahawa Ramadhan pada tahun lepas merupakan Ramadhan yang terakhir dalam hidup beliau. Hal yang sama juga pasti akan berlaku pada saya atau pada kita semua pada suatu hari nanti. Malah saya sering berfikir, 'Adakah ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat diriku? Seandainya Ramadhan ini merupakan yang terakhir buat diriku, Kau jadikanlah Ramadhan ini lebih baik dan terbaik daripada Ramadhan sebelum ini.'

Itu pinta saya. Moga dimakbulkan-Nya. Mengambil prinsip itu, saya mengambil keputusan untuk menyambut 1 Ramadhan di kampung. Saya bertolak pulang ke kampung pada hari Jumaat, jam 12.00 tengah malam bersama adik-adik, kakak ipar dan anak-anak saudara. Perjalanan kami lancar dan kami tiba lebih kurang jam 4.00 pagi. Kepada Abah, telah saya maklumkan kepulangan kami lebih awal kerana bimbang lauk bersahur tidak mencukupi :)

Terus-terang, pada mulanya saya merancang untuk pulang pada cuti Hari Kebangsaan yang jatuh pada minggu hadapan tetapi apabila mengenangkan meriahnya sesuatu perkara terletak pada permulaannya, saya berubah fikiran. Apabila adik lelaki saya juga yang kebiasaannya bertugas pada hari Sabtu telah pun mengambil cuti, saya tidak perlu berfikir panjang lagi.

Seingat saya, saya mula diajar (disuruh sebenarnya) untuk berpuasa pada umur 7 tahun. Saya akui walaupun saya disuruh untuk berpuasa sebulan, ada hari-hari tertentu yang saya rasa sungguh tidak larat dan saya 'tuang' puasa. Saya masih ingat curi-curi minum air apabila Ummi di luar rumah menyapu halaman sementara menunggu waktu berbuka. Seingat saya juga, kami adik beradik yang masih belum mukallaf akan bergilir-gilir mengadu kepada Ummi tentang perbuatan 'tuang' puasa tersebut. Pun begitu, semua itu kami lakukan secara sembunyi-sembunyi dan sudah tentu kami tidak berani melakukannya secara terbuka kerana bimbang akan dimarahi oleh Abah. Saya yakin Ummi sememangnya mengetahui tindakan kami tetapi tidak mahu ambil serius kerana kami masih dalam proses latihan. Jauh di sudut hati, kami sebenarnya risau juga jika perbuatan kami sampai ke telinga Abah. Abah memang seorang yang garang. Saya masih ingat, kami memang selalu mengelak untuk bertembung dengan Abah sekiranya kami melakukan kesalahan. Selalunya rumah TokWan yang terletak tidak jauh daripada rumah kami akan menjadi 'tempat persembunyian' sementara menanti suasana reda. Ada juga keadaan apabila kami gagal dan tidak sempat melarikan diri, tali pinggang akan menjadi habuan kami. Saya tidak menafikan yang sewaktu kecil kami memang agak nakal. Kadang-kadang perkara yang dilakukan memang membahayakan kami tetapi akal pendek kami pada waktu itu membataskan fikiran kami untuk membayangkan kemungkinan dan akibat perbuatan kami. Saya masih ingat, kami sering memanjat pokok jambu yang terletak berhampiran rumah TokWan. Dengan gembira, kami akan melompat dari satu dahan ke dahan yang lain. Sekali sekala membalikkan badan dengan menggantungkan kaki di salah satu dahan di pokok tersebut. Kami gembira. Dunia ini kami yang punya.

'Hoi!' Kedengaran suara TokWan menjerkah kami dari bawah.

Bertempiaran kami terjun dari pokok dan kembali ke rumah untuk menyelamatkan diri dari dipukul oleh TokWan. Yang pasti laporan akan diterima oleh Abah dan kami harus bersedia untuk menerima akibatnya. Namun, kini semua kejadian itu menjadi kenangan manis untuk diingati oleh kami.

Itu kenangan di zaman kanak-kanak. Seawal usia 13 tahun, saya mula memasuki asrama penuh. Meskipun masih di Terengganu, saya jarang dapat pulang ke kampung kecuali pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Pun begitu, masih segar dalam ingatan saya, tiap kali saya berpeluang untuk pulang ke kampung pada bulan Ramadhan, Abah akan menghantar saya kembali ke asrama pada pagi Ahad dengan menaiki motorsikal. Cuaca sejuk pada awal pagi dan perjalanan yang memakan masa 1 jam lebih sememangnya meletihkan. Malah pernah pada satu ketika, Abah hampir-hampir tertidur sewaktu sedang membawa motorsikal. Nyaris kami terbabas tetapi mujurlah Abah cepat tersedar dan dapat mengawal keadaan. Kebiasaannya, saya akan menaiki bas pada petang Sabtu setiap kali ingin kembali ke asrama. Namun, banyak kali juga Abah mempelawa untuk menghantar saya pulang pada pagi hari Ahad. Sudah tentulah tawaran Abah itu saya terima dengan senyuman yang lebar. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Yang pasti, selepas itu saya terpaksa berjumpa warden dengan alasan yang kukuh demi untuk mendapatkan kembali kad keluar yang telah ditahan kerana masuk lewat. Saya tidak ingat alasan-alasan yang telah saya berikan kepada warden untuk mendapatkan kembali kad tersebut kerana pada kebanyakan waktu saya berjaya mendapatkannya semula. Walau bagaimanapun, ada juga ketika alasan saya ditolak dan saya gagal mendapatkan semula kad saya malah didenda tidak boleh keluar pada minggu berikutnya. Saya terima hukuman yang diberikan dan seingat saya, tidak pernah saya keluar asrama tanpa kebenaran daripada warden.

Sepanjang tinggal di asrama, saya berbuka puasa bersama teman-teman di dewan makan dengan menikmati hidangan di dalam tray. Seawal jam 6.00 petang, kami sudah beratur untuk mendapatkan makanan berbuka. Tiada istilah keluar untuk membeli makanan berbuka puasa, tambahan pula saya tiada wang pada waktu itu untuk membeli-belah sesuka hati. Selalunya barisan akan membentuk huruf L dan kadang-kadang huruf U. Sering kali akan berlaku aksi cutting line (potong barisan) dan booking line (tempah kedudukan dalam barisan walaupun masih berada di bilik). Akan kedengaran suara-suara yang menegur pesalah-pesalah laku tersebut dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith tetapi selalunya tidak memberi sebarang kesan. Aduh, sungguh seronok mengenang kisah lalu. Paling seronok, tiap kali tiba waktu berbuka, bukan laungan azan yang kami nantikan sebaliknya bunyi dentuman meriam yang dilepaskan dari atas Bukit Puteri. Suasana akan menjadi hening beberapa minit sebelum tiba waktu berbuka.

'Dummm!'

Saya tidak ingat berapa das yang dilepaskan tetapi seingat saya lebih daripada tiga kali. Apabila kedengaran sahaja bunyi dentuman pertama, suasana menjadi ceria dan bingit dengan suara-suara gembira dapat berbuka puasa. Pembaca doa yang ditugaskan akan membacakan doa dan diaminkan oleh semua isi dewan makan.

Jika bab bersahur, selalunya saya yang akan menjadi tukang kejut kepada kakak-kakak tukang masak. Pada bulan puasa, tukang masak diberikan satu bilik khusus untuk mereka tidur apabila selesai memasak (sewaktu kami solat tarawih) dan menunggu waktu bersahur. Saya bangun awal pada bulan puasa dan bersama-sama kawan baik saya dan senior-senior sedorm, kami akan bersahur beramai-ramai dan jumlahnya tidak seramai sewaktu berbuka. Mungkin liat untuk bangun agaknya. Selesai bersahur, kami terus mandi dan bersiap untuk Solat Subuh. Kami perlu mandi awal kerana air akan kehabisan pada jam 6.30 pagi kerana ramai yang akan mandi pada waktu tersebut. Begitulah rutin selama tiga tahun bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu.

Di situ, kami akan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Pada waktu itu, oleh kerana keluasan surau tidak mampu menampung jumlah kami maka solat tarawih diadakan di dewan besar sekolah. Solat akan diimamkan oleh guru-guru berbangsa Arab yang mengajar kelas Thanawi. Bermacam-macam aksi dapat dilihat sepanjang menunggu habisnya sesi solat tarawih. Paling kami tidak tahan apabila imam membaca satu surah pada setiap rakaat. Ada yang hampir-hampir tumbang (saya tidak terkecuali) menunggu bacaan habis dibaca oleh imam. Selalunya solat tarawih pada waktu itu akan tamat pada jam 10.30 malam dan kadang-kadang mencecah jam 11.00 malam. Pernah juga saya cuba-cuba lari meninggalkan solat tarawih sebaik selesai lapan rakaat kerana perlu mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi ujian pada keesokkan harinya. Saya pernah meminta kebenaran daripada warden agar kami dibenarkan untuk menunaikan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja memandangkan solat tarawih bagi 20 rakaat tamat terlalu lewat dan membuatkan kami tidak cukup masa untuk menyiapkan kerja rumah. Akhirnya peraturan dikeluarkan: walaupun kami diwajibkan untuk menghabiskan solat tarawih sehingga 20 rakaat, kami dibenarkan untuk berhenti selepas lapan rakaat tetapi dengan syarat kami perlu ke kelas untuk mengulangkaji dan bukannya melepak di asrama. Saya lega kerana usaha membuahkan hasil. Pun begitu, saya bersetuju dengan ketegasan warden tersebut kerana sebelum ini ramai yang mengambil kesempatan untuk tidur dan berbual-bual kosong di asrama apabila kewajipan menghabiskan solat tarawih tidak dikuatkuasakan.

Sewaktu di tingkatan 4, saya berpindah sekolah ke Maktab Rendah Sains Mara, Muar, Johor. Rutin saya berubah apabila saya tidak lagi dapat pulang menyambut Ramadhan di kampung. Seluruh Ramadhan dihabiskan di asrama dan kelas sahaja bersama teman-teman seperjuangan. Mereka menjadi teman saya bersahur, berbuka dan bersolat tarawih. Berbeza dengan sekolah sebelum ini, di sini selalunya kami hanya akan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja dan selepas itu kami perlu ke kelas untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah.

Saya hanya dapat pulang menyambut Ramadhan beberapa hari sebelum tiba Syawal apabila dihantar pulang oleh pihak sekolah. Uniknya kemudahan bagi pelajar-pelajar di MRSM adalah mereka akan disediakan kemudahan pengangkutan ke semua destinasi bagi cuti-cuti umum berjadual. Selalunya saya akan menaiki bas bersama teman-teman di Pantai Timur dan bas akan berhenti di setiap perhentian untuk menurunkan teman-teman kami yang tinggal di situ. Oleh kerana kami bertolak selepas solat Tarawih, saya akan tiba di stesen bas di kampung pada jam 3.00 pagi. Abah pasti sudah sedia menunggu saya bersama beberapa orang ayah yang juga menunggu anak masing-masing. Dua tahun saya berpuasa jauh dari keluarga.

Selesai SPM, dengan keputusan yang baik dan seperti yang saya sasarkan, saya menyambung pelajaran di UIA. Dua tahun pertama, saya ditempatkan di Pusat Matrikulasi UIA, Lembah Pantai. Kehidupan di sini terpaksa saya lalui sepertimana di MRSM cuma bezanya tiada lagi tukang masak yang perlu dikejut. Tiada lagi hidangan yang perlu diletakkkan di dalam tray. Suasana berubah. Makanan perlu dibeli sendiri. Kehidupan dan perbelanjaan perlu diatur agar tidak terlepas bajet. Saya fikir di sini saya sudah mula mengenali realiti sebenar kehidupan. Saya mula memahami erti 'ikat perut'. Jika sebelum ini saya 'mewah' menikmati makanan sepanjang tinggal di asrama, kini saya perlu membuat pilihan dan percaturan. Saya tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memakan apa sahaja yang saya sukai. Berat badan saya turun mendadak. Solat tarawih juga diadakan di dalam surau di asrama sahaja tanpa sebarang kewajipan seperti kehidupan di asrama dulu. Saya boleh memilih sama ada untuk menunaikannya atau tidak. Saya amat bertuah kerana saya kira jika bukan kerana kesukaran dan paksaan dalam beribadah yang saya lalui sebelum ini, sudah pasti saya akan dengan senang hati memilih untuk meninggalkannya. Alhamdulillah, sesungguhnya saya amat bersyukur dengan semua fasa proses tarbiah yang telah saya lalui sebelum ini yang kerana itulah saya mempunyai pendirian yang utuh untuk memilih jalan kebaikan apabila usia semakin mendewasa.

Begitu juga apabila saya menyambung pengajian ke kampus di Gombak. Saya perlu berdepan dengan realiti kehidupan bahawa kuasa memilih kini di tangan saya. Saya boleh memilih untuk terus berada di atas jalan-Nya atau sebaliknya. Alhamdulillah, pengaruh teman-teman yang baik budi dan akhlaknya membentengi saya untuk terjebak ke jurang yang gelap. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...

Dalam usia sekarang, saya cuba menikmati Ramadhan yang hadir pada kali ini dengan sebaik mungkin kerana saya tidak tahu sama ada saya akan bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

'Ya Allah, Kau berikanlah kekuatan kepada diriku untuk beristiqamah dalam amalanku demi untuk mendapat Mardhotillah. Jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang lebih baik dan terbaik daripada sebelum ini kepada diriku, ahli keluargaku, kaum kerabatku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin dan muslimat serta mukminin dan mukminat walau di mana jua mereka berada Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..'

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

Bila mengenangkan pengalaman berpuasa masa kecik2 dan masa sekolah rasa hati begitu terhibur sekali. Rupa-rupanya kita semakin tua. Masa sudah lama meninggalkan kita. Memang zaman itu semuanya penuh dengan kenangan indah. Masyarakatnya sering menghantar juadah berbanding sekarang semuanya jadi sibuk.

Abu wafi