Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, August 13, 2009

Makna Ujian?

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya berasa tidak sedap badan. Mungkin kesan beberapa minggu terlalu menumpukan kepada pekerjaan sehingga kesihatan sendiri terabai. Sudah beberapa minggu saya ke sana ke mari memenuhi tanggungjawab rasmi atau tidak rasmi. Sudah beberapa minggu juga saya keluar awal pagi seusai solat subuh dan kembali usai solat maghrib atau kekadang isyak di pejabat. Prinsipnya, biar dikecam, tanggungjawab diberi mesti dilaksanakan kerana bukan mengenangkan persoalan yang bakal ditanya oleh bos di sini tapi bos besar di alam sana. Bimbang lidah kelu tak berbicara apabila disoal menerima upah tak setimpal peluh yang tercurah. Natijahnya pagi ini kepala saya berdenyut-denyut, badan seram sejuk. Dengan perasaan yang berat, saya menghantar sms kepada 2 orang PSU memaklumkan kelewatan saya pada pagi ini. Sebenarnya ada satu sesi diskusi pada jam 2.00 petang yang perlu saya kendalikan.

Jam 11 pagi, dengan kepala yang masih berdenyut-denyut dan badan yang seram sejuk, saya gagahkan diri bangun dan bersiap untuk ke pejabat. Janji mesti dipenuhi kerana implikasinya besar jika urusan tertangguh. Bukan kepada saya tetapi kepada seksyen dan bahagian. Dalam perjalanan, slot diskusi di radio IKIM menjadi santapan minda dengan tajuk ‘Makna Sebenar Integriti’. Perjalanan yang memakan masa hampir 45 minit terasa pantas berlalu apabila bual bicara yang dikupas terasa sungguh menarik dan memberi manfaat kepada pendengar. Kesimpulan yang diberi oleh tetamu jemputan (En. Roslan) juga sangat menarik iaitu makna sebenar integriti akan hanya menjadi realiti sekiranya seseorang itu mempamerkan hal keperibadian (state of being) yang ada dalam dirinya. Jika taqwa telah menjadi hal keperibadian dalam dirinya maka sudah tentulah tindak tanduk yang terhasil akan menyerlahkan keintegritian. Soalnya, bagaimana untuk mewujudkan state of being yang berisi taqwa? Jawabnya hanya dengan memenuhi fitrah keinsanan yang telah ditetapkan oleh-Nya iaitu dengan memahami pandangan alam agama atau apa yang dikatakan sebagai Islamic Worldview. Nah, di situ saya tersenyum. Bercakaplah, berseminarlah, berkonvensyenlah, pada akhirnya perkara pokok yang menjadi tunjang dalam kehidupan ini adalah pemahaman terhadap agama. En. Roslan menterjemahkan maksud Islamic Worldview sebagai kefahaman tentang tujuan kita dijadikan, siapakah yang telah menciptakan kita dan matlamat sebenar yang ingin dicapai sama ada syurga atau neraka.

Alhamdulillah, saya selamat sampai di pejabat pada jam 1.00 petang. Makluman pertama yang saya terima melalui sms daripada adik saya adalah Ustaz Asri Rabbani telah kembali kepada-Nya jam 10.30 pagi tadi. Innalillah. Saya tersentak dan jadi sayu. Teringat akan antara tanda-tanda semakin dekatnya akhir zaman. Nasyid ‘Sudah Sunnah Orang Berjuang’ kiriman seorang sahabat sebelum ini baru sahaja menjadi kegilaan halwa telinga saya dalam melayani kesibukan di pejabat. Lagu itulah yang saya ulang-ulang 2,3 hari kebelakangan ini, tetapi telinga ini belum muak dengan dendangan itu. Malah saya cuba mencari jika ada versi-versi lain yang didendangkan oleh kumpulan nasyid lain.

PC dihidupkan, membaca e-mel kiriman seorang sahabat, hati saya lebih tersentuh. Betapa kisah yang dihamparkan begitu dekat dengan perjalanan hidup ini. Bekerjalah sebagai apa pun, betapa tinggi pun gred yang dipegang, intipatinya cuma satu. Kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Hanya itu anak tangga menuju keredhaan-Nya. Petikan-petikan beginilah yang mampu menyentuh jiwa saya untuk menyedari semula hakikat maksud kehidupan ini. Hidup ini sarat dengan ujian, kepahitan dan mehnah kerana itulah yang membentuk erti sebuah kehidupan. Tanpa itu semua kehidupan tidak membawa sebarang makna. Tetapi fitrah kejadian manusia tidak pernah jauh dari yang bernama kealpaan. Terkadang hati teralpa dengan hasutan Iblis Laknatullah untuk mempersoalkan ketentuan yang telah ditakdirkan untuk diri sendiri. Justeru, peringatan dan teguran yang bertali arus daripada insan-insan di sekeliling amat saya hargai dan semoga mereka tidak jemu untuk berkongsi kemanisan kembali kepada fitrah penciptaan ini.

Sesungguhnya, kembali mengingati akan hakikat sebenar kehidupan membuatkan diri tidak terasa terlalu berat menerima ujian dalam melaksanakan kewajipan yang diamanahkan.

Saya kongsikan di bawah sebuah kisah yang menyentuh hati saya pada hari ini di bawah untuk renungan bersama:

"Saya kira kisah ini sahabat semua dah dengar, ianya berlaku di Yaman ketika sebahagian kita berada di Mesir.

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut. Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan. Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.
Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.-

Hati saya bertambah sayu apabila mendengar lagu dari Michael Hart berjudul "We Will Not Go Down"

Saya kepilkan lagu tu untuk halwa telinga bersama.

Pada masa yang sama marilah kita melihat apa yang boleh kita dermakan kepada Bonda, Ayahanda, Kakanda ataupun Adinda kita di Bumi Jihad. Sekurang-kurangan utusilah doa untuk mereka.

Okey, maaflah kalau emel kali ini mengganggu mood kalian semua.

Berjuanglah bersungguh-sungguh dan jadilah orang kaya kemudian gunalah harta itu nanti untuk perjuangan Islam. "

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Saya sangat-sangat bersetuju dgn Cik Karimah bahawa integriti bukannya terletak pada seminar,bengkel,kertas kerja hatta penubuhan Institut Integriti sekali pun. Pada saya integriti mesti datang dengan TAKWA. Tanpa takwa yakni perasaan takut kepada Allah maka sepandai-pandai manusia akan hilang integriti dan terjebak di dalam rasuah dan gejala-gejala lain yang tidak sihat. Hanya Islam sebagai jalan penyelesaian.

Saya sangat-sangat bersetuju dengan pandangan panel radio IKIM itu. Di mana state of being itu melainkan mestilah berpijak di atas dasar Islamic worldview itu.

Orang boleh bercakap berbuih-buih mulut pasal integriti. Namun hanya yang boleh bertahan dgn cabaran yang menggugat integriti sahaja yg layak untuk bercakap mengenainya. Bila semua insan sentiasa ingat tentang soal dosa dan pahala maka integriti akan datang. Inilah takwa.

ABU WAFI

Carrie-Ma said...

Salam Abu Wafi,

Cabaran kita adalah apabila pemahaman kita mengenai sesuatu perkara itu tidak sealiran dengan pemahaman pihak atasan walhal pemahaman kita adalah satu pemahaman yang menjadi tunjang dalam sesebuah kehidupan.

Apalah ertinya menganjurkan segala macam seminar dan kursus jika sekadar hanya untuk mencapai peratusan tertentu perbelanjaan tetapi objektif sebenar amat jauh untuk dicapai.

Saya fikir inilah jalan yang harus dilalui oleh seorang yang bergelar pejuang. Tidak mudah tetapi tidak juga mustahil...Semoga Allah menguatkan semangat kita untuk terus beristiqamah atas pemahaman kita meskipun itu selemah-lemah iman yang boleh dipraktikkan.