Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, August 31, 2009

Rencam

Bismillahirrahmanirrahim...

3.30 pagi. Saya baru sahaja selesai mandi dan menunaikan solat Isyak dan Tarawih. Ya, saya masih waras. :)

Hari ini saya dan adik lelaki duji dengan kegelapan. Kami berbuka puasa tanpa sinaran cahaya lampu. Ya benar, kami diuji dengan ketiadaan elektrik bermula jam 6.00 petang tadi. Mujurlah saya sudah siap memasak hidangan berbuka sejak jam 4.00 petang tadi. Sengaja saya memasak awal supaya boleh berehat dan menikmati waktu petang sebelum tiba waktu berbuka dengan tenang. Namun, saya hanya mampu merancang, Dia jua yang menentukan. Sedang saya dan adik enak berehat, melayari Internet dan membaca majalah, lampu tiba-tiba padam. Kipas berhenti berputar.

"Alamak! Macamana ni AyahChik? Berbuka dalam gelap nampak gaya kita ni," luah saya kepada si adik yang masih ketawa dengan kejadian tersebut.

Adik saya yang ini memang begitu. Gemar mengetawakan saya. Dalam keadaan tertentu, saya melayan tapi dalam keadaan lain juga, saya hanya akan membiarkan sahaja. Kadang-kadang makin dilayan, makin menjadi-jadi gelaknya. Kadang-kadang adalah lebih baik saya mendiamkan diri sahaja supaya gelak dia tamat di situ sahaja. Sudahlah hanya tinggal kami berdua sahaja di rumah kerana 2 orang lagi adik saya pulang ke kampung. InsyaAllah, pagi ini selepas Subuh mereka akan bertolak pulang ke sini.

Semalam merupakan hari yang agak memenatkan juga. Seawal jam 10.00 pagi, kami sudah keluar menuju ke bengkel kereta. Hajatnya menghantar kereta adikku yang dilanggar oleh Abahku sewaktu pulang ke kampung pada minggu lepas. Namun, hajat adikku tidak kesampaian memandangkan orang yang kami temui semalam telah bercuti pada hari ini. Oleh kerana adikku sudah tidak sabar untuk membaiki kesan kemek tersebut, kami bercadang melihat-lihat bengkel di kawasan Batu Caves. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di beberapa taman perumahan untuk meninjau sekiranya ada rumah untuk disewa. Saya sebenarnya risau juga kerana kami sepatutnya berpindah pada awal Oktober ini tetapi sehingga hari ini kami masih gagal mendapatkan rumah yang bersesuaian. Kalau diikutkan, kami sebenarnya sudah menjumpai sebuah rumah yang kami berkenan, tetapi apabila mengenangkan kadar sewa yang agak tinggi dan akses kepada jalan agak jauh, kami terpaksa KIV dulu rumah tersebut. InsyaAllah, saya yakin kami akan menjumpai rumah yang sepatutnya sedikit masa lagi.

Selepas meninjau-ninjau, kami mendapati kebanyakan bengkel kereta tidak beroperasi mungkin kerana cuti Kemerdekaan. Akhirnya, kami singgah di sebuah bengkel yang beroperasi tetapi harga yang ditawarkan terlalu tinggi berbanding kadar yang telah kami tinjau sebelum ini. Justeru, adik saya memutuskan untuk memperbaiki kerosakan tersebut di bengkel sebelum ini pada hari Selasa nanti. Sabar ye AyahChik :)

Dari Batu Caves, kami bertolak pulang ke Keramat. Dalam perjalanan, kami sekali lagi meninjau-ninjau rumah sewa yang bersesuaian. Hampir setengah jam berlegar-legar, kami memutuskan untuk pulang. Sebelum itu, kami singgah di sebuah pasaraya untuk membeli barang-barang basah memandangkan kami bercadang untuk memasak pada petang ini. Tambahan pula, ada beberapa barangan dapur yang juga telah kehabisan.

Sampai sahaja di rumah, saya terus solat Zohor dan bersilat di dapur menyiapkan kueteow tomyam dan tempe goreng. Udang untuk masakan sahur sudah siap saya bersihkan dan goreng setengah masak untuk mengelakkan ia berbau. Hajatnya, malam nanti selepas solat Tarawih saya akan memasak udang tersebut dan adik saya pula akan menggoreng baki Kueteow.

Berikutan ketiadaan elektrik, hajat kami untuk minum jus epal juga terbantut memandangkan kami telah membeli epal segar dan merancang untuk mengisar sendiri menggunakan mesin pengisar buah. Nampak gaya kami terpaksa tunda hajat kami itu mungkin kepada petang hari ini pula.

Walaupun dengan ketiadaan elektrik, kami makan hidangan berbuka puasa dengan begitu berselera. Saya gembira kerana tomyam yang disediakan cukup rasa walaupun hanya main campak-campak sahaja. Malah adik saya telah makan bertambah sebanyak 2 kali. Usai berbuka, kami solat Maghrib berjemaah dalam kegelapan. Itu rutin kami sekarang. Sekurang-kurangnya solat Isyak dan Tarawih kami akan berjemaah melakukannya dengan 2 orang adik lelaki saya akan bergilir-gilir menjadi imam. Pernah juga mereka berjenaka mempelawa saya turut masuk giliran sebagai imam. Saya hanya tergelak dan berkata bahawa saya bukan Amina Wadud. Ada-ada sahaja mereka ini.

Malangnya, hal tersebut tidak berlaku pada malam ini kerana saya tertidur dalam kegelapan sebelum sempat menunaikan solat Isyak. Sangka saya tidur saya tidak akan lena dalam keadaan panas. Rupanya kepenatan mengatasi rasa panas tetapi saya tidak dapat meneruskan tidur saya apabila terbangun pada jam 12.00 t/malam dan mendapati saya lencun dengan peluh. Ternyata keadaan masih sama. Saya menjadi risau kerana masakan untuk sahur masih belum siap dimasak. Apabila saya bangun, saya mendapati adik lelaki saya tiada di katilnya.

"Pasti dia oncall ni," itu tekaan saya dan ternyata tepat apabila saya menerima sms balas daripada dia mengesahkannya.

Adik saya pulang hampir jam 1.00 pagi dan Alhamdulillah tidak lama selepas itu elektrik kembali kepada normal. Tanpa berlengah, kami terus bersilat di dapur untuk memasak hidangan bersahur. Segalanya selesai dalam masa setengah jam dan kami sempat menikmati minuman Horlicks sambil menonton televisyen. Adik saya menyambung tidurnya sementara saya membuat keputusan untuk mandi sebelum menunaikan solat kerana badan saya sudah melekit-lekit dan berasa tidak selesa. Walaupun saya mengetahui adalah tidak bagus untuk kesihatan mengamalkan mandi pada waktu malam, saya terpaksa melakukannya.

Sekarang saya dalam dilema sama ada untuk menyambung tidur atau berjaga menanti waktu sahur. Melihat kepada waktu sekarang, rasanya adalah lebih baik saya mengambil pilihan kedua kerana bimbang akan terlajak waktu sahur.

Lega rasanya kerana esok cuti. Malah esok adalah hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Tiada sambutan besar-besaran dirancang pada tahun ini memandangkan ia jatuh pada bulan Ramadhan. Hanya sambutan sederhana akan diadakan di dataran Parlimen. Saya teringat kepada artikel berhubung perkara ini yang saya baca di akhbar perdana semalam. Pengunjung adalah digalakkan untuk tidak bersalam dan bersentuhan secara keterlaluan untuk mengelakkan jangkitan H1N1. Teringat saya kepada hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan. Subhanallah! Sungguh setiap perkara yang ditetapkan dalam agama Islam adalah demi kebaikan penganutnya jua. Saya tidak dapat menafikan dalam dunia pekerjaan saya, perkara ini sangat biasa berlaku. Namun saya sedaya boleh cuba mengelakkannya daripada menjadi amalan biasa. Saya sukar menerima pendapat sesetengah yang mengatakan adalah harus menyambut salam bukan muhrim sekiranya berada di khalayak ramai untuk mengelakkan si penghulur salam menerima malu. Sungguh, saya sedih apabila malu kepada manusia lebih diambil berat berbanding malu kepada Allah SWT kerana melanggar larangannya. Terus-terang saya bukan agamawan selayaknya untuk mengupas letak duduk perkara ini tetapi saya cuba mempertahankan (istiqamah) larangan bersalaman antara lelaki dan wanita bukan muhrim dengan sedikit ilmu yang saya miliki. Moga Allah memelihara saya dalam perkara ini. Cabaran ini cukup berat saya rasakan dalam dunia pekerjaan saya ini. Saya bimbang sekiranya larangan yang dijadikan amalan akan membuatkan saya tidak lagi merasakan perkara itu adalah satu dosa. Nauzubillah.

Dalam keghairahan menyambut kemerdekaan ini, saya tidak menafikan bahawa kebimbangan tetap bersarang dalam hati ini. Sejauh mana gagasan 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri ke-5 ini akan mampu menterjemahkan realiti sebenar kehidupan Melayu di tanah air sendiri? Mampukah gagasan ini membekas dalam jiwa setiap rakyat Malaysia? Sejujurnya, saya sendiri masih kabur dengan gagasan ini. Entah kenapa saya merasakan Melayu semakin terpinggir di tanah air sendiri dan gagasan ini akan makin memburukkan keadaan. Saya bukanlah seorang penganalisis politik yang boleh menilai sesuatu isu dari pelbagai sudut secara ilmiah tetapi saya menilai dari pandangan seorang rakyat biasa yang berada di bawah. Yang ada mata, ada telinga dan mampu melihat serta mendengar sendiri reaksi masyarakat.

Terbaru, isu cadangan pengguguran ruangan kaum di dalam borang-borang rasmi sebagai menyokong gagasan 1Malaysia. Saya sedih kerana berada di bumi sendiri tetapi saya tidak lagi boleh berbangga dengan ras sendiri. Sudahlah ekonomi negara diratah sesedap rasa oleh kaum-kaum lain, kini untuk menyatakan ras sendiri pun tidak boleh. Alasan? Untuk melahirkan bangsa Malaysia. Teringat saya kepada ayat Al-Quran yang berbunyi,

"Dan telah Aku jadikan kamu terdiri daripada pelbagai kaum dan kabilah supaya kamu berkenal-kenalan,"

Sungguh saya keliru dengan cadangan tersebut. Tidak nampak rasionalnya. Mungkin jika diberi penerangan atau rasional oleh bijak pandai yang mencadangkannya, saya akan memahaminya tetapi dari awal apabila mendapat tahu tentang perkara ini, saya kurang bersetuju.

Lusa saya ada tugasan di Kepong. Kemudian tengah hari kembali ke pejabat. Harapnya saya tidak akan berbuka puasa di dalam kereta sama seperti hari Jumaat lepas. Nampaknya dalam masa terdekat ini, 2 rekod telah tercipta dalam bulan Ramadhan. Satu, berbuka puasa dalam kereta dan satu lagi candle light berbuka puasa.

Ok, jam sudah menunjukkan pukul 4.40 pagi. Saya perlu menyiapkan makanan untuk sahur dan mengejutkan adik saya. Selamat Bersahur!

Thursday, August 27, 2009

Lega

Bismillahirrahmanirrahim...

Lega rasanya. Saya baru selesai menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya sudah saya tunaikan sejak bulan April 2009 lagi. Ringan sedikit beban yang ditanggung. Urusan apa tidak perlu saya nyatakan kerana bimbang niat di sebaliknya akan berubah. Malah saya juga telah menunaikan kewajipan saya membayar zakat fitrah sebentar tadi. Benarlah, mengeluarkan zakat sebenarnya membersihkan harta dan melepaskan dosa-dosa.

Sebaliknya, batuk saya masih belum reda juga. Rasanya sudah hampir seminggu batuk ini berterusan. Ubat sudah diambil tetapi batuk masih lagi berterusan. Bab ini saya masih belum lega. Kali terakhir saya diserang penyakit batuk adalah semasa pulang dari menunaikan umrah pada Jun lalu. Kemudian ia reda buat buat seketika. Saat wabak H1N1 semakin menggila, batuk saya kembali menghantui. Batuk saya bukan batuk biasa tapi penuh 'kesungguhan' dan 'penghayatan'. Malah lontaran gema yang terhasil juga mampu menggegar pendengaran jiran sebelah rumah barang kali. Tidur saya juga agak terganggu kerana batuk ini. Di pejabat, saya terpaksa mengenakan topeng muka untuk mengelakkan jangkitan kepada rakan-rakan sepejabat. Jika minggu depan batuk ini masih berterusan, saya perlu ke klinik. Bimbang juga jika ada perkara sampingan lain yang lebih bahaya yang menyumbang kepada batuk tersebut.

Pagi ini, saya tidak lega berada di dalam kereta menjadi penumpang dalam perjalanan ke pejabat kerana adik saya memandu seperti orang gila. Saya di sebelah hanya mampu menegur dia apabila kereta demi kereta di'cucuk'nya. Kegilaannya hanya berkurang apabila saya menegur sikapnya yang membahayakan itu. Pun begitu, saya tidak dapat menafikan yang kegilaan itu kadang-kadang hinggap juga pada diri saya saat menjadi pemandu. Memang kalau tidak kena gaya, boleh hilang sabar dengan tabiat sesetengah pemandu di KL ini tapi saat saya menjadi penumpang, semestinya saya perlu menegur si pemandu kerana jika apa-apa berlaku bukan sahaja akan membahayakan nyawa dia tetapi akan turut melibatkan saya dan orang lain. Pendek kata, kesannya berpanjangan dan tambah sakit hati. Justeru, biarlah bersabar sedikit asalkan semua selamat.

Mulai minggu depan, waktu pejabat saya tamat pada jam 5.00 petang. Sehingga esok, saya masih pulang pada jam 5.30 petang. Semalam saya sangka kami akan berbuka puasa di dalam kereta sahaja (walaupun tiada secuit kurma dan setitik air pun) kerana hujan lebat dan kereta bertali arus. Mujurlah jalan lengang sebaik melepasi Pandan Indah dan kami sempat tiba 5 minit sebelum azan berkumandang. Mujur juga adik lelaki saya yang pulang lebih awal sudah siap sedia membeli makanan untuk berbuka puasa. Kami sepakat menyerahkan tugasan membeli makanan pada hari bekerja kepada dia kerana keadaan memang tidak mengizinkan bagi kami. Memasak? :) Mungkin pada hujung minggu sahaja.

Petang ini saya tidak tahu apa pula keadaannya. Mungkinkah kami akan berjaya tiba sebelum waktu berbuka puasa atau rekod baru bakal tercipta? Oh tidak!

Tunggu dan lihat.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan datang lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Setinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam Semesta kerana izin-Nya jua maka saya dapat bertemu dengan Ramadhan 1430H. Betapa tanpa izin-Nya maka saya tidak mungkin akan dapat bertemu dengan bulan maghfirah, bulan penuh keberkatan dan kerahmatan. Saya masih terbayang-bayang pemergian vokalis kumpulan nasyid Rabbani yang kembali kepada-Nya saat Ramadhan hampir memunculkan diri. Sudah pasti arwah tidak tahu bahawa Ramadhan pada tahun lepas merupakan Ramadhan yang terakhir dalam hidup beliau. Hal yang sama juga pasti akan berlaku pada saya atau pada kita semua pada suatu hari nanti. Malah saya sering berfikir, 'Adakah ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat diriku? Seandainya Ramadhan ini merupakan yang terakhir buat diriku, Kau jadikanlah Ramadhan ini lebih baik dan terbaik daripada Ramadhan sebelum ini.'

Itu pinta saya. Moga dimakbulkan-Nya. Mengambil prinsip itu, saya mengambil keputusan untuk menyambut 1 Ramadhan di kampung. Saya bertolak pulang ke kampung pada hari Jumaat, jam 12.00 tengah malam bersama adik-adik, kakak ipar dan anak-anak saudara. Perjalanan kami lancar dan kami tiba lebih kurang jam 4.00 pagi. Kepada Abah, telah saya maklumkan kepulangan kami lebih awal kerana bimbang lauk bersahur tidak mencukupi :)

Terus-terang, pada mulanya saya merancang untuk pulang pada cuti Hari Kebangsaan yang jatuh pada minggu hadapan tetapi apabila mengenangkan meriahnya sesuatu perkara terletak pada permulaannya, saya berubah fikiran. Apabila adik lelaki saya juga yang kebiasaannya bertugas pada hari Sabtu telah pun mengambil cuti, saya tidak perlu berfikir panjang lagi.

Seingat saya, saya mula diajar (disuruh sebenarnya) untuk berpuasa pada umur 7 tahun. Saya akui walaupun saya disuruh untuk berpuasa sebulan, ada hari-hari tertentu yang saya rasa sungguh tidak larat dan saya 'tuang' puasa. Saya masih ingat curi-curi minum air apabila Ummi di luar rumah menyapu halaman sementara menunggu waktu berbuka. Seingat saya juga, kami adik beradik yang masih belum mukallaf akan bergilir-gilir mengadu kepada Ummi tentang perbuatan 'tuang' puasa tersebut. Pun begitu, semua itu kami lakukan secara sembunyi-sembunyi dan sudah tentu kami tidak berani melakukannya secara terbuka kerana bimbang akan dimarahi oleh Abah. Saya yakin Ummi sememangnya mengetahui tindakan kami tetapi tidak mahu ambil serius kerana kami masih dalam proses latihan. Jauh di sudut hati, kami sebenarnya risau juga jika perbuatan kami sampai ke telinga Abah. Abah memang seorang yang garang. Saya masih ingat, kami memang selalu mengelak untuk bertembung dengan Abah sekiranya kami melakukan kesalahan. Selalunya rumah TokWan yang terletak tidak jauh daripada rumah kami akan menjadi 'tempat persembunyian' sementara menanti suasana reda. Ada juga keadaan apabila kami gagal dan tidak sempat melarikan diri, tali pinggang akan menjadi habuan kami. Saya tidak menafikan yang sewaktu kecil kami memang agak nakal. Kadang-kadang perkara yang dilakukan memang membahayakan kami tetapi akal pendek kami pada waktu itu membataskan fikiran kami untuk membayangkan kemungkinan dan akibat perbuatan kami. Saya masih ingat, kami sering memanjat pokok jambu yang terletak berhampiran rumah TokWan. Dengan gembira, kami akan melompat dari satu dahan ke dahan yang lain. Sekali sekala membalikkan badan dengan menggantungkan kaki di salah satu dahan di pokok tersebut. Kami gembira. Dunia ini kami yang punya.

'Hoi!' Kedengaran suara TokWan menjerkah kami dari bawah.

Bertempiaran kami terjun dari pokok dan kembali ke rumah untuk menyelamatkan diri dari dipukul oleh TokWan. Yang pasti laporan akan diterima oleh Abah dan kami harus bersedia untuk menerima akibatnya. Namun, kini semua kejadian itu menjadi kenangan manis untuk diingati oleh kami.

Itu kenangan di zaman kanak-kanak. Seawal usia 13 tahun, saya mula memasuki asrama penuh. Meskipun masih di Terengganu, saya jarang dapat pulang ke kampung kecuali pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Pun begitu, masih segar dalam ingatan saya, tiap kali saya berpeluang untuk pulang ke kampung pada bulan Ramadhan, Abah akan menghantar saya kembali ke asrama pada pagi Ahad dengan menaiki motorsikal. Cuaca sejuk pada awal pagi dan perjalanan yang memakan masa 1 jam lebih sememangnya meletihkan. Malah pernah pada satu ketika, Abah hampir-hampir tertidur sewaktu sedang membawa motorsikal. Nyaris kami terbabas tetapi mujurlah Abah cepat tersedar dan dapat mengawal keadaan. Kebiasaannya, saya akan menaiki bas pada petang Sabtu setiap kali ingin kembali ke asrama. Namun, banyak kali juga Abah mempelawa untuk menghantar saya pulang pada pagi hari Ahad. Sudah tentulah tawaran Abah itu saya terima dengan senyuman yang lebar. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Yang pasti, selepas itu saya terpaksa berjumpa warden dengan alasan yang kukuh demi untuk mendapatkan kembali kad keluar yang telah ditahan kerana masuk lewat. Saya tidak ingat alasan-alasan yang telah saya berikan kepada warden untuk mendapatkan kembali kad tersebut kerana pada kebanyakan waktu saya berjaya mendapatkannya semula. Walau bagaimanapun, ada juga ketika alasan saya ditolak dan saya gagal mendapatkan semula kad saya malah didenda tidak boleh keluar pada minggu berikutnya. Saya terima hukuman yang diberikan dan seingat saya, tidak pernah saya keluar asrama tanpa kebenaran daripada warden.

Sepanjang tinggal di asrama, saya berbuka puasa bersama teman-teman di dewan makan dengan menikmati hidangan di dalam tray. Seawal jam 6.00 petang, kami sudah beratur untuk mendapatkan makanan berbuka. Tiada istilah keluar untuk membeli makanan berbuka puasa, tambahan pula saya tiada wang pada waktu itu untuk membeli-belah sesuka hati. Selalunya barisan akan membentuk huruf L dan kadang-kadang huruf U. Sering kali akan berlaku aksi cutting line (potong barisan) dan booking line (tempah kedudukan dalam barisan walaupun masih berada di bilik). Akan kedengaran suara-suara yang menegur pesalah-pesalah laku tersebut dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith tetapi selalunya tidak memberi sebarang kesan. Aduh, sungguh seronok mengenang kisah lalu. Paling seronok, tiap kali tiba waktu berbuka, bukan laungan azan yang kami nantikan sebaliknya bunyi dentuman meriam yang dilepaskan dari atas Bukit Puteri. Suasana akan menjadi hening beberapa minit sebelum tiba waktu berbuka.

'Dummm!'

Saya tidak ingat berapa das yang dilepaskan tetapi seingat saya lebih daripada tiga kali. Apabila kedengaran sahaja bunyi dentuman pertama, suasana menjadi ceria dan bingit dengan suara-suara gembira dapat berbuka puasa. Pembaca doa yang ditugaskan akan membacakan doa dan diaminkan oleh semua isi dewan makan.

Jika bab bersahur, selalunya saya yang akan menjadi tukang kejut kepada kakak-kakak tukang masak. Pada bulan puasa, tukang masak diberikan satu bilik khusus untuk mereka tidur apabila selesai memasak (sewaktu kami solat tarawih) dan menunggu waktu bersahur. Saya bangun awal pada bulan puasa dan bersama-sama kawan baik saya dan senior-senior sedorm, kami akan bersahur beramai-ramai dan jumlahnya tidak seramai sewaktu berbuka. Mungkin liat untuk bangun agaknya. Selesai bersahur, kami terus mandi dan bersiap untuk Solat Subuh. Kami perlu mandi awal kerana air akan kehabisan pada jam 6.30 pagi kerana ramai yang akan mandi pada waktu tersebut. Begitulah rutin selama tiga tahun bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu.

Di situ, kami akan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Pada waktu itu, oleh kerana keluasan surau tidak mampu menampung jumlah kami maka solat tarawih diadakan di dewan besar sekolah. Solat akan diimamkan oleh guru-guru berbangsa Arab yang mengajar kelas Thanawi. Bermacam-macam aksi dapat dilihat sepanjang menunggu habisnya sesi solat tarawih. Paling kami tidak tahan apabila imam membaca satu surah pada setiap rakaat. Ada yang hampir-hampir tumbang (saya tidak terkecuali) menunggu bacaan habis dibaca oleh imam. Selalunya solat tarawih pada waktu itu akan tamat pada jam 10.30 malam dan kadang-kadang mencecah jam 11.00 malam. Pernah juga saya cuba-cuba lari meninggalkan solat tarawih sebaik selesai lapan rakaat kerana perlu mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi ujian pada keesokkan harinya. Saya pernah meminta kebenaran daripada warden agar kami dibenarkan untuk menunaikan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja memandangkan solat tarawih bagi 20 rakaat tamat terlalu lewat dan membuatkan kami tidak cukup masa untuk menyiapkan kerja rumah. Akhirnya peraturan dikeluarkan: walaupun kami diwajibkan untuk menghabiskan solat tarawih sehingga 20 rakaat, kami dibenarkan untuk berhenti selepas lapan rakaat tetapi dengan syarat kami perlu ke kelas untuk mengulangkaji dan bukannya melepak di asrama. Saya lega kerana usaha membuahkan hasil. Pun begitu, saya bersetuju dengan ketegasan warden tersebut kerana sebelum ini ramai yang mengambil kesempatan untuk tidur dan berbual-bual kosong di asrama apabila kewajipan menghabiskan solat tarawih tidak dikuatkuasakan.

Sewaktu di tingkatan 4, saya berpindah sekolah ke Maktab Rendah Sains Mara, Muar, Johor. Rutin saya berubah apabila saya tidak lagi dapat pulang menyambut Ramadhan di kampung. Seluruh Ramadhan dihabiskan di asrama dan kelas sahaja bersama teman-teman seperjuangan. Mereka menjadi teman saya bersahur, berbuka dan bersolat tarawih. Berbeza dengan sekolah sebelum ini, di sini selalunya kami hanya akan solat tarawih sebanyak lapan rakaat sahaja dan selepas itu kami perlu ke kelas untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah.

Saya hanya dapat pulang menyambut Ramadhan beberapa hari sebelum tiba Syawal apabila dihantar pulang oleh pihak sekolah. Uniknya kemudahan bagi pelajar-pelajar di MRSM adalah mereka akan disediakan kemudahan pengangkutan ke semua destinasi bagi cuti-cuti umum berjadual. Selalunya saya akan menaiki bas bersama teman-teman di Pantai Timur dan bas akan berhenti di setiap perhentian untuk menurunkan teman-teman kami yang tinggal di situ. Oleh kerana kami bertolak selepas solat Tarawih, saya akan tiba di stesen bas di kampung pada jam 3.00 pagi. Abah pasti sudah sedia menunggu saya bersama beberapa orang ayah yang juga menunggu anak masing-masing. Dua tahun saya berpuasa jauh dari keluarga.

Selesai SPM, dengan keputusan yang baik dan seperti yang saya sasarkan, saya menyambung pelajaran di UIA. Dua tahun pertama, saya ditempatkan di Pusat Matrikulasi UIA, Lembah Pantai. Kehidupan di sini terpaksa saya lalui sepertimana di MRSM cuma bezanya tiada lagi tukang masak yang perlu dikejut. Tiada lagi hidangan yang perlu diletakkkan di dalam tray. Suasana berubah. Makanan perlu dibeli sendiri. Kehidupan dan perbelanjaan perlu diatur agar tidak terlepas bajet. Saya fikir di sini saya sudah mula mengenali realiti sebenar kehidupan. Saya mula memahami erti 'ikat perut'. Jika sebelum ini saya 'mewah' menikmati makanan sepanjang tinggal di asrama, kini saya perlu membuat pilihan dan percaturan. Saya tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memakan apa sahaja yang saya sukai. Berat badan saya turun mendadak. Solat tarawih juga diadakan di dalam surau di asrama sahaja tanpa sebarang kewajipan seperti kehidupan di asrama dulu. Saya boleh memilih sama ada untuk menunaikannya atau tidak. Saya amat bertuah kerana saya kira jika bukan kerana kesukaran dan paksaan dalam beribadah yang saya lalui sebelum ini, sudah pasti saya akan dengan senang hati memilih untuk meninggalkannya. Alhamdulillah, sesungguhnya saya amat bersyukur dengan semua fasa proses tarbiah yang telah saya lalui sebelum ini yang kerana itulah saya mempunyai pendirian yang utuh untuk memilih jalan kebaikan apabila usia semakin mendewasa.

Begitu juga apabila saya menyambung pengajian ke kampus di Gombak. Saya perlu berdepan dengan realiti kehidupan bahawa kuasa memilih kini di tangan saya. Saya boleh memilih untuk terus berada di atas jalan-Nya atau sebaliknya. Alhamdulillah, pengaruh teman-teman yang baik budi dan akhlaknya membentengi saya untuk terjebak ke jurang yang gelap. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...

Dalam usia sekarang, saya cuba menikmati Ramadhan yang hadir pada kali ini dengan sebaik mungkin kerana saya tidak tahu sama ada saya akan bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

'Ya Allah, Kau berikanlah kekuatan kepada diriku untuk beristiqamah dalam amalanku demi untuk mendapat Mardhotillah. Jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang lebih baik dan terbaik daripada sebelum ini kepada diriku, ahli keluargaku, kaum kerabatku, sahabat-sahabatku, guru-guruku, muslimin dan muslimat serta mukminin dan mukminat walau di mana jua mereka berada Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..'

Tuesday, August 18, 2009

Aktiviti 'Membebel'

Bismillahirrahmanirrahim...

Penat. Benar, penat sebenarnya apabila selesai menyampaikan taklimat atau ceramah. Penatnya kadang-kadang mengalahkan orang berkebun. Akhir-akhir ini saya amat perasan yang saya banyak 'membebel'. Banyak perkara yang dibebelkan sama ada berbentuk rasmi atau tidak. Ya, saya seorang yang gemar bercakap. Ada yang kata saya ramah, tidak kurang yang kata garang. Saya terima.

Saya garang apabila saya merasakan apa yang dilakukan adalah salah.
Saya garang apabila ada yang sambil lewa dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Saya garang apabila ada yang mengambil mudah perkara mustahak.
Saya garang apabila ada calon yang datang lewat ke dewan peperiksaan.
Saya garang apabila ada orang memungkiri janji.
Saya garang apabila ada yang tidak serius dalam kerja.

Dalam banyak keadaan, garang saya bertempat. Namun ada juga keadaan di mana baran saya 'terbabas' terutama semasa memandu.

Akhir-akhir ini aktiviti 'membebel' saya bertambah. Risau? Sudah tentu kerana saya tahu lebih banyak kalimah yang dilafazkan, saya perlu bersedia bahawa mungkin akan ada yang tidak menerimanya. Pendek kata, lebih banyak kesalahan akan terserlah. Malah antara penyebab yang menghumbankan manusia ke dalam lubang neraka adalah berpunca daripada lidah.

Hujung minggu lepas saya ada tugasan di Sepang. Saya terpaksa 'membebel' kepada peserta yang tidak serius, masuk lewat dan tidak menghormati pengisian kursus. Pasti ada yang panas telinga dengan kata-kata saya tetapi berani kerana benar.

Hari ini mesyuarat tergempar. Punca? Hanya saya yang tahu. Sudah sunnah orang berjuang, rela dihina demi kebenaran. Saya lebih mengenali peribadi ketua saya. Mesyuarat berlarutan sehingga jam 6.00 petang sedangkan saya perlu bertolak ke Port Dickson untuk tugasan 'membebel' pada jam 8.30 malam. Justeru saya mohon izin untuk keluar awal sedikit kerana bimbang tidak sempat tiba. Alhamdulillah perjalanan lancar walaupun hujan di sepanjang perjalanan dan tiba di hotel pada jam 7.30 malam. Agak kecewa juga kerana ternyata persiapan di pihak penganjur tidak berapa kemas dan peserta tidak menepati masa. Saya sedih dan ia mula mempengaruhi gaya 'bebelan' saya tadi. Hanya di pertengahan 'bebelan' barulah saya dapat mengembalikan semangat dan meneruskan tanggungjawab sehingga penghujung. Meski kekecewaan masih bersisa, pertanyaan beberapa peserta mengembalikan keyakinan dalam diri saya untuk menghabiskannya.

Pagi esok saya perlu kembali ke pejabat menyambung kembali tugasan. Moga dikuatkan semangat. Agi idup agi ngelaban!

Thursday, August 13, 2009

Makna Ujian?

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini saya berasa tidak sedap badan. Mungkin kesan beberapa minggu terlalu menumpukan kepada pekerjaan sehingga kesihatan sendiri terabai. Sudah beberapa minggu saya ke sana ke mari memenuhi tanggungjawab rasmi atau tidak rasmi. Sudah beberapa minggu juga saya keluar awal pagi seusai solat subuh dan kembali usai solat maghrib atau kekadang isyak di pejabat. Prinsipnya, biar dikecam, tanggungjawab diberi mesti dilaksanakan kerana bukan mengenangkan persoalan yang bakal ditanya oleh bos di sini tapi bos besar di alam sana. Bimbang lidah kelu tak berbicara apabila disoal menerima upah tak setimpal peluh yang tercurah. Natijahnya pagi ini kepala saya berdenyut-denyut, badan seram sejuk. Dengan perasaan yang berat, saya menghantar sms kepada 2 orang PSU memaklumkan kelewatan saya pada pagi ini. Sebenarnya ada satu sesi diskusi pada jam 2.00 petang yang perlu saya kendalikan.

Jam 11 pagi, dengan kepala yang masih berdenyut-denyut dan badan yang seram sejuk, saya gagahkan diri bangun dan bersiap untuk ke pejabat. Janji mesti dipenuhi kerana implikasinya besar jika urusan tertangguh. Bukan kepada saya tetapi kepada seksyen dan bahagian. Dalam perjalanan, slot diskusi di radio IKIM menjadi santapan minda dengan tajuk ‘Makna Sebenar Integriti’. Perjalanan yang memakan masa hampir 45 minit terasa pantas berlalu apabila bual bicara yang dikupas terasa sungguh menarik dan memberi manfaat kepada pendengar. Kesimpulan yang diberi oleh tetamu jemputan (En. Roslan) juga sangat menarik iaitu makna sebenar integriti akan hanya menjadi realiti sekiranya seseorang itu mempamerkan hal keperibadian (state of being) yang ada dalam dirinya. Jika taqwa telah menjadi hal keperibadian dalam dirinya maka sudah tentulah tindak tanduk yang terhasil akan menyerlahkan keintegritian. Soalnya, bagaimana untuk mewujudkan state of being yang berisi taqwa? Jawabnya hanya dengan memenuhi fitrah keinsanan yang telah ditetapkan oleh-Nya iaitu dengan memahami pandangan alam agama atau apa yang dikatakan sebagai Islamic Worldview. Nah, di situ saya tersenyum. Bercakaplah, berseminarlah, berkonvensyenlah, pada akhirnya perkara pokok yang menjadi tunjang dalam kehidupan ini adalah pemahaman terhadap agama. En. Roslan menterjemahkan maksud Islamic Worldview sebagai kefahaman tentang tujuan kita dijadikan, siapakah yang telah menciptakan kita dan matlamat sebenar yang ingin dicapai sama ada syurga atau neraka.

Alhamdulillah, saya selamat sampai di pejabat pada jam 1.00 petang. Makluman pertama yang saya terima melalui sms daripada adik saya adalah Ustaz Asri Rabbani telah kembali kepada-Nya jam 10.30 pagi tadi. Innalillah. Saya tersentak dan jadi sayu. Teringat akan antara tanda-tanda semakin dekatnya akhir zaman. Nasyid ‘Sudah Sunnah Orang Berjuang’ kiriman seorang sahabat sebelum ini baru sahaja menjadi kegilaan halwa telinga saya dalam melayani kesibukan di pejabat. Lagu itulah yang saya ulang-ulang 2,3 hari kebelakangan ini, tetapi telinga ini belum muak dengan dendangan itu. Malah saya cuba mencari jika ada versi-versi lain yang didendangkan oleh kumpulan nasyid lain.

PC dihidupkan, membaca e-mel kiriman seorang sahabat, hati saya lebih tersentuh. Betapa kisah yang dihamparkan begitu dekat dengan perjalanan hidup ini. Bekerjalah sebagai apa pun, betapa tinggi pun gred yang dipegang, intipatinya cuma satu. Kesungguhan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Hanya itu anak tangga menuju keredhaan-Nya. Petikan-petikan beginilah yang mampu menyentuh jiwa saya untuk menyedari semula hakikat maksud kehidupan ini. Hidup ini sarat dengan ujian, kepahitan dan mehnah kerana itulah yang membentuk erti sebuah kehidupan. Tanpa itu semua kehidupan tidak membawa sebarang makna. Tetapi fitrah kejadian manusia tidak pernah jauh dari yang bernama kealpaan. Terkadang hati teralpa dengan hasutan Iblis Laknatullah untuk mempersoalkan ketentuan yang telah ditakdirkan untuk diri sendiri. Justeru, peringatan dan teguran yang bertali arus daripada insan-insan di sekeliling amat saya hargai dan semoga mereka tidak jemu untuk berkongsi kemanisan kembali kepada fitrah penciptaan ini.

Sesungguhnya, kembali mengingati akan hakikat sebenar kehidupan membuatkan diri tidak terasa terlalu berat menerima ujian dalam melaksanakan kewajipan yang diamanahkan.

Saya kongsikan di bawah sebuah kisah yang menyentuh hati saya pada hari ini di bawah untuk renungan bersama:

"Saya kira kisah ini sahabat semua dah dengar, ianya berlaku di Yaman ketika sebahagian kita berada di Mesir.

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.

Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut. Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.

Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.

Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan. Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.
Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.

"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.

Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.-

Hati saya bertambah sayu apabila mendengar lagu dari Michael Hart berjudul "We Will Not Go Down"

Saya kepilkan lagu tu untuk halwa telinga bersama.

Pada masa yang sama marilah kita melihat apa yang boleh kita dermakan kepada Bonda, Ayahanda, Kakanda ataupun Adinda kita di Bumi Jihad. Sekurang-kurangan utusilah doa untuk mereka.

Okey, maaflah kalau emel kali ini mengganggu mood kalian semua.

Berjuanglah bersungguh-sungguh dan jadilah orang kaya kemudian gunalah harta itu nanti untuk perjuangan Islam. "

Wednesday, August 12, 2009

Travelog Kembara Iman: KLIA - Bahrain

Bismillahirrahmanirrahim...

[Nota: Penulis mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan travelog ini atas faktor masa kerana penulis ingin benar-benar menghayati perjalanan yang cukup bermakna dalam hidup ini.]

4 Jun 2009:
Jam 8.00 pagi, aku dan ahli keluarga yang bakal menjadi Duyufurrahman (Tetamu Allah) telah siap untuk bertolak ke KLIA. Kami dikehendaki untuk berada di KLIA 3 jam lebih awal bagi menyelesaikan urusan daftar masuk barang-barang dan paspot. Di samping itu juga, kami akan diperkenalkan dengan wakil ejen yang akan bersama kami sepanjang perjalanan selama 2 minggu nanti.

Mungkin kerana teruja dengan perjalanan yang bakal ditempuh, seawal jam 6.00 pagi aku sudah selesai bersiap walaupun aku tidur agak lewat pada malamnya kerana menyiapkan tugasan terakhir sebelum meninggalkan urusan pejabat kepada pegawai bawahan.

Jauh di sudut hati aku mengakui semacam ada rasa tidak percaya bahawa hari ini merupakan hari yang kami tunggu-tunggu selama beberapa bulan. Hari ini kami akan memulakan perjalanan menuju ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan dalam doa selepas Solat Subuh kerana dengan izin-Nya jua, maka aku dan keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat serta dapat memenuhi impian kami untuk menunaikan umrah bersama-sama.

Van shuttle yang telah ditempah lebih awal dan akan membawa kami ke KLIA sudah sedia menunggu di lobi. Abang-abang dan keluarga masing-masing yang mengiringi kami hanya menghantar kami sehingga ke lobi hotel sahaja kerana tidak mahu membebankan mereka.




Perjalanan ke KLIA hanya memakan masa 30 minit sahaja melalui jalan dalam. Aku sangkakan kami antara jemaah yang terawal tiba di KLIA memandangkan penerbangan menaiki Gulf Air dijadualkan pada jam 11.30 pagi tetapi sebaliknya yang berlaku. Kami merupakan antara jemaah yang agak lewat tiba sedangkan jemaah-jemaah lain sudah sedia beratur mendapatkan tiket, pasport dan tanda pengenalan yang diberikan oleh ejen. Apapun, ketibaan kami sebenarnya tidaklah terlalu lewat daripada waktu yang telah ditetapkan oleh ejen untuk berkumpul di KLIA iaitu 3 jam lebih awal sebelum penerbangan.

Oleh kerana ejen telah memilih Gulf Air bagi perjalanan ke Jeddah, kami akan singgah untuk transit di Bahrain selama 1 malam sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan paginya. Penerbangan ke Bahrain dijangka akan memakan masa selama 7 jam. Aku tidak dapat membayangkan berada selama itu di dalam sebuah kapal terbang kerana pengalaman lepas paling lama aku berada di dalam kapal terbang adalah 3 jam sahaja iaitu semasa bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah pada tahun lepas.


Memandangkan ini merupakan perjalanan antarabangsa yang pertama bagi aku dan adik-adik (ibu bapa sudah pernah menunaikan ibadat Haji sebelum ini), kami cuba untuk mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, urusan daftar masuk barang-barang dan pengesahan pasport selesai dalam masa kurang dari 2 jam. Selesai urusan tersebut, kami terus bergerak menuju ke kaunter pengurup wang untuk membuat pertukaran matawang untuk kegunaan semasa di Bahrain kelak. Walau bagaimanapun, berlaku satu insiden yang tidak sepatutnya bagi aku apabila matawang yang diberikan oleh pengurup wang tersebut adalah bukan matawang yang digunakan di Bahrain.

Aku diberikan matawang Dirham apabila memaklumkan bahawa matawang tersebut adalah untuk kegunaan di Bahrain. Tanpa banyak soal, aku menerima sahaja jumlah dan jenis matawang tersebut dan meneruskan pergerakan menuju ke Balai Berlepas dengan menaiki aerotrain. Insiden ini sebenarnya memberi pengajaran kepada diri aku apabila mendapati matawang yang diterimapakai di Bahrain adalah Riyal dan Bahrain Dinar (BD) sahaja. Sedikit sebanyak aku turut menyalahkan pengurup wang tersebut kerana tidak serius dalam melaksanakan tanggungjawab tetapi pada masa yang sama, kesilapan turut ada di pihak aku apabila gagal mendapatkan maklumat terlebih awal daripada Internet tentang matawang Bahrain. Perkara ini menjadi pengajaran kepada aku agar lebih berhati-hati dan mempersiapkan diri dengan maklumat yang boleh diperoleh daripada pelbagai sumber dan tidak terlalu bergantung dengan orang lain atau pihak-pihak yang kurang bertanggungjawab.

Tambahan pula nilai pertukaran matawang yang agak tinggi antara RM dan BD membuatkan kami berfikir berpuluh-puluh kali sebelum membuat sebarang transaksi. Bayangkan, BD1 adalah bersamaan dengan RM10.

Perjalanan selama 7 jam Alhamdulillah dilalui dengan baik malah aku sempat menikmati pelbagai hiburan Bollywood yang disediakan di dalam kapal terbang tersebut. Kami tiba di Bahrain pada jam 1.30 petang. Bayangkan, bertolak pada jam 11.30 pagi. Perjalanan memakan masa selama 7 jam tetapi kami tiba di Bahrain jam 1.30 petang. Perbezaan masa selama 5 jam antara Malaysia dan Bahrain membuatkan kami agak pening-pening lalat. Jika di Malaysia, waktu sudah sepatutnya jam 6.30 petang. Waktu Asar di Bahrain masuk pada jam 3.30 petang, maka ketibaan kami pada jam 1.30 petang adalah dalam waktu Zohor. Subhanallah! Barulah aku memahami maksud bahawa walau di inci bumi mana pun kita berada, Allah dengan sebegitu teliti telah mengatur agar kita mempunyai ruang waktu untuk menunaikan solat kepadaNya.

Sewaktu di lapangan terbang Bahrain, berlaku satu insiden yang pada aku agak mengecewakan. Wakil ejen yang sepatutnya menjadi penunjuk arah kepada kami hanya membatukan diri dan tidak berbuat perkara yang sepatutnya dibuat oleh seorang penunjuk arah. Jangkaan kami, beliau akan memberi penerangan kepada kami akan proses yang perlu kami lalui dan perjalanan seterusnya yang akan ditempuh. Abah aku sudah mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan sikap wakil ejen tersebut. Demi untuk meredakan keadaan, aku dan adik-adik memberanikan diri membuntuti jemaah-jemaah lain yang sebenarnya turut kebingungan seperti kami. Alhamdulillah kami berjaya melepasi sekatan-sekatan yang ada di situ dan beredar menuju ke ruang transit dan menunggu arahan seterusnya daripada penunjuk arah tersebut. Sekali lagi beliau hanya menyerahkan tanggungjawab memberi penerangan kepada salah seorang jemaah yang berada dalam kumpulan kami.

Selesai urusan pemeriksaan keselamatan dan paspot, kami diberikan tiket transit dan akan dibawa untuk menaiki bas ke rumah penginapan yang telah disediakan oleh pihak penerbangan. Memandangkan hanya sebuah bas mini diperuntukkan untuk membawa kami ke rumah penginapan, kami terpaksa menunggu giliran hampir 2 jam di lapangan terbang sebelum dibawa ke rumah penginapan.

Tiba di rumah penginapan, berlaku 1 insiden lagi yang hampir-hampir mencabar kesabaran aku. Sudahlah penunjuk arah tidak faham Bahasa Inggeris, dia membiarkan pula kami terkial-kial mengatur kedudukan bilik. Aku membantah kami dicampur adukkan dengan jemaah lain kerana rumah penginapan yang disediakan adalah apartmen 3 bilik. Seeloknya kami diletakkan dalam 1 apartmen sahaja kerana jumlah kami adalah 6 orang. Begitu juga jemaah lain yang tidak berpuas hati dengan pembahagian bilik tersebut kerana dipecah-pecahkan tanpa mengira muhrim masing-masing. Lebih mengejutkan apabila paspot abah dan adik bongsuku diambil tanpa makluman dan keduanya terus dibawa ke bilik apartmen dan meninggalkan kami yang lain di ruang lobi. Aku yang pada awalnya hanya mendiamkan diri membiarkan penunjuk arah menyelesaikan urusan dengan pihak hotel terpaksa membuka mulut apabila melihat keadaan sudah berada di luar kawalan. Ummiku sudah mula resah apabila abah dan adikku dibawa pergi tanpa diketahui ke mana. Aku memberanikan diri bersemuka dengan wanita India yang bertugas di kaunter.

"Excuse me, can i know what is going on? You have taken my father and my brother without telling us anything," aku bertanya kepada gadis India tersebut.

"You understand English?" balas gadis India tersebut.

"Of course, I am. What's the problem? Can you please explain to me?" Aku cuba mengambil peluang sebaik gadis India tersebut memberi perhatian kepada aku.

Astaghfirullahala'azim! Aku beristighfar panjang. Rupa-rupanya penunjuk arah tersebut tidak tahu dan tidak faham berbahasa Inggeris langsung. Patutlah susun atur penginapan jemaah yang dibuat tunggang langgang dan bercampur aduk. Aku segera menyuarakan agar kami berenam ditempatkan dalam 1 apartmen memandangkan kami memang sekeluarga. Mendengarkan penerangan aku, gadis India tersebut segera mengarahkan Bellboy agar membawa kami ke bilik yang sama di mana abah dan adikku telah ditempatkan sebelum ini. Melihatkan keadaan tersebut, jemaah-jemaah lain juga turut menghampiri gadis India tersebut dan mendapatkan bilik penginapan masing-masing. Aku tidak tahu bagaimana pembahagian bilik bagi jemaah-jemaah lain. Yang ada dalam kepala aku pada waktu itu adalah mengumpulkan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu.

Tiba di bilik, kami terus menunaikan solat Jama' Ta'akhir memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Aku merasa terlalu letih dan mengantuk kerana perbezaan waktu dan berdepan dengan insiden-insiden tadi tetapi cuba menggagahkan diri kerana kami merancang untuk keluar bersiar-siar usai solat Jama' Taqdim nanti.

Ternyata tiada tempat yang menarik di sekitar apartmen yang boleh dikunjungi. Lebih mengecewakan apabila matawang yang dibawa tidak boleh digunapakai. Terpaksalah kami menjamu mata sahaja di samping berjalan-jalan melihat suasana Bahrain. Ada sesetengah jemaah yang mengambil peluang untuk menyewa kereta dengan kadar 220 Riyal bagi 2 jam. Aku tidak sanggup menghabiskan wang yang sebegitu banyak tambahan pula cuaca di Bahrain yang agak panas membuatkan kami tidak berapa selesa menghabiskan masa di luar apartmen. Kami dimaklumkan akan berdepan keadaan cuaca yang sama sewaktu di Madinah dan Makkah kelak.

5 Jun 2009:

Waktu Subuh masuk pada jam 3.30 pagi. Aku terasa begitu berat dan liat untuk bangun kerana seolah-olah tidak percaya untuk menunaikan solat Subuh pada waktu tersebut. Usai solat Subuh, kami menyambung tidur kerana sarapan hanya akan disediakan pada jam 7.00 pagi. Penerbangan kami ke Jeddah pula adalah pada jam 1.00 petang. Dalam waktu senggang tersebut, ramai juga jemaah yang masih mencuri peluang melawat bandar Bahrain dengan menaiki kereta sewa dan tidak kurang juga yang hanya berehat di bilik masing-masing sahaja.

Selesai sarapan, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki di sekitar kawasan apartmen. Dari kejauhan, kami ternampak kubah sebuah masjid dan mengambil keputusan untuk mendekati masjid tersebut. Sangka kami jarak masjid tersebut dekat tetapi sebenarnya agak jauh juga. Paling kasihan ummiku yang sudah mula sakit lutut kesan pergerakan yang banyak dan jauh. Perkara ini sebenarnya merisaukan aku juga kerana bimbang ummiku mempunyai masalah menyempurnakan aktiviti-aktiviti yang perlu ditunaikan semasa di Tanah Suci kelak. Apapun, segalanya aku serahkan kepada-Nya jua, semoga niat suci kami dipermudahkan-Nya.






Kami dimaklumkan untuk berkumpul di lobi tepat jam 9.00 pagi dan sebuah bas mini disediakan untuk membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Oleh kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan jemaah lain untuk mendapatkan paspot semasa daftar keluar (check-out), lebih kurang jam 8.45 pagi kami sudah turun awal ke lobi. Jangkaan kami sudah tentu wakil ejen akan menunggu di lobi untuk memastikan kesemua jemaah adalah mencukupi dan selamat bertolak ke lapangan terbang. Jangkaan kami ternyata meleset. Ternyata kami adalah kumpulan pertama yang turun ke lobi dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan paspot dan menunggu giliran dibawa ke lapangan terbang. Malah kali ini kami terpisah apabila sebahagian terpaksa menaiki bas mini manakala sebahagian menaiki van mini. Aku, ummi dan 2 orang adik terpaksa menaiki van mini dan bersesak-sesak dengan jemaah lain. Bayangkan sebuah van mini memuatkan 14 orang tidak termasuk beg dan peralatan lain. Kebetulan seorang jemaah yang diserang strok turut menyertai rombongan kami, maka sebuah kerusi roda turut dimuatkan dalam van tersebut. Aku rasa kalau di Malaysia mesti sudah lama kena tahan dengan JPJ. Dalam keadaan bersesak-sesak, kami selamat tiba di lapangan terbang pada jam 10.30 pagi. Penerbangan kami ke Jeddah dijadualkan pada jam 1.00 petang.

Sementara menunggu waktu berlepas, kami berlegar-legar di ruang berlepas. Oleh kerana kadar tukaran wang yang tinggi, kami tidak membeli apa-apa barang atau cenderahati untuk dibawa pulang. Walau bagaimanapun, adik lelakiku sempat membeli ban dan air tin daripada sebuah kiosk yang berada dalam ruang tersebut. Bayangkan, harga bagi kedua-dua makanan tersebut adalah bersamaan dengan RM50.

Pada saat inilah aku merasakan betapa benarnya pesan orang-orang tua,'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.' Ternyata kemudahan yang disediakan di KLIA jauh lebih baik berbanding di Bahrain. Di sini, hanya partition menjadi dinding pemisah antara satu ruang berlepas ke ruang berlepas yang lain malah kemudahan tempat duduk yang disediakan juga sangat terhad. Lebih meletihkan apabila kami terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran menaiki bas yang akan membawa kami menaiki kapal terbang. Malah sepanjang pengamatan aku, mereka tidak pernah menepati jangka waktu yang telah ditetapkan bagi sesuatu proses.

Jauh di sudut hati, aku merasakan bahawa bukan mudah untuk menjadi Tetamu Allah. Pelbagai ranjau dan onak perlu ditempuh demi sebuah keredhaan-Nya jua.

"Andai ini harga yang harus dibayar untuk bertemu-Mu Ya Allah, aku redha," itu doaku tidak putus-putus sepanjang menempuh perjalanan yang cukup memenatkan ini.



Alhamdulillah, segala urusan berjaya diselesaikan dan kami selamat menaiki kapal terbang Gulf Air untuk meneruskan perjalanan selama hampir 3 jam pada jam 2.00 petang.

Debaran semakin menggunung dalam dada ini apabila memikirkan perjalanan yang semakin menghampiri rumah-Nya...layakkah aku Ya Allah menjejakkan kaki ke bumi-Mu yang suci?

Bersambung...