Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, July 17, 2009

Pagi Jumaat Yang Hening, Kenangan Terimbau

Bismillahirrahmanirrahim...


Malam tadi aku tertidur awal kerana keletihan sehingga tidak sempat solat Isyak. Apa tidaknya, berbuka puasa dengan durian dan kueteow goreng bersama adik-adikku. Semalam kami berempat mengambil keputusan untuk berpuasa sunat bulan Rejab sebagai persediaan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Seusai solat Maghrib, kami bersantai-santai di hadapan televisyen sambil melayani siaran cerita yang aku sendiri tidak tahu tajuknya. Aku sungguh letih sehingga tidak mampu memfokuskan diri kepada tayangan cerita di televisyen. Tanpa disedari aku terlena di kerusi rehat itu. Aku hanya terbangun lebih kurang jam 11.30 malam dan beredar untuk memasuki bilik tidur.

Jam 4.30 pagi, aku tersedar dari lena dan segera bangun kerana menyedari aku masih belum menunaikan solat Isyak sebelum tidur tadi. Mengenangkan aku harus bersiap untuk ke tempat kerja pula dan waktu Subuh pun hampir tiba, aku terus mandi dan solat Isyak. Dalam keheningan dan kedinginan pagi, hatiku tiba-tiba terasa amat sayu. Air mata membasahi kelopak mataku. Hatiku tersentuh mengingati saat-saat manis mengunjungi Masjid Nabawi dan Masjidil Haram saban waktu solat tiba. Alangkah indahnya jika aku boleh melakukan perkara yang sama semasa di sini. Perkara ini antara penyebab mengapa aku ingin agar rumah yang disewa berdekatan dengan surau atau masjid. Kini hampir 3 minggu aku mendiami rumah sewa ini tetapi tidak pernah sekali pun aku sempat solat Subuh berjemaah di surau yang hanya sepelaung dari rumah kami.

Pagi ini aku nekad. Setiap perkara pasti ada permulaannya. Segera aku kejutkan adik-adikku untuk turut sama bersolat di surau. Alhamdulillah sebaik selesai azan Subuh, kami melangkah menuju ke surau. Sungguh mendamaikan dan menenangkan jiwa. Rindu pada Tanah Suci datang bertandang. Aku ingin kembali lagi ke situ.

Sungguh aku rindu untuk kembali ke sini

Allahu Akbar!

Saat mendengar Imam membaca surah As-Sajadah, aku tidak dapat menahan diri dari mengalirkan air mata tanda syukur kerana kami diberi kekuatan untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Kenangan lalu sewaktu berada di asrama penuh bermula dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, dari Kuala Terengganu aku berkelana ke Muar demi sebuah kejayaan. Aku masih ingat, pada usia itulah aku di'paksa' menunaikan solat secara berjemaah. Aku akui dulu aku rimas dengan segala macam peraturan yang ditetapkan sepanjang tinggal di asrama. Aku resah setiap kali ketua asrama datang membuat rondaan memastikan jika ada yang ponteng solat berjemaah di surau. Namun mujurlah aku bukan seorang penentang arus dan Alhamdulillah, semua peraturan aku turuti dan ikuti dengan sebaik mungkin. Kekadang aku hairan dengan tingkah teman-teman yang tega melanggar peraturan dengan sengaja dan merasa bangga dengannya. Meski aku bukanlah pelajar terbaik dan cemerlang, setidak-tidaknya aku tidak pernah meninggalkan nama buruk sewaktu di alam persekolahan.

Bila dikenang-kenang, aku tidak menafikan bahawa aku rindu kepada zaman itu. Indahnya berkejar-kejaran mengejar waktu untuk solat, makan, ke kelas dan beriadah. Segalanya teratur dan kehidupan terasa lebih bermakna. Benarlah, kemanisan sebuah kejayaan akan lebih dirasai hasil jerih payah dan kesukaran. Sebaliknya, kejayaan yang datang dengan jalan mudah pasti tidak akan berkekalan.

Seperti biasa, jam 7.00 pagi, aku bertolak menuju ke kantor di Putrajaya. Perjalanan agak lancar dan aku tiba di pejabat jam 7.45 pagi. Pagi ini aku ada tugasan yang perlu dilangsaikan iaitu menyampaikan taklimat kepada pegawai baru yang melapor diri. Resah juga hatiku ini kerana sebelum ini aku pernah menegur mereka kerana sikap mereka yang aku rasa agak keterlaluan. Apa tidaknya, baru melapor diri sudah membuat bising dan menunjukkan sikap yang tidak mencerminkan imej seorang pekerja. Entah kenapa aku cukup pantang dalam soal begini kerana aku berpendapat, selaku pegawai baru mereka seharusnya menjaga tingkah laku apatah lagi berada dalam suasana yang baru.

Sebelum ini, aku menegur mereka agar memperlahankan suara kerana kebetulan penempatan sementara mereka betul-betul di sebelah bilik aku. Sudah menjadi kebiasaan aku, apabila tiba di pejabat, aku akan menghidupkan PC sambil menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilangsaikan pada hari tersebut. Pagi itu, hilai tawa dan suara tinggi mereka sungguh mengganggu kedamaian pagi. Mulanya aku tidak berapa kisah dan berpendapat perkara itu tidak akan berlanjutan. Tetapi sangkaanku ternyata meleset. Gangguan bunyi itu ternyata berterusan dan tidak menampakkan tanda-tanda akan berkurangan malah semakin rancak. Aku mengetuk pintu bilik mereka dan menguak pintu,

"Assalamualaikum, maaf saya mengganggu. Boleh bantu saya?" aku memulakan bicara.

Semua mata tertumpu pada aku. Senyap. Tiada perkataan yang kedengaran tetapi hanya ternampak anggukan sahaja.

"Nak bersembang, berbual boleh tapi tolong perlahankan suara ye. Kuat sangat tu. Bilik saya di sebelah. Ada kerja yang perlu saya langsaikan. Boleh?" aku bertanya untuk memastikan mereka faham dengan 'arahan' aku itu.

Tanpa menunggu jawapan daripada mereka, aku terus menutup daun pintu bilik dan kembali ke tempat duduk. Berkesan juga teguran aku itu kerana ternyata gangguan itu sudah berkurangan.

Pagi ini, aku bimbang jika aku masih terbawa-bawa dengan persepsi pertama terhadap mereka sebelum ini semasa menyampaikan taklimat. Tambahan pula, aku telah diberitahu oleh urus setia bahawa ada antara mereka yang agak nakal semasa sesi taklimat sebelum ini.

Selesai minum pagi, aku terus menuju ke dewan dan memancarkan slide taklimat. Aku pandang wajah mereka seorang demi seorang tanpa sebarang kata. Aku harap dengan cara itu mereka akan faham bahawa aku serius dengan taklimat yang akan disampaikan dan aku tidak ingin melihat ada yang main-main. Pada aku, setiap perkara yang ingin dibuat mesti ada kesesuaiannya. Waktu main, mainlah sepuas hati. Waktu kerja, kerjalah sesungguh hati.

Ternyata caraku itu berkesan. Dewan menjadi hening dan semua peserta memberi tumpuan kepada percakapanku. Aku mulakan dengan mengawal 'ketua' atau pencetus kepada suasana nakal yang wujud sebelum ini. Apabila dia telah aku 'kenakan', maka yang lain turut faham mesej yang cuba aku sampaikan.

Pun begitu, apabila melihat wajah-wajah polos dan kudus di hadapanku satu persatu, aku jadi tidak sampai hati terus 'mendera' perasaan mereka. Akhirnya sesi taklimat bertukar menjadi sesi motivasi. Aku kaitkan dengan insiden sebelum ini tentang tingkahlaku mereka sehingga aku menegur mereka. Aku terangkan kepada mereka rasional tindakanku itu. Daripada air muka mereka, dapat aku simpulkan yang mereka faham dan dapat menerima teguranku itu. Aku nasihatkan juga mereka agar bersyukur dengan jawatan/pekerjaan yang telah mereka peroleh kerana masih ramai lagi di luar sana yang tercari-cari sebuah pekerjaan. Untuk melahirkan rasa syukur itu, mereka haruslah menunjukkan kesungguhan dan kecemerlangan semasa menjalankan tugas apabila mendapat penempatan kelak. Anggukan daripada mereka aku terima sebagai pemahaman dan pengertian akan nasihat yang telah aku sampaikan. Meski aku bukan yang terbaik tapi aku cuba menjadikan mereka yang terbaik...

Aku katakan juga kepada mereka agar jangan sekali-kali merasa rendah diri dengan jawatan yang mereka peroleh. Berbanggalah kerana itu aturan daripada-Nya. Buatlah yang terbaik kerana seandainya berjawatan tinggi tetapi tidak berbuat dengan sungguh, maka tidak bermakna pangkat yang dimiliki itu. Bukan soal pangkat menjadi ukuran tetapi sejauh mana kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi. Semoga aku cakap serupa bikin...

No comments: