Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, July 21, 2009

10 - 13/07/2009: Kembara Taiping & Cameron Highlands

Bismillahirrahmanirrahim...

10 Julai 2009: Aku menemani abangku yang datang bersama keluarga dari Pahang untuk menyelesaikan urusan di salah sebuah bank yang terletak di KL. Kebetulan ibuku turut serta datang bersama abangku untuk melihat rumah sewa baru. Urusan selesai pada jam 4.30 petang. Demi untuk mengisi masa hujung minggu, kami bercadang untuk bercuti ke Bukit Merah Laketown Resort, Taiping.

Perjalanan bermula pada jam 7.00 malam menuju ke Bukit Merah dengan 2 buah kereta. Kami tiba pada jam 12.30 tengah malam dan terus mendaftar masuk ke apartmen yang sudah ditempah lebih awal.

Keesokan harinya kami bercadang untuk mandi manda di WaterPark tetapi malangnya hasrat kami tidak kesampaian berikutan jumlah pengunjung yang begitu ramai.




Jam 4.00 petang kami bertolak dari Bukit Merah ke bandar Taiping. Hajat di hati kami ingin melawat Zoo Taiping tetapi terpaksa dibatalkan kerana cuaca tidak mengizinkan dan kami tiba agak lewat daripada sepatutnya.

Untuk mengubat kekecewaan, kami bergerak menuju ke Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang yang sering digembar-gemburkan sejak disiarkan dalam rancangan Majalah 3.


Selesai menikmati Mee Udang, kami segera bertolak menuju ke Cameron Highlands sementara 2 orang adikku telah sedia menunggu di sana. Maklumat awal daripada mereka memaklumkan bahawa tiada kekosongan penginapan di hotel-hotel berdekatan. Perkara ini memang merisaukan kami memandangkan malam sudah agak larut dan masing-masing sudah keletihan termasuk ibuku.

Allah Maha Besar. Tiba-tiba sebuah kereta yang memaparkan iklan kekosongan apartmen untuk disewa harian lalu di hadapan kami. Dengan segera kami menahan kereta tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut sama ada masih terdapat kekosongan atau tidak. Alhamdulillah, ternyata hanya tinggal 1 unit sahaja untuk disewakan. Walaupun kadar yang dikenakan agak tinggi iaitu RM350 bagi 1 malam, kami terpaksa menerimanya kerana sudah tidak mampu untuk meneruskan pencarian lagi.

Keesokkan pagi, seawal jam 9.00 pagi kami sudah memulakan perjalanan untuk melawat ke ladang Strawberi. Anak-anak buahku sudah tentulah orang yang paling gembira dalam aktiviti ini. Bukan main seronok lagi mereka posing, menikmati buah strawberi dan berlari-larian di celah sayur-sayuran.








Oleh kerana abangku perlu meneruskan perjalanan ke Felda Chini, Pekan, Pahang pula, kami meninggalkan Cameron Highlands melalui jalan Tapah pada jam 2.30 petang. Kami berpisah di Masjid Batang Kali pada jam 5.30 petang dan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Dalam perjalanan, aku singgah di Bandar Tasik Puteri, Rawang untuk menghantar 2 orang anak buahku sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah sendiri.

No comments: