Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, July 21, 2009

10 - 13/07/2009: Kembara Taiping & Cameron Highlands

Bismillahirrahmanirrahim...

10 Julai 2009: Aku menemani abangku yang datang bersama keluarga dari Pahang untuk menyelesaikan urusan di salah sebuah bank yang terletak di KL. Kebetulan ibuku turut serta datang bersama abangku untuk melihat rumah sewa baru. Urusan selesai pada jam 4.30 petang. Demi untuk mengisi masa hujung minggu, kami bercadang untuk bercuti ke Bukit Merah Laketown Resort, Taiping.

Perjalanan bermula pada jam 7.00 malam menuju ke Bukit Merah dengan 2 buah kereta. Kami tiba pada jam 12.30 tengah malam dan terus mendaftar masuk ke apartmen yang sudah ditempah lebih awal.

Keesokan harinya kami bercadang untuk mandi manda di WaterPark tetapi malangnya hasrat kami tidak kesampaian berikutan jumlah pengunjung yang begitu ramai.




Jam 4.00 petang kami bertolak dari Bukit Merah ke bandar Taiping. Hajat di hati kami ingin melawat Zoo Taiping tetapi terpaksa dibatalkan kerana cuaca tidak mengizinkan dan kami tiba agak lewat daripada sepatutnya.

Untuk mengubat kekecewaan, kami bergerak menuju ke Kuala Sepetang untuk menikmati Mee Udang yang sering digembar-gemburkan sejak disiarkan dalam rancangan Majalah 3.


Selesai menikmati Mee Udang, kami segera bertolak menuju ke Cameron Highlands sementara 2 orang adikku telah sedia menunggu di sana. Maklumat awal daripada mereka memaklumkan bahawa tiada kekosongan penginapan di hotel-hotel berdekatan. Perkara ini memang merisaukan kami memandangkan malam sudah agak larut dan masing-masing sudah keletihan termasuk ibuku.

Allah Maha Besar. Tiba-tiba sebuah kereta yang memaparkan iklan kekosongan apartmen untuk disewa harian lalu di hadapan kami. Dengan segera kami menahan kereta tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut sama ada masih terdapat kekosongan atau tidak. Alhamdulillah, ternyata hanya tinggal 1 unit sahaja untuk disewakan. Walaupun kadar yang dikenakan agak tinggi iaitu RM350 bagi 1 malam, kami terpaksa menerimanya kerana sudah tidak mampu untuk meneruskan pencarian lagi.

Keesokkan pagi, seawal jam 9.00 pagi kami sudah memulakan perjalanan untuk melawat ke ladang Strawberi. Anak-anak buahku sudah tentulah orang yang paling gembira dalam aktiviti ini. Bukan main seronok lagi mereka posing, menikmati buah strawberi dan berlari-larian di celah sayur-sayuran.








Oleh kerana abangku perlu meneruskan perjalanan ke Felda Chini, Pekan, Pahang pula, kami meninggalkan Cameron Highlands melalui jalan Tapah pada jam 2.30 petang. Kami berpisah di Masjid Batang Kali pada jam 5.30 petang dan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Dalam perjalanan, aku singgah di Bandar Tasik Puteri, Rawang untuk menghantar 2 orang anak buahku sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah sendiri.

09/07/2009: Sebuah Kelahiran

Bismillahirrahmanirrahim...

Tahniah diucapkan kepada Syikin, salah seorang kakitangan di bawah seksyen aku kerana telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 8 Julai 2009.

Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kurniaan tidak ternilai itu, kami sepakat untuk mengunjungi dia yang masih berada di Hospital Serdang pada jam 1.00 petang. Ketibaan kami agak kena pada masanya berikutan jumlah pelawat yang masih tidak terlalu ramai.


Kepada Syikin, selamat berehat dan semoga dapat kembali menjalankan tugas dengan sebaik mungkin selesai tempoh berpantang.

07/07/2009: Makan-makan di Cyberjaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah aku telah berjaya menyempurnakan niat untuk membawa kakitangan di dalam seksyen aku untuk menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran yang terletak di Cyberjaya. Sebenarnya niat ini sudah aku tetapkan sejak sebelum aku berlepas untuk menunaikan umrah lagi tetapi atas faktor kekangan masa, niat tersebut terpaksa aku tangguhkan sehingga kembali dari menunaikan umrah.

Akhirnya, demi untuk tidak mahu mengambil risiko berdepan dengan siri penangguhan demi penangguhan, aku cuba meluangkan masa melunaskan niat tersebut pada 7 Julai 2009 yang lalu. Dengan kerjasama Z yang sudi menaja kemudahan pengangkutan, kami bertolak ke Cyberjaya lebih kurang jam 12.30 tengah hari. Soal pemilihan tempat aku serahkan bulat-bulat kepada mereka untuk menentukannya.

Ceria dalam kereta Cherry Easter milik Z

Akhirnya mereka memilih untuk makan di Tomyam House yang terletak bersebelahan dengan restoran Indian Kitchen dan Penang House.




Hidangan yang disediakan memang sungguh menyelerakan dan paling seronok apabila servis yang disediakan juga sungguh efisien. Masa yang sungguh singkat bagi penyediaan pesanan makanan yang telah dibuat dan harga yang dikenakan juga amat berpatutan. Malah rasa makanan juga sungguh menyelerakan dan rasanya ini akan menjadi kunjungan permulaan kepada kunjungan seterusnya pada masa akan datang.

Doaku semoga hati-hati kami disatukan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan dengan sebaik mungkin. Aamiin...

Friday, July 17, 2009

Pagi Jumaat Yang Hening, Kenangan Terimbau

Bismillahirrahmanirrahim...


Malam tadi aku tertidur awal kerana keletihan sehingga tidak sempat solat Isyak. Apa tidaknya, berbuka puasa dengan durian dan kueteow goreng bersama adik-adikku. Semalam kami berempat mengambil keputusan untuk berpuasa sunat bulan Rejab sebagai persediaan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Seusai solat Maghrib, kami bersantai-santai di hadapan televisyen sambil melayani siaran cerita yang aku sendiri tidak tahu tajuknya. Aku sungguh letih sehingga tidak mampu memfokuskan diri kepada tayangan cerita di televisyen. Tanpa disedari aku terlena di kerusi rehat itu. Aku hanya terbangun lebih kurang jam 11.30 malam dan beredar untuk memasuki bilik tidur.

Jam 4.30 pagi, aku tersedar dari lena dan segera bangun kerana menyedari aku masih belum menunaikan solat Isyak sebelum tidur tadi. Mengenangkan aku harus bersiap untuk ke tempat kerja pula dan waktu Subuh pun hampir tiba, aku terus mandi dan solat Isyak. Dalam keheningan dan kedinginan pagi, hatiku tiba-tiba terasa amat sayu. Air mata membasahi kelopak mataku. Hatiku tersentuh mengingati saat-saat manis mengunjungi Masjid Nabawi dan Masjidil Haram saban waktu solat tiba. Alangkah indahnya jika aku boleh melakukan perkara yang sama semasa di sini. Perkara ini antara penyebab mengapa aku ingin agar rumah yang disewa berdekatan dengan surau atau masjid. Kini hampir 3 minggu aku mendiami rumah sewa ini tetapi tidak pernah sekali pun aku sempat solat Subuh berjemaah di surau yang hanya sepelaung dari rumah kami.

Pagi ini aku nekad. Setiap perkara pasti ada permulaannya. Segera aku kejutkan adik-adikku untuk turut sama bersolat di surau. Alhamdulillah sebaik selesai azan Subuh, kami melangkah menuju ke surau. Sungguh mendamaikan dan menenangkan jiwa. Rindu pada Tanah Suci datang bertandang. Aku ingin kembali lagi ke situ.

Sungguh aku rindu untuk kembali ke sini

Allahu Akbar!

Saat mendengar Imam membaca surah As-Sajadah, aku tidak dapat menahan diri dari mengalirkan air mata tanda syukur kerana kami diberi kekuatan untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Kenangan lalu sewaktu berada di asrama penuh bermula dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5, dari Kuala Terengganu aku berkelana ke Muar demi sebuah kejayaan. Aku masih ingat, pada usia itulah aku di'paksa' menunaikan solat secara berjemaah. Aku akui dulu aku rimas dengan segala macam peraturan yang ditetapkan sepanjang tinggal di asrama. Aku resah setiap kali ketua asrama datang membuat rondaan memastikan jika ada yang ponteng solat berjemaah di surau. Namun mujurlah aku bukan seorang penentang arus dan Alhamdulillah, semua peraturan aku turuti dan ikuti dengan sebaik mungkin. Kekadang aku hairan dengan tingkah teman-teman yang tega melanggar peraturan dengan sengaja dan merasa bangga dengannya. Meski aku bukanlah pelajar terbaik dan cemerlang, setidak-tidaknya aku tidak pernah meninggalkan nama buruk sewaktu di alam persekolahan.

Bila dikenang-kenang, aku tidak menafikan bahawa aku rindu kepada zaman itu. Indahnya berkejar-kejaran mengejar waktu untuk solat, makan, ke kelas dan beriadah. Segalanya teratur dan kehidupan terasa lebih bermakna. Benarlah, kemanisan sebuah kejayaan akan lebih dirasai hasil jerih payah dan kesukaran. Sebaliknya, kejayaan yang datang dengan jalan mudah pasti tidak akan berkekalan.

Seperti biasa, jam 7.00 pagi, aku bertolak menuju ke kantor di Putrajaya. Perjalanan agak lancar dan aku tiba di pejabat jam 7.45 pagi. Pagi ini aku ada tugasan yang perlu dilangsaikan iaitu menyampaikan taklimat kepada pegawai baru yang melapor diri. Resah juga hatiku ini kerana sebelum ini aku pernah menegur mereka kerana sikap mereka yang aku rasa agak keterlaluan. Apa tidaknya, baru melapor diri sudah membuat bising dan menunjukkan sikap yang tidak mencerminkan imej seorang pekerja. Entah kenapa aku cukup pantang dalam soal begini kerana aku berpendapat, selaku pegawai baru mereka seharusnya menjaga tingkah laku apatah lagi berada dalam suasana yang baru.

Sebelum ini, aku menegur mereka agar memperlahankan suara kerana kebetulan penempatan sementara mereka betul-betul di sebelah bilik aku. Sudah menjadi kebiasaan aku, apabila tiba di pejabat, aku akan menghidupkan PC sambil menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilangsaikan pada hari tersebut. Pagi itu, hilai tawa dan suara tinggi mereka sungguh mengganggu kedamaian pagi. Mulanya aku tidak berapa kisah dan berpendapat perkara itu tidak akan berlanjutan. Tetapi sangkaanku ternyata meleset. Gangguan bunyi itu ternyata berterusan dan tidak menampakkan tanda-tanda akan berkurangan malah semakin rancak. Aku mengetuk pintu bilik mereka dan menguak pintu,

"Assalamualaikum, maaf saya mengganggu. Boleh bantu saya?" aku memulakan bicara.

Semua mata tertumpu pada aku. Senyap. Tiada perkataan yang kedengaran tetapi hanya ternampak anggukan sahaja.

"Nak bersembang, berbual boleh tapi tolong perlahankan suara ye. Kuat sangat tu. Bilik saya di sebelah. Ada kerja yang perlu saya langsaikan. Boleh?" aku bertanya untuk memastikan mereka faham dengan 'arahan' aku itu.

Tanpa menunggu jawapan daripada mereka, aku terus menutup daun pintu bilik dan kembali ke tempat duduk. Berkesan juga teguran aku itu kerana ternyata gangguan itu sudah berkurangan.

Pagi ini, aku bimbang jika aku masih terbawa-bawa dengan persepsi pertama terhadap mereka sebelum ini semasa menyampaikan taklimat. Tambahan pula, aku telah diberitahu oleh urus setia bahawa ada antara mereka yang agak nakal semasa sesi taklimat sebelum ini.

Selesai minum pagi, aku terus menuju ke dewan dan memancarkan slide taklimat. Aku pandang wajah mereka seorang demi seorang tanpa sebarang kata. Aku harap dengan cara itu mereka akan faham bahawa aku serius dengan taklimat yang akan disampaikan dan aku tidak ingin melihat ada yang main-main. Pada aku, setiap perkara yang ingin dibuat mesti ada kesesuaiannya. Waktu main, mainlah sepuas hati. Waktu kerja, kerjalah sesungguh hati.

Ternyata caraku itu berkesan. Dewan menjadi hening dan semua peserta memberi tumpuan kepada percakapanku. Aku mulakan dengan mengawal 'ketua' atau pencetus kepada suasana nakal yang wujud sebelum ini. Apabila dia telah aku 'kenakan', maka yang lain turut faham mesej yang cuba aku sampaikan.

Pun begitu, apabila melihat wajah-wajah polos dan kudus di hadapanku satu persatu, aku jadi tidak sampai hati terus 'mendera' perasaan mereka. Akhirnya sesi taklimat bertukar menjadi sesi motivasi. Aku kaitkan dengan insiden sebelum ini tentang tingkahlaku mereka sehingga aku menegur mereka. Aku terangkan kepada mereka rasional tindakanku itu. Daripada air muka mereka, dapat aku simpulkan yang mereka faham dan dapat menerima teguranku itu. Aku nasihatkan juga mereka agar bersyukur dengan jawatan/pekerjaan yang telah mereka peroleh kerana masih ramai lagi di luar sana yang tercari-cari sebuah pekerjaan. Untuk melahirkan rasa syukur itu, mereka haruslah menunjukkan kesungguhan dan kecemerlangan semasa menjalankan tugas apabila mendapat penempatan kelak. Anggukan daripada mereka aku terima sebagai pemahaman dan pengertian akan nasihat yang telah aku sampaikan. Meski aku bukan yang terbaik tapi aku cuba menjadikan mereka yang terbaik...

Aku katakan juga kepada mereka agar jangan sekali-kali merasa rendah diri dengan jawatan yang mereka peroleh. Berbanggalah kerana itu aturan daripada-Nya. Buatlah yang terbaik kerana seandainya berjawatan tinggi tetapi tidak berbuat dengan sungguh, maka tidak bermakna pangkat yang dimiliki itu. Bukan soal pangkat menjadi ukuran tetapi sejauh mana kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi. Semoga aku cakap serupa bikin...

Thursday, July 16, 2009

Bicara Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah 2 hari aku menukar laluan daripada Jalan Ampang ke Jalan MRR2 untuk ke pejabat. Ternyata laluan baru ini lebih memudahkan perjalanan aku dan kesesakan yang dihadapi tidak seteruk laluan sebelum ini. Malah masa yang diambil untuk perjalanan juga menjadi lebih singkat. Jika sebelum ini aku terpaksa memperuntukkan lebih kurang 1 jam atau lebih untuk ke pejabat, kini perjalanan hanya memakan masa antara 30 hingga 45 minit sahaja. Alhamdulillah, syukur segalanya dipermudahkan-Nya. Jujur aku katakan, sebelum ini sewaktu mula-mula berpindah untuk tinggal bersama-sama adik-adik, aku jadi letih memikirkan perjalanan yang harus aku tempuh untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Ternyata niat yang ikhlas pasti akan dilorongkan-Nya ke jalan yang lebih baik. Jika dulu aku hanya akan tiba ke rumah saat azan Maghrib berkumandang, kini sebelum jam 7 malam aku sudah selamat tiba di perkarangan rumah.

Pagi ini Alhamdulillah perjalanan menuju ke pejabat amat lancar. Tiada kesesakan luar biasa dan aku selamat tiba di pejabat pada jam 7.40 pagi. Jika diikutkan, aku memang tiba agak awal sebenarnya kerana waktu pejabat yang telah aku pilih adalah jam 8.30 pagi. Walau bagaimanapun, ada hikmahnya juga kerana aku mempunyai masa untuk menjenguk laman-laman akhbar dan mengemaskini blog sendiri yang agak suram akhir-akhir ini. Malah yang paling aku kesali hingga saat ini adalah kegagalan menyiapkan travelog kembara aku dan keluarga ke Tanah Suci pada bulan lepas. Sungguh ralat rasanya melalui hari-hari dengan kekesalan yang tidak berkesudahan.

Aku akui bulan-bulan terakhir sebelum Ramadhan Al-Mubarak memunculkan diri, aku akan amat sibuk dengan pelbagai aktiviti rasmi yang telah dirancang. Malah hasrat adik-beradikku untuk bercuti ke Pulau Redang sebelum bulan Ramadhan tiba juga masih belum aku lunaskan. Berserabut dan berselirat rasanya tetapi itulah kehidupan. Penuh dengan onak dan duri, pelbagai dugaan dan ujian. Kehidupan tidak akan bermakna tanpa semua itu kerana lauk tidak akan menjadi lazat untuk dinikmati jika tidak dicampurgaul dengan pelbagai rencah dan rempah. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Hanya akan menjadi lebih manis apabila terisi dengan ujian dan dugaan sepanjang perjalanan melaluinya.

Aku fikir dek kerana hakikat itulah maka orang-orang tua pernah berpesan, 'jika ingin mencari sahabat sebenar, carilah sewaktu berada dalam kesusahan'. Kenyataan ini amat benar tetapi aku juga mendapati bahawa adalah lebih manis jika aku sendiri menjadi sahabat yang diperlukan sewaktu orang lain berada dalam kesusahan berbanding aku mengharapkan orang lain membantu aku saat dalam kesukaran. Ini diperkukuhkan dengan pesan Rasulullah S.A.W sendiri yang berbunyi,

'Tangan yang berada di atas lebih baik daripada tangan yang berada di bawah (Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima).'

Pun begitu, hati aku sering jua berbicara,

'Sudahkah aku menjadi seorang pemberi yang baik (ikhlas)?'

'Apakah pemberian aku selama ini diterima-Nya?'

'Adakah pemberian aku selama ini mampu menyelamatkan aku saat dihisab di Padang Mahsyar kelak?'

'Layakkah aku digelar manusia yang tahu bersyukur?'

'Bersyukurkah aku dengan nikmat-nikmatNya selama ini?'

'Sudahkah aku menjalankan tanggungjawab sebagai HAMBA dengan sebaik mungkin?'

Aku sengaja memandu tanpa memasang radio seperti hari-hari biasa, agar bicara hati aku pada pagi ini benar-benar sebati dan membuatkan aku lebih menginsafi diri ini. Kekadang pendirian tersasar jua saat berdepan dengan kesukaran yang memberat dan syaitan laknatullah gigih menerobos serta merobek isi hati ini. Kekadang pemberian dibuat terasa seolah menggunung meski sebenarnya hanya Dia yang tahu jua nilaiannya.

Kekadang lidah lancar menuturkan perkataan yang melukakan hati-hati insan yang disayangi dan dikasihi. Seketika sesal datang bertandang tetapi kesilapan tetap berulang. Lemahnya aku Ya Allah!

'Masihkah bersisa peluang untuk aku kembali kepada-Mu dalam fitrah Ya Allah?'

....

Monday, July 6, 2009

Di Keheningan Malam...

Bismillahirrahmanirrahim...

Jam sudah menunjukkan pukul 12.50 pagi tetapi aku masih segar bugar menghadap laptop. Kenapa? Ini semua gara-gara mesyuarat pada esok pagi. Entah kenapa sudah menjadi tabiat tiap kali aku akan berhadapan dengan mesyuarat, mata tidak mengantuk dan sekiranya tidur pun pasti tidak lena. Risau pun ya juga kerana mesyuarat esok adalah anjuran seksyen di bawah kawalan aku. Selaku ketua seksyen, sudah tentulah kerisauan lebih banyak terbeban di atas bahu aku. Tambahan pula, aku baru hampir 3 minggu kembali menjalankan tugas selepas menunaikan umrah tempohari. Terus-terang, aku masih merindui suasana di sana meski berdepan dengan pelbagai keadaan dan situasi yang kurang menyenangkan. Malah ada 1 perkara yang aku kesali, iaitu hingga saat ini aku masih belum berjaya menggarap travelog kembara tersebut. Bimbang jika terlewat aku akan semakin melupainya. Sesungguhnya aku enggan melepaskan malah tidak ingin melupakan saat-saat indah yang telah kami lalui. InsyaAllah aku akan berusaha untuk mencari ruang dan masa untuk menyiapkannya dalam masa terdekat ini.

Cuti hujung minggu aku habiskan dengan mengemas rumah bersama adik-adik. Kami akhirnya memutuskan untuk tinggal selama 3 bulan di rumah sewa ini selepas tidak mendapat sebarang maklumbalas daripada tuan rumah berhubung permintaan kami. Rasanya harapan untuk mendapat kembali wang deposit amat tipis lantas kami memilih untuk beralah dan menikmati ruang waktu yang ada ini dengan sebaik mungkin. Siapa tahu pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Keadaan ini mengingatkan aku kepada firman Allah di dalam Al-Quranul Karim yang membawa maksud bahawa sesungguhnya mereka merancang dan Allah merancang tetapi Allah jua adalah sebaik-baik perancang.

Demi untuk tidak memanjangkan isu dan memeningkan kepala kami, keputusan untuk terus menyewa selama 3 bulan terpaksa kami ambil. Untuk itu, walaupun kami hanya akan menyewa selama 3 bulan, kami masih perlu menyusun atur dan membersihkan rumah yang kami diami ini dengan sebaik mungkin. Biarlah tuan rumah mengetahui bahawa kami bukan buruk seperti yang disangka. Kami berpegang pada janji bahawa rumah ini akan kami jaga dan memulangkannya dalam keadaan yang baik malah mungkin jauh lebih baik daripada keadaan semasa kami menerima kunci rumah. InsyaAllah, sekiranya kejahatan dibalas dengan kebaikan, sudah pasti kebaikan akan menang. Ini janjiNya, kami redha.

Hari ini kami membersihkan halaman rumah dan memotong rumput serta menebas pokok-pokok yang sudah tidak terjaga. Puas hati rasanya melihat halaman rumah bersih. Susun atur barangan di dalam rumah juga telah dikemaskan dan hanya barang-barang yang perlu sahaja dikeluarkan. Selebihnya masih dikekalkan di dalam kotak untuk memudahkan urusan perpindahan kelak.

PakSoo dan MakTeh membersihkan halaman di luar pagar

Sebelum...Ini bahagian aku, halaman di dalam pagar

Selepas...Puas hati rasanya

Setidak-tidaknya antara hikmah yang paling nyata adalah memudahkan kami untuk menunaikan solat Tarawih kelak di surau yang berdekatan. Di samping itu, masa 3 bulan yang ada akan kami pergunakan dengan sebaik mungkin untuk mencari rumah yang lebih selesa dan sewa yang berpatutan. Kami perlu mencari rumah yang memudahkan kami untuk memarkir kenderaan yang sebanyak 4 buah itu. Buat masa sekarang, hanya 3 buah kereta boleh diparkir berdekatan pagar rumah manakala sebuah lagi terpaksa diletakkan agak jauh daripada rumah. Keadaan ini sudah tentu merisaukan kami dan turut menjadi faktor penyebab perpindahan kami.

Apapun berlaku, aku gembira bersama adik-adikku menempuhnya. Tadi kami sama-sama memasak dan makan malam sambil menikmati siaran rancangan di televisyen. InsyaAllah, apa jua berlaku, jauh di sudut hati aku yakin pasti akan ada hikmahnya yang tersembunyi untuk dipelajari dan difahami.

Sunday, July 5, 2009

Sekitar Perpindahan Rumah

Bismillahirrahmanirrahim...

Seperti dijanjikan, entri ini memaparkan gambar-gambar yang dirakamkan sewaktu proses perpindahan kami ke rumah sewa baru di Keramat. Keletihan jelas terasa tetapi misi perlu kami sempurnakan jua.

Mengisi perut sebelum meneruskan misi

Merenung jauh...di dalam van pregio yang kami sewa. Jelas ternampak tilam Queen milikku di belakang van.

Adik-adikku yang banyak membantu

Barangan dari rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras.

MakTeh yang keletihan mengangkut baranganku.

Misi kami selesai pada jam 8.30 malam. Alhamdulillah...Apa yang penting? Kerjasama. :)

Friday, July 3, 2009

Seketika di High Hill

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Jun 2009: Aku perlu menghadiri satu taklimat yang dianjurkan oleh salah sebuah jabatan di bawah Kementerian yang akan diadakan di Colmar Tropical, Bukit Tinggi, Pahang. Sejujurnya aku masih belum pernah sampai ke Bukit Tinggi dan kunjungan ini merupakan yang pertama buat aku. Tepat jam 1.00 petang, selepas selesai urusan mesyuarat, aku meninggalkan pejabat untuk pulang ke rumah dan berkemas. Memandangkan adik bongsuku hanya akan melaporkan diri pada esok hari, aku ajak dia untuk menemani aku menjalankan tugas di Bukit Tinggi. Sebelum bertolak, kami sempat melayari Internet untuk mendapatkan maklumat berhubung laluan dan lokasi tempat tersebut. Perjalanan daripada Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 45 minit sahaja melalui Lebuhraya Karak.

Jam 4.00 petang kami bertolak daripada rumah di Keramat menempuh laluan di Lebuhraya Karak. Alhamdulillah perjalanan kami lancar walaupun terpaksa melalui jalan yang bersimpang siur bermula memasuki simpang Bukit Tinggi sehingga tiba di Colmar Tropicale.




Selesai mendaftar masuk (Alhamdulillah bilik yang diberikan sungguh selesa dan menarik!) dan solat Asar, kami bercadang untuk melawat ke Japanese Tea House yang terletak 2.5km daripada Colmar Tropicale. Meskipun jarak yang dicatatkan hanya 2.5km, perjalanan memakan masa hampir 20 minit berikutan jalan yang berliku-liku dan memerlukan kosentrasi yang tinggi daripada pemandu. Mujurlah adik bongsuku yang menjadi supir bagi perjalanan tersebut.



Kami tiba di pintu pagar Japanese Tea House lebih kurang jam 5.30 petang dan terus bergegas menaiki tangga berikutan waktu tutup yang tercatat pada papan tanda adalah pada jam 6.00 petang. Suasana di dalamnya sungguh mendamaikan dan menenangkan jiwa tambahan pula dikelilingi oleh pepohon yang hijau merimbun membuatkan fikiran bebas dari kesibukan kota. Sememangnya sebuah tempat yang amat sesuai untuk melarikan diri daripada kekecamukan bandaraya KL.







Memandangkan tiada pelawat lain yang ada semasa kehadiran kami di situ, kami menggunakan sepenuhnya peluang untuk merakamkan lokasi menarik yang ada di sekitar kawasan tersebut. Rasanya aku ingin datang sekali lagi ke sini memandangkan masa yang ada pada hari ini amat terhad untuk aku menikmati sepenuhnya suasana sekeliling.

Apabila melihat keunikan pondok kecil yang dibina di situ, serta-merta aku teringat kepada rancangan aku dan adik-adik untuk membina pondok kecil ala gazebo di halaman rumah di kampung. Melihat ketenangan yang muncul apabila berdiri di dalam pondok itu yang dikelilingi oleh sekumpulan ikan yang berada di dalam kolam, tambah menguatkan hasratku untuk merealisasikan impian kami itu dengan sesegera mungkin. InsyaAllah sekiranya aku berkemampuan dan ruang masa mengizinkan, aku akan cuba untuk merealisasikannya bersama adik-adikku. Jika boleh, aku ingin pembinaannya dibuat dengan tangan kami sendiri kelak.


Selepas menghabiskan masa hampir setengah jam di situ, kami meninggalkan tempat tersebut pada jam 6.00 petang. Tambahan pula, kami bercadang untuk makan malam dan kembali ke bilik memandangkan aku perlu bersiap untuk program pada malam ini.

Perjalanan menuruni bukit juga turut mencabar kemahiran pemanduan supirku dan Alhamdulillah berjaya ditempuh dengan selamat. Sebelum kembali ke hotel, kami mengambil keputusan untuk meninjau tempat-tempat menarik yang ada di sekitar Bukit Tinggi. Siapa tahu mungkin boleh dijadikan salah satu lokasi percutian ahli keluarga kami pada masa akan datang. Ternyata ada beberapa lokasi menarik yang diwujudkan di situ seperti kandang kuda, taman arnab, pusat boling dan padang golf. Walau bagaimanapun, memandangkan kedatangan kami adalah pada hari bekerja, suasana agak muram berikutan ketiadaan pelawat. Kami menjangkakan suasana pasti berbeza pada hujung minggu.





Kami cuba mencari kedai makan atau restoran berdekatan tetapi gagal. Kami akhirnya menuju ke Hentian Rehat Genting Sempah untuk makan malam dan mengisi petrol. Kami tiba di bilik pada jam 7.00 malam.

Alhamdulillah, program yang dihadiri berjaya dilaksanakan meskipun berlaku sedikit kesilapan teknikal di pihak urus setia. Pun begitu, aku menerimanya sebagai satu ketentuan dan cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Aku kembali ke bilik pada jam 11.00 malam selesai minum malam dan adikku sudah merebahkan diri di atas katil. Mungkin kepenatan agaknya memandu di laluan yang mencabar. Selesai solat Isyak, aku turut merebahkan badan kerana kami perlu bertolak ke pejabat pada jam 6.00 pagi pada keesokkan hari.

Seawal 6.30 pagi, kami bertolak daripada hotel meluncur laju menuju ke Putrajaya. Mujur juga adikku ada sebagai peneman kerana jalan sememangnya sunyi sepi dan sekali sekala dihiasi oleh lampu jalan. Alhamdulillah adikku akan melapor diri pada hari ini dan memulakan kehidupan sebagai seorang pekerja. Kadang-kadang terfikir juga, dulu aku sering menghantar dia ke sekolah tetapi kini aku menghantar dia ke pejabat. Betapa pantas masa berlalu.


InsyaAllah sekiranya mempunyai luang waktu, aku bercadang untuk kembali lagi bersama ahli keluarga yang lain agar mereka turut sama dapat menikmati ketenangan dan keindahan yang telah aku alami.