Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, June 29, 2009

Yang Mana Lebih Mahal?

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini merupakan hari pertama aku secara rasmi bertolak daripada rumah baru di Keramat ke Putrajaya. Perjalanan memakan masa lebih kurang 45 minit dengan melalui lebuhraya KL-Putrajaya. Aku akui memecut dengan agak laju memandangkan aku terlewat bangun kerana kepenatan. Apa tidaknya, Sabtu dan Ahad dipenuhi dengan aktiviti berpindah randah dan mengangkut barang dari 3 lokasi berlainan. Entri pengkisahan perpindahan kami akan aku muatkan kelak bersama sisipan gambar-gambar yang merakamkan suka duka kami dalam menjayakan misi tersebut.

Alhamdulillah aku dan adik-adik kini tinggal serumah walaupun jarak perjalanan ke tempat kerja akan menjadi semakin jauh untuk aku. Kalau dulu, perjalanan ke tempat kerja tidak sampai 30 minit dan tol hanya RM 1.30 sehala, kini aku terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya 1 jam untuk perjalanan dan tol RM4 sehala. Antara sebab Keramat menjadi pilihan sebagai lokasi rumah kami adalah kerana memikirkan 2 orang adikku yang bertugas di Jalan Ipoh dan Bandar Manjalara. Adikku yang bertugas di salah sebuah pusat perubatan di Jalan Ipoh perlu berada dekat dengan tempat kerja memandangkan dia perlu oncall pada waktu malam. Untuk itu, aku tidak kisah jika terpaksa berulang-alik agak jauh sedikit asalkan dapat memudahkan urusan adik-adikku. Aku terima semua itu sebagai pengorbanan dan harga yang harus dibayar demi sebuah ikatan kekeluargaan. Aku kan kakak...:)

Pada aku, wang bukan segala-galanya. Aku sedar, dengan bertambahnya jarak perjalanan maka perbelanjaan bulanan aku akan meningkat tetapi aku terima dengan hati terbuka. Niatku hanya satu, mengumpulkan adik-beradik di bawah satu bumbung sementara kami masih ada waktu dan sebelum membawa haluan masing-masing kelak.

Kepenatan menguruskan perpindahan masih aku rasai sehingga ke pagi ini malah kerana kesibukan itu juga aku terpaksa menolak pelawaan seorang rakan untuk menghadiri majlis housewarming pada hari Ahad. Jauh di sudut hati aku sungguh terkilan dengan keputusan itu tetapi aku sendiri sudah tidak terdaya berkejar ke sana sini kerana kesuntukan masa. Tambahan pula, kami perlu mengejar masa memaksimakan penggunaan van yang disewa khusus untuk perpindahan tersebut. Buat rakanku yang telah sudi menjemput diri ini, hanya ampun dan maaf dipanjatkan kerana gagal memenuhi undangan walaupun sebenarnya amat menghargai undangan tersebut dan hati ini ingin sekali hadir tetapi manusia sesungguhnya hanya mampu merancang...

Kepenatan aku bertambah apabila berdepan dengan satu situasi yang mencabar kesabaran dan kurang menyenangkan. Aku akui kami agak terburu-buru sewaktu membuat keputusan untuk menyewa rumah tersebut memandangkan kami dihambat waktu untuk menunaikan umrah. Demi menunaikan janji, kami telah membayar wang tempahan sebanyak RM1000. Sekembali dari menunaikan umrah, kami terus menunaikan janji untuk menyelesaikan baki deposit sebanyak RM1900 kerana kami bercadang untuk mula menyewa pada Julai 2009. Dalam kesibukan kami mengangkut barang, terdetik untuk bertanya tuan rumah kepada rumah berdekatan yang datang membersihkan rumah dan ingin menyewakan rumah juga, tentang kadar sewa yang beliau kenakan kepada bakal penyewa. Ternyata kadar yang dikenakan jauh lebih rendah iaitu RM700 sebulan sahaja sedangkan kami dikenakan RM900 sebulan. Tambah mengecewakan apabila kondisi rumah tersebut adalah jauh lebih baik daripada rumah yang kami sewa dan beberapa kelengkapan telah tersedia di dalamnya sedangkan kami hanya mendapat sebuah rumah kosong. Petang itu kami ronda-ronda di sekitar kawasan perumahan dan ternyata masih banyak rumah kosong yang ingin disewakan malah dengan kondisi yang jauh lebih baik. Hati kami semakin terluka.

Kesilapan besar kami adalah tidak membuat tinjauan terlebih dahulu tentang kadar purata sewa yang dikenakan bagi kawasan tersebut. Keghairahan untuk berpindah dan keterbatasan waktu mencari rumah sewa sebelum menunaikan umrah menyebabkan kami tidak berfikir panjang apabila terbaca sebuah iklan dalam sebuah laman web. Tambahan pula apabila kami sendiri telah berjumpa dengan tuan rumah dan bersetuju dengan harga yang ditawarkan dan apabila dimaklumkan bahawa kadar sewa yang dikenakan bagi kawasan tersebut adalah sekitar RM900-RM1000. Atas dasar kepercayaan, kami menerima bulat-bulat maklumat yang diberikan tanpa usul periksa. Tambah menguatkan hasrat kami untuk bersetuju menyewa rumah itu adalah kerana kedudukan rumah yang terletak berdekatan dengan surau. Sememangnya menjadi keinginan kami agar rumah yang disewa terletak berdekatan dengan surau/masjid.

Kini, apabila ternyata seolah-olah kami dipermain-mainkan, hasrat untuk terus menyewa di situ telah padam. Pun begitu, menyedari kesilapan turut ada di pihak kami, kami memutuskan untuk menyewa selama sebulan sahaja dan dalam masa yang sama mencari rumah lain yang lebih sesuai dan keadaan yang lebih baik. Ini juga bagi memberi peluang kepada tuan rumah untuk mencari penyewa lain untuk menggantikan kami. Untuk itu, perkara ini cuba kami bawakan kepada tuan rumah untuk dipertimbangkan malangnya tuan rumah seolah-olah berat untuk memulakan deposit 2 bulan yang telah dibayar sebelum ini. Kami telah cuba menyatakan perkara ini dengan sebaik mungkin kerana menyedari kami tidak lagi boleh meneruskan hasrat untuk tinggal lebih lama di situ setelah menyedari hakikat sebenar yang berlaku.

Sehingga kini, kami masih menanti kata putus daripada tuan rumah berhubung pemulangan wang tersebut. Sebolehnya kami tidak ingin memanjangkan perkara ini sehingga ke peringkat pihak berkuasa. Kami ingin pergi dengan cara baik sepertimana kami datang dengan cara baik. Perkara inilah yang kadang-kadang menyesakkan dada aku. Sungguh sukar mencari sebuah kejujuran dewasa ini. Demi sebuah kejujuran, aku rela membayar tempahan sebanyak RM1000 kepada tuan rumah sebelum bertolak menunaikan umrah dan membayar baki sebanyak RM1900 sebaik kembali ke tanah air. Ini kerana aku telah berikrar di hadapan tuan rumah untuk berbuat demikian dan aku berpegang pada janji itu sebagai orang Islam.

Kini apabila kami cuba berbincang dengan cara baik, tuan rumah seolah-olah enggan memulangkan wang tersebut. Bukan soal wang yang aku kesalkan tetapi sikap tuan rumah yang tidak boleh dibawa berbincang apabila berkait soal wang. Wang boleh dicari tetapi apabila wang dianggap seolah-olah lebih mahal dari sebuah kepercayaan, lebih mulia daripada hubungan sesama manusia, lebih tinggi daripada sebuah kejujuran, aku jadi amat kecewa. Kami mempunyai pilihan iaitu untuk terus tinggal di situ selama 3 bulan bersamaan dengan jumlah deposit yang dibayar tetapi hati kami sudah tiada di situ. Kekecewaan mengetahui kami seolah-olah dipermainkan oleh tuan rumah dan mendapat sesuatu yang tidak berbaloi membuatkan kami sukar untuk terus tinggal di situ. Kalau diikutkan hati, aku ingin sekali terus pindah tetapi aku sedar kesilapan turut ada di pihak kami. Untuk itu, kami beralah untuk tinggal selama sebulan dan membayar kadar sewa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Kami akan terus menunggu keputusan tuan rumah sama ada akan memulangkan wang kami atau tidak dalam tempoh seminggu ini. Selepas itu baru kami akan memikirkan langkah seterusnya. Aku gembira dalam saat-saat begini kami sepakat dengan keputusan yang dibuat. Aku fikir ini percubaan pertama buat kami sebagai satu keluarga apabila memutuskan untuk tinggal bersama. Semoga suka duka, pahit manis yang kami lalui akan membuahkan mawaddah wa rahmah dalam hati kami dan lebih menghargai antara satu sama lain keranaNya jua.

Kini, aku hanya mampu berdoa agar Allah melembutkan hati tuan rumah untuk menerima penjelasan kami dan seterusnya mengambil tindakan wajar dengan mengembalikan wang kami. Apa jua berlaku, aku gembira kami melakukannya bersama.

5 comments:

Ila Ramli said...

kisah rumah ke????
mmm... manusia mmg gelap mata bila bab duit
tp biasa tn umah mmg payah nk pulangkan deposit
nak tak nak stay aje utk bape bulan ... huhu

Anonymous said...

Karimah,

Kesilapan memang tidak dapat dielakkan. Kadang-kadang pertimbangan yang kita buat silap disebabkan beberapa faktor human error yang tidak disengajakan.Ada Perjanjian Penyewaan tak? Kalau ada cuba karimah semak Perjanjian Penyewaan ada tak clause menyatakan boleh dipulangkan balik deposit. Kalau ada, dia mesti pulangkan deposit.

Kalau tak ada, saya cadangkan supaya karimah dan adik beradik duduk di situ tanpa sewa selama 2 bulan lagi sebab deposrit 2 plus one. Saya biasa buat mcm ni. Saya sms saja tuan rumah dan masa tu dia setuju saja Dalam kes karimah ni mungkin dia keberatan untuk pulangkan sebab mungkin dia dah guna duit tu. sebagai penyewa kita berhak ke atas deposit 2 bulan tu.kalau dari segi legal kita berhak duduk percuma 2 bulan tanpa bayaran.

Ini pandangan saya sebab saya tak rasa dia akan setuju pulangkan dan saya tak rasa dia boleh buat apa-apa kalau karimah tak nak keluar. Kadang2 kita terpaksa juga bertegas sebab keadaan rumah yg tidak sepatutnya seperti rumah2 lain yang lebih murah dan berpatutan.

Pengalaman sewa rumah ini cukup menyerikkan saya. Saya pernah ditipu hidup2. Masa tu sewa rumah di Ukay perdana.saya tergesa-gesa sebab isteri nak tukar sekolah ke kl.jadi tak fikir panjang ambik saja. At the end nanti saya kena.mujur dapat selesaikan dgn cara yg baik.nanti saya ceritakan dlm blog.

Abu Wafi

Carrie-Ma said...

Salam Abu Wafi dan Ila,

terima kasih banyak2 atas saranan tersebut. dalam saat-saat begini, sebarang cadangan dan nasihat yang diberikan adalah satu rahmat buat diri kami yang sedang dilanda ujian ini. mungkin ini satu pengalaman dan pengajaran baru buat diri kami agar lebih berhati-hati pada masa hadapan. amat sukar mencari manusia yang boleh dipercayai bila berbicara soal wang.

berkemungkinan besar kami terpaksa berbuat demikian kerana untuk bertegas dengan pilihan kami ternyata agak sukar iaitu menunggu habis tempoh deposit yang dibayar. sementara itu kami berpeluang untuk mencari rumah yang betul2 elok untuk diduduki.

HaNiE said...

hehehe seriusnye....

hmmmm keramat area mane? boleh ar kita wat rukun tetangga bersama-sama, mesyuarat tingkap pun sangat di alu-alukan..... tapi kalo ko nak tolong babysitkan izz lagi la sangat di harap-harapkan, hu hu hu....... *peace*

Anonymous said...

hmmm..umah kat belakang minlon kan dah nk siap ;)

x-housemate