Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, June 4, 2009

Tiada Perasaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat menulis blog ini, aku dan keluarga sedang menginap di Hotel Empress Sepang. Empat (4) unit bilik ditempah untuk kedua ibu bapaku, adik-adikku dan dua (2) orang abangku beserta keluarga masing-masing. Mereka semua telah lena dibuai mimpi sedang aku masih berteleku menghadap komputer menyiapkan tugasan akhir sebelum berlepas menunaikan umrah pada keesokkan pagi. Waktu tidur pada malam ini terpaksa aku korbankan demi menyempurnakan amanah ini.

Sejujurnya perasaan berdebar-debar tiada lagi dalam diriku memandangkan kebelakangan ini walaupun telah mula bercuti, aku masih sibuk berkejar ke sana sini menyelesaikan beberapa perkara di samping menemani ahli keluargaku membeli persiapan terakhir. Malah aku sendiri baru berpeluang membeli kelengkapan untuk menunaikan umrah pada malam tadi bersama ahli keluarga di Mydin Subang Jaya. Keletihan memang tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata lagi. Kepala semakin berdenyut-denyut apabila pelbagai dugaan menghujani diri ini saat waktu untuk bertolak semakin hampir. Dugaan datang sama ada dari segi peribadi dan juga kerjaya. Pun begitu, aku cuba menyemaikan dalam diri ini bahawa semua yang berlaku adalah dugaan kepada diri kami saat ingin mendekatkan diri kepada-Nya jua. Aku akui beberapa kejadian yang berlaku sebelum kami bertolak sungguh mencabar kesabaran dalam diri tetapi aku yakin dengan seyakin-yakinnya bahawa itu semua adalah cubaan daripada-Nya jua.

Keletihan dan kesibukan yang melanda membuatkan aku keliru dan hilang arah dengan keperluan yang perlu dibawa. Aku sendiri tidak pasti sama ada barangan yang telah dimasukkan ke dalam beg adalah bersesuaian dengan keperluan di sana kelak. Aku cuma berharap dan berdoa agar aku dapat membeli keperluan yang tidak dibawa daripada sini apabila berada di sana kelak.

Hari ini, sebelum bertolak ke hotel, kami sempat ke Bank Al-Rajhi untuk membuka akaun dan ke pejabat Celcom untuk menaiktaraf talian telefon Abah. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar dan kami akhirnya mendaftar masuk di hotel pada jam 5.30 petang.

InsyaAllah, kami akan bertolak daripada hotel pada jam 8.00 pagi kerana kami dikehendaki untuk berada di sana pada jam 8.30 pagi. Penerbangan kami dijadualkan akan berlepas pada jam 11.30 pagi ke Bahrain dan bermalam di sana selama satu (1) malam sebelum berlepas ke Jeddah.

Merenung kembali perancangan kami untuk menunaikan umrah pada tahun ini dan susah payah yang ditempuh dalam merealisasikannya, membuatkan aku semacam tidak percaya bahawa impian kami itu bakal menjadi kenyataan pada keesokkan pagi. Terasa seolah-olah segala jerih perit ke sana ke mari mencari maklumat, menghubungi pelbagai agensi di samping bantuan seorang rakan sekerja, kami akhirnya bakal bertolak pada keesokkan hari, insyaAllah.

Jika disorot kembali, seingat aku, hasrat untuk menunaikan umrah secara berjemaah telah lama dinyatakan oleh Abah tetapi keadaan dan keupayaan yang tidak mengizinkan membuatkan hasrat itu terbantut. Kini, dengan rezeki yang Allah Taala berikan dan ruang masa yang ada, aku tidak mahu bertangguh lagi untuk merealisasikan impian kedua ibu bapaku itu. Dengan disertai oleh tiga (3) orang adikku, kami nekad untuk mula merencana dan menjalankan misi merealitikan impian itu. Alhamdulillah, usaha ikhlas kami dipermudahkan-Nya dengan pelbagai bantuan yang kami terima. Jazakumullahukhoiron kathiro...Hanya Allah yang akan dapat membantu jasa baik kalian membantu kami mencapai impian murni ini.

Bulan Jun menjadi pilihan memandangkan salah seorang adikku bertugas sebagai seorang guru dan cuti sekolah pertengahan tahun jatuh pada bulan Jun. Justeru, peluang yang datang kami rebut kerana bimbang penangguhan akan memungkinkan impian hanya tinggal impian dan bakal mengecewakan hati kedua ibu bapaku. Selama hayat mereka masih ada, aku akan cuba untuk memenuhi impian mereka dengan sedaya upaya yang mampu.

Demi memenuhi impian itu, aku telah mengambil cuti selama 15 hari dan tanggungjawab di pejabat terpaksa aku serahkan kepada pegawai bawahanku. Doaku semoga kepercayaan yang diberikan mampu mengatasi kerisauan yang menyelubungi diri ini.

Meski mata semakin memberat, aku terpaksa menggagahkan diri menyempurnakan jua amanah agar perginya aku ke sana dengan hati yang tenang. Aamiin...

4 comments:

perantau.tt said...

Salam. Alhamdulillah.. selamat menunaikan umrah. cuaca agak panas sekarang nih. jgn lupe bykkan minum air kosong. atau air zam2 lagi bagus. bawakla botol2 mineral kecik tu isi air. moga dipermudahkan segala urusan kelak.. :)

Anonymous said...

weh selamat segalanya..
moga semuanya dipermudahkan
gambatte kudasai!

sayonara

housemate@x-housemate soon :p

azmir@jemer said...

Salam CK.. Semoga mendapat Umrah yg Mabrur.. Insyaallah... And congrats for your promotion...

Carrie-Ma said...

perantau.timur.tengah,
Alhamdulillah semua selamat walaupun cuaca panas bangat.dugaan lebih skit hehehe.mmg kat sana air zamzam tu dah jd mcm air mineral kat malaysia...yg pasti ini bukan kunjungan terakhir sebaliknya permulaan kpd kunjungan seterusnya, insyaAllah.

My Hosmet,
thanx. gonna miss u. nanti dtgla umah baru kami...

Jemer,
thanx for dropping by. Alhamdulillah dah 4 hr selamat kembali. kenangan indah yg sukar dilupakan. kalau ada rezeki, digalakkan hadir ke sana beramai2...