Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, June 21, 2009

Hatiku Terpaut Di Situ

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat e-mel ini ditulis, sudah 5 hari aku kembali ke Malaysia sebaik selesai menunaikan umrah tempohari. Alhamdulillah, penerbangan kami tiba di KLIA pada 16 Jun 2009, jam 9.40 pagi tanpa sebarang masalah besar. Walau bagaimanapun, urusan mendapatkan beg dan air zamzam memakan masa hampir 2 jam dan kami meninggalkan KLIA pada jam 11.00 pagi. Terus-terang kesan penerbangan yang memakan masa lebih 7 jam masih aku rasai. Waktu tidurku masih terganggu berikutan perbezaan waktu yang dialami sebelum ini. Pada hari yang sama kami sekeluarga bertolak pulang ke kampung di Terengganu. Sungguh! Perjalanan yang tidak putus-putus ini amat memenatkan kami tapi digagahkan jua.

Meski kembara yang telah ditempuh menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang, aku merasakan satu perasaan indah yang aku yakin tidak akan aku rasai saat berkunjung ke tempat lain. Bagi yang pernah melalui dan merasai apa yang telah aku alami ini, pasti akan sangat-sangat memahami perasaan itu.

Apa tidaknya, saat menatap Baitullah berada di hadapan mata, satu perasaan bercampur baur antara percaya dengan tidak, sayu, kesal, sesal, sebak. Selama ini Baitullah hanya ditatap di dalam kaca TV atau majalah sahaja tetapi pada hari itu, Baitullah benar-benar berada di hadapan mata. Hanya air mata menjadi saksi kegembiraan yang dirasai. Satu perasaan indah menusuk jauh ke dalam hatiku ini. Serasa seperti kembali kepada rumah yang telah lama ditinggalkan. Terasa talbiah yang dilafazkan bersahut olehNya...Subhanallah!

Hingga saat ini, seandai terpandang gambar Kaabah, hati ini menggamit untuk kembali lagi ke situ. Yang pasti, kunjungan pada kali ini bukanlah kunjungan yang pertama dan terakhir sebaliknya menjadi permulaan kepada kunjungan-kunjungan yang seterusnya, insyaAllah.

Di kampung, kami sempat mengadakan jamuan doa selamat secara kecil-kecilan sebagai tanda kesyukuran atas kesejahteraan kembara kami. Barulah aku memahami maksud panggilan 'tetamu Allah'. Kepulangan kami disambut dengan pelukan dan kasih sayang daripada sanak-saudara. Terus-terang sebelum ini aku sering memandang enteng maksud panggilan itu. Bahawa sesungguhnya kini aku mengerti tidak semua orang bertuah dapat menyahut panggilanNya. Alhamdulillah, kami antara insan bertuah itu. Rentetan perjalanan/kembara kami ke Tanah Suci akan aku muatkan dalam travelog yang cuba aku tintakan secepat mungkin kerana aku tidak ingin melupakan adunan perasaan yang telah aku alami sewaktu di sana. Aku nyatakan sebagai adunan perasaan kerana bukan perasaan suka, seronok sahaja yang telah aku alami sewaktu di sana tetapi juga duka dan sedih. Pun begitu, apa pun jua yang aku alami sewaktu di sana, natijahnya tetap kemanisan iman. Yang pasti, kembara itu telah membuka satu dimensi baru dalam hidupku.

Malam tadi, aku tiba daripada kampung bersama-sama adik-adikku untuk meneruskan tanggungjawab yang telah aku tinggalkan hampir 3 minggu. Jauh di sudut hati, kerisauan tetap bersarang malah aku sepatutnya menghadiri satu mesyuarat di Tanjung Malim keesokkan pagi. Namun begitu, berikutan keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, tanggungjawab itu terpaksa aku serahkan kepada pegawai bawahanku. Alhamdulillah beliau sanggup membantu. Perubahan cuaca mendadak menyebabkan aku batuk-batuk dan selsema serta badan menjadi sakit-sakit. Namun aku bersyukur kerana gangguan ini hadir waktu aku telah selamat tiba di Malaysia dan bukannya sewaktu aku berada di sana. Alhamdulillah Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada kami sekeluarga sewaktu di sana.

"Hamba-Mu telah datang menyahut panggilan-Mu Ya Tuhan
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu"

Aku berdoa agar kami diberi peluang lagi untuk menyahut panggilan Ilahi pada masa akan datang. Aku rindu pada-Mu Ya Allah kerana hatiku sudah terpaut di situ...

2 comments:

Anonymous said...

Selamat kembali. Anda merasai pengalaman yang saya telah rasai. Perasaan yang sama dengan saya. Teringat nak kembali ke sana lagi.

Abu Wafi

Carrie-Ma said...

abu wafi,
terima kasih kerana singgah. benar, masih segar perasaan itu dalam diri ini. beruntunglah barang siapa yang dapat berada di sana lebih lama...