Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, May 19, 2009

Muhasabah

Bismillahirahmanirrahim...

Dalam kesibukan menjalankan tugas, aku terpaksa mencuri sedikit masa menuju ke bank untuk menunaikan hasrat melangsaikan hutang piutang sebelum memulakan Kembara Iman. Itu azamku agar pemergianku adalah pemergian yang diredhai-Nya jua. Setiba di bank, aku terus mengisi borang berkenaan dan mengambil nombor giliran. 1094, itu nombor yang aku perolehi. Nombor sekarang adalah 1089.

"Lagi 5 orang. Oklah, boleh tunggu. Mesti cepat ni," getus hatiku.

Tiga kaunter disediakan tetapi hanya satu kaunter sahaja dibuka untuk berurusan. Penantian menjadi semakin panjang dan aku mula hilang sabar. Urusan yang sepatutnya memakan masa tidak sampai 10 minit menjadi lebih panjang kerana penutupan dua kaunter tersebut. Tambah menyakitkan hati apabila melihat kakitangan bank yang berjalan-jalan dan bersembang seolah tidak menghiraukan kerisauan dan penyeksaan pelanggan yang menanti untuk berurusan. Hati aku makin panas apabila pelanggan yang berada di kaunter nan satu itu pula memakan masa yang lama dan kakitangan bertugas pula seperti memberi layanan sambil lewa. Ingin rasanya aku bangun dan bertanya ke mana perginya petugas-petugas yang lain walhal pelanggan sudah lama menunggu giliran. Malah aku lihat, seorang lelaki bertaraf pakcik yang duduk di kerusi sebelah aku juga sudah mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan keadaan tersebut.

Namun, entah kenapa, tiba-tiba terdetik dalam hatiku satu peringatan yang menyedarkan aku malah menginsafkan aku. Dada ini sebak. Sebu. Berdosa. Bersilih-ganti.

"Wahai Karimah, ini baru penantian di dunia. Bagaimana pula keadaan apabila menunggu giliran di Padang Mahsyar kelak untuk dihisab? Mampukah aku memarahi Allah agar memberi layanan dan keutamaan kepada diriku sepertimana yang sering aku tuntut di dunia ini? Hebat sangatkah aku ini sehingga semua manusia perlu memenuhi kehendak aku dengan segera?"

Astaghfirullahala'azim!

"Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa hamba-Mu ini yang begitu mudah dipengaruhi oleh syaitan yang direjam," itu doaku semoga perasaan amarah yang menyelubungi diriku tadi diampunkan-Nya jua.

Sebegitu mudah dan pantas hati manusia yang lemah seperti aku ini berbolak balik antara kebaikan dan kebatilan.

"Wahai Yang Membolak balikkan hati, Kau tetapkan hatiku dalam agama-Mu dan berada dalam ketaatan kepada-Mu jua."

Aamiin...

No comments: