Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, May 27, 2009

Kerja Sebagai Ibadah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang-kadang aku terfikir, apakah amalanku selama ini sebagai seorang pekerja boleh dianggap ibadah? Apakah nanti pekerjaanku ini mampu menyelamatkanku saat menghadap-Nya untuk dihisab kelak? Sungguh, akhir-akhir ini aku sering memikirkannya malah menjadi lebih kerap sejak menerima kenaikan pangkat ini.

Semalam aku sempat bertukar-tukar fikiran dengan salah seorang anak buahku, F. Panjang lebar kami berbicara sehingga tidak sedar jam sudah hampir mencecah 5.30 petang. F sebenarnya baru sahaja dilantik secara rasmi menjadi pegawai bawahanku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana F seorang yang rajin bertanya dan komited dalam setiap tugasan yang diberikan. Pun begitu, seringkali juga aku merasa sedikit rimas dengan pelbagai persoalan yang F utarakan, namun cepat-cepat aku positifkan fikiranku ini bahawa aku juga pernah berada di tempat dia. Justeru, aku memahami gelojak perasaan ingin tahu dan semangat menyumbang yang ada dalam diri F sekarang. Sebagai pegawai atasan atau ketua, adalah menjadi tanggungjawab aku untuk mengajar dan memberi panduan kepada F agar faham akan tugas dan tanggungjawab dia. Sememangnya aku amat bersyukur kerana dikelilingi oleh pegawai-pegawai bawahan yang mudah dibawa berbincang dan senang untuk bertukar-tukar pendapat.

Kepada F aku nyatakan bahawa aku tidak gemar mendapat anak buah yang hanya menerima bulat-bulat arahan yang diberi oleh pegawai atasan (dalam kes ini, sudah tentulah aku). Seharusnya wujud proses saringan dan pertimbangan dalam setiap arahan yang diterima. Pegawai-pegawai bawahan adalah berhak dan amat dialu-alukan untuk menambahbaik atau meminta penjelasan atas setiap tugasan yang diberikan. Sekiranya idea atau pendapat yang diberikan adalah jauh lebih baik, maka pendapat itu akan diterima dengan lapang hati. Pada pandanganku, di situlah konsep Syura yang ditekankan dalam Islam memainkan peranan. Malah bijak pandai juga ada menyebut, '2 heads are better than 1 (dua pemikiran lebih baik daripada satu pemikiran)'. Terus-terang aku rimas dan kurang gemar kepada fahaman yang digembar-gemburkan oleh segolongan pengikut setia atau fanatik atau sebenarnya tukang kipas, iaitu 'Boss is always right'. Lantas, di manakah konsep semangat berpasukan yang sering ditekankan dalam mana-mana organisasi pun. Pada aku, jika hanya ada satu pihak saja yang berhak bersuara dan ahli-ahli lain tidak berhak untuk mempersoalkannya, maka di saat itu tidak perlu dibicarakan lagi soal kerja berpasukan dan segala macam lagi fahaman yang cuba diterapkan dalam diri setiap pegawai.

Sejujurnya aku merasakan bahawa jalan mudah adalah kembali kepada ajaran Islam. Di dalamnya sudah digariskan pelbagai panduan, ajaran untuk memandu perjalanan kita di dunia ini baik dalam segala segi. Tidak kisahlah apa jua jawatan yang dipegang, selagi ajaran Islam tidak dijadikan rujukan, aku yakin, selama itu jugalah harapan hanya akan tinggal harapan. Begitu banyak paradoks yang wujud di sekeliling kehidupanku ini. Di satu pihak menyeru agar kakitangan bawahan lebih komited, berintegriti dalam menjalankan tugas tetapi di satu pihak lagi menggalakkan kakitangan bawahan agar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti lagha. Maka di manakah sebenarnya arah tujuan kehidupan ini? Seumpama ketam mengajar anak berjalan betul.

Kepimpinan melalui teladan. Aku cukup yakin tentang perkara ini. Perbuatan kadang-kadang lebih berkesan daripada kata-kata kerana kata-kata kekadang hanya mudah untuk dilafazkan tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Begitu Rasulullah digambarkan sebagai terjemahan Al-Quran sehingga apabila ditanya Siti Aisyah (Rodiallohuanha) akan keluhuran akhlak Rasulullah, maka dijawab 'Akhlaknya adalah Al-Quran'. Ternyata ajaran melalui perbuatan yang dimulakan dengan diri sendiri adalah lebih terkesan dan mampu menyentuh hati-hati manusia lain.

Doaku, semoga dalam debaran menghitung hari menuju ke Tanah Suci, hijrahku agar dapat lebih mendekatkan diri kepada-Nya sekembali dari sana kelak, akan dimakbulkanNya. Semoga kerjaku akan menjadi ibadah yang mampu aku bawa untuk menghadap-Nya kelak.

No comments: