Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, May 7, 2009

Kembara Penuh Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim...


Yeah, cuti Hari Pekerja. Seperti yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, walaupun jauh di sudut hatiku ini ingin sekali menghabiskan cuti hujung minggu di KL sahaja, aku sebenarnya merasa serba salah untuk menolak ajakan abangku itu. Justeru, dengan fikiran yang positif, aku menerima ajakan itu dan merancang untuk hadir sehari lebih awal bagi kenduri rakanku di Ayer Keroh, Melaka. Maka dengan disertai oleh 2 orang adikku, kami memulakan perjalanan pada 1 Mei 2009, lebih kurang jam 3.00 petang menuju ke Melaka. Perancangannya adalah kami akan bermalam di Melaka, menghadiri majlis akad nikah rakanku pada malamnya dan meneruskan perjalanan ke Mersing pada keesokan paginya.


Mileage sebelum memulakan perjalanan


Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dengan melalui Jalan Persekutuan bermula daripada Port Dickson dan terus menuju ke Tanjung Bidara, tempat di mana kami akan menginap. Kami tiba lebih kurang jam 7.00 malam dan seusai meletakkan barangan, kami terus menuju ke rumah rakanku di Ayer Keroh kerana majlis akad nikah dijangka akan bermula selepas Isyak.

Jangkaanku, majlis akan selesai tidak melebihi jam 10.00 malam tetapi kami akhirnya bertolak ke tempat penginapan hampir jam 11.00 malam. Mujurlah kami sudah menunaikan solat Jama' di masjid yang terletak tidak jauh dari rumah rakanku itu. Selesai membersihkan diri, kami terus melelapkan mata bagi mendapatkan rehat yang cukup memandangkan kami akan menempuh perjalanan yang jauh pada keesokan harinya.

Seawal jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Mersing dengan melalui lebuhraya dan keluar di persimpangan Ayer Hitam. Oleh kerana kami tidak sempat untuk bersarapan sebelum bertolak, kami singgah di Kluang Rail Coffee untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong. Mulanya adik-adikku agak terkejut apabila melihat suasana yang agak sesak dan pelanggan beratur menunggu giliran mendapatkan tempat duduk. Malah adik-adikku nyaris mengajak aku mencari gerai makan lain untuk bersarapan. Aku hanya tergelak kecil kerana ini merupakan kunjungan mereka yang pertama ke situ berbanding aku yang sudah 2,3 kali ke situ sebelum ini. Kesesakan menunggu giliran mendapatkan tempat duduk bukanlah sesuatu yang pelik padaku bagi sebuah tempat yang dikenali ramai dan tersenarai dalam kalendar pelancongan. Akhirnya kami berjaya mendapatkan tempat duduk dan adik-adikku mengakui akan keistimewaan tempat itu.


Menunggu giliran mendapatkan tempat duduk


Dengan adik bongsuku, PakSoo

Perjalanan ke Mersing diteruskan dengan memakan masa 1 jam lebih berikutan keadaan jalan yang kurang memuaskan. Kami tiba di jeti Mersing pada jam 11.30 pagi dan bot yang ditempah dijadualkan akan bertolak pada jam 12.30 tengah hari. Oleh kerana urusan percutian pada kali ini telah diuruskan oleh abangku, maka aku hanya menurut sahaja pergerakan yang telah disusun. Alhamdulillah, tanpa sebarang kerenah, seusai membeli tiket pada kadar RM35.00 seorang/sehala (RM70.00 seorang untuk pergi-balik), satu kadar yang aku rasa agak mahal jika dilihat pada keadaan bot yang agak tidak diurus dengan baik, kami mengambil tempat duduk yang disediakan.






Mula memasuki feri





Kami tiba di jeti Kampung Tekek, Pulau Tioman iaitu hentian terakhir pada jam 3.00 petang dan terus dibawa oleh rakan abangku ke tempat penginapan yang terletak tidak jauh daripada jeti.


Selamat datang ke Pulau Tioman


Peladang Tioman Chalet, nama tempat penginapan kami. Sejujurnya, tempat tersebut jauh berbeza dengan jangkaan kami. Malah aku tidak mencadangkan kepada sesiapa yang ingin bercuti ke Pulau Tioman untuk tinggal di sini. Harga yang dikenakan agak tinggi jika dibandingkan dengan kemudahan ala kadar yang dikenakan iaitu RM80.00 satu malam.







Selesai merehatkan badan dan mengisi perut di kedai makan berhampiran, kami sempat singgah di satu-satunya kedai roti yang ada di kampung itu. Pada pendapat aku, kedai tersebut menyediakan kepelbagaian roti yang menarik termasuk pizza pada harga yang berpatutan. Dengan menaiki van yang disewa pada kadar RM60.00 (sekali lagi satu kadar yang mahal), kami dibawa ke Pusat Taman Laut yang terletak hampir 300 meter sahaja dari tempat penginapan. Sungguh, jika aku tahu tempat yang ingin dituju boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki, tidak perlulah kami membazirkan wang RM60.00 untuk membawa kami ke situ. Sangkaku juga kadar itu adalah bagi sepanjang tempoh kami berada di Pulau Tioman tetapi ternyata jumlah itu hanya untuk membawa kami pergi dan balik ke Pusat Taman Laut sahaja.





Sibuk memilih life jacket dan googles


Kami sempat berenang-renang dan snorkeling menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi selama 3 jam. Sememangnya Pulau Tioman kaya dengan pelbagai jenis ikan yang sungguh mengagumkan. Subhanallah!


Kami kembali ke tempat penginapan hanya apabila matahari sudah mula melabuhkan tirainya. Mimpi ngeri bermula. Abangku menerima makluman daripada rakannya bahawa berkemungkinan besar kami tidak dapat pulang pada keesokan harinya.

Disaster! Hanya perkataan itu yang terbit dalam fikiranku kerana aku perlu menghadiri kursus di INTAN pada hari Isnin dan Selasa. Apapun terjadi, aku harus mengusahakan sesuatu agar kami boleh pulang pada keesokan hari.

Mulanya aku merasa geram kepada abangku kerana tidak merancang percutian ini dengan sebaik mungkin dan mengesahkan tiket perjalanan balik sebelum kami bertolak dari jeti Mersing. Tetapi apabila aku lihat riak resah dan bersalah di wajah abangku, aku kembali insaf yang dia sendiri sudah tentu tidak ingin perkara ini berlaku. Astaghfirullah! Cepat-cepat aku memohon ampun dariNya kerana berprasangka buruk dan yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Setiap masalah yang timbul pasti akan ada jalan penyelesaiannya, dengan syarat dihadapi dengan tenang dan sabar kerana sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan daripada api.

Untuk menenangkan fikiran dan memikirkan jalan penyelesaian yang boleh diusahakan, aku mengambil keputusan untuk membersihkan diri terlebih dahulu dan menunaikan solat Jama' Maghrib dan Isyak.

"Ya Allah, Kau bantulah kami dalam menghadapi dugaan ini dengan hati yang tenang dan tunjukkanlah kami jalan keluar yang sebaiknya. Sesungguhnya apa jua yang menimpa ada hikmahnya kerana Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang nyata dan ghaib."

Itu doaku selepas solat. Saat itu juga Allah gerakkan hatiku untuk menghubungi rakan sepejabat yang boleh membantu kami keluar dari kemelut itu. Alhamdulillah, dengan beberapa panggilan yang dibuat, ada pihak yang boleh membantu kami kembali ke jeti Mersing pada keesokan pagi. Malam itu kami tidur lena dan berjanji untuk berjumpa pegawai tersebut pada jam 9.00 pagi di gerai makan berhampiran.

Seawal jam 8.00 pagi, kami sudah bersiap dan bersemangat membawa barangan beg untuk menunggu pegawai tersebut seperti yang dijanjikan. Fikirku, oleh kerana kami yang mendambakan bantuan daripada dia, maka kami yang seafdhalnya menunggu dia. Sementara menunggu beliau, kami sempat bersarapan dan melayan pelbagai fikiran yang bermain-main dalam benak ini. Kerisauan sama ada dapat pulang pada hari itu masih lagi bersarang dalam diri kami selagi kaki belum menjejak lantai feri.

Akhirnya, jam 9.30 pagi pegawai yang dinanti muncul. Lega rasanya hatiku. Barulah hati kami tenang dengan penerangan dan jaminan yang diberi oleh beliau. Oleh kerana menurut beliau feri akan tiba pada waktu tengah hari, maka kami kembali ke tempat penginapan terlebih dahulu.

Sedang aku baru merebahkan badan di atas tilam, telefon berbunyi. Ternyata yang menghubungi aku adalah pegawai tadi memaklumkan bahawa ada feri yang akan tiba pada jam 10.30 pagi. Kami diminta bersiap dan dia akan datang mengambil kami sebentar lagi. Dengan segera kami mencapai beg dan bergegas menuju ke kenderaan beliau yang akan membawa kami ke jeti.

Tiba di jeti, kami dapati masih belum ramai penumpang yang datang dan kami terus menulis nama dalam senarai penumpang yang disediakan. Alhamdulillah, nama kami adalah antara yang terakhir dalam senarai tersebut. Kaedahnya, sesiapa yang berjaya menulis nama dalam senarai tersebut akan dapat menaiki feri yang ada pada masa itu. Keadaan ini sesungguhnya amat membingungkan aku kerana merasakan seolah-olah tidak ada satu sistem yang menyusun atur pergerakan pulang di jeti tersebut. Aku yakin sekiranya pegawai tersebut tidak membantu pergerakan kami, maka kami akan masih tersadai terpinga-pinga di situ walaupun tiket sudah dibeli. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan pengangkutan di situ.

Malah aku turut dimaklumkan oleh pegawai tersebut bahawa menjadi fenomena biasa melihat pengunjung yang gagal menaiki feri untuk pulang pada hari yang sepatutnya berkeliaran dan mundar-mandir tanpa hala tuju di situ. Pernah juga berlaku kes-kes di mana pihak polis terpaksa dipanggil untuk campur tangan apabila keadaan sudah tidak terkawal. Aku menjadi lebih hairan dan penerangan tersebut membenarkan lagi situasi yang aku lalaui sewaktu cuba meminta bantuan daripada syarikat pengangkutan feri apabila dimaklumkan tempahan untuk perjalanan pulang telah penuh.

"maaf cik, kami tidak dapat membantu. Itu bukan masalah kami. Tugas kami hanya menjual tiket."

Berderau darahku mendengar jawapan itu. Sungguh tidak bertanggungjawab. Sempat juga aku melepaskan kemarahan dan kegeraman atas tindakan mereka yang amat tidak berhati perut itu.

"Shahrul Amin, Karman Amin, Karimah...." kedengaran nama-nama kami disebut agar mula memasuki feri yang telah berlabuh di jeti.

Selesai mengucapkan terima kasih kepada pegawai tersebut atas bantuan besar yang telah diberikan, dengan langkah penuh kesyukuran kami memasuki feri dan aku terasa seolah-olah ingin sujud syukur apabila kaki menjejak lantai feri. Hatiku tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke bumi Mersing. Perjalanan yang memakan masa 2 jam menjadi lebih panjang rasanya tambahan pula air surut apabila feri menghampiri jeti Mersing. Hanya Allah yang tahu betapa leganya hati ini apabila kaki melangkah keluar dari feri. Sesungguhnya hanya kesyukuran yang dapat dipanjatkan kepadaNya kerana dengan izinNya jua (yang disampaikan melalui pegawai tadi) kami selamat kembali ke jeti Mersing.

Deretan life jacket di dalam feri yang menimbulkan tanda soal dalam diriku. Sempatkah memakainya jika tiba-tiba ditimpa bencana?


Mampu tersenyum apabila feri kian mendekati jeti Mersing


Alhamdulillah!


Selesai makan tengah hari di kedai makan berhampiran jeti, kami bertolak balik mengikut haluan masing-masing pada jam 3.30 petang. Aku dan adik-adik menghala ke KL manakala abangku dan keluarga menghala ke Kuantan.

Dalam perjalanan, adik-adikku menyuarakan keinginan untuk menikmati roti bakar di Stesen Kereta Api Kluang. Aku hanya tersenyum, memahami keinginan mereka. Alhamdulillah kungjungan kami pada kali kedua menjadi mudah dan kami terus mendapat tempat duduk tanpa perlu menunggu lama.

Makanlah dik, nanti K.Mah bayar ye...isk2


Kopi ais kegemaran



Kami meneruskan perjalanan melalui lebuhraya untuk menjimatkan masa. Malangnya, oleh kerana ramai penghuni kota juga berpusu-pusu untuk kembali ke KL kerana perlu bekerja pada keesokkan hari, keadaan jalan menjadi sesak dan tidak berapa lancar. Akhirnya, kami keluar di persimpangan Alor Gajah dan berhenti solat Jama' di Masjid Taboh Naning.

Kesesakan berterusan lagi di sepanjang perjalanan sehingga ke bandar Seremban. Oleh kerana jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam, kami berhenti rehat dan solat Jama' di Masjid Negeri di bandar Seremban. Kesesakan masih berterusan dan mulai mengurang apabila melepasi Hentian Nilai. Perjalanan semakin lancar dan kami tiba di Bandar Baru Sentul pada jam 11.30 malam. Sungguh memenatkan. Pagi esok, aku perlu bergerak ke INTAN Bukit Kiara untuk menghadiri seminar. Selesai membersihkan diri, aku terus melelapkan mata kerana tidak mahu bangun lewat keesokan pagi.


Solat Jama' (Zohor dan Asar)



Solat Jama' (Maghrib dan Isyak)


Meskipun kembara (safar) pada kali ini menuntut kesabaran yang tinggi dan amat memenatkan, aku yakin pasti ada hikmah yang tersembunyi dan ternyata ada beberapa perkara yang telah aku selami dan fahami yang akan menjadi bekal yang berguna dalam meneruskan perjuangan ini, insyaAllah.

2 comments:

HaNiE said...

welcome to mersing....
hehehe boleh plak aku menyibuk

Anonymous said...

salam kak.

nk tanye..kat tioman mane paling bes,kg tekek ke kg salang???

kiteorg student plan nk bcuti kat sane...in july...

cupin_717@yahoo.com.sg