Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, May 21, 2009

Kecintaan Kepada Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini, dalam ketenangan memandu ke pejabat, tiba-tiba aku teringat kepada satu frasa iaitu 'Kecintaan Kepada Ilmu'. Di manakah tahap kecintaanku kepada ilmu pada masa ini? Ke manakah hilang keghairahan dan kegilaan aku untuk khusyuk menelaah, menggali, meneroka ruang-ruang ilmu sepertimana yang pernah aku miliki dulu?

Serta-merta, imbauan lalu menjelma saat aku berusia dalam lingkungan umur 6 tahun. Seingat aku, pada waktu itu kami masih tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah datukku yang serba kekurangan. Bekalan air adalah daripada telaga berdekatan yang disalurkan melalui paip menggunakan sebuah mesin berkuasa elektrik. Jika mesin tersebut mengalami kerosakan, terpaksalah kami mengarai (menceduk) air daripada telaga menggunakan timba. Atap pula diperbuat daripada bata dan zink. Fikirku, mungkin ada anak-anak sekarang yang tidak mengenali atap bata. Bukan salah mereka, zaman sudah berubah.

Saat itu, kegilaan aku adalah membongkar buku-buku lama milik abahku yang tersusun rapi di rak. Aku gemar membaca buku-buku yang jauh lebih berat daripada usia sendiri. Malah aku senantiasa dimarahi oleh abang-abangku kerana kerap kali menggeledah beg sekolah mereka untuk mendapatkan buku-buku kategori Sastera seperti Hikayat Umar Umaiyah dan beberapa buah buku lagi yang aku sendiri sudah lupa tajuknya. Pendek kata, hampir kebanyakan buku yang dibaca adalah dalam kategori Sastera.

Apabila memasuki alam persekolahan rendah, kegilaan aku untuk membaca semakin mengganas apabila mendapat rakan-rakan yang juga satu kepala. Malah kami bertukar-tukar buku sesama kami. Aku masih ingat, buku yang paling digemari oleh anak-anak seusia kami pada waktu itu adalah Tidurlah Intan, Hardy Boys dan beberapa buah buku yang kini tiada lagi di pasaran diganti dengan pelbagai jenis majalah yang tidak mengembangkan fikiran.

Kemudian apabila memasuki alam persekolahan menengah, aku mula meminati buku-buku berunsur keagamaan. Mungkin juga kerana pada waktu itu aku sendiri bersekolah di sekolah agama. Suasana pada waktu itu membentuk jiwa aku untuk lebih menenggelamkan diri dalam lautan ilmu agama. Alhamdulillah, kegilaan itu telah sedikit sebanyak membentuk peribadi yang ada pada diriku hari ini. Rasanya, aku masih memegang erat beberapa larangan yang aku kenakan pada diriku sejak aku di bangku sekolah agama lagi. Mungkin ada yang tidak percaya jika aku katakan bahawa sehingga hari ini, di saat usia sudah menghampiri usia 30, aku belum pernah menjejakkan kaki ke panggung wayang. Bohonglah! Ya benar, mungkin sukar diterima tetapi itulah hakikatnya. Namun aku tidak sama sekali menjatuhkan hukum kepada teman-teman yang tidak sependapat dengan diriku. Aku percaya setiap individu ada pendapat dan pegangan masing-masing. Cuma pintaku, sebagaimana aku menghormati pendapat dan pegangan mereka, begitu jugalah harapan aku kepada mereka terhadap pendirian aku.

Minat atau kecintaan kepada ilmu berterusan sehingga aku melanjutkan pengajian di Taman Ilmu dan Budi. Alhamdulillah, berkat kesungguhan itu aku berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah. Aku akui memang aku gemar membaca andai ada masa terluang sehingga banyak kali terlena bersama longgokan buku-buku.

Menyedihkan, apabila hari demi hari akhir-akhir ini aku merasakan kecintaan kepada buku atau ilmu semakin berkurang dalam diri ini. Kalau dulu, aku mampu menghabiskan sekurang-kurangnya 2 buah buku dalam sebulan. Kini, untuk menghabiskan bacaan sebuah buku dalam tempoh sebulan pun amat payah. Mungkinkah tuntutan kerja menyempitkan ruang untuk aku meneruskan kecintaan itu? Namun jauh di sudut hati aku mengakui akan kebenarannya. Keletihan dan kelesuan yang dialami apabila bekerja amat jauh berbeza dengan kepenatan yang dialami sewaktu menuntut ilmu di menara gading. Pun begitu, wajarkah aku menyalahkan waktu atas keterbatasan peluang aku untuk mencari ruang membaca buku sedangkan bijak pandai pernah berpesan, 'Hendak 1000 daya, tak hendak 1000 dalih' dan 'Hanya manusia yang sibuk mempunyai masa'.

Kekadang aku terkesima mengenangkan akan luang-luang masa yang berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan curahan ilmu yang bermanfaat. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana masih mempunyai keinginan untuk mendapatkan buku-buku meskipun jarang berpeluang menghabiskan isi kandungannya. Malah aku mengambil keputusan untuk melanggan sebuah majalah secara bulanan demi untuk memastikan kecintaan itu tidak akan terus pudar dan hilang dari diri dan jasad ini. Sungguh merugikan andai itu menimpa diriku ini.

Ilmu itu Kuasa. Knowledge is Power. Kekadang aku berfikir merenung akan maksud frasa mengandungi 3 patah perkataan itu. Ringkas tapi mengandungi makna yang cukup mendalam.

Doaku moga rasa kecintaan ini tidak akan terus menyusut dalam diriku sebaliknya terus membugar agar aku terus dapat mengisi ruang-ruang hati ini dengan kecintaan kepada-Nya jua.

4 comments:

abuwafi98 said...

Sejak kerja ni kecintaan kepada ilmu makin kurang.Kurang membaca. Patut kita tingkatkan kembali pembacaan kita.

Abu wafi

Carrie-Ma said...

abu wafi,

insyaAllah atas ingatan dan galakan. kalau ada kelompok yang sama citarasa ni baru makin bersemangat.

Ila Ramli said...

haih CK... aku pn sama laa, buku beli tp belek 2-3 muka surat, pastuh tinggal. Majalah bulan2 order tp sume masih dlm plastik smpai skang. Skang nih, masa byk habis ke lain. Contohnya layan blogging....... hehehhe

Carrie-Ma said...

ila,

xpela, janji rasa kecintaan itu masih ada. jgn sampai padam terus. kalau dah sampai tahap tu, payah kita...moga rasa kecintaan itu terus subur dalam diri kita semua...