Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, May 30, 2009

Hmmm...Ular Kena Palu

Bismillahirrahmanirrahim...

Ular kena palu? Apa kaitan ular dengan aku? Kenapa ular kena palu? Beraninya aku palu ular? Sebenarnya ular sama ada yang masih hidup atau telah mati tidak bersalah langsung malah tidak ada kena mengena dengan situasi aku sekarang. Sebenarnya aku sekadar menggunakan perumpamaan tersebut untuk menggambarkan situasi dan keadaan yang sedang melanda diri aku sekarang. Berkecamuk. Ya benar, fikiranku kusut. Bermacam-macam perkara bermain dan berpusing-pusing dalam kepala aku saat ini.

Tidak dapat dinafikan aku amat bersyukur apabila berpeluang untuk menunaikan umrah bersama keluarga tidak lama lagi. Malah sebenarnya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Berdebar? Sudah tentulah malah aku risau sebenarnya. Bimbang dan terfikir, layakkah aku menjejakkan kaki ke Tanah Suci sedang diri penuh bersalut noda dan dosa? Aku malu. Pelbagai nikmat dan kurniaan meliputi diri ini tetapi terkadang aku tersasar jua. Lupa pada nikmat kurniaan-Nya hingga tergamak menodai janji untuk berbuat kebaikan di bumi milik-Nya ini. Apakah kunjungan aku kelak adalah kunjungan yang diredhai oleh-Nya? Apakah aku mampu menjalankan ibadah dengan sebaik mungkin? Apakah kunjungan aku ini bakal merubah persepsi dan tanggapanku kepada cara hidup ini agar lebih cintakan kebaikan sebaik kembali ke tanah air? Semua persoalan itu bermain-main dalam fikiran aku.

Aku sebenarnya masih tidak berapa percaya yang aku akan menjejakkan kaki ke sana. Sungguh, perasaan ini amat berbeza dengan keghairahan untuk melancong. Kali ini, semacam ada perasaan bimbang, keliru, sedih, sebak dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur aduk sehingga aku sendiri menjadi sebu memikirkannya. Malah paling menyedihkan apabila aku merasakan aku gagal membuat persiapan yang rapi sama ada secara fizikal atau pun mental untuk kunjungan ke Tanah Suci ini. Sebelum ini apabila kami sudah membuat tempahan pakej umrah, aku nekad untuk melengkapkan diri untuk memastikan aku membaca sebanyak mungkin buku berkaitan dengan Rasulullah SAW, sejarah kota Makkah dan Madinah serta cuba untuk menurunkan berat badan aku yang semakin hari semakin meningkat. Aku bimbang sebenarnya jika kunjungan aku pada kali ini, bersama kedua ibu bapa dan adik-adik, aku tidak berjaya melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Doaku semoga kunjungan kami pada kali ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kami. Terkadang, di saat usia semakin menginjak dewasa, aku terlupa akan tanggungjawab sebagai anak dan kakak. Leka dengan dunia pekerjaan yang turut menjadi faktor kepada kecamukan fikiranku saat ini.

Terus terang, aku risau meninggalkan tugasan di pejabat kepada pegawai baru, F tetapi aku harus belajar meletakkan kepercayaan kepada pegawai bawahanku. Sejujurnya juga aku yakin dengan potensi F kerana melihat kepada kesungguhan dan sikap rajin bertanya yang ada pada dirinya. Tambahan pula, rakan sekerjaku, Z, turut ada untuk membantu F. Aku bersyukur kerana aku tidak silap menilai F. Di saat semua orang menidakkan kehadiran dia, malah ada yang mengingatkan aku tentang latar belakang F, aku nekad untuk mengenepikan semua itu dan memilih dia menjadi pegawai bawahanku. Alhamdulillah, pilihanku tidak silap. Benarlah, apabila pilihan dibuat dengan mata hati dan keikhlasan, maka yang baik jua lah yang akan diperoleh. Alhamdulillah...Meskipun F ternyata amat bimbang sekiranya aku ada menaruh kesangsian kepada dia kerana sejarah perkhidmatan yang tercipta sebelum ini, aku telah meyakinkan dia bahawa soal itu tidak lagi menjadi isu. Pada aku, past is past. Pandanglah masa sekarang dan juga masa hadapan. Tidak guna memandang sejarah yang menyedihkan sehingga kaki kaku untuk melangkah. Teruskanlah melangkah, insyaAllah di hujungnya pasti akan ada sinar menanti. Tiada manusia yang lepas dari melakukan kesilapan. Kita bukannya Rasul yang maksum dari melakukan kesilapan. Setiap manusia berhak mendapat peluang kedua. Siapa aku untuk menilai kesilapan dia yang lalu. Namun aku percaya F telah belajar dari kesilapan lalu maka sebagai manusia biasa, semestinya dia diberi peluang membuktikan keupayaan sebenar yang ada dalam dirinya.

Bercakap soal potensi, aku teringat kepada salah satu intipati kertas kerja dalam satu seminar yang aku ikuti pada awal Mei lalu iaitu dalam diri setiap manusia ada roh yang suci (roh yang kudus - Ruhul Qudus). Pesan pembentang kertas tersebut, maka menyedari kepada hakikat itu, jangan sesekali kita menghina atau memburuk-burukkan potensi seseorang kerana setiap dari kita adalah wakil-wakil Allah di muka bumi bertuah ini. Sejak itu, aku nekad untuk memandang setiap manusia yang aku temui dari sudut yang berbeza. Sesungguhnya aku dan mereka, semua adalah ciptaan Allah yang bertanggungjawab memakmurkan muka bumi ini.

Aku akui sebelum ini aku sering merasakan bahawa diri aku jauh lebih baik daripada orang lain. Mungkin kerana sejarah hidupku yang sering meraih kejayaan demi kejayaan seawal dari sekolah peringkat rendah sehinggalah sekarang menjawat jawatan yang sememangnya dicemburui oleh banyak skim-skim lain. Ternyata aku amat silap. Aku sering terlupa bahawa apa jua nikmat yang diberikan kepada aku selama ini adalah berbentuk ujian semata-mata. Ujian untuk melihat sejauh mana aku mampu memanfaatkan nikmat tersebut demi kebaikan manusia lain. Kekadang aku merasa diri layak menerima semua ini selepas jerih payah berusaha tetapi sering aku terlupa, tiada daya upaya aku mendapatkan semua ini kecuali dengan izin-Nya jua. Astaghfirullah...

Kini, aku belajar untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pegawai bawahanku kerana aku percaya apa jua yang diberikan, itulah juga yang aku perolehi. Malah aku sendiri pernah melalui saat perit apabila tidak diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas. Aku jadi lemah, lesu. Menjalankan tugas sekadar untuk tidak dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab. Malah turut menyedari yang aku dibayar gaji untuk tugasan itu. Aku tidak menjiwai setiap amanah yang diberikan malah sering merasa harga diri tercabar. Justeru, aku belajar melalui pengalaman itu agar tidak berbuat perkara yang sama kepada pegawai bawahanku kelak. Memimpin dengan mata hati, amarah bukan jalan penyelesaian segala kekusutan. Ya benar, aku cuba menjadikan diri ini sebagai ketua yang diikuti oleh anak buah secara sukarela dan sedar akan tanggungjawab masing-masing. Di situlah aku pasti dapat melihat potensi sebenar mereka. Ini kerana aku amat percaya, 'respect is earn not given'. Aku tidak menafikan bahawa amarah turut diperlukan dalam kepemimpinan tetapi perlu dilihat dalam skop yang berbeza. Maknanya, amarah bukan menjadi perkara pokok dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau isu sebaliknya menjadi jalan terakhir. Apabila segala usaha penuh hikmah sudah dibuat tidak membuahkan hasil malah makin memburukkan keadaan, maka di situ amarah memainkan peranan. Terkadang, fitrah manusia, apabila ditekan, terdesak, barulah berupaya memancarkan potensi sebenar yang ada di dalam diri.

Kepada anak-anak buahku, sepenuh kepercayaan aku letakkan kepada kalian sepanjang peninggalanku mencari sinar iman selama 2 minggu. Aku malah berterima kasih kepada kalian kerana sokongan utuh dari kalian lah yang selama ini membuatkan diriku terus mampu meneruskan karier ini. Tanpa sokongan kalian, aku pasti tertewas sebelum sampai ke garis penghujungnya. Syukron lakum...

Kepada teman-teman seperjuangan di pejabat, kehadiran kalian memberi kekuatan kepada diri ini untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan. Terus-terang, tanpa sokongan berterusan daripada kalian, aku pasti tidak mampu meneruskan amanah ini. Syukron lakum...

Kepada sahabatku A (teman bergelandangan di hari Jumaat), moga ukhuwwah kita berterusan. Begitu juga dengan sahabat-sahabatku yang lain, kehadiran kalian penuh makna dalam hidup ini.

Malam ini aku menerima jemputan untuk makan malam bersama sahabatku, Mr. Azhar dan isteri yang pulang bercuti daripada tugasan di Rom. Aku dimaklumkan beberapa orang rakan sebatchku juga dijemput dan insyaAllah kami akan bertemu di Rimba Klasik, Bangi pada jam 8.30 malam. Semoga pertemuan ini akan memberikan aku kekuatan dan semangat untuk mengharungi hidup ini...

Esok, ayahanda dan bondaku akan tiba dari Kuala Terengganu dan aku akan mengambil mereka di LCCT. Kami akan bermalam di Intekma Resort, Shah Alam kerana menghadiri majlis konvokesyen adikku yang turut akan menyertai Kembara Iman nanti. Seusai majlis, aku bercadang membawa kedua ibu bapaku untuk membeli barang-barang keperluan untuk kembara tersebut kerana terus terang, aku belum membuat sebarang persediaan untuk ke sana. isk2...

No comments: