Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, May 30, 2009

Hmmm...Ular Kena Palu

Bismillahirrahmanirrahim...

Ular kena palu? Apa kaitan ular dengan aku? Kenapa ular kena palu? Beraninya aku palu ular? Sebenarnya ular sama ada yang masih hidup atau telah mati tidak bersalah langsung malah tidak ada kena mengena dengan situasi aku sekarang. Sebenarnya aku sekadar menggunakan perumpamaan tersebut untuk menggambarkan situasi dan keadaan yang sedang melanda diri aku sekarang. Berkecamuk. Ya benar, fikiranku kusut. Bermacam-macam perkara bermain dan berpusing-pusing dalam kepala aku saat ini.

Tidak dapat dinafikan aku amat bersyukur apabila berpeluang untuk menunaikan umrah bersama keluarga tidak lama lagi. Malah sebenarnya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Berdebar? Sudah tentulah malah aku risau sebenarnya. Bimbang dan terfikir, layakkah aku menjejakkan kaki ke Tanah Suci sedang diri penuh bersalut noda dan dosa? Aku malu. Pelbagai nikmat dan kurniaan meliputi diri ini tetapi terkadang aku tersasar jua. Lupa pada nikmat kurniaan-Nya hingga tergamak menodai janji untuk berbuat kebaikan di bumi milik-Nya ini. Apakah kunjungan aku kelak adalah kunjungan yang diredhai oleh-Nya? Apakah aku mampu menjalankan ibadah dengan sebaik mungkin? Apakah kunjungan aku ini bakal merubah persepsi dan tanggapanku kepada cara hidup ini agar lebih cintakan kebaikan sebaik kembali ke tanah air? Semua persoalan itu bermain-main dalam fikiran aku.

Aku sebenarnya masih tidak berapa percaya yang aku akan menjejakkan kaki ke sana. Sungguh, perasaan ini amat berbeza dengan keghairahan untuk melancong. Kali ini, semacam ada perasaan bimbang, keliru, sedih, sebak dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur aduk sehingga aku sendiri menjadi sebu memikirkannya. Malah paling menyedihkan apabila aku merasakan aku gagal membuat persiapan yang rapi sama ada secara fizikal atau pun mental untuk kunjungan ke Tanah Suci ini. Sebelum ini apabila kami sudah membuat tempahan pakej umrah, aku nekad untuk melengkapkan diri untuk memastikan aku membaca sebanyak mungkin buku berkaitan dengan Rasulullah SAW, sejarah kota Makkah dan Madinah serta cuba untuk menurunkan berat badan aku yang semakin hari semakin meningkat. Aku bimbang sebenarnya jika kunjungan aku pada kali ini, bersama kedua ibu bapa dan adik-adik, aku tidak berjaya melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Doaku semoga kunjungan kami pada kali ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kami. Terkadang, di saat usia semakin menginjak dewasa, aku terlupa akan tanggungjawab sebagai anak dan kakak. Leka dengan dunia pekerjaan yang turut menjadi faktor kepada kecamukan fikiranku saat ini.

Terus terang, aku risau meninggalkan tugasan di pejabat kepada pegawai baru, F tetapi aku harus belajar meletakkan kepercayaan kepada pegawai bawahanku. Sejujurnya juga aku yakin dengan potensi F kerana melihat kepada kesungguhan dan sikap rajin bertanya yang ada pada dirinya. Tambahan pula, rakan sekerjaku, Z, turut ada untuk membantu F. Aku bersyukur kerana aku tidak silap menilai F. Di saat semua orang menidakkan kehadiran dia, malah ada yang mengingatkan aku tentang latar belakang F, aku nekad untuk mengenepikan semua itu dan memilih dia menjadi pegawai bawahanku. Alhamdulillah, pilihanku tidak silap. Benarlah, apabila pilihan dibuat dengan mata hati dan keikhlasan, maka yang baik jua lah yang akan diperoleh. Alhamdulillah...Meskipun F ternyata amat bimbang sekiranya aku ada menaruh kesangsian kepada dia kerana sejarah perkhidmatan yang tercipta sebelum ini, aku telah meyakinkan dia bahawa soal itu tidak lagi menjadi isu. Pada aku, past is past. Pandanglah masa sekarang dan juga masa hadapan. Tidak guna memandang sejarah yang menyedihkan sehingga kaki kaku untuk melangkah. Teruskanlah melangkah, insyaAllah di hujungnya pasti akan ada sinar menanti. Tiada manusia yang lepas dari melakukan kesilapan. Kita bukannya Rasul yang maksum dari melakukan kesilapan. Setiap manusia berhak mendapat peluang kedua. Siapa aku untuk menilai kesilapan dia yang lalu. Namun aku percaya F telah belajar dari kesilapan lalu maka sebagai manusia biasa, semestinya dia diberi peluang membuktikan keupayaan sebenar yang ada dalam dirinya.

Bercakap soal potensi, aku teringat kepada salah satu intipati kertas kerja dalam satu seminar yang aku ikuti pada awal Mei lalu iaitu dalam diri setiap manusia ada roh yang suci (roh yang kudus - Ruhul Qudus). Pesan pembentang kertas tersebut, maka menyedari kepada hakikat itu, jangan sesekali kita menghina atau memburuk-burukkan potensi seseorang kerana setiap dari kita adalah wakil-wakil Allah di muka bumi bertuah ini. Sejak itu, aku nekad untuk memandang setiap manusia yang aku temui dari sudut yang berbeza. Sesungguhnya aku dan mereka, semua adalah ciptaan Allah yang bertanggungjawab memakmurkan muka bumi ini.

Aku akui sebelum ini aku sering merasakan bahawa diri aku jauh lebih baik daripada orang lain. Mungkin kerana sejarah hidupku yang sering meraih kejayaan demi kejayaan seawal dari sekolah peringkat rendah sehinggalah sekarang menjawat jawatan yang sememangnya dicemburui oleh banyak skim-skim lain. Ternyata aku amat silap. Aku sering terlupa bahawa apa jua nikmat yang diberikan kepada aku selama ini adalah berbentuk ujian semata-mata. Ujian untuk melihat sejauh mana aku mampu memanfaatkan nikmat tersebut demi kebaikan manusia lain. Kekadang aku merasa diri layak menerima semua ini selepas jerih payah berusaha tetapi sering aku terlupa, tiada daya upaya aku mendapatkan semua ini kecuali dengan izin-Nya jua. Astaghfirullah...

Kini, aku belajar untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pegawai bawahanku kerana aku percaya apa jua yang diberikan, itulah juga yang aku perolehi. Malah aku sendiri pernah melalui saat perit apabila tidak diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas. Aku jadi lemah, lesu. Menjalankan tugas sekadar untuk tidak dituduh gagal melaksanakan tanggungjawab. Malah turut menyedari yang aku dibayar gaji untuk tugasan itu. Aku tidak menjiwai setiap amanah yang diberikan malah sering merasa harga diri tercabar. Justeru, aku belajar melalui pengalaman itu agar tidak berbuat perkara yang sama kepada pegawai bawahanku kelak. Memimpin dengan mata hati, amarah bukan jalan penyelesaian segala kekusutan. Ya benar, aku cuba menjadikan diri ini sebagai ketua yang diikuti oleh anak buah secara sukarela dan sedar akan tanggungjawab masing-masing. Di situlah aku pasti dapat melihat potensi sebenar mereka. Ini kerana aku amat percaya, 'respect is earn not given'. Aku tidak menafikan bahawa amarah turut diperlukan dalam kepemimpinan tetapi perlu dilihat dalam skop yang berbeza. Maknanya, amarah bukan menjadi perkara pokok dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau isu sebaliknya menjadi jalan terakhir. Apabila segala usaha penuh hikmah sudah dibuat tidak membuahkan hasil malah makin memburukkan keadaan, maka di situ amarah memainkan peranan. Terkadang, fitrah manusia, apabila ditekan, terdesak, barulah berupaya memancarkan potensi sebenar yang ada di dalam diri.

Kepada anak-anak buahku, sepenuh kepercayaan aku letakkan kepada kalian sepanjang peninggalanku mencari sinar iman selama 2 minggu. Aku malah berterima kasih kepada kalian kerana sokongan utuh dari kalian lah yang selama ini membuatkan diriku terus mampu meneruskan karier ini. Tanpa sokongan kalian, aku pasti tertewas sebelum sampai ke garis penghujungnya. Syukron lakum...

Kepada teman-teman seperjuangan di pejabat, kehadiran kalian memberi kekuatan kepada diri ini untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan. Terus-terang, tanpa sokongan berterusan daripada kalian, aku pasti tidak mampu meneruskan amanah ini. Syukron lakum...

Kepada sahabatku A (teman bergelandangan di hari Jumaat), moga ukhuwwah kita berterusan. Begitu juga dengan sahabat-sahabatku yang lain, kehadiran kalian penuh makna dalam hidup ini.

Malam ini aku menerima jemputan untuk makan malam bersama sahabatku, Mr. Azhar dan isteri yang pulang bercuti daripada tugasan di Rom. Aku dimaklumkan beberapa orang rakan sebatchku juga dijemput dan insyaAllah kami akan bertemu di Rimba Klasik, Bangi pada jam 8.30 malam. Semoga pertemuan ini akan memberikan aku kekuatan dan semangat untuk mengharungi hidup ini...

Esok, ayahanda dan bondaku akan tiba dari Kuala Terengganu dan aku akan mengambil mereka di LCCT. Kami akan bermalam di Intekma Resort, Shah Alam kerana menghadiri majlis konvokesyen adikku yang turut akan menyertai Kembara Iman nanti. Seusai majlis, aku bercadang membawa kedua ibu bapaku untuk membeli barang-barang keperluan untuk kembara tersebut kerana terus terang, aku belum membuat sebarang persediaan untuk ke sana. isk2...

Wednesday, May 27, 2009

Kerja Sebagai Ibadah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang-kadang aku terfikir, apakah amalanku selama ini sebagai seorang pekerja boleh dianggap ibadah? Apakah nanti pekerjaanku ini mampu menyelamatkanku saat menghadap-Nya untuk dihisab kelak? Sungguh, akhir-akhir ini aku sering memikirkannya malah menjadi lebih kerap sejak menerima kenaikan pangkat ini.

Semalam aku sempat bertukar-tukar fikiran dengan salah seorang anak buahku, F. Panjang lebar kami berbicara sehingga tidak sedar jam sudah hampir mencecah 5.30 petang. F sebenarnya baru sahaja dilantik secara rasmi menjadi pegawai bawahanku. Alhamdulillah aku bersyukur kerana F seorang yang rajin bertanya dan komited dalam setiap tugasan yang diberikan. Pun begitu, seringkali juga aku merasa sedikit rimas dengan pelbagai persoalan yang F utarakan, namun cepat-cepat aku positifkan fikiranku ini bahawa aku juga pernah berada di tempat dia. Justeru, aku memahami gelojak perasaan ingin tahu dan semangat menyumbang yang ada dalam diri F sekarang. Sebagai pegawai atasan atau ketua, adalah menjadi tanggungjawab aku untuk mengajar dan memberi panduan kepada F agar faham akan tugas dan tanggungjawab dia. Sememangnya aku amat bersyukur kerana dikelilingi oleh pegawai-pegawai bawahan yang mudah dibawa berbincang dan senang untuk bertukar-tukar pendapat.

Kepada F aku nyatakan bahawa aku tidak gemar mendapat anak buah yang hanya menerima bulat-bulat arahan yang diberi oleh pegawai atasan (dalam kes ini, sudah tentulah aku). Seharusnya wujud proses saringan dan pertimbangan dalam setiap arahan yang diterima. Pegawai-pegawai bawahan adalah berhak dan amat dialu-alukan untuk menambahbaik atau meminta penjelasan atas setiap tugasan yang diberikan. Sekiranya idea atau pendapat yang diberikan adalah jauh lebih baik, maka pendapat itu akan diterima dengan lapang hati. Pada pandanganku, di situlah konsep Syura yang ditekankan dalam Islam memainkan peranan. Malah bijak pandai juga ada menyebut, '2 heads are better than 1 (dua pemikiran lebih baik daripada satu pemikiran)'. Terus-terang aku rimas dan kurang gemar kepada fahaman yang digembar-gemburkan oleh segolongan pengikut setia atau fanatik atau sebenarnya tukang kipas, iaitu 'Boss is always right'. Lantas, di manakah konsep semangat berpasukan yang sering ditekankan dalam mana-mana organisasi pun. Pada aku, jika hanya ada satu pihak saja yang berhak bersuara dan ahli-ahli lain tidak berhak untuk mempersoalkannya, maka di saat itu tidak perlu dibicarakan lagi soal kerja berpasukan dan segala macam lagi fahaman yang cuba diterapkan dalam diri setiap pegawai.

Sejujurnya aku merasakan bahawa jalan mudah adalah kembali kepada ajaran Islam. Di dalamnya sudah digariskan pelbagai panduan, ajaran untuk memandu perjalanan kita di dunia ini baik dalam segala segi. Tidak kisahlah apa jua jawatan yang dipegang, selagi ajaran Islam tidak dijadikan rujukan, aku yakin, selama itu jugalah harapan hanya akan tinggal harapan. Begitu banyak paradoks yang wujud di sekeliling kehidupanku ini. Di satu pihak menyeru agar kakitangan bawahan lebih komited, berintegriti dalam menjalankan tugas tetapi di satu pihak lagi menggalakkan kakitangan bawahan agar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti lagha. Maka di manakah sebenarnya arah tujuan kehidupan ini? Seumpama ketam mengajar anak berjalan betul.

Kepimpinan melalui teladan. Aku cukup yakin tentang perkara ini. Perbuatan kadang-kadang lebih berkesan daripada kata-kata kerana kata-kata kekadang hanya mudah untuk dilafazkan tetapi amat sukar untuk dilaksanakan. Begitu Rasulullah digambarkan sebagai terjemahan Al-Quran sehingga apabila ditanya Siti Aisyah (Rodiallohuanha) akan keluhuran akhlak Rasulullah, maka dijawab 'Akhlaknya adalah Al-Quran'. Ternyata ajaran melalui perbuatan yang dimulakan dengan diri sendiri adalah lebih terkesan dan mampu menyentuh hati-hati manusia lain.

Doaku, semoga dalam debaran menghitung hari menuju ke Tanah Suci, hijrahku agar dapat lebih mendekatkan diri kepada-Nya sekembali dari sana kelak, akan dimakbulkanNya. Semoga kerjaku akan menjadi ibadah yang mampu aku bawa untuk menghadap-Nya kelak.

Thursday, May 21, 2009

Kecintaan Kepada Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini, dalam ketenangan memandu ke pejabat, tiba-tiba aku teringat kepada satu frasa iaitu 'Kecintaan Kepada Ilmu'. Di manakah tahap kecintaanku kepada ilmu pada masa ini? Ke manakah hilang keghairahan dan kegilaan aku untuk khusyuk menelaah, menggali, meneroka ruang-ruang ilmu sepertimana yang pernah aku miliki dulu?

Serta-merta, imbauan lalu menjelma saat aku berusia dalam lingkungan umur 6 tahun. Seingat aku, pada waktu itu kami masih tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah datukku yang serba kekurangan. Bekalan air adalah daripada telaga berdekatan yang disalurkan melalui paip menggunakan sebuah mesin berkuasa elektrik. Jika mesin tersebut mengalami kerosakan, terpaksalah kami mengarai (menceduk) air daripada telaga menggunakan timba. Atap pula diperbuat daripada bata dan zink. Fikirku, mungkin ada anak-anak sekarang yang tidak mengenali atap bata. Bukan salah mereka, zaman sudah berubah.

Saat itu, kegilaan aku adalah membongkar buku-buku lama milik abahku yang tersusun rapi di rak. Aku gemar membaca buku-buku yang jauh lebih berat daripada usia sendiri. Malah aku senantiasa dimarahi oleh abang-abangku kerana kerap kali menggeledah beg sekolah mereka untuk mendapatkan buku-buku kategori Sastera seperti Hikayat Umar Umaiyah dan beberapa buah buku lagi yang aku sendiri sudah lupa tajuknya. Pendek kata, hampir kebanyakan buku yang dibaca adalah dalam kategori Sastera.

Apabila memasuki alam persekolahan rendah, kegilaan aku untuk membaca semakin mengganas apabila mendapat rakan-rakan yang juga satu kepala. Malah kami bertukar-tukar buku sesama kami. Aku masih ingat, buku yang paling digemari oleh anak-anak seusia kami pada waktu itu adalah Tidurlah Intan, Hardy Boys dan beberapa buah buku yang kini tiada lagi di pasaran diganti dengan pelbagai jenis majalah yang tidak mengembangkan fikiran.

Kemudian apabila memasuki alam persekolahan menengah, aku mula meminati buku-buku berunsur keagamaan. Mungkin juga kerana pada waktu itu aku sendiri bersekolah di sekolah agama. Suasana pada waktu itu membentuk jiwa aku untuk lebih menenggelamkan diri dalam lautan ilmu agama. Alhamdulillah, kegilaan itu telah sedikit sebanyak membentuk peribadi yang ada pada diriku hari ini. Rasanya, aku masih memegang erat beberapa larangan yang aku kenakan pada diriku sejak aku di bangku sekolah agama lagi. Mungkin ada yang tidak percaya jika aku katakan bahawa sehingga hari ini, di saat usia sudah menghampiri usia 30, aku belum pernah menjejakkan kaki ke panggung wayang. Bohonglah! Ya benar, mungkin sukar diterima tetapi itulah hakikatnya. Namun aku tidak sama sekali menjatuhkan hukum kepada teman-teman yang tidak sependapat dengan diriku. Aku percaya setiap individu ada pendapat dan pegangan masing-masing. Cuma pintaku, sebagaimana aku menghormati pendapat dan pegangan mereka, begitu jugalah harapan aku kepada mereka terhadap pendirian aku.

Minat atau kecintaan kepada ilmu berterusan sehingga aku melanjutkan pengajian di Taman Ilmu dan Budi. Alhamdulillah, berkat kesungguhan itu aku berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah. Aku akui memang aku gemar membaca andai ada masa terluang sehingga banyak kali terlena bersama longgokan buku-buku.

Menyedihkan, apabila hari demi hari akhir-akhir ini aku merasakan kecintaan kepada buku atau ilmu semakin berkurang dalam diri ini. Kalau dulu, aku mampu menghabiskan sekurang-kurangnya 2 buah buku dalam sebulan. Kini, untuk menghabiskan bacaan sebuah buku dalam tempoh sebulan pun amat payah. Mungkinkah tuntutan kerja menyempitkan ruang untuk aku meneruskan kecintaan itu? Namun jauh di sudut hati aku mengakui akan kebenarannya. Keletihan dan kelesuan yang dialami apabila bekerja amat jauh berbeza dengan kepenatan yang dialami sewaktu menuntut ilmu di menara gading. Pun begitu, wajarkah aku menyalahkan waktu atas keterbatasan peluang aku untuk mencari ruang membaca buku sedangkan bijak pandai pernah berpesan, 'Hendak 1000 daya, tak hendak 1000 dalih' dan 'Hanya manusia yang sibuk mempunyai masa'.

Kekadang aku terkesima mengenangkan akan luang-luang masa yang berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan curahan ilmu yang bermanfaat. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana masih mempunyai keinginan untuk mendapatkan buku-buku meskipun jarang berpeluang menghabiskan isi kandungannya. Malah aku mengambil keputusan untuk melanggan sebuah majalah secara bulanan demi untuk memastikan kecintaan itu tidak akan terus pudar dan hilang dari diri dan jasad ini. Sungguh merugikan andai itu menimpa diriku ini.

Ilmu itu Kuasa. Knowledge is Power. Kekadang aku berfikir merenung akan maksud frasa mengandungi 3 patah perkataan itu. Ringkas tapi mengandungi makna yang cukup mendalam.

Doaku moga rasa kecintaan ini tidak akan terus menyusut dalam diriku sebaliknya terus membugar agar aku terus dapat mengisi ruang-ruang hati ini dengan kecintaan kepada-Nya jua.

Wednesday, May 20, 2009

Sepetang di Rasa, Alamanda

Bismillahirrahmanirrahim...

Tarikh Kejadian: 18 Mei 2009
Masa: 6.00 petang - 8.00 malam

Sudah agak lama aku tidak meluangkan masa bersama teman-teman yang pernah bersusah dan bersenang dalam menjalani kursus selama 6 bulan di INTAN dulu. Justeru, ajakan Adilah (aku lebih gemar memanggil dia Adi) untuk berjumpa sambil minum-minum dan berborak aku terima dengan lapang hati. Sebenarnya, jauh di sudut hati aku merasa bersalah kerana gagal memenuhi janji untuk bercuti di Cameron Highlands sebelum ini. Mengenangkan Adi akan menyambung pelajaran ke Australia tidak lama lagi, aku melapangkan diri untuk menyertai perjumpaan itu.

Tepat jam 6.00 petang, aku meninggalkan pejabat menuju ke tempat yang dijanjikan iaitu Rasa, Alamanda. Perjalanan hanya memakan masa kurang daripada 15 minit sahaja. Sungguh seronok rasanya dapat berbual-bual dan berkongsi rasa dengan teman-teman. Benarlah, ukhuwwah itu indah.

Perjumpaan kami turut disertai oleh Ikhlas (Ikky, teman menangis), Syakirah dan keluarga, Aszmy dan Miriza, CikCipunz @ AidaManap serta paling istimewa turut disertai oleh Pegawai Atase dari Rom yang pulang ke Malaysia untuk mengikuti kursus. Tidak lain dan tidak bukan adalah abang sekampungku di Pasir Salak, Mr. Azhar Isa. Banyak perkara yang kami bualkan dan kongsikan sehingga tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 8.00 malam.

Menyedari yang kami perlu menunaikan solat Maghrib, kami mula beransur meninggalkan meja makan dan menuju haluan masing-masing. Meskipun hanya seketika, aku amat menghargainya. Terima kasih kepada insan-insan yang pernah bergelar kawan, masih menjadi kawan dan bakal kawan. Anda sememangnya istimewa dalam hidupku.

Tuesday, May 19, 2009

Muhasabah

Bismillahirahmanirrahim...

Dalam kesibukan menjalankan tugas, aku terpaksa mencuri sedikit masa menuju ke bank untuk menunaikan hasrat melangsaikan hutang piutang sebelum memulakan Kembara Iman. Itu azamku agar pemergianku adalah pemergian yang diredhai-Nya jua. Setiba di bank, aku terus mengisi borang berkenaan dan mengambil nombor giliran. 1094, itu nombor yang aku perolehi. Nombor sekarang adalah 1089.

"Lagi 5 orang. Oklah, boleh tunggu. Mesti cepat ni," getus hatiku.

Tiga kaunter disediakan tetapi hanya satu kaunter sahaja dibuka untuk berurusan. Penantian menjadi semakin panjang dan aku mula hilang sabar. Urusan yang sepatutnya memakan masa tidak sampai 10 minit menjadi lebih panjang kerana penutupan dua kaunter tersebut. Tambah menyakitkan hati apabila melihat kakitangan bank yang berjalan-jalan dan bersembang seolah tidak menghiraukan kerisauan dan penyeksaan pelanggan yang menanti untuk berurusan. Hati aku makin panas apabila pelanggan yang berada di kaunter nan satu itu pula memakan masa yang lama dan kakitangan bertugas pula seperti memberi layanan sambil lewa. Ingin rasanya aku bangun dan bertanya ke mana perginya petugas-petugas yang lain walhal pelanggan sudah lama menunggu giliran. Malah aku lihat, seorang lelaki bertaraf pakcik yang duduk di kerusi sebelah aku juga sudah mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan keadaan tersebut.

Namun, entah kenapa, tiba-tiba terdetik dalam hatiku satu peringatan yang menyedarkan aku malah menginsafkan aku. Dada ini sebak. Sebu. Berdosa. Bersilih-ganti.

"Wahai Karimah, ini baru penantian di dunia. Bagaimana pula keadaan apabila menunggu giliran di Padang Mahsyar kelak untuk dihisab? Mampukah aku memarahi Allah agar memberi layanan dan keutamaan kepada diriku sepertimana yang sering aku tuntut di dunia ini? Hebat sangatkah aku ini sehingga semua manusia perlu memenuhi kehendak aku dengan segera?"

Astaghfirullahala'azim!

"Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa hamba-Mu ini yang begitu mudah dipengaruhi oleh syaitan yang direjam," itu doaku semoga perasaan amarah yang menyelubungi diriku tadi diampunkan-Nya jua.

Sebegitu mudah dan pantas hati manusia yang lemah seperti aku ini berbolak balik antara kebaikan dan kebatilan.

"Wahai Yang Membolak balikkan hati, Kau tetapkan hatiku dalam agama-Mu dan berada dalam ketaatan kepada-Mu jua."

Aamiin...

Monday, May 18, 2009

Sirih Pulang ke Gagang...

Bismillahirrahmanirrahim...

15 Mei 2009: Jam 6.00 petang, keretaku meluncur laju terus dari pejabat ke rumah abangku di Sri Gombak. Ini kerana kami bercadang untuk pulang ke kampung kali terakhir sebelum memulakan Kembara Iman kelak. Di samping itu juga, ada misi yang perlu kami sempurnakan iaitu membantu abangku yang telah mula bertugas di Kuala Terengganu sejak awal Mei lalu, untuk membersihkan kuarters yang diperolehi. Keluarga abangku akan menyusul berpindah ke sana pada awal Jun nanti. Ibarat sirih pulang ke gagang. Orang yang paling gembira sudah tentulah kedua ibu bapaku kerana cucu-cucu kini dekat di mata. Kami juga turut tumpang gembira kerana sekurang-kurangnya ada anak yang boleh sering menjenguk ibu bapaku ketika sakit pening berbanding kami yang tinggal jauh di kota KL. Ini tidak bermakna kami selaku anak-anak ingin lepas tangan tetapi tuntutan tugas yang berbeza memaksa kami tinggal di kota buat sementara waktu. Siapa tahu kami juga bakal pulang ke gagang suatu hari nanti. Rasa kagum dan penghargaan aku rakamkan buat kakak iparku yang telah sanggup berhenti kerja demi mengikut abangku berpindah ke Kuala Terengganu walaupun dia berasal daripada Kulim, Kedah. Sungguh besar pengorbanan dia dan aku amat mengaguminya.

Perjalanan kami pada malam itu agak terganggu berikutan sekatan jalan raya dibuat sebaik selepas membayar tol Gombak. Hampir 45 minit kami bersesak-sesak di situ dan sedikit sebanyak mengganggu perasaan kami.

16 Mei 2009 (Selamat Hari Guru): Kami bergerak ke kuarters tersebut yang terletak di Chendering dengan membawa segala kelengkapan yang perlu. Aku sungguh terkejut melihat keadaan rumah tersebut yang sangat kotor dan tidak terurus walhal baru ditinggalkan selama 3 bulan. Hanya satu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan sikap penghuni sebelum ini. Pengotor! Kami mengucap panjang melihat keadaan tersebut. Oleh itu, proses pembersihan memakan masa yang sangat lama dan kami pulang pada jam 10.00 malam.

Keadaan kolah yang ditinggalkan sungguh menjijikkan

Abangku yang bersemangat membersihkan rumah

Begitu juga dengan ibuku...

Ibuku dan Adam

Adam yang rajin menelaah di rumah baru


17 Mei 2009: Dengan keletihan yang masih bersisa, aku dan adik serta kakak iparku bertolak pulang ke KL dan tiba lebih kurang jam 9.00 malam.

Friday, May 15, 2009

I Feel Bad...

Why? Kerana aku baru sahaja berbuat sesuatu yang cuba aku kurangkan akhir-akhir ini demi sebuah kembara iman pada bulan Jun nanti, insyaAllah. Sesungguhnya aku telah makan dengan banyak dan penuh berselera hidangan di salah sebuah restoran makanan segera di Alamanda tadi.

Sebenarnya kunjungan tadi adalah sebagai memenuhi ajakan rakan baikku (yang aku panggil Arab) untuk memenuhi masa lapang yang terluang di samping bertukar-tukar cerita. Entah kenapa aku telah makan dengan bersungguh-sungguh dan ini jarang aku lakukan sebelum ini. Pelik juga apabila diingatkan kembali tabiat makan aku sebentar tadi. Sangat teruk dan disebabkan itu, I feel really bad now. Huhu...Sungguh tidak bagus untuk kesihatan aku sendiri.

Sebenarnya aku telah berjanji kepada diri sendiri untuk mengurangkan pengambilan makanan berat sebagai salah satu persiapan kembara iman kelak. Hari ini aku telah melanggar janji kepada diri sendiri dan makan seolah-olah seminggu aku tidak makan. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Harap-harap aku tidak kan mengulangi lagi tabiat buruk ini pada masa hadapan.

Harapnya, mata aku tidak mengantuk pada mesyuarat jam 3.30 petang nanti, isk2.

Tuesday, May 12, 2009

Sang Kancil

Bismillahirrahmanirrahim...

Seawal jam 7.30 pagi, sedang aku enak berbaring di atas tilam sambil menonton televisyen, telefonku berbunyi.

"Kenapa Ila call aku pagi-pagi ni? Takkan nak ajak breakfast kot. Kan dia tahu aku di Langkawi," fikirku.

"Assalamualaikum beb, apsal ni? Nak ajak aku breakfast ke?" sambil tertawa aku mengangkat panggilan rakan sepejabatku itu.

Ila gelak besar.

"Ko tau, kereta aku tak boleh start lagi." sambil masih gelak-gelak dia memberitahu keadaan sebenar.

Itulah Ila, rakan sepejabatku yang sentiasa ceria tak kira masa dan tempat. Haha. Aku apa lagi, gelak besar kerana teringat insiden pertama sebelum ini. Kes yang sama juga belaku. Kereta tak dapat dihidupkan kerana Ila lupa mematikan lampu kereta.

Kali ini kes yang hampir sama berlaku tetapi aku tidak dapat membantu kerana berada di bumi Langkawi. Lalu aku cadangkan dia menghubungi rakan sepejabat yang lain kalau-kalau ada yang boleh membantu. Kalau aku ada, sudah pasti aku akan membantu dia apa yang patut.

Tadi lebih kurang jam 9.30 pagi, aku call bertanyakan keadaan dia. Alhamdulillah sudah ada yang datang membantu. Kepada Ila, mungkin ini petanda bahawa sudah tiba masanya Sang Kancil itu diganti dengan yang lain, yang baru mungkin... :)

Monday, May 11, 2009

Bumi Mahsuri

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini hari kedua aku berada di Langkawi bersama 4 orang kakitangan di bawah seksyenku kerana menjadi urus setia bengkel yang dihadiri oleh 33 orang pegawai. Oleh kerana bajet yang terhad, kami mengambil keputusan untuk menaiki penerbangan AirAsia sahaja. Ternyata perkhidmatan AirAsia jauh berbeza dengan pengalaman aku sebelum ini. Malah kami tiba di Langkawi 15 minit lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Sangkaku, di jalan raya sahaja ada Mat Rempit, juruterbang pun merempit. Haha.

Sebelum bertolak di LCCT


Semasa dalam penerbangan, kami dihidangkan dengan sebungkus nasi lemak dan sebotol air mineral memandangkan tiket kami dibeli dengan menggunakan waran. Satu perkara yang lebih baik telah dibuat oleh pihak AirAsia adalah memberi nombor tempat duduk kepada semua penumpang. Tidak lagi perlu berebut-rebut seperti anak ayam yang dilepaskan daripada reban setiap kali ingin menaiki kapal terbang.

Alhamdulillah perjalanan berjalan lancar dalam keadaan cuaca cerah dan kami tiba di lapangan terbang Langkawi lebih kurang jam 3.00 petang. Bengkel akan diadakan di Hotel Bella Vista yang terletak tidak jauh dari Pekan Kuah. Malangnya, ketibaan kami di Langkawi bermula dalam keadaan yang tidak berapa baik. Kenderaan yang dijanjikan oleh pihak hotel tidak ada seperti yang dijanjikan dan pelbagai alasan telah diberikan. Untuk mempercepatkan urusan, kami telah menyewa sebuah van untuk membawa kami ke hotel tersebut. Kejadian ini amat mendukacitakan aku kerana kenderaan tersebut telah dijanjikan oleh pihak hotel sendiri dan bukannya atas permintaan kami. Lalu tindakan pihak hotel membatalkan kenderaan tersebut amat mengecewakan kami. Setibanya kami di hotel, layanan yang diterima pula kurang memuaskan dan orang perhubungan yang sepatutnya menanti ketibaan kami telah bercuti. Sekali lagi sungguh mengecewakan.

Seusai meletakkan beg, kami terus bergegas membuat pemeriksaan tempat dan peralatan yang perlu digunakan pada malam ini. Ternyata keadaan dewan yang diberikan adalah amat jauh berbeza daripada yang dijanjikan. Ruang yang amat sempit dan kedudukan yang terlalu rapat menimbulkan keadaan yang tidak selesa kepada para peserta bengkel. Nampaknya kami menghadapi ketidakpuasan yang berterusan dengan kemudahan yang dijanjikan pihak hotel. Lantas aku terus menghubungi pegawai pemasaran yang bertanggungjawab mempromosikan hotel ini kepada seksyen aku dan meluahkan kekecewaan yang aku hadapi semasa berada di hotel ini. Secara jujur, aku telah berterus-terang dengan kekecewaan dan rasa sakit hati yang melanda berikutan perkhidmatan yang diterima tidak seperti yang dijanjikan. Ditambah dengan sikap acuh tak acuh pekerja hotel yang lambat mengambil tindakan dengan permintaan yang dibuat. Rasanya ini akan menjadi kali pertama dan terakhir aku mengadakan program di hotel ini. Sungguh mengecewakan.

Namun begitu, aku bersyukur kerana majlis perasmian pada malam tadi berjalan lancar. Pagi ini pula satu situasi kurang menyenangkan telah berlaku dan aku anggap semua itu ujian daripadaNya jua. Mungkin balasan atas dosa-dosa yang telah aku lakukan sebelum ini.

Seterusnya, sesi pada pagi ini berjalan dengan baik meskipun dipenuhi dengan kehangatan soalan-soalan daripada para peserta kursus. InsyaAllah, bengkel akan diteruskan pada petang ini sehingga malam esok. Tidak sabar rasanya untuk menghabiskan bengkel ini dan kembali ke rumah. Nampaknya tanggungjawab yang perlu aku pikul semakin berat seiring dengan kedudukan baru sekarang.

Doaku semoga sesi bengkel seterusnya akan berjalan dengan baik dan objektif pelaksanaan bengkel akan tercapai. Semoga kedatanganku ke bumi mahsuri ini juga tidak sia-sia.

Saturday, May 9, 2009

Cendol Oh Cendol!

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini aku mempunyai tugasan menyampaikan taklimat kepada pegawai-pegawai baru di Samudera Bidara Resort, Tanjung Bidara, Melaka. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar dan respon yang diterima daripada para pegawai juga amat baik.

Program tamat pada jam 10.30 pagi. Selepas minum pagi, aku dan adikku yang menemani perjalananku berkemas untuk bertolak pulang. Aku ingin segera pulang berehat kerana ada tugasan yang perlu aku langsaikan sebelum bertolak ke Langkawi pada hari Ahad.




Dalam perjalanan, kami teringat kepada dokumentari di Majalah 3 yang memaparkan jualan cendol yang boleh ditambah secara percuma iaitu Cendol LemanDawi yang terletak tidak jauh dari bandar Seremban. Pelanggan memenuhi tempat duduk tetapi Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan tempat duduk.

Memang hebat jualan cendol beliau kerana melihatkan bilangan pelanggan yang tidak putus-putus mengunjungi gerai. Kelebihan LemanDawi terletak pada keramahan dan keikhlasan beliau menjual cendol. Ternyata keikhlasan beliau menjual cendol membuatkan gerai beliau menerima kunjungan pelanggan yang datang dari luar Seremban (termasuk aku) semata-mata untuk menikmati cendol beliau.

Bayangkan, dengan bayaran RM1.00-RM2.00 (bergantung kepada jenis cendol), pelanggan boleh menikmati beberapa mangkuk tanpa dikenakan sebarang bayaran tambahan. Rasanya, ini kali pertama aku menemui peniaga yang banyak memberi barangan secara percuma. Semoga Allah terus memberkati perniagaan beliau.







Sebenarnya, kami sudah beberapa kali merancang untuk berkunjung ke gerai LemanDawi semenjak menonton tentang beliau dalam siaran Majalah 3. Walau bagaimanapun, hasrat tersebut tidak pernah kesampaian sehinggalah hari ini. Pun begitu, bagi penggemar cendol seperti aku, rasa cendol LemanDawi bukanlah cendol kegemaranku.

Oleh itu, selesai ber'cendol', kami meneruskan perjalanan dan berhenti di gerai Redup Rimba yang terletak dalam kawasan Teras Jernang, melalui Jalan Bangi Lama. Oleh kerana aku kurang berpuas hati dgn rasa cendol LemanDawi, aku merancang untuk menikmati cendol sekali lagi. Kali ini di gerai kegemaranku. Memang rasa cendol nya jauh berbeza dengan cendol-cendol lain yang pernah aku nikmat malah gerai ini aku kunjungi saat teringin memakan cendol dan laksa.




Keadaan di sini pun sama juga. Pelanggan tidak putus-putus membanjiri gerai untuk menikmati kedua-dua hidangan tersebut iaitu cendol dan laksa. Sebenarnya memang itu sahaja pun hidangan yang dijual oleh gerai tersebut. Kepada yang belum pernah menikmati cendol di sini, aku memang mencadangkan untuk mencubanya. Nama gerai, Redup Rimba, amat bersesuaian dengan suasana dan kedudukan gerai tesebut.
Sesungguhnya hari ini telah menjadi hari cendol sedunia bagi aku dan adikku. Yang penting kami puas hati. Alhamdulillah!

Friday, May 8, 2009

Suasana Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah aku sudah berpindah ke bilik baru. Kena berkemas lagi. Aduh! Ini merupakan kali ke-4 aku berpindah tempat sejak bertugas di Bahagian ini. Berpindah tidak menjadi masalah cuma aku perlu meluangkan masa untuk berkemas dan menyusun kembali peralatan sebelum boleh memulakan kerja. Aku pula memang jenis agak cerewet dengan susun atur dan kedudukan barangan baik di pejabat mahu pun di rumah. Pendek kata, aku amat tidak gemar melihat suasana yang berkecamuk dan bersepah-sepah kerana aku akan terasa sesak nafas dan tidak bersemangat untuk bekerja atau berada di situ.
Doaku semoga suasana baru ini akan turut memberi semangat baru kepada diriku dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Aamiin...

Thursday, May 7, 2009

Ulangtahun Kelahiran Adam

Bismillahirrahmanirrahim...

6 Mei 2009, ulangtahun kelahiran anak saudaraku, Muhammad Adam Amin yang ke-4. Kami dijemput oleh Abah Adam (abangku) untuk sama-sama meraikan Adam. Selepas pulang dari kerja dan selesai solat Maghrib, aku terus bersiap dan bertolak ke rumah adik-adikku di Bandar Baru Sentul (BBS). Dari situ, kami bergerak ke rumah Adam dan memulakan majlis selepas selesai solat Isyak.Dengan malu-malu, Adam meniup lilin yang diletakkan di atas kek. Mungkin ini merupakan kali terakhir kami akan meraikan ulangtahun kelahiran bersama-sama memandangkan abangku dan keluarga akan berpindah ke Terengganu kerana diarahkan bertugas di JKR Terengganu.


Doa MakLong, semoga Adam membesar menjadi anak soleh yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kelak.

Lebih kurang jam 11.00 malam, kami beredar dan aku bermalam di BBS.

Kembara Penuh Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim...


Yeah, cuti Hari Pekerja. Seperti yang telah dinyatakan dalam entri sebelum ini, walaupun jauh di sudut hatiku ini ingin sekali menghabiskan cuti hujung minggu di KL sahaja, aku sebenarnya merasa serba salah untuk menolak ajakan abangku itu. Justeru, dengan fikiran yang positif, aku menerima ajakan itu dan merancang untuk hadir sehari lebih awal bagi kenduri rakanku di Ayer Keroh, Melaka. Maka dengan disertai oleh 2 orang adikku, kami memulakan perjalanan pada 1 Mei 2009, lebih kurang jam 3.00 petang menuju ke Melaka. Perancangannya adalah kami akan bermalam di Melaka, menghadiri majlis akad nikah rakanku pada malamnya dan meneruskan perjalanan ke Mersing pada keesokan paginya.


Mileage sebelum memulakan perjalanan


Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dengan melalui Jalan Persekutuan bermula daripada Port Dickson dan terus menuju ke Tanjung Bidara, tempat di mana kami akan menginap. Kami tiba lebih kurang jam 7.00 malam dan seusai meletakkan barangan, kami terus menuju ke rumah rakanku di Ayer Keroh kerana majlis akad nikah dijangka akan bermula selepas Isyak.

Jangkaanku, majlis akan selesai tidak melebihi jam 10.00 malam tetapi kami akhirnya bertolak ke tempat penginapan hampir jam 11.00 malam. Mujurlah kami sudah menunaikan solat Jama' di masjid yang terletak tidak jauh dari rumah rakanku itu. Selesai membersihkan diri, kami terus melelapkan mata bagi mendapatkan rehat yang cukup memandangkan kami akan menempuh perjalanan yang jauh pada keesokan harinya.

Seawal jam 7.30 pagi, kami memulakan perjalanan ke Mersing dengan melalui lebuhraya dan keluar di persimpangan Ayer Hitam. Oleh kerana kami tidak sempat untuk bersarapan sebelum bertolak, kami singgah di Kluang Rail Coffee untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong. Mulanya adik-adikku agak terkejut apabila melihat suasana yang agak sesak dan pelanggan beratur menunggu giliran mendapatkan tempat duduk. Malah adik-adikku nyaris mengajak aku mencari gerai makan lain untuk bersarapan. Aku hanya tergelak kecil kerana ini merupakan kunjungan mereka yang pertama ke situ berbanding aku yang sudah 2,3 kali ke situ sebelum ini. Kesesakan menunggu giliran mendapatkan tempat duduk bukanlah sesuatu yang pelik padaku bagi sebuah tempat yang dikenali ramai dan tersenarai dalam kalendar pelancongan. Akhirnya kami berjaya mendapatkan tempat duduk dan adik-adikku mengakui akan keistimewaan tempat itu.


Menunggu giliran mendapatkan tempat duduk


Dengan adik bongsuku, PakSoo

Perjalanan ke Mersing diteruskan dengan memakan masa 1 jam lebih berikutan keadaan jalan yang kurang memuaskan. Kami tiba di jeti Mersing pada jam 11.30 pagi dan bot yang ditempah dijadualkan akan bertolak pada jam 12.30 tengah hari. Oleh kerana urusan percutian pada kali ini telah diuruskan oleh abangku, maka aku hanya menurut sahaja pergerakan yang telah disusun. Alhamdulillah, tanpa sebarang kerenah, seusai membeli tiket pada kadar RM35.00 seorang/sehala (RM70.00 seorang untuk pergi-balik), satu kadar yang aku rasa agak mahal jika dilihat pada keadaan bot yang agak tidak diurus dengan baik, kami mengambil tempat duduk yang disediakan.






Mula memasuki feri





Kami tiba di jeti Kampung Tekek, Pulau Tioman iaitu hentian terakhir pada jam 3.00 petang dan terus dibawa oleh rakan abangku ke tempat penginapan yang terletak tidak jauh daripada jeti.


Selamat datang ke Pulau Tioman


Peladang Tioman Chalet, nama tempat penginapan kami. Sejujurnya, tempat tersebut jauh berbeza dengan jangkaan kami. Malah aku tidak mencadangkan kepada sesiapa yang ingin bercuti ke Pulau Tioman untuk tinggal di sini. Harga yang dikenakan agak tinggi jika dibandingkan dengan kemudahan ala kadar yang dikenakan iaitu RM80.00 satu malam.







Selesai merehatkan badan dan mengisi perut di kedai makan berhampiran, kami sempat singgah di satu-satunya kedai roti yang ada di kampung itu. Pada pendapat aku, kedai tersebut menyediakan kepelbagaian roti yang menarik termasuk pizza pada harga yang berpatutan. Dengan menaiki van yang disewa pada kadar RM60.00 (sekali lagi satu kadar yang mahal), kami dibawa ke Pusat Taman Laut yang terletak hampir 300 meter sahaja dari tempat penginapan. Sungguh, jika aku tahu tempat yang ingin dituju boleh dikunjungi dengan hanya berjalan kaki, tidak perlulah kami membazirkan wang RM60.00 untuk membawa kami ke situ. Sangkaku juga kadar itu adalah bagi sepanjang tempoh kami berada di Pulau Tioman tetapi ternyata jumlah itu hanya untuk membawa kami pergi dan balik ke Pusat Taman Laut sahaja.





Sibuk memilih life jacket dan googles


Kami sempat berenang-renang dan snorkeling menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi selama 3 jam. Sememangnya Pulau Tioman kaya dengan pelbagai jenis ikan yang sungguh mengagumkan. Subhanallah!


Kami kembali ke tempat penginapan hanya apabila matahari sudah mula melabuhkan tirainya. Mimpi ngeri bermula. Abangku menerima makluman daripada rakannya bahawa berkemungkinan besar kami tidak dapat pulang pada keesokan harinya.

Disaster! Hanya perkataan itu yang terbit dalam fikiranku kerana aku perlu menghadiri kursus di INTAN pada hari Isnin dan Selasa. Apapun terjadi, aku harus mengusahakan sesuatu agar kami boleh pulang pada keesokan hari.

Mulanya aku merasa geram kepada abangku kerana tidak merancang percutian ini dengan sebaik mungkin dan mengesahkan tiket perjalanan balik sebelum kami bertolak dari jeti Mersing. Tetapi apabila aku lihat riak resah dan bersalah di wajah abangku, aku kembali insaf yang dia sendiri sudah tentu tidak ingin perkara ini berlaku. Astaghfirullah! Cepat-cepat aku memohon ampun dariNya kerana berprasangka buruk dan yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Setiap masalah yang timbul pasti akan ada jalan penyelesaiannya, dengan syarat dihadapi dengan tenang dan sabar kerana sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan daripada api.

Untuk menenangkan fikiran dan memikirkan jalan penyelesaian yang boleh diusahakan, aku mengambil keputusan untuk membersihkan diri terlebih dahulu dan menunaikan solat Jama' Maghrib dan Isyak.

"Ya Allah, Kau bantulah kami dalam menghadapi dugaan ini dengan hati yang tenang dan tunjukkanlah kami jalan keluar yang sebaiknya. Sesungguhnya apa jua yang menimpa ada hikmahnya kerana Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang nyata dan ghaib."

Itu doaku selepas solat. Saat itu juga Allah gerakkan hatiku untuk menghubungi rakan sepejabat yang boleh membantu kami keluar dari kemelut itu. Alhamdulillah, dengan beberapa panggilan yang dibuat, ada pihak yang boleh membantu kami kembali ke jeti Mersing pada keesokan pagi. Malam itu kami tidur lena dan berjanji untuk berjumpa pegawai tersebut pada jam 9.00 pagi di gerai makan berhampiran.

Seawal jam 8.00 pagi, kami sudah bersiap dan bersemangat membawa barangan beg untuk menunggu pegawai tersebut seperti yang dijanjikan. Fikirku, oleh kerana kami yang mendambakan bantuan daripada dia, maka kami yang seafdhalnya menunggu dia. Sementara menunggu beliau, kami sempat bersarapan dan melayan pelbagai fikiran yang bermain-main dalam benak ini. Kerisauan sama ada dapat pulang pada hari itu masih lagi bersarang dalam diri kami selagi kaki belum menjejak lantai feri.

Akhirnya, jam 9.30 pagi pegawai yang dinanti muncul. Lega rasanya hatiku. Barulah hati kami tenang dengan penerangan dan jaminan yang diberi oleh beliau. Oleh kerana menurut beliau feri akan tiba pada waktu tengah hari, maka kami kembali ke tempat penginapan terlebih dahulu.

Sedang aku baru merebahkan badan di atas tilam, telefon berbunyi. Ternyata yang menghubungi aku adalah pegawai tadi memaklumkan bahawa ada feri yang akan tiba pada jam 10.30 pagi. Kami diminta bersiap dan dia akan datang mengambil kami sebentar lagi. Dengan segera kami mencapai beg dan bergegas menuju ke kenderaan beliau yang akan membawa kami ke jeti.

Tiba di jeti, kami dapati masih belum ramai penumpang yang datang dan kami terus menulis nama dalam senarai penumpang yang disediakan. Alhamdulillah, nama kami adalah antara yang terakhir dalam senarai tersebut. Kaedahnya, sesiapa yang berjaya menulis nama dalam senarai tersebut akan dapat menaiki feri yang ada pada masa itu. Keadaan ini sesungguhnya amat membingungkan aku kerana merasakan seolah-olah tidak ada satu sistem yang menyusun atur pergerakan pulang di jeti tersebut. Aku yakin sekiranya pegawai tersebut tidak membantu pergerakan kami, maka kami akan masih tersadai terpinga-pinga di situ walaupun tiket sudah dibeli. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan pengangkutan di situ.

Malah aku turut dimaklumkan oleh pegawai tersebut bahawa menjadi fenomena biasa melihat pengunjung yang gagal menaiki feri untuk pulang pada hari yang sepatutnya berkeliaran dan mundar-mandir tanpa hala tuju di situ. Pernah juga berlaku kes-kes di mana pihak polis terpaksa dipanggil untuk campur tangan apabila keadaan sudah tidak terkawal. Aku menjadi lebih hairan dan penerangan tersebut membenarkan lagi situasi yang aku lalaui sewaktu cuba meminta bantuan daripada syarikat pengangkutan feri apabila dimaklumkan tempahan untuk perjalanan pulang telah penuh.

"maaf cik, kami tidak dapat membantu. Itu bukan masalah kami. Tugas kami hanya menjual tiket."

Berderau darahku mendengar jawapan itu. Sungguh tidak bertanggungjawab. Sempat juga aku melepaskan kemarahan dan kegeraman atas tindakan mereka yang amat tidak berhati perut itu.

"Shahrul Amin, Karman Amin, Karimah...." kedengaran nama-nama kami disebut agar mula memasuki feri yang telah berlabuh di jeti.

Selesai mengucapkan terima kasih kepada pegawai tersebut atas bantuan besar yang telah diberikan, dengan langkah penuh kesyukuran kami memasuki feri dan aku terasa seolah-olah ingin sujud syukur apabila kaki menjejak lantai feri. Hatiku tidak sabar-sabar lagi untuk menjejakkan kaki ke bumi Mersing. Perjalanan yang memakan masa 2 jam menjadi lebih panjang rasanya tambahan pula air surut apabila feri menghampiri jeti Mersing. Hanya Allah yang tahu betapa leganya hati ini apabila kaki melangkah keluar dari feri. Sesungguhnya hanya kesyukuran yang dapat dipanjatkan kepadaNya kerana dengan izinNya jua (yang disampaikan melalui pegawai tadi) kami selamat kembali ke jeti Mersing.

Deretan life jacket di dalam feri yang menimbulkan tanda soal dalam diriku. Sempatkah memakainya jika tiba-tiba ditimpa bencana?


Mampu tersenyum apabila feri kian mendekati jeti Mersing


Alhamdulillah!


Selesai makan tengah hari di kedai makan berhampiran jeti, kami bertolak balik mengikut haluan masing-masing pada jam 3.30 petang. Aku dan adik-adik menghala ke KL manakala abangku dan keluarga menghala ke Kuantan.

Dalam perjalanan, adik-adikku menyuarakan keinginan untuk menikmati roti bakar di Stesen Kereta Api Kluang. Aku hanya tersenyum, memahami keinginan mereka. Alhamdulillah kungjungan kami pada kali kedua menjadi mudah dan kami terus mendapat tempat duduk tanpa perlu menunggu lama.

Makanlah dik, nanti K.Mah bayar ye...isk2


Kopi ais kegemaran



Kami meneruskan perjalanan melalui lebuhraya untuk menjimatkan masa. Malangnya, oleh kerana ramai penghuni kota juga berpusu-pusu untuk kembali ke KL kerana perlu bekerja pada keesokkan hari, keadaan jalan menjadi sesak dan tidak berapa lancar. Akhirnya, kami keluar di persimpangan Alor Gajah dan berhenti solat Jama' di Masjid Taboh Naning.

Kesesakan berterusan lagi di sepanjang perjalanan sehingga ke bandar Seremban. Oleh kerana jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam, kami berhenti rehat dan solat Jama' di Masjid Negeri di bandar Seremban. Kesesakan masih berterusan dan mulai mengurang apabila melepasi Hentian Nilai. Perjalanan semakin lancar dan kami tiba di Bandar Baru Sentul pada jam 11.30 malam. Sungguh memenatkan. Pagi esok, aku perlu bergerak ke INTAN Bukit Kiara untuk menghadiri seminar. Selesai membersihkan diri, aku terus melelapkan mata kerana tidak mahu bangun lewat keesokan pagi.


Solat Jama' (Zohor dan Asar)



Solat Jama' (Maghrib dan Isyak)


Meskipun kembara (safar) pada kali ini menuntut kesabaran yang tinggi dan amat memenatkan, aku yakin pasti ada hikmah yang tersembunyi dan ternyata ada beberapa perkara yang telah aku selami dan fahami yang akan menjadi bekal yang berguna dalam meneruskan perjuangan ini, insyaAllah.

Friday, May 1, 2009

Ditelan Mati Emak...

Bismillahirrahmanirrahim...

Diluah mati ayah...mungkin peribahasa ini tepat menggambarkan perasaan aku saat ini. Berkecamuk, serba salah, keliru. Mana satukah yang perlu aku turuti? Kedua-duanya ingin aku penuhi.

Al-kisahnya, aku telah berjanji untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sahabat yang akan diadakan pada 2 Mei 2009 iaitu hari Sabtu di Melaka. Oleh kerana jarak yang membolehkan aku untuk balik hari maka aku bercadang untuk ke Melaka pada 2 Mei 2009. Nak dijadikan cerita, lebih kurang jam 5.00 petang tadi aku menerima panggilan daripada abang aku yang tinggal di Pahang, mempelawa (atau memaksa?) aku dan adik-adik menyertai kembara ke Pulau Tioman yang juga turut dijadualkan pada hari Sabtu. Tambah mengusutkan keadaan, apabila abang aku telah lebih awal membuat tempahan bot dan tempat tinggal di sana malah bercadang mengajak ibu bapaku untuk turut serta. Aduh! Pening dan berserabut kepala ini. Bot dijangka bertolak dari jeti pada hari Sabtu jam 12.00 t/hari dan pada hari yang sama kenduri di Melaka akan berlangsung. Kosentrasiku agak terganggu seketika tapi aku cuba menenangkan diri dan meyakinkan diri bahawa pasti ada jalan keluar dari kekusutan ini.

Akhirnya, setelah berbincang dengan adik-adikku, kami memutuskan untuk bergerak ke Melaka pada hari esok (Jumaat) dan menghadiri majlis akad nikah sahaja. Kemudian kami mungkin akan bermalam di Melaka dan meneruskan perjalanan ke Mersing pada keesokan harinya atau berpatah balik ke KL dan bergerak pada pagi Sabtu juga ke Mersing. Hanya satu perkara ini sahaja yang belum kami putuskan. Segalanya akan bergantung kepada sama ada kami berjaya mendapatkan penginapan di Melaka untuk malam esok atau tidak. Hendak menolak permintaan dan aturan yang telah disusun oleh abang aku rasanya tidak sampai hati pula walaupun aku memang tidak gemar dengan perancangan minit terakhir (last minute). Moga kembara kali ini akan membuahkan hikmah yang baik...insyaAllah.