Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, April 30, 2009

Urusan Safarul Iman

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi semalam, jam 8.45 pagi aku tiba di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong untuk melaksanakan amanah yang telah diberi iaitu menyampaikan taklimat kepada sekumpulan pegawai di situ. Ditemani rakan sepejabat, Zamri, Alhamdulillah majlis yang bermula pada jam 10.30 pagi berjalan lancar dan kehadiran juga amat memuaskan. Boleh dikatakan dewan penuh diisi dan pelbagai soalan dikemukakan untuk kami jawab. Aku merasa seronok melayani soalan-soalan yang dikemukakan kerana aku berpendapat suasana itu menunjukkan bahawa taklimat yang telah disampaikan didengari oleh mereka. Sebaliknya, jika tiada soalan yang dikemukakan, maka aku berpendapat pasti topik yang telah aku sampaikan tidak difahami oleh audiens.

Kami beredar dari FRIM lebih kurang jam 12.30 tengah hari dan aku meneruskan perancangan menuju ke pejabat agensi umrah yang terletak di Ampang. Perbincangan bersama pihak agensi berjalan lancar dan hati aku merasa sungguh lega kerana segala urusan pembayaran pakej dan penyediaan borang-borang untuk permohonan visa telah kami sempurnakan. Kini kami hanya menunggu hari untuk bertolak ke Tanah Suci yang dijangka akan bertolak pada 4 Jun 2009 dengan menaiki pesawat Gulf Airways. Berikutan itu, kami dijangka akan transit di Bahrain dan bermalam di situ selama satu malam. Doaku semoga Safarul Iman kami sekeluarga akan berjalan lancar dan membibitkan buah-buah keimanan yang lebih hebat dalam hati kami kelak. Aamiin.

Semua urusan selesai lebih kurang jam 4.00 petang dan aku beredar bersama adikku (PakSoo) ke restoran berhampiran untuk mengisi perut dan seterusnya bertolak pulang menuju destinasi masing-masing.

Tuesday, April 28, 2009

Bertapa

Bismillahirrahmanirrahim...

Jam 3.00 petang, aku meluncur menaiki SX4 bersama Zamri dan Hazlina menuju ke Genting Highlands untuk memenuhi jemputan bengkel penandaan kertas. Demi menyempurnakan tugasan tersebut, kami akan bertapa di Genting View Resort selama 2 hari. Perjalanan daripada pejabat hanya memakan masa 1 jam setengah sahaja dan kami tiba lebih kurang 4.30 petang. Alhamdulillah bilik yang disediakan amat selesa dan luas.



Melihat suasana dan keadaan bilik, aku mula merancang untuk kembali ke sini semula bersama ahli keluarga jika diizinkan-Nya.

Selesai makan malam, kami terus menuju ke dewan berkenaan untuk memulakan tugasan dengan seberapa segera kerana kami bercadang untuk pulang pada keesokkan hari. Alhamdulillah separuh daripada tugasan telah berjaya aku selesaikan dan bakinya akan diselesaikan pada pagi esok.


Situasi ini mengingatkan aku kembali kepada kenangan sewaktu menjadi pensyarah di UiTM dahulu. Terimbau kisah-kisah suka duka mula menjadi tenaga pengajar di situ. Betapa daripada tidak tahu kepada tahu dan seterusnya menjadi mahir dalam bidang tersebut. Pengalaman tersebut banyak mendewasakan aku dalam berdepan dengan pelbagai kerenah manusia pada hari ini.

Mata pun sudah semakin berat. Rasanya eloklah aku melelapkan mata agar dapat merehatkan diri buat seketika sebelum kembali menyambung tugasan yang diberi...


Sunday, April 26, 2009

Jejak Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini selesai kuliah pengajian, aku dan adik-adik sekali lagi berkunjung ke Pesta Buku di PWTC. Kami nekad untuk pergi sekali lagi berikutan pencarian semalam gagal membuahkan hasil. Meskipun ribuan manusia membanjiri PWTC, Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan tempat letak kereta di Hentian Putra dan meneruskan misi kami. Kali ini kami berjaya menjelajah kesemua aras yang ada.


Namun begitu, ada satu perkara yang jelas berdasarkan pengamatan aku sendiri apabila aras 4 yang menempatkan buku-buku akademik agak lengang berbanding aras-aras lain yang penuh sesak kerana menempatkan bahan-bahan bacaan ringan seperti majalah dan novel.

Ini sedikit sebanyak membuatkan aku terfikir kepada hasrat yang pernah disuarakan oleh mantan PM iaitu Tun Dr Mahathir akan kepentingan rakyat Malaysia mempelajari Bahasa Inggeris demi untuk mempelajari ilmu dan teknologi daripada negara-negara maju. Meskipun kebelakangan ini ramai pihak kurang bersetuju malah membantah pelaksanaan PPSMI, jauh di sudut hati aku merasa akan kebenaran beliau apabila melihat sendiri perbezaan suasana di pesta tersebut.

Setelah puas berlegar-legar, akhirnya aku telah membeli beberapa buah buku yang aku rasakan penting dan bermanfaat kepada aku kelak dalam melayari kehidupan ini. Boleh dikatakan kopak jugalah aku kerana membeli buku-buku tersebut. Apapun, aku puas hati kerana berjaya memenuhi hasrat di hati.
Inilah buku-buku yang telah aku beli dan berharap dapat menghabiskan bacaan kandungannya...




Saturday, April 25, 2009

Tugasan Berakhir

Bismillahirrahmanirrahim...

25 April 2009 merupakan hari terakhir aku di hotel sebagai urus setia kursus. Tidak sabar rasanya kembali ke rumah sendiri. Apa tidaknya, hampir seminggu aku berada di hotel melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada diri ini. Sejujurnya, beban dipikul semakin berat tetapi aku amat bersyukur kerana dikelilingi oleh teman-teman seangkatan yang memahami dan boleh bergantung harap.
Seperti biasa, malam terakhir kami akan berkumpul untuk membuat persediaan tempat di dewan. Alhamdulillah, dengan bantuan urus setia dan fasilitator dilantik, segala urusan berjalan lancar dan teratur.


Seawal 7.30 pagi aku sudah menghadirkan diri ke dewan. Entah kenapa aku tidak berselera untuk mengambil sarapan malah bagi tugasan pada kali ini, aku sememangnya jarang makan di hotel. Mungkin kepenatan menjalankan tugas membunuh rasa laparku. Jika difikir-fikirkan kembali, bagus juga kerana aku dapat melatih diri mengurangkan makanan berat terutama nasi.

Selesai urusan di hotel, aku check-out pada jam 2.30 petang dan terus memandu menuju ke KL kerana aku telah berjanji untuk berjumpa adik-adikku serta merancang ke pesta buku di PWTC. Sedari awal lagi aku memang berhasrat untuk mengunjungi pesta buku tersebut tetapi tuntutan tugas tidak mengizinkan aku berbuat demikian. Justeru, meskipun kepenatan jelas terasa selepas selesai kursus, aku gagahkan juga diri memenuhi hasrat terpendam dengan sokongan adik-adik memandangkan pesta itu akan berakhir pada keesokkan hari.


Selesai solat Asar, kami bergerak menuju ke PWTC. Mujurlah adik aku sudi untuk memandu pada petang itu kerana aku sudah merasa penat yang teramat. Meskipun orang ramai masih membanjiri PWTC, Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan tempat letak kereta dan terus menapak menuju ke ruang legar PWTC.

Selamat Datang

Adik-adik yang setia menemani

Memandangkan ketibaan kami sudah agak lewat, maka tidak banyak booth yang berjaya dikunjungi. Oleh itu, kami telah berjanji untuk kembali lagi pada keesokkan hari untuk meneruskan pencarian. Kami meninggalkan PWTC lebih kurang pada jam 6.45 petang.

Wednesday, April 22, 2009

Cabaran Bermula...

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini genap seminggu aku menyandang jawatan baru. Terus-terang aku masih cuba membiasakan diri dan meyakinkan diri untuk melaksanakan amanah baru ini dengan sebaik mungkin. Benarlah kata orang, memang sukar menggenggam sebuah kejayaan tetapi mempertahankannya adalah jauh lebih sukar. Bahang cabaran semakin aku rasakan dalam menjalankan amanah ini. Perjalanan menjadi semakin sukar dan memerlukan semangat yang tinggi untuk meneruskan langkah. Jauh di sudut hati ini, kebimbangan tetap bersarang andai aku gagal melaksanakan amanah baru ini. Sungguh, tugasan baru ini menuntut aku agar lebih matang dan berani berdepan dengan segala cabaran mendatang. Aku perlu mengukuhkan pendirian dan keazaman dalam diri ini agar tidak patah semangat untuk meneruskan perjalanan yang insyaAllah masih jauh ini. Hanya doa kepada-Nya yang mampu aku panjatkan agar diteguhkan hati dan kental semangat untuk mendepani cabaran pada masa depan. Yang pasti, cabaran pasti mendatang tanpa isyarat yang kekadang jelas dan kekadang kabur. Doaku moga hati ini diberi ruang untuk mengenal isyarat mendatang agar mampu menyediakan diri sebaiknya.

Hari ini juga hari kelima menjalankan program dengan status baru. Aku akui penuh dengan pelbagai cerita suka duka, namun Alhamdulillah sehingga kini masih mampu aku hadapi dengan baik meski dalam hati hanya Dia yang tahu. Dengan sokongan teman dan rakan sekerja yang boleh dipercayai, aku menguatkan diri berdepan dengan pelbagai kerenah yang muncul sepanjang program berlangsung. Malah banyak yang telah aku pelajari daripada kejadian-kejadian tersebut. Paling terkesan, ini merupakan kali pertama aku menyampaikan taklimat kepada peserta program yang pada kebiasaannya akan disampaikan oleh ketua bahagian aku bertugas. Tanggungjawab diamanahkan cuba aku penuhi dengan sebaik mungkin meski kebimbangan sarat bersarang dalam diri ini. Namun aku percaya, dengan keyakinan yang telah diberi, aku akan mampu melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Beberapa tahun mengendalikan penganjuran program, satu perkara penting yang aku pelajari adalah SABAR. Benar, sabar itu sebahagian daripada iman. Sabar melayan pelbagai kerenah manusia akan mampu menundukkan kemarahan dan membuatkan orang lebih menghormati kita. Aku sentiasa percaya, 'Respect is earn, not gain'. Penghormatan tertinggi adalah penghormatan yang lahir tanpa paksaan sebaliknya datang dari hati yang ikhlas melahirkannya. Manakala penghormatan yang lahir hasil paksaan atau kerana kedudukan dan jawatan tidak akan berkekalan malah pudar saat kedudukan atau jawatan itu lucut dari diri seseorang. Tidak hairanlah, penghormatan kepada Junjungan Besar Muhammad Rasulullah berkekalan sehingga ke hari ini meski Baginda telah beribu-ribu tahun kembali kepada-Nya. Sesungguhnya penghormatan kepada Baginda adalah penghormatan yang lahir dari mata hati manusia yang tersentuh dengan akhlaq dan budi pekerti Baginda jua dan bukannya melalui paksaan. Doaku semoga aku juga mampu meneladani hikmah kepimpinan Baginda dalam melaksanakan amanah baru ini, Aamiin. Pada akhirnya, yang dikejar bukanlah pengiktirafan daripada manusia sebaliknya daripada-Nya jua kerana itulah bekalan yang akan dibawa mengadap-Nya kelak.

Aku sedar malah percaya ada suara-suara sumbang yang tidak senang dengan kedudukan yang aku miliki sekarang atas faktor-faktor yang mereka sendiri faham. Antara faktor utama ketidakpuasan hati atas kedudukan aku sekarang adalah faktor usia. Ramai malah rata-rata mengatakan bahawa aku dan rakan-rakan seangkatan masih belum layak atau terlalu muda untuk menjawat jawatan baru ini. Aku amat menyedari perkara ini tetapi tidak mahu melihatnya sebagai satu cercaan atau kutukan sebaliknya lebih menganggapnya sebagai satu cabaran kepada kami. Dalam erti kata lain, dalam hidup ini kita tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak. Akan sentiasa ada pihak yang menyokong dan menentang setiap perbuatan atau tindakan yang diambil. Justeru, sekiranya diri sendiri yakin dengan keputusan yang diambil, maka berpegang teguhlah dan berusaha keras untuk merealisasikannya serta membuktikan kepada pihak-pihak berkenaan bahawa tuduhan melulu mereka adalah salah belaka. InsyaAllah, kemenangan dan kebenaran akan berpihak kepada orang-orang yang sabar.

Kekadang aku merasa hairan juga dengan sikap sesetengah manusia yang suka menjaga tepi kain orang lain tanpa sebab musabab yang sahih. Untuk tidak membebankan fikiran, aku mengambil pendekatan tidak ambil peduli dengan kata-kata dan tindakan-tindakan yang boleh membunuh semangat ku meneruskan tugasan. Adalah lebih baik aku mencuba sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab diberi dengan sebaik mungkin dan terus melangkah dengan yakin. Fikirku, kalau dulu Rasulullah dulu berhenti berdakwah apabila mendapat tentangan, maka sudah pasti aku tidak dapat menikmati nikmat Islam, Iman dan Ihsan pada hari ini. Alangkan tugasan berdakwah yang begitu murni turut berdepan dengan penentangan dan ketidakpuasan hati pelbagai pihak, apatah lagi tugasan duniawi yang aku laksanakan ini. Sekiranya aku patah semangat dan mengaku kalah, maka bermakna aku akan membenarkan segala anggapan mereka terhadap aku selama ini. Justeru, akan kugagahkan jua untuk meneruskan langkah ini dengan teratur dan tenang dengan izin-Nya jua.

Semoga perjalananku ini akan sentiasa diiringi teman-teman yang ikhlas memperbetulkan langkahku seandainya tergelincir dan memandu aku ke jalan yang haq...

Sunday, April 19, 2009

Brunch Terlampau!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi ini aku dan adik-adik merempit dari Hotel Empress, Sepang ke Masjid Tengku Kelana Jaya Putra untuk menghadiri kelas bersiri anjuran Tabung Haji sebagai persiapan kami untuk menunaikan umrah pada bulan Jun nanti. Entah kenapa kami diserang rasa mengantuk yang amat dahsyat sewaktu mengikuti kuliah tersebut. Tambahan pula kami tidak sempat bersarapan di hotel, perut kami berkeroncong minta diisi.
Tamat kuliah, kami menuju ke Giant Kelana Jaya untuk mengisi perut. Oleh kerana matahari sudah tegak di atas kepala, kami bercadang untuk makan berat. Selepas melilau dan berfikir-fikir, kami memutuskan untuk brunch (breakfast + lunch) di Secret Recipe. Entah kenapa aku pun dah lama tak makan di Secret Recipe.
Dengan gembiranya, kami terus dengan sakannya membuat tempahan makanan.


Me and my lil bro, Adik

Serang Lasagna...Yeeha!

Suap AyahCheek jangan tak suap...

My sis, Kak Ya @ MakTeh

Thai Style Fried Rice
Akhirnya, saat ditunggu tiba. Bil dihantar kepada kami. Mak ai, semua buat muka-muka terkejut. Masa makan tak ingat, bila nak bayar, semua terkujat. Hahaha. Nak tak nak, bayar jugalah. Memang brunch terlampau! Sekali sekala....

Wow!


Friday, April 17, 2009

Sayang...SX4

Bismillahirrahmanirrahim...




Pujaan hatiku sekarang...biasalah benda baru kan :p

Wednesday, April 15, 2009

Subhanallah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi perjalanan ke pejabat aku lalui dengan tenang sambil diiringi lagu-lagu nasyid kumpulan Snada, sebuah kumpulan daripada negara Seberang. CD lagu Snada aku beli sewaktu mengikuti Angkatan 20 ESQ 165 di Hotel Summit pada tahun lepas. Lagu-lagu yang didendangkan sememangnya sarat dengan pesanan kepada aku yang sering teralpa dengan kenikmatan dunia. Tiba di persimpangan UPM, aku terpaksa membuntuti sebuah kereta yang memandu di lorong kanan dengan kelajuan yang amat perlahan. Tindakan pemandu tersebut menimbulkan rasa kurang senang di hati aku malah timbul sedikit rasa geram juga. Mendapati tiada kenderaan di lorong kiri, aku mengambil peluang memotong kenderaan tersebut dengan hati yang sebu. Aku terus memecut laju menuju ke Putrajaya sehinggalah apabila tiba di persimpangan UNITEN, aku terpaksa memperlahankan kenderaan kerana jalan tiba-tiba menjadi sesak. Hairan.

'Jarang jalan ini sesak pada waktu-waktu begini,' getus hatiku.

Aku meninjau-ninjau punca kesesakan tersebut.

Astaghfirullah! MasyaAllah! Bibir aku lancar menuturkan kalimah-kalimah mulia dan dengan tiba-tiba hati aku menjadi amat sebak. Di saat itu juga, lagu dendangan Snada bertajuk 'Jagalah Hati' berkumandang di dalam kereta aku.

Jagalah hati, jangan kau kotori
Jagalah hati, cahaya Ilahi
Jagalah hati, jangan kau nodai
Jagalah hati, lentera hidup ini

Di laluan bertentangan, dua buah kenderaan remuk teruk dan banyak kenderaan bergerak perlahan dan ada yang memberhentikan terus kenderaan mereka untuk melihat kejadian tersebut atau membantu mangsa yang terlibat. Kejadian nampak masih segar dan orang ramai masih dalam keadaan untuk membantu mangsa keluar daripada kenderaan yang remuk. Malah kelibat kehadiran polis atau trak tunda masih tidak kenampakan membuktikan bahawa kejadian tersebut masih baru sahaja berlaku.

Sesungguhnya aku insaf bahawa Allah Maha Besar. Dia lah Yang Maha Mengetahui segala apa jua yang nyata dan yang tersembunyi. Sesungguhnya kehadiran kenderaan yang bergerak dengan kelajuan perlahan sebentar tadi dan telah aku potong dengan sedikit rasa kurang senang sebenarnya telah menyelamatkan aku dari terjebak dalam kemalangan tersebut. Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui. Rasa kesal serta-merta bertandang di hatiku ini betapa mudahnya hati ini dipengaruhi oleh prasangka dan perasaan mazmumah kepada manusia lain walhal apa jua berlaku ada sebab musababnya jua. Memang benar, tindakan pemandu tersebut memperlahankan kenderaan dengan kelajuan yang tidak munasabah di lorong kanan telah menyelamatkan aku. Betapa kerdil dan dangkalnya pengetahuan makhluk ciptaanNya yang gemar memancarkan sifat mazmumah apabila berdepan kesukaran.

Tiba di pejabat, telefon pejabat dan telefon bimbit berdering-dering tanpa henti. Sungguh memenatkan apabila terpaksa menjawab pelbagai panggilan daripada pelanggan. Namun demi tugas, aku sabarkan diri melayan pelbagai kerenah manusia yang kadang-kadang boleh mencabar kesabaran diriku ini. What i give is what i will get.

Sunday, April 12, 2009

Pelik Sungguh!

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku tidak tahu sama ada apa yang aku rasai sekarang sama dengan apa yang dirasai oleh insan-insan yang pernah melalui apa yang aku lalui sekarang ini. Entah kenapa aku merasa pelik dengan perasaan ini. Dulunya aku boleh dikatakan beria-ia 'mengenakan' (kalau boleh digunakan) seseorang tetapi apabila apa yang diharapkan menjadi kenyataan, jauh di sudut hati aku merasa sedikit bersalah, kasihan dan perasaan itu bercampur aduk dengan sedikit rasa puas hati juga sebenarnya. Malah kini perasaan risau juga turut menyelubungi diri ini.

Hakikatnya, apa yang berlaku kepada seseorang itu bukanlah menjadi perancangan aku sedari awal lagi tetapi lebih kepada cadangan daripada pihak yang mempunyai autoriti. Aku bersetuju sebagai hasrat untuk menyatakan ketidakpuasan hati atas tindakan beliau selama ini yang pada pandangan kami tidak menyenangkan hati. Ini kerana bukan aku sahaja yang merasakan begitu tetapi majoriti insan-insan yang mengenali seseorang itu pernah melahirkan ketidakpuasan hati dengan tingkahlaku beliau. Rasanya tidak perlulah aku menceritakan lebih lanjut tentang apa yang seseorang itu lakukan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak kerana itu seolah-olah membuka aib beliau pula. Kepada yang mengenali seseorang itu, berhati-hatilah. Benarlah pesan orang-orang tua, 'rambut sama hitam, hati lain-lain'.

Kini, apabila semua yang diharapkan telah menjadi kenyataan, terselit sedikit rasa bersalah dan kasihan kepada seseorang itu. Namun jauh di sudut hati ini juga, aku merasakan bahawa apa yang berlaku adalah demi kebaikan semua pihak. Sememangnya hikmah hanya akan terlihat oleh pandangan yang terbuka mata hatinya. Bagi yang ingin melihat apa yang telah berlaku dari sudut yang negatif dan sempit, maka hanya sakit hati dan dendam berpanjangan yang akan diperoleh. Sebaliknya, bagi yang mampu melihat dengan mata hati, jiwa yang terbuka, pandangan positif, maka hikmah yang amat besar akan terserlah.

Justeru, aku memilih yang kedua. Semoga dengan pilihan yang dibuat, akan lebih memberi kekuatan dalam diri ini untuk meneruskan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan dan insyaAllah diterima dengan hati yang terbuka serta lapang dada. Kepada seseorang itu, aku mendoakan semoga dapat melihat hikmah di sebalik kejadian ini dan mempelajari sesuatu daripadanya serta dapat bermuhasabah akan sebab musabab kejadian yang telah berlaku. Yang pasti, setiap yang berlaku telah tercatat dalam Qada' dan Qadar Ilahi untuk dilalui dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketaqwaan kepadaNya jua, Rabbul-A'alamiin. Terus-terang juga aku katakan bahawa setelah apa yang berlaku, aku tidak menyimpan walau secuit dendam pun kepada seseorang itu kerana prinsip aku, 'past is past'. Masa hadapan harus ditempuhi dengan semangat baru dan hati yang bersih...Apa yang berlaku adalah demi kebaikan bersama (for good).

Semoga aku terus tabah melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin dan menerima sokongan padu daripada ahli kumpulan untuk meneruskan tanggungjawab baru. Tugas ini bukan kecil tetapi dengan jiwa yang besar, insyaAllah yang susah akan jadi mudah. TUHAN TELAH MENCIPTA KACANG TETAPI TUHAN TIDAK MENGOPEKNYA...

Wednesday, April 8, 2009

Lain Ulu Lain Parang...

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Jun 2006: Dahulu....

1 April 2009: Sekarang...


Lain Dahulu Lain Sekarang...Alhamdulillah... :)


Thursday, April 2, 2009

Bermula Sebuah Perjalanan

Bismillahirrahmanirrahim...

Kini, meskipun belum secara rasmi memulakan tugas baru, aku sudah mula merasakan bahangnya apabila ada spesies makhluk-makhluk perosak yang tidak boleh melihat orang lain lebih bagus, baik dan tinggi daripada mereka. Prinsip aku, 'what kills you, makes you stronger...'
Pun begitu, ucapan tahniah daripada insan-insan yang mengerti makna sebuah persahabatan amat aku hargai. Meski berbeza pangkat, pada akhirnya kami tetap manusia biasa. Saling memerlukan antara satu sama lain. Kehidupan ini umpama menaiki sebuah kapal. Setiap anggota ada peranan masing-masing untuk memastikan pelayaran selamat tiba ke destinasi dituju. Jika ada yang gagal memainkan peranan dengan baik dan sepatutnya, tidak mustahil haluan kapal akan beralih arah dan matlamat dituju tidak akan kesampaian. Malah Rasul UtusanNya juga pernah berpesan,
'Seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain umpama sebuah bangunan. Setiap satu saling melengkapkan yang lain.'
Perjalanan yang baru bermula selepas berakhir sebuah penantian, sebenarnya masih jauh untuk diharungi. Yang pasti jalan ini tidak akan menjadi mudah. Pasti penuh onak, ranjau dan durinya yang sudah tentu akan menyebabkan aku terluka, cedera dan tercabar. Doaku semoga diri ini dan teman-teman yang lain terus tabah dan kuat untuk memikul tanggungjawab yang telah diberikan. Tanggungjawab ini bukan kecil tapi dengan jiwa yang besar, insyaAllah yang sukar akan menjadi mudah.
Perjalanan ini akan tetap aku teruskan selagi terdaya kerana sedari awal lagi inilah jalan yang telah aku pilih. Pasti Dia Yang Maha Pencipta telah melorongkan aku ke jalan yang terbaik untuk dilalui kerana Dia lah Yang Maha Mengetahui baik yang nyata mahu pun yang ghaib.
Wassalam...

Wednesday, April 1, 2009

Berakhir Sebuah Penantian

Bismillahirrahmanirrahim...

31 Mac 2009:
Aku menghadirkan diri ke JPA untuk mendapatkan watikah pelantikan kenaikan pangkat. Alhamdulillah segala penat lelah mengharungi PAC dan melaksanakan tugas-tugas selama ini terasa berbaloi. Segunung kesyukuran kupanjatkan kepadaNya jua atas kurniaan nikmat yang tidak putus-putus meski diri ini bersalut dosa. Maha Besar Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Namun begitu, aku tidak dapat menidakkan bahawa jauh di sudut hati timbul secebis kebimbangan untuk memikul amanah dan tanggungjawab baru ini. Persoalan sudahkah aku bersedia untuk menghadapinya atau pun tidak sudah tidak lagi perlu dibahaskan kerana amanah sudah berada di depan mata. Mahu atau tidak mahu, suka atau tidak aku perlu positif dan yakin bahawa setiap perancanganNya pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Sesungguhnya segala apa yang aku terima dan lalui dalam hidup ini adalah ujian semata untuk menguji keteguhan dan kecekalan hati ini mempertahankan sebuah kebenaran. InsyaAllah, aku berjanji untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan dengan sebaik mungkin sebagai tanda syukur atas kurniaanNya yang tidak putus-putus dan berharga.

Keputusannya, aku masih ditempatkan di tempat yang sama seperti sekarang tetapi mungkin di seksyen yang berlainan. Prinsip aku, melakukan yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diberikan. Sememangnya aku tidak gemar melobi untuk mendapatkan sesuatu atau dalam hal ini penempatanku kelak di bahagian yang sama. Aku lebih suka meyakinkan diri bahawa semua yang telah, sedang dan akan berlaku adalah ketentuan daripadaNya yang terbaik buat diriku. Yang pasti, 1001 hikmah pasti terselit di sebaliknya. Allah Maha Pencipta Lebih Mengetahui perkara yang terbaik buat diriku. Syukur prinsip itu yang menjadi pegangan aku selama ini tidak pernah mengecewakan aku dalam mengharungi hidup ini.

1 April 2009:
Jam 8.30 pagi, selesai bersarapan, aku dan seorang rakan seangkatan mengambil peluang untuk melaporkan diri secara rasmi kepada ketua di bahagian aku sekarang. Alhamdulillah aku dikhabarkan supaya kekal di seksyen sekarang dan ketua sedia ada ditempatkan di seksyen lain. Aku menerima amanah yang diberikan dengan ketenangan dan menganggap bahawa penerimaan ketua aku itu sebagai satu kepercayaan untuk menjalankan tugas yang telah diberikan. Manakala rakan ku itu masih perlu menunggu pengesahan dalam sedikit masa lagi. Namun begitu, makluman penempatan aku hanya dimaklumkan secara lisan sahaja. Kebimbangan masih bersarang dalam diri aku selagi masih belum menerima surat penempatan rasmi.

Benarlah pesan orang-orang tua,'rambut sama hitam, hati lain-lain'. Aku benar-benar terkesan tadi apabila mendapat khabar bahawa penempatan aku itu tidak disenangi oleh seseorang dan cuba untuk mengekalkan dirinya di tempat tersebut. Sedari awal mendapat khabar akan menerima kenaikan pangkat lagi, aku sudah menetapkan dalam diri yang aku tidak akan memohon atau merayu untuk ditempatkan di sesebuah seksyen atau bahagian. Seperti yang telah aku nyatakan tadi, aku suka untuk memegang kepada prinsip sekiranya aku dikekalkan, itu bermakna aku masih boleh dipercayai dan diharapkan untuk melaksanakan tanggungjawab sedia ada. Sebaliknya jika aku ditempatkan di seksyen/bahagian lain, aku menganggap bahawa itu adalah satu peluang untuk mempelajari ilmu baru.

Pada sebelah petang aku dikehendaki untuk hadir dalam majlis pra-penempatan kakitangan baru seramai 78 orang. Meskipun timbul sedikit kekecohan dan suasana kelam kabut atas beberapa kesilapan teknikal, kecekapan dan kepantasan pegawai bertanggungjawab memperbetulkan kesilapan berjaya menyelamatkan keadaan. Namun begitu, aku naik meluat dan menyampah melihat gelagat manusia yang busuk hati dan dengki dengan kejayaan orang lain. Lebih menyakitkan hati apabila manusia-manusia spesies begini yang hanya pandai mengambil kesempatan atas penat lelah orang lain dan membuat kritikan melulu yang menusuk kalbu tanpa usul periksa.

Meskipun aku tidak menafikan yang aku merasa amat kurang senang dengan tindak-tanduk spesies sebegitu, namun kekecewaan aku terubat dengan kehadiran teman-teman yang memahami dan sanggup sama-sama bersusah payah menjalankan tugas.

Aku berdoa semoga anugerah terbaru ini memberi aku lebih kekuatan untuk melaksanakan amanah yang diberikan dan menjadikan aku lebih dekat kepadaNya jua. Semoga sentiasa akan terus wujud teman-teman yang sudi menegur dan memberitahu kesilapan yang berlaku sepanjang kembara yang masih jauh ini. Kerisauan tetap bersarang kerana "the higher you go, the lonelier you become..."