Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, February 26, 2009

Macam-macam...

Sudah beberapa hari aku tidak berpeluang untuk mengemaskini blogku ini. Rasa ralat kerana gagal mencuri masa untuk menjenguk dan memuatkan beberapa perkara yang berlegar-legar dalam benakku ini. Sejak aku berazam untuk kembali aktif menulis, adakalanya idea datang mencurah-curah tetapi sayang sungguh aku tidak berkesempatan untuk duduk dan menitipkannya ke dalam blogku ini. Sememangnya menjadi hasrat aku untuk kembali menukilkan kerana suatu masa dulu, bakat ini pernah menaikkan nama aku sehingga ke negeri Johor. Entah kenapa, sewaktu aku di universiti (Taman Ilmu dan Budi), aku gagal meneruskan minat dan bakat yang aku miliki itu.

Aku sedar bakat jika tidak diasah, tidak mustahil akan hilang begitu sahaja. Practice makes Perfect. Sedangkan belakang parang jika diasah lagikan menjadi tajam. Inikan pula aku insan yang telah diciptakan Allah dengan segala kesempurnaan. Mustahil aku tidak mempunyai potensi yang hebat sedangkan Yang Maha Pencipta telah meletakkan tahap piawai yang tinggi kepada manusia sejak sebelum penciptaan Nabi Adam lagi. Betapa aku ingin berkongsi akan kejanggalan yang aku rasai sewaktu diarahkan menjalankan tugas di kampung halaman sendiri, Terengganu. Ada sedikit rasa malu muncul dalam diriku apabila melihat kemajuan yang melanda Terengganu terutama Bandaraya Kuala Terengganu. Betapa banyak perubahan yang telah berlaku, ternyata amat jauh berbeza semasa aku menuntut ilmu di salah sebuah sekolah berasrama di situ. Deretan kedai-kedai buruk telah berganti dengan bangunan-bangunan malah Hotel Felda Residence turut gah berdiri di tepi sungai Terengganu. Aku terasa malu kerana sebagai anak kelahiran Terengganu, aku jahil dengan perubahan dan kemajuan yang telah berlaku. Aku terasa terasing di bumi sendiri.

Pun begitu, seketika di Kuala Terengganu mengembalikan nostalgia lalu sewaktu aku berusia 13 tahun iaitu kira-kira hampir 17 tahun yang lalu. Dalam usia yang begitu muda, aku merantau mencari seteguk ilmu. Meninggalkan zaman kanak-kanak yang penuh suka-duka untuk menempuh alam baru yang menyebabkan aku berada di tempat aku sekarang. Bila dikenang-kenang kembali, kalau lah dulu aku tidak dipaksa oleh Abah dan Ummi untuk menyambung pelajaran di sekolah berasrama, aku mungkin tidak menikmati apa yang aku miliki sekarang. Keadaan mungkin akan jauh lebih baik atau sebaliknya. Aku bersyukur kerana perjalanan hidup di asrama banyak mendewasakan aku dalam mengharungi hidup ini. Kehidupan di asrama membuatkan aku lebih menghargai erti kekeluargaan dan persaudaraan. Aku semaksima mungkin cuba untuk menikmati waktu-waktu yang terluang terutama pada masa cuti sekolah, beraktiviti bersama keluarga. Semuanya sungguh indah dan manis untuk dikenang...

Baru-baru ini juga aku Alhamdulillah aku telah berjaya melaksanakan hasrat yang sudah lama aku pendamkan iaitu membayar zakat pendapatan. Tujuan aku bukanlah untuk bermegah-megah dengan perbuatan aku itu, jauh sekali riak (nauzubillah) tetapi aku ingin sekali berkongsi rasa dan nikmat yang aku tempuhi sewaktu melangsaikan niatku itu. Entah kenapa, hati aku terasa sebak di dada sewaktu melafazkan niat pembayaran zakat tempoh hari. Terasa ringan beban yang ditanggung dan kolam air mata bergenang di pelupuk mataku.

Fikirku, 'Mungkin inilah hikmah dan nikmat Allah mewajibkan pembayaran zakat ke atas mereka yang berkemampuan.'

Petang itu, aku tinggalkan Pejabat Zakat Putrajaya dengan tekad bahawa aku akan kembali lagi ke situ untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada diriku. Aku ingin sekali mewarwarkan kepada adik-adikku agar menunaikan tanggungjawab membayar zakat pendapatan sedari awal memasuki alam pekerjaan.

Kadang-kadang aku terfikir, mungkinkah keadaan rezeki yang tidak cukup-cukup berpunca kerana gagal menunaikannya? Segalanya berkemungkinan. Kepada yang sedari awal telah menyedari hakikat ini, aku ucapkan tahniah dan ingin dikatakan bahawa anda hebat tetapi kepada yang belum menyedarinya (seperti aku sebelum ini), masih belum terlambat untuk membuka lembaran baru. Meski berat dan payah jalannya, insyaAllah berkat keazaman dan kesungguhan, akan dipermudahkanNya. Sesungguhnya jalan menujuNya memang berliku tetapi hati yang ikhlas akan meluruskan jalan itu. InsyaAllah...

Semalam aku dikejutkan dengan satu panggilan daripada seseorang yang aku kenali tetapi sudah agak lama tidak berhubung. Malah pernah beberapa kali bersua di pejabat selepas dia ditukarkan dari satu jabatan lain ke tempat sekarang. Sebelum ini memang aku sudah terdengar pelbagai khabar angin mengenai kenaikan pangkat aku tapi konsep aku selama ini tidak suka bertindak berdasarkan khabar angin semata. Aku lebih gemar mencari kepastian. Pada aku, khabar angin mampu mencetuskan pelbagai kontroversi. Ada yang benar malah banyak yang sebaliknya. Namun begitu, panggilan yang aku terima semalam sedikit mengugat pegangan dan kepercayaan aku itu. Aku jadi resah. Pelbagai kemungkinan bermain di benak. Sesak nafas seketika. Aku cuba mengabaikannya tetapi perkara itu tetap datang. Akhirnya, aku insaf. Benarlah, setiap kejadian pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Tindakan beliau menghubungi aku dan menawarkan sesuatu yang kurang aku gemari malah lebih kepada tindakan untuk melepaskan diri beliau sendiri, membuatkan aku mengambil langkah berjaga-jaga. Jika sebelum ini lebih bersikap tunggu dan lihat serta pasrah dengan apa jua yang mendatang, kini aku proaktif. Selangkah di hadapan, memetik moto INTAN. Aku perlu berbuat sesuatu untuk menghentikan aktiviti 'penyingkiran' ini...

Sungguh! Minggu ini penuh dengan macam-macam...

Thursday, February 19, 2009

Yang Mana Lebih Utama?

Baring-baring. Aku belek-belek majalah. Terjumpa satu artikel yang ringkas tapi penuh makna sebagai bekal dalam perjalanan hidup di muka bumiNya ini. Berikut artikel yang aku baca untuk dikongsi manfaatnya (aku taip sendiri ni tau)...

........................................................................................................................

'Semakin sukar mencari pemimpin yang boleh dipercayai. Padahal kalau ditanyakan apakah syarat utama untuk menjadi seorang pemimpin? Jawabnya ialah kepercayaan. Itulah cabarannya. Terlalu sukar untuk mempercayai seseorang pada masa kini.

Di Amerika, dengan nada sindiran, ada yang mengungkapkan:

We thought we could trust the military,
but then came Vietnam;
We thought we could trust the politicians,
but then came Watergate;
We thought we could trust the engineers,
but then came the Challenger Disaster...

Tanpa kepercayaan, kita hilang segala-galanya. Kepercayaan adalah faktor paling utama yang menentukan kejayaan satu-satu hubungan, sama ada yang berbentuk personal mahupun profesional. Apabila ada kepercayaan, maka prasangka, cemburu, marah, hasad dengki dan lain-lain sifat mazmumah yang boleh menggugat perhubungan, akan dapat diatasi.

Bagaimana membina kepercayaan? Jawabnya, cakap dan sikap kita mesti selari. Itulah integriti - sifat amanah, jujur dan ikhlas yang dipraktikkan dalam apa jua keadaan dan masa. Itulah asas untuk orang mempercayai kita atau sebaliknya. Pengikut mesti percayakan pemimpinnya. Bila orang mempercayai kita, pengaruh kita meningkat. Apabila pengaruh kita meningkat, kita berjaya dalam memimpin.

Ingat, kepimpinan adalah pengaruh. Inilah rahsia kejayaan kepimpinan Rasulullah SAW. Keunggulan kepimpinan Baginda diawali oleh kepercayaan masyarakatnya sehingga Baginda digelar al-Amin sebelum kerasulannya dan diperkukuhkan lagi dengan sifat Siddiq (benar) dan amanah selepas itu.

Kata bijak pandai, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Kita selalunya merasa bertuah apabila dicintai - sama ada oleh isteri, ibu bapa atau sahabat-sahabat. Tetapi percayalah, jika kurang dipercayai, lama kelamaan cinta orang kepada kita akan terhakis. Lihatlah betapa banyaknya hubungan yang terputus antara ibu bapa dengan anak, suami dengan isteri, pemimpin dengan pengikut, justeru hilangnya kepercayaan.

Bila hilang kepercayaan, rasa cinta, hormat, kasih dan taat akan musnah. Sampai bila pun manusia lebih mempercayai matanya berbanding telinga. Maksudnya, apa yang dilihat (perbuatan) lebih berkesan untuk meraih kepercayaan berbanding apa yang didengar (percakapan) - action speaks louder than words.

Jadi apabila kita merasakan orang bawahan (subordinate) kita sama ada isteri, anak, pekerja mahu pun pengikut, semakin sukar memberi ketaatan, kerjasama dan kesetiaan, itu adalah petanda kita sudah hilang pengaruh. Hilang pengaruh, kerana hilangnya kepercayaan dan hilangnya kepercayaan bila tidak ada integriti. Tegasnya, kita tidak boleh memimpin hanya berbekalkan cinta. Kepercayaan lebih utama."

......................................................................................................................

Maka, yang mana lebih utama? Dipercayai atau dicintai? Sama-sama kita renung...

"Setiap dari kita adalah pemimpin, dan setiap dari kita akan ditanya tentang kepimpinan kita."
(Hadith)

Meski pun kita bukan Perdana Menteri, Menteri, Ketua Setiausaha, CEO atau yang seangkatan dengannya, sesungguhnya kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri.

Wednesday, February 18, 2009

Hujah

Entah kenapa kebelakangan ini aku agak sukar untuk melelapkan mata meski pun jam hampir melewati 1.00 pagi. Puas aku cuba tapi mata ini begitu 'keras'. Akhirnya aku bangun dan kemaskini blog.

Tadi aku sempat mengikuti perbincangan hangat di antara tiga orang calon Ketua Pemuda UMNO. Aku kira satu rancangan yang menarik untuk ditonton, melihat ketiga-tiga calon cuba mempromosi diri untuk pemilihan nanti.

Forum dipengerusikan oleh Prof. Dr. Muhammad Agus yang sememangnya terkenal dengan kepekatan slanga Kelantan nya dan ke'laser'an soalan-soalan yang dilontarkan. Terus-terang sewaktu mula-mula hujah disiarkan di TV9, aku kurang gemar dengan cara beliau mengendalikan rancangan tetapi lama-kelamaan aku perasan, sikap beliau yang straight to the point dan kadang-kadang menjengkelkan itulah yang menghangatkan suasana.

Panel pertama adalah Datuk Seri Dr. Khir bin Toyo. Sepanjang pengamatan aku, beliau sememangnya mempunyai keupayaan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan terang dan jelas. Malah boleh dikatakan, meyakinkan.

Panel kedua adalah YB Khairy Jamaluddin. Entah kenapa kurang gemar dengan gaya, aksi dan riak muka beliau sewaktu menjawab soalan-soalan yang diutarakan. Meskipun aku akui jawapan-jawapan beliau agak bernas, tetapi riak wajah beliau tidak menggambarkan keikhlasan dalam melafazkan kata-kata tersebut. Kalau diikutkan antara ketiga-tiga tokoh tersebut, beliau merupakan calon yang paling muda tetapi karakter beliau tidak menggambarkan demikian. Aku perasan beliau merasakan seolah-olah dia lah calon yang paling layak untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO.

Soalan laser kepada beliau,"Bagaimanakah YB ingin menangkis persepsi yang mengatakan YB adalah liabiliti kepada UMNO dan turut menyumbang kepada kekalahan BN dalam pilihanraya baru-baru ini?" (Cayalah Prof. Agus)!

Panel ketiga, Datuk Mukhriz Mahathir. Rasanya tidak perlu diulas lanjut mengenai panel ini. Sudah pastilah beliau sinonim dengan nama ayahanda beliau yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun sebagai PM iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada aku, beliau nampak seorang yang tenang, tidak mudah melatah dan mampu menjawab soalan-soalan dengan baik meski pun kurang menonjol berbanding Datuk Seri Khir Toyo.

Beliau juga turut ditanya tentang hubung kait beliau sebagai anak mantan PM dan pengaruh tersebut terhadap pencalonan sebagai Ketua Pemuda UMNO. Pada aku, soalan sebegitu sememangnya sukar untuk dijawab dan boleh menimbulkan pelbagai spekulasi kepada audiens yang mendengar.

Secara keseluruhannya, aku berpendapat forum-forum sebegini perlu diadakan dengan lebih banyak agar rakyat mampu memahami dan menilai potensi dan kualiti sebenar para pemimpin yang telah dipilih. Malah forum yang turut menggabungkan ahli panel baik dari pihak Kerajaan mahu pun pembangkang, amat dialu-alukan.

Tuesday, February 17, 2009

Benarlah...

Benarlah bagai dipesan, usaha tangga kejayaan. Alhamdulillah aku telah berjaya menemui titik penyelesaian kepada masalah yang aku hadapi semalam. Berjaya juga aku merubah penampilan blog aku. Lihatlah rupaku yang baru. Hehe...

Ada manfaat juga ilmu programming yang aku pelajari sewaktu di universiti dulu. Sekurang-kurangnya dapat membantu aku menyelesaikan masalah tadi. Alhamdulillah...

Inilah Bahananya...

Benarlah kata bijak pandai, 'Knowledge is Power'. Ilmu itu kuasa. Tanpa ilmu, semua jadi tunggang-langgang, porak peranda. Itulah yang telah menimpa aku. Hajat di hati ingin menambahbaik persembahan blog, tapi tanpa ilmu yang cukup, natijahnya semua ikon jadi tunggang-langgang. Gajet semua hilang. Gambar-gambar pun sama hilang. Sabar jela. Makanya 2,3 hari akan datang ini aku akan tidak duduk diam selagi kesilapan tidak diperbetulkan. Aduhai ck...

Pun begitu, aku belajar banyak perkara daripada kesilapan ini. Bak kata Tun Daim,"People make mistakes. Learn from it and don't repeat them." Hehe, sejak-sejak buat review pasal buku Tun Daim, asyik nak rujuk situ je ye. Rasulullah pun dah pesan sebenarnya,"Mukmin tidak akan jatuh dalam lubang yang sama 2 kali." Renung-renungkan dan selamat beramal...

Monday, February 16, 2009

Tergeliat Lidah...

Pagi ini sampai je pejabat, punch-in terus capai jaket dan buku nota, bergegas ke bilik mesyuarat. Mesyuarat bahagian dijadual akan diadakan pada pagi ini bertempat di blok sebelah. Yang kelakar tu, sempat juga tersesat sekejap dalam perjalanan ke sana. Sadis...

Mesyuarat macam biasa, bla bla, pot pet pot pet berlangsung sampai jam 11.30 pagi. Saat yang dinantikan tiba. Ya, hari ini giliran aku untuk buat Book Review. Pening juga lah kepala aku memikirkan jenis buku yang nak diulas. Akhirnya, aku pilih buku bertajuk 'Daim: The Man Behind The Enigma'. Autobiografi memang merupakan salah satu bahan bacaan yang aku minat. Ini kerana aku percaya banyak ilmu yang boleh ditimba dari pengalaman tokoh-tokoh terkenal yang telah banyak menyumbangkan jasa.

Apa yang menimbulkan sedikit rasa ralat adalah apabila aku tidak bersedia sewaktu diarahkan untuk menyampaikan book review tersebut. Aku bercadang untuk menyampaikan review tersebut pada penghujung mesyuarat. Maka tergelabah juga lah aku tadi walaupun aku cuba untuk mengawal dengan sebaik mungkin. Kalau lah ada panel yang menilai pada waktu itu, aku yakin mesti mendapat kutukan hebat.

Apa pun, aku anggap ini adalah salah satu proses pembelajaran. Belajar dari kesilapan...

Sunday, February 15, 2009

Ape Ke Halnya?

Ape ke halnya aku ni hari ni? Dahla kena masuk pejabat pada hari Ahad. Pas masuk dan kunci bilik pula tertinggal di rumah. Mujurlah ada rakan sepejabat yang turut menghadirkan diri ke pejabat. Dapatlah aku menumpang masuk. Tapi malang juga kerana terlupa bawa kunci bilik, maka terpaksalah menumpang kasih menggunakan komputer rakan sepejabat yang tidak hadir. Huhu...
Mujur juga tangan ini gatal nak membawa Thumbdrive kesayangan yang berisi muatan segala bagai kerja pejabat. Kalau tidak, sia-sialah kedatangan aku ke pejabat pada hari ini.

Thursday, February 12, 2009

Stay in Control...

Hari Selasa dan Rabu, aku dan rakan sejawatan ditugaskan untuk menyampaikan taklimat kepada kakitangan di jabatan untuk menerangkan satu perkara baru yang perlu dilaksanakan dengan sesegera mungkin. Alhamdulillah taklimat tersebut berjalan dengan lancar dan kami berjaya mengendalikannya dengan baik meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu ditambahbaik pada masa akan datang.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang aku pelajari dalam tempoh tersebut. Antaranya, aku menyedari betapa pentingnya berada dalam keadaan terkawal dan tenang dalam mengendalikan sebarang isu yang timbul. Sekiranya aku memberi reaksi yang sama 'panas' atau dalam erti kata lain, melenting dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh para peserta taklimat, sudah pasti suasana akan menjadi lebih hangat dan matlamat sebenar taklimat tersebut diadakan gagal dicapai.

Di samping itu juga, aku turut belajar mengenal sikap manusia. Mengenal tingkah laku dan kaedah terbaik untuk menanganinya. Kadang-kadang rimas, bosan dengan tingkah sesetengah orang tetapi keupayaan untuk menanganinya dengan cara yang bijaksana amat penting. Menanganinya dalam erti kata orang yang ditegur sanggup mendengar dan menerima pendapat yang diberikan serta berlapang dada dengan kesilapan sendiri. Pepatah Melayu pun ada mengingatkan, 'ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.' Aku fikir inilah pengalaman yang mendewasa dan mematangkan aku untuk menghadapi hari-hari muka. Aku akui pengalaman hidup aku masih cetek tetapi itu tidak bermakna aku bodoh dalam mendepani pelbagai ragam dan kerenah manusia. Alhamdulillah aku masih dikurniakan akal yang waras untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Sekiranya aku tersilap, aku berlapang dada dan cuba memperbaiki kelemahan tersebut.

Kini seiring dengan peningkatan usia, aku lebih positif dalam menghadapi kehidupan ini. Sesungguhnya aku sedar dan insaf bahawa kejayaan bukan satu matlamat tapi satu perjalanan...

Tuesday, February 10, 2009

Kembara 2P - Thaipusam oh Thaipusam!

Cuti Thaipusam baru-baru ini aku dan adik-adikku berkelana, mencari pengalaman dan pengajaran dalam mengenal erti kehidupan. Kali ini kelana kami melibatkan 2P, Pahang dan Perak. Perjalanan sememangnya memenatkan tetapi memberi 1001 hikmah untuk direnungi. InsyaAllah...

8 Februari 2009 (Ahad):

Adam, anak saudaraku bukan main liat untuk bangun pagi. Puas dipujuk, dia enggan membuka mata. Akhirnya, adikku (Pak Su) mengangkat dan terus memandikan Adam. Mujurlah Adam tak meragam sangat. Natijahnya, perjalanan yang dirancang bermula pada jam 8.00 pagi juga terpaksa dianjak sedikit.

Susahnya Adam nak buka mata...

Kembara bermula. Selesai bersarapan, kami bergerak dari KL jam 9.00 pagi menuju ke destinasi pertama iaitu Taman Air Panas, Sg Klah yang terletak di Sungkai, Perak. Perjalanan melalui jalan Sungai Buloh-Batang Berjuntai-Tanjung Malim memakan masa hampir 3 jam. Cuaca panas terik tetapi kami redah juga alang-alang sudah sampai di situ. Tiket masuk yang dikenakan bagi dewasa adalah RM10.00 dan RM8.00 bagi kanak-kanak. Satu kadar yang aku rasa agak mahal jika dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan.





Aku mendapati taman ini lebih menfokuskan kepada aktiviti kekeluargaan yang melibatkan permainan air. Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi tanpa melibatkan aktiviti mandi-manda seperti kami, taman ini bukanlah tempat yang sesuai.

Kemudahan di sini kebanyakannya adalah buatan manusia (man-made) dan bukannya rekabentuk semulajadi. Keadaan ini bagi aku kurang menarik jika dilihat kepada kedudukan taman tersebut yang berada dalam kawasan kampung dan agak pedalaman. Aku menjangkakan kawasan tersebut lebih semulajadi (natural) dan tidak banyak unsur-unsur penambahan dibuat. Nampaknya jangkaan aku meleset.

Di samping itu, terdapat juga beberapa perkara yang perlu ditambahbaik untuk memperbaiki mutu perkhidmatan tempat tersebut. Antaranya, bekalan atau edaran risalah penunjuk arah kepada pengunjung bersesuaian dengan kadar tiket yang dikenakan untuk memudahkan perjalanan pengunjung sepanjang berada dalam taman tersebut.

Layanan kakitangan di taman tersebut juga rasanya perlu lebih mesra pengunjung dan menampakkan kesungguhan untuk membantu pengunjung untuk datang sekali lagi pada masa akan datang. Mereka sepatutnya terlebih dahulu menyalurkan maklumat yang perlu tanpa perlu menunggu pertanyaan daripada pengunjung kerana kadang-kadang pengunjung sendiri tidak tahu apa yang ingin ditanya. Contohnya, kami tidak dimaklumkan oleh pengawal yang kami boleh membawa kenderaan masuk ke dalam kawasan taman dan beberapa tempat letak kereta disediakan di dalam kawasan taman dan bukannya hanya di luar kawasan taman.

Mungkin bagi pengunjung yang muda remaja seperti kami :) tidak menjadi masalah tetapi bagi yang membawa anak kecil atau ibu bapa yang berusia, ini sudah pasti akan menyukarkan mereka. Apapun, kami seronok di situ bersiar-siar walaupun peluh mencurah-curah. Rasanya, kolesterol aku memang banyak susut...hehe

Selesai ronda-ronda di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

DESTINASI 2: CAMERON HIGHLANDS

Kami tiba di sini lebih kurang jam 3.00 petang. Perut pun sudah berkeroncong minta diisi. Kami ambil keputusan untuk makan tengah hari di gerai makan terletak di Tanah Rata. Selesai makan tengah hari dan solat Jama', tumpuan utama sudah tentulah ke Taman Strawberry.

Sebelum ini aku pernah datang ke Cameron Highlands bersama keluarga dan kawan-kawan tetapi aku tidak pernah mengambil peluang untuk memetik sendiri buah Strawberry daripada pokoknya. Kali ini berbeza, aku dan adik-adik mengambil peluang untuk memetik sendiri buah Strawberry bersama Adam. Sungguh teruja Adam mempelajari perkara baru. Patutlah kita disuruh menjadi seperti kanak-kanak sekiranya ingin mempelajari sesuatu perkara baru.











Selesai memborong buah Strawberry dan beberapa barangan lain, kami menuruni Cameron Highlands melalui jalan Simpang Pulai dan terus menuju ke Ipoh. Malang tidak berbau. Di Ipoh, kami terperangkap dalam kesesakan jalan raya selama 1 jam. Punca? Sambutan Thaipusam dan perarakan Kavadi. Semua jalan-jalan utama ditutup dan limpahan trafik membanjiri jalan yang sama. Ditambah pula dengan sikap para pemandu yang tidak bertimbang rasa dan meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan-kenderaan lain.

Kadang-kadang aku hairan dengan sikap sesetengah pemandu di Malaysia. Sungguh mementingkan diri sendiri. Bayangkan ada beberapa pemandu yang sanggup meletakkan kenderaan mereka di laluan ambulans yang terletak betul-betul berhadapan pintu masuk utama Hospital Ipoh. Ditakdirkan ada berlaku kecemasan dan perlu rawatan segera...Hmmmm

Mujurlah bukan aku yang memandu pada masa itu tetapi Pak Su. Memang Pak Su tension dengan kesesakan tersebut.



Sebaik berjaya meloloskan diri daripada kesesakan tersebut, Pak Su terus memecut memasuki lebuh raya menuju ke Gerik. Kami bercadang untuk bermalam di rumah Mak Ngah yang terletak di Kg Tawai, Gerik.

9 Februari 2009 (Isnin):

Selesai bersarapan, kami memulakan perjalanan pulang ke KL. Dalam perjalanan, kami bercadang untuk singgah di tempat-tempat menarik. Tidak dilupakan, misi utama kami, makan mee banjir udang di Kuala Sepetang.

DESTINASI 3: MUZIUM ARKEOLOGI LENGGONG

Terletak kira-kira 50km daripada bandar Gerik dan berada dalam kawasan Kota Tampan. Antara petempatan awal yang wujud di Tanah Melayu. Banyak maklumat yang kami perolehi malah berpeluang melihat rangka sebenar Perak Man.

Satu tempat yang menarik tetapi tiada kelibat pengunjung lain bersama kami pada waktu itu. Kami dapati kunjungan ke tempat tersebut lebih kepada kunjungan berkumpulan dan bukan kunjungan secara individu seperti kami.

Adam paling teruja kerana berpeluang melihat tengkorak (kengtorak katanya) secara live.






DESTINASI 4: KUALA SEPETANG

Dari Lenggong, kami terus menuju ke Kuala Sepetang untuk menikmati mee banjir udang. Hajat di hati ingin menikmati mee banjir udang Mak Teh, bahana tergoda siaran rancangan dokumentari TV3, tetapi hajat tersebut terpaksa dipendam apabila melihat deretan kereta dan manusia yang mengerumuni kedai Mak Teh. Mungkin semua orang berfikir seperti kami.

Akhirnya, kami beralih arah ke sebuah gerai berdekatan yang turut menghidangkan mee banjir udang. Memang menyelerakan dan servis pun cepat. Harga yang dikenakan pun pada pendapat kami agak berpatutan iaitu RM7.00 bagi udang saiz biasa dan RM9.00 bagi saiz istimewa. Kami memilih hidangan saiz istimewa alang-alang datang dari jauh untuk makan mee banjir udang.




DESTINASI 5: HUTAN PAYA LAUT MATANG

Kebetulan tidak jauh daripada gerai tersebut, terdapat sebuah kawasan hutan paya laut iaitu sebuah kawasan tepian laut yang dipeunhi pokok paya bakau. Kami ambil peluang untuk singgah sebentar dan meninjau kemudahan yang terdapat di situ.

Kami dapati tempat tersebut agak menarik dan menawarkan beberapa kemudahan seperti khidmat bot dan chalet tetapi kami juga mendapati kawasan tersebut tidak diselenggara dengan baik. Kebetulan pula pejabat informasi tidak beroperasi pada hari tersebut. Jika tidak, sudah pasti aku akan mengambil peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang tempat tersebut.



DESTINASI 6: TAMAN TASIK TAIPING

Destinasi terakhir kami sebelum bertolak balik ke KL adalah Taman Tasik Taiping. Kami ambil peluang untuk menaiki Swan Boat walaupun kadar yang dikenakan agak tinggi berbanding dengan permainan yang sama di taman tasik yang lain.

Seperti biasa, Adam orang yang paling teruja...:)



Alhamdulillah, kembara kami berakhir pada jam 3.30 petang dan kami terus bertolak balik ke KL melalui lebuh raya. Kami sempat solat jama' di Batang Kali dan sekali berdepan kesesakan jalan raya yang sangat teruk semasa tiba di Selayang dan Batu Caves. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa tidak sampai setengah jam telah menyebabkan kami terperangkap selama 1 jam setengah. Sungguh memenatkan...

"Musafir dan safar itu penuh dengan ujian dan dugaan, keletihan dan kelesuan, namun jangan sampai dilupakan pengalaman dan pengajaran"
(Anonymous)

Thursday, February 5, 2009

Apakah Yang Telah Aku Lakukan?

Hmmm...kadang-kadang aku diam merenung apakah yang telah aku lakukan kebelakangan ini? Apakah kebaikan dan manfaat yang telah aku perolehi?

Untuk itu, aku cuba menyorot kembali perjalanan hidupku kebelakangan ini...

MESYUARAT MAJLIS TANAH NEGARA (AJK PROTOKOL)

23 Disember 2008, aku ditugaskan sebagai salah seorang AJK untuk menjayakan Mesyuarat MTN yang telah dirancang oleh salah satu bahagian di tempat aku bekerja. Mulanya aku ragu-ragu untuk menerima tugasan yang telah diberikan tetapi demi seorang kawan, aku terima tawaran itu. Moga-moga aku dipermudahkan dalam menjalankan tugas-tugasku yang lain.

Kali ini tugas aku lebih mencabar kerana sebelum ini aku bertindak sebagai pengikut sahaja tetapi pada kali ini aku dilantik sebagai salah seorang ketua. Huh! Berat sungguh tetapi aku terima dengan hati terbuka dan positif dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Meski walau dalam hati hanya Allah yang tahu gelodaknya. Pun begitu, mujurlah aku pernah beberapa kali terlibat dalam program ini malah pernah berdepan insiden-insiden yang memalukan. Aku anggap itu semua sebagai salah satu proses pembelajaran dan belajar daripada kesilapan tersebut. Sebagai manusia biasa dan mentah dalam urusan protokol ini, sudah tentulah banyak kelemahan yang perlu aku perbaiki.

Tugasan aku sebenarnya sudah bermula sehari lebih awal iaitu pada 22 Disember 2008 bagi sesi raptai atau lebih dikenali sebagai rehearsal. Aku diberi tanggungjawab mengendalikan susun atur kedudukan ahli mesyuarat pada kali ini. Seperti biasa, mesyuarat akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y. Bhg. Datuk Seri Najib Tun Razak. Mujurlah aku dibantu oleh beberapa orang kakitangan yang pernah terlibat juga dengan program yang sama sebelum ini dan ditambah dengan beberapa orang kakitangan yang baru pertama kali dilantik menjadi AJK. Tidak dilupakan bantuan para pegawai daripada Bahagian Istiadat, JPM yang benar-benar aku hargai.

Bagi aku, peluang menjadi AJK bagi program ini ada juga manfaatnya. Pada masa inilah aku berpeluang melihat gelagat para pemimpin yang terdiri daripada Menteri Besar bagi setiap negeri yang hadir semasa mesyuarat tersebut.

Me with part of the team...:)

TPM is coming...

The Team...

PERUBAHAN WAJAH "THE RED"

Perubahan yang aku maksudkan bukanlah perubahan yang ketara cuma pada tayar dan stereng sahaja. Entah kenapa sejak melihat kereta Persona adik aku bertukar ke sport rim, aku teringin untuk menukar tayar The Red aku dengan sport rim juga. Maka berbekal semangat yang waja, dengan ditemani oleh adik bongsuku, kami menuju ke salah sebuah bengkel di Shah Alam. Aku dapati kebanyakan kedai mengadakan promosi berikutan cuti Hari Raya Cina bakal menjelma. Wajah terbaru The Red akan dipaparkan dalam entri akan datang kerana aku terlupa untuk merakamnya kerana terlalu gembira. Hehehe...

Selepas ditolak harga asal rim The Red, aku berjaya mendapatkan sport rim baru dengan harga yang pada aku, memuaskan dan berpatutan. Tapi ada satu perkara yang aku kurang gemar apabila berkunjung ke bengkel kereta, jumlah sebenar akan sentiasa melebihi bajet yang sepatutnya. Aduh! Ada-ada saja benda yang perlu ditambah.

Mujurlah aku memang sudah lama berhasrat untuk menukar bateri kereta kerana sejak dibeli 3 tahun yang lalu, bateri kereta belum pernah ditukar. Padahal setahu aku jangka hayat ideal bagi bateri kereta adalah 2 tahun sahaja. Oleh kerana aku tidak menghadapi sebarang masalah apabila nak menghidupkan enjin dan aku sentiasa pastikan air bateri mencukupi, maka hasrat untuk menukar bateri kereta sentiasa aku lengah-lengahkan sehinggalah hari itu...huhu. Meskipun wang aku melayang, aku rasa berbaloi untuk membuat perubahan kepada The Red kerana aku tidak pernah mengusik spesifikasi asal The Red sejak dibeli.

The Red bersedia untuk menerima perubahan...

BALIK KAMPUNG

Perjalanan pulang ke kampung pada kali ini agak mencabar kerana ada hajat dan janji yang perlu aku penuhi. Pergerakan kami (aku dan 2 orang adikku) bermula pada 24 Januari 2009, jam 11.00 pagi dengan menaiki kereta Persona adikku. The Red aku tinggalkan di rumah abangku untuk dinaiki oleh adikku yang masih perlu bekerja pada hari tersebut dan akan menyusul kemudian. Aku sebenarnya berhajat untuk singgah di rumah salah seorang kakitangan di pejabatku yang akan melangsungkan perkahwinan pada 26 Januari 2009 (Isnin).

Oleh kerana aku tidak dapat hadir pada hari kenduri, aku mengambil keputusan untuk pergi lebih awal iaitu dalam perjalanan pulang ke kampung. Kampung tersebut terletak di Ulu Dong, Raub dan perjalanan sememangnya mencabar kerana kami perlu berdepan kesesakan sejak mula memasuki Lebuhraya Karak lagi. Kesesakan berterusan sehingga ke Pekan Raub. Mujurlah adik aku yang memandu kereta dan aku hanya menjadi 'mem' di tempat duduk belakang. Hehe...



Perjalanan kami...

Adikku tenang mengemudi perjalanan

Bersama bakal pengantin, sama la pula baju dengan warna tema

Ada untungnya juga datang lebih awal, kami menerima layanan terus daripada bakal pengantin dan keluarga. Kalau datang hari kenduri, rasanya tak sempat pun nak beramah mesra dengan pengantin dan keluarga.

Kami beredar dan meneruskan perjalanan lebih kurang jam 4.30 petang. Adik aku yang seorang lagi telah menanti dengan The Red di hentian RnR Gambang.

Kami tiba di kampung pada jam 6.30 petang.

Keesokkan harinya, atas kesungguhan ummi dan mak saudaraku, kami telah mengadakan kenduri kecil-kecilan menyediakan bubur asyura bersempena dengan kedatangan bulan Muharram. Rasanya memang sudah agak lama aku tidak melibatkan diri dalam aktiviti begini. Hmmm...terimbau nostalgia semasa kanak-kanak dulu. Bila tiba bulan Muharram, semua sibuk menganjurkan majlis mengacau bubur asyura. Bagi yang tak dapat hadir, kiriman beras akan dihantar sebagai tanda penglibatan. Selalunya kami suka menunggu apabila bubur asyura hampir masak, bubur asyura yang masih cair akan kami isi di dalam tempurung dan daun kelapa akan dijadikan sudu. Indahnya bila dikenang...

Beras...bahan utama bubur asyura

Ikan yang telah direbus

Sesi mengacau

Acara mengacau bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Aku berpuas hati kerana melibatkan diri secara langsung dengan penyediaan bubur asyura. Paling seronok apabila hasilnya cukup menyelerakan. Kesimpulannya, lain kali boleh buat lagi :)

Dalam kesibukan orang dewasa menyediakan bubur asyura, anak-anak buahku ringan tangan membantu membersihkan laman hadapan rumahku. "Hari ini hari gotong-royong," kata mereka. Tak kisahlah, janji rumah bersih. Hehehe...

Sorang simbah air, sorang berus lantai :)

PAC IKWAS

Aku pulang ke KL pada 27 Januari 2009 dan tiba lebih kurang jam 1.00 pagi. Keesokkan paginya aku dijadualkan bertolak ke Kluang, Johor untuk menghadiri kursus. Oleh kerana kepenatan, aku tidak sempat mengemaskan pakaian untuk dibawa dan terus tidur.

Selesai solat Subuh, aku terus mengemaskan pakaian seadanya dan membasuh pakaian kotor sementara masih ada peluang. Agendanya, aku akan mengambil seorang kawan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan sebelum mengambil 2 orang lagi di Putrajaya. Untuk perjalanan pada kali ini, aku memutuskan untuk meminjam kereta Persona adikku.

Pun begitu, perjalanan tidak semudah disangka. Tayar kereta adikku perlu dibuat alignment dan chamber adjustment terlebih dahulu. Pening juga aku melilau mencari bengkel kerana kebanyakan bengkel masih ditutup sempena Hari Raya Cina. Akhirnya, sebuah bengkel di Serdang yang telah beroperasi aku temui. Selepas menunggu hampir 1 jam lebih dan wang RM55 melayang, aku meneruskan perjalanan seperti dirancang.

Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di INTAN Wilayah Selatan, Kluang, Johor pada jam 5.00 petang. Kelihatan sahabat-sahabat kami pun ramai yang telah tiba lebih awal. Memandangkan program akan bermula pada keesokkan hari, kami mengambil peluang untuk berehat dan mengemaskan barang-barang.

Kursus ini sebenarnya adalah untuk tujuan kenaikan pangkat. Meskipun aku tidak tahu sama ada aku sudah bersedia untuk menghadapi kursus ini, aku positifkan minda untuk menghadapinya dengan sebaik mungkin.

Selesai pendaftaran, kami diberi nombor badan dan kebetulan aku mendapat nombor badan yang cukup dekat dengan diriku...:) Teringat masa zaman mula-mula memohon untuk memasuki perkhidmatan sekarang. Terasa macam banduan pun ada juga...tapi bukan selalu ada peluang macam ni kan, layannnnnnn...

Ahlan wasahlan...

Rahsia di sebalik nombor???

Kita bergambar dulu...

Dalam surau pun sempat posing...:)

My beloved frens...smile :p

Selepas berhempas pulas selama 3 hari dengan aktiviti dan jadual yang agak padat serta mencabar fizikal dan mental, aku kembali ke KL pada 31 Januari 2009. Alhamdulillah, aku rasa aku telah cuba memberikan yang terbaik dalam setiap aktiviti yang disertai. Selebihnya, tawakkaltu a'la llah...

Sekembali ke KL, pada 2 Februari 2009, aku bercadang untuk menemui adik-adikku dan anak saudaraku (Adam) untuk meluangkan masa bersama-sama. Benarlah manusia hanya mampu merancang, Dia jua menentukan. Perancangan kami terbantut berikutan Adam mengalami muntah-muntah sewaktu kami baru sahaj tiba di tempat letak kereta Taman Tasik Titiwangsa. Kami sebenarnya berhasrat untuk melihat-lihat suasana tapak sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang telah diadakan di situ semalam.

Membersihkan muntah Adam...

Berikutan keadaan kesihatan Adam yang tidak memuaskan, kami berpatah balik ke rumah Adam di Gombak dan menghabiskan waktu di situ sehingga kami kembali ke rumah masing-masing selepas selesai makan malam.

Pun begitu, kami sempat juga mengunjungi pasar malam yang terletak tidak jauh daripada rumah Adam. Baru aku sedar yang sudah agak lama juga aku tidak berkunjung ke pasar malam...adusss!

Kini, hidup kembali seperti rutin biasa...Apakah yang telah aku lakukan?