Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, January 23, 2009

Kelainan...

Pagi ini aku bangun awal daripada biasa. Bersiap ke pejabat pun awal. Akhir-akhir ini kesihatan aku pula sering terganggu. Mungkin keletihan agaknya dengan perjalanan hidup yang rutin. Memandangkan terlalu awal untuk aku bergerak ke pejabat, aku duduk menonton televisyen terlebih dahulu. Seperti biasa, siaran utama adalah Malaysia Hari Ini yang pada pagi ini dihoskan oleh Ahmad Fetri Yahya dan Abby Fana. Entah kenapa aku merasa bosan dan hambar dengan program itu. Lalu aku tekan siaran-siaran lain. TV9, bosan. TV8, bosan. Akhirnya aku berhenti di TV2. Hmmm...Aku tertarik untuk menonton kerana hos yang muncul pada ketika itu adalah Wan Zaleha Radzi. Aku sememangnya amat meminati gaya penyampaian beliau yang pada aku penuh karisma, profesional dan bersahaja tetapi mampu menarik minat penonton untuk diam mendengar butir bicara yang keluar daripada mulut beliau. Amat berbeza dengan gaya penyampaian pengaracara/hos baru yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Positively AM. Begitulah tajuk rancangan yang dihoskan oleh beliau. Topik perbincangan yang turut diulas oleh 2 orang panel jemputan juga amat menarik dan dekat dengan diri aku. Combat Burn-Out. Itulah tajuk yang dibincangkan. Antara isi kandungan rancangan yang bersiaran lebih kurang 20 minit itu adalah tentang maksud burn-out, bagaimana mengetahui seseorang atau diri sendiri berada dalam keadaan yang dipanggil burn-out dan dibincangkan juga cara-cara mengatasinya.

Pada aku, topik ini bukan sahaja dekat dengan aku malah dengan hampir majoriti manusia terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Antara tanda-tanda burn-out yang aku masih ingat disebutkan oleh panel-panel tersebut adalah apabila terasa malas untuk ke tempat kerja, tidak bersemangat untuk meneruskan kerja dan membuat yang terbaik, tidak merasakan lagi kepentingan meneruskan kehidupan dan ada beberapa perkara lagi yang aku hampir lupa.

Menurut panel tersebut, kesemua tanda-tanda tersebut berpunca daripada diri sendiri. Aku amat menyokong dan sangat bersetuju dengan pendapat itu. Didapati rata-rata pekerja pada hari ini berbuat sesuatu yang tidak selari dengan minat mereka. Apabila minat tiada, kesungguhan tidak akan hadir. Hasilnya, mereka akan merasa usaha keras mereka tidak dihargai dan kecewa dengan orang sekeliling. Jika mereka melakukan sesuatu yang bertepatan dengan minat atau dalam Bahasa Inggeris disebut passion, maka kesungguhan akan hadir tanpa disedari. Antara lain, kegagalan menguruskan masa turut menjadi faktor penyumbang kepada burn-out. Benarlah pesanan bijak pandai bahawa masa itu umpama pedang, malah ada yang mengatakan bahawa masa itu emas. Allah juga telah bersumpah Demi Masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian...

Manakala antara kaedah-kaedah untuk mengatasi burn-out pula adalah dengan belajar mengatakan TIDAK kepada perkara-perkara yang tidak perlu. Kadang-kadang kita sering membuat banyak perkara pada satu-satu masa sehingga tidak ada keutamaan. Tidak salah untuk mempunyai banyak tugasan dalam satu masa, tetapi perlu mengetahui dan membuat susunan keutamaan agar yang penting didahulukan dan yang kurang atau tidak penting dikemudiankan.

Begitu khusyuk aku mendengar buah fikiran yang dilontarkan oleh panel-panel jemputan. Terasa terkena diri sendiri pun ada juga. Hmmm...

Sekali-sekala mencari kelainan menonton siaran lain pun ada manfaatnya. Kadang-kadang sering melakukan tugasan secara rutin boleh menyebabkan kita merasa bosan sebenarnya kerana tiada cabaran untuk diharungi. Sesungguhnya tanpa cabaran, kehidupan akan menjadi hambar dan tawar...

Wednesday, January 14, 2009

Pagi Yang Indah...

Pagi ini, perjalanan ke tempat kerja sungguh mendamaikan. Lancar. Tiada kejadian yang menyakitkan hati dan merobekkan emosi. Cermin tingkap kereta yang kebiasaannya ditutup rapi, aku buka dan hawa dingin yang kebiasannya dipasang, aku tutup. Dengan kelajuan yang sederhana, aku sempat menikmati pemandangan beburung berterbangan sekawan memulakan hari, mencari rezeki agaknya. Itu fikirku. Subhanallah! Maha suci Allah yang menciptakan keindahan ini.
Sekian lama aku melalui jalan itu, jarang aku merenung keindahan dan kedamaian anugerah Ilahi ini. Astaghfirullah! Deretan pepohon yang menghijau turut sama menghiasi jalan itu. Sungguh mendamaikan. Pun begitu, sejenak aku terfikir, berapa lamakah lagi keindahan dan kedamaian ini akan bisa dinikmati? Apakah keindahan dan kedamaian ini akan hilang dek kerakusan dan keghairahan manusia mengejar apa yang digelar kemajuan? Hmmm...

Monday, January 12, 2009

Kekadang...

Kekadang sukarnya membuat orang faham apabila kita cuba untuk membuat kebaikan kepada dirinya...Kita mungkin akan terluka, berkecil hati sedikit...merasa tidak dihargai, usaha keras menjadi lebur namun itulah asam garam perjuangan. Meski kecil perjuangannya, onak dan ranjau tetap ada...Jika tidak, perjuangan tidak bernama perjuangan...

Entah Kenapa...

Hari ini hati merasa kurang senang. Macam ada sesuatu yang tidak kena tetapi tak dapat dikenalpasti puncanya. Yang pasti, hati gundah gulana, badan pula seolah-olah nak demam. Apakah gerangan yang melanda diriku ini?
Semalam air mata pantas mengalir tatkala melihat kebiadapan bangsa Israel yang menjadikan hujanan peluru dan mortar ke bumi Palestin seolah-olah pesta bunga api dan dengan angkuh menggambarkan seolah-olah mereka lebih berkuasa. Di manakah kuasa-kuasa besar untuk membela nasib rakyat Palestin ini? Paling penting, apakah sumbangan yang boleh aku berikan untuk membela nasib bumi Palestin, bumi para anbiya' dan bumi yang diberkati oleh Allah Taala sebagaimana dinyatakan dalam kalam sucinya, Al-Quran. Bumi yang juga berdirinya Masjid Al-Aqsa, suatu tempat yang pernah menjadi persinggahan Rasulullah, Muhammad SAW sewaktu peristiwa Israk WalMi'raj. Sungguh hati ini tercalar kerana tiada sumbangan besar yang dapat diberikan untuk melindungi tempat suci itu.
Hanya doa yang dapat aku panjatkan meski sedar diri ini penuh noda dan dosa.
"Ya Allah, Kau terimalah doaku ini meski aku sedar diri ini tidak layak untuk memohon dari-Mu atas dosa-dosa yang meliputi diriku ini namun sebagai hamba yang lemah lagi hina, hanya kepada-Mu jualah tempat aku memohon agar saudara-saudara seagamaku diberikan kekuatan dan ditingkatkan keimanan dalam menghadapi kezaliman Israel. Kau berikanlah aku kekuatan agar mampu untuk menyumbangkan sesuatu yang dapat meringankan beban penderitaan saudara-saudaraku itu."
Semoga usaha yang disangka kecil di mata kita iaitu memboikot barang-barang keluaran Amerika Syarikat, akan membuka mata para musuh agar tidak memandang enteng kepada kehebatan umat Islam...

Saturday, January 10, 2009

Hati Terhiris...

Betapa hati ini terhiris melihat kekejaman Israel kepada saudara seagamaku di bumi Palestin. Betapa terhiris hati ini melihat anak-anak kecil dan wanita menjadi mangsa kerakusan dan perilaku tidak berperikemanusiaan Israel. Bertambah terhiris hati ini apabila tindakan kejam Israel mendapat sokongan Amerika Syarikat. Seolah-olah nyawa rakyat Palestin tiada nilainya. Bom-bom dibedil sesuka hati tanpa belas kasihan.

Aku membayangkan jika wajah-wajah anak-anak kecil yang berdarah dan terluka itu adalah milik darah daging sendiri, bagaimanakah pilunya hati ini....

"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah saudara-saudaraku yang berada di bumi Palestin dari seksaan dan kekejaman Israel. Kau hancurkanlah Israel Ya Allah. Kau berikanlah kekuatan kepada kami dan sauadara-saudara kami di Palestin agar sentiasa teguh keimanan mereka kepada-Mu Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah tuhan Yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..."

Monday, January 5, 2009

Tiba-tiba aku terfikir...

Keadaan kesihatan yang tidak memberangsangkan memaksa aku mengambil keputusan untuk tidak hadir ke pejabat dan berehat di rumah sahaja. Mungkin kepenatan kerana 2 hari berturut-turut membantu adik-adikku berpindah ke rumah baru mereka. Tetapi bukanlah bermaksud aku merungut dengan bantuan yang diberikan. Malah aku berbangga dapat menolong mereka, adik-adikku sendiri.

Masa yang terluang tidak aku isi dengan hanya berbaring sahaja sebaliknya aku gagahi diri untuk bangun dan mengemaskan rumah terutama ruangan dapur. Rasanya sudah agak lama aku mengabaikan ruangan itu berikutan tuntutan kerjaya dan peribadi yang kekadang membuatkan aku seolah hilang kawalan waktu dan masa. Alhamdulillah aktiviti itu membuatkan badan aku berpeluh dan kembali bertenaga. InsyaAllah esok aku akan hadir ke pejabat dan meneruskan 'perjuangan' seperti biasa. Atau mungkin lebih mencabar berikutan arahan baru yang kami terima? Wallahua'lam. Apa jua yang mendatang insyaAllah, aku berlapang dada dan mempositifkan fikiran. Yang pasti, dalam hidup ini kita semua akan bedepan dengan perubahan. Sama ada kita suka atau tidak, perubahan pasti datang seiring dengan pertambahan (atau pengurangan?) usia kita.

Bercakap soal usia, selepas sekian lama, hari ini buat pertama kali, aku terfikir tentang tahun kelahiran aku. Ini bukanlah bermaksud aku tidak pernah memikirkan perubahan usiaku saban tahun, tetapi kali ini agak berbeza.

Hari ini, dalam kepenatan membersihkan rumah, aku terfikir, "Tahun ini permulaan tahun baru Islam (Hijrah) bermula hampir sama dengan tahun baru Masihi. 1430H. Maka, tahun ini pada 10 Oktober 2009 nanti, genaplah usiaku 30 tahun hidup di muka bumi Allah ini. Bermakna tahun kelahiran aku jika dikira berdasarkan tahun Islam adalah pada 1400H."

Sekian lama menjalani kehidupan di muka bumiNya, entah kenapa tidak pernah sesaat pun aku terfikir tentang tahun kelahiranku mengikut tahun Islam. Sehinggalah pada hari ini...

Apakah makna di sebalik semua ini? Apakah sudah tiba saat dan ketikanya untuk aku kembali merenung akan perjalanan hidup yang telah aku lalui? Apakah perjalanan hidupku selama ini berlandaskan keredhaan dan keberkatanNya? Paling penting, apakah aku sudah bersedia sekiranya dipanggil untuk mengadap-Mu Ya Allah? Apakah cukup amalanku selama ini?

Pertanyaan-pertanyaan itu sarat mengisi kotak benakku. Muhasabah lagi...Mungkin kedatangan 1430H/2009 akan membawa sinar baru dalam hidupku ini, insyaAllah. Semoga segalanya kembali terarah ke lorong yang lurus, lorong yang benar-benar dirahmati dan diredhaiNya jua...Aamiin...

Saturday, January 3, 2009

Renungan...

"To put the world right in order, we must first put the nation in order; to put the nation in order, we must first put the family in order; to put the family in order, we must first cultivate our personal life; we must first set our hearts right."

Aku Rindu...

Tetiba aku rindu
Rasa rindu sebenarnya
Rindu pada dambaan Ilahi
Yang semakin jauh aku tinggalkan...

Kesepian yang mencengkam membuatkan aku rindu padaNya. Rindu untuk mendekati dan mengenaliNya. Aku harus berbuat sesuatu untuk mengisi kekosongan ini. Ruang dadaku kian sempit dan sesak. Sarat dengan segala persoalan dan permasalahan yang perlu dilenyapkan sebelum ia membarah dan mendarah daging dalam diriku. Aku rindu pada kedamaian mengingatiNya. Sungguh!

Kursus ESQ165 adalah kursus yang paling terkesan di hati ini yang pernah aku ikuti. Selaku Alumni Angkatan 20, aku berhak mengikuti kursus tersebut secara percuma sepanjang hayatku. Pun begitu, kekangan waktu sering membataskan aku untuk mengorak langkah menaiki tangga seterusnya dalam kursus tersebut. Jauh di sudut hati aku sebenarnya ingin benar mendalami kursus tersebut. Sudah berpuluh-puluh kursus yang aku ikuti tetapi tidak sama dengan kursus yang satu ini. Hanya yang pernah melalui dan merasai sendiri pengalaman mengikuti kursus ini akan bisa memahami perasaan ini. Alhamdulillah aku telah berjaya menghantar ummiku untuk merasai sendiri pengalaman mengembalikan nikmat bertuhan dan beragama. Betapa cantik dan lengkapnya susun atur rangka perjalanan kehidupan di muka bumi yang telah dirangka olehNya. Hanya manusia yang melihat dengan mata hati akan memahamiNya.

Aku berazam untuk turut mengajak Abahku melalui sendiri pengalaman tersebut. Malah jika aku berkemampuan, aku ingin sekali membiayai adik-beradikku yang lain untuk mengikuti dan turut merasai sendiri pengalaman yang cukup manis dan terkesan ini.

Ya Allah! Kau berikanlah peluang kepada diriku ini untuk menyatukan dan menautkan kembali hati-hati ahli keluargaku agar tetap kekal dalam mawaddah dan rahmahMu jua. ..

InsyaAllah aku juga akan cuba meluangkan masa untuk mengikuti kursus tersebut sekali lagi, mungkin bersama ahli keluarga yang lain.


Friday, January 2, 2009

Selamat Menempuh Tahun Baru

Alhamdulillah pagi ini ini aku memulakan alam pekerjaan pada tahun baru dengan rekod yang baik. Kenapa aku berkata begini? Hehehe...

Pagi ini sebenarnya aku bingkas dari tidur sedikit terlewat daripada biasa. Dek kerana itu, aku bertolak agak terlewat sedikit ke tempat kerja. Di tengah perjalanan pula, aku berdepan dengan kesesakan jalan raya berikutan satu insiden kemalangan yang berlaku berhampiran Presint Diplomatik. Pada pemerhatian aku, kemalangan tersebut agak teruk juga berdasarkan keadaan dan kedudukan kereta yang terbabit. Untuk tidak menyesakkan lagi suasana, aku meneruskan perjalanan ke pejabat dan berjaya punch-in 2 minit sebelum jam 8.30 pagi. Aku sememangnya memilih WP3 sebagai waktu kerja kerana walaupun aku datang awal dengan memilih WP1 atau WP2, aku masih perlu pulang lewat. Untuk mengelakkan kekusutan fikiran, aku memilih untuk datang lewat dan pulang lewat.

Mujurlah aku sempat punch-in sebelum jam 8.30 pagi. Jika tidak sudah pasti rekod pertamaku untuk tahun baru akan bermula dengan catatan yang kurang elok. Mungkin hal ini tidak menjadi masalah kepada orang lain tetapi ia penting kepada diriku. Pada aku, setiap perkara yang ingin dilakukan perlu dimulakan dengan permulaan yang baik. Malah kita telah dipesan oleh Kekasih Allah (Nabi Muhammad SAW) bahawa setiap perbuatan adalah disandarkan kepada niat. Seandainya niat untuk melakukan perkara yang baik disertai dengan niat yang baik, maka pahalalah ganjarannya. Begitulah sebaliknya jua. Pun begitu, perlu juga diingat bahawa matlamat/niat tidak akan sekali-kali menghalalkan cara. Seumpama legenda cerita Robin Hood yang dimomokkan kepada kita sedari kecil lagi, meskipun niat Robin Hood boleh dikategorikan sebagai baik, tetapi cara untuk merealisasikannya amat tidak bertepatan dan salah di sisi agama. Ini kerana Islam adalah agama yang lembah-lembut dan tidak menzalimi malah tidak membezakan antara yang kaya dan miskin. Setiap pekerjaan/kejayaan/kemasyhuran yang ingin digapai perlulah disertai dengan usaha dan tawakal yang bersungguh-sungguh. Tiada jalan pintas untuk menggenggam kejayaan. Hanya usaha yang disertai dengan kepayahan akan menerbitkan kemanisan apabila kejayaan berada dalam genggaman. Itulah prinsip aku selama ini dalam menggapai kejayaan. Aku yakin dan sangat percaya bahawa tiada jalan mudah untuk meraih sesuatu. Malah sebenarnya kepayahan dan kesukaran akan membuatkan kita lebih menghargai apa yang kita miliki. Perkara ini mengingatkan aku kepada insiden yang berlaku semalam...

Semalam aku menemani adik-adik lelakiku mencari rumah sewa di sekitar Bandar Baru Sentul (BBS) dan Segambut. Alhamdulillah adikku yang kedua bongsu telah pun memulakan tugas sebagai juru x-ray di salah sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh manakala adik bongsuku akan memulakan latihan industri di salah sebuah syarikat IT di Bangsar. BBS dan Segambut menjadi sasaran utama kami memandangkan tugasan adikku sebagai juru x-ray yang memerlukan dia sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia (standby mode) dan perlu hadir ke hospital sekiranya ada kes kecemasan.

Pencarian kami bermula lebih kurang jam 10.30 pagi dengan aku mengambil mereka di rumah sewa sementara di Petaling Jaya. Kami terus menuju ke sekitar kawasan Segambut dan setelah puas berlegar-legar usaha kami tidak membuahkan sebarang hasil. Kami kemudian ke BBS. Hampir 2 jam kami berlegar-legar di situ dan akhirnya menetapkan sasaran kami adalah kawasan perumahan flat yang terletak berhampiran dengan stesen LRT Sentul Timur. Kawasan tersebut menjadi pilihan berikutan kedudukannya yang terletak berhampiran dengan stesen LRT dan kadar sewa yang agak berpatutan iaitu sekitar RM500. Malah suasana perumahan yang majoriti populasi adalah Melayu juga turut menjadi faktor pemilihan kami. Bagi aku, kadar RM500 adalah bersesuaian dan berpatutan dengan keadaan adik-adik aku yang baru ingin memulakan kehidupan bekerja di bandar besar ini. Kadar melebihi RM500 bagi aku adalah amat merugikan bagi rumah yang disewa. Lainlah kalau rumah yang dibeli. Pada aku berbaloi mengeluarkan sejumlah wang melebihi RM500 kerana pada akhirnya akan menjadi milik sendiri juga.

Kami menebalkan muka dengan bertanya kepada penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut kalau-kalau mereka tahu ada kekosongan rumah di situ. Malangnya beberapa orang yang kami temui gagal memberikan sinar harapan kepada kami. Ini sedikit sebanyak mengecewakan adik-adikku dan mereka hampir-hampir mahu menerima perumahan bersebelahan yang menetapkan kadar sewa RM1000. Meskipun aku tahu adikku mampu membayar kadar tersebut, aku tetap berkeras tidak membenarkan mereka membazirkan wang atas sesuatu yang tidak mendatangkan pulangan sewajarnya. Aku nekad untuk meneruskan pencarian dan Alhamdulillah usaha kami membuahkan hasil apabila dimaklumkan terdapat sebuah rumah kosong di tingkat 5 yang mana penghuninya baru sahaja mengosongkan rumah tersebut. Dengan pantas dan bersemangat kami menaiki tangga ke rumah tersebut untuk mendapatkan nombor telefon tuan punya rumah. Benarlah, usaha tangga kejayaan. Pencarian berjam-jam berserta keyakinan telah membuahkan hasil malah tuan rumah yang dihubungi pula tidak banyak kerenah. Tanpa banyak soal, tuan rumah menyerahkan kunci rumah kepada kami selepas kami menjelaskan sejumlah wang deposit kepada beliau. Itupun pada kadar yang aku rasakan berbaloi dan berpatutan. Barulah aku lihat ada senyuman di wajah adik-adikku apabila apa yang diidamkan telah diperoleh. Tambah melucukan apabila adikku yang kedua bongsu mengatakan bahawa usaha tersebut berhasil atas usaha aku. Rasa bangga pun ada juga kerana dapat membantu adik-adikku sendiri. Apabila difikir-fikirkan kembali, mujurlah kami tidak patah semangat kerana usaha yang dilakukan itu adalah yang terakhir dilakukan sebelum adikku memutuskan untuk menamatkan pencarian. Aku nekad bahawa pasti ada kekosongan dalam perumahan tersebut kerana tidak semestinya orang yang kami tanya itu betul-betul maklum dengan kawasan sendiri. Nah! Alhamdulillah. Man jadda wajada, man zaroa' hasoda...Siapa yang berusaha akan mendapat, siapa yang menanam akan menuai.

Adik-adikku begitu bersemangat merangka susun atur rumah baru mereka. Aku hanya membiarkan mereka tenggelam dalam keghairahan masing-masing. Jauh di sudut hati aku puas kerana dapat membantu mereka. Apapun, rasa syukur dipanjatkan kepadaNya jua kerana sesungguhnya dengan izin dan rahmatNya maka usaha kami membuahkan hasil malah dipermudahkan. Alhamdulillah...

Akhirnya selesai makan malam di sebuah restoran di Gombak, aku menghantar mereka pulang ke rumah di PJ dan aku tiba di rumah sendiri lebih kurang jam 9.30 malam. Di rumah, aku mengemaskan apa yang patut dan tidur lebih kurang jam 1.30 pagi...