Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, May 26, 2008

Abah, Ummi...

18 Mei 2008, jam 1.30 petang aku bergerak dari INTIM Kemaman ke Kuala Terengganu. Ada urusan yang perlu segera aku selesaikan di BSN. Memang aku pecut gila. Kalau kena saman, nasibla. Mujur aku tiba di K.Trg tepat jam 4.00 petang. Bank akan ditutup pada jam 4.30 petang. Alhamdulillah...Memecut hampir 2 setengah jam, urusan tak sampai 10 minit. huhu...Selesai urusan, aku berpatah balik ke Dungun, kampung halamanku. Tiba di Dungun lebih kurang jam 6.00 petang. Selesai bersalam dengan Ummi, aku segera bergegas menunaikan solat yang belum sempat aku lunaskan tadi. Penatnya hanya Allah yang tahu. Selesai solat, perut terasa lapar kerana aku tidak sempat makan tengah hari sebelum bertolak tadi. Patutla perut aku terasa pedih semacam. Nasib baik masih ada baki nasi cukup-cukup untuk aku seorang. Ummi kembali sibuk membersihkan halaman. Abah? Aku pasti sedang sibuk dengan kambing-kambingnya di kandang yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Jaraknya lebih kurang sepelaung atau setengah batang rokok sahaja. Jam pun sudah menunjukkan pukul 7.10 malam. Abah bergegas membersihkan diri kerana sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang dan kebetulan hari ini giliran Abah bertugas sebagai Imam. Aku memerhatikan langkah tua Abah dan Ummi. Tiba-tiba hati merasa sangat sayu...Segera aku buang jauh-jauh perasaan itu dan menghabiskan nasi. Ummi menemaniku makan sambil bertanya perjalananku tadi. Kebetulan kali ini hanya aku sahaja yang balik ke kampung kerana adik-beradik yang lain terikat dengan komitmen masing-masing.

Abah segera menghidupkan motosikal dan memulakan perjalanan ke masjid yang juga terletak tidak jauh dari rumah kami. Sebaik itu juga kedengaran azan Maghrib berkumandang....Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!...

Walaupun azan telah dilaungkan, kerana keletihan aku mengambil keputusan untuk merehatkan badan di hadapan TV. Ummi turut serta. Saat itu juga aku merasakan hangatnya kasih seorang ibu yang senantiasa merindui anak-anaknya. Meski anak-anak telah pun dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri, di mata Abah dan Ummi kami masih anak-anak kecil yang nakal dan didamba kehadiran setiap masa. Ummi seolah-olah tidak mahu meninggalkan aku keseorangan walaupun aku tahu Ummi ingin membersihkan diri dan menunaikan solat Mahgrib.

Jam 8.00 malam, aku bergegas menunaikan kewajipan sebagai Muslim. Ummi pun turut mengatur langkah menuju ke bilik air. Aku di tingkat atas, Ummi di tingkat bawah. Mungkin kerana kepenatan, selesai solat, aku terus melelapkan mata sebaik membaringkan badan di atas tilam. Nikmatnya...

Memandangkan esok merupakan hari bekerja, selesai bersarapan aku menyuarakan hasrat aku untuk memulakan perjalanan pada jam 2.00 petang. Serta-merta riak wajah Abah dan Ummi dapat kurasakan berubah.

"Ingatkan cuti," Abah bersuara. Aku hanya membisu. Tidak pasti apa yang harus dikatakan.

"Cuti hari ni je Bah, Hari wesak. Esok kerja macam biasalah," aku menjawab dengan senyuman.

Begitu berat Abah dan Ummi ingin melepaskan aku pergi...Part 1

Wednesday, May 14, 2008

Oh Dunia Ini...

Jam 4.14 petang, Kamar ofisku....

Aku terasa benar-benar penat dan tidak mampu untuk menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja di pejabat. Alasan?

Selasa, jam 2.30 petang aku mula bergerak dari Puteri Pacific JB ke Kuala Lumpur. Hajat di hati nak singgah di Muar, jumpa Shen, sahabat lama zaman persekolahan di MRSM Muar. Lagipun aku dah lama tidak menikmati mee bandung Muor kegemaranku dulu. Rasanya sudah hampir 12 tahun aku tak makan mee bandung Muor. Lokasinya betul-betul di tepi sungai Muar. Aku sampai jam 5.30 petang di Hospital Muar. Muar sudah jauh berbeza. Jalan-jalan pun tidak seperti dulu lagi. Malah aku sempat melintasi MRSM Muar, juga sudah jauh berbeza. Ikutkan hati nak je aku masuk dalam pagar MRSM Muar dan pusing-pusing tengok keadaan. Terasa seolah baru semalam aku meninggalkan alam persekolahan. Benarlah kata orang, zaman yang paling manis dan sukar dilupakan adalah zaman persekolahan...

Sampai di Hospital Muor, Shen sudah sedia menanti aku di lobi kecemasan. Mujurlah dia tidak on call. Kalau tidak, tak berpeluang lah aku nak lepak-lepak sambil makan mee bandung dengan dia. Aku tinggalkan kereta flying without wing ku itu (kenari merah) di tempat letak kereta hospital. Mujurlah Shen memahami kepenatan aku memandu dari JB dan bermurah hati mempelawa aku menaiki kereta dia. Kami terus menuju ke lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan utama kami suatu masa dulu untuk menikmati mee bandung Muor. Mata aku terpana melihat perubahan di Muar, Bandar Maharani. Bangunan-bangunan lama sudah berubah wajah. Jalan-jalan raya pun semakin lebar dan kemas. Malah kedai idaman kami pun telah bertukar menjadi batu. Tiada lagi kedai-kedai atau bangsal kayu di tepi sungai Muar tempat kami menikmati mee bandung Muor setiap kali berpeluang untuk outing pada hujung minggu. Sewaktu menelusuri jalan-jalan, hatiku sedikit sebanyak terasa terharu. Terasa seolah baru semalam abah dan ummi menghantar aku ke MRSM Muar. Dengan kesungguhan abah agar aku menerima tawaran kemasukan ke MRSM Muar lah, maka hari ini aku menjadi orang yang berjaya. Abah dan Ummi...

Selesai makan mee bandung, kami jalan-jalan di kedai berhampiran. Sempat jugalah aku beli sehelai baju blouse. Kemudian kami berpatah balik ke hospital untuk mengambil kereta ku dan menuju ke rumah Shen yang terletak tidak jauh daripada situ. Mulanya aku bercadang untuk bertolak balik selepas menikmati mee bandung tetapi pelawaan Shen agar aku bermalam di rumah dia gagal aku tolak. Akhirnya aku bermalam di rumah dia. Pelbagai kisah kami kongsi tambahan pula dia akan melangsungkan perkahwinan pada 31 Mei ini. InsyaAllah aku akan hadir pada majlis tersebut. Shen sebenarnya bukan sahaja bekas rakan sekolahku tapi juga kini menjadi jiran di kampung. Ibu bapa telah mengambil keputusan untuk menetap di bandar Dungun yang terletak tidak jauh dari rumah aku.

Dek kepenatan, aku akhirnya terlena dan bangun apabila Shen mengejutkan aku untuk solat Subuh pada jam 6.15 pagi. Aku terus bersiap kerana merancang untuk terus ke pejabat. Makluman telah aku sampaikan kepada bos, rakan sekerja dan anak buah yang aku akan masuk sedikit lewat kerana bertolak daripada Muar. Seusai bersalaman dengan Shen, aku memulakan perjalanan lebih kurang jam 7.30 pagi. Dalam perjalanan, hatiku teringat akan sahabat (rakan di UIA) Atie, yang kini bertugas di Universiti Teknikal Melaka (UTeM). Lalu aku terus menghubungi dia dan menyatakan hasrat untuk bersarapan bersama. Aku tiba di UTeM jam 9.00 pagi dan terus menuju ke kafeteria berdekatan bersama Atie.

Selesai berbicara dan berkongsi rasa, aku meneruskan perjalanan ke pejabat lebih kurang jam 10.00 pagi. Aku tiba di pejabat jam 11.00 pagi. Terus menguruskan beberapa perkara yang tertangguh memandangkan aku akan ke INTIM Terengganu pada hari Jumaat ini...

Jadi, alasan aku letih?....

Sunday, May 11, 2008

Akukah Yang...

Sekarang aku di bilik 1213, The Puteri Pacific Hotel, Johor Bharu, Johor. Aku tiba lebih kurang jam 2.00 petang tadi. Bertolak daripada KL jam 8.30 pagi. Aku terfikir-fikir kejadian sebentar tadi. Akukah yang baran atau pihak pengurusan hotel yang tidak profesional dalam menjalankan tugas? Sakit kepala aku memikirkannya. Apa tidaknya, dahla penat memandu pun belum hilang, masalah dah timbul. Mujur aku sampai awal. Terus ke kaunter pendaftaran dengan harapan dapat daftar masuk dan berehat sekejap sebelum pergi tengok keadaan dewan. Betullah, manusia hanya mampu merancang Dia jua yang menentukan. Di kaunter pendaftaran, aku diuji apabila ada masalah dalam senarai bilik yang diberikan. Oleh kerana sudah beberapa kali aku terkena di mana nama peserta yang dihantar tidak disenaraikan oleh pihak hotel, aku meminta senarai nama dan nombor bilik yang telah disusun oleh pihak hotel untuk diperiksa sebelum peserta tiba. Adoi terkena lagi! Dua nama peserta tidak disenaraikan. Nasib baik aku periksa. Dibuatnya aku daftar masuk lepas tu terus lepak berehat kat bilik, mesti huru hara bila peserta daftar masuk nanti. Itu aku boleh terima lagi tapi yang aku panas hati bila lady receptionist tu macam acuh tak acuh je dengan pertanyaan aku pasal kehilangan dua nama tu. Selesaikanlah. Buatlah macamana pun janji masalah selesai. Ada ke patut suruh aku yang tanya reservation sendiri. Hallo! Takkan benda mudah macam tu tak boleh diselesaikan. Takpe, aku sabar lagi tapi bila dia cakap mungkin aku yang salah hantar senarai nama, aku rasa bengang. Okay, aku minta dia ambil senarai yang dia terima. Hah padan muka! senarai nama yang ada kat dia tu sebiji sama dengan senarai yang aku bawa. Macamana nak jawab kenapa dua nama tu boleh hilang? Geramnya aku. Benda senang pun nak disusah-susahkan. Kalau daripada tadi dia tunjuk macam bersungguh sikit nak membantu, takdela aku nak panas tiba-tiba je....Sabar jelah...

Ok, selesai satu bab. Aku pun terus masuk bilik untuk letak barang. Bilik ok cuma sempit sikit kalau nak dibandingkan dengan hotel-hotel lain yang pernah kitaorang buat program. Takpelah, nak duduk dua malam je pun. Lepas solat aku turun cari makan. Nasib baiklah banyak gerai kat tepi hotel ni. Aku tapau nasi putih, talapia masak lemak, pegedil dan makanan kegemaran aku, terung masak sambal. Fuh! memang kena dengan selera la. Yang aku takjubnya, murah pulak harganya. Semua baru RM4. Kalau kat KL mesti dalam RM5 jugak tu.

Tengah aku sedap makan, staf-staf aku yang datang naik van sampai. Baru pukul 3, aku janji jumpa diaorang pukul 3.30 kat lobi. Tepat jam 3.20 petang, aku turun ke tingkat 2. Melilau cari nombor bilik mesyuarat seperti yang dicatat dalam sebutharga. Akhirnya jumpa la sorang mamat kat situ. "Encik, kat mana bilik 206 dan 207?"
"O, bilik tu seberang sana cik. Kena lalu jambatan."
"Hah! seberang jambatan?" aku dah terkejut dengar kata-kata mamat tu tapi aku iyakan je dulu.
Jadi aku pun pergilah seberang jambatan tu ke bangunan Persada Johor. Dalam hati aku dah tertanya-tanya apsal jauh bebenor ni sampai kena lalu jambatan. Takpe, teruskan dulu pencarian. Sampai seberang, alamak gelap takde orang. Macamana ni? Aku dah ala-ala cuak tapi kena juga tengok dewan ni ok ke tak ok. Satu tingkat tu aku pusing, sorang manusia pun aku tak jumpa. Dalam hati ni Tuhan je yang tahu berdebar-debar. Aku dah nekad kalau ada yang niat jahat, aku lari je. Kalau sempat, aku cepuk je. Konon-konon berani la. hehehe....

Gila ni! Papan tanda pun takde ni. Apa cerita. Mengagau aku. Akhirnya lepas turun lif, melilau 2,3 pusingan, aku jumpa dewan tu tapi Ya Allah, sikit punya jauh. Kalau berjalan dekat 1 km jugak la. Tak boleh jadi ni. Kalau aku yang urus setia ni pun sesat barat, apatah lagi peserta. Aku call staf-staf aku jumpa di lobi. Diaorang pun menggagau cari dewan. Aku pun cerita lah episod pencarian aku tadi. Terkejut diaorang. Aku dah angin satu badan ni. Contact person kat hotel ni plak bercuti. Bertimpa-timpa sebab musabab datang untuk jadi hangin. Apa lagi, aku call sales person KL tu, kenala hambur dengan aku. Geramnya! Tak pernah aku buat program dewan duduk luar bangunan hotel. Dahlah dewan yang tak mesra pengguna langsung. Terus terang aku cakap kat mamat tu aku hangin apsal tak bagitau dewan tu jauh dari hotel. Alasannya, dewan dalam hotel dah penuh. Eh hallo! Kalau penuh, bagitaula. Bukan ada 1 hotel je kat JB ni. Haru betul! Aku tak tau dia nak buat macamana tapi untuk program malam ni, diaorang kena cari jalan penyelesaian. Telinga aku pun dah panas dengar komen staf-staf aku apsal dewan jauh? Yela, diaorang lagi kesian. Barang banyak nak bawa. Takkan nak kandar ulang-alik sikit punya jauh tu...Minta troli berjanggut baru dapat....Pendek kata semua menyumbang ke arah kehanginan aku...

Sekarang aku nak tunggu malam ni apa jadi. Risaunya....Mujurlah SUB aku tak datang, KPSU je. Kalau tak, tak tahulah macamana nak jawab. Memanglah salah aku sebab tak datang periksa hotel sebelum program tapi bukan tak nak, tak sempat. Pada anggapan aku kalau buat program di hotel, mestilah dewan mesyuarat dalam bangunan hotel....

Sekarang aku tefikir-fikir akukah yang baran atau pihak hotel yang bengong?...

Saturday, May 10, 2008

Perubahan Wajah...

Alhamdulillah akhirnya berjaya juga aku mengubah wajah blog ku ini. hehehe...dah lama simpan hasrat nak ubah wajah blog ini. akhirnya hari ini baru kesampaian. tapi harap2 jangan jadi mcm moto Bank Islam dahla...hahaha...'wajah berbeza, komitmen tetap sama'. itu pasallah bila aku dgn arab pergi deposit duit sikit punya lembap tunggu giliran. erkk...deposit duit syiling sebenarnya. penat kitaorang kandar...

hari ini lepak2 jela kat rumah sebab esok nak kena ke JB. so kenalah kemas apa yang patut. lagipun hari2 biasa dah membosankan, keluar gelap balik gelap. mcm duduk kat planet apa je. tak nampak matahari...huhu

Berita Tentang Sahabat...

Semalam dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas makan tengah hari dengan Azlina a.k.a Arab, aku menerima sms daripada Fuad,'Tuan/Puan, Puan Monaliza Hamzah dimasukkan ke ICU kerana disahkan mengidap kanser stage 3....' hati aku tersentak seolah-olah tak percaya kandungan sms itu. aku terus menghubungi Fuad untuk mengesahkan berita itu. ya benar, mona dimasukkan ke ICU kerana kanser. Ya Allah! tak pernah akan ada di kalangan rakan-rakan aku yang akan menghidap penyakit merbahaya seperti itu. sesungguhnya Maha Besar dan Maha Berkuasa Allah yang menimpakan ujian kepada hamba-hambaNya yang dikasihi...

kebetulan esok aku akan bertolak ke JB kerana bertugas sebagai urus setia bengkel PTK. aku bercadang untuk menjenguk mona dan mengetahui keadaan dia sekarang. Ya Allah! Kau tabahkanlah hati sahabatku itu dalam menghadapi ujianMu yang besar ini. sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui apakah yang terbaik buat dia Ya Allah....Amin.