Sabtu, Disember 19, 2009

BANDARAYA ANGGERIK

Bismillahirrahmanirrahim...

Itu gelaran yang diberikan kepada Bandaraya Shah Alam. Satu tempat yang cukup nostalgia kepada saya. Dari zaman berada di menara gading kira-kira 10 tahun yang lalu, saya telah sering berkunjung ke sini kerana menziarahi rumah abang sulung di Seksyen 25. Kemudian, apabila tamat pengajian, di sini saya mula memperoleh hasil titik peluh sendiri dengan menjadi tenaga pengajar di UiTM Shah Alam. Bandar ini juga menjadi saksi kegigihan saya dan seorang teman melilau-lilau dengan menaiki skuter demi untuk mencari pekerjaan. Hampir 2 tahun saya tinggal di sini sehingga saya mendapat pekerjaan tetap di Bukit Kemuning dan kemudian bertukar ke Kuala Lumpur. Pelbagai suka duka telah saya tempuh sepanjang tinggal di sini. Malah saya akui amat gemar dengan susun atur Bandaraya Shah Alam. Sepanjang tinggal di sini, Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam merupakan antara 2 tempat yang sering saya kunjungi selain UiTM Shah Alam. Kebetulan pula, adik lelaki saya juga mendapat peluang melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam. Maka saya sering menziarahi adik saya semasa masih menaiki skuter sehingga saya membeli kereta Kancil.

Semasa tinggal di sini juga, saya telah telibat dalam satu kemalangan sewaktu menunggang skuter dalam perjalanan menuju ke Gombak. Kejadian tersebut berlaku dengan sekelip mata sehingga saya tidak sempat mengelakkan kejadian tersebut dari berlaku. Sebenarnya semasa menjadi tenaga pengajar di UiTM, pada masa yang sama saya juga menjadi tutor di UIA Gombak dan situasi ini memerlukan saya untuk berulang-alik beberapa kali dalam seminggu ke sana. Walau bagaimanapun, saya memilih untuk tinggal di Shah Alam kerana saya perlu mengajar kelas di UiTM pada waktu malam. Jadi, adalah lebih selamat dan mudah untuk saya berulang-alik ke sana. Apabila dikenang, saya seolah-olah tidak percaya yang dulu saya sanggup berulang-alik antara Shah Alam dan Gombak hanya dengan menaiki skuter sahaja. Sekarang apabila menaiki kereta pun saya terasa akan jaraknya yang jauh, inikan pula menaiki skuter. Apapun, itu antara pahit manis saya sewaktu mula-mula memasuki alam pekerjaan. Saya menerima semua ketentuan-Nya dengan penuh keinsafan kerana yakin setiap aturan-Nya adalah yang terbaik buat diri saya. Benar pesan orang-orang tua, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Mujurlah kemalangan tersebut tidak berapa serius dan saya mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pipi akibat penghadang topi keledar yang pecah dan kecederaan pada lutut akibat terjatuh dari skuter. Namun saya masih ingat dengan jelas perasaan saya sewaktu ditimpa kemalangan tersebut. Yang bermain dalam kepala saya sewaktu itu adalah untuk menutup malu kerana bimbang diperhatikan oleh orang ramai. Saya terus bingkas bangun dan mendirikan skuter yang terbaring bersama saya sebentar tadi. Punca kemalangan adalah kerana keadaan jalan yang dipenuhi dengan pasir dan kebetulan jalan tersebut agak bengkang bengkok. Mujurlah juga ada 2 orang lelaki India yang baik hati membantu menjaga skuter sewaktu saya membersihkan luka di stesen minyak berdekatan. Mereka beria-ia ingin membantu saya dengan menghantar ke klinik berhampiran tetapi saya menolak dengan baik dan memandu sendiri ke klinik di Shah Alam. Saya terpaksa membatalkan hasrat saya ke UIA pada hari tersebut. Abah dan Ummi benar-benar terkejut dan marah dengan kejadian tersebut. Akibatnya saya didesak untuk membeli kereta. Oleh kerana saya sendiri sebenarnya agak trauma dengan kejadian tersebut, akhirnya saya bersetuju dengan kehendak Abah dan Ummi. Namun begitu, menyedari kemampuan kewangan pada masa itu, saya membuat keputusan untuk membeli kereta Kancil sahaja.

Apabila saya mendapat pekerjaan tetap dan ditempatkan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, saya masih berulang-alik dari Shah Alam. Oleh kerana jarak dan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan yang terkenal dengan kesesakannya, saya terpaksa bertolak awal iaitu jam 6.30 pagi dan tiba di pejabat jam 8.00 pagi. Memang sungguh meletihkan terutama sewaktu memandu pulang kerana kesesakan akan bertambah teruk. Namun demi untuk menikmati suasana di Taman Tasik Shah Alam pada setiap hujung minggu, saya gagahkan diri juga untuk meredah kesesakan tersebut. Saya hanya berpindah meninggalkan Shah Alam apabila diajak oleh kawan-kawan untuk tinggal serumah di Cheras. Pun begitu, Shah Alam tetap dekat di hati saya. Di sini kehidupan berkerjaya saya bermula...

Ahad, Disember 13, 2009

Rencam

Bismillahirrahmanirrahim…

Blog saya hampir bersawang. Banyak kali saya cuba meluangkan masa untuk mengemaskini tapi tuntutan waktu benar-benar menguji kesungguhan saya. Alhamdulillah hari ini saya diberi ruang oleh Allah Taala untuk memanfaatkan masa terluang ini dengan memenuhi janji mengemaskini blog.

Akhir-akhir ini jadual hidup saya sarat dengan aktiviti rasmi. Maklumlah hujung tahun, semua mengejar waktu akaun ditutup dan membuat persiapan untuk menghadapi tahun baru pula.

Sewaktu pulang dari kampung selepas menyambut Aidiladha, saya dan adik-adik menempuh perjalanan yang cukup mencabar apabila kesesakan yang dihadapi bertali arus di sepanjang lebuhraya Karak. Ditambah pula dengan sikap para pemandu yang ‘bodoh sombong’ dan menyusahkan pengguna yang lain. Kesesakan tersebut ternyata lebih dahsyat berbanding pulang menyambut Aidilfitri sebelum ini. Apa pun, itulah kenyataan yang harus dihadapi. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan tersebut. Alhamdulillah.

Tiba di KL, beberapa tugasan rasmi telah sedia menanti untuk saya lunaskan. Kebanyakannya urusan di luar daerah. Tugasan pertama bermula di Lanchang, Pahang selama 3 hari dan sekembalinya dari Pahang, saya dan anak-anak buah bergerak pula ke Johor Bharu selama 4 hari. Selesai urusan di JB, saya kembali ke pejabat dan semalam saya ke Lanchang, Pahang sekali lagi untuk memenuhi tugasan di sana iaitu menyampaikan taklimat kepada para pegawai lantikan baru. Pada hari yang sama, saya bertolak pulang untuk mengikuti kelas di Universiti Malaya pula. Meskipun saya akui amat keletihan dengan bebanan tugas tersebut, saya tidak menafikan juga yang saya puas kerana melakukan perkara yang saya gemari. Kekadang terdetik jua keinginan untuk bersantai dan bercuti tetapi saya pendamkan dulu kerana saya dan keluarga sudah ada perancangan untuk bercuti bersama-sama pada tahun hadapan. :) InsyaAllah.

Hari ini saya sengaja lapangkan untuk menghabiskan masa bersama adik-adik. Seawal pagi kami bangun dan usai solat Subuh, kami ke Taman Tasik Ampang Hilir untuk mengeluarkan peluh. Hampir sejam di situ, kami ke gerai untuk bersarapan pagi. Tiba di rumah, saya dan adik-adik memenuhkan masa dengan membersihkan kereta dan rumah. Saya puas apabila melihat kereta dan rumah dalam keadaan bersih dan tersusun. Hati pun senang.

Saya mematikan hasrat untuk memasak memandangkan kami akan ke Hulu Langat untuk memenuhi undangan kenduri salah seorang kakitangan di tempat kerja adik saya. Kami ke sana jam 2 petang dan tiba agak lewat kerana keadaan lalu lintas yang agak sesak. Selesai urusan di sana, kami pulang untuk istirehat. Sejujurnya saya sungguh lega kerana dapat meluangkan masa bersama adik-adik kerana sudah beberapa minggu sejak kembali dari kampung, hujung minggu saya dipenuhi dengan pelbagai urusan kerja. Benar kata orang, home sweet home. Duduklah di hotel semewah mana pun, tidak akan sama dengan duduk di rumah sendiri meskipun sederhana keadaannya.

Beberapa hari akan datang saya akan kembali sibuk kerana perlu menghadiri bengkel pada hujung minggu depan. Nampaknya harapan saya untuk pulang ke kampung pada minggu depan musnah. Pada mulanya saya memang berhasrat untuk pulang ke kampung memandangkan Jumaat adalah hari cuti umum. Inilah yang dinamakan pengorbanan. Saat saya berikrar untuk memegang jawatan ini, saya adalah tertakluk dan terikat dengan janji-janji yang telah saya ikrarkan. Tambah pula, setiap gerak geri saya kini menjadi teladan dan ikutan kepada orang-orang bawahan saya. Sepertimana saya mengharapkan mereka untuk bersedia untuk berkorban dalam menjalankan amanah yang telah diberikan, saya sendiri harus menunjukkan contoh ikutan kepada mereka. Pendek kata, saya perlu walk the talk. Sukar memang sukar tetapi itulah harga yang harus saya bayar atas jawatan yang sedang saya duduki sekarang.

Usai urusan bengkel tersebut juga, InsyaAllah jadual hidup saya akan sedikit reda buat tempoh 2 minggu. Pun begitu, saya sendiri tidak pasti jika secara tiba-tiba ada tugasan yang perlu saya penuhi dan sudah pasti saya mesti melakukan sekiranya diarahkan.

Tika dan saat ini, saya cuba menikmati sepenuhnya luang waktu yang ada. Alhamdulillah…

Ahad, November 22, 2009

AL-HIJAMAH

Bismillahirrahmanirrahim…

Sudah lama sebenarnya saya berhajat untuk melakukan Al-Hijamah atau lebih dikenali bekam di kalangan orang Melayu khususnya. Akhirnya hari ini saya melakukannya tanpa dirancang apabila berkunjung ke sebuah hypermarket di Batu Caves. Tujuan saya ke situ sebenarnya lain tetapi apabila mendapati khidmat bekam ada disediakan di situ, saya terus memutuskan untuk melakukannya. Sebelum ini saya telah mendapatkan maklumat di Internet tentang kelebihan dan manfaat bekam. Lantas saya berhasrat untuk mencubanya sebagai salah satu jalan tawakal untuk menjaga kesihatan. Tambahan pula akhir-akhir ini saya dapati badan saya cepat lenguh-lenguh walaupun hanya duduk di kerusi. Saya bukannya jenis yang tahu duduk diam, justeru kesihatan sememangnya menjadi keutamaan saya. Dalam masa yang sama, saya juga telah mula mengamalkan satu produk minuman kesihatan untuk membersihkan usus perut.

[Gambar di atas bukan gambar saya tapi ihsan dari sebuah blog tentang bekam. Memualkan melihat tompokan darah tersebut]

Cuak memang cuak apabila memasuki ruang rawatan, tambahan kedudukan ruang rawatan yang berada di ruang legar hypermarket sahaja tetapi ditutup rapi. Oleh kerana saya sudah nekad untuk melakukannya, saya teruskan juga rawatan di ruang itu walaupun sebenarnya risau juga jika diintip. Huhu. Proses bekam dimulakan dengan urutan untuk menentukan tempat-tempat yang bermasalah dan perlu dibekam. Memang sakit tetapi terpaksa ditahan kerana itu menandakan badan saya banyak angin.

Tengok saiz badanlah,” gurau saya kepada wanita tersebut apabila diberitahu badan saya banyak angin sehingga menghalang aliran darah dalam badan.

Selesai urutan, proses bekam dimulakan dengan menggunakan cawan kaca yang divakum ke atas tempat-tempat yang telah ditandakan. Pada awalnya saya mengeluh juga menahan kesakitan tetapi apabila fasa pertama selesai, saya sudah dapat membiasakan diri dengan rasa ngilu dan sakit tersebut lalu saya diamkan diri sahaja. Malah saya disuruh oleh wanita tersebut untuk berselawat sepanjang proses bekam tersebut. Hampir 20 minit berlalu, wanita tersebut mula membersihkan darah-darah yang keluar dari badan saya dan ditunjukkan kepada saya kekotoran tersebut satu persatu. Lama kelamaan saya pula naik mual melihat darah sendiri dan saya beritahu wanita tersebut agar tidak menunjukkannya kepada saya lagi.

Proses keseluruhan selesai dalam tempoh setengah jam dan saya akui memang saya dapat merasakan perbezaan sebelum dan selepas berbekam. Badan saya terasa lebih ringan dan selesa berbanding sebelum ini, saya merasakan badan lesu dan letih walaupun melakukan aktiviti ringan. Malah kepala pun terasa lebih ringan kerana sebelum ini saya sering pening-pening. Harganya? RM15 secawan dan saya menggunakan 10 cawan. Jumlah? Memang agak mahal tetapi berbaloi rasanya apabila difikir-fikirkan balik. Kalau untuk servis kereta saya sanggup membayar beratus-ratus ringgit, takkan untuk ‘servis’ badan sendiri saya tidak sanggup membayarnya. Cumanya selepas ini saya perlu mencari tempat lain yang menawarkan harga lebih murah kerana saya bercadang melakukannya setiap bulan sehingga saya berpuas hati.

Antara kebaikan dan manfaat berbekam yang saya temui daripada Internet adalah:

1. Membuang angin dalam badan;
2. Menghilang kesakitan dan lenguh-lenguh badan;
3. Melancarkan peredaran darah;
4. Membetulkan urat saraf yang tersumbat; dan
5. Membuang racun / toksik dalam badan.

Malam ini jam 11.30 malam adik lelaki saya akan tiba dari Kuching, Sarawak. Nampak gayanya saya yang akan mengambil dia kerana adik-adik yang lain tiada di rumah. Saya jangka untuk bertolak daripada rumah pada jam 11.00 malam. Kemudian perlu ke Shah Alam pula kerana kawan dia ingin menumpang. Aduhai adikku oh adikku! Mulanya saya pening juga apabila memikirkan perjalanan yang agak jauh dan memenatkan, penggunaan minyak petrol serta tambahan pula esok adalah hari bekerja tetapi apabila segalanya disandarkan pada Allah, saya redha, mungkin ada hikmah di sebalik semua aturan-Nya ini. Saya ambil pendekatan agar jangan terlalu memikirkan semua itu, sebaliknya fikirkan dari sudut tanggungjawab sebagai seorang kakak dan sesama manusia. Semoga apabila ada ahli keluarga saya yang memerlukan bantuan, akan ada pihak yang dengan ikhlas akan sudi membantu jua.